Ahad, 22 Jun 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Lelaki Ditahan Rogol Budak Perempuan Depan Anak Sendiri

Posted: 22 Jun 2014 08:53 AM PDT



[The Bornoe Post] SIBU – Sepasang suami isteri berumur 51 dan 42 tahun ditahan polis di sebuah tapak binaan di Jalan Wawasan di sini pada jam 12.50 tengah hari kelmarin berhubung satu laporan kes rogol membabitkan seorang budak perempuan berumur 13 tahun.

Dalam kejadian pada jam 6 petang Rabu lalu, mangsa dipercayai dirogol di hadapan anak suspek sebelum dibelasah oleh isteri suspek di rumah pekerja kilang di Jalan Bawang Assan, di sini.

Dalam insiden itu, mangsa dipercayai dipaksa berbaring di atas lantai sebelum suspek membuka pakaiannya dan melakukan perbuatan terkutuk itu.

Mangsa tidak melawan kerana dipercayai takutkan suspek.

Perbuatan keji itu turut disaksikan oleh anak lelaki suspek berumur 11 tahun yang kemudiannya menceritakan segalanya kepada ibunya (isteri suspek).

Isteri suspek yang hilang pertimbangan setelah mengetahui perkara itu kemudiannya dipercayai bertindak menendang kepala, menampar muka serta menghentak kepala mangsa ke dinding.


Tidak cukup dengan itu, badan mangsa juga dipercayai dicucuh dengan api rokok malah rambut mangsa digunting dan kepalanya dicukur oleh isteri suspek.

Selepas insiden itu, mangsa dan abangnya melarikan diri ke rumah datuk mereka dan memberitahu apa yang terjadi.

Pada jam 11 malam keesokannya, mangsa dibawa ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis.

Mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan perubatan pagi semalam.

Difahamkan, mangsa dan abangnya tinggal bersama keluarga suspek sejak dua bulan lalu setelah dihalau oleh ibu bapa mereka dari rumah.

Pasangan suami isteri tersebut kini ditahan reman sehingga Isnin ini sementara siasatan kes dijalankan. – 22/6/14



Selepas Khalwat, Bekas Komando Kes Altantuya Disiasat Tumbuk Polis Pula

Posted: 22 Jun 2014 08:40 AM PDT



[The Malaysian Insider] Bekas komando polis yang didakwa membunuh Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 lalu kini berhadapan dengan masalah sekali lagi – ditangkap khalwat dengan wanita yang sudah berkahwin dan kini didakwa menumbuk seorang anggota polis pula.

Kejadian berlaku di Balai Polis Sepang malam Khamis lepas selepas beliau ditahan kerana berkhalwat dan dibawa ke balai polis itu.

Ia berlaku dalam keadaan tangannya bergari ketika rakan kepada suami wanita itu datang mahu membantu tangkapan tersebut.

Bekas komando itu menumbuk muka anggota polis itu sehingga berdarah hidungnya dan cedera ringan pada bibirnya.

Ketua polis Sepang, Superintendent Mohd Yusoff Awang berkata kertas siasatan dibuka terhadap suspek di bawah Seksyen 323 Kod Penal kerana menyebabkan cedera tanpa senjata selepas laporan oleh polis yang menjadi mangsanya.

Ketika menjelaskan perkara itu, Mohd Yusof berkata, berlaku kekecohan selepas bekas komando itu ditangkap kerana khalwat.

"Polis yang cedera itu adalah jiran wanita itu. Dia datang untuk membantu. Berlaku salah faham dan berakhir dengan kecederaan," kata Mohd Yusoff.

Difahamkan satu kenyataan direkodkan daripada pengadu tentang apa yang berlaku semasa insiden tersebut, namun tiada kenyataan direkod daripada bekas komando itu.

"Kami akan panggil dia untuk membuat kenyataan tidak lama lagi," kata Mohd Yusoff.

Bekas komando itu yang sebelum ini bersama Skuad Tindakan Khas di Bukit Aman, ditangkap khalwat bersama wanita sudah berkahwin di dalam unit apartmennya di Ibu Pejabat Polis Sepang oleh suaminya pada 1.20am.

Suami wanita tersebut, seorang anggota polis bersama unit peronda, pergi ke unit mereka untuk memeriksa keadaan isterinya dan syak sesuatu tidak kena apabila mendapati pintu terkunci.

Selepas memeriksa lagi, dia menjumpai bekas komando itu bersembunyi di sebelah katil.

Kes ini dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan seterusnya.

Satu fail disiplin juga dibuka terhadap wanita tersebut, yang juga polis, sementara bekas komando tersebut disiasat di bawah kesalahan menumbuk polis.

Dia juga bakal disiasat oleh Jais untuk dakwaan khalwat.

Mohd Yusoff enggan mengesahkan jika lelaki yang ditangkap tersebut adalah lelaki yang sama disabitkan untuk kes pembunuhan Altantuya dan dibebaskan atas rayuan.

"Saya belum jumpanya. Saya tidak tahu bagaimana rupanya jadi saya tidak boleh beritahu," katanya.

Bagaimanapun, laporan polis yang dibuat tertulis namanya sebagai Azilah Hadri, nama yang sama seperti Ketua Inspektor Azilah Hadri yang merupakan salah satu daripada dua komando yang dibebaskan pada Ogos tahun lepas selepas sabit kesalahan mereka bagi pembunuhan Altantuya dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Seorang lagi komando tersebut adalah Korporal Sirul Azhar Umar.

Kebetulannya, lelaki yang ditahan tersebut juda merupakan seorang bekas polis bersama Skuad Tindakan Khas Bukit Aman, unit yang sama di mana Azilah bertugas sebelum penahannya pada 2006.

Azilah dan Sirul didakwa dan disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 2009 untuk pembunuhan Altantuya, 28, di sebuah hutan simpan di Shah Alam pada Oktober 2006.

Kedua-duanya bersama Skuad Tindakan Khas Bukit Aman dan di bawah pasukan sekuriti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Pada masa itu, Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan.

Pada Isnin, Mahkamah Persekutuan akan menjalankan prosiding dua kes berprofil tinggi, dan salah satu daripadanya adalah rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan dua anggota polis skuad tindakan khas, Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar atas dakwaan membunuh warganegara Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Mahkamah Rayuan pada Ogos lepas membebaskan Azilah dan Sirul Azhar atas dakwaan bunuh tersebut selepas sebulat suara meluluskan rayuan mereka, dan membatalkan sabit kesalahan serta hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah kerana membunuh Altantuya.

Mahkamah Rayuan, dalam penjelasan penghakiman 47 mukasurat itu menegaskan bukti keterangan mengikut keadaan dikemukakan oleh pihak pendakwa tidak mencukupi untuk mensabitkan mereka bersalah.

Pihak pendakwa memfailkan rayuan mereka pada 3 Januari tahun ini, dengan 6 sebab mengapa Mahkamah Rayuan berpanel 3 hakim itu adalah salah di sisi undang berserta bukti untuk menghalang dua polis tersebut mengelak hukuman mati.

Pendengaran kes tersebut akan berlangsung esok. – Muzliza Mustafa/22/6/14


Ibu Remaja OKU Ditahan Reman, Dikecam dalam FB

Posted: 22 Jun 2014 08:17 AM PDT



Apabila orang ramai mendedahkan akaun FB ibu remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah, yang ditemui dalam keadaan tidak terurus dan kurus kering, maka dakwaan awalnya bahawa dia hidup susah dan daif dipertikaikan oleh banyak pihak. Berdasarkan pekerjaan dan cara hidupnya, dakwaan hidup susah sehingga terpaksa mengabaikan kebajikan anak OKUnya langsung tidak masuk akal.

Malah lebih menyakitkan hati apabila si ibu ada mengongsikan kiriman di FB tentang video kanak-kanak kena dera, namun realitinya perkara yang berlaku terhadap anak OKUnya lebih menyedihkan.

Remaja malang itu ditemui anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Taman Semarak kira-kira jam 2 pagi dalam keadaan tidak terurus semasa operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI).

Tubuhnya terlalu kurus dan kelihatan seperti mayat hidup, dipercayai akibat kekurangan zat makanan. Lebih menyedihkan, bilik remaja malang itu dikurung penuh dengan sampah, najis, dan tanah.

Baju yang dipakai mangsa juga didapati sudah mereput akibat terlalu lama bercampur dengan sisa air kencing dan najisnya sendiri sepanjang berada di situ.

Bayangkan, apakah jenis ibu yang sanggup membiarkan anaknya hidup dalam keadaan begitu? Adakah ini yang dimaksudkan "sayang" oleh ibu itu dalam laporan awal media semalam?

Menurut laporan Sinar Harian, si ibu ini akan ditahan reman sehingga Rabu ini. -DCM

Berkaitan:

Ibu Remaja OKU Dikecam dalam FB


Akaun Facebook yang dipercayai milik ibu kepada remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah.

[Mstar] PETALING JAYA: Penemuan seorang remaja lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dalam keadaan menyayat hati mengundang kemarahan orang ramai apabila sebuah akaun Facebook yang dipercayai milik ibu mangsa dikongsi secara meluas di Internet.

Akaun Facebook yang menggunakan nama 'Imashima Lola' dengan gambar profil 'selfie' wanita memakai tudung merah itu mula dikongsi di laman sosial sejak petang Ahad dengan pelbagai komen negatif.


Antara komen pengguna Facebook di akaun milik wanita yang dipercayai ibu kepada Muhammad Firdaus Dullah.

Kebanyakannya mengecam wanita berkenaan kerana berkelakuan tidak berperikemanusiaan terhadap anaknya sendiri dengan mengurung dan membiarkan remaja OKU itu hidup menderita bergelumang dengan tanah dan najis.

Hasil pemeriksaan di akaun berkenaan juga mendapati terdapat beberapa keping gambar yang dipercayai mirip wajah mangsa, Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui Jabatan Imigresen Negeri Sembilan pada awal pagi Sabtu.

Gambar ramaja yang dimuat naik pada September 2013 berpakaian kemeja-t dengan potongan rambut paras bahu itu turut dikongsi dengan pelbagai komen simpati oleh pengguna Facebook.

Gambar remaja yang dilihat mirip Muhammad Firdaus Dullah.

Berdasarkan pemerhatian, remaja berkenaan yang kelihatan sihat dan berisi dilihat duduk di atas sebuah sofa fabrik yang sama dengan kusyen dalam rumah di mana Muhammad Firdaus ditemui.

Menurut maklumat peribadi Imashima Lola yang berasal dari Sabah itu, dia yang tinggal di Kampong Nilai, Negeri Sembilan bekerja di sebuah syarikat katering yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kali terakhir Imashima Lola mengemaskini status Facebooknya ialah pada 19 Jun lalu.

Keadaan ketika Muhammad Firdaus Dullah ditemui Jabatan Imigresen Negeri Sembilan.

Sejak Sabtu, negara dikejutkan dengan berita penemuan remaja OKU ketika Ops 6P oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah pangsa di Taman Semarak, Nilai.

Menurut Pengarah jabatan berkenaan Faizal Fazri Othman, remaja berumur 15 tahun itu bukan hanya kurus kering, malah persekitaran bilik di rumah pangsa itu didapati dipenuhi dengan tanah dan najis. - Affifuddin Ishak/22/6/14

Laporan awal di sini, di sini.


Susulan Remaja OKU Kurus Kering, Baca Penjelasan Ibunya

Posted: 21 Jun 2014 08:22 PM PDT


'Mereka tidak tahu kesempitan hidup saya'

FAIZAL memeriksa keadaan kanak-kanak OKU yang ditinggalkan dalam sebuah bilik kotor dan busuk di Nilai. Gambar kecil, Lola ketika ditemubual wartawan.
[Harian Metro] Seremban: "Semua orang salahkan saya dan tuding jari ke arah saya menuduh saya tidak tahu menjaga anak dengan baik, tetapi mereka tidak tahu kesempitan hidup dan kesengsaraan yang saya alami.

"Saya sayangkan anak saya tetapi saya perlu bekerja dan menyara kehidupan dia, saya dan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun," kata ibu remaja orang kelainan upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam sebuah bilik di Flat Semarak, Taman Semarak Fasa 2 di Nilai, semalam. 

Remaja malang itu, Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemui Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman dalam operasi 6P bersepadu di kawasan flat berkenaan selepas melakukan pemeriksaan di rumah itu.

Ibu remaja itu yang kini isteri kedua dan mahu dikenali sebagai Lola, 40, berkata, dia bukan meninggalkan anak sulungnya yang menghidap penyakit celebral palsy itu tanpa jagaan dan tidak diberi makan, sebaliknya dia mendakwa meninggalkan makanan dalam bekas polisterin sebelum ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Katanya, waktu kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia tiada masa menguruskan Muhammad Firdaus dengan baik dan mahu anak lelakinya itu berdikari. 

"Apabila orang lihat keadaan dia, semua orang salahkan saya, tetapi adakah mereka mahu menjaganya sepanjang ketiadaan saya di rumah. Tiada siapa yang sanggup menjaganya kerana dia cacat," katanya sedih ketika tampil di pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad, di sini, semalam.

Dia yang berasal dari Sabah berkata, Muhammad Firdaus adalah anak sulung hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya berusia 53 tahun dan berpisah sejak 14 tahun lalu sebelum berkahwin lain pada 2004 dan dikurniakan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun. 

Menurutnya, sejak berpisah dengan bekas suami yang berasal dari Tawau, Sabah, dia tidak lagi berhubung dan tidak tahu di mana bekas suaminya itu tinggal dan bekerja.

"Saya tidak pernah mendaftar anak saya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak tahu caranya dan terpaksa meninggalkannya sendirian kerana bekerja mencari wang," katanya. 

Apabila ditanya mengenai nasib anaknya selepas ini, Lola berkata, dia sudah membuat keputusan untuk menyerahkan anaknya itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

"Bukan saya tidak sayangkan dia, sebab saya sayangkan dia saya membuat keputusan itu. Saya fikir apa akan jadi pada Muhammad Firdaus jika saya mati nanti. Ajal maut di tangan Allah SWT, saya tidak tahu jadi saya perlu bersedia," katanya.-Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Khidir Zakaria, Ikram Ismail/22/6/14

Laporan awal di sini.

P/s: Apapun alasan yang diberikan oleh ibunya, tidak mampu menghapuskan persepsi orang ramai bahawa anaknya OKUnya diperlakukan dengan kejam sehingga nampak seolah-olah dalam keadaan kebuluran dan tidak diurus langsung.




Tiada ulasan: