Selasa, 15 Julai 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Skandal RM32 juta: PAS serah memo tuntut penjelasan Bank Rakyat

Posted: 15 Jul 2014 03:42 AM PDT

MUHAMMAD FAIZAL






KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyerahkan satu memorandum kepada Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak bagi meminta penjelasan berhubung dengan baki pinjaman RM32 juta membabitkan ahli perniagaan Deepak Jaikisnan.

Memorandum tersebut diterima Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Komukasi, Saliman Zainal di lobi Ibu Pejabat Bank Rakyat di sini hari ini.

Jelas Mahfuz, tindakan memberikan keistimewaan kepada seorang individu ingkar untuk ditangguhkan dari diambil sebarang tindakan undang-undang dan diberikan tempoh sepuluh tahun bagi menyelesaikan baki hutang adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar amalan perbankan yang pruden dan telus.

"Saya tidak nampak bagaimana arahan supaya Bank Rakyat memberikan keistimewaan kepada peminjam ingkar seperti Deepak dapat melindungi kepentingan Bank Rakyat dan ahli-ahlinya.

"Saya dimaklumkan bahawa bukan hanya pinjaman berjangka berbaki RM32 juta itu sahaja yang diberikan keistimewaan kepada Deepak melalui syarikat miliknya Carpet Tile Sdn Bhd.

"Bahkan terdapat dua lagi pembiayaan yang diberikan iaitu pinjaman sebanyak RM798 juta diberikan kepada syarikat pemaju hartanah Radiant Splendour Sdb Bhd dan juga RM40 juta kepada Deepak sendiri.

"Berdasarkan siasatan baki keseluruhan kedua-dua pinjaman tersebut perlu dibayar berserta baki RM32 juta adalah sekitar RM215 juta," jelasnya pada sidang media di lobi Bank Rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut meminta agar Bank Rakyat tampil membuat penjelasan segera bagi mengelakkan timbul pelbagai spekulasi serta mengembalikan keyakinan pelabur.

"Kita tuntut penjelasan adakah pembayaran balik baki pinjaman sebanyak RM32 juta itu turut meliputi jumlah denda lewat yang sepatutnya dikenakan ke atas peminjam berdasarkan perjanjian.

"Jika tidak, kita ingin tahu apakah alasan Bank Rakyat tidak mengenakannya, berapa kerugian yang bakal dialami atas sebab tidak mengenakan bayaran denda lewat dan adakah Lembaga Pengarah memberi kelulusan tersebut," soal beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar Bank Rakyat menjelaskan adakah sebarang tindakan akan diambil jika peminjam masih gagal menatuhi syarat pembayaran yang diperbaharui.

"Kita juga ingin tahu bentuk sekuriti atau cagaran yang dikenakan ke atas peminjam, apakah cara penyelesaian bagi baki ke semua pinjaman Deepak.

"Apakat tindakan selanjutnya yang diambil pihak bank untuk mendapatkan kembali baki pinjaman yang tertunggak bagi ketiga-tiga pinjaman ini," sambung beliau lagi.

Mahfuz berharap pihak bank akan memberi maklum balas seberapa segera mengenai persoalan yang ditimbulkan dan beliau akan meneliti penjelasan tersebut bagi memelihara kepentingan penyimpan-penyimpan di bank tersebut yang kebanyakan mereka dari golongan bumiputra. - HARAKAHDAILY

Surat terbuka kepada yang berjihad

Posted: 15 Jul 2014 03:40 AM PDT

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG


PERKATAAN jihad, menjadi sebutan di kalangan umum umat Islam sejak zaman berzaman, walau pun ramai yang  tidak memahaminya secara hukum feqah. Kini menjadi lumrah disebarkan oleh media dan menjadi sebutan juga di kalangan bukan Islam, lebih menjadi sasaran media apabila ada kalangan yang mengisytiharkan jihad berperang menentang kerajaan yang ditolak dan mengajak seluruh dunia menyertainya.

Jihad adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib diimani dan dihayati oleh penganut Islam dan sepatutnya difahami dengan betul oleh semua pihak mengikut tasawwurnya, supaya tidak mencalarkan ajaran Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Perlu diketahui bahawa setiap ajaran Islam itu ada feqahnya, bukan hanya perkara ibadat sahaja seperti solat, puasa, haji dan zakat. Maka jihad pun ada hukum feqahnya yang tersendiri.

Feqah bererti kefahaman yang betul, bermaksud diketahui secara ilmu yang sahih dan dilaksanakan dengan istiqamah dan faham terhadap setiap ajaran itu secara menyeluruh dan mendalam. Ianya meliputi cara amalan, syarat, rukun, adab, masa  dan matlamatnya yang dinyatakan oleh sumber utama ajaran islam, iaitu al-Quran, serta dihuraikan pelaksanaannya yang betul oleh Rasulullah S.A.W. dan para ulama yang mendalaminya  di sepanjang zaman dengan cara ilmu yang betul melalui bahasa al-Quran, di mana ada perkataannya yang tidak boleh diterjemah dalam bahasa lain dengan satu perkataan sahaja.

Seperti juga urusan ajaran Islam yang lain, hukum jihad itu ada di dalamnya perkara-perkara dasar yang tetap dan teguh, ada pula yang berkait dengan perkembangan kehidupan masyarakat yang berbeza dan berubah yang  semuanya berada dalam ilmu Allah dan kebijaksanaanya yang penuh rahmat dan adil.

Perkataan Jihad daripada  bahasa Arab, perkataan asalnya,  "al-Juhdu" dan "al-Jahdu", masdar atau nama terbitan daripada perkataan "Jahada". Al-Jahdu berarti masyaqqah, yakni kesukaran atau payah. Al-Juhdu pula bererti "Thoqah", yakni tenaga dan kemampuan kekuatan roh dan jasad, harta dan lain-lain daripada segala nikmat yang ada pada diri. Maka ditambah pula dengan makna yang lebih kuat, dipanjangkan huruf jim, menjadi "jaahada" dan melahirkan nama terbitan "jihad" atau "mujahadah", bermaksud menggemblengkan segala kemampuan daripada nikmat tenaga, diri dan harta dan lain-lain, serta menghadapi segala cabaran, kesulitan, kepayahan dan segala penderitaan dengan sepenuh kesungguhan.

Adapun Jihad mengikut istilah syarak (ajaran Islam) ialah melakukan amalan tersebut di atas bagi menegakkan ajaran Islam yang membawa rahmat dan adil terhadap semua, kerana Allah dengan iman dan ikhlas, sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jihad ini dilaksanakan sehingga membuktikan Islam sebenarnya adalah al-Din yang terbaik daripada segala ajaran yang lain, sama ada agama atau segala ideologi, teori dan sebagainya. Temanya ialah firman Allah:

"Dialah (Allah) Tuhan yang telah mengutuskan Rasulnya (Muhammad S.A.W), dengan petunjuk dan Din (agama dan cara hidup) yang sebenarnya , supaya menzahirkannya (dengan kemenangan) mengatasi segala ajaran yang lain walau pun dibenci oleh orang-orang musyrikin)"  (Surah Al Sof: 9-10)

Seterusnya dihuraikan oleh ayat-ayat al-Quran dalam surah yang banyak, melalui hukum syariat dan kisah para rasul dan umat terdahulu, serta pelaksanaan oleh Rasulullah S.A.W. yang mendapat bimbingan wahyu dan tarbiyah secara langsung daripada Allah, untuk menjadi ikutan seluruh umat sehingga hari kiamat.

Al-Quran dan hadis menghuraikan segala pendekatan amalan jihad, merangkumi damai dan berperang. Maka jihad itu tidak hanya berperang semata-mata, seperti mana tafsiran para orientalis musuh Islam dan mereka yang diheret oleh tafsiran yang salah ini, sehingga menjadikan perkataan jihad tidak lengkap kalau diterjemahkan dengan peperangan apatah lagi tersasar jauh kalau diterjemahkan dengan perkataan "Holy War". Peperangan hanya salah satu daripada lapangan jihad dan perdamaian pula menjadi lapangannya yang lebih luas.

Allah menyebut kisah semua para Rasul a.s. yang memulakan pendekatan jihad secara aman dan damai terlebih dahulu, menyampaikan mesej dengan hujah yang sepatutnya diterima oleh akal yang baik, walaupun memakan masa yang panjang, untuk memberi hujah dan tempoh yang seluas-luasnya supaya menusia menerima Islam.

Para rasul dan pengikutnya yang beriman diperintah bersabar yang menjadi rukun jihad. Hukuman secara keras, sama ada peperangan atau bencana secara langsung daripada Allah, dilakukan setelah batas kesabaran sampai kemuncaknya dan dirasakan segala kezaliman dan penipuan ajaran yang sesat oleh akal yang sempurna terus berlaku. Semua kisah tersebut bukan sekadar cerita, bahkan wajib menjadi petunjuk kepada Rasulullah S.A.W. dan umatnya sehingga hari kiamat.

Rasulullah S.A.W. menunjukkan pendekatan secara amali (praktikal). Baginda berusaha supaya manusia menerima Islam seramai mungkin tanpa paksaan, kerana paksaan itu tidak membawa Islam yang sebenarnya beriman, budiman dan beramal soleh. Atau memberi peluang bebas beragama dan boleh ditunjukkan apa dia Islam tanpa gangguan. Maka tentangan secara jihad juga dilakukan terhadap gangguan berdakwah mengikut kadarnya, walau pun berperang, tetapi wajib dengan syarat dan adab mengikut batas hukum Islam bagi mencegah kezaliman.

Al-Quran dan hadis juga menunjukkan betapa bersabar dengan teguran berani dan membina, menghadapi kerajaan yang zalim ketika berada dalam satu masyarakat bersama, adalah jihad akbar dengan hadis yang sahih. Menunjukkan bahawa pendekatan jihad menghadapi kemungkaran dalaman masyarakat berbeza dengan menghadapi penceroboh yang menyerang.

Kita wajib mengambil iktibar secara perbandingan, mengapa pendekatan Rasulullah S.A.W. dan generasi awal umat Islam yang berdakwah berjaya  menarik sehingga satu bangsa dan kaum semuanya menganut Islam dalam masa yang cepat. Mengapa kita di zaman kini sangat payah untuk menarik seorang sahaja supaya masuk Islam. Mereka yang masuk Islam di masa damai di zaman awal pula lebih besar jumlahnya.

Perbandingan juga perlu difahami, mengapa berperang jihad Rasulullah S.A.W. dan generasi awal berjaya menjatuhkan kuasa besar dunia Parsi dan Rom, walau pun bala tentera Islam terlalu kecil jumlahnya dan musuh pula berlipat ganda jumlahnya dengan senjata yang berlipat ganda kecanggihannya. Tentera Islam disambut oleh penduduk menjadi penyelamat daripada kezaliman, bukannya sebagai penjajah. Selepasnya rakyat menerima agama Islam tanpa paksaan, sehingga masih ada penganut bukan Islam, gereja, biara dan kuil lama sehingga zaman kini di tengah masyarakat Islam.

Di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab, apabila Maharaja Parsi (Kisra Yazdajur) yang berundur di perbatasan timur Parsi menulis surat kepada Maharaja China meminta bantuan bagi menyelamatkan takhtanya dan memberi amaran bahawa China juga berdepan dengan bahaya Islam. Maharaja China yang terlebih dahulu bertanyakan utusan Parsi: "Sifat dan cara orang Islam setelah menawan Parsi". Apabila disebut segala-galanya, Maharaja China membalas bahawa kemaraan Islam dan penganutnya yang  begitu sifatnya tidak boleh dihalang kerana rakyat menerimanya, lalu China mengadakan hubungan damai dengan semua kerajaan Islam dalam sejarahnya.

Bandingkan mengapa amalan jihad secara damai dan perang di zaman awal menjadikan Islam digeruni kerana rahmat dan adilnya, bahkan kedatangan bala tentera bersenjata disambut rakyat menjadi penyelamat bukannya penjajah. Adapun jihad terkini yang diisytiharkan oleh kalangan yang betapa tinggi semangat jihadnya digambarkan dengan wajah yang buruk terhadap Islam oleh kawan dan lebih lagi lawan. Adakah kerana semangat tanpa feqah yang boleh ditembusi oleh bisikan syaitan yang merosakkan amal dan orang yang beramal. Kalau syaitan boleh masuk ke dalam hati dan saf mereka yang sedang solat berjamaah, maka syaitan lebih mudah masuk ke dalam saf mareka yang berjihad tanpa feqahnya.

Contoh yang nyata kepada wajah umat Islam terkini ialah apabila mereka melontar jumrah di musim haji. Umat Islam dahulu melontar mengikut sunnah dengan feqah hajinya, menggunakan batu sebesar hujung jari dengan semangat  melontar syaitan. Kini ada jamaah haji yang melontar kawan sendiri dengan batu besar dan kasut kerana hajinya tidak ada feqah. Maka kalau berjihad tanpa mendalami feqahnya menerima padah amaran Rasulullah S.A.W. yang membunuh dan dibunuh kedua-duanya masuk neraka, bukannya mati syahid.

Percayalah bahawa jihad tetap wajib sehingga hari kiamat, berilmu adalah wajib disertakan dengan feqahnya  bagi mensahihkan amal yang wajib. Benarlah bahawa syaitan lebih mudah menggoda seratus orang lebai yang jahil daripada seorang yang berilmu. Paling bodoh ialah orang merasakan dirinya sudah cukup berilmu segala-galanya.

PRESIDEN PAS 

Unesco beri Langkawi ‘Kad Kuning’, berdepan risiko hilang status Geopark

Posted: 15 Jul 2014 03:36 AM PDT

OLEH HIMANSHU BHATT


Kereta kabel di Gunung Mat Chincang antara lokasi menarik di Langkawi dan keseluruhan pulau pelancongan itu mendapat pengiktirafan status Geopark daripada Unesco. – Gambar The Malaysian Insider, 15 Julai, 2014.
Kereta kabel di Gunung Mat Chincang antara lokasi menarik di Langkawi dan keseluruhan pulau pelancongan itu mendapat pengiktirafan status Geopark daripada Unesco. – Gambar The Malaysian Insider


Pulau peranginan terkenal negara, Langkawi dalam bahaya dan berdepan risiko hilang status Geopark daripada Unesco selepas badan dunia itu memberi amaran "Kad Kuning", susulan kegagalan pihak berkuasa mematuhi amalan pemuliharaan dan mapan yang ditetapkan.

Kumpulan sivil, FLAG (Friend of Langkawi Geopark) bertindak mengambil langkah memperbaiki keadaan tersebut sebelum Unesco melakukan pemeriksaan pertengahan tahun depan.

Sekiranya panel Unesco tidak yakin terdapat penambahbaikan yang signifikan, Langkawi akan diberi "Kad Merah" dan bakal menyebabkan hilang status Geopark serta-merta.

 Jawatankuasa FLAG Phisol Ishak berkata amat malang jika kerajaan tidak komited memenuhi syarat yang ditetapkan tahun depan.

"Jika mereka tidak komited, ia suatu yang buruk," katanya kepada The Malaysian Insider. "Ini adalah pengiktirafan pertama untuk Langkawi. Kita perlu ambil perhatian dengan serius," katanya.

Ditubuhkan awal tahun ini, FLAG menjadi nadi utama yang digerakkan penduduk dan operator pelancongan tempatan aktif mengadakan kempen kesedaran mengenai status Geopark tersebut.

Aktiviti terbaru mereka 'Kempen Tidak Gunakan Plastik' dijalankan sekitar bazaar Ramadan di Pekan Kuah pada hujung minggu lalu.

Phisol berkata, antara inisiatif lain yang akan diambil ialah merancang pemulihan semula Taman CHOGM di mana pemimpin seluruh negara Komanwel menanam pokok semasa mesyuarat bersejarah Ketua Negara Komanwel pada Oktober 1989.

Katanya, keputusan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju menjadi peneraju FLAG untuk membantu pemulihan Geopark dianggap penting. Langkawi menerima "Kad Kuning" semasa semakan panel pakar Unesco pada 9 Oktober, 2011.

 Status Geopark tersebut pada awalnya diperoleh pada 1 Jun, 2007 dan kemudian disambung sehingga 2015. Difahamkan, pakar tersebut pada awalnya mahu memberikan "Kad Merah" kepada Langkawi.

Bagaimanapun, Penasihat Saintifik Malaysia bagi Langkawi Global Geopark, Prof Ibrahim Komoo membuat rayuan dan menyakinkan panel penambahbaikan boleh dilakukan dan akhirnya Unesco bertindak memberikan "Kad Kuning".

Keputusan panel tersebut dilakukan berdasarkan laporan pemeriksan dua pegawai rasmi yang melawat tapak tersebut pada Julai 2011. Laporan tmendedahkan terdapat 27 kawasan yang tidak diselia mengikut ketetapan Unesco.

Secara umumnya, ia termasuk kegagalan untuk melaksanakan langkah pemuliharaan geologi tempatan dan persekitaran, tidak mendidik dan menjaga penduduk tempatan dan orang asal, serta tidak memiliki amalan pelancongan mengikut garis panduan dalam mempromosikan budaya tempatan dan alam sekitar.

Terdapat juga kegagalan dalam pembangunan dan perancangan di mana ia tidak sepatutnya merosakkan alam sekitar dan komuniti.

 Difahamkan, agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga Langkawi adalah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang berada di bawah Kementerian Kewangan.

Ketika ini terdapat 100 geopark di seluruh 30 negara. Status tersebut diberikan kepada tempat yang memiliki geologi istimewa dan ciri persekitaran yang unik. Setiap status geopark perlu disemak semula setiap empat tahun sekali. Langkawi merupakan Geopark Unesco pertama di rantau Asia Tenggara.

Tidak seperti tapak Unesco lain, di mana hanya sebahagian wilayah diberi status tersebut, seluruh pulau Langkawi dan sekitarnya yang meliputi 478 km persegi diberikan status Geopark tunggal.

Pakatan nafi mesyuarat bincang pengganti MB Selangor semalam

Posted: 15 Jul 2014 03:25 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER .


Sekretariat Pakatan Rakyat nafi mesyuarat semalam membincangkan isu masa depan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insider.
Sekretariat Pakatan Rakyat nafi mesyuarat semalam membincangkan isu masa depan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insider.


Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) menafikan laporan portal yang mendakwa mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat semalam membincangkan masa depan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 Penyelarasnya Shabrimi Sidek berkata kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam perlu dirujuk yang menyatakan masa depan Khalid hanya ditentukan Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

"Sekretariat Pakatan Rakyat merujuk beberapa rencana dalam media yang menyentuh mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat yang berlangsung semalam khusus dakwaan isu calon pengganti menteri besar Selangor.

 "Sekretariat mengulangi kenyataan yang dibuat Mustafa pada sidang media selepas mesyuarat tersebut isu menteri besar Selangor termasuk isu calon pengganti tidak dibincangkan dalam mesyuarat dan diserahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Portal Astro Awani Online hari ini melaporkan PAS dan DAP memberi persetujuan terhadap pelantikan Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR sebagai menteri besar Selangor dalam satu pertemuan tertutup PR semalam.

Bagaimanapun, keputusan akhir dijangka diputuskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Portal itu memetik sumber berkata nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga hampir pasti digugurkan daripada senarai calon menteri besar selepas PAS tidak memberi sokongan terhadap menteri besar wanita.

"PAS tidak setuju MB wanita, PAS mahu Azmin.DAP pula setuju Azmin tetapi hormat dan tunggu keputusan Anwar. Bagaimanapun Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan akhir sebelum raya.

"Pelantikan akan dibuat selepas hari raya seperti yang dimaklumkan sebelum ini," kata sumber itu kepada Astro Awani.

Sementara itu, Badan Perhubungan Umno Selangor mendakwa laporan yang mengatakan Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu akan diangkat sebagai menteri besar Selangor hanya gimik politik.

 Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata isu Pakatan Rakyat (PR) mahu menggugurkan Khalid sebagai menteri besar Selangor sudah lama berlarutan dan ia tidak lebih daripada "cakap tidak serupa bikin".

"Kita lihat saja sama ada mereka ini mampu atau tidak mengotakan apa yang dikata.

 "Pembangkang lebih kepada cakap tidak serupa bikin," katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Wanita layak jadi MB atau PM, tetapi bukan Wan Azizah kata Khairy

Posted: 15 Jul 2014 03:18 AM PDT

OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (gambar) menolak kenyataan Peguam Umno Datuk Hafarizam Harun yang mengatakan wanita tidak boleh menjadi menteri besar kerana mengalami uzur syarie.

 Khairy berkata, tugas utama menteri besar adalah mentadbir negeri, dan alasan tidak boleh mengiringi sultan ke majlis rasmi kerana keuzuran itu hanya perkara kecil.

 "Secara peribadi wanita amat layak menjadi menteri besar atau perdana menteri, tetapi bukan ‎wanita itu (Wan Azizah)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini merujuk kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata sedemikian dalam responsnya terhadap kenyataan Harafizam bahawa Dr Wan Azizah tidak boleh jadi menteri besar kerana menghadapi masalah keuzuran.

Penduduk bimbang projek undang tanah runtuh

Posted: 15 Jul 2014 03:11 AM PDT

 
Gegaran akibat projek pembinaan pangsapuri terbabit amat kuat dan dibimbangi akan menyebabkan berlakunya tanah runtuh


Taman Dahlia, Bukit Beruang


MELAKA: Kira-kira 1,000 penduduk Taman Dahlia, Bukit Beruang di sini hidup dalam ketakutan setelah kawasan bukit bersebelahan taman itu dimajukan. Projek pembinaan pangsapuri yang kini giat dijalankan dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya tanah runtuh.

Seorang penduduk, Sazali Kadlan, 57, mendakwa zon penampan yang dibina pemaju terlalu hampir dengan rumahnya iaitu kira-kira satu meter.

"Gegaran akibat projek pembinaan ini juga amat kuat dan saya bimbang berlakunya kejadian tanah runtuh yang mungkin akan menimpa rumah saya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dakwanya pemaju memberi jaminan struktur tanah di kawasan projek enam blok pangsapuri 26 tingkat itu mampu bertahan sehingga 100 tahun, namun tiada jaminan secara bertulis diberikan kepada penduduk.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Emily, 53, mendakwa beberapa jirannya telah berpindah dari taman perumahan itu disebabkan bimbang dengan keselamatan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Ismail Othman berkata kerajaan negeri akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk mengadakan pemeriksaan dan pemantauan di tapak pembinaan itu setiap bulan.

"Kita akan memastikan pemaju mengikut segala spesifikasi yang ditetapkan supaya tidak membahayakan keselamatan penduduk di taman ini," katanya. -Bernama

Perkasa: Kalau tidak boleh tembak lebih baik bawa kayu

Posted: 15 Jul 2014 03:09 AM PDT

 
Logik akal, sekiranya bawa senjata tetapi tidak boleh digunakan bila berjumpa musuh maka ia adalah sia-sia


Ibrahim_aliPETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong seratus peratus hasrat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk memohon kebenaran pasukan keselamatan melepaskan tembakan terhadap individu atau kumpulan yang menceroboh masuk kawasan perairan Sabah.

Menurut Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, hal ini patut dilakukan bagi menjamin keselamatan negara, rakyat dan anggota keselamatan.

"Logik akal, kalau pihak keselamatan bawa senjata, tetapi tidak boleh digunakan bila berjumpa musuh, kita sudah kalah.

"Maka lebih baik bawa 'kayu' saja. Tidak perlu habis duit rakyat beli senjata kalau tidak boleh digunakan," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, tindakan itu seolah-olah membiarkan pasukan keselamatan dibunuh dahulu oleh penceroboh.

Bahkan, Ibrahim turut menyatakan apa-apa jua peraturan, apatah lagi bagi menjaga kedaulatan negara haruslah mementingkan dahulu keselamatan 'pasukan keselamatan'.

"Atas prinsip maruah, keselamatan dan kedaulatan negara, Perkasa menggesa pihak kerajaan dan Perdana Menteri membenarkan hasrat TLDM untuk menembak penceroboh yang datang menceroboh ke negara kita," ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bahawa pihak keselamatan perlu mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) "shoot on sight" atau 'tembak apabila nampak' yang lebih jelas terhadap kumpulan bersenjata yang menceroboh perairan negara untuk mendapat kelulusan kerajaan sebelum melaksanakannya.

"SOP perlu jelas supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Manakala, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pasukan keselamatan harus diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara.

5 Pakar Malaysia Tabur Bakti Di Gaza

Posted: 15 Jul 2014 02:59 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Lima pakar perubatan dari Malaysia akan berlepas ke Semenanjung Gaza bagi membantu rakyat Palestin yang cedera ekoran serangan udara tentera Israel.

Mereka terdiri daripada pakar bedah ortopedik, pakar bius dan pakar neurologi yang akan berlepas Jumaat ini di bawah misi kecemasan Aman Palestin.

Mereka diketuai pakar bedah ortopedik Dr Mohamad Nor Sundari dari Pusat Perubatan Kuantan, Dr Zairul Nizam Zainol Fitri dari Hospital Pakar Senawang, Dr Mafeitzal Mamat dari Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara, Dr Hasbe Zuraina Abu Bakar dari Hospital Columbia, Setapak dan Dr Kamarul Al-Haq Abd Ghani dari Hospital Serdang.

Dr Mohamad memberitahu, mereka akan turut membawa bekalan ubat-ubatan.

Beliau yang pernah dua kali menyertai misi kemanusiaan ke Gaza sebelum ini menganggap misi kali ini lebih mencabar.

"Misi saya sebelum ini lebih kepada misi selepas peperangan atau berupa bantuan kemanusiaan. Tetapi kali ini ianya lebih besar, penduduk Gaza sedang diserang," katanya.

Dilaporkan, sekurang-kurangnya 121 rakyat Palestin terbunuh manakala beratus-ratus lagi cedera dalam serangan yang turut memusnahkan masjid, sekolah dan rumah.

Dr Mohamad pertama kali ke Gaza pada tahun 2009 dan kali kedua tahun lepas. Semasa berkhidmat di Gaza, beliau menjalankan 21 pembedahan ke atas 21 orang rakyat Gaza.

Selain Gaza, beliau pernah menyertai misi kemanusiaan di bawah Mercy Malaysia semasa berlaku konflik agama di Ambon, tsunami di Acheh dan gempa bumi di Pulau Nias, Sumatera.

Azmin Dilantik MB Selangor Selepas Raya?

Posted: 15 Jul 2014 02:55 AM PDT

Oleh: RAHMAH GHAZALI

 
 


Azmin (kiri) bersama Khalid.

 
 
 
PETALING JAYA: Selangor dilihat sudah bersedia untuk melantik Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang baharu tidak lama lagi, menggantikan tempat Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah menerima tekanan untuk melepaskan kedudukannya.

Walaupun sebelum ini dilaporkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak ada gesaan untuk menggantikan Khalid, kini sumber yang rapat dengan Azmin berkata peralihan kuasa itu akan dilakukan selepas Hari Raya.

"Selepas semuanya, pelantikan ini akan dibuat selepas Hari Raya," kata sumber itu, Selasa.

Sumber itu menambah, Azmin kini mendapat sokongan dari PAS, yang sebelum ini dianggap enggan menggantikan Khalid dengan Adun Bukit Antarabangsa itu.

Sumber itu menambah, DAP dan PAS telah memberi sokongan mereka terhadap pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar yang baharu pada mesyuarat tertutup Pakatan Rakyat yang diadakan pada Selasa.

"Walau bagaimanapun, keputusan muktamad akan dibuat oleh Anwar dalam masa terdekat nanti," kata sumber itu, sambil menambah satu mesyuarat presiden akan membincangkan mengenai perkara itu sebelum Hari Raya.

Sumber itu juga mendakwa bahawa pihak istana tidak mempunyai isu untuk menggantikan Khalid, 'selagi ia dilakukan mengikut perundangan negeri'.

Walau bagaimanapun, pada Selasa dilaporkan PAS Selangor berpendapat bahawa tugas Khalid hendaklah diteruskan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Mereka dikatakan memihak kepada Khalid, termasuk Pesuruhjaya PAS dan Exco negeri Selangor, Iskandar Samad, yang telah dinamakan sebagai pengganti untuk Khalid.

Exco PAS negeri, Dr Halimah Ali, Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi, juga mempertahankan Khalid.

DAP, ketika dihubungi, berkata satu perjanjian yang telah dibuat untuk menggantikan Khalid dengan Azmin telah tersebar.

"Tidak, kami langsung tidak pernah membincangkan perkara ini semua," kata Adun Kampung Tunk Lau Weng San.

Khalid telah berada di bawah tekanan untuk melepaskan jawatannya daripada rakan-rakan partinya berikutan beberapa kritikan yang dilemparkan berhubung cara beliau mengendalikan pelbagai isu di negeri ini.

Adun Pelabuhan Klang, yang kalah kepada Azmin dalam jawatan timbalan presiden PKR, juga dikenali sebagai seorang yang tidak berunding dengan parti mengenai dasar negara.

Mayat Model Estonia Akan Dikebumi Di Malaysia

Posted: 15 Jul 2014 02:49 AM PDT

DESIREE TRESA GASPER



Regina Soosalu
 
 
 
JOHOR BAHRU: Mayat model sambilan Estonia Regina Soosalu yang ditemui di pantai Pulau Rawa 1 Julai lalu akan dikebumikan di Malaysia.

Keluarganya membuat keputusan untuk membenarkan rakan-rakannya di Asia memberi penghormatan terakhir kepada Soosalu sebelum pengebumian yang dijangka akan diadakan pada minggu ini atau minggu depan.

Seorang ahli keluarga terdekat yang enggan namanya disiarkan berkata mereka masih tidak pasti bila pengebumian itu akan dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, upacara pengebumian hanya akan diadakan selepas Khamis.

"Kami membuat keputusan untuk tidak membawa jenazah balik ke Estonia kerana ia adalah mahal dan kami bukanlah dari golongan mewah," katanya melalui e-mel, Isnin.

Satu laporan sebelum ini, memetik konsul kehormat Estonia ke Malaysia Datuk Harbans Singh, sebagai berkata sebuah syarikat penerbangan asing meminta sehingga RM120,000 untuk membawa pulang mayat model ini ke tanah airnya.

"Sudah dua minggu sejak dia meninggal dunia dan kami hanya ingin menjalankan upacara itu secepat mungkin dan berada di sisinya," kata saudaranya itu, sambil menambah keluarganya masih belum membuat keputusan sama ada untuk menjalankan pengebumian di Kuala Lumpur atau Johor Baru.

Rakan-rakan keluarganya dan seorang pegawai Estonia di Malaysia telah membantu menyusun rancangan perjalanan dan dana untuk ahli keluarga yang mahu datang ke Malaysia.

"Kami adalah sebuah keluarga yang rapat dan ini telah menjadi satu tempoh cubaan untuk kami," kata ahli keluarganya, sambil menambah mereka amat tersentuh dengan sokongan yang diberikan kepada mereka.

"Kami ucapkan terima kasih, dari hati kami yang paling dalam. Dia adalah seorang yang manis, mesra dan penyayang," katanya.

Keluarga dan rakan-rakannya telah memuat naik pelbagai gambar zaman kanak-kanak dan remajanya di halaman Facebook khas.

Halaman, "In loving memory of Regina Soosalu 7/Dec/1984-1/July/2014" telah menerima lebih 2,100 'like' dengan ratusan mesej takziah dan 'post' lain yang dimuat naik oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asst Komisioner Datuk Hasnan Hassan berkata mereka tidak menetapkan sebarang tarikh untuk menyerahkan mayat Soosalu kepada keluarganya kerana siasatan kematiannya masih berjalan.

Para pegawai pada mulanya menyangka model berkenaan yang bercuti di pulau itu pada masa yang mayatnya ditemui, telah mati lemas.

Walau bagaimanapun, ia menjadi kes bunuh apabila penyiasat menemui "luka yang mencurigakan" di badannya.

Tujuh lelaki termasuk teman lelakinya, Tunku Alang Reza Tunku Ibrahim, kemudiannya disoal siasat atas kematian Soosalu.

Pada Selasa, polis berkata dua daripada lelaki yang ditahan telah dibebaskan tetapi difahamkan seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan kerabat kekal dalam tahanan polis.

Doktor Korea Selatan Mati Lemas Di Pulau Perhentian Besar

Posted: 15 Jul 2014 02:46 AM PDT

MSTAR ONLINE


 
 
 
BESUT: Seorang doktor lelaki dari Korea Selatan, yang bercuti bersama-sama isterinya di Pulau Perhentian Besar, ditemui lemas di pulau itu petang Isnin.

Dr Kim Byung Rim, 40, dari Daejeon, tiba di Pulau Perhentian Besar bersama isterinya Dr Lee Yong Joo, pada Sabtu lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noorzainy Mohd Noor berkata sebelum kejadian, Dr Kim yang memakai jaket keselamatan mandi manda di kawasan Pulau Perhentian Besar bersama-sama pelancong lain tanpa isterinya.

Beliau berkata mangsa kemudian dilaporkan berenang ke Shark Point (kawasan jerung), tidak jauh dari tempat beliau mula-mula mandi, untuk aktiviti snorkeling bersama pelancong lain tetapi tanpa memakai jaket keselamatannya.

"Apabila semua pelancong lain naik ke darat, Dr Kim didapati tidak bersama mereka. Isterinya yang menyedari kehilangannya telah memaklumkan kepada beberapa pelancong yang kemudian kembali ke tempat kejadian untuk mencarinya," katanya di sini.

Noorzainy berkata mayat Dr Kim ditemui terapung di permukaan laut di kawasan itu kira-kira jam 3.30 petang dan dihantar ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian dengan bot oleh para penduduk tetapi didapati telah meninggal dunia.

Beberapa penduduk kemudian memaklumkan kejadian itu di Pondok Polis Pulau Perhentian Besar.
Sementara itu, isteri mangsa Dr Lee berkata beliau dan suaminya datang ke pulau itu menaiki bas dari Pulau Pinang.

Mereka berdua bercuti di Pulau Perhentian setelah dimaklumkan rakan-rakannya mengenai keindahan pulau itu, katanya kepada media ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Besut, Selasa.

"Saya akan membawa mayat suami pulang ke Korea Selatan menerusi Singapura esok," katanya.

Mayat Dr Kim dihantar ke Hospital Besut untuk dibedah siasat pada 7 petang semalam.

Mayatnya akan dibawa ke Kuala Lumpur oleh pihak Kedutaan Korea Selatan yang tiba di sini.

Lawat makam pejuang sempena sambutan merdeka

Posted: 15 Jul 2014 02:40 AM PDT

KHAIRIL ABDUL RAHIM



Md Jusoh (kanan sekali) bersama urusetia sambutan bergambar di makam pahlawan Mat Kilau.    


JERANTUT: Lawatan ke makam tokoh-tokoh pejuang tanah air seperti Mat Kilau dan Pak Sako dimasukkan sebagai salah satu agenda dalam Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2014 anjuran PAS pada 15 dan 16 Ogos ini.

Selain daripada ziarah dan tahlil ke makam dua tokoh di Pulau Tawar (di sini) dan di Buntut Pulau (Temerloh) itu, penganjur juga akan mengadakan lawatan ke Lubuk Terua di Lanchang bagi pengisahan semula sejarah pejuang kemerdekaan Datuk Bahaman.

Pengarah urusetia program peringkat negeri Pahang Md Jusoh Darus berkata, agenda tersebut dimasukkan bagi merakam semula sejarah perjuangan kemerdekaan negara dengan lebih tepat dan adil.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, dengan maklumat sejarah yang tidak disembunyikan generasi muda terutamanya diharap dapat menilai semula perjuangan menuntut kemerdekaan yang sebenarnya.

Penganjur utama  program, Lajnah Penerangan PAS Pusat telah memilih  Temerloh sebagai tapak Majlis Pelancaran Program Sambutan Bulan Kemerdekaan 2014 pada 16 Ogos ini berdasarkan sejarah tempat perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Pada 30 Ogos 2014 majlis Sambutan Malam Ambang Merdeka 2014 akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.  Sementara majlis Sambutan Hari Malaysia 2014 dan Penutup Program Bulan Kemerdekaan 2014 di Sarawak pada 16 September.

Menurut Md Jusoh, program sambutan di Pahang akan bermula dari 15 Ogos dengan penganjuran aktiviti di dua lokasi iaitu di Pulau Tawar dan Lanchang sebelum bergerak secara berkonvoi ke destinasi tapak utama pelancaran sambutan.

"Bagaimanapun tapak utama sambutan belum dipastikan. Pihak penganjur telah memohon kebenaran untuk diadakan di Mini Stadium Temerloh dan padang awam Kubang Gajah. Alternatif lain ialah sama ada di padang awam Taman Temerloh Jaya atau laman Pusat  Komuniti Ahli Parlimen Temerloh," katanya.

Md Jusoh berkata demikian ketika melawat makam pahlawan Mat Kilau di sini bersama beberapa pemimpin PAS negeri.

Menurutnya, pada 15 Ogos Pengerusi sambutan peringkat pusat, Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan mengetuai program di Pulau Tawar dengan pengisian ziarah makam Mat Kilau serta pengkisahan perjuangan tokoh tersebut, tahlil perdana. jamuan rakyat dan ceramah bersama tokoh-tokoh lain.

Pada waktu yang sama Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan akan mengetuai majlis yang hampir serupa di Darul Ansar, Lanchang,

"Pada awal pagi 16 Ogos  konvoi merdeka yang disertai penunggang ARC serta pemimpin Pakatan Rakyat akan bergerak dari Pulau Tawar melalui Jengka 8, Kampung Awah dan bergerak ke tapak induk pelancaran sambutan merdeka di bandar Temerloh.

"Pada waktu yang sama konvoi dari Kampung Chempaka, Lanchang pula bergerak ke Temerloh melalui Sungai Kepong, Mentakab dan terus ke tapak Induk Pelancaran.
          
"Kita ada satu lagi konvoi berbasikal pada hari tersebut dari satu lagi lokasi bersejarah dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air iaitu Kampung Lubuk Kawah, Temerloh," jelasnya.

Md Jusoh berkata, konvoi merdeka yang datang dari tiga lokasi tersebut dijangka akan sampai ke tapak sekitar jam 10 pagi di mana di tapak tersebut tersebut akan bermula dengan persembahan kebudayaan rakyat.

Juga terdapat pameran sambutan setahun pertama Ahli Parlimen Temerloh dan tiga Adun PAS Pahang, hiburan oleh selebriti, pertandingan masakan tradisional dan mewarna oleh anjuran muslimat.

"Acara kemuncak ialah Ucapan Perasmian Pelancaran oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan pelancaran logo dan tagline sambutan.

"Selepas itu akan diadakan sidang media dan diakhiri dengan jamuan Idul Fitri Rakyat PAS Pahang," katanya. - HARAKAHDAILY

11 ahli parlimen Palestin ditangkap askar zionis Israel

Posted: 15 Jul 2014 02:38 AM PDT

HARAKAHDAILY


NABLUS: Tentera zionis Israel terus melakukan penindasan terhadap warga Palestin dengan melancarkan kempen memburu Ahli Parlimen Palestin (PLC) dan ahli akademik di Tebing Barat.

Para saksi mendedahkan bahawa tentera Israel menyerbu bandar Salfit dan menahan Ahli Parlimen Dr Omar Abdel Razek, yang juga Menteri Kewangan Palestin.

Beliau sebelum ini menghabiskan lebih daripada enam tahun dalam penjara Israel, manakala anaknya telah ditangkap oleh tentera Israel pada pertengahan bulan Jun.

Tentera Israel turut menahan Ahli Parlimen Khaled Said, dari Jenin, dan Ahli Parlimen Ibrahim Dahbour selepas menyerang rumah mereka.

Seorang lagi Ahli Parlimen, Dawoud Abu Sir juga ditangkap di rumahnya di Nablus. Beliau sebelum ini juga pernah ditahan di penjara Israel.

Pasukan tentera Israel juga turut menyerbu rumah pensyarah Universiti Al-Najah, Dr Abdel-Sattar Qassem.

Ahli Parlimen Fathi Qaraawi dan Riyad Raddad pula ditahan hari ini selepas rumah mereka dipecah masuk di Tulkarem.

Di Ramallah, tentera Israel menahan ahli Parlimen Fadel Hamdan, yang baru beberapa bulan menjalani pembedahan jantung.

Tentera Israel turut menahan Ahli Parlimen Riad Omla, dari bandar Kaplan selatan Nablus, dan Ahli Parlimen Mohammed Abu Jehich di rumahnya di bandar Idna selatan al-Khalil.

Ahli Parlimen Nayef Rajoub ditangkap dari rumahnya di bandar Dura petang semalam.

Jumlah tangkapan itu menjadikan seramai 36 ahli parlimen kini dalam tahanan penjara Israel.
Israel melakukan serangan pembunuhan ke atas jalur Gaza sejak Isnin minggu lalu yang mengakibatkan lebih 170 rakyat Palestin syahid, majoritinya orang awam, wanita dan kanak-kanak. - HARAKAHDAILY

Dun penentu nasib Abdul Khalid

Posted: 14 Jul 2014 11:43 PM PDT


DETIK DAILY



KEMELUT pertukaran Menteri Besar (MB) di Selangor semakin rumit dan menimbulkan krisis besar politik dalam negeri ini.

Berbagai desakan dan pihak terutamanya dalam kalangan ahli PR mahukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan berikutan kepimpinannya semakin dipersoalkan dalam rakan partinya sendiri.

Namun begitu, desakan itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana masih banyak faktor perlu diambil kira sebelum mendesaknya meletak jawatan. Salah satu proses tersebut adalah menerusi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 yang memungkinkan beliau meletak jawatan atau mengheret pihak istana dalam kemelut ini.

Bagi mengupas isu tersebut, wartawan Sinar Harian, Syairi Shaari mendapatkan penjelasan daripada pakar undang-undang dan perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari menyentuh undang-undang tubuh dalam pelantikan menteri baru dan krisis politik di Selangor.

Boleh Dr jelaskan sejauh mana peranan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 dalam pelantikan MB?

DR ABDUL AZIZ : Semua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah negara Komanwel adalah sama dari segi pelantikannya dan cuma nombor dalam undang-undang tubuh itu yang berbeza. Mungkin terdapat perbezaan sedikit apabila membaca syarat undang-undang tubuh ini seperti di negeri beraja terkandung syarat iaitu menteri besar itu mesti Melayu dan Islam. Namun begitu, dari segi syarat jantina tiada disebutkan.

Ini bermakna, jika ada cadangan untuk calonkan Adun Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim jadi MB,  perkara ini tiada masalah. Mungkin dari pihak istana tidak perkenan dengan calon tetapi dari sudut perlembagaan undang-undang tubuh, perkara ini dibenarkan. Ia tidak seperti raja di mana syaratnya adalah lelaki tetapi dalam jawatan politik, ia tiada masalah.

Apa yang akan menjadi sekatan kepada pelantikan ini?

DR ABDUL AZIZ : Dalam perkara ini, sekatan mungkin dari segi syarat bangsa dan agama tetapi paling penting calon adalah seorang Adun negeri. Kalau di tempat lain, syarat Melayu dan Islam ini tidak disebutkan berbanding di sembilan negeri yang mempunyai raja dan merupakan sejarah. Tetapi, sebelum zaman merdeka, lantikan ini adalah lantikan peribadi oleh sultan.

Bagaimanapun, bila berlakunya pihak istana meminta tiga nama calon maka kita sudah kembali kepada zaman lama. Ingin saya tegaskan bahawa pihak istana tidak boleh campur tangan dalam menentukan apa yang di suka atau tidak dan tidak boleh menentukan syarat. Walaupun kita akur pihak istana mungkin selesa dengan calon tersebut, itu tidak penting kerana kerajaan yang ditubuhkan adalah hak dan urusan dewan.

Saya percaya bila ada campur tangan pihak istana, ia pastinya akan menimbulkan masalah. Sebagai contoh, jika kerajaan itu gagal berfungsi, adakah kita mahu heret istana dalam masalah tersebut. Prinsipnya, kerajaan bertanggungjawab itu akan dinilai bukanlah di atas dasar istana malah kita tidak mahu istana dipalit dengan masalah. Ini bukan soal menolak sultan tetapi kerajaan itu adalah milik rakyat.

Apakah kuasa sultan menerusi undang-undang tubuh?

DR ABDUL AZIZ :
Walaupun syarat yang ditetapkan iaitu Melayu dan Islam, istana boleh ketepikan syarat tersebut jika Melayu itu tidak berkelayakan seperti buta huruf, menimbulkan kesulitan atau tiada Melayu langsung.

Undang-undang tubuh memberi laluan kepada sultan untuk mengetepikan syarat itu tetapi calon yang difikirkan itu mestilah mendapat majoriti kepercayaan dewan dan itu paling asas.

Begitu juga dengan pembubaran dewan, sultan mempunyai budi bicara tertentu tetapi mestilah dengan alasan kukuh. Sekiranya dewan tidak mahu permintaan pertukaran dewan tetapi keadaan dewan kecoh, maka undi percaya boleh dilakukan.


Apakah kelebihan undang-undang tubuh?

DR ABDUL AZIZ :
Syarat undang-undang tubuh ini berbeza dengan negeri beraja atau tiada raja. Ia ditubuhkan kerana mahu mengamalkan demokrasi berparlimen dan pada masa sama mahu kekalkan sejarah.

Namun jelasnya, MB itu mestilah Melayu dan Islam dan begitu juga syarat  sama diletakkan kepada pelantikan setiausaha kerajaan dan ketua pentadbir kerajaan. Ini berbeza dengan jawatan perdana menteri dan ketua setiausaha negara.

Bagaimana Dr melihat kemelut PR dalam isu pelantikan MB Selangor baru?

DR ABDUL AZIZ : 
Saya melihat tiada isu di Selangor, lagi-lagi isu pertukaran MB Selangor ini apabila PKR dan DAP sebulat suara dan majoriti Pas pula setuju dalam perkara ini. Kalau lihat  isunya sekarang, majoriti yang didominasi PR mahukan MB baru.

Soal dan dasarnya sekarang, kerajaan pusat dan negeri adalah bertanggungjawab kepada dewan dan kita mahu elakkan pihak istana terlibat dengan masalah rutin dan remeh. Kita tidak mahu istana tercemar dan dalam konteks Malaysia, istana mempunyai tanggungjawab menjaga soal agama dan itu lebih penting.

Tetapi sekiranya campur tangan pihak istana itu berpotensi menyebabkan kontroversi, adalah lebih baik pihak istana tidak memihak kepada mana-mana pihak.

Berbalik kepada isu MB, sekiranya MB Selangor meletak jawatan, adakah exco lain perlu bertindak sama?

DR ABDUL AZIZ :
Prinsipnya, apabila MB atau perdana menteri meletak jawatan, seluruh kabinet dan exco perlu meletak jawatan walaupun ada pihak yang tidak mahu. Secara automatiknya, semua ketua kerajaan tiada lagi kuasa dan undang-undang jelas apabila MB letak jawatan, digugurkan atau mati, kerajaan terus terbubar dan bukan lagi anggota kerajaan.

Melihat kedudukan kerusi Dun yang dimonopoli  Pas, apakah terdapat kesan sekiranya Pas menuntut jawatan MB?

DR ABDUL AZIZ :
Umumnya, dari segi politik akan ada kesannya kerana kebiasaannya majoriti adalah penentu. Tetapi perlu juga diingatkan dalam isu ini, walaupun Pas mendominasi kerusi, adakah PKR dan DAP akan menyokong Pas? Memang kita ada dengar desas-desus Pas mahu calonnya jadi MB  kerana syarat Melayu dan Islam tetapi masalahnya bolehkah Pas peroleh sokongan.

Jika dilihat kepada kerusi, Pas memperoleh 15 kerusi namun PKR dan DAP apabila digabungkan mempunyai 28 kerusi dan sama ada Pas boleh mendapatkan 28 sokongan dalam dewan. Dari segi politiknya, ini adalah satu angan-angan yang tidak berasas. Undang-undang mungkin memberi majoriti kepada Pas tetapi parti lain mungkin tidak menyokong. Dimaklumkan juga DAP tidak akan menyokong Pas dalam pelantikan ini dan dalam proses demokrasi, takkan Pas mahu gunakan pengaruh atas dasar feudal kerana kerajaan wujud adalah atas dasar kekuatan.

Bagaimana jika MB enggan undur?

DR ABDUL AZIZ :
Ini pernah berlaku kepada bekas MB Selangor, Datuk Harun Idris (1964-1975) apabila enggan melepaskan jawatan walaupun didesak  Umno setelah undi tidak percaya dilakukan dan begitu juga bekas MB Kelantan, Datuk Muhamed Nasir pada tahun (1973 -1978) yang digulingkan secara undi tidak percaya. Jadi mustahil perkara ini tidak akan berlaku di Selangor apabila MB tiada pengaruh.
Walaupun undang-undang tubuh atau perlembagaan tidak menyebut perkara ini, tetapi jawatan MB adalah jawatan politik.

Jika sudah ada undi tidak percaya dan ditolak oleh parti maka dia kena berundur. Walaupun dia masih Adun, dia duduki jawatan tersebut di atas majoriti dan perlu akur sekiranya sudah mendapat isyarat parti untuk lepaskan jawatan.
Tapi dalam situasi di Selangor sekarang, walaupun pernah berlaku kepada Datuk Harun, mungkin parti merasakan dengan membuat undi tidak percaya, ia bukanlah pilihan yang sesuai sekarang.

Apa yang boleh disimpulkan dengan krisis politik MB Selangor?

DR ABDUL AZIZ :
Saya boleh simpulkan bahawa MB Selangor kini sudah tidak ada kedudukan dalam parti. Bagi kebanyakan negara dalam Komanwel, kebiasaannya ketua kerajaan adalah pemimpin parti sebagaimana perdana menteri merupakan pemimpin parti.

Berbeza dengan isu di Selangor, senario menunjukkan kesulitan apabila seseorang itu bukan pemimpin parti atau individu itu cuba menunjukkan bebas. Berbeza seperti di Pulau Pinang di mana Lim Guan Eng merupakan Setiausaha Agung DAP dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan Presiden Pas.

Untuk memudahkan parti, ketua kerajaan adalah pemimpin parti. Di sinilah masalah apabila jawatan parti tidak seragam. Di Selangor, jawatan tertinggi PR dipegang orang lain dan jawatan MB pula disandang orang lain. Oleh itu, untuk memudahkan hubungan parti, ketua kerajaan hendaklah juga pemimpin parti.

Apa yang berlaku di Selangor, berlakulah persaingan  kerana kedua-dua pemimpin berbeza kerana masing-masing ada kuasa dan wilayahnya. Kalau MB itu laksanakan dasar parti, mungkin tidak menimbulkanmasalah tapi kalau dia nafikan politik itu dengan pembawaan sendiri, ini akan menimbulkan konflik.

Kenapa marah dengan istilah 'awek cun'?

Posted: 14 Jul 2014 11:41 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kenapa marah dengan istilah 'awek cun'?

Itu adalah soalan pertama yang saya fikirkan apabila terbaca tentang tindakan RoketKini menarik kembali penggunaan istilah itu dalam rencana mereka.

Ia pada asalnya digunakan untuk menggambarkan seorang anggota baru DAP yang merupakan perempuan Melayu bertudung berusia 25 tahun, berkulit cerah tanpa cela serta bermata bundar.

Saya bertanyakan soalan itu kerana istilah 'awek cun' adalah percakapan harian yang membawa maksud 'perempuan cantik' - dan anggota DAP itu sememangnya cantik.

'Awek cun' kemudiannya diganti kepada 'wanita muda' atas alasan ia satu slanga yang "menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak".

Secara tersiratnya, "rasa kurang senang" itu adalah 'serangan' kepada salah satu ciri universal wanita iaitu memiliki kemahiran untuk menjadi cantik.

Kecantikan itu sendiri adalah satu bentuk kebijaksanaan.

Cantik perlu kepintaran

Walaupun pada luarannya kelihatan mudah, usaha untuk menjadi cantik sebenarnya memerlukan kepintaran, kerja keras dan pemerhatian yang tajam, serta bergerak seiring dengan zaman.

Menjadi cantik memerlukan kepintaran kerana lihatlah di sekeliling kita, bukan semua wanita yang kita kenali bijak merias wajah untuk menyerlahkan kecantikan semula jadi wajah mereka.

Tanpa kerja keras dan pemerhatian yang tajam, mustahil seorang wanita akan mampu memilih serta mengenakan pakaian yang anggun dan menawan serta memukau pandangan mereka yang melihatnya.

Bergerak seiring dengan zaman pula memerlukan seorang wanita itu tahu gaya terkini yang hangat di pasaran dan tidak menggayakan dirinya pada tahun 2014 dengan trend yang popular pada tahun 60-an.

Justeru, memperkecilkan usaha-usaha yang dilakukan oleh seorang wanita untuk menjadi cantik itu sendiri adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan wanita.

Sememangnya, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan namun, dalam arena politik apabila kecantikan wanita itu diserlahkan, ia menjadi satu masalah.

Dalam reaksi susulan kepada rencana itu, Michelle Yesudas dari Lawyers of Liberty dilapor menyifatkan penyerlahan kecantikan seorang wanita dalam politik sebagai "kuno, bukan satu aspirasi politik dan satu bentuk objektifikasi wanita."

Kualiti kuno malar segar

Kecantikan adalah kualiti yang tidak pernah kuno malah ia malar segar dan tidak lekang dek zaman.

Seorang wanita boleh sahaja memilih untuk tampil dan kekal cantik tanpa mengira usianya.

Malangnya, kecantikan wanita tidak akan pernah menjadi aspirasi politik kerana ahli politik tahu bicara tentang perkara itu akan menyerang fikrah wanita-wanita yang malas berusaha untuk menjadi lebih cantik - dan ia bermakna kurang undi buat mereka.

Dakwaan meraikan kecantikan wanita sebagai 'objektifikasi wanita' juga tidak tepat.

Ini kerana kita meraikan kecantikan anggota baru DAP itu yang bersifat peribadi dan unik - beliau tetap nampak cun dan cantik walaupun memilih untuk bertudung tanpa mempamerkan mahkota wanitanya iaitu rambut beliau.

Justeru, raikanlah kebijaksanaan dan ketinggian martabat wanita dengan meraikan kecantikan mereka.



AHMAD FADLI KC atau nama lainnya Teruna Wangi masih menunggu restu ibunya untuk keluar mencuba nasib untuk bertemu janji dengan pelakon cun Lana Nordin.

Bolasepak, Brazil Dan UMNO

Posted: 14 Jul 2014 11:39 PM PDT




Oleh Shahbudin Husin


Piala Dunia 2014 telah pun melabuhkan tirainya. Sebagaimana yang diketahui, Jerman telah pun muncul juara dengan menewaskan Argentina 1-0 dalam perlawanan akhir yang mendebar dan menghiburkan semua peminat bolasepak di seluruh dunia. Atas semangat berpasukan yang tinggi dan bagaimana gigihnya Jerman mencipta pelbagai produk yang diterima di seluruh dunia seperti Mercedes, BMW dan Audi, begitulah juga gigihnya mereka berusaha mencipta kemenangan kali ini.
 
Kemenangan Jerman sememangnya layak dimiliki berdasarkan prestasi pasukan itu sejak peringkat awal lagi. Tanpa bintang utama yang menjadi pujaan dunia, satu-satunya yang menjadi sandaran mereka ialah semangat berpasukan di kalangan semua pemainnya.

Lantaran itu, kemenangan Jerman tidaklah mengejutkan. Yang lebih mengejutkan dalam Piala Dunia kali ini ialah prestasi pasukan Brazil. Bermain di negara sendiri dan bersandarkan kebanyakan pemainnya yang gah mencipta nama di Eropah dan dikenali di seluruh dunia, Brazil pada awalnya dijangka lebih berpotensi menjuarai Piala Dunia kali ini.

Malangnya, bukan saja piala kejuaraan jauh dari genggaman, malah kekalahan 1-7 ditangan Jerman adalah suatu episod yang memalukan bagi gergasi Amerika Selatan itu. Lebih buruk lagi, dalam penentuan tempat ketiga dan keempat pula, Brazil juga tewas 0-3 kepada Belanda.

Kenapakah prestasi Brazil begitu buruk?

Jika diperhatikan, corak permainan Brazil kali ini tidak lagi seperti dulu. Gaya samba yang menjadi identiti pasukan itu sudah lenyap sama-sekali. Kita tidak lagi lagi terhibur melihat persembahan Brazil sepertimana era gemilang yang dicetuskan oleh pemain seperti Pele, Socrates, Zico, Romario, Roberto Carlos, Cafu, Ronaldo, Ronaldinho dan ramai lagi pada suatu ketika dahulu.

Pasukan Brazil kali ini telah membuang sama-sekali tradisi samba yang menjadi imejnya selama ini. Dengan sebahagian besar pemainnya sekarang mencipta nama di pelbagai liga ternama di Eropah, gaya permainan Brazil juga sudah seperti gaya Eropah. Corak permainan mereka sudah tidak banyak berbeza dengan England, Sepanyol, Italy, Jerman mahupun Belanda.

Dengan mengubah gaya permainan itulah yang menjadi punca utama mereka mudah diratah oleh Jerman dan Belanda yang sememangnya sudah masak dengan corak sedemikian rupa.

Faktor-faktor lain seperti kepimpinan, pemilihan pemain dan jurulatih mungkin hanya faktor sampingan yang menyebabkan prestasi mereka paling buruk dalam kejohanan Piala Dunia kali ini, tetapi faktor sebenarnya ialah kerana Brazil sudah membuang tradisi samba yang menjadi kebanggaannya selama ini.

Jika Brazil merudum kerana membuang tradisinya, UMNO yang menjadi kebanggaan orang Melayu sejak lebih 50 tahun lalu juga sedang mengalami evolusi yang sama. Sejak 2008, UMNO mengalami prestasi buruk dan hampir ditolak oleh orang-orang Melayu sendiri, sebahagiannya adalah kerana UMNO juga turut membuang tradisinya.

Sejak sekian lama, tradisi UMNO ialah berkhidmat kepada rakyat dan mengutamakan kepentingan mereka. Walaupun sebelum 2008 ada juga isu-isu salah laku pemimpin, mengutamakan kroni, nepotisme, pemimpin memgumpul kekayaan dan sebagainya, tetapi gejala itu paling teruk sebaik Pak Lah mengambil alih pentadbiran negara pada 2003.

Harapan rakyat dengan memberi undi paling cemerlang pada 2004, kemudiannya telah dihukum pada 2008 berikutan kekecewaan terhadap cara pentadbiran Pak Lah yang membiarkan gejala tidak sihat seperti campurtangan pihak luar, pengumpulan kekayaan di kalangan keluarga, kaum kerabat dan pemimpin yang dekat dengan puncak kuasa.

Tradisi membela rakyat telah bertukar menjadi tradisi memperkayakan diri sendiri, kroni serta kaum kerabat manakala rakyat terus dibebankan dengan pelbagai kenaikan kos dan sara hidup yang kian meningkat.

Apabila Najib mengambil alih pada 2009, tradisi itu semakin jauh dah hanyut. Selain mengekalkan hampir semua gejala tidak baik dalam era pentadbiran Pak Lah, Najib menambah lagi pakej penolakan rakyat dengan karenah dan kemewahan yang tidak henti-henti ditunjukkan oleh isteri dan anak-anaknya.

Pelbagai kemewahan dan pemborosannya terdedah kepada umum sehingga ketika graduan lepasan universiti begitu sukar mendapat kerja dengan gaji RM2,400, Rosmah sebaliknya dikhabarkan membeli cincin berharga RM24 juta.

Lantaran itu, meskipun pelbagai pemberian tunai diberikan oleh Najib dalam pilihanraya 2013 lalu, prestasi BN tetap lebih buruk dengan kemenangannya merosot daripada 140 kerusi kepada 133 sahaja.

Walaupun seringkali diingatkan agar para pemimpin UMNO kembali kepada tradisi perjuangan asal, malah bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga tidak henti-henti menegur dan mengingatkan tentang kuasa yang sedang di hujung tanduk, malangnya saban hari satu demi satu kebobrokan pemimpin dan kaum keluarga mereka terdedah kepada umum yang menyebabkan apabila berlaku pertandingan dalam pilihanraya, bukan lagi mudah untuk UMNO memenanginya.

Sama seperti Brazil yang sudah hilang gaya sambanya, UMNO juga sudah semakin hilang aura membela rakyatnya. Sebagaimana peminat bolasepak tidak lagi terhibur menyaksikan Brazil bermain, rakyat dan orang Melayu juga tidak lagi terpana dengan UMNO sebagaimana generasi terdahulu mengkagumi UMNO.

Persamaan Brazil dan UMNO ialah kedua-duanya sudah membuang tradisi kebanggaannya. Keutamaan pemimpin UMNO sekarang ialah merebut pangkat, jawatan, kekayaan serta glamour manakala tradisi membela dan memperjuangkan rakyat sudah menjadi agenda yang bermusim. Apabila musim gelandangan, semua membantu gelandangan dan apabila musim OKU atau orang cacat, semua berduyun-duyun tertumpu ke situ, tetapi tidak pernah sesiapa terfikir untuk merangka dasar yang kekal dan munasabah untuk membantu semua golongan tidak bernasib baik itu secara berkekalan.

Jika kerana mengubah tradisinya, Brazil telah dihukum dengan kekalahan memalukan ditangan Jerman dan Belanda, UMNO juga sebenarnya telah dihukum sedikit demi sedikit sejak pilihanraya 2008 lagi. Dan kerana enggan berundur, jurulatih Brazil, Luis Scolari akhirnya ditamatkan kontraknya untuk memberi laluan kepada jurulatih baru mengambil alih tugasnya.

Najib juga mempunyai kemungkinan besar untuk ditamatkan perkhidmatannya dalam pilihanraya akan datang berikutan enggan berundur meskipun sudah banyak kelemahan didedahkan selama ini dan tidak pula berusaha lebih baik untuk memperbaikinya.

UK nasihat hindari pulau di timur Sabah

Posted: 14 Jul 2014 11:36 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Kerajaan United Kingdom menasihatkan semua pihak menghindarkan lawatan ke pantai timur Sabah, kecuali bagi pihak yang menghadiri lawatan penting.

Nasihat itu dikeluarkan di laman pejabat luar negaranya semalam selepas tragedi kematian seorang pagawai polis dan penculikan seorang lagi di Pulau Mabul, Sabah pada 12 Julai.

Nasihat Pejabat Luar Negara dan Komanwel itu menamakan kawasan daripada Kudat ke Tawau, termasuk (tetapi tidak terhad di situ sahaja) Lankayan, Mabul, Pom Pom, Kapalai, Litigan, Sipadan dan Mataking.

"Terdapat ancaman umum keganasan. Serangan boleh mendiskriminasi, termasuk di kawasan yang sering dikunjungi ekspatriat dan pelancong asing.

"Terdapat ancaman penculikan dan jenayah terhadap orang asing di pantai timur Sabah dan khususnya di pulau-pulau yang dekat dengan Kepulauan Sulu di Selatan Filipina," menurut nasihat itu.

Pejabat itu membangkitkan kes penculikan dua wanita di Pulai Singamata pada 2 April dan serangan terhadap pelancong Taiwan di Pulau Pom Pom November lalu.

Nasihat daripada UK itu dikeluarkan selepas serangan hendap terbaru ke atas pasukan keselamatan oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjata berat di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna, Sabtu lepas.

Dalam kejadian 11.10 malam itu anggota pasukan polis marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terkorban manakala rakan setugasnya Konstabel Zakia Aleip, 26, dilarikan.

Rosmah rayu lepaskan polis diculik

Posted: 14 Jul 2014 11:35 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Rosmah Mansor merayu kumpulan pengganas yang menculik seorang anggota polis marin Konstabel Zakiah Aleip di sebuah resort di Pulau Mabul, Sabah, Ahad lalu supaya melepaskannya secepat mungkin.

Isteri perdana menteri berkata, mereka perlu memikirkan perasaan keluarga, anak dan isteri mangsa yang bimbang dan masih menunggu kepulangannya, lapor BH Online.

"Saya sebagai isteri dan ibu merayu mereka, fikirkanlah perasaan keluarga mangsa.

"Pada bulan yang mulia ini, pulangkanlah kembali mangsa kepada pangkuan keluarga," beliau dipetik sebagai berkata oleh harian itu.

Rosmah berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada keluarga dan waris perwira negara Lahad Datu dan waris kru pesawat MH370 di Putrajaya, sebentar tadi.

Rayuan itu dibuat selepas serangan hendap terbaru ke atas pasukan keselamatan oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjata berat di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna, Sabtu lepas.

Selain melarikan Zakiah, rakan setugasnya Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terkorban.


Dilaporkan juga, pada majlis itu, sejumlah RM5,000 disumbangkan kepada balu perwira negara Lahad Datu; RM5000 kepada waris krew pesawat MH370 dan RM20,000 kepada ahli keluarga anggota tentera yang meninggal dunia akibat kemalangan kereta perisai di Perak baru-baru ini.

Suspek ugut MB Kedah direman empat hari

Posted: 14 Jul 2014 11:28 PM PDT


Mukhriz Mahathir Mukhriz Mahathir


ALOR SETAR - Seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki melakukan ugutan bunuh ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, direman selama empat hari bermula semalam sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan berkaitan kes ugutan bunuh yang ditulis dalam laman Facebook menggunakan akaun 'Padi Jantn'.

"Kita akan reman suspek selama empat hari," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan Ketua Pemuda Umno Jerlun, Ahmad Azhar Abdullah telah membuat satu laporan polis terhadap pemilik akaun 'Padi Jantn' apabila terbaca petikan yang berbaur ugutan dan ancaman terhadap Muhkriz.

Selain itu, Syed Unan berkata ugutan itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan isu Madrasah Salihiah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah, Mansor Ahmad bagaimanapun menegaskan mereka tidak terlibat dengan ugutan tersebut.

Siapa bantu Hamas hadapi serangan Israel?

Posted: 14 Jul 2014 11:26 PM PDT



Oleh HARIS ZALKAPLI


SETIAP kali berlaku sera ngan ke atas Gaza di Palestin, atau sebarang konflik dalam wilayah dunia Islam, Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, sering disebut dalam kenyataan-kenyataan, mendesak pertubuhan terbesar masyarakat Islam dunia itu bertindak.

Malangnya, realiti politik aliansi global tidak membenarkan peranan yang besar itu diambil oleh OIC, sebuah pertubuhan yang dikuasai oleh Arab Saudi dan tidak melibatkan diri dalam isu politik yang rumit.

Negara-negara Arab yang secara tradisi menguasai dunia Islam dan sekali gus OIC ialah Arab Saudi dan Mesir, dua negara yang juga sekutu kuat Amerika Syarikat.

Dua negara ini ialah negara yang tidak senang dengan Ikhwanul Muslimin dan Hamas, kumpulan yang umumnya berkongsi falsafah perjuangan yang sama.

Maka, amat sukar untuk melihat OIC yang dikuasai Saudi dan Mesir berupaya mengambil tindakan yang tegas dalam isu Palestin.

Mesir di bawah Abdel Fatah al- Sisi kini lebih kuat memusuhi dua kumpulan ini, dan tidak dapat diharapkan sama sekali untuk membantu dalam kes Gaza.

Dalam dunia Arab, politik serantau seperti konflik Syria dan Iraq biasanya ditangani melalui Liga Arab, yang kini juga dikuasai oleh Arab Saudi dan sekutu-sekutunya di Teluk Parsi.

Tindakan paling tegas diambil oleh Liga Arab sejak beberapa tahun lalu, pada 2011, ialah menggantung keahlian Syria, dalam satu tindakan yang memperlihatkan persaingan serantau melibatkan konflik di negara itu.

Syria yang bersekutu dengan Iran sejak 1979 kini digugat oleh Saudi, Qatar, Turki dan negara sealiran yang lain dalam usaha melemahkan paksi Syria-Iran dan kumpulan-kumpulan yang disokong mereka, yang paling utama Hizbullah dan Hamas.

Syria dan Iran – dan juga Sudan – memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kekuatan persenjataan Hamas dan Hizbullah dalam berdepan dengan Israel.

Syria dan Iran ialah pembekal utama senjata kepada Hamas dan Hizbullah, yang menjadi satu sebab AS yang melindungi Israel mahu pakatan Syria-Iran diputuskan.

Selain dua negara itu, Sudan berperanan sebagai satu saluran bekalan senjata dari Iran ke Hamas dan Hizbullah. Kilang senjata, yang satu destinasinya utamanya ialah Gaza, turut beroperasi di wilayah Sudan.

Pada tahun 2012, sebuah kilang senjata di Sudan, tidak jauh dari Khartoum, dibom, dipercayai oleh Israel sebagai usaha menjejaskan bekalan senjata kepada musuhnya di Gaza dan Lubnan.

Kilang tersebut dikatakan dimiliki oleh Iran, dan dioperasikan untuk membekalkan senjata kepada musuh-musuh Israel di kawasan Syam.

Sudan sebelum itu pada 2009 menjadi sasaran serangan udara, dipercayai oleh AS ke atas konvoi membawa senjata. Satu serangan pada Januari dan satu lagi pada Februari, 2009, dilaporkan mengorbankan 88 orang.

Hari ini, Iran masih membekalkan senjata kepada Hamas – dan juga semakin banyak kepada Jihad Islami – yang berdepan dengan serangan Israel.

Realiti politik serantau menunjukkan yang kuasa-kuasa Arab tidak diyakini untuk berdepan secara tegas dengan Israel, akibat pelbagai kepentingan dan keterbatasan.

Sebuah lagi negara Islam, Turki, telah menunjukkan kesediaan berdepan dengan Israel pada tahap tertentu, tetapi kedudukannya sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, menghalangnya daripada bertindak lebih tegas.

Realiti politik rantau Arab mendedahkan kompleksiti yang menjadikan sebarang tindakan tegas ke atas Israel sukar dilakukan oleh kuasa-kuasa Arab, terutama Mesir yang bersempadan dengan Gaza, yang kini dipimpin oleh al- Sisi.

Kekuatan dan iltizam politik yang lebih kuat diperlukan oleh kerajaan-kerajaan negara Islam untuk membantu umat di Palestin.

Ini tidak bermakna usaha membantu terhad kepada kerajaan, kerana pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan telah menunjukkan kemampuan dalam membantu warga Palestin. Tetapi, realiti politik melibatkan persaingan kuasa-kuasa di dunia Islam ini menjadikan penyelesaian masalah Palestin menjadi semakin sukar, dan bermakna serangan ke atas Gaza akan terus berulang.

Dalam menangani isu kekejaman Israel, selain bantuan kemanusiaan, penyelesaian politik tetap diperlukan kerana faktor kuasa negara yang besar dalam hal ini.

Tetapi, pada masa sama, perhatian yang serius juga perlu diberikan pada umat Muslim di negaranegara lain yang juga berdepan kezaliman seperti di Myanmar, Thailand, Filipina, dan Sri Lanka.

Pasukan keselamatan diberi kuasa tembak penceroboh

Posted: 14 Jul 2014 11:22 PM PDT

Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi


KANGAR - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan keselamatan diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara.

"Kerajaan tiada sebarang masalah jika itu (menembak) boleh halang penceroboh daripada memasuki Malaysia," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang meminta kerajaan membenarkan pasukan keselamatan menembak mana-mana pihak atau kumpulan yang menceroboh perairan Sabah.

Kenyataan Abdul Aziz itu menyusuli kejadian serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata berat di Pulau Mabul, Semporna pada Sabtu lepas yang mengorbankan seorang anggota polis marin manakala seorang lagi dilarikan.

Mengenai pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar sistem kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom) diteliti semula, Ahmad Zahid berkata beberapa perubahan akan diperkenalkan apabila operasi Esscom diambil alih oleh Polis Diraja Malaysia.

"Kita juga harus lebih proaktif, tidak boleh tunggu mereka menyerang baru nak ambil tindakan. Perubahan baru ini termasuk kaedah pengendalian dan pengawasan yang lebih tegas," katanya.

Ahmad Zahid berkata semua pasukan keselamatan di perairan timur Sabah juga sudah diarahkan agar lebih berwaspada.

"Kerajaan juga berharap nelayan, pemilik bot dan penduduk di perkampungan air bekerjasama dengan pihak berkuasa. Penceroboh tidak ada hasrat menghormati atau patuh undang-undang kita dan sebab itu kita tidak boleh bertolak ansur soal keselamatan negara dengan kumpulan ini," katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga dua anggota polis terbabit.

Dalam kejadian 11.10 malam itu, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terkorban dan rakan setugasnya Konstabel Zakia Aliep, 26, diculik. - Bernama

Pertahan Palestin: Negara Arab tidak boleh diharap

Posted: 14 Jul 2014 11:11 PM PDT



Oleh Abdul Shukur Harun


NEGARA Arab dalam kedudukannya paling lemah sekarang dan terjebak pula dalam kancah perang saudara, tidak mungkin dapat menolong umat Islam di Palestin yang kini diserang secara gila oleh Israel.

Lebih-lebih lagi rejim tentera Mesir sendiri yang kini berkuasa begitu akrab dengan Israel, malah menutup Trowong Gaza, yang selama ini digunakan oleh umat Islam menyalurkan bantuan makanan dan perubatan kepada umat Islam Palestin. Kini bantuan hanya melalui perbatasan Rafah, tetapi menghadapi pelbagai sekatan oleh tentera Mesir.

Pelbagai pihak menuntut Mesir supaya membuka pintu sempadan Refah itu secara kekal, kerana ini adalah persoalan hidup mati umat Islam di Gaza. Terapi belum ada jawapan dari tentera Mesir.

Ada laporan mengatakan bahawa stok makanan dan perubatan di Gaza kini tidak sampai 30 peratus saja lagi sejak beberapa hari lalu dan akan terus berkurangan.  Malah ada laporan terkini bahawa hospital di Gaza telah kehabisan ubat-ubatan dan bahan api, sedangkan mereka yang tercedera semakin ramai.

Dalam masa yang sama tiada lagi kawasan selamat di Gaza, melainkan menjadi sasaran serangan udara dan darat Israel.

Israel mengaku mengerahkan 20,000 pasukan tentera simpanannya untuk serangan di Gaza yang kini memasuki minggu kedua. Bagaimanapun kebanyakan serangan setakat ini dilakukan daripada udara, dengan 1,200 sasaran telah dibedil.

Hamas, pejuang Islam yang mendominasi Gaza, melancarkan ratusan roket ke Israel, menyerang jauh lebih dalam ke nagara itu berbanding sebelum ini. Tetapi dibalas oleh Israel dengan serangan udara besar-besaran.

Siapakah lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat Palestin untuk membantu mereka kerana dunia Arab semakin lemah dan berpecah-belah, terlibat dalam kancah perang saudara di Iraq dan Syria yang menuju kepada kehancuran kedua-duanya.

Walaupun ada penyatuan Hamas dan Fatah yang kini dalam proses untuk membentuk semula Kerajaan Perpaduan, tetapi sebenarnya hanya satu suara penyatuan kepada Palestin untuk berurusan dengan Barat dan PBB. Dari segi ketenteraan, tiada ada yang perlu dibimbangkan oleh Israel kerana kekuatan tentera Hamas dan Fatah tidak seberapa.

Perlu diingat di bawah pemerintahan baru rejim tentera Mesir dengan presidennya, General al-Sisi, Mesir menjadi sahabat paling rapat dengan Israel.

Malah Israel sangat gembira dengan tindakan al-Sisi merampas kuasa daripada Presiden Muhd Morsi tahun lalu dengan membunuh, mencedera serta memenjarakan puluhan ribu anggota Ikhwanul-Muslimin, jemaah Islam yang sangat digeruni oleh Israel.

Dalam masa yang sama, negara Arab kaya, kecuali Qatar, telah memberi bantuan kewangan dan peralatan tentera kepada rejim tentera al-Sisi.

Sementara itu dua negara Arab – Iraq dan Syria – sedang teribat dalam perang saudara. Beribu-ribu orang telah terkorban serta puluhan ribu pula jadi pelarian untuk menyelamatkam diri. Tiba-tiba diisytihar pula apa yang disebut Daulah Islamiyah dipimpin oleh seorang tokoh Iraq yang dinobatkan sebagai Khalifah Dunia Islam – iaitu Khalifah Abu Bekr Al-Baghdadi - yang kononnya akan memerintah, bukan saja wilayah Iraq dan Syria, bahkan dunia Islam seluruhnya. Ini bukan sebuah lawak jenaka, tapi ia sesuatu pelik.

Pergolakan terbaru ini menyusul selepas apa yang dipanggil Kumpulan Dunia Islam Iraq dan wilayahnya (ISIL) menawan beberapa kota penting di Iraq di mana kumpulan ini dikatakan dibiayai oleh negara Arab yang kaya. Ini menyebabkan pertempuran darah di Iraq dan Syria itu terus berlaku dan sukar ditamatkan.

Sehubungan itu, dalam satu temuramahnya dengan sebuah agensi berita antarabangsa, Perdana Menteri Israel, Benjamin Natanyahu memberitahu sekutunya, Amerika, "Ketika negara Arab terus berbalah, kita perlemahkan lagi mereka dan kita perkuatkan kedudukan kita."

Oleh sebab itu, ada pendapat mengatakan bahawa serangan paling ganas tentera Israel terhadap umat Islam Gaza sekarang ini, antara lain, kerana kini kedudukan negara Arab sangat lemah dan tidak mungkin ia dapat membantu umat Islam Palestin.

Seperti diketahui, Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menjadi penonton yang pasif menyaksikan sauadara-saudara Islamnya di Palestin menjadi mangsa kezaliman Israel. Saya kira inilah dua pertubuhan Islam yang sangat lemah kerana tidak berupaya menolong umat Islam Palestin.

Dalam masa yang sama, di istana pemerintah negara Arab yang kaya, kehidupan bermewah-mewah menjadi amalan di negara kaya itu. Umpamanya, seperti gambar yang tersiar, majlis iftar Ramadan disajikan dengan makanan mewah dan lazat begitu banyak sekali. Di sana kerabat di raja Arab yang kaya itu menikmati hidangan. Tidak semua hidangan lazat itu dapat dihabiskan, maka sebahagian darinya dibawa pulang oleh orang gaji, atau dibuang ke tong sampah kerana terlalu banyak.

Ini adalah pandangan biasa bukan saja di istana raja, bahkan juga di pebagai hotel mewah di negara Arab yang kaya. Iaitu gaya hidup yang sangat kontras dengan kehidupan umat Islam di Palestin dan di pelbagai negara di dunia di mana begitu ramai terdapat rakyat miskin.

Oleh itu dengan watak negara Arab sedemikian rupa, maka hampir-hampir mustahil mereka dapat membantun umat Islam Paestin.

Bagaimanapun mestilah diakui bahawa para pejuang Arablah yang paling ramai gugur syahid melawan Israel dan pemerintah rejim Arab yang zalim.

Sementara itu, dunia Islam di luar Semenanjung Arab, terutama di benua kecil India, iaitu Pakistan dan Afghanistan juga tidak henti-hentinya menyerang antara satu sama lain hingga kedudukan umat Islam di sana begitu lemah. Kumpulan Syiah menyerang golongan Sunni, begitu sebaliknya, membunuh demikian ramai rakyat hingga kini. Masjid dan tempat kediaman serta tempat awam diserang, menimpakan korban banyak nyawa.

Dalam suasana dunia Islam sedemikian rupa, umat Islam di Gaza terus-menerus mengharungi kehidupan dengan darah dan air mata, tetapi masih mampu meneruskan jihad menentang Israel. -

Sijil halal roti ditarik balik

Posted: 14 Jul 2014 11:04 PM PDT


Kilang roti berkenaan tidak lagi beroperasi selepas diarah tutup. Gambar kanan: Keadaan bahagian dalam kilang yang dikatakan milik sebuah syarikat roti di Ipoh. Kilang roti berkenaan tidak lagi beroperasi selepas diarah tutup. Gambar kanan: Keadaan bahagian dalam kilang yang dikatakan milik sebuah syarikat roti di Ipoh.


IPOH - Sejak kelmarin, di media sosial termasuk sebuah laman blog, heboh memperkatakan keadaan jijik sebuah kilang membuat roti di sini.

Berdasarkan entri sebuah blog kelmarin, mendedahkan beberapa gambar dikatakan dimuat naik seorang pengguna Facebook keadaan kilang berkenaan yang kotor.

Bagaimanapun, hasil siasatan Sinar Harian mendapati isu berkenaan bukan baharu sebaliknya gambar yang tersiar merupakan gambar sebulan yang lalu.

Malah, tinjauan ke kilang berkenaan mendapati ia tidak lagi beroperasi seperti biasa dan hanya menempatkan beberapa lori syarikat terbabit.

Jaipk lawat kilang

Maklum balas yang diterima daripada Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) mengesahkan kilang yang dimaksudkan sudah diambil tindakan.

Operasi ke atas kilang terbabit dijalankan pada 12 Jun yang lalu melibatkan Jaipk, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Hasil pemeriksaan, kita mendapati kilang ini menggunakan logo Halal tanpa perakuan Jaipk malah sijil halal yang dimiliki tidak diperbaharui selama dua tahun.

"Sebanyak tiga lori roti disita dalam operasi itu. Syarikat terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dikenakan denda sehingga RM 250,000," kata sumber Jaipk, semalam.

Kilang diarah tutup

Sementara itu, Exco Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, tindakan lanjut telah diambil kilang roti yang beroperasi di Jalan Kuala Kangsar sebelum bulan Ramadan lagi selepas didapati kilang tersebut beroperasi dalam keadaan kebersihan yang tidak mengikut piawaian.

Beliau berkata, tindakan berkenaan telah diambil oleh pihak Jabatan Kesihatan dan MBI.

Menurutnya, lesen perniagaan premis tersebut dibatalkan dan tidak lagi beroperasi sehingga kini.

"Jika sesebuah premis itu terlibat dengan aktiviti pengeluaran makanan, jika mereka tidak berjaya menjaga aspek kebersihan dan piawaian yang telah ditetapkan, tindakan undang-undang sememangnya akan diambil," katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kilang Penapisan Minyak Kelapa Sawit Intergrated  Formation Sdn Bhd, di Kamunting, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Samsudin berkata, sebelum ini lawatan ke kilang bihun di Kampar juga telah dilakukan pihaknya.

"Kita dapati semuanya dalam keadaan bersih dan terkawal, namun dari sudut pandangan pihak Jabatan Kesihatan operasi premis tersebut terpaksa ditutup selama tiga minggu," katanya.

Samsudin berkata, perkara utama yang perlu diberikan perhatian oleh mana-mana premis yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan, mereka seharusnya memenuhi standard dan juga piawaian kebersihan yang telah ditetapkan.

Ketika Sinar Harian mendapatkan maklum balas syarikat roti berkenaan, wakil syarikat itu ketika dihubungi mengakui kilang berkenaan sudah pun ditutup dan kini berpindah di tempat baharu.

Krisis PKR makin teruk jika MB pertahan jawatan

Posted: 14 Jul 2014 11:01 PM PDT


Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod


SHAH ALAM - Krisis dalaman PKR dijangka menjadi semakin kritikal jika Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap mempertahankan jawatannya.

Ketua Kluster Governans, Perundangan Dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, jika Abdul Khalid tetap bertegas untuk tidak berundur, isu ini bukan sahaja memberi kesan kepada PKR, malah PR juga akan terjejas.

"Kalau menteri besar tidak mahu letak jawatan, impak yang lebih besar dari segi politik dapat kita lihat dan bakal berlaku krisis politik yang lebih teruk dalam parti PKR.

"Jika benar ramai Adun yang mahu memaksa Abdul Khalid berundur, mereka perlu membawa undi tidak percaya dalam Sidang Dun, itu memang cara yang kita boleh pakai
untuk buat menteri besar sekarang berundur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada jika berlaku pertukaran jawatan menteri besar akan memberi kesan kepada kestabilan politik dan ekonomi di Selangor.

Nik Ahmad Kamal bagaimanapun yakin pertukaran menteri besar ini tidak memberi kesan ketara pada ekonomi negeri kerana pelabur akan teruskan pelaburan mereka seperti biasa kerana mereka sudah terbiasa dengan ekonomi negeri.

Beliau berkata, tidak kira siapa saja yang bakal menggantikan menteri besar kini, keputusan muktamad hanya terletak pada tangan Sultan Selangor.

"Tidak kiralah apa saja keputusannya, Sultan yang berhak menentukan sebarang keputusan, tiada sapa yang boleh sangkal jawapan yang ada pada sultan," katanya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan yang mengatakan calon yang bakal menggantikan Abdul Khalid adalah di antara Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali atau Adun Kajang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan perbincangan tertutup berhubung kedudukan menteri besar itu juga sudah dibuat secara tertutup dan persefahaman sudah dibuat, bagaimanapun, langkah itu tidak dibuat secara tergesa-gesa.

TLDM mohon kerajaan benar tembak penceroboh

Posted: 14 Jul 2014 10:59 PM PDT

MALAYSIAKINI


Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memohon kepada kerajaan untuk membenarkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menceroboh masuk kawasan perairan Sabah.
  
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata cadangan peraturan itu sebagai salah satu usaha untuk menghalang kumpulan pengganas dari Filipina menceroboh masuk ke negara ini.
  
Beliau berkata peraturan sedia ada tidak membenarkan pasukan keselamatan menembak apabila ternampak (shoot on sight) yang menghalang pasukan keselamatan termasuk TLDM untuk membanteras kumpulan pengganas.
  
"Saya fikir sudah tiba masanya Peguam Negara harus memikirkan perkara ini supaya memudahkan pengawasan untuk keselamatan perairan negara di Pantai Timur Sabah," katanya.
  
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden pencerobohan terbaru di Semporna, Sabah yang mengakibatkan seorang anggota polis marin terbunuh dan seorang lagi hilang dipercayai diculik.

Dalam kejadian Sabtu lepas, sekumpulan lapan lelaki yang lengkap bersenjata menyerang hendap sebuah resort di Pulau Mabul dan membunuh seorang anggota polis marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, dan menculik Konstabel Zakia Aleip, 26.
  
Beliau berkata penceroboh tidak takut dengan pihak berkuasa kerana mereka tahu pasukan itu hanya memberi amaran supaya berhenti dan tidak akan melepaskan tembakan.
  
"Kalau kita bagi amaran berhenti, mereka tidak akan berbuat demikian dan akan sentiasa berjaya melepaskan diri, oleh itu perkara ini tidak boleh dibiarkan," katanya.
  
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Panglima Armada yang baharu iaitu Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli bagi menggantikan Laksamana Madya Datuk Abdul Hadi A. Rashid yang bersara wajib.- Bernama

Tiada ulasan: