DIALOG RAKYAT |
- [VIDEO] Parlimen NZ Bahas Isu Serangan Seksual, Di Malaysia?
- NGO bantah cadangan bina pusat judi lumba kuda
- Rani tempelak pemimpin mahu Khalid undur
- Jika universiti Malaysia tak ingin ketinggalan, hentikan tekanan
- Jelitawan Felixia Yeap temui damai dalam Islam
- Demo pro-Redzuan di UM esok
- DAP kecam larangan puasa terhadap umat Islam Xinjiang
- Kavyan anjur projek bantuan makanan untuk warga miskin
- Polisi hukum peminta sedekah atau saman pemberi sedekah: Aneh sekali!
- Mahathir terus tekan Najib
- NZ sambut baik M'sia hantar balik Rizalman
- Seorang lagi kanak-kanak di Pulau Pinang sah JE
- Gerakan jatuhkan Hadi tak wujud
- Bekas Pesuruhjaya Pas: Khalid wajar diberi peluang
- Tiada media boleh buat liputan pengislaman Felixia
- Tanah mendap: Tindakan menanti jika cuai
- BERSIH selar SPR isu 'satu orang, satu undi'
- Aktivis NZ hantar notis 'pengusiran' pada Lynas
- Akhbar dikaitkan dengan 'pelampau Kristian'
- Ku Nan: KL tetap akan dibersihkan dari pengemis
[VIDEO] Parlimen NZ Bahas Isu Serangan Seksual, Di Malaysia? Posted: 03 Jul 2014 08:04 AM PDT KELAB GREENBOCParlimen NZ bahas isu 'serangan seksual' Isu seorang diplomat Malaysia yang menjadi suspek serangan seksual di New Zealand mendapat perhatian Parlimen negara kiwi itu. Ia bermula apabila jurucakap hal ehwal luar negara Parti Buruh David Shearer mahukan sebuah perbahasan segera dibuat berhubung isu itu. Shearer, seperti dilaporkan TVNZ, mempersoalkan cara menteri luar negara itu Murray McCully mengendalikan isu itu dengan mendakwa mangsa tidak diberikan keadilan selepas tertuduh pulang ke Malaysia. McCully mengakui bahawa terhadap beberapa kelemahan dalam pengendaliannya. "Ia sesuatu yang tidak dinafikan oleh anggota daripada bahagian ini di dalam dewan," McCully dilaporkan sebagai berkata. Pegawai tentera yang ditugaskan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington pada Mei dituduh memecah rumah dan menyerang dengan niat merogol seorang gadis 21 tahun di rumahnya di ibu negara itu. Bagaimanapun, ia kemudian didedahkan bahawa tertuduh telah pulang ke Malaysia melalui perbincangan tidak rasmi antara dua kerajaan dan dia kini disiasat oleh pasukan tentera negara ini. Kementerian luar New Zealand baru sahaja meminta maaf kepada kerajaannya berhubung pengendaliannya terhadap kes melibatkan kekebalan diplomatik. ~mk ULASAN GB Berbeza sungguh senarionya dengan Parlimen Malaysia. Di sini, semua tak boleh bincang. Speaker yang bernama Pandikar Amin itu akan berikan pelbagai alasan apabila ada usul-usul menyentuh kepentingan negara dibawa oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk dibahaskan. Kes penting seperti kehilangan MH370 pun tidak boleh lansung dibincangkan. Apabila speaker dikritik, maka wakil rakyat itu akan dihalau keluar dari Dewan Rakyat malah ada yang sampai digantung beberapa bulan. | ||
NGO bantah cadangan bina pusat judi lumba kuda Posted: 03 Jul 2014 08:01 AM PDT MALAYSIAKINI Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis bagi membantah cadangan pihak tertentu yang mahu membina sebuah pusat judi lumba kuda terbesar di Asia di Bukit Tagar, Hulu Selangor. Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM) membuat laporan itu dengan diiringi oleh 10 ahlinya di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 11 pagi tadi. Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah memberitahu pemberita kemudian, pihaknya menggesa kerajaan negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM),Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengambil tindakan tegas terhadap pemaju berkenaan. "Kami membantah sekeras-kerasnya projek ini seolah-olah menggalakkan perjudian dalam kalangan umat Islam di sini... secara tidak langsung akan merosakkan akidah seseorang selain maruah negara turut terjejas," katanya. Beliau berkata pihaknya akan menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Besar Selangor Selasa depan. Syarikat pemaju pusat lumba kuda itu sebelum ini mendakwa kaji selidik daripada sebuah universiti tempatan menyatakan 50 peratus daripada penduduk Melayu di kawasan berkenaan bersetuju dengan pembinaannya. Bagaimanapun, pemimpin PAS Hulu Selangor menafikan dakwaan kononnya pembinaan pusat terbabit diterima oleh masyarakat Melayu di kawasan itu.- Bernama | ||
Rani tempelak pemimpin mahu Khalid undur Posted: 03 Jul 2014 07:58 AM PDT MALAYSIAKINI ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman menempelak sikap segelintir pemimpin Pakatan Rakyat yang mahu Tan Sri Khalid Ibrahim berundur sebagai menteri besar sejak akhir-akhir ini ekoran tewas dalam pemilihan PKR. Malah, Abdul Rani berkata Khalid perlu diberi peluang memulihkan kepincangan dalam pentadbiran negeri dan pakatan pembangkang di negeri itu, lapor Sinar Harian hari ini. "Beri peluang kepada Abdul Khalid laksanakan perancangannya untuk kebaikan semua. Bukannya parti sendiri menekan dari dalam. "Cuma Abdul Khalid kena ingat bahawa dia naik pentas atas nama parti," katanya seperti dilapor dalam akhbar itu. Dalam laporan itu juga, Abdul Rani berkata kekalahan Khalid dalam pemilihan parti bukan menjadi alasan meminta bekas tokoh korporat itu berundur sekaligus menganggap ketewasan itu sebagai "normal dan tidak perlu wujud pertikaian". "Lagipun bukan beliau sahaja pimpinan yang tewas di peringkat cabang, ramai lagi yang tewas dan tidak menjadi masalah pun," katanya yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor. Akhbar itu juga melaporkan Abdul Rani berkata isu pertukaran menteri besar dan calon gantian belum pernah dibangkit dan dibincangkan dalam Pakatan Rakyat. "Ini kerana suara-suara yang mahukan MB ditukar bukanlah suara konsensus majoriti rakan Pakatan dan ada kalangan rakan Pakatan sendiri tidak mahu posisi MB ditukar," katanya. | ||
Jika universiti Malaysia tak ingin ketinggalan, hentikan tekanan Posted: 03 Jul 2014 07:56 AM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: Jika tidak ingin universiti Malaysia terus ketinggalan di peringkat antarabangsa, kerajaan tidak boleh menekan dan mengawal dunia akademik, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Amalan 'menekan' dimaksudkan Guan Eng termasuk akta-akta zalim yang wujud sejak sekian lama seperti Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976. "Jelas kebebasan akademik tiada dalam kosa kata Kementerian Pendidikan. Akta zalim seperti AUKU dan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 patut dimansuhkan. Kerajaan harus menghentikan intimidasi dan menekan dunia akademik. "Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja memusnahkan kebebasan akademik, tetapi membantutkan kecemerlangannya. "Universiti di Malaysia terus-menerus merosot. Tiada satu pun universiti tempatan termasuk dalam senarai Top 100 Time Higher Education 2014 bagi universiti di Asia," kata Guan Eng dalam satu kenyataan. Beliau mengulas tindakan Kementerian Pendidikan mengarah Profesor Dr Mohamad Redzuan meletakkan jawatan sebagai Pengarah dari Pusat Kajian Demokrasi & Pilihanraya Universiti Malaya (Umcedel). Selain ditekan untuk meletakkan jawatan, kedudukan Redzuan sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM juga tidak diperbaharui. Sebagai tanda bantahan, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan di fakulti sama. Saifuddin kemudian menyatakan bahawa arahan peletakan jawatan dibuat 'pihak tertentu di Kementerian Pendidikan', menguatkan keyakinan keputusan tersebut bermotif politik. "Walaupun Saifuddin pemimpin BN, DAP menyokong penuh pendiriannya membela Redzuan dan prinsip kebebasan akademik. Kami mengecam tindakan atas layanan buruk dan penindasan yang semakin melampau terhadap mahasiswa dan ahli akademik," kata Guan Eng. Beliau turut membangkitkan beberapa insiden lain dalam dunia akademik, antaranya tindakan ke atas pensyarah dan pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang digantung tugas daripada Universiti Islam Antarabangsa hanya kerana mengulas arahan Sultan Selangor berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke gereja Damansara Utama Methodist Centre pada 2011. Manakala pada tahun ini sahaja, 25 mahasiswa pelbagai universiti dikenakan tindakan disiplin atas pelbagai sebab, termasuk kerana menunjukkan bantahan terhadap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ketika kunjungan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan menulis status anti-GST di akaun Facebook mereka. Selain itu, mahasiswa tahun akhir Australian National University, Aslam Abdul Jalil diarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi surat tunjuk sebab hanya kerana menyertai forum anjuran universitinya yang turut menampilkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua. – Roketkini.com | ||
Jelitawan Felixia Yeap temui damai dalam Islam Posted: 03 Jul 2014 07:54 AM PDT MALAYSIAKINI Bekas model majalah dewasa Playboy, Felixia Yeap berkata beliau kini berasa lebih tenang apabila bertemu "jalan pulang" selepas memeluk Islam secara rasmi. Yeap, 28, dalam tulisan di blognya felixiayeap.blogspot.com berkata, beliau mengucap syahadah di hadapan empat orang saksi dalam satu majlis tertutup hari ini. Beliau bersyukur kerana hasratnya untuk memeluk Islam selepas pencarian selama bertahun-tahun itu direstui oleh ibunya. Walau ada yang menyokong, tidak kurang juga yang sangsi dan memberi reaksi negatif ke atas tindakannya itu, katanya lagi. "Saya telah mengharungi pelbagai dugaan, bantahan, makian, sindiran, fitnah, penyisihan, tekanan. "Tetapi syukur Alhamdulillah...saya juga dapat sokongan yang begitu hebat. Saya harus berterima kasih dengan kedegilan saya," tulisnya. Tak bimbang disisihkan Yeap berkata, beliau tidak bimbang untuk mengumumkan keputusannya memeluk Islam - tidak seperti individu lain yang terpaksa menyembunyikannya dari pengetahuan keluarga. "Saya mengaku, jika ayah saya tidak meninggalkan kami sekeluarga, mungkin perkara yang sama akan berlaku pada diri saya. Tetapi Allah Maha Mengetahui," tulisnya. Yeap, yang meraih populariti melalui kemunculan di majalah Playboy pada tahun 2010 berkata beliau mula tertarik dengan Islam selepas memperaga pakaian muslimah untuk satu sesi fotografi. Sejak enam bulan lalu, beliau tampil dengan imej bertudung – satu perubahan yang menarik perhatian ramai. Wanita kelahiran Ipoh itu mendedahkan, beliau sejak itu juga sudah mendalami ilmu agama Islam. Mengulas lanjut, Yeap berkata beliau kini lebih selesa dengan nama "Rania" dan merancang untuk membuka perniagaan menjual pakaian untuk golongan muslimah sepertinya. | ||
Posted: 03 Jul 2014 07:49 AM PDT MALAYSIAKINI Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dengan kerjasama kumpulan pelajar lain akan mengadakan protes membantah dakwaan kehilangan hak kebebasan akademik di universiti itu. Presidennya Fahmi Zainol berkata, ia turut didorong isu campur tangan kerajaan sehingga membawa kepada peletakan jawatan pengasas dan pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) Prof Datuk Dr Redzuan Othman. "Hak kami sebagai mahasiswa terus dirampas. "Universiti Malaya (UM) sendiri tidak realisasikan nilai utama universiti ini iaitu kebebasan akademik," kata beliau kepada Malaysiakini hari ini. Justeru Fahmi berkata pelajar UM akan bersolidariti selepas sembahyang Jumaat esok di pintu utama UM arah Kuala Lumpur. Mereka kemudiannya akan berarak ke bangunan Canselori UM sambil bersorak slogan menuntut kebebasan akademik. "Protes luahan perasaan ini perlu, jika tiada membantah, adik-adik kami akan menjadi mangsa di masa hadapan," kata beliau. Redzuan meletakkan jawatam sebagai pengarah Umcedel selepas dikatakan ditekan oleh pegawai dari Kementerian Pendidikan. Umcedel sebelum ini mengeluarkan beberapa laporan yang tidak menyebelahi BN dan pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini. Bagaimanapun dakwaan campur tangan itu dinafikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Zaini Ujang. | ||
DAP kecam larangan puasa terhadap umat Islam Xinjiang Posted: 03 Jul 2014 07:34 AM PDT Roketkini.com GEORGE TOWN – Tindakan pihak berkuasa wilayah Xinjiang, sebuah daerah di barat laut China, melarang umat Islam menunaikan ibadah puasa adalah bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia. Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim menegaskan hal tersebut dalam kenyataan medianya awal pagi tadi yang antara lain menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu penindasan terhadap penduduk Islam Xinjiang yang didiami etnik minoriti Uighur. "Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, ibadah puasa mengajar kita nilai bersederhana, pengorbanan dan membuat amal kebajikan. "Malangnya dunia sedang mengalami ekstremisme di merata-rata tempat," ujar beliau. Menafikan rakyat Islam China daripada mengamalkan rukun utama agama adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia," tegasnya. Bersedih dengan penindasan terbabit, Steven mengutuk keras tindakan tersebut sambil menyatakan solidariti bersama mereka yang tertindas di seluruh dunia yang menjadi mangsa kepentingan politik sempit. Notis larangan berpuasa tersebut dilaporkan telah dimuatnaik beberapa jabatan kerajaan daerah berkenaan sejak bermulanya Ramadan hujung minggu lalu. Larangan itu ternyata bukan kali pertama dikuatkuasakan. Menurut laporan media, kerajaan pimpinan Parti Komunis itu telah mengenakan larangan berpuasa di Xinjiang sejak beberapa tahun lalu. – | ||
Kavyan anjur projek bantuan makanan untuk warga miskin Posted: 03 Jul 2014 07:27 AM PDT Roketkini.com SHAH ALAM: Demi membantu anak-anak keluarga miskin dan kurang berkemampuan, Kumpulan Sasterawan Kavyan akan menganjurkan satu projek bantuan makanan bermula 7 Julai ini. Presiden Kavyan Uthaya Sankar SB berkata, program yang mendapat sokongan pelbagai pihak itu akan dijalankan di sekitar Taman Sri Muda. "Memandangkan masih wujud ramai murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan, Kavyan dengan sokongan, sumbangan dan kerjasama pelbagai pihak melaksanakan projek makan tengah hari kepada sejumlah murid di sekitar Taman Sri Muda. "Projek bantuan makanan ini dimulakan walaupun belum ada sumbangan yang mencukupi untuk melaksanakannya secara berterusan. Sedikit barangan keperluan sudah dibeli hasil sumbangan rakan-rakan yang prihatin," katanya dalam satu kenyataan. Selain projek bantuan makanan, beberapa penduduk yang menghadapi masalah ketiadaan sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri juga turut mendapat perhatian Kavyan. "Masalah-masalah ini menyebabkan mereka menghadapi masalah meneruskan pelajaran, mencari pekerjaan dan menguruskan perkahwinan. "Berikutan beberapa kes yang dibawa, kami telah menghubungi Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) untuk membuka kaunter MyDaftar di Rumah Kavyan pada 13 Julai ini," jelasnya. Menurut Uthaya, untuk menjayakan projek, seorang suri rumah sebuah keluarga miskin telah menawarkan diri menjadi tukang masak. Katanya, guru-guru prihatin dari sekolah berhampiran juga akan menyalurkan maklumat murid, pelajar miskin yang memerlukan bantuan. Sejak ditubuhkan pada Ogos 1999, Kavyan bergiat aktif dalam usaha menggalak kanak-kanak dan remaja pelbagai kaum mencintai Bahasa Malaysia. Rumah Kavyan di Sri Muda juga telah dijadikan pusat aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya dengan penglibatan semua lapisan masyarakat. | ||
Polisi hukum peminta sedekah atau saman pemberi sedekah: Aneh sekali! Posted: 03 Jul 2014 07:19 AM PDT Oleh NURUL IZZAH ANWAR Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Seri Tengku Adnan Mansor bahawa suatu undang-undang akan dilaksanakan bagi mengekang budaya meminta sedekah adalah suatu tindakan drastik wajar dikecam kerana isu gelandangan serta peminta sedekah ini berkait rapat dengan isu kemiskinan tegar; yang buat masa ini usaha kerajaan dalam menyelesaikannya amat mengecewakan. Dalam kelima-lima dasar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Dasar Wanita Negara 2009, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, Dasar Sosial Negara , Dasar Warga Emas Negara dan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara), tiada satu pun dasar yang diperuntukkan khas untuk masalah orang tidak berumah/gelandangan. Di United Kingdom, Parlimen mereka telah meluluskan sebuah dana £400 juta (RM2.2 Billion) untuk menubuhkan suatu projek pada tahun 2010 yang menghimpunkan 8 jabatan kerajaan diketuai oleh Jabatan Komuniti dan Kerajaan Tempatan (Department for Communities and Local Government) bagi menangani isu gelandangan. Usaha Ini dibantu Perkhidmatan Khidmat Nasihat Gelandangan Kebangsaan (National Homelessness Advice Services) dengan kerjasama Shelters bagi memberikan khidmat konsultan, latihan kepada NGO-NGO yang ingin membasmi gelandangan, nasihat mengenai hutang gadaian (mortgage debt advice) dan juga penerbitan isu-isu mengenai masalah perumahan dan golongan orang tidak berumah, untuk membantu ke arah meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Kita juga mampu belajar dari usaha badan bukan kerajaan di Eropah seperti 'European Federation of National Organisations working with the Homeless' (FEANTSA), yang mempunyai 130 organisasi yang bekerja di 30 negara di benua itu. Antara yang dibincangkan secara ekstensif adalah masalah perkhidmatan, perlindungan kesihatan dan sosial, hak keatas rumah dan perancangan bandar, pengangguran, dan sokongan sosial yang didokong penuh institusi EU, Council of Europe and United Nations. Dalam kesemua yang dibincangkan ini, tiada satu pun yang menyebut tentang polisi untuk menghukum peminta sedekah apatah lagi ingin menyaman pemberi sedekah kepada gelandangan ini. Mereka malah bertungkus lumus bersama NGO-NGO untuk menyelesaikan masalah ini dengan kajian yang rapi, akademik dan mendapat sokongan sepenuhnya dari kerajaan. Kerajaan juga perlu mengambil iktibar daripada kajian-kajian daripada pakar-pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa yang banyak menyatakan bahawa keadaan ekonomi masyarakat tempatan akan bertambah sempit sekiranya polisi-polisi kerajaan yang diterapkan tidak dibetulkan. Kajian Professor Fatimah Kari dari Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan UM yang telah saya sebutkan sebelum ini menunjukkan; menerusi potongan subsidi kerajaan secara berperingkat, rakyat, terutamanya isirumah Melayu dan Bumiputra yang miskin adalah golongan yang paling terkesan kelak, samada di bandar atau di luar bandar; kadar kemiskinan ini dijangkakan akan kembali seperti pada tahun 1970 dalam tempoh terdekat atau sederhana sekiranya isu jurang pendapatan tidak dikawal menerusi polisi-polisi kerajaan. Bank of America Merrill Lynch juga meramalkan, Malaysia akan menjadi muda dan miskin menjelang tahun 2030. Saya menggesa Yang Berhormat Datuk Seri Tengku Adnan Mansor agar menarik balik cadangan beliau, seraya menggesa kerajaan untuk menjalan usaha yang lebih giat untuk membasmi kemiskinan seterusnya gelandangan ini dari puncanya. Punca masalah gelandangan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu, bukannya menghilangkan simptomnya sahaja! | ||
Posted: 02 Jul 2014 11:09 PM PDT MSO Banyak pihak bercakap mengenai ketidakwajaran pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan juga cadangan untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan satu akta baru. Masing-masing tidak setuju dengan pemansuhan itu dan berpandangan pemansuhan akta itu memburukan keadaan negara misalnya bertambahnya kejadian jenayah. Antara orang yang mempertikai dan melahirkan rasa kurang senang dengan cadangan memansuhkan Akta Hasutan 1948 ialah bekas PM Dr Mahathir Mohamad. Katanya penghapusan itu boleh menyebabkan keadaan negara huruhara. Katanya apabila akta itu ditiadakan ia memudahkan untuk orang melakukan hasutan. Sependapat dengan Mahathir ialah bekas IGP Musa Hassan. Katanya kalau akta itu dihapuskan dikhuatiri asas perpaduan dan keharmonian masyarakat selama ini menjadi sasaran orang tidak bertanggungjawab. Sejauh manakah benar dan logiknya alasan diberikan kedua-dua mereka itu terutamanya Mahathir. Sebelum ini Mahathir dilihat orang yang berpandangan ke depan melakukan perubahan, tetapi berlainan berhubung soal ini. Beliau seakan premitif dan nampak sangat bimbang. Apakah kebimbangan Mahathir itu berasas? Atau pun beliau sengaja menimbulkan itu kerana hendak menekan Mohd Najib Razak. Umum tahu pemansuhkan akta ISA dan cadangan memansuhkan Akta Hasutan 1948 adalah sebahagian dari transfomasi pentadbiran dilakukan Najib. Sedikit sebanyak Najib mendapat pujian atas keberaniannya memansuhkan akta berkenaan. Setidak-tidaknya akta yang disifatkan kolot, usang dan undang-undang rimba itu sudah tidak ada lagi, walaupun ia diganti dengan akta-akta baru. Setidak-tidaknya Najib berani menghapuskan akta yang menjadi phobia ramai. Dalam hal ini saya tidak berasakan pandangan Mahathir itu tepat dan ikhlas. Beliau berbuat begitu kerana hendak memburukkan imej Najib. Iya sebahagian daripada taktik Mahathir yang mahu Najib berundur dari kerusi PM kini. Kita tahu Mahathir kini sedang merancakkan tekanan ke atas Najib. Beberapa polisi pentadbiran Najib dikritik hebat oleh Mahathir. Mahathir juga mengkritik Najib berhubung kehilangan pesawat MH370 yang hilang ghaib sampai ke hari ini. Untuk kempen mendesak Najib ini Mahathir boleh panggil mana-mana orang untuk bersamanya. Tindakan Musa Hasan itu juga dilihat ke arah itu. Sebagai bekas ketua polis negara Musa relevan untuk memberi pandangan itu. Tetapi ketulusannya boleh dipersoalkan. Musa selepas bersara tidak mempunyai kedudukan istimewa. Dalam kata lain Najib tidak memberi apa-apa anugerah sebagai cenderamata buatnya. Tidakkah kritikan Musa itu juga sebagai sebab kecewa? Kesimpulannya kebimbangan Najib dan kritikan ke atas pemansuhan akta Hasutan 1948 itu dan lainnya dibuat sebagai suatu bentuk tekanan psikologis ke atas Najib bukan sesuatu yang tepat. | ||
NZ sambut baik M'sia hantar balik Rizalman Posted: 02 Jul 2014 11:01 PM PDT MALAYSIAKINI Menteri Luar New Zealand Murray McCully menyambut baik pengumuman Malaysia bahawa pegawai yang dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita muda di Wellington akan dihantar semula ke New Zealand. McCully mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia terhadap apa yang disifatkannya sebagai "perkembangan yang amat dialu-alukan yang menunjukkan niat baik dan integriti bagi kedua-dua pihak menangani isu ini. Tidak pernah ada niat bersama oleh mana-mana kerajaan untuk melupakan saja isu itu, tidak kira sama ada proses itu berlaku di Malaysia atau New Zealand, ada komitmen yang kuat untuk memastikan keadilan dilaksanakan, kata beliau dalam kenyataan menerusi www.beehive.govt.nz, laman web rasmi kerajaan New Zealand. Langkah untuk menghantar balik Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail, bekas Pembantu Staf Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, diumumkan oleh Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan sebelumnya. Dia dituduh melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat untuk merogol. - McCully berkata beliau telah berhubung dengan rakan sejawatnya Datuk Seri Anifah Aman yang memberitahunya bahawa pihak berkuasa Malaysia akan menghantar balik pegawai itu ke New Zealand untuk membantu pihak berkuasa negara itu dalam siasatan. Pihak berkuasa Malaysia, kata McCully, telah menawarkan bantuan dalam siasatan yang dijalankan. "Saya menyambut baik penglibatan mereka yang berterusan," kata beliau. Beliau berkata perlu diingat bahawa tertuduh mempunyai hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan berhak dibicarakan secara adil. "Ini sekarang adalah soal untuk tindakan polis dan mahkamah dan saya tidak akan mengulas lebih lanjut," kata McCully.- Bernama | ||
Seorang lagi kanak-kanak di Pulau Pinang sah JE Posted: 02 Jul 2014 10:59 PM PDT MALAYSIAKINI Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lima bulan di dijangkiti virus Ensefalitis Jepun (JE), dipercayai selepas melawat datuknya di Bagan Jermal, di Butterworth. Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata pemeriksaan darah terhadap kanak-kanak itu pada 24 Jun lepas mendapati ia positif JE. "Kanak-kanak itu mengalami demam dan kejang-kejang dan dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya pada 13 Jun, bagaimanapun keadaannya makin serius dan dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut. "Di HPP pesakit telah dimasukkan ke wad Pediatrik Unit Rawatan Rapi (ICU) dan setelah menerima rawatan intensif, pesakit telah menunjukan respons yang baik serta telah dikeluarkan dari ICU dan dipindahkan ke wad biasa pada 18 Jun," katanya dalam kenyataan kepada Bernama, malam tadi. Beliau berkata menurut doktor pakar dari HPP, kanak-kanak itu telah beransur pulih setelah menerima rawatan intensif dan pesakit berkenaan juga kini boleh makan dan minum. Dr Lailanor berkata pesakit itu masih dirawat di HPP dan sedang menjalani fisioterapi. "Pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lepas adalah positif dan hari ini pihak HPP sekali lagi mengambil sampel darah pesakit untuk kepastiaan, ia dijangka diketahui dalam masa terdekat," katanya. Beliau berkata pihaknya akan membuat siasatan lanjut terhadap keluarga pesakit untuk Pengesanan kes secara aktif dan langkah-langkah kawalan akan diambil. Sebelum ini, seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat disyaki dijangkiti virus JE dan masih dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru, dekat Butterworth. Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, pada awalnya dikatakan mengalami demam panas sejak 18 Mei lalu dan dimasukkan ke Hospital Kepala Batas selepas demamnya itu berlarutan sebelum dipindahkan ke hospital swasta itu pada 21 Mei.- Bernama | ||
Gerakan jatuhkan Hadi tak wujud Posted: 02 Jul 2014 10:56 PM PDT ALOR SETAR – Pas menafikan dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara terbabit tidak pernah berlaku dalam kepimpinan parti itu. "Perkara terbabit tidak pernah berlaku dalam Pas dan memang tidak pernah wujud pun gerakan seperti itu. "Kita masih memerlukan kepimpinan Abdul Hadi untuk mengetuai dan memimpin Pas. Bagaimana pula boleh wujud dakwaan sedemikian," katanya kepada media di Pejabat Pas Cawangan Derga, kelmarin. Menurutnya, Abdul Hadi adalah seorang pemimpin yang cekap dan hebat dalam perjuangan menegakkan syiar Islam. "Walaupun dia dalam keuzuran, namun kesakitan itu tidak pernah menghalang dia untuk terus memimpin Pas," katanya. Sehubungan itu, beliau turut menyarankan kepada pihak luar supaya tidak mencampuri urusan dalaman parti berkenaan. "Orang Pas tidak perlu layan sebarang cubaan pihak luar yang menyebarkan dakwaan tidak benar untuk melaga-lagakan Pas," katanya. Sebelum ini, banyak laman blog mendakwa wujud gerakan untuk menjatuhkan kepimpinan Abdul Hadi. Menurut laporan itu, perkara sama juga pernah berlaku kepada bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak ketika sedang dirawat di sebuah hospital. Dipercayai, cara sama juga digunakan untuk menjatuhkan Abdul Hadi yang kini masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN). | ||
Bekas Pesuruhjaya Pas: Khalid wajar diberi peluang Posted: 02 Jul 2014 10:54 PM PDT SHAH ALAM - Di sebalik pelbagai desakan malah 'orang kuatnya' pula dikenakan tindakan dalaman parti, seorang Adun di Selangor berkata, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu diberi peluang untuk bangkit memulihkan kepincangan yang berlaku. Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman berkata, setiap pemimpin ada kelemahan tersendiri dan perkara itu adalah biasa kerana tidak ada pemimpin yang 100 peratus betul. "Beri peluang kepada Abdul Khalid laksanakan perancangannya untuk kebaikan semua. Bukannya parti sendiri menekan dari dalam. Cuma Abdul Khalid kena ingat bahawa dia naik atas nama parti," ujar bekas pesuruhjaya Pas itu. Beliau mengulas desakan segelintir pimpinan PR Selangor yang seolah-olah mahu menamatkan kerjaya politik Abdul Khalid akhir-akhir ini. Abdul Rani turut menempelak sikap segelintir pemimpin PR yang berhasrat menggulingkan Abdul Khalid kerana tewas dalam perebutan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, baru-baru ini. "Kalah di cabang bukan alasan untuk minta Abdul Khalid berundur, perkara ini normal dan tidak perlu wujud pertikaian. "Lagipun bukan beliau seorang sahaja pimpinan yang tewas di peringkat cabang, ramai lagi yang tewas dan tidak menjadi masalah pun," katanya. Menurutnya, setakat ini isu pertukaran jawatan Menteri Besar Selangor dan perbincangan calon gantian belum pernah dibincangkan lagi. "Kita belum pernah bincang pun, calon pun belum tahu siapa malah dari parti mana pun tidak pernah dibangkitkan. "Ini kerana suara-suara yang mahukan MB (Menteri Besar) ditukar bukanlah suara konsensus majoriti rakan PR dan ada kalangan rakan pakatan sendiri tidak mahu posisi MB ditukar," katanya. Ketika ditanya kelayakan Mohamed Azmin Ali menggantikan kedudukan menteri besar, katanya, Adun Bukit Antarabangsa itu juga mempunyai kelemahan tersendiri, malah sesiapa sahaja layak menduduki jawatan MB. "Kita tunggu saja keputusan konsensus PR, hal ini memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti," katanya. Sementara itu, Adun Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan pula berkata, pertikaian seumpama ini wajar mendapat kata sepakat dari ketiga-tiga rakan PR dan bukannya berlandaskan desakan emosi semata-mata. "Isu serius seperti ini mesti dibincang dan diputuskan bersama, bukan diambil berlandaskan pandangan peribadi sesetengah pihak sahaja, ini tidak adil. "Lepas berbincang, kita akan terima dan yang penting adalah konsensus," katanya. | ||
Tiada media boleh buat liputan pengislaman Felixia Posted: 02 Jul 2014 10:52 PM PDT MODEL pakaian muslimah, Felixia Yeap yang bakal memeluk Islam hari ini menegaskan tiada liputan media akan dibenarkan. Menurutnya, bagi berlaku adil, tiada satu pun media yang akan dibenarkan menghadiri untuk menyaksikan pengislamannya itu. "Kepada semua media, saya pasti untuk tidak membenarkan sesiapa pun untuk datang menyaksikan saya mengucap syahadah bagi berlaku adil kepada semua. Terima kasih kerana memahami," tulisnya di laman sosial Facebook, hari ini. Dalam pada itu, Felixia juga menafikan berita yang tersebar berkenaan lokasi pengislamannya itu. "Kepada sesiapa yang menyebarkan rumor bahawa saya mengucap di Hidayah Centre Melawati, ini Ramadan. "Sekurang-kurangnya, jangan sebarkan pembohongan," katanya. Sepanjang Ramadan ini, Felixia berkongsi dengan peminat-peminatnya aktiviti berpuasa termasuk berbuka dan bersahurnya. | ||
Tanah mendap: Tindakan menanti jika cuai Posted: 02 Jul 2014 10:50 PM PDT KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan sedang meneliti sama ada terdapat kecuaian pihak kontraktor yang menyebabkan kejadian tanah mendap di Jalan Imbi, di pusat bandar Kuala Lumpur, semalam. Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kontraktor terlibat bakal dikenakan tindakan sekiranya terbukti berlaku kecuaian. "Tanah mendap itu disebabkan kebocoran paip Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) sehingga berlaku mendapan tanah, barangkali kecuaian kontraktor. Jika disebabkan kecuaian kontraktor, kami akan ambil tindakan. Siasatan sedang dilakukan," katanya. Tengku Adnan berkata demikian ketika mengulas kejadian tanah mendap di kawasan terowong bawah tanah di simpang empat Jalan Imbi selepas Majlis Pelantikan Anggota Jawatankuasa Badan Penasihat Rumah Ibadat Bukan Islam Wilayah Persekutuan di sini, hari ini. Dalam kejadian 9.30 pagi semalam, sebahagian struktur terowong sepanjang 35 meter itu yang dalam pembinaan bagi mewujudkan empat laluan kenderaan untuk mengurangkan kesesakan di simpang empat Jalan Imbi, runtuh sedalam lima meter berikutan mendapan tanah. Tengku Adnan berkata, kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan untuk menstabil semula kawasan itu selain menjalankan pemeriksaan terhadap trek Monorel yang terjejas. "Kami harap perkara ini akan selesai dalam dua minggu," katanya. Beliau juga meminta mana-mana kontraktor yang melakukan kerja-kerja di bawah tanah agar lebih berhati-hati dan membuat kajian terperinci terlebih dahulu dalam melaksanakan tugas mereka. - Bernama | ||
BERSIH selar SPR isu 'satu orang, satu undi' Posted: 02 Jul 2014 10:45 PM PDT MALAYSIAKINI Gabungan NGO BERSIH berpendirian bahawa Tan Sri Abdul Aziz Yusof tidak layak mengetuai Suruhanjaya Pilihan Raya kerana menyifatkan prinsip 'satu orang, satu undi, satu nilai' sebagai langkah tidak praktikal untuk menjalankan persempadanan semula. Walhal, prinsip berkenaan adalah asas kepada pilihan raya dan perwakilan pemilih dalam sesebuah sistem demokrasi, kata BERSIH dalam kenyataannya. "Tanpa 'satu orang, satu undi, satu nilai', pilihan raya tidak akan bermakna, terutama bagi pemilih yang undinya lebih tidak bernilai. "Dalam pilihan raya umum ke-13, ia membentuk 53 peratus daripada jumlah yang mengundi," kenyataan BERSIH dipetik. Ia turut menegaskan bahawa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak harus dijadikan alasan untuk merendahkan prinsip 'satu orang, satu undi, satu nilai'. Kenyataan BERSIH itu merujuk kepada Seksyen 2(c), Bahagian 1, Jadual 13 dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud bahawa SPR boleh mengutamakan kesenangan dalam pentadbiran dan perwakilan mengikut kaum mengatasi prinsip tersebut, menurut BERSIH lagi. Gabungan NGO itu turut menegaskan bahawa prinsip berkenaan merupakan salah satu daripada tujuh perkara utama yang dikenalpasti oleh panel Tribunal Rakyat ke atas Pilihan Raya Umum ke-13. Ia bagi menjawab kenyataan Abdul Aziz seperti disiarkan dalam satu laporan akhbar Berita Harian semalam yang memberi gambaran bahawa pelaksanaan 'satu orang, satu undi, satu nilai' memerlukan kawasan yang dengan jumlah pengundi yang sama. Dalam wawancara disiarkan akhbar tersebut, Abdul Aziz berkata SPR lazimnya menetapkan sempadan pilihan raya mengikut kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar. "Di bandar sudah tentu penduduknya ramai manakala kawasan separa bandar jumlah penduduk tidak berapa ramai. "Kalau di luar bandar, memang bilangannya jauh lebih kecil berbanding di dua kawasan tadi, maka kita tidak boleh samakan kawasan Parlimen atau DUN di bandar dengan separa bandar dan luar bandar," katanya dalam laporan itu. Tambahnya, perkara itu tidak adil bagi wakil rakyat kerana kemudahan di kawasan bandar lebih baik berbanding di kawasan luar bandar. "Ada kawasan Parlimen yang pekannya hanya mempunyai lima kedai sederet, rumah penduduk jauh-jauh dan sukar dihubungi. "Maknanya, janganlah hendak memperjuangkan sesuatu kerana hendak populis, perlu praktikal," katanya lagi. | ||
Aktivis NZ hantar notis 'pengusiran' pada Lynas Posted: 02 Jul 2014 10:43 PM PDT MALAYSIAKINI Seorang senator Australia dan aktivis New Zealand merancang untuk menghantar "notis pengusiran" kepada ibu pejabat syarikat nadir bumi Lynas di Sydney pagi ini. Menurut Senator Lee Rhiannon (kanan) dari parti Green dan aktivis alam sekitar Natalie Lowrey, mereka berbuat demikian bagi menunjukkan "sokongan berterusan kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang menentang loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Malaysia". "Kami percaya harga kehidupan rakyat Malaysia sama seperti rakyat Australia. "Saya tidak menyesal untuk bersama masyarakat Malaysia dan akan terus berkempen di sini di Australia supaya Lynas menutup loji penapisan toksik itu, membersihkan sisanya dan meninggalkan Malaysia," kata Lowrey dalam satu kenyataan bersama dengan Rhiannon hari ini. Lowrey ditahan selama lima hari ketika berada di Malaysia kerana menyertai bantahan bersama peserta kempen anti-Lynas di Kuantan, dan dibebaskan minggu lepas. | ||
Akhbar dikaitkan dengan 'pelampau Kristian' Posted: 02 Jul 2014 10:41 PM PDT MALAYSIAKINI Selepas mengkritik keras MCA, bekas menteri kabinet Tan Sri Zainuddin Maidin kini mengaitkan The Star, akhbar milik parti itu, dengan DAP dan sebuah kumpulan pelampau Kristian di Singapura. "(The) Star sebenarnya telah lama bermain di tangan DAP dan juga di tangan sebuah mazhab Kristian yang melampau dan berbahaya yang telah diharamkan di Singapura tetapi dibiarkan oleh kerajaan Malaysia yang lemah," dakwanya. Tanpa menamakan secara spesifik kumpulan yang didakwanya itu, Zainuddin berkata, beliau masih menyimpan keratan akhbar tentang "kenakalan" akhbar itu dan sikap bermuka-mukanya. Dalam tulisan terbarunya di blog, Zainuddin mendakwa, daripada "maklumat sah" yang diperolehnya pada malam keputusan pilihan raya lalu diumumkan, ketua pengarang akhbar itu bersiap sedia merayakan kejatuhan BN. Tetapi, kata Zainuddin, apabila BN ternyata kembali berkuasa, beliau masuk ke bilik dalam wajah muram dan malu. "Tulisannya bila keluar negara, negara lain baik belaka dan seolah olah Malaysia ini terlalu buruk baginya," tulis Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Membandingkannya dengan Utusan Malaysia, akhbar Umno, Zainuddin berkata walau apa pun dikatakan terhadapnya, akhbar Umno itu tidak sesekali bertalam dua muka. Malah, katanya, daripada segi edarannya pun tertinggi berbanding akhbar berbahasa Melayu lain dan jauh mengatasi akhbar berbahasa Inggeris di negara ini. | ||
Ku Nan: KL tetap akan dibersihkan dari pengemis Posted: 02 Jul 2014 10:36 PM PDT MALAYSIAKINI Walaupun mendapat kritikan aktivis dan pembangkang, kerajaan tetap berkeras akan membersihkan kegiatan pengemis dan gelandangan di ibu negara. Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Mansor memaklumkan pihaknya akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengeluarkan saman bersiri kepada pemberi sedekah di tepi jalan. "Sekarang ni kita dah minta, mungkin dalam satu hingga dua minggu, siapa bagi duit kepada peminta sedekah ini pun akan ditangkap dan disaman. Dia banyak duit kan? "Pada ketika itu juga, ada resit RM150 bayar serta-merta pada penguat kuasa. "Kita akan keluarkan resit bersiri. Setiap kali bagi (sedekah), serta-merta bayar pada DBKL, "katanya dalam sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di ibu negara, pagi tadi. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan