DIALOG RAKYAT |
- Pengemis: Agihan kekayaan negara masih tempang
- Pemuda PAS lancar tabung kemanusiaan untuk Gaza
- Bahaya guna ubat 'Majun Burung Unta'
- Johor: Kerisauan Tun Mahathir sudah terlambat
- J'kuasa S'gor siasat projek lebuh raya Skip, Kidex
- PM tinjau gelandangan untuk publisiti, kata DAP
- Mujahid: ISMA lebih perkauman daripada PERKASA
- Hannah Yeoh nafi peluk Islam
Pengemis: Agihan kekayaan negara masih tempang Posted: 11 Jul 2014 01:22 AM PDT RAKYAT seringkali diingatkan agar menunaikan zakat dan ia satu kewajiban. Namun sejauh mana institusi zakat berperanan dalam meleraikan masalah kemiskinan di negara ini? Mutakhir ini ramai asnaf yang merungut karenah birokrasi Baitulmal meyukarkan mereka untuk mendapatkan bantuan. Bagi merungkai persoalan ini, wartawan Harakah, HAZAYANI ZAKARIA pada 3 Julai lalu mendapatkan pandangan bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azamudden Md Taib yang pernah berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara. HARAKAH: Sejak sekian lama kita melihat kemiskinan di negara ini khasnya di ibu kota tidak selesai. Malah ada umat Islam yang terpaksa murtad hanya kerana mahu dapatkan bantuan dari gereja yang lebih mudah memberi bantuan berbanding pusat zakat atau Baitulmal. Boleh ustaz ulas lanjut? TAIB AZAMUDDEN: Perkara ini tidak sewajarnya berlaku sebab saudara baru termasuk salah satu daripada lapan asnaf zakat. Sepatutnya mereka itu dikenal pasti dan dibiayai zakat. Banyak negeri yang berjaya mengutip zakat yang sangat tinggi tetapi zakat yang dikutip itu seolah-olah tersimpan begitu sahaja. Di Wilayah Persekutuan Pusat Zakat nya membuka sebuah kedai sewaktu Allahyarham Tan Sri Syeikh Mohsen Salleh menjadi pengerusi.Terdapat Pasaraya Baitulmal. Pasaraya ini antaranya memberi peluang kepada fakir miskin untuk mendapat bekalan yang disahkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Contohnya Jabatan Agama Islam Wilayah mengeluarkan kupon, mereka membawa kupon itu ke Pasaraya Baitulmal, mereka dapat membuat tukaran dengan barang yang diperlukan. Tetapi sekarang pasaraya itu sudah tiada. Pasaraya Baitulmal wilayah dahulu ada di Sentul dan di Selayang. Selepas peninggalannya, pasaraya ini sudah tiada lagi.Kenapa itu tak diterjemahkan? Pasaraya Baitulmal itu wujud dahulu daripada kedai 1Malaysia yang menawarkan harga murah. Ini yang memberi peruntukan dan kemudahan yang khusus kepada fakir miskin yang disahkan oleh pihak yang berwajib. Saya mencadangkan supaya institusi ini diperkasakan secara lebih luas supaya asnaf boleh menerima zakat secara berpanjangan seperti institusi yang bersaham. Zakat dijanakan supaya lebih besar, akhir sekali fakir miskin dan orang yang berhak dalam asnaf tadi mempunyai sahamnya di situ. Itu pun boleh dikaji untuk dibuat. Saya juga cadangkan orang yang duduk dalam asnaf dapat insentif seperti insentif Orang Kurang Upaya (OKU). Mungkin untuk bil elektrik, bil air atau apa-apa yang lain dikecualikan sebab apabila mereka ini disahkan sebagai orang yang berada dalam asnaf oleh pihak yang bertanggungjawab. Kalau kita letak mereka sebagai fakir miskin contohnya di Wilayah Persekutuan tetapi orang berkenaan kena bayar bil elektrik, air sama juga. Kenapa kerajaan tidak boleh menyediakan insentif? Itu sebagai salah satu daripada cara pengagihan. Dilemma pelajar Melayu Islam terpaksa berhutang untuk belajar, walaupun golongan menuntut ilmu adalah asnaf, kerajaan buat PTTN pula untuk berniaga dengan rakyat walhal zakat yang dikumpulkan boleh membantu pelajar? Bukan sahaja kutipan zakat itu yang diberi penekanan tetapi pengagihan itu hendaklah disemak semula supaya asnaf zakat dapat menerima hak mereka. Contohnya zakat kepada pelajar. Sepatutnya yang menjadi asnaf pelajar itu sendiri, bukan ibu bapa mereka. Yang penting mereka ini disahkan pelajar, dan menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan pelajaran. Bagi saya suatu yang sangat pelik apabila pengagihan zakat sekarang ini di sesetengah negeri khasnya asnaf Fisabilillah (pelajar atau menuntut ilmu termasuk asnaf) ini yang dilihat adalah rekod ibu bapanya. Kadang-kadang ada ibu bapa yang dikategorikan sebagai orang yang bergaji agak selesa, maka dinafikan hak anak untuk mendapat zakat walaupun anak menghadapi masalah kewangan hingga terpaksa berhutang untuk belajar. Bagi saya ia perlu disemak semula. Pelajar-pelajar sekarang ini dikenakan riba oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tetapi dalam masa yang sama wang zakat yang banyak tidak diterjemahkan untuk membantu pelajar hingga mereka berhutang untuk belajar. Ada alasan kononnya pekerjaan ibu bapa, namun ramai di kalangan pelajar Melayu yang dari latar belakang miskin juga terpaksa meminjam PTPTN. Kenapa perkara itu tidak boleh dikaji semula dengan zakat memainkan peranan membantu? Apa komen ustaz mengenai kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketatkan? TAIB AZAMUDDEN: Sekarang kerajaan memburu pengemis dan yang memberi sedekah juga akan diambil tindakan dengan saman di bawah Akta Orang Papa 1997 (Akta 183). Di pihak zakat akta ini harus dilihat sama ada ia masih sesuai atau sebaliknya. Kalau perkara lain kita boleh pastikan mengapa tidak dipastikan golongan fakir miskin khasnya pengemis untuk dibantu melepasi ruang kemiskinannya itu. Dalam isu peminta sedekah yang dikatakan digunakan oleh ejen, namun sebenarnya ia satu kegagalan kerajaan memburu ejen yang mengeksploitasi pengemis. Bukan masalah dari sudut orang melihat orang yang memberi sedekah kepada peminta sedekah tetapi dari satu sudut lain ialah orang bersedekah kerana mereka memiliki harta yang lebih, dan ia digalakkan oleh Islam apatah lagi dalam bulan Ramadan. Kalau orang berasa bahawa dia ikhlas nak bagi, apa salahnya dia nak bagi? Yang penting, nak cegah pengemis pastikan pengagihan wang negara saksama. Apabila masih ada lagi pengemis, maknanya pengagihan kekayaan negara masih lagi tempang. Apakah perlunya perubahan dalam pengurusan zakat di negara ini? Pada saya, sudah sampai masa untuk dilakukan perubahan pentadbiran dan pengurusan zakat negeri-negeri. Ada sesetengah negeri, pendapatan zakatnya sedikit tetapi fakir miskin ramai. Ada negeri di Malaysia ini pendapatan zakatnya cukup banyak tapi miskinnya sedikit seperti di Wilayah Persekutuan jika hendak banding dengan Kedah dan Perlis, dua negeri utara Semenanjung itu pendapatan zakatnya sedikit tetapi yang fakir miskin ramai. Pada saya, tidak boleh ditentukan bahawa pungutan zakat Wilayah Persekutuan ini hanya hanya untuk orang di Wilayah Persekutuan sahaja. Kalau orang di Wilayah Persekutuan tidak ada, maka dalam asnaf itu nak bagi kepada siapa? Kalau yang ini pun kita tidak boleh satukan bermakna kita tak boleh mengaku kita ni sebuah negara persekutuan sebab dalam persekutuan, dalam bab-bab lain kita boleh satukan tapi dalam hal zakat kita pecah-pecahkan. Seolah-olah kalau Perlis, Perlis tanggung sendiri kesusahan, Kelantan tanggung sendiri, Kedah tanggung sendiri, Terengganu tanggung sendiri. Tidak ada kesepaduan dalam erti kata persekutuan. Kadar kemiskinan setiap negeri berbeza.Sebagai contoh di Kedah, pendapatan RM3,000 ke atas sebulan, itu tidak termasuk dalam golongan miskin kerana kos hidup rendah daripada Wilayah Persekutuan. Tetapi di Wilayah Persekutuan berpendapatan RM3,000 masih termasuk dalam miskin kerana kos hidup yang tinggi. Kadar kemiskinan ini juga perlu diambil kira. Nisab zakat tidak statik tetapi sentiasa berubah mengikut masa. Apakah hanya zakat fitrah sahaja kita perlu tentukan harga, sedangkan kelayakan asnaf tidak diambil kira. Saya juga terpanggil untuk mempersoalkan tentang perbezaan kadar zakat fitrah bagi 14 buah negeri. Seolah-olah Islam di Malaysia ini tidak satu. Islam di negeri-negeri lain berbeza sedangkan harga beras boleh disatukan di seluruh negara oleh kementerian Hal Ehwal Pengguna tetapi dari segi zakat berbeza. Kadar bayaran zakat yang dinyatakan di Kedah tidak boleh diterima pakai di Selangor. Ini menunjukkan Islam di Malaysia tidak sepadu dari segi pelaksanaan. |
Pemuda PAS lancar tabung kemanusiaan untuk Gaza Posted: 11 Jul 2014 01:18 AM PDT KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia turut melancarkan tabung kemanusiaan bagi membantu saudara Islam di Gaza, Palestin yang kini sedang berdepan serangan tentera Zionais Israel. Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Prihatin Rakyat Pemuda PAS Malaysia Muhammad Hafiz Musa berkata, hasil sumbangan orang ramai diperlukan bagi disalurkan kepada rakyat Gaza khususnya bantuan ubat-ubatan, makanan, pakaian dan lain-lain. "Umat Islam di Gaza adalah mangsa yang wajib dibantu dengan kadar kemampuan yang ada. "Bantuan kemanusiaan seperti ubat-ubatan, makanan, pakaian dan peralatan lain amat penting buat mereka meneruskan kehidupan," katanya dalam satu kenyataan. Bagi mereka yang berhajat untuk menyumbang, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 5640 2540 0100 atas nama Tabung Kemanusian Pemuda. Dalam pada itu, beliau juga menggesa seluruh umat Islam teruskan berdoa dan bermunajat bagi kekuatan dan keselamatan rakyat Palestin. "Kekuatan doa seluruh umat Islam adalah peluru dan bom pemusnah paling menggerunkan musuh Islam. "Bangunlah berdoa di waktu malam, terutama di bulan Ramadhan yang diberkati. Semoga bantuan Allah hadir dalam keadaan tidak terduga," katanya. - HARAKAHDAILY |
Bahaya guna ubat 'Majun Burung Unta' Posted: 11 Jul 2014 01:13 AM PDT PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan tidak membeli atau menggunakan ubat tradisional melayu 'Majun Burung Unta' yang tidak berdaftar kerana didapati mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952. Label pada produk itu menyatakan ia boleh digunakan untuk lemah tenaga batin, sakit urat saraf, sakit pinggang, sakit sendi lutut, sakit jantung, penyakit semput, kelabu mata, sakit kepala, perempuan lepas bersalin, penyakit luhur, segugut dan awet muda. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang digunakan untuk rawatan masalah pembengkakan dan radang yang serius. "Ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor. Dexamethasone tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisonal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma (penyakit mata). Beliau berkata penggunaannya lebih berbahaya kepada pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya mengakibatkan komplikasi serius. Justeru, orang ramai sedang menggunakan produk itu adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan profesional kesihatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai produk itu dinasihatkan menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-78413200 atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my. Mereka yang ingin menyemak status pendaftaran sesuatu produk juga boleh menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di talian 03-78835400 atau laman sesawang www.bpfk.gov.my.-- BERNAMA |
Johor: Kerisauan Tun Mahathir sudah terlambat Posted: 11 Jul 2014 01:12 AM PDT Jelasnya, Dr Mahathir sepatutnya melahirkan kerisauan sewaktu beliau masih menjadi Perdana Menteri lagi. "Ramalan Dr Mahathir sudah terlambat dan ia sudah pun berlaku, sepatutnya beliau bertindak dari dulu lagi bukan hanya mendiamkan diri. "Harga hartanah di Johor memang sudah tidak dapat dikawal lagi sekarang ini, peningkatan harga yang mendadak menyukarkan rakyat Johor memilikinya. "Atas faktor itu menyebabkan warga asing dapat memiliki tanah di negeri itu dengan lebih mudah," katanya kepada Harakahdaily. Menurut beliau, statistik sekarang menunjukkan hampir 70 peratus tanah di Johor dimiliki warga asing. "Apa rakyat Johor dapat dan apa yang tinggal. "Ini menunjukkan ketidak perihatinan kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri dalam menjaminkan masa depan rakyat di negeri itu dalam memelihara hak mereka," sambung beliau. Dalam pada itu beliau turut menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan segera kerisauan Dr Mahathir itu walaupun ia sudah terlambat untuk diperbaiki. Dr Mahathir Mohamad dalam blognya meramalkan bahawa negeri Johor tak mustahil untuk menjadi seperti Singapura pada masa akan datang. Menurut beliau, kebanjiran pendatang asing di Johor serta kenaikan harga keperluan asas akan menyebabkan penduduk asal di tempat Johor ini akan hilang suara dan hak mereka. |
J'kuasa S'gor siasat projek lebuh raya Skip, Kidex Posted: 11 Jul 2014 01:07 AM PDT MALAYSIAKINI Satu jawatankuasa khas kerajaan Selangor memulakan siasatan ke atas dakwaan bahawa dua projek lebuh raya kontroversi dimasukkan ke dalam pelan tempatan Majlis Perbandaran Subang Jaya dengan tidak mengikut proses sewajarnya. Pengerusi Jawatankuasa Terpilih Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata siasatan itu melibatkan Lebuh raya Serdang-Kinrara-Putrajaya (Skip) dan Lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex). Selain itu, siasatan juga melibatkan dakwaan bahawa pengezonan kawasan di USJ10 dan USJ7 dipinda tanpa mengikut prosedur sewajarnya. Beliau menjangka laporan siasatan tersebut akan dapat dikemukakan ketika DUN Selangor bersidang pada November. "Kami akan bermula dengan melihat kepada pelan tempatan MPSJ, dan kemudiannya menangani adauan yang diterima daripada wakil rakyat dan orang awam," katanya dalam satu sidang media hari ini. Antara yang sudah dipanggil untuk memberi keterangan dalam pendengaran tersebut hari ini adalah Exco kerajaan tempatan Teng Chang Khim dan juga Exco perumahan, Iskandar Abdul Samad. Turut memberi keterangan ialah wakil dari MPSJ dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor. Enam orang anggota jawatankuasa yang hadir dalam pendengaran itu ialah enam orang ADUN – Khasim Abdul Aziz (Lembah Jaya), Dr Idris Ahmad (Ijok), Hasnul Baharuddin (Morib), Halimaton Saadiah Bohan (Kota Damansara), Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing) dan Eddie Ng (Balakong). Nik Nazmi berkata, jawatankuasa itu akan mengadakan sekurang duanya satu atau dua sesi pendengaran lagi sebelum membuat keputusan. Jawatankuasa itu bagaimanapun masih belum memutuskan nama individu yang akan dipanggil untuk memberi keterangan lanjut. Beliau juga enggan membincangkan hasil siasatan setakat ini dan menegaskan ia hanya akan didedahkan apabila laporan itu dikemukakan ke DUN. |
PM tinjau gelandangan untuk publisiti, kata DAP Posted: 11 Jul 2014 01:06 AM PDT MALAYSIAKINI Seorang MP DAP, Lim Lip Eng mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya cuba meraih publisiti dengan melakukan tinjauan ke atas kumpulan gelandangan di Kuala Lumpur tanpa memberi apa-apa kebaikan kepada golongan itu. "Kunjungan perdana menteri (pada hari Rabu) tidak memberi apa-apa kebaikan nyata tetapi hanya untuk meraih publisiti bagi meningkatkan imej partinya yang tercalar," kata Lim (kanan) dalam satu kenyataan semalam. MP Segambut itu mendakwa Najib tidak mengetahui apa yang dilakukan dan hanya membuat kunjungan semata-mata. "Saya hairan kerana tujuan kunjungan perdana menteri itu hanya untuk melihat kehidupan mereka dan membiarkannya tanpa membuat apa-apa... Apa nasib yang akan menimpa (golongan gelandangan) selepas tamat pemeriksaannya?," soalnya. Beliau mendakwa Najib tidak membuat apa-apa tindakan dalam membantu golongan tersebut walau telah berjanji untuk berbuat demikian sejak beberapa tahun lalu. "Perdana menteri dan BN tidak banyak berusaha untuk mengurangkan beban golongan gelandangan, selain membuat pengumuman untuk membuat itu dan ini," katanya lagi. Najib dalam kunjungannya itu turut memberitahu pemberita bahawa kerajaan akan menubuhkan tempat khas untuk menempatkan golongan gelandangan di ibu kota, dijangka siap dalam tempoh enam bulan akan datang. "Ia tidak patut lama... dalam enam bulan akan siap," kata perdana menteri kepada pemberita selepas melakukan tinjauan secara mengejut aktiviti dapur jalanan di sekitar Jalan Tun Perak pada Rabu malam. Kunjungan mengejut itu dilakukannya selepas timbul bantahan ke atas keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menghalang operasi dapur umum, yang memberi makanan percuma kepada golongan miskin, dari terus beroperasi di pusat bandar. Kunjungan itu dibuat sehari selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuat tinjauan sama ke atas satu operasi dapur umum di negeri tersebut. Lim menitiskan air mata kerana sedih melihat keadaan golongan tersebut dalam kunjungan yang mendapat liputan meluas itu. |
Mujahid: ISMA lebih perkauman daripada PERKASA Posted: 11 Jul 2014 12:59 AM PDT MALAYSIAKINI Ahli Parlimen Parit Buntar dari PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof yang menganggotai Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) berpandangan NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bersifat perkauman melampaui NGO PERKASA dan menurutnya lebih merbahaya. Menurutnya, PERKASA sekurang-kurangnya berterus terang dengan agenda perkauman mereka namun ISMA, bersifat perkauman tetapi cuba bersembunyi di sebalik pengaruh agama. Tindakan ini kata Mujahid, memberikan gambaran buruk kepada agama Islam yang sentiasa menyeru kepada keharmonian. "Bagi saya ISMA ini lebih perkauman daripada PERKASA, sekurang-kurangnya PERKASA beritahu orang ramai yang mereka ini perkauman. "Perkara yang bagus tentang PERKASA ini mereka berterus terang tentangnya. "Saya katakan orang yang menggunakan agama untuk menyembunyikan dogma perkauman mereka ini lebih merbahaya," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini. Beliau yang juga merupakan pengerusi biro perpaduan nasional PAS berkata demikian sewaktu diminta mengulas pendirian pro-Melayu Islam yang dianuti ISMA. Pertubuhan itu sebelum ini menggelarkan warganegara Malaysia berketurunan Cina sebagai 'pendatang' dan kemudiannya mempertahankan kenyataan itu sebagai satu fakta sejarah. Terkini, presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman (kiri) dituduh menghasut di bawah Akta Hasutan 1948 pada 19 Jun lalu. Beliau tidak mengaku bersalah dan akan dibicarakan pada 19 Julai ini. Mengulas perkara ini, Mujahid menegaskan sekali lagi akan pendiriannya yang tidak bersetuju Abdullah Zaik dibicarakan kerana menghasut. "Saya akan berhadapan dengan beliau dengan cara yang lebih beradab, berdialog dengannya dan bertanyakan apa sebenarnya yang beliau mahukan," kata Mujahid. Beliau turut menolak konsep mengutamakan orang Melayu bagi memimpin Muslim di Malaysia seperti digagaskan Abdullah Zaik dalam bukunya "30 Soal Jawab Melayu Sepakat Islam Berdaulat". "Adakah anda mengatakan di Malaysia, Islam hanya untuk orang Melayu? Tidak, itu sudah satu kesalahan. "Islam itu untuk semua - bukan semua perlu jadi Islam tetapi kebaikan Islam itu untuk semua. "Inilah yang saya katakan Malaysia memerlukan Islam yang rahmat untuk semua. "Kalau saya orang Melayu, maruah diri saya adalah apabila saya membela hak yang ditetapkan ke atas kaum lain," katanya. Menurutnya, rakyat Malaysia kini perlu membuat pilihan sama ada untuk terus kekal takut dengan momokan perkauman atau mendakap sebuah Malaysia yang harmoni. "Rakyat Malaysia tidak mahu negara ini ada orang yang prejudis, benci atas nama kaum - negara ini tidak perlu kepada golongan ekstrem yang berwajahkan agama. "Keputusan ini penting dan semua pihak kena jujur menyokong harapan bahawa inilah Malaysia yang aku idam-idamkan - Malaysia tanpa ekstremis, Malaysia tanpa rasis, Malaysia tanpa prejudis," katanya mengakhiri wawancara. Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar yang dipengerusikan Mujahid di bawah MKPN baru selesai merangka draf tiga rang undang-undang yang akan menjadi sebahagian daripada pelan induk perpaduan negara. Tiga draf itu adalah Rang Undang-undang Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi, Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama serta Rang Undang-undang Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi. Ketiga-tiganya kini dibuka untuk maklum balas orang ramai. Wawancara dilakukan oleh Ram Anand, Ahmad Fadli KC dan Zulaikha Zulkifli |
Posted: 11 Jul 2014 12:54 AM PDT SUBANG JAYA -"Saya menganut agama Kristian dan tak pernah memeluk Islam," tegas Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh menafikan dakwaan kononnya beliau memeluk Islam. Menurutnya, beliau berkata, ada pihak menuduhnya sedemikian mungkin kerana melihatnya berbaju kurung dan mengenakan selendang setiap kali dijemput ke majlis buka puasa di surau dan masjid. Katanya, dia langsung tidak tahu menahu mengenai perkara ini dan siapa yang mendakwanya sedemikian, beliau akan membuat laporan polis berhubung dakwaan tidak berasas. Semalam kecoh di laman sosial milik individu dikenali Ustaz Hisham yang meminta mana-mana pihak mengesahkan dakwaan Hannah Yeoh menyatakan keinginan mahu memeluk Islam. Kenyataan dipaparkan bersama gambar Hannah Yeoh bermesra dengan penduduk itu berbunyi 'setelah beramah mesra bersama umat Islam di SS13, Speaker Selangor, Hannah Yeoh menyuarakan keinginannya untuk memeluk agama Islam dan meluahkan kekagumannya kepada hukum hudud.' Status dihantar jam 11.54 malam turut tertera nama Farhanah Yeoh di atas kenyataan tersebut. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan