Sabtu, 28 Jun 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Felexia Yeap umum rasmi peluk Islam 5 Ramadan ini

Posted: 28 Jun 2014 03:56 AM PDT

Oleh: AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM : Model keturunan  Cina yang agak kontroversi kebelakangan ini, Felixia Yeap hari ini secara rasmi mengumumkan akan memeluk Islam pada 5 Ramadan ini.

Beliau berkata demikian  di hadapan kira-kira 1,000 hadirin pada Program Semarak Ramadan peringkat negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini.

felex1

Felixia, 27, memilih hari lahirnya pada 3 Julai ini sebagai simbolik memperingati hari penuh bersejarah di dalam hidupnya.

"Saya memilih 5 Ramadan kerana ia jatuh pada 3 Julai itu hari jadi saya dan tarikh itu jatuh pada hari Khamis iaitu hari kegemaran Rasulullah SAW.

"Tarikh itu akan menjadi satu hari yang akan saya ingat selama-lamanya," katanya.

Felixia berkata keputusannya untuk memeluk agama Islam adalah atas kehendak dirinya sendiri dan bukan atas paksaan sesiapa.

Meskipun mengakui kehilangan ramai teman apabila beliau tekad untuk berhijrah, namun memaklumkan sentiasa mendapat sokongan daripada ibunya.

"Kawan-kawan ramai yang lari dan tidak boleh terima perubahan ini tetapi ibu saya gembira dengan perubahan positif yang berlaku kepada saya," katanya lagi.

felexBeliau berkata meskipun mengenakan imej bertudung, peluangnya sebagai model masih terbuka namun dihadkan kepada yang menutup aurat sahaja.

"Apabila bertudung dan ingin berubah, saya menjangkakan yang terburuk akan berlaku iaitu tiada punca rezeki lagi.

"Tetapi saya bertekad untuk menutup aurat dan berkat Tuhan rezeki saya tidak putus sehingga hari ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai ciri-ciri lelaki yang mahu dijadikan teman hidup, Felixia berkata pasangan hidupnya mestilah beriman kepada Allah dan boleh menerima dirinya seadanya.

"Orang itu mestilah beriman, boleh membawa saya ke Jannah, penyabar dan sayang saya serta sayang Allah," katanya.

Felixia atau nama sebenarnya Yeap Chin Yee memulakan kerjaya dalam bidang permodelan pada tahun 2005 dengan menyertai pertandingan Dewi Remaja dan menjadi salah seorang finalis ketika itu.

Jelitawan yang berasal dari Ipoh itu mengejutkan banyak pihak sejak Disember tahun lalu apabila secara beransur-ansur memakai pakaian yang menutup aurat dan mula menolak apa-apa tawaran yang memerlukannya membuka aurat.

Sejak memakai hijab muslimah, Felixia telah beberapa kali diundang oleh beberapa stesen TV untuk diwawancara.EZY

MB: ‘Tiada syarat jika kalah pemilihan parti perlu letak jawatan’

Posted: 28 Jun 2014 03:51 AM PDT

Oleh: NORHAYATI UMOR


PELABUHAN KLANG: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan berundur sebagai orang nombor satu di negeri itu walaupun didesak pelbagai pihak.

Abdul Khalid berkata demikian bagi mengulas jika beliau kalah dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi merebut jawatan Timbalan Presiden.

Katanya, tidak ada syarat mengatakan jika kalah dalam jawatan parti maka seseorang itu perlu meletak jawatan.

Abdul Khalid"Itu tidak perlu. Tidak ada dalam syarat jika kalah, maka seseorang perlu mengakhiri tugasnya.

"Jika kamu memegang jawatan yang sudah dilantik, maka masih lagi perlu menjalankan tanggungjawab itu sehingga pilihan raya akan datang," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan sempena Ramadan, di Kampung Perigi Nenas, di sini, hari ini.

Abdul Khalid menegaskan beliau akan meneruskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Menteri Besar.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak Abdul Khalid meletak jawatan sebagai Menteri Besar ekoran kononnya beliau gagal menyelesaikan beberapa isu negeri dan berkemungkinan gagal merebut jawatan Timbalan Presiden.

pemilihan 2014
Abdul Khalid juga gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Selangor dalam pemilihan PKR kali ini.

Dalam pemilihan Timbalan Presiden, Abdul Khalid berdepan dengan penyandang Timbalan Presiden, Azmin Ali dan Datuk Saifuddin Nasution.-NFN-

Selangor pergiat program agama, ilmiah sempena Ramadan

Posted: 28 Jun 2014 03:49 AM PDT

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM,: Kerajaan Negeri mengambl inisiatif dengan menganjurkan pelbagai program berbentuk agama dan ilmiah khusus untuk rakyat Selangor bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan, bermula esok (29 Jun).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata usaha murni itu diselenggara secara kolektif di bawah portfolio agama, belia dan sukan bersama hal ehwal wanita dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta beberapa agensi lain.

DSC_5440

Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah Program Berbuka Puasa dan Tazkirah Santai Bersama Belia, Program Diskusi Wanita, Program Iftar Perdana, Program Munajat dan Qiamullail, Program Tadarus Belia serta Sahur Perdana peringkat Negeri Selangor.

"Sebagai kerajaan prihatin, Selangor menyedari implikasi Ramadan sebagai bulan tarbiah kepada seluruh umat Islam untuk memperbaiki diri mereka.

"Melalui program ini, setiap hari di bulan Ramadan bakal diisi dengan pelbagai aktiviti santapan jiwa yang tidak melanggar syariat Islam.

DSC_5518

"Kerajaan Negeri berharap semua program yang dirancang bakal mendapat sambutan dan mendekatkan masyarakat dengan suasana hidup penuh sefahaman, memantapkan perpaduan ummah, memakmurkan masjid, menanam jiwa taufik kepada Allah serta membina jiwa manusia yang bertakwa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Ramadan Peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam,, di sini, semalam.

DSC_5515Hadir sama, Exco Negeri iaitu Sallehen Mukhyi, Dr Halimah Ali dan Dr Ahmad Yunus Hairi serta Timbalan Pengarah JAIS, Mohd Zaki Arshad.

Program anjuran Kerajaan Negeri yang diadakan setiap tahun itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat serata negeri dengan dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Antara program yang dijalankan adalah tazkirah santai bersama penceramah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus; pelakon Yasin Yahya dan model, Felixia Yeap.-NFN-

Pua dan Liu Perlu Diajar Mengenai Industri Air - MB Selangor

Posted: 28 Jun 2014 03:45 AM PDT

Abdul Khalid Ibrahim.
 
 
 
PULAU INDAH: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengecam dua pemimpin DAP yang menyalahkan kerajaan negeri terhadap gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa daerah di negeri itu. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan  Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Pengerusi DAP Negeri, Tony Pua dan bekas Exco Kerajaan negeri, Ronnie Liu yang menuduh kerajaan negeri dan Khalid yang sepatutnya bertanggungjawab dalam isu tersebut.  

Sebaliknya Khalid menegaskan kedua-dua pemimpin DAP itu perlu diajar mengenai industri air di Selangor. 

Beliau turut mengulangi kenyataan bahawa adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan negeri dalam isu tersebut, malah Khalid yang agak terkejut dengan kenyataan dua pemimpin kanan DAP itu berkata mereka gagal memahami sejarah penstrukturuan air yang telah dilaksanakan. 
"Saya terkejut kerana Liu sebelum ini pernah menjadi Exco kerajaan negeri selama satu penggal, dia masih tidak faham mengenai pelaksanaan penstrukturan air dan kerja yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi untuk rakyat.

"Bagaimanapun, saya yakin Unit Perancang Ekonomi (Upen) dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sangat gembira untuk mengajar Pua dan Liu mengenai apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri dan mengapa Syabas sering persalahkan dalam isu ini," katanya selepas menyampaikan sumbangan sempena bulan Ramadan di Masjid Sultan Abdul Aziz di sini.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Pua yang menyoal mengenai janji kerajaan negeri untuk memastikan bekalan air mencukupi dalam tempoh lima bulan akan datang, Khalid berkata beliau mengakui agak sukar untuk memastikan tindakan ia tidak berlaku kerana Syabas tidak mahu bekerjasama dengan syarikat konsesi air yang lain.

"Menurut perkiraan kami, bekalan air di empangan dan sungai mencukupi. Bagaimanapun sekiranya bekalan air di loji rawatan yang dimiliki Syabas gagal berfungsi, adalah sangat sukar untuk memastikan bekalan air cukup untuk menampung keperluan rakyat.

"Oleh itu, adalah tidak wajar untuk menyalahkan kerajaan negeri. Jika kerajaan negeri mengambilalih aset air (Syabas) mereka dalam tempoh enam bulan anda boleh melihat pusingan catuan air. Namun mereka (pemimpin DAP) menggunakan cara ini untuk menyalahkan kerajaan negeri dan diri saya sendiri," kata Khalid.

Pua dalam satu kenyataan pada pagi Sabtu, berkata gangguan bekalan air yang berlaku selepas kerajaan negeri berjanji tidak akan berlakunya gangguan bekalan menunjukkan kelemahan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah tersebut.

"Apabila bekalan air terganggu beberapa hari selepas kerajaan negeri berjanji tiada lagi gangguan bekalan akan berlaku, tidak ini menunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat dan semua Exco Kerajaan Negeri seperti orang bodoh?," katanya.

Faekah Husin dilantik Pegawai Penyelaras DUN Pelabuhan Klang

Posted: 28 Jun 2014 03:41 AM PDT

Oleh: NORHAYATI UMOR


PELABUHAN KLANG: Ketua Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin dilantik menjadi Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Pelabuhan Klang bagi membantu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengendalikan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit.

Abdul Khalid berkata, tindakan itu dilakukan supaya penduduk Pelabuhan Klang tidak dipinggirkan ekoran kesibukan beliau sebagai orang nombor satu negeri itu.

"Sebagai Menteri Besar, saya sangat sibuk mengendalikan hal negeri. Walaupun turun ke kawasan DUN, tetapi saya juga tidak mahu penduduk merasa terpinggir akan usaha yang akan dilakukan nanti," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan sempena Ramadan, di Kampung Perigi Nenas, di sini, hari ini.

MB-FAEKAHAbdul Khalid berkata, Faekah akan dapat meluangkan masa bagi mengadakan program 'klinik' dan meluangkan masa dalam menyelesaikan masalah di kawasan DUN dengan adanya Pegawai Penyelaras.

"Beliau akan dapat menyelesaikan masalah berhubung tanah terbiar, tidak kenal pasti pemilik tanah dan menyelarikan usaha pembangunan tanpa meminggirkan penduduk," katanya.

Pada masa sama, Abdul Khalid akan meminta syarikat Central Spektrum (M) Sdn Bhd untuk melakukan kajian dan soal selidik semua isu rumah penduduk Pelabuhan Klang bagi mengetahui kedudukan sosioekonomi mereka.

Katanya, hal itu bagi mengenal pasti cara untuk meningkatkan pendapatan keluarga mereka.

mb khalid pelabuhan klang calon 01"Kajian itu boleh dilakukan pensyarah universiti, pelajar atau pakar sosioekonomi. Jumlah kos untuk jalankan kajian ini, saya rasa tidak sampai RM100,000 berbanding jualan syarikat itu dan tidak ada sebab kita tidak boleh jalankan," katanya.

Beliau berkata, Pejabat Tanah juga diminta bekerjasama dalam hal itu bagi memastikan kelancaran kajian berkenaan.

"Dengan itu, kita benar-benar faham akan cara untuk tingkatkan pendapatan mereka. Kita tidak mahu melakukan pembangunan tetapi meminggirkan penduduk," katanya.-NFN-

Eksekutif SYABAS tak hadir mesyuarat air Selangor, hantar pekerja bawahan

Posted: 28 Jun 2014 03:39 AM PDT

Oleh: NORHAYATI UMOR


PELABUHAN KLANG: Barisan Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tidak memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri ketika diminta menghadiri mesyuarat bagi membincangkan status pembangunan dan penyaluran air seluruh Selangor yang dilaksanakan setiap dua hari.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata dalam mesyuarat yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Kushrin Munawi itu hanya dihadiri 50 kakitangan bawahan termasuk pihak lain berkaitan tanpa pengurusan tertinggi.

"Apabila kita adakan mesyuarat tersebut, kita panggil pegawai tertinggi Lembaga Urus Air Selangor (LuAS), Suruhanjaya Perkhimatan Air Negara (SPAN) termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. mereka semua datang tetapi lima pegawai eksekutif tertinggi SYABAS yang kita jemput tak datang.

air-syabas_MBa"Mereka (SYABAS) hantar kakitangan yang purata gaji mereka tak sampai RM150,000 sebulan sedangkan lima mereka itu kumpulan gaji hampir RM3 juta sebulan tapi tidak hadir.

"Ini menunjukkan Kerajaan Negeri masih belum menguasai perkara itu," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua yang menyalahkan Kerajaan Negeri berkenaan gangguan bekalan air terbaru yang berlaku di negeri itu.

Beliau berkata, pihak tertentu seharusnya memahami kedudukan Kerajaan Negeri yang tidak mempunyai kuasa untuk meminda pengurusan SYABAS bagi menyelesaikan masalah air sebelum pengambilalihan industri air dapat dilakukan.

Malah, dalam masa yang sama, katanya, semua pihak diminta memberi peluang kepada Kerajaan Negeri sekurang-kurangnya enam bulan selepas pengambilahan sebelum menimbulkan sebarang pertikaian.

"Untuk ini, kita sudah minta Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk menyiapkan program pengambilalihan .

logo syabas"Katakan bulan Julai kita ambil, kena bagi masa enam bulan untuk urus, tetapi jika kita ada masalah baru boleh kata Kerajaan Negeri tidak cerdik urus air. Kena bagi kita masa kerana dalam perniagaan juga diberi masa," katanya.

Beliau berkata, sebelum proses sepenuhnya pengambilalihan, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa penuh kepada SYABAS.

"Kalau kita mempunyai kuasa penuh nanti bolehlah kalau nak kata Kerajaan Negeri bodoh ke tolol. 
Jadi, waktu ini tidak boleh kata Kerajaan Negeri tidak buat kerja," katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid berkata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili juga kesal dengan tindakan SYABAS kerana gagal memastikan pengagihan air dilakukan secara lancar.-NFN-

Kenapa saya tidak lagi gemar ke pasar Ramadan?

Posted: 28 Jun 2014 03:34 AM PDT



Oleh Nomy Nozwir


Pejam celik pejam celik, kita sudah tiba pada bulan Ramadan, bulan pada umat Islam berpuasa. Dan selepas melalui 30 kali bulan Ramadan, saya berasa tahun ini, saya mula menyerah kalah.

Pada tahun-tahun sudah, semenjak saya diperkenalkan oleh ibu bapa saya dengan ajaran Islam dan budaya Melayu, antara budaya yang sinonim dengan masyarakat Melayu pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) ialah mengunjungi ke pasar Ramadan.

Ada sesetengah daripada kita lebih gemar memanggilnya "bazar Ramadan" berbanding "pasar Ramadan" kerana "bazar" bunyinya lebih Arab, bahasa yang kebanyakan daripada orang Melayu anggap bahasa paling suci, berbanding bahasa sendiri.


Sebelum itu, budaya pasar Ramadan ini mula muncul pada sekitar lewat 70an, menurut apa saya difahamkan – hasil dari keyakinan rakyat terhadap ekonomi, khususnya apabila penemuan minyak di pesisir laut China Selatan.

Walaupun pada sekitar 80an terdapat sedikit kegawatan, pada penghujungnya – merupakan tahun kegemilangan bagi kapitalisme.

Penghujung 80an hingga pertengahan tahun 90an, adalah kemuncak kegemilangannya.

Pada zaman kemuncak kapitalisme ini, pasar Ramadan yang selama ini menjual makanan Melayu – mula bertukar selera kepada makanan Barat, atau ala-Barat.

Hotel-hotel juga sudah mula menyediakan juadah berbuka puasa bufet dengan sekian sekian harga.
Melayu mula nak jadi macam orang Barat, tapi disebabkan orang Melayu orang Islam, orang Melayu wajib puasa tapi nak buka puasa kenalah ikut perkembangan sikit.

Kalau mampu belanja mata air, atau makwe, atau kekasih, atau yang terkini - bae - ke Victoria Station, anda pada masa itu dianggap seperti anak Datuk untuk berbuka puasa di restoran Barat sebegitu.

Tetapi – untuk kebanyakan rakyat marhaein – mereka tiada pilihan selain ke pasar Ramadan. Dan mereka mahu jadi orang Barat juga.

Hasilnya, wujudlah roti John – roti yang digoreng di kuali leper bersama marjerin kemudiannya dilekatkan pada telur dadar sebelum cairan telur itu mula masak.

Tetapi kini, Melayu tidak lagi mahu makan makanan Barat, mereka kini sudah ramai yang menuju ke budaya Arab.

Akibatnya, juadah Melayu seperti umbut kelapa masak lemak, tapai, petai jeruk, jering rebus, kerdas bakar dan lain-lain sudah mula dilupakan masyarakat Melayu sendiri.

Saya cukup sedih kerana selama dua tiga tahun ini, saya ke pasar Ramadan, semakin sukar saya untuk mencari masakan Melayu asli.

Seperti asam rom di Pahang, atau umbut kelapa masak lemak di Negeri Sembilan, atau gulai itik di Permatang Pauh, atau banyak lagi juadah masakan Melayu yang orang Melayu sendiri ramai tidak tahu.

Selain itu, saya kini semakin sukar untuk mencari kuih-kuih Melayu tradisional di pasar Ramadan kerana orang kini sudah mengejar juadah manis seperti durian crepe, red velvet atau kek pelangi.

Pernah sekali saya teringin kuih koci, dan saya gagal mencari hampir seluruh kawasan tempat tinggal saya, tetapi kuih-kuih generik yang entah apa-apa ini berlambak-lambak tapi ia tak disentuh orang, seperti ia bukan makanan.

Itu belum saya kata tentang agar-agar merah yang hanya letak perisa sirap yang saya sifatkan ia bukan satu masakan, sebaliknya kejuruteraan makanan yang malas.

Jadi, kepada semua peniaga pasar Ramadan yang membaca tulisan ini, saya ingin buat pengakuan – saya dah penat dengan sikap kamu yang hanya mementingkan keuntungan daripada membuat makanan yang baik.

Harga sedikit mahal, tidak ada masalah jika ia sedap. Tetapi jika orang Melayu sendiri tidak mahu menjaga masakan tradisi Melayu sendiri, dan hanya masak mengikut trend dan budaya orang lain, dan buat kuih generik untuk dijual seringgit satu keping, itu yang membosankan saya.

Bagi saya, kerja menjadi tukang masak adalah tugas yang mulia. Bahan-bahan yang bersih dan baik di samping dengan niat yang ikhlas, mampu menjadikan makanan yang dimakan itu bermakna.

Jika anda hanya mahu menjual kuih generik sebab ia senang dibuat, profit margin pun tinggi, dan ia nampak cute pada Instagram, bagi saya anda tidak perlulah sempitkan ruang orang ramai di pasar Ramadan.

Dan tolonglah, setiap kali bila anda lafazkan "Hidup Melayu", anda fikirlah sendiri, budaya dan masakan sendiri pun anda pinggirkan, apa benda yang hidupnya?

Berniagalah dengan ikhlas, kalau tak, apa gunanya berpuasa, kalau semuanya tidak ikhlas?

Kabinet baru yang tiada iniasiatif dasar baru

Posted: 28 Jun 2014 03:31 AM PDT




Oleh Lim Guan Eng 


Pelantikan seorang menteri Kabinet Gerakan, dua menteri Kabinet MCA dan tiga timbalan menteri MCA terang-terang merupakan kejayaan peribadi yang menewaskan kepentingan umum, serta tewasnya prinsip terhadap jawatan politik selain kekuasaan Umno ke atas BN.

Dengan dilantik ke portfolio jawatan kosong dan tidak bermakna sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (kecuali yang dilantik ke Kementerian Pengangkutan), kedua-dua MCA dan Gerakan menunjukkan mereka menikmati pengaruh lebih kecil terhadap dasar BN berbanding Perkasa.

Walaupun MIC mempunyai kurang kerusi Parlimen tujuh kerusi MCA, dua menteri MIC diberikan kementerian yang lebih berpengaruh dan portfolio lebih penting seperti Sumber Asli dan Alam sekitar serta Kesihatan yang masing-masing dijawat oleh Datuk G Palanivel dan Datuk S Subramaniam.


Orang ramai berharap supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekurang-kurangnya menggantikan beberapa menteri kabinet Umno untuk mengembalikan portfolio tradisional MCA kepada MCA. Bagaimanapun, ia tidak berlaku malah berbanding mengurangkan anggota Kabinet Umno, Najib memilih menambah anggota Kabinet menjadi 35 orang.

Bagi sebuah negara dengan populasi 28 juta, Kabinet yang begitu membusung ini dianggotai 35 menteri penuh dan 27 timbalan menteri. Ini boleh dibandingkan dengan tiga negara lain yang mempunyai populasi lebih besar tetapi hanya mempunyai 23 menteri Kabinet, seperti United Kingdom yang mempunyai 63 juta rakyat, Amerika Syarikat 313 juta rakyat malahan India yang mempunyai 1.1 bilion penduduk.

Atas dasar dan logik apa Malaysia yang mempunyai bilangan penduduk lebih sedikit berbanding UK, USA dan malah India mempunyai 50% lebih anggota Kabinet seramai 35 orang berbanding 23.

MCA tidak boleh mendakwa mereka diberi jumlah jawatan Kabinet lebih sedikit kerana mereka menang jumlah kerusi yang sedikit pada pilihan raya umum 2013, kerana MCA menang besar dalam pilihan raya umum lalu malah menyelamatkan Umno/BN daripada kekalahan pada pilihan raya 1999; pun begitu bilangan jawatan menteri mereka tidak bertambah malah kekal sebanyak empat jawatan.

Jelas sekali MCA dilayan tidak lebih daripada pengemis politik dan memperoleh apa yang tersisa apabila tidak diberikan anugerah apabila MCA menang besar serta tidak pula dihormati apabila ia tewas.

Lebih malang lagi apabila pelantikan kementerian mereka tidak disertai sebarang inisiatif dasar baru seperti melawan rasuah dengan melakukan pengisytiharan harta secara umum para menteri atau pun mengakhiri tender yang dirunding dan memberi laluan kepada tender terbuka, penginstitusian dana tahunan untuk sekolah Cina dan Tamil selain menumpukan sumber kepolisan untuk membanteras jenayah supaya rakyat bukan sahaja selamat tetapi yakin mereka selamat.

Presiden Gerakan Mah Siew Keong pun tidak berjaya membuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada masyarakat Cina yang disifatkannya sebagai tidak berterima kasih dan tidak pula beliau berhasil mendapatkan universiti tulen untuk Teluk Intan yang menawarkan pelbagai kursus.

Kedua-dua MCA dan Gerakan gagal membuat Umno menghentikan sokongan kepada pelaksanaan hudud, mahupun menghentikan penukaran agama Islam secara satu pihak oleh salah seorang ibu bapa ataupun bertindak terhadap mereka yang rasis dan ekstremis membuli dan mengugut mereka bukan Islam atau Melayu.

Dengan kegagalan menegaskan Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan sekular, kemasukan semula MCA dan Gerakan ke dalam Kabinet tidak akan membuat sebarang perubahan tetapi hanya menghasilkan sandiwara politik yang hingar membantah di luar tetapi menikus diam di dalam.

Jelas sekali kedua-dua MCA dan Gerakan tidak mengambil pelajaran daripada kekalahan mereka dalam pilihan raya 2013 dan nampaknya tetap akan kembali kepada cara lama, dengan tunduk patuh kepada kekuasaan Umno. – 27 Jun, 2014.

* Penulis adalah Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Pelajar UPM Bantu Bina Rumah Orang Asli

Posted: 28 Jun 2014 03:26 AM PDT




Sukarelawan UPM berusaha membina rumah di perkampungan orang asli di Bukit Jenuk.

Oleh: S.PUSPADEVI 


SATU pengalaman baru bagi mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila mereka diberi peluang untuk membina rumah papan untuk penempatan orang asli di Bukit Jenuk, Dengkil baru-baru ini.

Menerusi penyeliaan NGO tempatan iaitu Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf), kumpulan pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam itu berpeluang merasai sendiri pengalaman membina rumah dan aktiviti kesukarelawanan di bawah projek Good Day, Star Publication (M) Bhd.



Mantah Anak Ayap bersama keluarganya di hadapan rumah yang siap dibina.


Presiden Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir berkata kumpulan mahasiswa itu diberi taklimat selama 30 minit mengenai 'Program Amal Tampal Rumah' sebelum dipecahkan kepada beberapa kluster.

"Mereka dipecahkan kepada empat kluster - makanan, mencuci (bekalan air bersih dan kebersihan), tempat tinggal, perubatan dan diberikan pelbagai tanggungjawab.

"Mereka kemudiannya membina khemah dan dapur," katanya ketika ditemui di tapak pembinaan.

Hari berikutnya, kumpulan pelajar itu memulakan kerja seawal pukul 7 pagi bagi membina rumah seorang warga emas, Mantah Anak Ayap berusia 64 tahun.

"Mereka bekerja dalam kluster masing-masing dan akan menukar tugasan setiap dua jam bagi membolehkan setiap peserta menimba pengalaman daripada tugasan berbeza," katanya.


Rumah yang siap dibina.


Menurut Ishak, idea program berkenaan diambil dari Indonesia di mana sekumpulan pelajar universiti di Jakarta membina semula rumah untuk penduduk di sana.

Di Jakarta program berkenaan dikenali sebagai 'Pecah Rumah'.

"Empat kluster itu pula diambil daripada Sistem Kluster Bangsa-Bangsa Bersatu dan matlamat kami ialah untuk menyerap nilai kemanusiaan," katanya.

Jelas beliau ini merupakan program kedua kendalian pihaknya bersama pelajar universiti.


Khemah peserta sukarela.


Sebelum ini Insaf pernah bekerjasama dengan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membina semula rumah orang asli di Kampung Gumum, Pahang.

Katanya program seumpama itu berjaya membuka mata kumpulan pelajar berkenaan yang kurang menerima pendedahan mengenai aktiviti kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

Bagi Faiz Mohd Rasid, pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan Awam, dia berbangga kerana terpilih menyertai program itu.

"Walaupun saya pernah berkunjung ke perkampungan orang asli sebelum ini, namun pengalaman mengubah kehidupan masyarakat ini adalah sangat berbeza.


Kumpulan pelajar itu turut menyediakan juadah makanan untuk semua yang terlibat.


"Terima kasih kepada Insaf kerana saya kini sudah tahu bagaimana untuk membina rumah papan," katanya yang berusia 21 tahun.

Selain itu Siti Nur Farhanim, 22, dari fakulti yang sama turut bersetuju dengan pandangan Faiz.

"Kali pertama saya sampai di sini agak terkejut melihat keadaan rumah mereka yang dibina sendiri. Keadaannya agak daif tanpa bekalan elektrik dan air bersih," katanya.

Siapa Pak Samad di mata anda?

Posted: 28 Jun 2014 03:23 AM PDT



Oleh Arafat Hambali 


Ada yang berpendapat dan menyatakan yang beliau lahir di Melaka dan ada pula yang menyatakan beliau lahir di Singapura. Begitu juga dengan bilangan umurnya. Ada yang menyatakan lewat 70an dan tidak kurang pula yang beranggapan beliau sudah melangkaui 80an bahkan ada yang menyatakan sudah beransur ke 90an.

Apa pun tanggapan orang, saya tidaklah mahu untuk mendedahkan di mana sebenarnya beliau dilahirkan dan berapa bilangan umurnya. Biarlah teka teki ini berlegar sambil anda menggunakan keupayaan minda untuk menafsir dan mencerna maklumat.

Bermula degan novel Salina, yang merakamkan suasana kehidupan yang resah sebagai anak yang tumbuh membesar dalam keadaan siasah yang goyah, keamanan negara yang terumbang ambing, serta pendudukan penjajah yang datang menjarah. Salina digarap dengan penuh rasa kemanusiaan, kecintaan dan memartabatkan nilai kasih sayang.

Kemunculan watak-watak seperti Zulfakar, Hilmy, Nahidahah dan Salina sendiri, juga kandang kambing yang dibuat rumah sewa serta latar tempat yang berpusat di Singapura, memberikan kita suatu rasa bagaimana sang penulis begitu tabah menjalani kehidupan awalnya.

Sebagai seorang yang sangat terkesan dengan arus siasah tanah air, generasi yang ada pada hari ini, amatlah tidak wajar menyalahkan beliau seratus peratus atas penglibatannya yang membelakangi kerajaan. Kerana di usianya yang hampir satu abad, telah banyak hal yang beliau saksikan, ikuti dan lakukan.

Beliau merakam sejarah negara dan bangsa. Tidak hairanlah jika rentetan demonstrasi demi demonstrasi diikutinya sehinggalah kemuncaknya bila beliau enggan lagi menggunakan gelaran Sasterawan Negara, Pak Samad mengumumkan perkara tersebut 19 Januari 2008 pada pukul 5.35 petang di Acara Baca Puisi, RA Fine Arts Gallery.

Dan selepas itu beliau semakin gigih dan aktif menyedarkan kita warga Malaysia dengan siri ceramahnya di pentas parti politik pembangkang.

Bertitik tolak dari situ, ada dua hal yang saya perhatikan, bagaimana seorang tua yang di usia ranum sering kelihatan berada di pentas politik dan di heret ke sini ke sana sebagai satu kerelaannya atau peluang sang politikus mempergunakannya bagi menarik penglibatan orang ramai.

Tetapi yang amat saya terkilan, tidak pula ramai orang yang terkesan dengan karya-karya beliau.

Dari satu sisi (politikus dan elitis), mereka seakan mengharapkan pemberian karya percuma di atas tiket "status". Walhal merekalah yang sepatutnya memainkan peranan menyokong Pak Samad dengan membeli dan menyumbang hasil karya Pak Samad untuk sama-sama dinikmati oleh masyarakat.

Saya pernah menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri bagaimana kurang lebih 10 orang politikus elit dari parti pembangkang (saya terpaksa rahsiakan nama mereka) tidak mempedulikan naskhah Salina yang dijual dan dilancarkan secara tidak rasmi ketika berlangsungnya sebuah acara di Stadium Kelana Jaya beberapa tahun lalu.

Jadi, bagaimana kalau yang diperingkat atasan sendiri pun kurang merangsang, kepada yang di bawah pula mestilah menyongsang.

Bagi saya mereka hanyalah bermuka-muka semata. Kononnya berdiri teguh di belakang, hadapan kiri kanan menyokong, tetapi menyokong yang bagaimana? Sekiranya Pak Samad didakwa atau ditahan oleh pihak berkuasa, hanya berapa kerat sahaja yang datang memberi sokongan sebagai tanda solidariti.

Bila Pak Samad menghasilkan karya, ramai yang sekadar menekan butang "Like" di laman Facebook dan meninggalkan komen "indah dan puitis" tetapi tidak mendatangkan apa apa tindakan susulan.

Benar kata penulis, Roslan Jomel, "jual buku sastera bukan hal yang senang di Malaysia. Orang lebih suka tekan LIKE. Belinya belum tentu".

Saya merasakan mereka ini tertarik kepada karekternya sahaja berbanding karyanya sebagai bukti, pantang melihat kewujudan sosok itu, "bapak, boleh ambil gambar?"

Persoalan yang perlu kita tanya, siapa Pak Samad di mata anda? Adakah sebagai karekter yang memusatkan keseluruhan hidupnya untuk memerdekakan negara, bangsa dan agamanya atau sebagai karekter lelaki "usang" di penghujung usia? Nah... jawablah.

Peniaga Ramadan Jangan Fikir Untung Sahaja

Posted: 28 Jun 2014 03:17 AM PDT

MSTAR ONLINE


 
 
 
IPOH: Peniaga di negeri ini diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan pada bulan Ramadan dengan mengaut keuntungan berlebihan sehingga membebankan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata peniaga harus bertanggungjawab dan jujur kepada pembeli.

"Biar margin keuntungan adil kepada penjual dan juga adil kepada pengguna. Jangan mengaut keuntungan berlebihan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Tani PraRamadan peringkat negeri di Pasar Tani Kampung Simee di sini, Ahad.

Katanya peniaga juga perlu sentiasa menjaga kebersihan dan kualiti produk yang dijual.

Mohd Nizar berkata kerajaan akan sentiasa memantau dan mengawal harga barangan dan memastikan barangan keperluan mencukupi sepanjang bulan Ramadan.

"Pasar Tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ialah contoh terbaik kerana memaparkan tanda harga yang cukup jelas," katanya.

Kereta Proton Dijadikan Sebagai Bom Kereta Di Syria

Posted: 28 Jun 2014 03:11 AM PDT

MSTAR ONLINE


Militan menggunakan Proton Saga BLM sebagai bom kereta.
 
 
PETALING JAYA: Sebuah kereta Proton digunakan sebagai bom kereta seperti yang dipaparkan dalam rakaman video di Syria.

Paparan video selama 3 minit 3saat itu dimuat turun di laman You Tube (http://www.youtube.com/watch?v=xf-i9vn68-o) dengan menyaksikan seorang lelaki sedang menyiapkan empat bahan peranti letupan (IED) di bahagian belakang dalam Proton Saga BLM tersebut.

IED itu dipasang bagi kawalan letupan dan kereta itu juga di ubahsuai untuk bergerak secara kawalan.

Lelaki di dalam video tersebut memandu ke arah jalan sebelum membiarkan kereta itu bergerak secara kawalan dan sejurus itu letupan besar berlaku.

Lokasi sebenar kejadian ini di salah satu tempat di Syria yang berlaku konflik sejak 2011.

Proton Saga BLM telah dilancarkan pada tahun 2008 dan Proton turut dijual ke Syria sejak tahun 2001.

"Ia tidak menunjuk Proton digunakan secara sengaja. Anggota militan dengan mudah boleh menggunakan mana-mana kereta. Mereka tidak perlu menggunakan Proton," jelas satu sumber.

Bagaimanapun, sumber tersebut berkata, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan militan cuba mencemarkan nama Malaysia dengan menggunakan Proton Saga.

Pernikahan Sham Kamikaze Tak Sah - Mahkamah

Posted: 28 Jun 2014 03:05 AM PDT

Perkahwinan Sham dibubarkan serta merta secara faraq nikah mulai hari ini.

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI 


RAWANG: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada Jumaat memutuskan, pernikahan di antara bekas gitaris kumpulan Kamikaze iaitu Sham dan Nurul Halimin Mohd Salleh pada 16 Januari 2012 adalah tidak sah.
iklan
Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali memerintahkan perkahwinan itu dibubarkan serta merta secara faraq nikah mulai hari ini.

Faraq nikah ialah pembubaran sesebuah perkahwinan tanpa jatuh talak. Permohonan berkenaan dibuat sekiranya pasangan suami isteri itu ragu terhadap status perkahwinan mereka.

Kamarulzaman memutuskan, wali hakim yang digunakan pada pernikahan yang diadakan di Masjid Ibu, Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang itu tidak dilantik dengan kebenaran mahkamah.


Sham bersama isterinya, Nurul Halimin.

Selain itu, segala urusan pernikahan yang dibuat oleh pihak ketiga juga tidak diiktiraf dan sijil pernikahan mereka adalah palsu.

Bagaimanapun, Kamarulzaman memutuskan anak lelaki mereka iaitu Aisy Danial yang dilahirkan pada 21 Januari lalu adalah anak sah taraf dan Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 38, boleh dinasabkan sebagai bapa kandung.

Sementara itu, Sham ketika ditemui selepas prosiding selesai memberitahu, dia mendapat tahu wali hakim yang digunakan tidak diiktiraf semasa ingin mendaftarkan nama anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Januari lalu.

Sham berkata, dia tidak menyangka pernikahan itu mempunyai masalah dan segera merujuk kepada mahkamah bagi mendapatkan kepastian.

"Alhamdulillah semuanya selesai dan  apa yang saya lakukan adalah demi melindungi keluarga saya.

"Ia bukan sahaja mengenai taraf anak tetapi juga hak isteri saya di masa hadapan sekiranya sesuatu berlaku kepada saya.

"Ada hikmah disebalik apa yang berlaku dan saya banyak belajar menerusi kejadian ini," jelasnya.

Tambah Sham, dia dan Nurul Halimin akan bernikah semula dalam masa terdekat dengan menggunakan saluran yang betul.

Sham sebelum ini pernah berkahwin dengan Farazila Abdul Jabar pada 17 Ogos 2008 di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor sebelum disahkan bercerai oleh mahkamah pada 1 September 2011.

Tender terbuka: Selangor jimat RM100 juta setahun

Posted: 27 Jun 2014 11:02 PM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Polisi Kerajaan Selangor melaksanakan tender terbuka bagi projek dikendalikan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) itu berjaya memberi penjimatan sehingga lebih RM100 juta setahun, lapor Selangor Kini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata penjimatan itu membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan lebihan itu kepada projek pembangunan lain untuk dinikmati rakyat Selangor.

"Kita bukan hendak harga rendah sampai merugikan kontraktor tetapi hendaklah keuntungan yang tidak melampau.

"Polisi tender terbuka ini menjimatkan wang rakyat seperti mana direkodkan pada 2012 menunjukkan lebih RM100 juta dijimatkan dan lebihan itu dapat disalurkan kepada projek lain," kata Dr Ahmad Yunus ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Dalam usaha menambah kecekapan dan ketelusan pengurusan kewangan negeri, sejak 2008 Selangor di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya menghapuskan amalan penganugerahan projek atau rundingan terus kepada mana-mana syarikat.

Langkah yang diambil itu ternyata memberi kesan positif terhadap kewangan negeri.

Bekas Mufti Perlis suka lihat gambar ini

Posted: 27 Jun 2014 10:26 PM PDT

HARAKAHDAILY






KUALA LUMPUR: "Saya suka melihat gambar YAB MB Kelantan ini. Ia mempunyai banyak mesej yang menarik untuk ditafsirkan," tulis bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi facebooknya, kelmarin.

Bagi beliau, secara umumnya ia memberikan gambaran kesederhanaan cara hidup seorang pemimpin yang masih lagi ke masjid bersolat jamaah dengan 'basikal orang kampung'.

"Gambar seperti ini lebih diminati rakyat dari gambar para pemimpin atau para isteri pemimpin yang menunjuk-nunjuk kemewahan kepada rakyat," tulisnya lagi.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob akan berbasikal ke masjid berhampiran kediamannya setiap kali masuk waktu solat.

"Beginilah rutin YAB Menteri Besar Kelantan apabila berada di kediamannya," tulis admin facebook Ustaz Ahmad yang turut memuatkan gambar berkenaan


Tokoh wartawan sindir kabinet 'XXL' PM

Posted: 27 Jun 2014 10:17 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Tun Razak Hussein perdana menteri kedua Malaysia. Anaknya Datuk Seri Najib yang keenam.

Tetapi antara mereka berdua, terdapat perbezaan besar.

Mengulas saiz terbaru kabinet Najib dengan 35 menteri penuh, tokoh wartawan Datuk Kadir Jasin (bawah) mengaitkannya dengan kegemaran orang Malaysia mencatat rekod.

Malah, katanya, bukan sahaja saiz kabinet, Najib juga dikatakan gemar sambutan besar-besaran apabila beliau melawat kawasan, berbeza sekali dengan kepimpinan arwah bapanya.

"Tun Abdul Razak Hussein bertongkat melawat kampung, memanjat tiang bulat rumah rakyat miskin untuk mencari penyelesaian dan membawa pembangunan.

"Tidak ada sambutan raksasa, tidak ada siaran langsung," kata bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu.

Menulis dalam blognya, Kadir berkata, bilangan kabinet Najib mungkin rekod nasional baru dan mengatasi jumlah purata kabinet kerajaan-kerajaan lain di seluruh dunia.

"Oleh sebab perdana menteri suka besar maka kita pun berhak untuk berharapan besar juga. Jadi harapan XXL kita adalah kabinet XXL Mohd Najib akan membawa manfaat XXL kepada rakyat jelata

"Rugi XXL-lah kita kalau kabinet XXL itu sekadar meramaikan majlis dan menghabiskan beras saja," katanya.

Ops Bubar: Hukuman penjara diketepikan

Posted: 27 Jun 2014 10:13 PM PDT

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR 



 


IPOH: Mahkamah Tinggi Taiping memutuskan 10 daripada 13 orang yang ditahan dalam demonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan pada 6 Februari 2009 lalu didapati bersalah.

Namun penghujahan oleh barisan peguam yang diketuai oleh Bendahari PAS Pusat, Asmuni Awi dalam mitigasi berjaya meyakinkan Hakim, Datuk Ahmad Nashfi untuk mengetepikan hukuman penjara yang disabitkan ke atas 10 yang lain namun hukuman denda sebanyak RM5,000 setiap orang dikekalkan.

Asmuni ketika dihubungi berkata, beliau berpuas hati dengan hakim yang mendengar dengan baik penghujahan oleh barisan peguam perayu.

Pada awalnya, beliau berkata, Hakim telah memutuskan 3 daripada 13 perayu didapati tidak bersalah apabila pihak pendakwa gagal membuktikan kes dan dibebaskan tanpa disabitkan sebarang hukuman.

Katanya, setelah proses mitigasi, Hakim berpendapat bahawa hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan kepada 10 yang lain itu sebagai keterlaluan.

Ujarnya, Hakim mengambil kira penghujahan oleh peguam berkenaan faktor peribadi masing-masing perayu.

"Ada daripada mereka mempunyai pelbagai penyakit dan anak mereka mempunyai penyakit yang perlu pengawasan rapi.

"Dari kalangan perayu juga ada yang muda dan jika disabitkan hukuman penjara sudah pasti akan menjejaskan masa depannya.

"Hakim juga mengambil kira jasa dan pengorbanan perayu yang pernah menjawat jawatan dalam kerajaan," ujarnya.

Namun begitu, Asmuni berkata, barisan peguam akan melihat kembali keputusan kepada dua perayu yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 kerana ia akan menyebabkan karier kepada seorang daripadanya terjejas oleh kerana denda tersebut lebih daripada gaji yang diperoleh.

"Ia juga akan berisiko menjejaskan elaun persaraan seorang perayu.

"Kita perlu lihat semula, jika menjejaskan mereka kita akan membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu," jelasnya lagi.


Hadir sama dalam memberikan solidariti ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin serta Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dan barisan pimpinan Pakatan Rakyat bersama puluhan penyokong.

Pada 13 September lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 kepada mereka kerana terlibat dengan demonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan pada 6 Februari 2009.

Pada masa yang sama Pemuda PAS Perak, melalui ketua pemudanya, Dr Raja Ahmad Iskandar merakamkan kesyukuran atas keputusan Mahkamah Tinggi Taiping itu.

"Bagi kami, ini adalah perjuangan rakyat dan kagum dengan semua Orang Kena Zalim (OKZ)  yang mengharungi perbicaraan selama ini." Ujar Raja Iskandar

Raja Iskandar juga mengucapkan tahniah juga kepada Pasukan Peguam yang bekerja keras membantu OKZ dan semua Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang memberikan sokongan moral selama ini.

"Kepada Ahli Keluarga OKZ, kami amat hargai pengorbanan mereka selama ini menunggu dengan penuh sayu dan mengharapkan keajiban selama perbicaraan berlangsung. Kepada semua yang memberikan sokongan selama ini, kami mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung." Ujarnya lagi.

Beliau turut merayu kepada orang ramai agar menyalurkan bantuan kewangan bagi meringankan bebaban OKZ yang terpaksa membayar denda RM5,000. Peringkat Pemuda PAS di setiap kawasan parlimen boleh menyalurkan sumbangan tersebut kepada PR Perak bagi tujuan tersebut

SPAN jelas isu gangguan bekalan air

Posted: 27 Jun 2014 10:05 PM PDT

HARAKAHDAILY


SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ingin merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada 26 Jun 2014 berhubung dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah tidak berjadual yang berlaku di lima wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur disebabkan oleh bekalan air terawat yang diterima SYABAS tidak boleh menampung permintaan.

Seperti sedia maklum, permintaan bekalan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada masa ini telah meningkat akibat cuaca yang panas yang melanda negara ini. Dalam masa yang sama, rizab marjin air terawat yang mampu dihasilkan oleh loji-loji rawatan air sedia ada adalah rendah, iaitu kurang daripada 2%.

Kekurangan bekalan air yang sedia ada diburukkan lagi dengan beberapa kejadian yang berlaku sejak kebelakangan ini iaitu:

i)    Gangguan bekalan elektrik yang berlaku Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) selama 2 jam iaitu dari jam 4 pagi hingga 6 pagi pada 24 Jun 2014. Sebagai makluman, secara puratanya LRA SSP1 mengeluarkan sebanyak 960 Juta Liter Sehari (JLH) air terawat. Gangguan elektrik tersebut telah menjejaskan  bekalan air ke Wilayah Klang / Shah Alam memandangkan tempoh yang diambil bagi mengoperasi semula loji ke tahap pengeluaran biasa mengambil masa.

ii)    Kejadian paip di dasar laut (submarine) HDPE bersaiz 400 mm yang membekalkan air ke Pulau Ketam telah pecah. Kejadian paip pecah tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada seramai 4,800 pengguna di Pulau Ketam;

iii)    Penurunan paras air Sungai Selangor yang menjejaskan pengeluaran LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) pada 25 Jun 2014. Daripada rekod, pengeluaran loji pada hari tersebut telah berkurangan kepada 670 JLH berbanding dengan pengeluaran biasa sebanyak 770 JLH. Pengurangan tersebut telah menjejaskan bekalan air ke Wilayah Gombak, Kuala Lumpur dan Petaling.

Semua pihak yang bertanggung jawab termasuk Operator LRA SSP1 dan SSP3 iaitu Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi gangguan bekalan air dan tekanan air rendah tidak berjadual tersebut.

Sehingga kini, bekalan elektrik ke LRA SSP1 telah pulih seperti biasa dan loji tersebut telah beroperasi seperti biasa.

Bagi gangguan bekalan air di Pulau Ketam, SPAN difahamkan bahawa SYABAS telah mengenalpasti kedudukan kasar kebocoran paip. Walau bagaimanapun, lokasi sebenar masih belum dikesan memandangkan kerosakan paip berlaku di dasar laut. Keadaan di dasar laut akan menyukarkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan. SYABAS akan memaklumkan perkembangan kerja-kerja membaiki dari semasa ke semasa.

Bagi memastikan sumber air yang cukup di Sungai Selangor, Kerajaan Negeri Selangor selaku pihak yang bertanggung jawab bagi memastikan kecukupan air mentah di negeri Selangor sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk meningkatkan aliran air Sungai Selangor yang merupakan sumber air mentah bagi LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 melalui pengepaman air daripada kolam-kolam takungan di sekitar Bestari Jaya.

Melalui mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Air Selangor yang dipengerusikan oleh YB Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 27 Jun 2014, satu pelarasan yang lebih rapi akan diadakan oleh semua pihak termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Operator Empangan Sg. Selangor, Empangan Sg. Tinggi serta LRA SSP1 dan SSP3 iaitu SPLASH dan Operator LRA SSP2 iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) bagi memastikan pengepaman yang maksimum dapat dibuat daripada kolam-kolam takungan. Melalui pengepaman daripada kolam-kolam takungan tersebut akan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi. Pada 27 Jun 2014, peratus simpanan di Empangan Sg. Selangor dan Empangan Sg. Tinggi masing-masing adalah 42.45% dan 64.57%.

Pada masa ini, SPAN dimaklumkan bahawa kebanyakan kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah telah mula pulih secara berperingkat. Walau bagaimanapun, beberapa kawasan terutamanya di penghujung sistem dan lokasi tinggi masih belum mendapat bekalan air. SYABAS sedang menghantar bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan tersebut. SYABAS juga turut menghantar bantuan 2 botol air minum 5 liter kepada setiap keluarga di Pulau Ketam.

Sehubungan itu, SPAN ingin sekali lagi memohon kerjasama semua pengguna di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya supaya berhemat dalam penggunaan air dan mengelakkan pembaziran dalam keadaan cuaca yang panas serta kedudukan paras air di empangan-empangan yang masih rendah pada ketika ini. Sebarang penjimatan ini boleh membantu dan mempercepatkan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dengan gangguan berkenaan.

Untuk makluman media, sila hubungi Pn. Carol Pelly; Pengarah - Unit Komunikasi Korporat di talian 03-8317 9430 / 019-322 2174      

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

Latarbelakang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengawal selia industri perkhidmatan air berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 (Akta 655) yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari, 2008.

SPAN adalah sebuah badan kawal selia teknikal dan ekonomi yang berperanan untuk menyelia dan mengawal selia perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuaan Putrajaya dan Labuan.

SPAN mengawal selia semua entiti dalam industri bekalan air dan pembetungan termasuk operator perkhidmatan bekalan air dan pembetungan awam dan persendirian, kontraktor bekalan air dan pembetungan, pemegang permit dan kelulusan produk bagi bekalan air dan pembetungan.

MB: Sasar kritikan pada SYABAS, bukan S'gor

Posted: 27 Jun 2014 10:03 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kritikan berhubung masalah air, terutamanya yang terbaru daripada DAP, dianggap tersalah sasar kerana kerajaan Selangor belum dapat menguasai industri air negeri, kata menteri besar.

Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, hal itu demikian meskipun secara prinsipnya Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) bersetuju untuk diambil alih kerajaan negeri.

"Untuk makluman (pemimpin DAP) Tony Pua, setakat ini kerajaan negeri masih belum dapat memasuki premis SYABAS ataupun melihat semua dokumen, data dan butiran maklumat mengenai industri air ini," katanya.

Pua (kanan), anggota Parlimen Petaling jaya hari ini berkata, gangguan terbaru bekalan air di Selangor tidak boleh dimaafkan dan menyalahkan ketidakcekapan kerajaan negeri.

Dalam kenyataannya hari ini, Khalid berkata, Pua sepatutnya mendesak SYABAS dan pegawai tertinggi syarikat itu yang "memperoleh imbuhan jutaan ringgit" supaya bekerja secara profesional.

Ini katanya sejajar dengan perolehan mereka atau setidak-tidaknya mendesak mereka bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu menaikkan mutu perkhidmatan industri air.

"Saya khuatir tindakan pemimpin Pakatan Rakyat yang sewenang-wenangnya menuduh kerajaan negeri lembab dan gagal akan menjatuhkan semangat para pegawai yang terlibat," katanya.

Khalid juga berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili pagi tadi.

Maximus, kata menteri besar, turut melahirkan rasa kesal atas tindakan SYABAS yang didakwanya gagal memastikan pengagihan air dilakukan secara lancar.

Justeru, kata Khalid, apabila berlaku gangguan bekalan adalah salah bagi Pua menuding jari kepada kerajaan negeri, setiausaha kerajaan negeri dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) yang bertungkus lumus menjayakan usaha penstrukturan industri itu.

Khalid bagaimanapun berkata, beliau menghargai pandangan dan kritikan mengenai tata cara pengurusan air yang dikatakan dijalankan secara tidak cekap di Selangor.
 

MH370: Msia maklum perkembangan terkini kepada China

Posted: 27 Jun 2014 09:58 PM PDT

MALAYSIAKINI


Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin mengetuai satu delegasi Malaysia ke China semalam untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa negara itu perkembangan terkini mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
  
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan berkata Hamzah akan memaklumkan kepada mereka tentang usaha terkini di peringkat tiga pihak yang melibatkan China, Australia dan Malaysia serta sumbangan Malaysia.
  
Hamzah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Waris, mengetuai delegasi itu, yang turut dianggotai pengerusi tiga jawatankuasa peringkat menteri mengenai MH370.
  
Mereka ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi bagi Jawatankuasa Teknikal, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri (Jawatankuasa Pergerakan Aset) dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari (Jawatankuasa Perhubungan, Komunikasi dan Media).
  
Kelmarin, jawatankuasa tersebut mengumumkan bahawa usaha mencari pesawat yang hilang itu akan beralih ke kawasan jauh ke selatan di selatan Lautan Hindi dan dijangka selesai dilakukan dalam masa lebih kurang setahun.
  
Pesawat Boeing 777-200 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal itu hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL.- Bernama

23 kawasan catat IPU sederhana setakat 9 pagi

Posted: 27 Jun 2014 09:57 PM PDT

MALAYSIAKINI


Sebanyak 23 kawasan di Semenanjung mencatat kualiti udara sederhana setakat 9 pagi ini, menurut lamanweb Jabatan Alam Sekitar (JAS).
  
Antara lokasi dengan nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana itu ialah Pelabuhan Klang dan Petaling Jaya (masing-masing 79); Bakar Arang (Sungai Petani), Nilai, Seberang Jaya 2 (Perai), dan Banting (masing-masing 75); Shah Alam (74); Batu Muda (Kuala Lumpur)(73); dan Kuala Selangor (70).
  
Turut mencatat IPU sederhana ialah Perai (67); Cheras (64); Seremban, Universiti Sains Malaysia (Pulau Pinang), Bukit Rambai (Melaka) dan Putrajaya (masing-masing 63), Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh (Ipoh) (62); dan Alor Setar (61).
  
Kawasan lain di seluruh negara mencatat bacaan IPU baik.
  
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 10 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa di kawasan masing-masing.    Bernama

JAKIM: Dapatkan sijil halal sebelum promosi Ramadan

Posted: 27 Jun 2014 09:55 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Dapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri terlebih dahulu sebelum pengusaha premis makanan atau hotel-hotel mempromosi juadah Ramadan mereka, demikian nasihat JAKIM.
  
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha berkata para pengusaha diingatkan agar tidak menggunakan ungkapan seperti 'Bufet Ramadan', 'Makanan Berbuka Puasa', 'Iftar Ramadan' atau 'Makanan Bersahur' sewenang-wenangnya yang boleh mengelirukan pengguna Islam.
  
"Ini kerana ungkapan-ungkapan tersebut termasuk dalam takrif halal dan perbuatan menggunakan ungkapan sedemikian dengan sewenang-wenangnya boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) dan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. 
  
"Oleh yang demikian, hanya premis yang mendapat pengesahan pensijilan halal Malaysia oleh JAKIM atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri sahaja boleh menggunakan ungkapan tersebut," katanya dalam kenyataan.
  
Beliau juga menasihatkan para pengguna Islam supaya bijak memilih premis menawarkan bufet Ramadan yang diperakui halal oleh JAKIM atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri.
  
"Gunakanlah kuasa sebagai pengguna ini sebaiknya dalam memilih premis untuk tujuan berbuka puasa kerana premis yang menawarkan promosi bufet Ramadan dan telah mendapat pensijilan halal ini pastinya telah diperiksa dan dijamin pematuhan halalnya. Ini untuk mengelakkan daripada perkara yang was-was," kata Othman.
  
Sehubungan itu beliau berkata pada bulan Ramadan, pemantauan lebih tertumpu kepada restoran, premis makanan, dan hotel yang mengadakan promosi berbuka puasa bagi memastikan pihak yang menawarkan perkhidmatan tersebut benar-benar mematuhi keperluan perundangan.
  
Beliau juga menasihatkan premis dan hotel yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia supaya sentiasa mematuhi piawaian yang ditetapkan kerana pemantauan dan penguatkuasaan berterusan akan dijalankan.
  
"Sekiranya didapati mereka tidak lagi mematuhi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan, tindakan undang-undang juga boleh dikenakan ke atas mereka tanpa kompromi," katanya.
  
Othman berkata permohonan pensijilan halal pada dasarnya bersifat sukarela dan sejak 2010 hingga Jun tahun ini, sebanyak 2,151 premis makanan, restoran dan dapur hotel telah mendapat sijil pengesahan halal Malaysia di seluruh negara manakala 358 lagi masih dalam proses untuk mendapatkannya.
  
"Dalam masa yang sama, sebanyak 351 premis makanan, restoran, dan dapur hotel gagal di peringkat permohonan atas faktor tidak menepati piawaian pensijilan halal Malaysia seperti ramuan kritikal yang tidak mempunyai sijil halal, masalah kebersihan, premis yang menyediakan menu tidak halal dan apa-apa yang diputuskan oleh Panel Pengesahan Halal Malaysia," katanya.
  
Othman menambah kata bahawa sebanyak 2,860 permohonan telah diterima daripada premis makanan, restoran dan dapur hotel dalam tempoh yang sama.
  
Berdasarkan statistik Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan yang menjalankan pemeriksaan ke atas premis makanan termasuk dapur hotel yang mengadakan promosi bufet Ramadan tahun lepas, Othman berkata empat premis telah dikenakan tindakan penggantungan Sijil Pengesahan Halal, manakala empat premis lain diambil tindakan serta disiasat di bawah APD 2011 dan tujuh premis diberikan amaran.
  
"JAKIM masih memantau pematuhan APD 2011 di premis-premis ini selepas tempoh tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan akta berkenaan sekiranya masih ingkar," katanya.
  
Othman berkata maklumat premis makanan, restoran dan dapur hotel yang mempunyai sijil pengesahan halal boleh didapati melalui Direktori Halal Malaysia di www.halal.gov.my. - Bernama

Kepala lembu diletak di depan rumah Rayer

Posted: 27 Jun 2014 09:51 PM PDT

MALAYSIAKINI


 

VIDEO | 0:34sec

 

Satu kepala lembu ditemui di hadapan rumah ADUN DAP Seri Delima, RSN Rayer di Jalan Tingkat Tembaga, Island Park pagi ini.

Rayer berkata ia ditemui isterinya ketika hendak menghantar anak perempuan mereka ke sekolah pada kira-kira jam 7 pagi.

Selepas diberitahu isterinya mengenai perkara itu, Ryer berkata beliau turun ke bawah dan ternampak kepala lembu itu di pintu pagar depan rumahnya.

"Kami tidak tahu siapa yang melakukannya dan mengapa. Kita tidak mahu membuat spekulasi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Bagaimanapun, pemilik kedai di depan rumah saya melihat kejadian itu, dan berkata seorang lelaki datang dengan menaiki motosikal dan melemparkannya ke sana," katanya.

Tiada ulasan: