Sabtu, 5 Julai 2014

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Bukan mudah melawan pembaziran

Posted: 05 Jul 2014 06:54 AM PDT

PUASA baru sahaja bermula dan umat Islam di sesetengah tempat terpaksa berdepan dengan cuaca panas sepanjang berpuasa. Bagi kanak-kanak yang baru belajar berpuasa, tidak tahan juga jadinya apabila sebelum tengah hari lagi panas sudah berbahang.

Apabila berbuka puasa, minumanlah yang menjadi pilihan utama kanak-kanak sehingga ada yang menyuruh ibu bapa menyediakan dua tiga jenis minuman sebagai penghilang dahaga. Jika dibeli di bazar Ramadan atau di mana-mana gerai, dua tiga jenis air juga yang dibeli.

Biasanya, apabila sudah kena air segelas dua, selera makan untuk nasi dan lain-lain sudah mula hilang kerana perut sudah kembung dengan pelbagai jenis air. Sudahnya, ada juadah yang tidak dimakan kemudian dibuang begitu sahaja.

Inilah antara pembaziran yang sering berlaku pada bulan Ramadan. Itu belum lagi dilihat di restoran-restoran, hotel-hotel yang menyediakan bufet berbuka puasa dengan pelbagai pakej menarik. Ada yang mengenakan bayaran RM40, untuk makan sepuas hati malah ada juga yang mencecah RM100.

Di masjid-masjid dan surau, makanan dan minuman cukup banyak selepas solat tarawih. Tidak cukup mulut hendak makan kerana memang rezeki kita cukup banyak.

Pembaziran pada bulan Ramadan sukar dielak kerana kebanyakan daripada kita lebih berhambakan nafsu. Tidak ramai yang menggunakan akal sebelum berbelanja untuk berbuka puasa malah untuk menyambut hari raya.

Pembaziran akan lebih terasa jika wang ringgit banyak dihabiskan untuk berbuka puasa, bersahur dan memenuhi persiapan hari raya nanti. Jika makanan dan minuman yang dibuat sendiri dan dibeli itu tidak habis, memanglah membazir namanya.

Pembaziran ini boleh dikatakan berlaku saban tahun walaupun setiap kali tibanya bulan puasa, azam untuk tidak membazir ditanam dalam jiwa masing-masing.

Pembaziran boleh dielak jika had perbelanjaan dibuat berdasarkan keperluan sahaja. Walaupun ia agak sukar, tetapi di atas kertas, memang boleh kita andaikan kuantiti bahan makanan dan minuman yang diperlukan dalam keluarga atau jiran di sekeliling rumah.

Menyediakan sendiri juadah untuk berbuka lebih menjimatkan dan sukar berlaku pembaziran. Bagi yang ada masa, mereka boleh menyediakan sendiri juadah berbuka kerana kosnya jauh lebih murah berbanding makanan yang dibeli di luar.

Di samping keyakinan terhadap kualiti dan kebersihan makanan dan minuman, wang dapat dijimatkan dan boleh disimpan untuk keper­luan lain.

Pembaziran makan minum sepanjang Ramadan juga boleh dielak jika ikatan penduduk di sesuatu tempat itu kukuh dari segi kejiranannya.

Suatu masa dahulu, di kampung-kampung, amalan bertukar-tukar juadah berbuka puasa menjadi satu budaya yang unik dalam kalangan orang Islam. Buat sejenis kuih, hantar kepada beberapa orang jiran, kemudian kalau ada rezeki, dapatlah merasa kuih daripada jiran. Ataupun, kalau tidak dapat hari ini, esok mungkin dapat balasan daripada jiran.

Di bandar-bandar, ia boleh dijadikan satu budaya jika hubungan kejiranan penduduk sangat rapat. Ia boleh mengelak pembaziran kerana pada asasnya, sejenis atau dua jenis kuih sahaja yang disediakan, tetapi apabila tiba waktu berbuka puasa, mungkin dapat berbuka dengan tiga atau empat jenis kuih.

Malangnya, budaya ini kian terhakis termasuklah di kampung-kampung terpencil. Semua ini kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan sehingga tidak sempat hendak menyediakan juadah. Hendak berbuka sendiri pun kena beli, bagaimana hendak diberi kepada jiran.

Kemudahan mendapatkan kuih di gerai-gerai dan di bazar Ramadan turut menjadikan kita malas hendak menyediakan sendiri juadah untuk berbuka. Pelbagai jenis juadah yang boleh didapati di bazar Ramadan turut menjadi daya penarik, asalkan ada wang.

Siapa yang tidak teringin kalau melintasi bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai jenis juadah daripada kuih-muih, minuman dan lauk-pauk untuk berbuka. Pelbagai aroma dapat dihidu yang dengan mudah menarik seseorang itu berbe­lanja di bazar Ramadan walaupun di rumah sudah ada juadah untuk berbuka.

Inilah cabaran hebat untuk mengelak pembaziran. Itu belum dikira lagi tawaran-tawaran hebat daripada gedung beli-belah seminggu dua lagi iaitu semakin umat Islam menghampiri Aidilfitri.
Taktik peniaga yang licik sering menjadikan kita lupa diri, lalai dan akhirnya terpengaruh dengan `tawaran' mereka.

Justeru sepanjang Ramadan ini, janganlah hanya berpuasa dengan menahan nafsu makan minum di siang hari namun kawallah nafsu agar tidak menjadi penyumbang kepada pembaziran.

Tiada ulasan: