Selasa, 15 Julai 2014

.

.


WARIS menggabungkan bekas penuntut Malaysia di Sumatera

Posted: 14 Jul 2014 10:47 PM PDT

PERNYATAAN                                                                                    

Benarlah sesuatu itu terdakap kemas dalam tangan Tuhan. Semuanya atas kehendak dan keizinan-Nya belaka. Selagi Dia tidak membuka kepalan-Nya kita tidak akan mendapati apa yang dihajati. Dan setelah Dia mengizinkan sesuatu itu akan terjadi dengan mudahnya. Kun fayakun.

Logo Waris keratan yang padu.
Demikianlah yang boleh disimpulkan dengan kewujudan WARIS, Warga Almuni Repbulik Indonesia Sumatera yang mengumpulkan bekas-bekas penuntut Malaysia di Sumtera khasnya periode akhir 70-an hingga 80-an. Tanggal 12 Julai lalu secara rasmi WARIS terlembaga apabila mesyuarat pertama penajanya berjaya diadakan di Kota Bharu Kelantan dan nama WARIS dimasyhurkan.

Sehubungan itu WARIS telah didaftarkan dengan ROS dan kini menanti kelulusan rasminya sebagai sebuah Ngo sosial yang sah mengikut Perlembagaan. Kewujudan WARIS ini mungkin sejarah kerdil dalam senarai Ngo negara ini, tetapi ia membawa besar pengertian dan natijahnya kepada para penuntut Malaysia di Sumatera. WARIS juga akan menjadi wadah bukan sahaja untuk menghimbau zaman-zaman perih, mengheret dada bagi sesetengah penuntut, tetapi wadah masa depan.




Mesyuarat penaja Waris di Kota Bharu. Foto Sue.
Sebenarnya sudah beberapa kali hasrat untuk mengumpul bekas pentuntut Malaysia di Medan dalam sebuah kumpulan kebajikan, tetapi ia tidak menjadi kenyataan. Maklumlah masing-masing sibuk dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Yang nyatakanya harapan itu tidak pernah terpadam, senantiasa ada dan kemen dalam sanubari. Misalnya sdr Mohd Zain Yusof setiap kali bersembang dan mengenangkan zaman-zaman penuh berbunga di Medan menyatakan keperluan untuk duduk-duduk sekali sambil menikmati tea tarik.

Begitu juga dengan rakan yang lain apabila sesekali bersua, menyatakan hasrat yang sama. Tidak pernah melupai ceritera dan balada di Medan. Tentang keras bumi Batak itu, tentang cinta dan juga jodoh sesetengah rakan atau tentang rapat membina persaudaraan di tanah rantau itu. Semua membayangkan betapa indahnya kalau dapat duduk di bawah satu bumbung sambil menghimbau seribu kenangan masing-masing.

Jika tidak salah ingatan saya satu majlis (re-union) pernah diadakan lebih 10 tahun lalu bertempat di sebuah hotel di Petaling Jaya, tetapi malang sedikit kehadirannya hanya beberapa keluarga sahaja. Tidak sampai suku dari jumlah pelajar keseluruhannya hadir. Selepas itu tidak ada mana-mana pertemuan dalam skala besar, sebaliknya lebih secara individu dan berkebetulan sahaja semisalnya kerana berada dalam satu profesyen.

Seperti dikatakan tadi perwujudan WARIS menjadi mudah apabila ia disokong oleh semua dan semua merasai akan keperluan itu. Ia bermula dari group whatsapp yang digerakan oleh sdr Suhaimi Kadir. Hasrat yang sudah lama tumbuh dalam jiwa ini berkembang dengan maju apabila rakan-rakan ikut sama menyapa dan bertanya khabar antara satu sama lain. Cetusan dalam whatsapp itu menjadi masing-masing "gile kangen" ingin berjumpa. Masa yang dilewati, perubahan kehidupan menjadikan masing-masing saling rindu merindui dan tidak sabar untuk bertemu.

Kisah-kisah yang dilalui selepas 30 tahun berpisah, membawa diri dan kerjaya masing-masing ingin dikongsi bersama. Kisah hari ini tentulah mengenai keseronokan dan kejayaan membina kerjaya hidup. Juga menunjuk kemampuan bisa membina keluarga punya cucu atau cicit yang telah membuah hasil masing-masing.

Apa lagi mengenangkan sudah hampir sedozen rakan-rakan semasa di Medan telah satu demi satu pamit untuk kembali awal menemui Khaliqnya. Pemergian itu menjadi masing-masing sepi ataupun bilangan sahabat serumah dan seperantauan berkurangan. Dalam bilangan yang makin mengecil itulah, perasaan untuk bersatu dan bergabung semakin memuncak. Kesepian juga kian mendatang dan menghimpit diri. Dalam suasana sebeginilah rakan lama boleh menjadi penghibur.

Apabila group whatsapp diwujudkan, banyaklah celoteh, cerita dan kenangan dihimbaukan dalam grup berkenaan. Dari cerita kesusahan hidup bagi sesetengah rakan di Medan, kepada pemakluman kejayaan masing-masing dalam kerjaya dan membina keluarga. Sekejap masa sahaja whatsaap itu mengesan dan menjalin semula emosi dan meranumkan kerinduan. Sambutan kepada whatsaap itu menunjukkan jalinan persahabatn masih hidup.

Dari itulah maka cetusan untuk mewujudkan WARIS menjadi semakin semerak, dan penting akhirnya ia menjadi kenyataan. Dan Tanggal 1 Ogos nanti semua anggota yang bergabung dalam WARIS akan berjumpa dalam satu majlis apa dinamakan Tautan Kasih di Kota Bharu Kelantan. Setakat ini hampir 100 bekas penuntut bersama keluarga masing-masing dijangka akan hadir. Hendaknya ramai lagi rakan-rakan akan turut sertai memeriahkan perjumpaan itu kelak.

Paling bertuah juga apabila Pak Khamis konsul di Medan dan Haji Zahari Awang (Abang Z) yang banyak membantu pelajar akan turut berpartisipasi.  Kehadiran mereka berdua menjadi lebih bermakna lagi dan menjadikan majlis WARIS akan bersinar banar. Tentu sebagai "bapa" mereka akan merasa bangga melihat pertemuan itu nanti dengan anak-anaknya mencetak kejayaan masing-masing.

Dalam mesyuarat lepas telah bentuk jawatankuasapenaja WARIS yang akan bertanggungjawab menjadi nadi penggerak WARIS. Seperti mana dipetik daripada blog Victroy, kepunyaan Che Yahya Che Soh, susunan komunitinya seperti berikut:

Penaung : Datuk Khamis Abu Samah.
Penasihat : Haji Zahari Awang.
Yang Di-Pertua : Dr Mohd Zain Yusof.
Timbalan YDP : Suhami Kadir.
Naib YDP 1 : Che Yahya Che Soh.
Naib YDP 2 : Mohamad Awang Yunus
NYDP 3 : Sdr Zuber Hasan
Setiausaha : Ab Aziz Omar.
Penolong SU : Wan Ab Razak Wan Ishak
Bendahari : Tuan Khatimah Tuan Ibrahim.
Ahlijawatankusa :
Abdul Fatah Ghazali.
Zahari Zakaria.
Nik Alwan Nik Mohd Amin.
Wan Roslan Wan Yaacob.
Zubib Saad.
Che Esah Che Su.
Rudaini Mohamad

Semua menaruh harapan besar kepada WARIS ia akan menjadi wadah bukan sahaja menghimpunkan dan mendekati kembali rakan-rakan bekas penuntut untuk bernostalgia, tetapi lebih bermakna dari itu akan menjalinkan generasi WARIS menjadi sebuah keluarga besar yang berbudi dan berjasa kepada agama bangsa dan negara.

Melihat kepada penggerak WARIS terdiri dari rakan-rakan berpengalaman dan profesional insya-Allah NGO ini akan berjaya dan berkembang. Komitmen yang ditunjukkan oleh semua ahli jawatankuasa penaja, khasnya Setiausaha Ab Aziz Omar cukup membanggakan. Syabas. [wm.kl.12:48 pm 15/07/14]

Tiada ulasan: