Jumaat, 20 Jun 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Papa Gomo Mohon Bayar RM100 Sebulan kepada Anwar

Posted: 20 Jun 2014 02:43 AM PDT



[Bernama] "Saya cuba mohon dengan mahkamah untuk bayar RM100 sebulan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sekarang hanya bekerja sebagai nelayan," kata pengendali blog Papa Gomo selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM800,000.

Wan Muhammad Azri Wan Deris (gambar) yang dikenali sebagai Papa Gomo berkata demikian kepada pemberita di luar mahkamah dan turut memberitahu beliau menjual saham miliknya di KL POS Media & Production Sdn Bhd.

Katanya Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rosilah Yop bagaimanapun menasihatkan beliau supaya berbincang perkara itu dengan Anwar sendiri.

Hari ini Rosilah menolak permohonan Wan Muhammad Azri dengan kos RM5,000, di dalam kamar dengan dihadiri peguam Shahid Adli yang mewakili Anwar dan Wan Muhammad Azri, yang mewakili diri sendiri.

Shahid berkata Rosilah membuat keputusan itu atas alasan tiada sebab untuk membenarkan penangguhan.

Katanya, rayuan Wan Muhammad Azri terhadap keputusan Rosilah yang memerintahkan ganti rugi RM800,000 dan kos RM50,000 ditetapkan pada 24 Jun untuk pengurusan kes di depan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan.

Pada 28 Februari, Rosilah memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 dan kos RM50,000 kepada Anwar berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog Papa Gomo.

Dalam penghakimannya, Rosilah berkata daripada keterangan yang dikemukakan, beliau mendapati Wan Muhammad Azri ialah blogger Papa Gomo dan menerbitkan kenyataan memfitnah dalam blognya.

Anwar memfailkan saman terhadap Wan Muhamamad Azri pada 21 Mac tahun lepas dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013. – Bernama, 20 Jun, 2014.


Ingat Filem 127 Hours? Wanita di China Alami Kejadian Hampir Sama

Posted: 19 Jun 2014 08:18 PM PDT


[Harian Metro] Mudanjiang: Seorang wanita berjaya diselamatkan oleh anggota bomba selepas tersepit antara dua bongkah batu selepas gagal meloloskan dirinya.

Kejadian berlaku setelah wanita itu tersepit kerana punggung dan payudaranya tidak dapat melepasi ruang antara bongkah batu itu. 

Senario menakutkan itu seakan satu adegan dalam filem '127 Hours' berdasarkan kisah benar mengenai seorang pendaki, Aron Ralston yang lengannya tersepit di celah lubang sempit di Blue John Canyon, Utah, pada April 2003. 

Watak yang dimainkan oleh James Franco dalam filem adaptasi Danny Boyle itu menceritakan bagaimana dia jatuh ke dalam gaung selama 127 jam selepas meneroka sebuah kawasan terpencil.

Kerana takut mati keseorangan, Ralston memotong tangannya dengan pisau untuk membolehkan dia melepaskan diri.

Bagaimanapun, nasib wanita yang tersepit itu tidak mempunyai kesudahan yang sama kerana dia diselamatkan oleh 12 anggota bomba. - Agensi/20/6/14


Selepas PKR dan DAP, giliran PAS Selangor tolak Khalid Ibrahim

Posted: 19 Jun 2014 06:42 PM PDT



[The Malaysian Insider] Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal berdepan dengan masalah baru untuk terus memimpin Selangor apabila PAS negeri yang selama ini menyokongnya untuk terus kekal sebagai menteri besar kini bersama PKR dan DAP untuk menolaknya ekoran tindakan beliau yang selalu membuat keputusan bersendirian di negeri kaya itu.

Sikap menteri besar Selangor pada penggal kedua itu yang seringkali membelakangkan Pakatan Rakyat (PR) dalam keputusan menyebabkan parti Islam negeri yang selama ini setia bersamanya, beralih arah, kata beberapa pemimpin PAS negeri.

"Pada dasarnya, inilah yang disuarakan oleh satu mesyuarat Badan Perhubungan PAS Selangor sebelum ini, kesemua 22 Yang di-Pertua PAS kawasan di seluruh Selangor bersetuju agar Khalid ditukar kerana beliau dianggap membawa masalah," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Jaafar Sulaiman kepada The Malaysian Insider.

Menurut Jaafar, pelbagai isu yang berlaku di Selangor kini berpunca daripada kelemahan pimpinan Khalid yang membelakangkan parti-parti dalam PR walaupun mereka yang meletakkan beliau di kedudukan itu.

Jaafar turut mendesak PAS Pusat dan PR agar menukar Khalid dengan calon yang lebih layak dan sentiasa bersama gabungan itu.

PKR sebelum ini memulakan Langkah Kajang untuk menggantikan Khalid dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Namun langkah itu terbantut selepas Mahkamah Rayuan menerima rayuan Putrajaya, dan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Keputusan mahkamah itu menyebabkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan.

Bagi Jaafar, kelemahan Khalid semakin ketara dalam menggendalikan beberapa isu penting, termasuk pengambilalihan syarikat pengurusan air, rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) dan pembinaan Lebuhraya Kidex yang mendapat bantahan ramai.

Menurut Jaafar, rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada PBM dan serbuan ke atas majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu, selari dengan Agenda Rampas Selangor (ARS) yang dibentuk Umno negeri untuk menjauhkan sokongan bukan Islam daripada PR.

Beliau berkata kuasa berlebihan yang diberikan oleh Khalid kepada pegawai kerajaan di pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membelakangkan ahli-ahli majlis dilantik oleh parti-parti PR, turut menimbulkan kemarahan.

"Misalnya, pengambilan kuasa pengurusan ke atas pasar-pasar malam daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang dikuasai parti Pakatan kepada pegawai di PBT. Apabila kita bertanya kepada pegawai PBT, mereka katakan ini kehendak menteri besar," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad turut bersetuju dengan Jaafar.

"Kita sudah membuat keputusan sebelum ini, Khalid perlu ditukar dengan pemimpin lain yang bagi saya perlu diterima oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat.

"Saya tidak nampak bagaimana seorang menteri besar boleh kekal jika partinya sendiri menolak beliau," kata Khalid ketika kepada The Malaysian Insider.

Ketika ditanya mengapa isu ini bergema kembali, Khalid berkata, ia senyap seketika kerana pemilihan PKR sedang berjalan dan bukan kerana sudah selesai.

"Ramai senyap kerana bimbang jika serangan ke atas Khalid diteruskan, ia ditafsirkan sebagai kempen negatif ke atas beliau yang bertanding timbalan presiden PKR," katanya yang sebelum ini adalah penyokong utama Khalid Ibrahim di Selangor.

Sementara itu, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman berkata, masalah besar Khalid adalah beliau tidak mendengar dan mendapatkan nasihat daripada rakan-rakannya dalam PR.

"Ketika hangat isu ini dibincangkan sebelum ini, saya pernah menyebut kepada beliau bahawa kita tidak bercadang untuk menukar beliau, tetapi kita mahu beliau berubah," kata Dr Rani yang juga merupakan Adun Meru.

Menurut Dr Rani, beliau pernah membisikkan kepada Khalid dan meminta beliau agar mendekati dan mengambil pandangan sahabat-sahabat dalam PR.

"Isu yang saya sebut kepada beliau, antaranya adalah PBT. Nampaknya isu ini boleh menjatuhkan Pakatan selepas ini," katanya.

Sementara Adun Hulu Klang dari PAS, Shaari Sungib mengatakan DAP pernah menimbulkan agar Khalid digantikan, tetapi perbincangan masih belum dilakukan di peringkat PR.

"Tetapi jika dikekalkan keadaan dasar yang ada, ini akan menyebabkan kekalahan PR dalam PRU14, kita kena bersemukalah, 'put our facts together'," katanya.

PKR Selangor pimpinan Mohamed Azmin Ali sememangnya tidak sebulu dengan pentadbiran Khalid. DAP pula secara terbuka menyerangnya melalui pemimpin seperti Gobind Singh Deo.

Ahli Parlimen Raub dari DAP, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz baru-baru ini menulis di blognya Sakmongkol AK47, mengatakan jika Khalid tidak digantikan, BN akan berjaya merampas Selangor dalam PRU14.

Bagaimanapun, apabila diminta mengulas kenyataan ahli Parlimen DAP itu, Khalid berkata: "Tidak, itu perlu bertanya pada Raub. Dia bukan wakil daripada negeri Selangor." – 20 Jun, 2014.

Lelaki Dakwa Amal Ajaran Agama Lain Bengang Ibu Solat dan Mengaji

Posted: 19 Jun 2014 05:18 PM PDT

Bengang ibu solat, mengaji


Ismail mengaku salah mengancam ibunya di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam.

[Sinar Harian] KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur tergamak mengugut mahu membunuh ibunya hanya kerana bengang dengan wanita itu menunaikan solat dan mengaji al-Quran setelah mendakwa dirinya telah mengamalkan serta bertukar agama kepada Kristian.

Ismail Mansor, 34, dari Kampung Sungai Ikan, Tepoh, di sini, mengaku salah melakukan ugutan jenayah iaitu mengancam hendak mendatangkan cedera kepada ibunya, Mek Azizah Yusof, 55, dengan niat menyebabkan mangsa merasa cemas di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu dilakukan di kediaman mereka di Kampung Sungai Ikan, Tepoh, di sini, pada 13 Jun lalu, kira-kira jam 9 malam.

Susulan pengakuan bersalah itu, anak kedua daripada tiga beradik itu berdepan hukuman penjara selama boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, Majistret Nurunaim Abdullah menetapkan 1 Julai depan sebagai tarikh jatuh hukum dan membenarkan Ismail diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, semasa ibu malang itu berada di rumah menonton televisyen, secara tiba-tiba datang Ismail yang hendak menghentak kepalanya dengan lesung batu sambil berkata 'aku hendak bunuh mu' beberapa kali.

Terkejut melihat keadaan anaknya yang seperti dirasuk, suri rumah terbabit terus melarikan diri masuk ke dalam bilik tidurnya sebelum mengambil keputusan melarikan diri ke rumah jiran bagi mendapatkan bantuan.

Difahamkan, Ismail bertindak sedemikian kerana marah dan melarang mangsa solat serta mengaji kerana mendakwa telah mengamalkan dan bertukar agama kepada Kristian.

Bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga pada masa akan datang, mangsa membuat laporan polis dan susulan itu pada 15 Jun lalu, kira-kira jam 2.15 pagi, Ismail ditangkap di rumahnya.- Rubiah Omar/19/6/14

Pusat Pelacuran Terbesar Indonesia Ditutup

Posted: 19 Jun 2014 05:14 PM PDT



[Mstar] JAKARTA: Pusat pelacuran terbesar Indonesia, Dolly, yang terletak di Surabaya, Jawa Timur ditutup buat selama-lamanya pada Rabu malam (18 Jun).

Penutupan Dolly disusuli dengan perhimpunan di bangunan Pusat Islam di Surabaya dan dihadiri Menteri Sosial, Salim Segaf Al Jufri; Gabenor Jawa Timur, Soekarwo; Datuk Bandar Surabaya Tri Rismaharini, anggota majlis perundangan wilayah, ulama, pelacur dan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Dolly.

"Apa yang perlu dikekalkan adalah sesuatu yang positif. Jika tidak positif, maka tidak perlu untuk mengekalkannya," Salim dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Antara semasa perhimpunan pada Rabu. 

Beliau memuji pihak berkuasa berkaitan yang bersedia menutup kawasan Dolly yang bukan sahaja sebagai pusat pelacuran terbesar di Indonesia tetapi juga di rantau Asia Tenggara.

"Kami telah berusaha keras sejak dua hingga tiga tahun lepas bagi menangani isu ini," kata Salim.

Perhimpunan pada Rabu juga disusuli dengan perisytiharan oleh masyarakat tempatan yang berikrar untuk menjadikan kawasan itu bebas daripada pelacuran.

Perisytiharan itu dibuat secara hitam putih dan ditandatangani wakil-wakil penduduk tempatan.
Sementara itu, Soekarwo menghargai keputusan untuk menutup kawasan Dolly. 

"Ini berupa usaha kemanusiaan. Apabila datuk bandar Surabaya Risma mencadangkan untuk menutup Dolly, Saya meluluskan cadangannya," kata Soekarwo.

Ketika ditanya tentang rancangan untuk menghantar pulang bekas pelacur Dolly ke kampung masing-masing, Soekarwo berkata pihak berkuasa tempatan menyediakan pembiayaan bgi rancangan itu.

Ekoran penutupan kawasan Dolly, pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Sosial dan kerajaan wilayah Jawa Timur memberi pampasan berjumlah 1.5 bilion Rupiah kepada pelacur Dolly dan penduduk yang terlibat dengan keputusan itu. -19/6/14


P/s: Pusat pelacuran terbesar di Malaysia bila mahu ditutup?


Tiada ulasan: