DIALOG RAKYAT |
- Khalid juga berhak merasa kesal bila dia dimarahi
- Senjata makan tuan
- 1MDB telah muflis jika tidak kerana muslihat perakaunan
- Kelemahan undang-undang mudahkan syarikat pelancongan menipu 16 Julai 2014
- [VIDEO] Perempuan Mengamuk Kereta Kena Langgar Dikeji Pengguna Media Sosial
- Khalid mahu kekal MB hingga habis penggal
- NGO desak PBB hantar misi keamanan ke Gaza
- Ulang tahun ke-5 pemergian Beng Hock
- Isu MB: PAS Selangor sudah bertemu PAS Pusat
- Mesyuarat pertama JK Teknikal Hudud esok
- Himpunan besar-besaran solidariti untuk Gaza Jumaat ini
Khalid juga berhak merasa kesal bila dia dimarahi Posted: 16 Jul 2014 02:12 AM PDT
Semalam ketenangan dan kesyahduan Ramadhan terusik dengan ulah Sultan Selangor yang telah menegur dan menyatakan kekesalan terhadap ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad yang dianggap biadap apabila cuba hendak menghapuskan kuasa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang dibawah naungan baginda. Sultan Selangor itu mengaggap Khalid sebagai biadap dan tidak memahami perlembagaan tubuh kerajaan Selangor dimana kewujudan Mais adalah sebagai badan penasihat kepadanya dalam bidang agama. Khalid dan banyak orang terkejut dengan sikap Sultan Selangor itu. Apakah wajar seorang Sultan selepas tertubunnya Persekutuan Malaysia perlu bersikap begitu? Mungkin juga dengan telatah Sultan itu menyebabkan Khalid kesal kerana apa yang difahami oleh Sultan itu daripada cadangannya telah disalah tafsir ataupun diambil fahaman dari luar konteks kenyataannya. Baru-baru ini Khalid telah mencadangkan agar kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Mais dan Mais hanya perlu diberikan kuasa pelaksanaan sahaja. Ertinya kuasa eksekutif berada ditempat tertinggi sesuai dengan konsep Raja Berperlembagaan. Cadangan itu dibuat adalah untuk menjaga nama baik Sultan bukan seperti difahamkam. Ramai yang menyetujuinya. "Saya membuat cadangan itu bukan untuk merampas kuasa Sultan, tetapi untuk menjaga nama baik Sultan sebagai pelindung agama," demikian kata Khalid dipetik. Sebagai seorang ahli politik yang sangat mengerti mengenai realiti dan rythm politik negara ini tolollah Khalid kalau hendak bergasak dengan Sultan. Idea Khalid itu tumbuh ekoran beberapa insiden yang berlaku di Selangor dan menjadi isu kontroversi membabitkan Mais seperti rampasan kitab Bible dan serbuan ke majlis perkahwinan pasangan Muslim - Hindu yang dibuat tanpa mengikut peraturan sewajarnya dan siasatan mendalam. Jadi untuk mengelakkan nama Sultan dicemari dengan isu-isu seumpama itu beliau mencadangkan agar kuasa eksekutif Mais dihapuskan. Dalam kata lain, asingkan Sultan daripada terbabit dengan eksekutif yang selalunya menjadi perhatian politik. Bagi mereka yang faham dengan cadangan Khalid itu tidak ada masalah. Cadangan itu untuk mengharmonikan keadaan dan jauh sekali daripada merampas kuasa Sultan seperti mana difahamkan kepada Sultan itu. Sultan tetap juga berkuasa ke atas agama menurut peruntukan perlemnbagaan yang digaris lurus, tetapi bukannya bertindak menjadi eksekutif. Sekiranya Sulatan atau mana-mana institusi dinaunginya mempunyai kuasa eksekutif maka akan berlakulah pertindihan kuasa dalam sesuatu negeri itu. Pertindihan ini jelas dalam isu Bible dimana meletakkan MB terhoyong hanyang untuk menyelesaikannya. Bagi orang yang waras dan tidak ada niat menjadi jarum halus beracun, akan melihat cadangan Khalid itu satu cadangan murni yang menunjukkan kasih sayang dan penghormatannya seorang rakyat kepada sultan. Sebagai rakyat bertanggungjawab tentulah Khalid tidak mahu nama sultan dibabitkan dengan tindakan-tindakan bersifat politik seperti rampasan kitab Bible tempoh hari. Naiwatu Khalid untuk menghadap Sultan itu bagi menjelaskan maksud sebenarnya, baik. Iya patut segera dilakukan dan Sultan hendaklah membuka pintu istananya. Tindakan itu terpuji dan bertanggungjawab. Sultan harus menerima permintaan Khalid untuk berhadapan dan bersemuka secara telus dan tasamuh. Sultan tidak boleh menggunakan pakai apa yang diberikan atau dinasihat oleh sebelah pihak sahaja tanpa mendapat penjelasan langsung daripada Khalid. Keadilan adalah sebahagian daripada mahkota bagi seorang sultan. Apa lagi seperti mana disebut sultan hanya mendengar cadangan Khalid itu daripada laporan akhbar arus perdana 18 Julai lalu. Untuk pengetahuan, laporan akhbar arus perdana bukan tepat seratus peratus atau menterjemahkan konotasi sebenarnya, ia selalu ada agendanya tersembunyi dan "renyuk" dalam laporan. Sebagai seorang Sultan baginda harus mendapat maklumat dan penjelasan dari berbagai pihak. Tidak ada janji dalam al Quran menunjukkan akhbar arus perdana itu benar? Bagi saya cara Sultan Selangor menzahirkan kemarahan kepada Khalid dalam ucapan di khalayak di Masjid Pekan Sepang itu juga kurang sesuai dan bijaksana. Kalau baginda marah dan terkilan pun dengan Khalid baginda boleh panggil Khalid menghadapnya di istana atau dimana-mana secara eksklusif dan disitulah boleh dihemburkan api kemarahan. Sebagai Sultan, baginda boleh memanggil bila-bila masa saja, pagi petang, malam atau Subuh. Khalid sebagai orang Melayu akan akur kepada perintah Sultan. Memarahi orang di khalayak ramai, apa lagi orang berkenana tidak ada sama adalah perbuatan yang tidak bajaksana dan merendahkan kedudukan Sultan itu sendiri. Hatta walaupun seseorang itu raja namun ia tetap terikat dengan syariat dan adat istiadat. Pengungkitan sultan kepada Khalid yang bukan anak Selangor juga tidak wajar dan ia seolah-olah tidak memahami semangat federalisme. Semua rakyat dalam negeri ini secara hakikatnya adalah rakyat semua raja dan sultan. Manakala sultan atau raja pula adalah payung kepada semua orang yang bernaung di negerinya. Begitu juga cara sultan menyuruh Khalid melengkapkan diri memahami sejarah Selangor dan mendalami undang-undang terpakai di negeri itu terutamanya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, adalah kurang sempurna. Saranan itu merendahkan status Khalid sebagai seorang wakil rakyat. Saranan sama juga perlu dianjurkan kepada pegawai Mais. Bukan semua pegawai Mais memahami apa yang disebut itu dan fakeh undang-undang. Justeru kerana kurang memahami peruntukan undang-undang, roh undang-undang maka menyebabkan sultan menerima pemahaman yang silap yang akhirnya niat baik sultan menjadi sebaliknya | ||
Posted: 16 Jul 2014 02:09 AM PDT NOR MISWARY Kita sedari kecil seringkali diugut – diugut oleh kawan-kawan; diugut oleh guru-guru; malah, bila tiba saat berkhatan bagi kanak-kanak lelaki, Tok Mudim turut mengambil kesempatan mengugut. Kawan-kawan suka mengugut untuk tidak lagi ajak main bersama jika kita selalu ketinggalan berbasikal. Guru mengugut dengan denda bila kita selalu saja terlupa membawa buku latihan. Tok Mudim dengan pelbagai idea yang entah dari mana dia dapat, dan pelbagai lagi jenis ugutan yang timbul tenggalam sepanjang kedewasaan kita. Namun, kesemua ugutan-ugutan tersebut sebenarnya berupa larangan-larangan positif yang meransang semangat, agar kita berani mecabar ugutan-ugutan tersebut lalu kekal berani mempertahankannya. Ingat lagi bilamana kita bersama rakan-rakan lain cuba memanjat pokok mempelam (atau mangga) untuk memulas tangkal buahnya. Buah-buah yang begitu ranum dan hampir masak kuning memang menggiurkan sesiapa saja yang mendongak memandang dari bawah. Lalu siapa yang akan mengugut dan memarahi kita atas tindakan tersebut? "Hang naik lagi! Naik la lagi! Naik!" Terngiang-ngiang pekik-jerit ugutan ayah berbaur 'reverse psychology' dari celah tingkap rumah di saat kita hampir mencapai nikmat kemanisan buah mempelam. Lalu kita turun perlahan-lahan tanda mentaati ugutan tersebut. Larangan dan ugutan-ugutan seperti ini kemudiannya berlalu di sepanjang jalan kita membesar. Kedua ibu-bapa, sampai ke bilik-bilik darjah, malah menjalar mencapai ke tapak-tapak pasar malam, kita masih mendengar ugutan-ugutan tersebut kepada anak-anak yang membesar. Tetapi, tanpa kita sedar ia secara perlahan-lahan telah membina teras sifat ingin tahu kita. Ia telah membentuk suatu rasa yang aneh sebenarnya. Rasa ingin tahu di sebalik setiap larangan-larangan yang berupa negatif tetapi membawa roh postif dalam setiap laungannya. Maka bila berbondong-bondong anak-anak muda menawar diri untuk berkhidmat dan memberi bakti dalam parti Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sejak kecil telah dimomok dan diugut dengan pelbagai label, mereka ini sebenarnya menterjemahkan sifat ingin tahu tadi yang dibina atas ugutan-ugutan yang diterima sejak zaman lampau mereka dahulu. Larangan-larangan berupa ugutan seperti larangan memanjat pokok tadi sebenarnya telah berjaya membentuk perasaan ingin tahu yang akhirnya diterjemah ke dalam setiap proses menghadapi hidup dan perjuangannya termasuklah dalam urusan berpolitik kepartian. Nah. Senjata makan tuan bilamana kerajaan minoriti BN dan penghambat mereka membedil dengan pelbagai peluru kosong kepada mana-mana anak-anak muda yang berani melawan ugutan-ugutan mereka ini. Anak-anak muda ini kemudiannya terus memanjat dan memanjat mencapai mempelam lalu dikongsi pula dengan ayah yang memarahi tadi. Kata mereka pada ayah: "Ya ayah, memanjat tinggi mungkin jatuh, mencuba juga mungkin jatuh, tetapi mencapai kemanisan mempelam nikmat berbaloi, ayah!" Ayah lalu tersenyum sambil menjamah potongan mempelam. Tahniah buat mereka yang mengungguli perasaan ingin tahu ini dan berjaya membuka jalan pula buat mereka yang lain. Maka, kepada sesiapa yang masih berazam mengugut lain-lain anak muda tentang sebuah parti seperti DAP ini, waspadalah, kerana kalian mungkin melarang mereka ini memanjat pokok mempelam yang menyebabkan mereka akan naik lebih tinggi. – Roketkini.com | ||
1MDB telah muflis jika tidak kerana muslihat perakaunan Posted: 16 Jul 2014 02:06 AM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: DAP mempersoal kedudukan kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang nampaknya sekadar bergantung kepada penilaian semula asetnya bagi mengelak daripada jatuh muflis. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Kementerian Kewangan untuk menjelaskan kedudukan 1MDB yang didakwa mencipta keuntungan atas kertas daripada penilaian semula aset hartanahnya. "1MDB bergantung kepada keuntungan melalui penilaian semula aset sebanyak RM2.7 bilion bagi mencatat keuntungan sebanyak RM778 juta dan tidak menghiraukan kenaikan jumlah keterhutangan yang menjangkau RM42.3 bilion, iaitu hampir mencecah nilai jumlah asetnya sebanyak RM44.7 bilion," ujar Guan Eng dalam satu kenyataan. "1MDB sekali lagi menunjukkan bahawa ia tidak menghasilkan keuntungan tanpa mencipta keuntungan atas kertas daripada penilaian semula hartanah," dakwa Ahli Parlimen Bagan itu. Menurutnya, bagi tahun kewangan 2013 1MDB mencatat keuntungan selepas cukai sebabnyak RM778.2 juta hasil daripada penilaian semula hartanahnya yang memberikan pulangan RM2.7 bilion. Tanpa pulangan daripada penilaian semula itu, 1MDB sebenarnya kehilangan RM1.8 bilion. "Muslihat yang sama turut dilakukan untuk tahun kewangan 2012 apabila 1MDB mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM44.2 juta, hanya selepas membuat pulangan RM599.9 juta daripada langkah penilaian semula aset hartanahnya," tambah beliau. 1MDB menanggung liabiliti berjumlah RM42.3 bilion, dengan pembayaran tahunan berjumlah RM1.6 bilion, selain kerugian RM1.2 bilion daripada pengambilalihan aset tenaganya. Angka ini jauh lebih besar nilainya berbanding hutang Khazanah sebanyak RM37.4 bilion dan RM4.4 bilion hutang KWSP. "Ini menimbulkan kebimbangan besar berkenaan daya majunya bagi jangka panjang, termasuk persoalan sama ada hutangnya yang menggunung itu akan akhirnya menyebabkan 1MDB menjadi muflis dan bankrap," ujar beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Guan Eng turut menimbulkan pelbagai lagi masalah yang ditanggung syarikat pelaburan dan dana kekayaan negara itu, termasuk persoalan tentang kekerapan pertukaran juru audit, yang masuk kali ketiga sejak tahun 2009; kelewatan mengeluarkan laporan audit; premium mahal yang dibayar kepada aset tenaga serantau; sejumlah tunai yang disimpan di institusi pelaburan luar negara; serta kadar faedah tinggi yang dibayar untuk sesetengah terbitan bon. "Teknik perakaunan kreatif dengan bergantung kepada hasilan penilaian semula hartanah demi mencatat keuntungan mesti dihentikan. "Kementerian Kewangan mesti mengemukakan soalan-soalan yang betul tentang apa langkah yang diambil oleh pihak pengurusan untuk mengurangkan liabiliti besar 1MDB bernilai RM42.3 bilion," tegas Guan Eng. Sejak agensi pelaburan negara itu ditubuhkan pada tahun 2009, 1MDB telah berkembang menjadi sebuah syarikat dana kekayaan negara yang hampir sahaja menandingi saiz Khazanah. Aset 1MDB mencecah RM45 bilion setakat penghujung Mac 2013 berbanding RM64 bilion milik Khazanah. – Roketkini.com | ||
Kelemahan undang-undang mudahkan syarikat pelancongan menipu 16 Julai 2014 Posted: 16 Jul 2014 02:03 AM PDT Roketkini.com GEORGE TOWN: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan digesa mengambil tindakan terhadap terhadap pengarah syarikat pelancongan Lohas Premium, bukan sekadar membatalkan lesen syarikat tersebut. Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, tindakan perlu diambil kerana individu pengarah syarikat terbabit menipu orang ramai menggunakan tiga nama syarikat berbeza. "Hakikatnya, mereka tidak menggunakan syarikat berdaftar untuk mengiklan dan memasarkan produk pelancongan tapi menggunakan dua syarikat tidak berlesen," kata Zairil dalam satu kenyataan. Zairil sebelum ini menggesa tindakan diambil terhadap agensi pelancongan Lohas Premium kerana melakukan penipuan, namun sehingga kini kementerian berdiam diri. Lohas Premium didedahkan gagal memulangkan wang sekumpulan warga emas berjumlah RM10,000 selepas membatalkan pakej pelancongan ke Kemboja dua minggu sebelum tarikh berlepas. Manakala sepasang suami isteri dari Pulau Pinang, Phua Tat Teik dan Cynthia Lim, sejak Oktober tahun lalu sehingga kini belum menerima bayaran balik daripada Lohas setelah membeli pakej ke Kemboja bernilai RM1,785 walaupun perjalanan dibatalkan. Perkara ini dibangkitkan pada sidang Parlimen Jun lalu dan kementerian mengesahkan syarikat terbabit sudah disenarai hitam, namun pengarahnya masih menjalankan operasi seperti biasa dengan tiga nama berbeza. "Pada 16 Jun lalu saya menerima jawapan Parlimen dari Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazrin Aziz yang menyatakan sejak tahun 2009, 14 syarikat telah dibatalkan lesen termasuk Lohas Leisure Holiday. "Sebagai contoh, dalam laman web rasmi (www.lohas-premium.com), mereka menggunakan Lohas Premium Travel and Lifestyle, sedangkan diiklan Groupon tertulis dengan nama Lohas Premium Holidays. "Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) kini menyiasat kegiatan mereka. Disebabkan siasatan hanya dibuat terhadap Lohas Premium Travel and Lifestyle serta Lohas Premium Holidays, Lohas Premium berjaya melepaskan diri," ujarnya. Berdasarkan carian, ketiga-tiga syarikat tersebut Lohas Premium Travel and Lifestyle Sdn Bhd, Lohas Premium Holidays Sdn Bhd dan Lohas Premium Vacation Sdn Bhd dikongsi dua pengarah sama iaitu Chay Jia Er dan Chan Hiang Yang. Zairil menegaskan, perkara ini menimbulkan persoalan tentang Akta Industri Pelancongan 1992 yang hanya mempunyai kuasa mendenda atau membatalkan lesen agensi pelancongan berdaftar. "Dalam konteks ini, kita dapat lihat bagaimana Lohas Premium begitu licik menggunakan syarikat tidak berdaftar, kerana mereka tahu aduan akan dibuat terhadap syarikat yang menjual pakej. "Oleh kerana Lohas Premium Travel and Lifestyle dan Lohas Premium Holidays tidak berlesen, maka kementerian tidak dapat mengambil tindakan ke atas mereka hingga membolehkan Lohas Premium Vacation terus menikmati lesen sah tanpa sebarang masalah. "Ini menunjukkan undang-undang sedia ada begitu lemah. Setiap kali kementerian batalkan lesen, syarikat yang bermasalah bukan pengarahnya yang terus memintas sistem serta beroperasi seperti biasa melalui nama berbeza," kata Zairil. -Roketkini.com | ||
[VIDEO] Perempuan Mengamuk Kereta Kena Langgar Dikeji Pengguna Media Sosial Posted: 16 Jul 2014 01:56 AM PDT KELAB GREENBOCVideo gelagat seorang perempuan yang mengamuk kerana keretanya dilanggar seorang lelaki berumur menjadi trending di media sosial hari ini. Kejadian dikatakan dirakam di Kuantan bila kelihatan seorang perempuan mengamuk selepas keretanya dilanggar dari belakang. Tindakannya yang mengamuk di tengah-tengah jalan raya mengundang komen negatif pengguna media sosial. Antara amukan yang telah dilontarkan kepada lelaki yang melanggarnya termasuk "Ini kereta barulah bodoh!" sambil menghentak pengunci stereng ke atas kereta milik pelanggarnya. Kata caci yang turut dilontarkan termasuk "I don't care, pay me RM2000 now!", "you very stupid!" dan kata cacian berbaur perkauman kedengaran di penghujung video tersebut. Video yang dirakamkan itu telah dimuat naik di media sosial semalam. Antara komen-komen pengguna Twitter termasuk, Pada pandangan penulis, lelaki yang melanggar kereta perempuan itu adalah satu kemalangan yang tidak dapat dielakkan, namun tindakan perempuan itu menggunakan pengunci stereng untuk mengetuk kereta lelaki itu adalah satu perlakuan agresif di luar batas kemanusiaan. Ia sepatutnya tidak perlu berlaku. -astroawani | ||
Khalid mahu kekal MB hingga habis penggal Posted: 16 Jul 2014 01:36 AM PDT MALAYSIAKINI Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertekad untuk kekal menerajui Selangor sehingga pilihan raya umum akan datang. Katanya, beliau mahu mengambil masa bagi menunaikan janji kepada rakyat Selangor, yang memberi kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu. "Ini bulan Ramadhan. Saya dah nyatakan dulu yang saya mahu kekal sampai tamat penggal saya sepertimana saya janjikan kepada rakyat Selangor. "Saya telah mengangkat sumpah untuk menguruskan negeri ini sehingga pilihan raya akan datang," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco Selangor hari ini. Katanya lagi, beliau tidak gusar dengan tekanan ke atasnya agar berundur dari jawatan tersebut. "Saya dah biasa dengan tekanan ini," kata beliau ketika ditanya lanjut mengenai kritikan yang timbul ke atas pentadbirannya, termasuk dari rakan sekutu dan pemimpin partinya sendiri. Malah, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengakui bahawa parti itu sedang meneliti isu berhubung kedudukan Khalid sebagai menteri besar. | ||
NGO desak PBB hantar misi keamanan ke Gaza Posted: 16 Jul 2014 01:20 AM PDT Wakil Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB), Jabatan Keselamatan dan Sekuriti, Devendra Patel (kiri) ketika menemui Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar, Zafar Ahmad Abdul Ghani di pekarangan Wisma UN, Damansara Heights, hari ini. - FOTO SINAR HARIAN ONLINE-NIZAM ZAIN DAMANSARA HEIGHTS - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) didesak bertindak segera dengan menghantar misi keamanan ke Semenanjung Gaza untuk menguatkuasakan gencatan senjata dan memantau penyalahgunaan hak asasi manusia. Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar (Merhrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani menegaskan, langkah itu perlu bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai orang awam Palestin tidak berdosa dalam siri serangan udara yang dilancarkan tentera Israel sejak minggu lalu. Zafar Ahmad mendakwa, UN semakin kehilangan mandatnya apabila Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon terpaksa merayu kepada kerajaan Israel dan Palestin untuk gencatan senjata sedangkan perkara itu tidak berlaku. "Ia jelas menunjukkan UN hilang mandatnya untuk memberi jaminan keselamatan kepada negara ahlinya. "Kita mempunyai pelbagai undang-undang, deklarasi dan sumber untuk menyelamatkan mereka yang tidak berdosa ini daripada siri pembunuhan beramai-ramai," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Wisma UN, di sini, hari ini. Memorandum itu diserahkan kepada wakil PBB, Jabatan Keselamatan dan Sekuriti, Devendra Patel yang memberi jaminan perkara itu akan diberi perhatian serius. NGO itu mengemukakan lapan bantahan dan gesaan kepada PBB supaya isu keganasan dan kezaliman di Palestin mendapat tindakan segera. Antaranya PBB digesa supaya memastikan pasukan perubatan dari luar dibenarkan memasuki Gaza tanpa sekatan. Selain itu, NGO itu juga mendesak negara sekutu Israel supaya menghentikan bantuan ketenteraan dan kewangan serta-merta sehinggalah tentera Zionis itu menghentikan pembunuhan penduduk Palestin. NGO itu juga menggesa negara ahli PBB supaya memboikot semua produk keluaran Israel sekaligus dalam menghentikan pembunuhan itu. Di samping itu, Pertubuhan Negara Pengeskport Petroleum (Opec) juga didesak menghentikan serta-merta aktiviti mengesksport minyak ke negara sekutu Israel sehingga gencatan senjata dikuatkuasakan. Dalam pada itu, semua negara juga digesa menghentikan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Israel serta membebaskan rakyat Palestin yang dipenjara. Kemuncaknya ialah mengenakan pendakwaan terhadap bekas dan Perdana Menteri Israel di atas jenayah pembunuhan beramai-ramai. "Mereka mesti dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana membunuh penduduk Palestin dan melakukan jenayah melanggari hak kemanusiaan," katanya lagi. | ||
Ulang tahun ke-5 pemergian Beng Hock Posted: 16 Jul 2014 01:17 AM PDT Kes Beng Hock kini memasuki pusingan terakhir untuk menunggu keputusan Mahkamah Rayuan. Untuk media, sesuatu berita tidak bernilai seandainya hanya mengulangi kisah lama. Namun, apa yang kita tidak sedari, bahawa kepedihan yang sama diulangi keluarga mendiang sejak lima tahun lalu. Setiap kali perbicaraan berlangsung, setiap kali upacara peringatan diadakan, malah setiap kali wawancara dijalankan - keluarga Teoh terpaksa mengimbas semula kesedihan pemergian Beng Hock, ditusuk kezaliman yang dilakukan rejim ini. Dengan mudah kita sebagai orang luar menasihati agar keluarganya "reda" dengan apa yang berlaku. Namun apakah ia semudah begitu? Kematian tanpa jawapan, tanpa kebenaran, malah tiada seorang pun yang memohon maaf ke atas kehilangan nyawa seseorang manusia. Dengan tegas adik Beng Hock, Teoh Lee Lan berkata, "Selagi tiada jawapan daripada kerajaan ini, kami tetap tidak akan reda!" Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita gagal membayangkan ketabahan keluarga Teoh sepanjang lima tahun ini. Lee Lan terharu apabila orang yang tidak dikenalinya sebelum ini datang menghulurkan bantuan tanpa syarat, terluka apabila sesetengah datang untuk mencemuh dan mencacinya. Atas helaian petisyen, mereka menulis ayat-ayat yang mengguris hati, seperti "Padan muka Beng Hock ditimpa mala petaka". Ada pula yang bertanya, "Berapa pampasan kau dapat?" Dengan nada yang sebak, Lee Lan membalas, "Anda tidak tanya apakah pembunuh telah ditangkap, sebaliknya ditanya wang pampasan. Anda tidak terfikir, apakah keluarga saya mahu wang pampasan sebegini, seolah-olah wang adalah segala-galanya? Jika wang adalah segala-galanya, bolehkah saya membeli nyawa anak kau dengan wang?" Demikianlah adegan-adegan yang tidak kita ketahui di sebalik tabir. Lee Lan tetap yakin bahawa kebenaran akan terbongkar suatu hari nanti, meskipun sedar bahawa kita sedang berdepan dengan sistem negara yang cukup bobrok. Daripada mana beliau memperoleh kekuatannya, sedangkan semakin lama semakin sukar kita temui contoh yang berjaya menegakkan keadilan. Daripada kes bunuh Altantuya hinggalah kes rogol-bunuh Chee Gaik Yap, Malaysia telah menjadi negara yang sarat dengan jenayah tanpa penjenayah. Namun Lee Lan tetap menanam keyakinan dalam dirinya. Beliau terharu dengan apa yang diperkatakan mendiang Karpal Singh kepada anaknya. Ketika ditanya anaknya, apakah Karpal masih menaruh harapan sedangkan institusi kehakiman kita sudah bobrok sebegini rupa? Karpal sekadar menjawab, anda boleh menyatakan ketidakpuasan terhadap apa yang sedang berlaku, tetapi jangan sesekali hilang keyakinan anda. Malah Lee Lan sendiri pernah bertanya kepada Gobind Singh, tidakkah anda kecewa apabila perlu berdepan dengan penghakiman yang tidak adil? Ringkas sahaja jawapan Gobind, meskipun kecewa, kena ada orang yang usahakannya juga. Ketabahan Lee Lan menjadi "kedegilan" dari kaca mata masyarakat yang semakin leka. Namun Lee Lan mengambil iktibar daripada pengajaran lima tahun yang lalu. Beliau kesal sehingga hari ini, kerana ketidaksampaian untuk melakukan sesuatu bagi mengelakkan kematian Beng Hock. Seandainya sesiapa di sisi Beng Hock peka dengan risiko yang ada ketika Beng Hock dinafikan hak untuk bertemu dengan peguam, mungkin tragedi ini boleh dielakkan. Mereka mungkin memantau perkembangannya dengan lebih rapi, tidak memberi ruang untuk tragedi ini mengambil tempatnya. Maka Lee Lan enggan pasrah sehingga dirinya melakukan segala yang terbaik untuk mencari kebenaran. Beliau pantang apabila dikatakan "sia-sia sahaja usaha anda, kerana mustahil anda menemui kebenaran". Beliau menolak sokongan moral. Yang diperlukan adalah sokongan berbentuk tindakan. Lee Lan sedar dengan wujudnya andaian ini dan itu. Tetapi sebelum andaian bertukar menjadi kesimpulan, apa yang dipersoalkan adalah, "Anda boleh mengandaikan ini dan itu. Tetapi soalnya, adakah anda telah bertindak untuk menegakkan kebenaran?" Lee Lan berterus-terang, bahawa masyarakat kita mudah lupa. Masyarakat ini hanya mampu mengkritik ini dan itu, tetapi merasakan dirinya tidak kesampaian untuk melakukan sesuatu yang lebih daripada mengkritik. "Padahal kehadiran anda di mahkamah bukan untuk keluarga Teoh. Meskipun kebenaran ditemui suatu hari nanti, ia gagal mengembalikan nyawa abang saya. Kehadiran anda adalah sebagai tekanan untuk mendesak kerajaan, bahawa rakyat masih mengingati kes ini. Dan tekanan ini adalah untuk kebaikan kita yang masih hidup, kerana kitalah yang berpotensi untuk menjadi mangsa seterusnya seandainya kes sebegini tidak dipandang berat." Kata-kata Lee Lan berasas. Masyarakat ini padahal menyedari taktik kerajaan untuk mengheret kes ini sebegitu lamanya. Taktiknya supaya kes ini menjadi dingin dan akhirnya hilang dari ingatan masyarakat. Namun masyarakat kita jugalah yang menjayakan taktik kerajaan, kerana sememangnya kita memilih untuk mudah lupa dan tidak lagi mendesak agar kematian dalam tahanan tidak berulang. Tanggal 16 Julai 2014 menandakan ulang tahun kelima kematian misteri Beng Hock. Berapa lama lagi sanggup kita menunggu untuk keadilan ditegakkan? HARAKAHDAILY | ||
Isu MB: PAS Selangor sudah bertemu PAS Pusat Posted: 16 Jul 2014 01:11 AM PDT KUALA LUMPUR: PAS Selangor membidas pihak yang sengaja menggunakan dan mengaitkan nama PAS Selangor dalam kemelut kedudukan menteri besar negeri itu, lapor Selangor Kini. Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman berkata, PAS Selangor tidak pernah menyatakan pendirian kepada mana-mana pihak kononnya menyokong menteri besar ditukar. "PAS Selangor mendapati ada pihak yang menggunakan nama PAS Selangor berhubung suatu pendirian yang tidak benar," ujarnya kepada Selangor Kini. Sehubungan itu, tegasnya, PAS Selangor memberi peringatan kepada sesiapa sahaja yang cuba mengeluarkan kenyataan atas nama PAS Selangor bagi mengaut keuntungan politik. "Kita memberi peringatan kerana hanya Pesuruhjaya, Ketua Penerangan dan Setiausaha Perhubungan Negeri sahaja yang berkuasa membuat pendirian rasmi PAS Negeri Selangor," katanya yang juga Adun Paya Jaras. Menurutnya, PAS Selangor sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin PAS Pusat bagi menyatakan pandangan dan pendirian jelas berhubung isu itu. Kata beliau lagi, polemik menukarkan menteri besar yang baru harus dihentikan kerana tindakan itu tidak mempunyai asas yang kukuh. "Buat waktu ini kedudukan negeri sangat jelas iaitu Menteri Besar Selangor adalah Tan Sri Khalid Ibrahim dan kita harap dihentikan polemik yang boleh mengganggu pentadbiran kerajaan negeri," katanya. | ||
Mesyuarat pertama JK Teknikal Hudud esok Posted: 16 Jul 2014 01:08 AM PDT KOTA BAHARU: Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pusat yang diwujudkan bagi mengkaji pelaksanaan hukum hudud atau Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan, dijadual mengadakan mesyuarat pertamanya esok. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata mesyuarat berkenaan akan diadakan selepas perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Putrajaya. "Esok delegasi seramai lapan orang wakil dari Kelantan yang termasuk saya sendiri akan ke Putrajaya untuk berjumpa Datuk Seri Jamil Khir Baharom. "Selepas kunjungan itu, akan diadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pusat dan enam wakil daripada kita akan menyertai mesyuarat itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan di sini, Rabu. Pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyampaikan sumbangan Kuih Muih kepada 12 pasukan keselamatan antaranya Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan (JBPM) dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan. Pada 2 Mei lepas, Jamil Khir berkata sebuah jawatankuasa teknikal di peringkat pusat ditubuhkan bagi mengkaji pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelantan. Kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa itu setelah PAS mahu membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (hukum hudud) di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993. Pembentangan rang undang-undang persendirian itu bertujuan mendapatkan kebenaran melaksanakan hukum hudud itu seperti yang diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan. - Bernama | ||
Himpunan besar-besaran solidariti untuk Gaza Jumaat ini Posted: 16 Jul 2014 01:06 AM PDT Menurut Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Mohd Nasaie Ismail, himpunan akan bermula sejurus selesai solat Jumaat di dua lokasi iaitu di Masjid KLCC dan Masjid Tabung Haji. "Seterusnya akan bergerak ke kedutaan Amerika, Jalan Tun Razak. "Semua parti-parti politik, ngo dan seluruh orang ramai dijemput hadir bagi menyatakan solidariti terhadap penduduk Ghaza yang diserang Israel," katanya kepada Harakahdaily. Sehubungan itu, orang ramai katanya diseru membawa bersama bendera Malaysia dan Palestin bagi menyatakan kebersamaan Malaysia buat Palestin. Himpunan dijangka akan dipimpin oleh pimpinan kanan PAS termasuk Timbalan Presiden Tuan Haji Mohamad Sabu, Naib-naib Presiden DatukTuan Ibrahim Tuan Man, Dato Haji Husam Musa, Solehudin Ayub dan Ketua Pemuda PAS sendiri Suhaizan Kaiat. Antara NGO yang akan turut serta dalam himpunan ini pula termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Muslim Care, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) dan lain-lain. - HARAKAHDAILY |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan