Rabu, 2 Julai 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


UM tidak jawab isu pokok, kata Saifuddin

Posted: 01 Jul 2014 08:36 PM PDT

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Bekas Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) Datuk Saifuddin Abdullah membidas pihak UM yang tidak menjawab isu pokok iaitu campur tangan politik dalam isu peletakan jawatan Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Beliau tidak menolak adanya campur tangan politik dalam arahan supaya Profesor Redzuan meletak jawatan sebagai Pengarah UMcedel.

Bahkan katanya, kenyataan UM tentang jawatan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) yang melibatkan Prof Redzuan membawa beberapa konotasi iaitu, Prof Redzuan antara yang dicalonkan oleh pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) sekaligus membuktikan beliau mendapat pengiktirafan akademik.

"Beliau tidak dilantik semula kerana akan bersara tahun depan, bermakna tidak timbul soal kualiti," katanya di laman Facebooknya hari ini.

Katanya, Profesor Dr Md Sidin Ahmad yang dilantik sebagai dekan baru untuk meneruskan kecemerlangan penyelidikan di bawah FSSS, bermakna Prof Redzuan menjalankan tugas dengan baik termasuk sebagai Pengarah UMcedel.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan UM yang menafikan dakwaan kontrak Prof Redzuan tidak disambung kerana campur tangan politik.

"Tetapi kenyataan ini tidak jawab isu pokok iaitu campur tangan politik dalam arahan beliau letak jawatan sebagai Pengarah UMcedel," katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan UM berkata, kontrak Profesor Redzuan Othman tidak dilanjutkan berikutan keputusan pemilihan yang dibuat secara telus.

"Bertentangan dengan laporan media, keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Mohammad Redzuan itu adalah berdasarkan proses pemilihan yang demokratik dan telus.

"Pemilihan tersebut telah dijalankan selaras dengan Perlembagaan UM 2010," lapor kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, Perlembagaan menyatakan bahawa Naib Canselor hendaklah melantik seorang Dekan atau Pengarah daripada tiga calon yang disenarai pendek yang menerima markah tertinggi.

Prof Redzuan merupakan salah seorang daripada tiga calon yang disenarai pendek. Calon lain yang tersenarai termasuk Profesor Dr Md Sidin Ahmad dan Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah.

Profesor Redzuan yang mengetuai UMcedel sering mengadakan kajian politiknya termasuklah beberapa siri pilihan raya umum dan kecil, namun hasil kajian yang dijalankan dilihat sering memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat. -

Sharifah Aini dirawat di ICU

Posted: 01 Jul 2014 08:34 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Penyanyi Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di ibunegara kerana jangkitan paru-paru.  
  
Menurut satu kenyataan, Sharifah Aini yang genap 61 tahun hari ini, disahkan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lepas.  
  
Konsultan Pakar Respiratori Datuk Dr Zainuddin Md Zain, yang merawat beliau, berkata situasi itu jarang berlaku dan menyebabkan paru-paru hilang kekenyalan atau berparut akibat penebalan tisu perantara.  
  
"Penyanyi itu dibawa ke hospital oleh anak lelakinya, Aliff Omar Ali pagi semalam apabila beliau menghadapi kesukaran bernafas," menurut kenyatan itu.
  
Terkenal dengan lagu 'Seri Dewi Malam', Sharifah Aini dilaporkan stabil namun dinasihat tidak menerima pelawat kecuali anggota keluarga.
  
Beliau memulakan kerjaya sebagai penyanyi selepas memenangi Pertandingan Juara Bintang RTS (Radio Televisyen Singapura) menerusi lagu 'Tiga Malam' pada 1968.  
  
Sharifah Aini dianugerah 'Biduanita Negara' iaitu gelaran tertinggi negara untuk penyanyi wanita sebagai menghargai sumbangannya kepada industri muzik, rakyat dan negara.
  
Penyanyi era 70-an itu menerima anugerah Panglima Jasa Negara (PJN), yang membawa gelaran 'Datuk', daripada Kerajaan Persekutuan pada Jun 2003.- Bernama

Belgium, Argentina melangkah ke suku akhir

Posted: 01 Jul 2014 08:30 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Jaringan sewaktu masa tambahan dalam perlawanan pagi ini, membawa Belgium dan Argentina melangkah ke peringkat suku akhir Piala Dunia.

Belgium membuat jaringan pada masa tambahan melalui Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku, untuk menundukkan Amerika syarikat dengan jaringan 2-1.

Ternyata Belgium terpaksa berhempas pulas berdengan tentangan sengit pemain Amerika yang merapatkan jurang menerusi jaringan Julian Green pada minit ke-107.

Manakala Argentina juga membuat jaringan pada masa tambahan untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Jaringan Angel Di Maria membantu pasukannya menumpaskan Switzerland 1-0 selepas menyudahkan hantaran cantik oleh Lionel Messi.

Nancy nafi RUU keharmonian telah siap

Posted: 01 Jul 2014 08:29 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan tidak akan menggubal sesuatu undang-undang yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.
  
Beliau berkata kerajaan juga tidak akan melakukan sesuatu secara tergesa-gesa dan menafikan bahawa Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional telah siap dan akan dibentang kerajaan di Parlimen.
  
Nancy berkata sesuatu draf rang undang-undang perlulah melalui proses penggubalan yang ketat, dan isi kandungannya hendaklah tidak bercanggah dengan undang-undang tertinggi di negara ini iaitu Perlembagaan Persekutuan.
  
"Pada masa ini, saya sedang mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Mekah dan demi kepentingan rakyat Malaysia, adalah wajar isu ini diperjelas sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan semalam.
  
Jawatankuasa Perundangan dan Dasar-Dasar Mempromosi Keharmonian Nasional di bawah Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) sudah menyerahkan tiga draf rang undang-undang berkaitan kepada Nancy untuk diteliti.- Bernama

'Serangan seksual bukan sebahagian peranan diplomatik'

Posted: 01 Jul 2014 08:17 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Meluaskan kekebalan diplomatik kepada atase diplomatik yang dituduh pecah rumah dan melakukan serangan seksual, memberi isyarat bahawa kekebalan seumpama itu adalah lesen untuk melakukan jenayah.

Ketika menegaskan demikian dalam satu kenyataan semalam, Pengarah Eksekutif NGO Lawyers for Liberty, Eric Paulsen (kanan) berkata meluaskan kekebalan tersebut akan menjejaskan hubungan Malaysia-New Zealand.

Di samping itu, tegasnya, "penyalahgunaan" seperti itu juga boleh melemahkan hubungan dengan negara lain kerana Malaysia "tidak dapat menjamin bahawa diplomatnya akan menghormati undang-undang" di negara mereka bertugas.

Oleh itu, NGO berkenaan menggesa kerajaan supaya segera mengekstradisi Muhammad Rizalman Ismail - kakitangan pembantu pertahanan di konsulat Malaysia di Wellington - dan tidak hanya dibicarakan di mahkamah tentera di Malaysia.

Bukan setakat langgar disiplin

"Peguam for Liberty terkejut bahawa kerajaan Malaysia menegaskan ia memberi kekebalan diplomatik untuk melindungi Muhammad Rizalman (Ismail) daripadas apa yang jelas satu kes serius serangan seksual dan pecah rumah - perbuatan yang tiada berkaitan dengan peranan diplomatiknya.

"Kami mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa kekebalan diplomatik adalah penting untuk diplomat bekerja tanpa gangguan di negara asing, tetapi ia bukan satu lesen untuk melakukan jenayah dan sudah tentu tidak boleh digunakan dalam kes ini," katanya.

Beliau juga berkata Rizalman tidak sepatutnya hanya berdepan dengan mahkamah tentera seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Luar kerana dia bukan setakat dituduh melanggar disiplin.

"(Ianya) tidak munasabah kerana ini bukan isu disiplin tetapi kesalahan jenayah yang serius yang didakwa dilakukan terhadap seorang wanita," katanya.

Kerajaan P.Pinang beri peruntukan Ehya Ramadan

Posted: 01 Jul 2014 08:08 PM PDT

MOHD SABRI SAID 


GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM222,000 untuk program Ehya Ramadan bagi masjid dan surau utama di negeri ini, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Dalam perutusan khas sempena kedatangan Ramadan, beliau berharap peruntukan itu dapat merapatkan tali silaturrahim dan umat Islam tabah menghadapi ujian hidup, jasmani dan rohani.

"Saya kagum dengan kecekalan umat Islam menghadapi bulan Ramadan, maka sebab itu kerajaan negeri memperuntukkan RM222,000 untuk menyemarakkan program Ehya Ramadan tahun ini kepada seluruh masjid dan surau utama di Pulau Pinang.

"Tujuannya tiada lain semata-mata untuk merapatkan tali silaturrahim sesama kita rakyat Malaysia," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berharap Kompleks Mahkamah Syariah Tinggi Pulau Pinang dapat dibuka dengan rasmi pada bulan Ramadan ini.

Kerajaan negeri, ujarnya telah memperuntukkan RM100 juta bagi membina kompleks di Bukit Gantung, Jalan Scotland di atas tanah seluas 3.49 ekar.

"Mahkamah setinggi tujuh tingkat itu turut dibiayai oleh Kerajaan Pusat sebanyak RM36 juta," ujar beliau

Adakah Herald diberikan keadilan?

Posted: 01 Jul 2014 08:06 PM PDT

MOHAMED HANIPA MAIDIN


SECARA peribadi saya amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes rayuan Herald berkenaan isu nama Allah. Sebagai peguam, saya merasa pelik dengan keputusan tersebut. Sebagai Muslim, saya pula yakin akhbar Herald telah dinafikan keadilan dalam kes tersebut.

Sebelum saya ulas lanjut elok kita lihat kronologi kes tersebut. Menteri Dalam Negeri telah disaman oleh akhbar Herald kerana meletakkan syarat kelulusan permit akhbar Herald hanya jika nama Allah tidak digunakan oleh akhbar tersebut di dalam penerbitannya. Pihak Herald yang tidak puas hati dengan keputusan tersebut telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan tersebut. Hakim Lau Bee Lan telah membenarkan permohonan semakan kehakiman Herald atas alasan keputusan Menteri tersebut bercanggah dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak Menteri tidak berpuashati dengan keputusan itu dan merayu ke Mahkamah Rayuan. Di Mahkamah Rayuan tiga orang hakim sebulat suara membenarkan rayuan tersebut sekaligus keputusan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut dibatalkan. Antara alasan Mahkamah Rayuan ialah Allah adalah khusus untuk orang Islam maka keputusan Herald, akhbar Kristian, menggunakan nama Allah adalah tidak betul. Maka Menteri mempunyai kuasa untuk mengenakan syarat supaya Herald tidak menggunakan nama Allah di dalam penerbitannya.

Pihak Herald telah membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan selaku Mahkamah yang paling tinggi dalam piramid Mahkamah di Malaysia. Dari segi prosedur dan undang undang rayuan dari Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan bukan suatu yang automatik. Maksudnya jika mana-mana pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan, pihak tersebut perlu mendapatkan kebenaran untuk merayu (leave to appeal) daripada Mahkamah Persekutuan. Pada kebiasaannya, kebenaran untuk merayu akan diberikan jika sesuatu kes itu melibatkan kes kepentingan awam dan juga isu undang-undang atau perlembagaan yang penting untuk diputuskan.

Semasa saya mengendalikan kes pelajar sekolah yang dibuang sekolah kerana memakai serban, kami menang di Mahkamah Tinggi kemudian kalah di Mahkamah Rayuan dan mendapat kebenaran rayuan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan kerana isu tersebut melibatkan isu perlembagaan iaitu tentang isu makna kebebasan beragama di dalam Artikel 11 Perlembagaan.

Isu Herald bagi saya, isu yang mewajarkan Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran untuk merayu kerana rakyat dan dunia undang-undang di Malaysia memerlukan satu petunjuk yang jelas daripada Mahkamah Persekutuan berkenaan erti kebebasan beragama di bawah Artikel 11 khususnya Artikel 11 (4) Perlembagan Persekutuan.

Fakta bahawa tujuh orang hakim Mahkamah Persekutuan ditugaskan mendengar permohonan Herald bagi mendapatkan kebenaran rayuan menunjukkan bahawa ia suatu kes yang amat penting kerana setakat pengetahuan dan pengalaman saya, mungkin ini kali pertama tujuh orang hakim diarah mendengar permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu dan berakhir dengan kebenaran tidak diberikan. Amat-amat pelik.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan enggan mendengar rayuan Herald maka rakyat di negara ini, setakat ini, dipaksa menerima satu keputusan yang pelik yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan. Bagaimana tidak pelik jika diputuskan Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja di negara ini. Jika di negara Arab, orang Kristian boleh guna nama Allah. Bagaimanakah kita boleh pertahankan keputusan pelik Mahkamah Rayuan dan bagaimanakah Mahkamah Persekutuan enggan menjalankan peranannya sebagai penafsir muktamad Perlembagaan Persekutuan meneliti semula keputusan pelik tersebut.

Kalimah Allah dilarang untuk digunakan oleh Herald atas alasan orang Kristian mempunyai pemahaman yang lain dari orang Islam tentang kalimah tersebut. Hujah ini amat lucu kerana jika orang Kristian mempunyai pemahaman yang sama dengan orang Islam tentang kalimah Allah, ada bezakah kita orang Islam dengan Kristian?

Kedua, adakah kalimah Allah sahaja yang kita orang Islam berbeza dengan orang Kristian? Bagaimana pula dengan kalimah Isa dan Maryam? Bukankah pemahaman kita berbeza dengan mereka berkenaan kalimah Isa. Jika Kristian anggap Isa sebagai anak Allah bagaimanakah kita boleh benarkan Herald atau mana-mana Bible menggunakan kalimah Isa tanpa sebarang sekatan?

Di sinilah letaknya kebebasan agama yang Islam ajar kepada kita semua iaitu selagi mana seseorang di luar lingkungan atau orbit Islam maka mereka berhak berpegang kepada mana mana fahaman sesesat mana pun fahaman tersebut. Selagi mana kristian atau mana-mana agama atau fahaman mengguna apa-apa kalimah termasuk kalimah Allah dalam kalangan mereka sahaja, Islam menghormati hak tersebut kerana ia termasuk dalam hak kebebasan mengamalkan agama mereka. Islam bukan deen ijbari (agama berdasarkan paksaan) kerana ia adalah agama yang mempunyai keterangan yang jelas antara kebenaran dan kesesatan.

Ruh kebebasan yang Islam anjur itu juga ditiup masuk dalam Perlembagaan Persekutuan dengan wujudnya Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Artikel 11 adalah menepati semangat kebebasan agama yang Islam anjur. Bagi memastikan hak itu tidak disalah guna oleh mana-mana orang, maka Perlembagaan Persekutuan juga mewujudkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 11 (4) ini melarang orang bukan Islam seperti orang Kristian untuk mengedar Herald kepada orang Islam sama ada, kalimah Allah ada di dalam Herald atau tidak ada. Apa lagi yang orang Islam hendak setelah adanya Artikel 11 (4) yang sengaja diwujudkan bagi menjaga kepentingan Islam dan pengikutnya.

Apabila Herald yang diedarkan hanya kepada orang Kristian sahaja yang sepatutnya tidak menjadi masalah dengan Perlembagaan, tiba-tiba diganggu gugat oleh Mahkamah Rayuan yang menyempitkan hak orang bukan Islam, maka di manakah keadilan yang kita berbangga Islam dan Perlembagaan Persekutuan dikatakan menjaganya. Di mana pula Mahkamah Persekutuan sebagai benteng terakhir penjaga dan pengawal Perlembagaan.'

'Allamah Ibnu Al Qayyim telah sekian lama memberikan satu taujihat atau panduan yang amat berguna kepada kita apabila beliau menyatakan antara lain "Islam itu semuanya adil, semunya rahmat dan kasih sayang dan semunya hikmah maka apa sahaja yang keluar dari keadilan, keluar dari rahmat dan kasih sayang dan keluar dari hikmah ia bukan Islam..."

Adakah Herald telah diberikan keadilan di dalam kes kalimah Allah ini? Maaf saya ragu keadilan telah ditegakkan di dalam kes ini. -

Kenyataan Tun Hamid sarat emosi dan prejudis - MKPN

Posted: 01 Jul 2014 08:05 PM PDT

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja Undang-undang dan Polisi, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) kesal dengan kenyataan bekas Ketua Hakim Negara yang mempertikaikan kewibawaan MKPN dan melemparkan kesangsiaan kepada deraf rang undang-undang (RUU) baru yang dicadangkan.

Malah komentar Tun Abdul Hamid Mohammed itu dilihat tidak bersifat substantif sebaliknya lebih didorong emosi dan prejudis kepada kewujudan MKPN.

Dalam kenyataan bersama Ahli MKPN, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Lim Chee Wee dan Datuk Saifuddin Abdullah yang dikeluarkan semalam, mereka menyifatkan Abdul Hamid sebagai gagal memahami matlamat penubuhan MKPN dan pandangan beliau yang mengaitkan MKPN dengan pembangkang sebagai mengecewakan.

Berikut adalah kenyataan media MKPN:


Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi dan ahli MPKN, kami perlu memberikan beberapa penjelasan terhadap sikap kesangsian bekas Ketua Hakim Negara ini. Namun demikian kami agak kecewa kerana komentarnya tidak substantif kepada kandungan RUU sebaliknya komentarnya lebih terdorong kepada sikap emotif dan prejudis kepada kewujudan MKPN itu sendiri. Di bawah adalah beberapa fakta yang Tun Abdul Hamid Mohammed gagal memahami:

1.    MKPN dibentuk oleh kerajaan dan setiap pemilihan anggota dan pengerusinya telah diambil kriteria dan pencapaian tertentu. Perdana Menteri telah memberi tauliah kepada setiap anggota majlis dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Pengerusi untuk memimpin anggotanya dalam skop menyediakan 'blueprint' perpaduan nasional untuk diteliti oleh Kerajaan.

2.    Majlis ini tidak memperkenalkan dirinya sebagai pembangkang dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian walaupun tidak semua ahli majlis mesti dari parti yang memerintah kerajaan Persekutuan. Saya dari parti PAS, Dato' Saifuddin Abdullah dari UMNO, manakala yang lain adalah daripada masyarakat sivil dan aktivis dalam bidang masing-masing termasuk dari Majlis Peguam. Kami bekerja dalam satu pasukan dengan matlamat kerja yang jelas dan kami tidak berminat untuk bertanya orientasi sokongan politik seseorang dan berdebat kerananya dalam mesyuarat-mesyuarat kami.

3.    Kami dipimpin oleh seorang yang berpengalaman sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan sebelumnya menjawat beberapa jawatan tertinggi perkhidmatan awam. Saya tidak tahu sejauhmana dakwaan Tun Abdul Hamid Mohammed bahawa ia menolak jawatan Pengerusi MKPN yang pernah ditawarkan kepadanya atas alasan tidak mahu diperalatkan. Adakah Pengerusi sekarang rela diperalatkan? Implikasi kenyataan alasan beliau menolak amatlah mengecewakan dan ia tidak sepatutnya datang dari seorang bekas Ketua Hakim Negara.

4.    Tuduhan yang menyatakan deraf RUU yang dicadangkan dikuasai pembangkang dan beliau merujuk kepada Majlis Peguam secara khusus adalah satu lagi sikap yang mengecewakan daripada seorang bekas Ketua Hakim Negara. Beralasankan majlis makan malam yang didakwa seolah meraikan kemenangan pembangkang satu masa dahulu, ia sudah cukup bagi beliau untuk melabel Majlis Peguam sebagai pembangkang. Deraf RUU yang baik untuk rakyat Malaysia ini cuba dikaitkan dengan pembangkang walaupun Jawatankuasa yang menyediakan deraf ini terdiri daripada anggota pelbagai latarbelakang yang dimandatkan oleh MKPN.

5.    Kami juga menafikan sekeras-kerasnya deraf RUU yang dicadangkan adalah agenda menyisihkan Hak Melayu, Hak Raja-Raja dan Hak Islam, bahkan dengan RUU ini kesemua asas negara ini akan lebih terjamin apabila kebencian agama dan kaum dijadikan sebagai satu jenayah. Apakah kita mahu terus dijajah oleh Akta Hasutan 1948? Apakah kita mahu terus melihat kebencian agama dan kaum menentukan masadepan negara? Kami juga akur bahawa akhirnya Pejabat Peguam Negara akan menasihati Kabinet deraf ini sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk proses bacaan dan perbahasan. Kami yakin Kabinet akan memastikan semangat perundangan ini dapat diketengahkan dan dijadian akta, sebab itu ia tetap akan menjalani proses biasa, cuma bezanya deraf RUU ini melalui proses konsultasi awam yang meluas supaya rakyat melihatnya telus dan bertanggungjawab. Tidak ada apa yang hendak disembunyikan untuk kepentingan bersama.

Oleh kerana itu, kami menganggap MKPN mempunyai tugas yang besar dan kerana itu kenyataan Tun Abdul Hamid Mohammed mestilah diberi perhatian pada masa rakyat negara ini ingin menentukan apakah masa depan negara yang mereka mahu.

Persoalannya mudah, adakah kita mahu memelihara negara ini untuk maju ke hadapan atau kita terus diheret dengan mentaliti prejudis sehingga menjejaskan keamanan negara yang berbilang kaum ini?

Kami menasihati Tun Abdul Hamid Mohammed mengambil masa membaca deraf ini terlebih dahulu dan menyarankan agar kritikan dan cadangannya dibuat secara konstruktif dan substantif untuk menambahbaik deraf RUU ini.


Yang benar;

YB DATO' DR MUJAHID YUSOF RAWA
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi
Ahli MPKN

LIM CHEE WEE
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi
Ahli MPKN

DATO' SAIFUDDIN ABDULLAH
Anggota Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi
Ahli MPKN

Tiada ulasan: