Khamis, 10 Julai 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Nama 23 syuhada yang dibedil zionis Israel

Posted: 10 Jul 2014 01:57 AM PDT

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: 23 nama daripada yang gugur syahid akibat serangan tentera zionis Israel ke atas penempatan rakyat Palestin di Gaza sejak Isnin lalu disebar di internet.

Daripada senarai itu, tiga darinya adalah kanak-kanak masing-masing berusia lapan, 10 dan 13 tahun.

Berikut nama-nama mereka yang syahid tersebut.



Sejak Isnin lalu, tentera zioni Israel melancarkan serangan agresif kepada penempatan Palestin mengakibatkan puluhan maut dan ratusan cedera.

Pesawat-pesawat tempur Zionis secara intensif melancarkan serangan udara tanpa henti di seluruh penjuru wilayah Jalur Gaza dengan sengit.

Israel telah mengumumkan pelancaran serangan tentera - digelar "Operation Protective Edge" - dengan alasan menyekat serangan roket dari Gaza.

Sementara itu, laporan setakat ini menyebut tentera Israel telah melancarkan 447 roket berat, 374 serangan udara agresif dan 39 bom laut ke atas 111 buah rumah di Gaza.

Mereka juga turut mensasarkan beberapa buah masjid dan hospital.

Sementara itu umat Islam diseluruh dunia digesa berdoa supaya Allah menyelamatkan penduduk Palestin dari perancangan jahat musuh-musuh-Nya.

Pemeriksaan Puspakom percuma sempena Aidilfitri

Posted: 10 Jul 2014 01:49 AM PDT

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Bermula hari ini, PUSPAKOM menawarkan pemeriksaan kenderaan secara percuma kepada semua pemilik kenderaan persendirian seluruh negara.

Dalam kenyataan media dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail, pemeriksaan percuma ini merupakan salah satu komitmen dan tanggungjawab korporat PUSPAKOM dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan keselamatan kenderaan.

"Tiada yang lebih penting daripada sampai ke destinasi dengan selamat bersama-sama orang yang tersayang, khususnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pemeriksaan kenderaan ini penting kerana ianya merupakan salah satu kaedah yang terbaik bagi memastikan keadaan kenderaan selamat ketika berada di jalan raya, malah dapat menjaminkan keselamatan semua pengguna jalan raya," tambah beliau.

Pengguna hanya perlu menghubungi cawangan Puspakom berdekatan untuk membuat temujanji untuk mendapatkan waktu pemeriksaan yang sesuai.

Inisiatif terbaru puspakom ini dilihat penting dalam memastikan keadaan kenderaan baik dan selamat menjelang perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri nanti.

Pemeriksaan kenderaan sukarela secara percuma ini merangkumi lapan peringkat pemeriksaan menyeluruh, iaitu pengesahan identiti kenderaan, ujian pengeluaran asap, gelincir sisi, bahagian atas & bawah kenderaan, brek, suspensi dan ketelusan cermin.

Untuk makluman lanjut, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol 1 800 88 6927 atau layari www.puspakom.com.my - Bernama

Gaza: Khaled Meshaal gesa umat Islam tunjuk solidariti

Posted: 10 Jul 2014 01:47 AM PDT

HARAKAHDAILY 






GAZA: Hamas mengingatkan umat Islam tidak hanya berpeluk tubuh dengan sekadar melihat apa yang dilakukan tentera zionis Isreal kepada rakyat Palestin ketika ini.

Ketua Biro Politik Hamas Khaled Meshaal berkata, negara-negara Arab dan Islam khususnya Mesir digesa berhimpun untuk menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin yang sedang dibunuh.

"Ramadan sentiasa menjadi bulan kemenangan kepada orang Islam.

"Ramadan 1973 menyaksikan hari kemenangan bagi rakyat Mesir dan tentera mereka ke atas Israel. Kami mahu sokongan anada," katanya dalam satu temubual di televisyen di Qatar, Doha.

Beliau turut menyalahkan negara Yahudi tersebut sebagai memulakan pencerobohan.

"Rakyat Palestin mempunyai hak untuk mempertahankan diri," kata Meshaal.

Sejak Isnin lalu, Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Palestin dan menyebabkan lebih 53 syahid termasuk wanita dan kanak-kanak.

Aktivis mendakwa tentera rejim menggunakan senjata pemusnah yang dilarang pihak antarabangsa.

Meshaal berkata pihak pertahanan Palestin akan terus memikul tanggungjawab untuk mempertahankan tanah Palestin.

Pihaknya juga menolak sebarang genjatan senjata selagi Palestin tidak dibebaskan sepenuhnya dari cengkaman Zionis Israel.

"Kami tidak mengancam sesiapa, tetapi kita mempunyai hak untuk mempertahankan diri kita sendiri.

"Israel hanya boleh menyalahkan diri sendiri dan pemimpin mereka untuk mana-mana tindak balas berikutnya yang akan berlaku," tegas Meshaal. -

Gaza: Pemuda PAS Perak anjur himpunan esok

Posted: 10 Jul 2014 01:42 AM PDT

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR 


IPOH: Pemuda PAS Negeri Perak akan menganjurkan satu himpunan aman tanda solidariti terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin yang sedang dibedil oleh tentera zionis laknatullah.

Himpunan tersebut akan diadakan pada 11 Julai 2014 (esok) di Masjid Negeri, Ipoh Perak sebaik selesai sahaja menunaikan solat Jumaat.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Mohd Syamsul Alauddin berkata, penganjuran tersebut adalah tanda kebersamaan rakyat Malaysia terhadap saudara Islam di Gaza yang sedang dizalimi tanpa perikemanusiaan oleh regim zionis yang menyerang bertubi-tubi sejak beberapa hari lalu hingga mengakibatkan puluhan terkorban serta ratusan cedera.

Menurutnya, Pemuda PAS Perak selari dengan pendirian PAS Pusat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan regim zionis dan dalam masa yang sama melahirkan kekecewaan dengan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang langsung tidak memberi respons terhadap tindakan terbaharu rejim itu.

"Rakyat Malaysia seharusnya memberikan sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin dan dengan himpunan solidariti ini adalah usaha kerdil yang boleh dizahirkan tanda kebersamaan rakyat Malaysia terhadap umat Islam di Gaza," katanya kepada Harakahdaily.

Oleh yang demikian, Syamsul berkata, Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat untuk hadir serta meluangkan sedikit masa untuk bersama-sama menzahirkan suara kemanusiaan demi rakyat Palestin yang sentiasa dekat dengan hati serta sanubari umat Islam.

PKR, DAP kutuk keganasan Israel di Gaza

Posted: 10 Jul 2014 01:41 AM PDT

HARAKAHDAILY


 


KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya serangan zionis terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sewaktu umat Islam kini menjalani ibadah Ramadhan.

Beliau turut kesal dengan sikap pemimpin negara Islam, terutama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam menyatakan bantahan, lapor KedilanDaily K.

"Kita kutuk sekeras-kerasnya dan kita kesal kerana lambatnya negara Islam bertindak malah OIC baru nak bersidang," katanya.

Sementara itu, DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim zionis Israel yang meneruskan serangannya di Tebing Gaza, serta mendesak masyarakat antarabangsa segera campur tangan bagi menghentikan peningkatan jumlah kematian di sana.

Roket Kini melaporkan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, serangan itu lebih terkutuk memandangkan kepimpinan Hamas sendiri sudah menyeru satu gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran terbaru itu.

Menurut laporan BBC 9 Julai lalu, jurucakap Hamas Osama Hamdan berkata, rundingan gencatan senjata tahun 2012 dapat disambung semula jika Israel menghentikan serangan ke atas wilayah itu dan membebaskan warga Palestin yang ditahan sepanjang dua minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya seruan gencatan senjata Hamas disambut dengan lebih banyak serangan roket daripada Israel, dan diikuti dengan serangan balas daripada Hamas juga.

Oleh itu, ujarnya keadaan kini semakin tidak terkawal dan ramai orang awam, termasuklah kanak-kanak dan wanita menjadi korban.

"Maka kami mengecam tindakan gasar Israel membunuh kanak-kanak dan wanita tidak berdosa. Setakat ini, hanya mereka yang menderita dengan musnahnya rumah dan kehidupan.

"Mengambil kira kehebatan persenjataan Israel, timbul persoalan terhadap kadar serangan balas (konflik kali ini) yang hanya mengorbankan warga Palestin, sedangkan warga Israel terus selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gaza: MB K'tan gesa pusat buat bantahan diplomatik

Posted: 10 Jul 2014 01:39 AM PDT

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Kerajaan PAS Kelantan akan melancarkan tabung kemanusiaan khas untuk mangsa-mangsa kezaliman rejim Israel esok di Medan Ilmu Kota Bharu.

Dalam kenyataan rasmi Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata mereka di peringkat kerajaan negeri sentiasa berdiri teguh bersama-sama umat Islam di sana bagi mempertahankan Gaza dan Baitul Maqdis.

"Kita memohon seluruh rakyat negeri ini secara khusus dan rakyat Malaysia amnya agar memperbanyakkan doa dan membaca qunut nazilah untuk kesejahteraan umat Islam Palestin dan kehancuran kepada rejim Israel,"katanya di laman Facebooknya.

Katanya, Allah telah menjelaskan tentang kebiadaban Bani Israel yang sanggup membunuh para Nabi yang diutuskan kepada mereka.

Namun, jelasnya, pada hari ini, saki baki keturunan mereka telah melakukan kefasadan yang sama dengan membunuh para penegak kebenaran dan rakyat awam di Palestin.

"Kini mereka menodai lagi masyarakat awam Gaza seolah-olah berperang dengan bala tentera yang besar dan terbaru dilaporkan seramai 72 orang telah syahid sementara ratusan yang lain cedera parah,"katanya.

Malangnya kata beliau, pemimpin mereka termasuk Perdana Menteri Israel sendiri mempertahankan tindakan rejimnya yang melakukan serangan tersebut dengan alasan bagi mengembalikan keamanan dan keselamatan kepada penduduk Israel, sedangkan penempatan mereka secara tidak sah itulah yang mengancam kedudukan umat Islam Palestin.

"Saya dan pihak kerajaan negeri Kelantan mengutuk sekeras-kerasnya dan meminta agar pimpinan tertinggi kerajaan pusat mengarahkan melalui Kementerian luar untuk membuat bantahan diplomatik selain menggesa pihak-pihak berkuasa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghentikan keganasan ini dengan kadar segera," katanya.

Bumi Gaza kini sedang bermandikan darah kerana kerakusan tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan apabila melepaskan serangan bertalu-talu tanpa menghiraukan orang awam akibatnya ramai kanak-kanak dan wanita tidak berdosa terbunuh.

Gambar-gambar mangsa kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin mula dikongsi di laman sosial bahkan tidak kurang juga cemuhan dan kecaman dilemparkan kepada Isreal.

Dan ramai juga pengguna media sosial melahirkan rasa simpati, sedih serta berdoa agar kepada Yang Esa agar memberi kekuatan kepada penduduk Palestin bagi menghadapi tentera Israel.

Israel mula membedil Palestin pada 3 Julai lalu ketika rakyat negara itu sedang bersahur.

PAS tidak izin ahli terlibat dengan kumpulan radikal

Posted: 10 Jul 2014 01:37 AM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: PAS dengan tegas tidak mengizinkan mana-mana ahli terlibat dengan kumpulan-kumpulan radikal sama ada di luar negeri ataupun di dalam negeri.

"Sekiranya didapati ada, maka kita tidak teragak-agak akan mengambil tindakan dengan memecat mereka daripada keahlian PAS," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meneliti dengan penuh berhati-hati terhadap perkembangan terkini yang berlaku di Iraq dan Syria dan meminta kepada ahli, penyokong dan seluruh rakyat supaya dapat memahami segala bentuk percaturan yang sedang berlaku dengan proksi-proksinya.

Adalah ditegaskan bahawa PAS adalah tetap mengambil pendekatan demokrasi menerusi pilihanraya dan inilah pendekatan yang kita perkenalkan kepada semua rakan-rakan dalam gerakan Islam di seluruh dunia.

Ini jugalah yang saya tekankan dalam ucapan saya kepada kepimpinan parti-parti berteraskan Islam di negara lain dalam persidangan anjuran Economic and Social Researches Center di Turki pada bulan lepas. Pendekatan ini adalah yang terbaik pada masa ini bagi menghadapi masalah dalaman negeri umat Islam sendiri dengan menekankan prosesnya secara damai dan demokrasi.

Sebab itu PAS tidak bersetuju dengan pendekatan yang berlaku di Syria dan Iraq yang mengambil cara perang untuk menyelesaikan masalah dalaman negara umat Islam. Ianya juga bercanggah dengan konsep jihad dalam al-Quran dan Sunnah yang diamalkan oleh para Khulafa' di sepanjang zaman.

Para Khulafa' ar-Rasyidin, Zaman Amawiyah, Zaman Abbasiyah dan Zaman Uthmaniyyah, kesemua mereka menyelesaikan masalah dalaman umat, dan pendekatan perang adalah terakhir dan sangat berhemat. Sehingga Saidina Ali bin Abi Talib R.A hanya bertindak kepada golongan Khawarij apabila mereka mengangkat senjata. Apabila mereka tidak mengangkat senjata, maka dihadapinya dengan sabar.

Begitulah kaedah kita menghadapi kerajaan-kerajaan yang zalim sepanjang zaman dalam krisis dalaman umat Islam. Bahkan kerajaan Uthmaniyyah sendiri semasa pemerintahan mereka telah meletakkan kumpulan Druze yang dianggap kumpulan serpihan umat di luar daripada Islam ke satu kawasan di Lubnan, dan kumpulan Yazidiyah diletakkan di Iraq tanpa pendekatan secara bersenjata.

Pendekatan ini juga adalah metode yang berasalkan dari pendekatan kajian ulama-ulama di masa itu, untuk mengelakkan diri dari orang-orang dan kelompok yang jahil dalam masalah agama sehingga merosakkan umat sendiri dan menghukum tanpa hati-hati.

Dengan sebab itu, PAS dengan tegas tidak mengizinkan mana-mana ahli PAS terlibat dengan kumpulan-kumpulan radikal sama ada di luar negeri ataupun di dalam negeri. Sekiranya didapati ada, maka kita tidak teragak-agak akan mengambil tindakan dengan memecat mereka daripada keahlian PAS.

250 penduduk DUN Pelabuhan Klang terima kupon raya

Posted: 10 Jul 2014 01:35 AM PDT

Oleh: AFEEQA AFEERA


KLANG,: Seramai 250 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menerima bantuan kupon raya bernilai RM100 setiap seorang sempena program Jom Shopping Raya tajaan Kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban penerima bagi membuat persiapan menjelang Aidilfitri, di samping dapat melaksanakan ibadah puasa dengan lebih ceria dan sempurna.

Katanya, Kerajaan Negeri menetapkan sejumlah 500 kupon untuk diagihkan kepada penerima yang layak di DUN berkenaan, namun hanya sebahagian yang hadir menerima kupon berkenaan.
MB berbuka di Masjid Al-Rahman Pandamaran Jaya (90)a
"Manakala, penerima selebihnya khususnya dari kampung yang agak jauh seperti Pulau Indah dan Teluk Gong, pejabat saya akan menghantar surat kepada penerima berkenaan. Saya jelskan perkara ini kerana khuatir ada pula penerima yang berkecil hati apabila nama mereka tidak tersenarai pada hari ini (semalam).

"Sumbangan ini adalah sebagai antara dorongan dan galakan moral Kerajaan Selangor terhadap pembangunan rohani serta jasmani penduduk di negeri ini," katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Kupon Jom Shopping di Masjid Ar-Rahman, Pandamaran Jaya, dekat sini, semalam.

MB berbuka di Masjid Al-Rahman Pandamaran Jaya (183)aTradisi mengembalikan hasil negeri kepada rakyat diteruskan lagi apabila Kerajaan Selangor memperuntukkan RM2.8 juta dalam Program Jom Shopping Raya kali ini.

Sama seperti tahun lalu, program itu disasarkan bagi meringankan warga emas dan golongan kurang berkemampuan membuat persediaan menyambut hari raya.

Selain Jom Shopping Raya, program seumpamanya turut dijalankan iaitu Jom Shoping Tahun Baru Cina dan Jom Shopping Deepavali.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata, usaha Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 sememangnya memberikan pelbagai bantuan untuk meringankan pendapatan dan meringankan kos sara hidup pelbagai lapisan masyarakat majmuk di negeri itu.

MB berbuka di Masjid Al-Rahman Pandamaran Jaya (197)aKatanya lebih 20 program, skim dan insentif bagi faedah majmuk rakyat Selangor sedang dilaksanakan melalui dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

"Sebanyak RM1.5 bilion sudah kita belanjakan bagi menjayakan program MES, yang mana penerima faedahnya kini melebihi tiga juta orang. Dasar MES adalah untuk semua lapisan masyarakat dan kebanyakan bantuan ini, kita berikan setiap bulan kepada penerima yang layak," katanya.
-NFN-

Bayi lapan bulan jadi cagaran

Posted: 09 Jul 2014 10:43 PM PDT

Sivasubramaniam berharap kes melibatkan mangsa (kiri dan kanan) dapat diselesaikan segera kerana bimbang kemungkinan ada kaitan culik dengan tujuan pemerdagangan manusia Sivasubramaniam berharap kes melibatkan mangsa (kiri dan kanan) dapat diselesaikan segera kerana bimbang kemungkinan ada kaitan culik dengan tujuan pemerdagangan manusia


IPOH –  Gara-gara desakan kewangan, seorang ibu bersetuju meminjamkan anaknya selama dua hari sebagai cagaran pinjaman wang daripada seorang wanita.

Bayi berusia lapan bulan itu diserahkan kepada seorang wanita dikenali sebagai Ayu, 38, 15 Mei lalu sebagai jaminan pinjaman RM3,500 untuk digunanya melangsaikan bayaran 15 saman trafik suami, dua bulan lalu.

Malangnya, perjanjian dua hari itu bertukar sebaliknya, ibu malang itu kini berputih mata anak kesayangan bersama wanita terbabit gagal dikesan sehingga ke hari ini.

"Perjanjian itu bertukar sebaliknya apabila dia (wanita dikenali Ayu) mahu saya selesaikan pinjaman wang sebelum bersetuju menyerahkan semula anak saya.

"Perjanjian itu dibuat di hadapan seorang pegawai polis yang berpangkat inspektor di sebuah balai polis termasuk menandatangani dokumen yang tidak diketahui isi kandungannya. Secara lisan, dia memberitahu untuk menjaga anak saya selama dua hari.

"Selepas dua hari, saya gagal menghubunginya termasuk menggunakan 'orang tengah' yang juga jiran yang dikenali Rani yang memperkenalkan wanita itu.

"Sejak dari kejadian itu, saya tidak dapat mengesan anak bongsu saya dan difahamkan mereka tinggal di Puchong, Selangor," katanya yang membuat aduan kepada Adun Buntong, A Sivasubramaniam di Wisma DAP Negeri di  sini, semalam.

Ibu tersebut berkata, dia bukan sahaja berasa sedih tetapi bimbang dengan tahap kesihatan anaknya itu berikutan perlu mendapatkan vaksin seperti yang telah dijadualkan pihak hospital.

"Apabila ditanya kepada pegawai polis terbabit jawapan diterima amat mengecewakan apabila beliau menyatakan anaknya hanya sihat tanpa ada sebarang usaha untuk mengembalikan anak saya seperti yang dijanjikan.

"Saya tidak tahu niat sebenar wanita terbabit mahukan anak saya tetapi perasaan bimbang itu ada apabila mengenangkan banyak insiden kanak-kanak diculik dan di antara mereka seperti satu komplot," katanya.

Menurutnya, dia mengakui tidak pernah mengenali wanita terbabit melainkan hanya berurusan dengan pihak ketiga yang juga pengasuh kepada anak bongsunya itu.

"Ayu selalu datang ke rumah Rani (jiran) saya untuk bermain-main dengan anak saya selain menyatakan rasa terlalu menyayangi anak kecil. Malah, Rani akan menjaga anak saya itu setiap Sabtu dan Ahad.

"Lebih membimbangkan, bapa mentua Ayu yang ditemui di balai memberitahu sijil kelahiran dan nama anak saya telah ditukar. Rani pula mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam masalah ini menyebabkan saya buntu," katanya.

Ini kes serius: Adun

Sementara itu, Sivasubramaniam memohon Ketua Polis Perak mengarahkan kes itu diselesaikan segera kerana bimbang banyak insiden kanak-kanak diculik untuk tujuan pemerdagangan manusia.

"Saya telah menghubungi pegawai polis yang terlibat dalam kejadian itu dan mengakui insiden itu berlaku di hadapannya dan beliau juga mengetahui perkara ini.

"Satu laporan polis telah dibuat dan diharapkan semua pihak dapat mengesan bayi ini  untuk dikembalikan semula kepada ibunya," katanya.

62 syarikat serah zakat perniagaan RM2.3 juta kepada LZS

Posted: 09 Jul 2014 10:26 PM PDT

Oleh: LIZAWATI MADFA


SHAH ALAM, : Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan daripada 62 buah syarikat berjumlah RM2.3 juta dalam satu majlis berbuka puasa, di sini, semalam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Moh Isa, berkata zakat perniagaan sememangnya memainkan peranan dalam kutipan zakat.

"Pada tahun lepas, zakat perniagaan menyumbang RM92 juta daripada RM517 juta zakat di Selangor.
_MG_7316"LZS mensasarkan peningkatan kutipan zakat perniagaan setiap tahun sesuai dengan potensi besar di negeri ini," katanya.

Beliau berucap demikian di hadapan lebih 100 hadirin dalam Majlis Bayaran Zakat Perniagaan dan Iftar Ramadan yang diadakan di Hotel Blue Wave, di sini.

Hadir sama adalah Mufti Negeri, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad dan wakil syarikat pembayar zakat perniagaan.

Syarikat Advance Air Traffic System (M) Sdn Bhd mendahului senarai syarikat pembayar dengan jumlah zakat RM353,782 diikuti anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dengan RM298,045 serta Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (RM 174,946).

Pada majlis sama, Adzib turut menyempurnakan agihan bantuan kepada tujuh individu berjumlah RM282,665.

_MG_7250Penerimanya adalah Nor Hafizah Hasan yang menerima bantuan perubatan kerapuhan tulang RM22,800, Muhammad Zaher Zahali (dialisis) RM31,920 dan Jaafar Abdul Razak (baik pulih rumah) RM21,500.

Sementara itu, baki empat penerima yang lain mendapat bantuan melanjutkan pengajian iaitu Nadzatul Athirah Ismail, Muhamad Arif Mohd Ajmain dan Nurhawa Mahani Bakin yang menerima RM64,000 masing-masing, manakala Siti Nor Aishah Jamhari menerima RM14,445.-NFN-

Mangsa Serangan Seksual Di NZ Bersuara

Posted: 09 Jul 2014 10:16 PM PDT


MSTAR ONLINE
 
 
Tania Billingsley ketika ditemuramah oleh saluran berita Channel 3 di New Zealand.
 
 
PETALING JAYA: Wanita yang mendakwa dirinya diserang secara seksual oleh pegawai diplomat warga Malaysia di New Zealand mahu namanya didedahkan supaya dia dapat membantu menangani masalah keganasan seksual di negara itu.
Tania Billingsley, 21, berkata, dia bukanlah "orang yang berada di tempat kejadian" tetapi dia mempunyai banyak perkara untuk diperkatakan mengenai serangan berkenaan.
"Ini kerana saya berharap dengan mendedahkan siapa saya dan bersemuka untuk meletakkan mangsa yang mendakwa membolehkan saya membantu menangani sebahagian isu berkaitan dengan keganasan seksual di negara ini," katanya dalam satu temuramah bersama saluran berita Channel 3 di New Zealand pada Rabu.
Pegawai Waran II, Muhammad Rizalman Ismail, yang merupakan pembantu pegawai pertahanan bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, didakwa melakukan serangan seksual terhadap Billingsley di kediamannya di Wellington.
Muhammad Rizalman dilaporkan mengikut wanita itu yang pulang ke rumahnya di Brooklun pada malam 9 Mei dan didakwa melakukan serangan dengan niat untuk merogol.
Billingsley berkata, dia hanya menyedari status diplomatik Rizalman pada 11 Mei, pada hari ulang tahun kelahirannya.
"Saya berada di balai polis pada pagi itu dan diberitahu bahawa dia (Rizalman) merupakan seorang diplomat," katanya.
Rizalman, 38, pulang ke Malaysia pada 22 Mei lalu selepas Suruhanjaya Tinggi Malaysia dilaporkan menolak permintaan Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan New Zealand untuk mengetepikan kekebalan diplomatiknya bagi membawanya untuk didakwa di New Zealand.
Billingsley mendapat tahu mengenai Rizalman meninggalkan negara itu pada hari yang sama.
"Saya mendapat tahu bahawa dia akan pulang (ke negaranya) pada hari dia bertolak. Sejak itu, polis begitu bekerjasama untuk memberi maklumat kepada saya, malah bila mereka sendiri tidak tahu untuk apa yang dapat dimaklumkan.
"Saya mendapat panggilan telefon dan seperti, 'Anda hendak tahu bahawa kami baharu sahaja mendapat tahu dia meninggalkan negara hari ini'.
"Sudah tentu saya kecewa dan marah kerana sejak awal lagi berkata yang saya mahu dia berada di New Zealand dan diadili di sini, tambah Billingsley.
Media Dominion Post pula melaporkan bahawa Hakim Bruce Davidson membenarkan permohonan di Mahkamah Daerah Wellington untuk mengetepikan sekatan terhadap namanya pada Rabu, menerusi saluran berita Channel 3.
Rizalman ketika ini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk penilaian perubatan.
Pada 2 Julai lalu, Malaysia memutuskan untuk menghantarnya kembali ke New Zealannd untuk membantu siasatan meskipun tarikh untuk pergi ke negara itu masih belum ditetapkan.
Kementerian Pertahanan menubuhkan Lembaga Siasatan untuk menyiasat kes tersebut.

13 Mei: Muhyiddin bagai melaga-laga kaum- Anwar

Posted: 09 Jul 2014 10:13 PM PDT

Oleh: Fiza Halim


KAJANG: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tan Sri Muhyidin Yassin sepatutnya memupuk kerjasama dan persefahaman antara kaum dan bukan menimbulkan ketakutan kepada rakyat dengan sentimen perkauman.

Menurutnya, timbalan perdana menteri itu perlu memberi contoh yang baik dan teladan kepada rakyat, dan sebagai pemimpin harus menanamkan semangat persefahaman di kalangan mereka.

"Bulan Ramadan ini, beliau harus tanamkan tradisi persefahaman, bukan takut-takutkan rakyat.

"Apa-apa pun kita harus berpandukan Al Quran, itu asas dalam kehidupan kita," katanya selepas solat tarawikh dan tazkirah di Surau Saujana Impian dekat sini.

Muhyidin baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila memberi amaran mengenai peristiwa hitam 13 Mei akan berulang semula sekiranya perlembagaan negara dipersoal.

Tindakan itu menerima kritikan pelbagai pihak yang menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai bahaya kepada hubungan kaum.

Tambah Anwar, sentimen perkauman tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia boleh membuat salah faham antara kaum- kaum yang ada di negara ini.

"Ini boleh menyebabkan salah faham, dan ia bagaikan melaga-lagakan lagi sentimen perkauman," jelasnya.

Rakyat Brazil Bakar Bas

Posted: 09 Jul 2014 10:12 PM PDT

RAKYATNEWS


alt

 

BELO HORIZONTE  - Beberapa buah bas dibakar dan kedai elektronik dipecah masuk di Sao Paulo, pagi ini ekoran kekalahan memalukan 1-7 Brazil kepada Jerman dalam aksi separuh akhir Piala Dunia di sini.

Polis bagaimanapun tidak memberi sebarang butiran berhubung insiden itu namun akhbar Folha de Sao Paulo melaporkan dalam portal media berkenaan, kira-kira 20 buah bas dibakar di dalam sebuah garaj yang menempatkan kenderaan yang tidak digunakan.

Tiga lagi buah bas dibakar di beberapa kawasan lain di bandar Sao Paulo

Sementara itu, Jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari memohon maaf kepada rakyat negara itu semalam setelah pasukannya menghadapi kekalahan paling teruk dalam sejarah Piala Dunia oleh Jerman.

"Kami memohon maaf. Kepada penyokong, maafkan kami atas kesilapan negatif ini," katanya yang masih dalam keadaan terkejut selepas Brazil dibelasah 7-1 dalam pertembungan krisis separuh akhir semalam.

Jurulatih bagi pasukan yang menjuarai Piala Dunia pada 2002 itu mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas prestasi Brazil itu.

"Saya bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukan pemain di padang - dan saya rela dipersalahkan atas keputusan itu. Saya meminta maaf kerana kami tidak berjaya mencapai sasaran. Penyokong tetap memberi sokongan walaupun Brazil ditundukkan dengan lima, enam dan tujuh gol oleh Jerman," katanya.

Raja Azmi Ingin 'Pergi' Dengan Tenang Seperti Sharifah Aini

Posted: 09 Jul 2014 10:10 PM PDT

 
 
alt
 
 
 
Kematian biduanita negara Datuk Sharifah Aini menjadi inspirasi kepada penerbit filem sensasi Raja Azmi yang ingin meninggal dunia dalam keadaan tenang.
 
Sehubungan itu, Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiman 55, mengambil tindakan membuang lebih 300 keping gambar-gambar lamanya tidak bertudung yang dimuat naik di laman Instagram.
 
"Selepas sembahyang subuh hati saya terdetik untuk membuang gambar-gambar lama yang tidak bertudung, saya rasa gambar-gambar itu tidak sesuai untuk dipertontonkan lagi kepada umum, kalau boleh saya mahu pergi seperti Allahyarham Sharifah Aini.
 
"Saya lihat pemergian Allahyarham Sharifah Aini Ahad lalu sangat tenang dan di dalam keadaan yang dia sudah bersedia untuk menemui tuhan. Allahyarham meninggal dalam bulan Ramadan dan Allah permudahkan segala urusan kematiannya, dia juga bertuah mendapat anak yang soleh," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
 
Sharifah Aini meninggal dunia di Pusat Pakar Damansara di sini pada Sabtu lalu pada usia 61 tahun akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah fibrosis paru-paru.
 
Raja Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas tentang status terbaharu di laman sosial tersebut yang mengakui tenang selepas membuang gambar-gambar lama tersebut.
 
Bagaimanapun, Raja Azmi berkata, dia tidak mempunyai halangan jika gambar-gambar tidak bertudungnya keluar daripada simpanan pihak lain terutama media.
 
Dalam pada itu, katanya, sebagai insan yang baharu sahaja berhijrah, dia sentiasa mencari dan berusaha untuk membetulkan kesilapan yang pernah dilakukannya.
 
"Alhamdulillah, saya rasa sangat tenang lepas membuang gambar-gambar tersebut, selepas bertudung ini saya banyak mencari apa yang tidak betul lagi dalam diri saya.
 
"Saya nampak Allah taala tunjuk satu persatu apa yang patut saya perbaiki bagi menjadi seorang insan yang lebih baik," katanya.
 
Sementara itu, sepanjang Ramadan ini, Raja Azmi berkata dia banyak menolak undangan berbuka puasa sepanjang Ramadan kali ini.
 
Katanya, dia mengambil peluang bulan puasa ini untuk melakukan sebanyak mungkin ibadah dan melakukan solat terawih.
 
"Ramadan kali ini saya banyak tolak undangan berbuka puasa sebab tidak mahu tertinggal solat terawih.
 
"Bulan ini juga saya mula mengaji semula dan banyak membuat ibadah bagi mendapatkan keberkatan," katanya.

Abdullah Sani Diberi Surat Tunjuk Sebab

Posted: 09 Jul 2014 10:03 PM PDT

RAKYATNEWS


alt


 
SHAH ALAM  - Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid diberikan surat tunjuk sebab kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, pihaknya menuntut penjelasan beliau kerana mengeluarkan kenyataan yang bertajuk 'Abdul Khalid perlu akur 'Langkah Kajang''.

"Abdullah Sani akan diberi surat tunjuk sebab untuk mendapatkan penjelasan beliau berkenaan kenyataan media tersebut," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Abdullah Sani menafikan beliau diberi arahan oleh Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali untuk mengerakkan gelombang menjatuhkan Abdul Khalid.

Abdullah Sani sebaliknya menjelaskan kenyataan beliau itu adalah desakan dalaman parti dan menepis dakwaan Azmin mahukan jawatan menteri besar.

Katanya, kenyataan itu dibuat berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Kepimpinan Pusat PKR yang dipengerusikan Presiden Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 15 Januari lalu.

Sementara itu, Lembaga Disiplin PKR turut menggantung keanggotaan dua ahlinya selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta sehingga siasatan selesai.

Saifuddin Shafi Muhammad dari cabang Hulu Selangor digantung keanggotaan kerana membocorkan minit mesyuarat Biro Politik kepada umum melalui akaun Twitternya pada 14 Mei lalu.

Vasantha Kumar a/l Krishnan dari cabang Hulu Langat pula, digantung kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadap anggota parti sewaktu pemilihan cabang itu pada 11 Mei lalu.

Manakala, Nor Asmah Baharuddin dari cabang Bandar Tun Razak, diberi surat tunjuk sebab dan digantung keahlian kerana mengeluarkan kata-kata kesatnya terhadap parti dalam Facebooknya 26 Jun lalu, namun tempoh penggantungan tidak dinyatakan.

Amaran Kepada Gereja, Jangan Cari Masalah

Posted: 09 Jul 2014 10:01 PM PDT

Syafiq Syazwan



alt


KUALA LUMPUR  - Pihak gereja diminta untuk tidak terus menerus mencari masalah dengan berkeras untuk menggunakan Kalimah Allah bag mentafsir God bagi agama Kristian yang membawa erti lain dari maksud bagi umat Islam.

Bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, tindakan pihak gereja itu hanya akan mendatangkan masalah kepada masyarakat secara umumnya.

"Sebelum itu pun, kefahamannya kalimah Allah untuk orang Islam tetapi selepas Herald gunakan keluar arahan kepada mereka larangan untuk menggunakannya.

"Bagi orang Islam ia bukan sekadar kalimah, tetapi penyataan kepercayaan. Bila mereka sudah lalui proses mahkamah, hormatilah keputusan mahkamah. Tidak kisahlah apa jua keputusan mahkamah,"katanya yang dipetik dari Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang bertekad untuk menggunakan 'Allah' bagi acara keagamaannya seungguhpun telah dilarang ooleh Mahkamah Persekutuan.

Jelas Syed Hamid, CFM tidak perlu mencetuskan kontroversi atau provokasi dan perlu menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam hal ini.

"Tidak kisahlah keputusannya 4-3 atau sebaliknya. Itu bukan soalnya. Proses kehakiman pun sudah dibuat.

"Negara ini akan lebih aman dan harmoni jika kita hormati keluhuran Perlembagaan. Jika semuanya dikelirukan, apa kesannya?," ujarnya.

Tegasnya lagi, negara akan menjadi lebih aman sekiranya tiada perselisihan seumpama ini dalam negara yang boleh mengakibatkan perpecahan kaum jika ianya terus berlarutan.

"Ini penyataan kepercayaan dan jika mereka cabar, kita perlu berhati-hati supaya mereka tidak melahirkan suasana di mana menyinggung perasaan dan membangkitkan masalah di kemudiannya.

"Kita hairan macam mana daripada Lord, God, mereka terjemah kepada Allah dalam bahasa Melayu?," katanya lagi.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan akhbar The Herald tidak boleh menggunakan kalimah Allah bagi mentafsir God lantas menafikan sebarang cubaan seumpamanya bagi penganut Kristian untuk menyamai 'Allah' dengan God bagi agama Kristian.

Presiden CFM Dr Eu Hong Seng walaubagaimanapun bertegas untuk menggunakan 'Allah'kerana dakwanya ia telah lama dipraktikkan terutama di Sabah dan Sarawak.

Suspek ditetak senjata sendiri ketika cuba samun

Posted: 09 Jul 2014 09:52 PM PDT

MALAYSIAKINI


Seorang lelaki cedera parah akibat dipukul dan ditetak dengan senjatanya sendiri ketika cuba menyamun sebuah rumah di Kampung Tanjung Selabu, Bukit Pasir di Muar semalam.
  
Dalam kejadian  pada jam 10.30 pagi itu, Lau Teng Siew, 43, berkata beliau tiba-tiba ditetak dengan parang oleh suspek sebaik sahaja membuka pintu rumahnya.

"Sebaik membuka pintu kayu itu, kepala saya terasa sakit dan darah mula mengalir di bahagian dahi sehingga penglihatan saya menjadi samar-samar. Tanpa berfikir panjang, saya mencapai kerusi dan memukul lelaki bertopeng itu berulang kali hingga patah.
  
"Saya nekad merampas parang yang dipegang lelaki itu dan menetaknya," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar petang semalam.
  
Menurutnya walaupun penglihatannya samar-samar, beliau dapat memukul suspek berusia 58 tahun itu berulang kali sehingga senjatanya terlepas dari pegangannya.
  
Lau berkata tindakannya itu telah mengejutkan suspek yang kemudian menjerit memintanya berhenti memukulnya.
  
Mangsa kemudian dibantu oleh jiran-jirannya yang menghubungi polis bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
  
Suspek yang dirawat di hospital sama dipercayai mengalami patah tulang rusuk kanan, cedera parah di kepala akibat ditetak dengan senjata tajam dan cedera di kedua-dua belah tangannya.
  
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, yang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun.- Bernama

Bangunan di Chow Kit bakal rumah perlindungan

Posted: 09 Jul 2014 09:50 PM PDT

MALAYSIAKINI


Sebuah bangunan di Chow Kit telah dikenal pasti sebagai lokasi untuk dijadikan rumah perlindungan buat golongan gelandangan di ibu kota, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri
Ahmad Phesal Talib.
  
Beliau berkata pihaknya merancang kemungkinan untuk mendapatkan beberapa unit dan tingkat dalam bangunan itu khas buat menempatkan mereka yang hidup secara gelandangan.
  
"Bahagian bawah (bangunan itu) mungkin boleh buat perkhidmatan seperti rawatan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas menyertai tinjauan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap golongan gelandangan di sekitar Bangunan Cahaya Suria, Jalan Tun Perak  malam tadi.
  
Perdana Menteri yang tiba pada jam 10.40 malam meluangkan masa kira-kira sejam melihat sendiri aktiviti pengagihan makanan dan minuman oleh sukarelawan Dapur Jalanan, selain turut berjalan kaki melihat keadaan di sekitar jalan berkenaan.
  
Najib, yang turut ditemani Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, meluangkan masa untuk beramah mesra dengan beberapa gelandangan yang tidur di tepi jalan termasuk di perhentian bas.
  
Sementara itu, Rohani berkata perdana menteri telah mengarahkannya memastikan golongan gelandangan yang berusia 60 tahun ke atas ditempatkan di Rumah Seri Kenangan kendalian kementerian itu.
  
"Kalau umur ini (60 tahun) baiklah mereka berada di Rumah Seri Kenangan supaya senang (dijaga)," katanya.
  
Mengenai kanak-kanak yang turut hidup sebagai gelandangan dengan ibu atau bapa mereka, Rohani berkata masalah itu agak sukar diatasi kerana terdapat kalangan ibu atau bapa yang enggan menyerahkan anak mereka untuk dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  
"Kita nak mereka kalau boleh letak anak-anak mereka dengan kita untuk kita jaga sementara mereka cari kerja. Tapi ibu bapa ini tak nak pisah, maka kita kena ikut dan hormati kehendak mereka," katanya.- Bernama

Najib mahu mohon batal saman balu PI Bala

Posted: 09 Jul 2014 09:44 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Peguam yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor telah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa mereka akan memohon untuk membatalkan saman yang difailkan oleh balu dan anak-anak P Balasubramaniam.

Peguam-peguam untuk defendan lain, termasuk dua adik lelaki Najib,
turut membayangkan bahawa mereka juga akan memohon untuk membatalkan saman itu.

Berikutan ini, mahkamah menetapkan 6 Ogos untuk pengurusan kes bagi defendan dalam kes itu memfailkan permohonan pembatalan tersebut.

Perkara itu dimaklumkan ketika pengurusan kes hari ini di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Norfauzani Mohd Nordin. Balu Bala, A  Santamil Selvi, dan tiga anaknya diwakili oleh peguam Americk Sidhu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa mereka telah memfailkan saman itu, untuk menuntut lebih RM1 juta, sebagai gantirugi dan kehilangan pendapatan kerana Bala dan keluarganya terpaksa hidup dalam buangan di India akibat daripada penarikan balik akuan berkanun oleh penyiasat persendirian itu.

MCA: M'sia tak perlu dikaitkan dengan neo-Nazi

Posted: 09 Jul 2014 09:39 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


MCA mengakui reputasi Malaysia terjejas dengan tindakan anggota parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin memuji Adolf Hitler selepas kemenangan besar Jerman terhadap Brazil dalam Piala Dunia.

Pengerusi Biro Keharmonian MCA Ti Lian Ker (kanan) mengakui reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa menjadi taruhan dan tidak perlu dikaitkan dengan fahaman neo-Nazisme.

"Cukup buruk akhirnya Malaysia terkenal dengan tindakan seorang rakyatnya yang dilaporkan menjadi militan dengan menyertai kumpulan pengganas Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL).

"Kita juga tidak perlu dikenali sebagai negara yang menyokong neo-Nazisme dan kepercayaan rosak terhadap kekuatan genetik bangsa Aryan, dan penghapusan etnik yang dianggap lebih rendah," katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, kenyataan Bung itu memalukan dan sekali gus mengejutkan apabila beliau memberikan penghormatan kepada Hitler.

Ti juga mengingatkan bahawa Piala Dunia bebas bebas daripada unsur politik.

Bung ditimpa kontroversi semalam selepas memuji kemenangan 7-1 Jerman dalam perlawanann separuh akhir Puala Dunia 2014.

Menulis di Twitter, beliau memuji Hitler dan menyamakan usaha pasukan pemenang dengan perjuangan pemimpin Nazi itu.

Tindakan itu memberikannya liputan meluas termasuk media antarabangsa dan mengundang kritikan hebat padanya.

MP: Paksa Bung undur

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa mengarahkan Bung maaf atau memaksanya meletakkan jawatan.


"Tweet awal Bung itu sangat menyinggung perasaan dan tingkah lakunya tidak boleh diterima sebagai seorang ahli parlimen.

"Penolakan permohonannya dan kejahilannya membela diri lebih-lebih lagi tidak boleh diterima.

"Banyak ahli politik dalam negara-negara demokratik meletakkan jawatan kerana membuat kenyataan taksub dan perkauman," kata anggota Parlimen Serdang Ong Kian Ming (kiri).

"Oleh kerana Bung nampaknya tidak akan memohon maaf atau meletakkan jawatan ekoran kenyataannya, saya tuntut PM Najib meminta anggota parlimen Kinabatangan itu meminta maaf secara terbuka...

"Dan minta beliau letak jawatan sebagai anggota jawatankuasa pusat Umno dan MP Kinabatangan, sebagai tanda bahawa beliau seorang PM yang meletakkan nilai kepada reputasi Malaysia, reputasi parlimen Malaysia dan juga reputasi partinya sendiri Umno di peringkat antarabangsa.

Berhenti merokok di bulan puasa

Posted: 09 Jul 2014 04:31 PM PDT




Oleh Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AH G)


AMALAN puasa Ramadan seharusnya bantu cemerlangkan diri dari segi minda, psiko-emosi, fizikal dan spiritual. Perokok tegar merupakan individu yang mendapati diri mereka sukar untuk berpuasa dalam Ramadan. Baru beberapa jam berpuasa mereka berasa tidak selesa kerana mengalami kesan ketagihan.

Nikotin daripada tembakau merupakan bahan utama yang menyebabkan perokok berasa cergas sebaik-baik sahaja merokok. Ia berlaku kerana nikotin menyebabkan paras gula meningkat. Bagaimanapun merokok menyebabkan peningkatan paras gula berlaku secara mendadak. Malah penurunan paras gula juga mendadak.

Tidur adalah perbuatan terlarang pada waktu pejabat. Perokok yang tidak tahan mengantuk akan sanggup curi-curi tidur sekiranya mendapati bos tiada dalam pejabat.

Jadi, penagih rokok sebenarnya menghadapi kesukaran menghadapi waktu berpuasa pada siang hari sepanjang Ramadan.

Puasa merupakan ibadah yang membawa berkat dan nikmat kepada seluruh umat Islam. Namun ia didapati sebagai amalan yang menyeksa bagi penagih rokok, gula dan kopi. Sebab itu kadang-kadang anda terdengar rungutan daripada golongan isteri mengenai suami mereka yang ketagihan rokok sering ponteng puasa. Belum pun sampai waktu tengah hari penagih rokok sudah berbuka dengan merokok.

Interpretasi meleset

Kerana menghormati Ramadan, sesetengah penagih rokok hanya berbuka dengan menghisap rokok. Mereka tidak makan dan tidak minum.

Merokok merupakan seolah-olah suatu perbuatan yang memberikan mereka nyawa. Tidak dapat merokok selama berjam-jam
dianggap sebagai pemutus nyawa. Berbuka dengan merokok pula diterima sebagai sumber kehidupan!

Pencandu atau penagih rokok biasanya mempunyai tabiat atau kebiasaan berikut. Mereka akan merokok sebaik-baik sahaja lepas makan.

Mereka merokok ketika minum waktu rehat tidak kira apabila bersendirian atau bersama rakan. Merokok ketika buang air besar adalah perbuatan wajib bagi mereka. Mereka selalu hilang pada waktu bekerja hanya kerana perlu lepaskan gian untuk merokok.

Terdapat segelintir pemandu bas ekspres yang merokok ketika memandu bas yang sedang dipenuhi penumpang. Jika ada penumpang cuba menegur, mereka akan memberikan pelbagai alasan.

Pertama mereka akan mengantuk jika tidak merokok. Alasan kedua ialah asap rokok keluar dari bas kerana mereka buka tingkap di sebelah kanan ruang pemandu. Alasan lain ialah mereka hanya hisap rokok bukan hisap dadah!

Walaupun buka tingkap, asap rokok tetap meliputi ruang penumpang. Kalau tidak masakan penumpang merasa terganggu dengan bau asap rokok. Wahai golongan pemandu bas ekspres yang merokok ketika memandu bas yang membawa penumpang, ingat-ingatlah merokok ketika memandu bas adalah salah di sisi undang-undang.

Sebahagian perokok pula akan merokok sesuka hati tidak kira di mana mereka berada seperti di restoran. Kerana hendak jaga hati pelanggan, pemilik restoran pula menyediakan bekas puntung rokok mudah alih yang kadang-kadang dibubuh di semua meja.

Ramai juga yang merokok ketika berada bersama keluarga yang dianggotai oleh remaja dan kanak-kanak contohnya ketika berehat dan memandu.

Sesetengahnya mempunyai tabiat yang buruk iaitu mengirim beli rokok kepada isteri, anak perempuan dan anak lelaki bawah umur.

Ramadan ialah bulan muhasabah. Menahan diri daripada makan dan minum serta daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa termasuk merokok, sepatutnya dijadikan sebagai latihan yang memberi kekuatan minda, fizikal dan kerohanian setiap orang yang berpuasa.

Jika ada kemahuan, puasa Ramadan boleh dijadikan waktu untuk berhenti merokok. Antara kaedah utama untuk mengurangkan ketagihan kepada bahan tersebut ialah bersahur dan mengakhirkan waktu bersahur.

Perokok yang langsung tidak bersahur dan makan sahur awal lebih mudah mengalami simptom ketagihan merokok. Ia juga dipercayai menyebabkan sesetengah perokok akan mengalami kesan ketagihan yang lebih buruk.

Sesetengah orang tetap terus mengamalkan kebiasaan yang mereka lakukan iaitu tidak bersahur dan bersahur terlalu awal. Sebahagian orang melakukannya kerana jahil (tidak tahu) atau kerana degil.

Pada pandangan penulis, kemajuan dalam penyampaian maklumat pada zaman sekarang seharusnya tidak dijadikan alasan untuk mengaku diri jahil.

Setiap orang yang mengaku Islam seharusnya mengamalkan sikap para sahabat iaitu samikna wa'athokna (maksudnya ialah kami dengar dan kami taat).

Daripada Abu Hurairah berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Apa saja yang aku larang kamu melaksanakannya, hendaklah kamu jauhi dan apa saja yang aku perintahkan kepada mu, maka lakukanlah menurut kemampuan kamu.

Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah karena banyak bertanya dan menyalahi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keperluan vitamin

Sesungguhnya terdapat beberapa hadis mengenai kebaikan makan sahur. Antaranya seperti disebutkan daripada Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Makan sahurlah kalian, karena sesungguhnya dalam makanan sahur terdapat barakah)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud barakah atau dalam bahasa Melayu yang biasa disebut berkat ialah kebaikan yang tetap dan banyak. Barakah dalam hadis tersebut dikatakan ulama meliputi kebaikan pada makanan sahur dan perbuatan bersahur.

Mengenai sunnah mengakhirkan bersahur pula kita dapati hadis daripada Anas bin Malik RA, daripada Zaid bin Tsabit RA beliau berkata, "Kami makan sahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami berdiri untuk mengerjakan solat." Anas berkata, "Aku berkata kepada Zaid,
"Berapa rentang waktu antara azan dan sahur?" Zaid menjawab, "Kira-kira 50 ayat"" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis al-'Irbadh bin Sariyah, beliau berkata, "Rasulullah SAW mengundang ku untuk makan sahur pada bulan Ramadan lalu mengatakan, "Marilah menikmati makan pagi yang mengandungi barakah." (Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ahmad, Baihaqi dan Ibnu Khizaimah)

Jika perokok mendapati makanan mereka sebelum dan sepanjang Ramadan tidak mencukupi dari segi nutrien contohnya vitamin tertentu, maka mengambil suplemen multivitamin adalah pilihan bijak. Antara lain contohnya beberapa jenis vitamin B membantu membaik pulih sel termasuk DNA.

Makanlah pelbagai makanan berantioksidan. Lemak tradisional yang menyihatkan seperti makanan bersantan, telur, minyak sapi, keju dan mentega susu asli sepatutnya dimakan setiap hari kerana ia membantu orang yang berpuasa lambat merasa lapar.

Gula dan minuman tinggi kafeina merupakan perangsang adrenalina sepertimana merokok. Jadi, pemilihan makanan yang sesuai, melewatkan waktu bersahur dan kesungguhan akan membantu perokok tegar menjalani puasa Ramadan dengan cemerlang.

Jika anda teliti betul-betul maksud firman ALLAH SWT: "...janganlah kamu campakkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang yang berbuat baik." (Surah Al-Baqarah: 195)

Penulis percaya ramai perokok yang akan berhenti merokok. Merokok secara tegar selama bertahun-tahun meningkatkan risiko kanser seperti kanser paru-paru berlipat kali ganda.

Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AH G). Herbalis profesional bertaraf dunia. Juru runding dan pendidik nutrisi holistik. Buku: Kawal Berat Badan, V. Aromaterapi, Serangan Jantung, Diabetes Jenis 2. Rawat Dengan Herba – Cegah Demam & Flu

Zam dijangkiti sindrom Mahathir?

Posted: 09 Jul 2014 04:27 PM PDT


Oleh Hazlan Zakaria


Walaupun telah bersara sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus menerima liputan media disebabkan kenyataan menyindir dan jenaka bersahaja beliau.

Walaupun ramai yang mempersoalkan mengapa dia diberi liputan dan menggelarkannya sebagai nyanyuk, ironinya pembaca termasuk mereka yang membenci beliau seolah-olah begitu gemar membaca apa yang diperkatakannya.

Mahathir sendiri nampaknya gemarkan liputan ini, mungkin sisinya yang telah terbiasa mendapat perhatian.

Mungkin "Sindrom Mahathir" ini telah turut merebak ke bekas menteri-menteri lain, yang dilihat membuat kenyataan kontroversi dan menyuarakan pendapat mereka ke seluruh dunia.

Seolah-olah ada yang mengucapkan "Zam Zam Ala Kazam" dan menyeru kembali tikar terbang P Ramlee dari tempat persembunyiannya, di bilik-bilik simpanan Studio Jalan Ampas, dan ianya kembali terbang ke langit.

Tikar terbang yang bergerak sendiri dan menyerang semua pihak.

Perumpamaan ini menerangkan dengan baik bagaimana seorang bekas menteri Umno yang telah dilupakan radar politik Malaysia, tiba-tiba muncul kembali untuk mengisi halaman berita politik.

Tidak semena-mena Tan Sri Zainuddin Maidin, yang pernah menjadi menteri maklumat dan juga bekas ketua editor Utusan, menjadi tumpuan media sebagai seorang demagog yang berapi-api, namun bukan terhadap pembangkang persekutuan, tetapi terhadap rakan-rakan komponen BN MCA, dan juga Umno sendiri.

Zainuddin, atau lebih dikenali sebagai Zam, telah berada di penghujung kerjaya politiknya setelah kehilangan kerusi Parlimen Sungai Petani kepada Johari Abdul dari PKR pada tahun 2008.

Tetapi Zam tidak asing dengan kontroversi. Pada tahun 2012 dia telah menyebabkan insiden diplomatik dengan negara jiran, Indonesia apabila rencana beliau dalam Utusan Malaysia yang dimiliki Umno mengkritik bekas presiden BJ Habibie, dan menaikkan kemarahan presiden republik itu.

Beliau juga terlibat dalam masalah undang-undang pada tahun lepas dengan syarikat penerbangan tambang AirAsia, selepas artikel di laman blog beliau seolah-olah mendakwa syarikat penerbangan itu menghidangkan daging babi dalam penerbangannya.

Tetapi secara umumnya dia tidak mendapat perhatian selain daripada beberapa peristiwa yang dimulakannya dua minggu lalu, apabila beliau mengutuk MCA untuk "pergi mampuslah" jika parti komponen BN itu terus mengikut jejak langkah parti pembangkang, DAP.

Beliau juga mendakwa bahawa akhbar harian Bahasa Inggeris The Star milik MCA dipengaruhi oleh pelampau Kristian.

Kenyataan Zam menyebabkan MCA bertindak balas dan mereka berdua bertelagah.

Beliau juga menyerang veteran Umno seperti ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee apabila beliau secara terbuka mengecam kepimpinan parti itu kerana berbangga dengan ahli yang lain dan yang mengenepikan rakyat melalui sikap elitis mereka.

Zam menggunakan perumpamaan memakai pakaian songket mahal ke majlis-majlis parti sebagai bukti, menaikkan kemarahan Syed Ali yang membalas dengan menuduh Zam mempunyai pengalaman dalam "menggelapkan dana awam".

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak juga tidak selamat daripada kritikan, apabila bekas menteri ini kemudiannya mengecam partinya sendiri.

Ia seolah-olah Zam telah turut dijangkiti sindrom Mahathir selepas "persaraan" beliau.

Tetapi sudah tentu beliau bukan yang pertama mensasarkan Umno, kerana sebelum ini pakar media Datuk A Kadir Jasin dan penulis-penulis blog Umno pernah menyerang kepimpinan Najib dan situasi dalam Umno pada masa kini.

Dan Zam bukannya bekas menteri pertama yang menjadi tajuk utama berita, kerana bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam juga telah mencetuskan kekacauan melalui pendedahannya mengenai kejadian-kejadian yang melibatkan peristiwa Memali.

Tetapi persoalannya mengenai telatah Zam adalah, mengapa sekarang?

Mengapa dia tiba-tiba bersuara?

Siapakah yang beliau wakili, kem Umno yang mana? Atau sesungguhnya dia hanya dijangkiti sindrom Mahathir, dan menikmati perhatian media lama selepas "bersara"?

NS, Perak, Terengganu Umum Bonus Raya RM500 Kepada Penjawat Awam

Posted: 09 Jul 2014 04:21 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
SEREMBAN: Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu mengikuti langkah Kerajaan Pusat dalam melaksanakan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri sebagai persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemberian bantuan khas itu melibatkan lebih 4,000 kakitangan tetap, kontrak serta sambilan dengan peruntukan sebanyak RM2.2 juta.

"Kerajaan negeri mengikut seperti apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembayaran tersebut," katanya pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di sini, Isnin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Baitumal Negeri Sembilan dijangka mengagihkan bantuan berjumlah antara RM8 dan RM9 juta untuk golongan fakir miskin dan anak-anak yatim sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Mohamad berkata umat Islam berpeluang membeli barang keperluan dapur termasuk daging dan pelbagai jenis sayur-sayuran bagi persiapan Aidilfitri sempena program Mantai Perdana di Paroi, pada 25 Julai ini mulai pukul 10.30 malam.

"Pada program ini kita ada sebanyak 250 ekor lembu, 25 ekor kerbau dan beribu ekor ayam dan sebagainya," katanya.

Di IPOH, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sebanyak 15,000 penjawat awam negeri akan diberikan bayaran bantuan khas itu.

"Pemberian bantuan itu membabitkan peruntukan hampir RM8 juta dan akan dibayar pada pertengahan bulan ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini.

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman turut mengumumkan bayaran yang sama kepada 6,754 penjawat awam di negeri itu.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.337 juta bagi tujuan itu dan pemberian akan diagihkan sebelum Aidilfitri, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini.

Minggu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sempena Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54 dan RM250 kepada 684,000 pesara kerajaan yang melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM890 juta.

'Langkah 28' Komplot Gulingkan Khalid

Posted: 09 Jul 2014 04:17 PM PDT

 
 

PETALING JAYA: Komplot untuk menggulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memasuki fasa terbaharu apabila wujud usaha untuk meraih sokongan majoriti ahli Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) bagi mendapat undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Selangor itu.

Bagaimanapun, usaha itu kini berhadapan cabaran apabila ada dalam kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat yang dikatakan enggan bersubahat dalam gerakan itu.

Strategi yang dikenali sebagai 'Langkah 28' itu dikatakan dilancar bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 28 daripada 31 ahli BBC yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, PKR memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala PAS dan DAP masing-masing menguasai 15 kerusi menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat sebanyak 44.

Daripada jumlah itu, 10 wakil rakyat dilantik sebagai exco, masing-masing seorang speaker dan timbalan speaker, selain Abdul Khalid sendiri sebagai Menteri Besar.

'Langkah 28' dikatakan kesinambungan daripada 'Langkah Kajang' yang dirancang PKR sebelum ini, bagaimanapun ia gagal menyingkirkan Abdul Khalid.

Menurut sumber dalaman parti itu, 'Langkah 28' yang dipercayai didalangi seteru politik Abdul Khalid menghadapi masalah untuk meyakinkan wakil rakyat PAS bagi memberi tekanan supaya Menteri Besar itu berundur.

Wakil rakyat PAS dikatakan memboikot mesyuarat khas BBC yang diadakan di bangunan Annex, SUK Selangor, Selasa lalu yang sepatutnya membincangkan mengenai undi tidak percaya terhadap Abdul Khalid.

"Difahamkan hanya dua wakil rakyat PAS yang hadir pada mesyuarat itu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib.

"Agenda asal mesyuarat sememangnya untuk membincangkan mengenai undi tidak percaya, namun terpaksa diubah kerana tiada majoriti wakil rakyat PAS," kata sumber itu.

Dipercayai tindakan wakil rakyat PAS memboikot mesyuarat tersebut adalah tindak balas susulan daripada mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat yang diadakan pada Isnin malam, sehari sebelum mesyuarat BBC.

Difahamkan kepimpinan PAS Pusat yang hadir pada mesyuarat itu menyatakan pendirian untuk tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak jika berlakunya pertukaran Menteri Besar Selangor.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang hadir pada mesyuarat itu bagaimanapun enggan 'buka mulut' mengenai hasil perbincangan mengenai krisis kepimpinan di Selangor membabitkan kedudukan Menteri Besar.

"Maaf...maaf saya tidak boleh komen mengenai hal itu sehingga selesai mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat minggu ini atau minggu hadapan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Model warga Estonia disyaki mati dibunuh

Posted: 09 Jul 2014 04:10 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Seorang model sambilan warganegara Estonia dipercayai dibunuh di Pulau Rawa, dekat Mersing, awal bulan ini dan mayatnya ditemui dalam laut.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan berkata wanita berkenaan, Regina Soosalu, 30, yang menetap di Kuala Lumpur tiba di pulau itu pada 1 Julai lepas sebelum ditemui mati lemas dalam laut pada hari yang sama.
  
"Pada peringkat awal, polis menyiasat kes berkenaan sebagai mati lemas tetapi kes kemudian disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh selepas hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kecederaan di badan wanita itu," katanya kepada pemberita di Johor Baharu hari ini.
  
Hasnan berkata setakat ini, polis menahan enam individu yang berada di pulau berkenaan untuk membantu siasatan.
  
Beliau berkata mayat wanita itu dibedah siasat di hospital di Johor Baharu dan polis Johor telah menghubungi Interpol untuk memaklumkan kejadian.
  
Keluarga mangsa juga difahamkan sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi Kedutaan Estonia di Beijing, China, katanya.-Bernama

Tiada ulasan: