Selasa, 8 Julai 2014

Biaqpila

Biaqpila


TENGKU ADNAN BUKAN ANAK JANTAN

Posted: 08 Jul 2014 09:50 AM PDT


Oleh SUBKY LATIF
ADAKAH Tengku Adnan Mansur, Menteri Wilayah Persekutuan anak jantan? Jika sebenarnya dia anak jantan, dia mesti tangkap semua aktivis NGO yang mencabarnya menyediakan sup dapur bagi mengalas perut warga gelandangan di sekitar radius dua kilometer pusat sesak Kuala Lumpur.

Mulai minggu ini sekalian warga gelandangan itu mesti dibersihkan dari pusat bandar itu kerana pelancong sentiasa ramai dan aib negara justeru keberadaan gelandangan dan jamuan sup dapur.

Tidak kira ia disukai oleh sekalian orang merempat, NGO berperikemanusiaan, baik Perdana Menteri Najib dan KJ, Ku Nan mesti tegas, bersihkan Kuala Lumpur daripada anasir yang menyemakkan mata kementeriannya.

Jadilah macam PM Najib, semua yang siuman kata GST itu biawak hidup yang membebankan pengguna, kerana dia anak jantan – bukan pondan – dia jalan terus sekali pun GST menjadikannya digetik semua. Jadilah sekeras Mahathir, semua kata lebuh raya bertol membebankan rakyat dan menghidupkan lintah darat, sikit dia tidak peduli.

Ku Adnan nak keras dan tegas macam itu, tapi dia sudah jadi lebih lembut dari pondan hingga bercadang meletakkan kelemahannya kepada petugas laman sosial yang memutar belit niat dan kenyataan yang mulia.

Seminggu ini Ku Adnan jadi menteri jantan yang masyhur, mahu membuang gelandangan dari Kuala Lumpur dan memenuhkan penjara Kajang dan Sungai Buloh dengan simpatisan si miskin dan pengemis. Dia mahu menyenangkan hati pelancong dari seluruh dunia mengusir rakyat dan warga yang tidak bernasib baik, supaya pelancong merasakan Malaysia penuh dengan orang senang seperti Tengku Adnan.

Atas tulang dan keringat siapa Ku Adnan jadi menteri dan pembesar Umno? Atas susah payah ahli Umno dan rakyat yang bangsat. Mereka mendengar cakap pemimpin untuk membela nasib buruk mereka. Tiba-tiba kerana hendak duit para pelancong kaya dunia, sekalian yang miskin yang tidak tentu makan itu dihambat dari wilayah kekuasaan si Ku Adnan.

Hati menteri itu digambarkan dunia ini tiada tempat bagi orang susah dan dia hendak hidup dengan orang-orang senang saja. Biar Qarun yang menutup pintu zakat kepada rakyat merempat Mesir purba, kerana dunia yang dia hidup adalah bersama Firaun dan Haman saja. Jangan ada dalam Umno dan zaman merdeka ini orang berhati mustakbirin seperti itu

Gerangan apa wujudnya orang bangsat di Kuala Lumpur? Kerana sistem dan kegagalan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional. Lim Guan Eng pun tahu dua tahun saja pentadbiran Umar Abdul Aziz, tiada yang miskin dan tiada yang layak menerima zakat di wilayahnya. Kalau khalifah boleh basmikan kemiskinan, mengapa kerajaan tdak boleh kurang dan ringan masalah orang miskin.

Ajaran Nabi Muhammad SAW menganjurkan indahnya dunia ini, justeru adanya golongan miskin dan memperuntukkan sebahagian daripada kekayaan orang kaya itu adalah untuk orang miskin. Adanya si miskin itulah jadi sumber pahala bagi si kaya, jadi tempat mereka bersedekah dan menjamu makan. Tiada berkat kenduri kiranya tiada tetamunya orang miskin dan anak yatim.

Tiada makan Nabi Ibrahim a.s. yang beribu kambingnya kiranya tiada tetamu yang hendak menemannya makan. Baginda keluar mencari tetamu untuk makan bersamanya sebelum makan. Tidak kiralah tetamu itu kaya atau miskin.

Golongan itulah yanag Ku Nan hendak nyahkan dari KL. Sudahlah mereka dibencinya, yang mulia yang hendak menjamunya hendak dipenjara.

Mungkin dia rasa tidak bersalah. Kita cabar dia. Jika anak jantan, tangkap semua mereka supaya lebih cepat Putrajaya jatuh. Jika Ku Nan tidak utamakan pelancong daripada rakyat miskin, tidaklah kerajaan dikata zalim. Semua itu isyarat usia si takbur hampir berakhir.

DD


PERMINTAAN TERAKHIR REMAJA YANG MAUT DIPUKUL BAPANYA

Posted: 08 Jul 2014 01:31 AM PDT


SHAH ALAM – Ibu kepada Muhamad Hafiz Abd Ghani,17, yang mati dipercayai dipukul bapanya meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir mangsa yang mahu berjumpa keluarga angkat yang membesarkannya selama ini.

Bercakap kepada Sinar Harian Online, ibu mangsa, Siti Habibah Ismail, 38, berkata sebelum kejadian, mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda pelik namun ada menyatakan hasrat untuk berjumpa dan meluangkan masa bersama keluarga angkatnya pada Ramadan ini.

"Sebelum itu, dia ada cakap pada saya yang dia mahu berjumpa dengan keluarga angkatnya.

"Saya tidak sangka itu adalah hasrat terakhirnya," luah Siti Habibah.

Muhamad Hafiz hanya mula tinggal bersamanya sekeluarga tahun lalu selepas dibesarkan oleh keluarga angkat sejak umurnya 15 hari.

Menurutnya, Muhamad Hafiz adalah seorang anak yang patuh dan pendiam, dia juga tidak pernah melawan.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, Muhamad Hafiz maut dipercayai dipukul bapanya dengan sebatang kayu di Kampung Jawa, Alor Gajah selepas menyatakan hasrat untuk bekerja bagi membantu menyara keluarga.

Difahamkan, bapanya yang berusia 52 tahun itu berang dan berasa tercabar dengan hasrat yang dinyatakan mangsa sebelum bertindak memukul belakang mangsa berulang kali sehingga tidak sedarkan diri.

Mangsa yang merupakan anak sulung daripada 10 beradik itu tidak mampu melawan dan hanya mampu menahan kesakitan.

Menurut Siti Habibah lagi, dia cuba menghalang tindakan suaminya daripada terus memukul anak sulung mereka, namun dia pula yang diugut suami.

"Tiap kali saya cuba halang suami, dia akan tolak saya dan ugut saya supaya jangan masuk campur, begitu juga dengan adik-adik Hafiz yang lain, masing-masing tidak berani kerana takut turut dipukul oleh bapa mereka," katanya lagi.

Tambahnya, mangsa yang lemah menahan kesakitan langsung tidak menjamah hidangan berbuka puasa.

Mangsa diangkat masuk ke dalam bilik pada jam 9 malam dan kematiannya hanya disedari Habibah ketika mangsa dikejutkan untuk bersahur.

Bapa remaja berkenaan yang merupakan suspek utama kejadian bertindak melarikan diri sebelum ditahan di sebuah rumah sewa di Jalan Melekek, Kampung Padang Alor Gajah kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Dia direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat dan boleh membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

SH


Bisnes jual topup termurah

Tiada ulasan: