Khamis, 26 Jun 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Aliza Kim, Bekas Model Antarabangsa Peluk Islam

Posted: 26 Jun 2014 01:47 AM PDT

KELAB GREENBOC


 

Dulu dia gemar mengunjungi parti sosial dan bergambar "berani" sesuai dengan statusnya sebagai bekas model antarabangsa, tetapi siapa sangka gadis jelita yang juga anak seorang paderi ini beroleh hidayah untuk memeluk Islam sejak tahun lalu.

Itulah kehidupan baru Aliza Kim, 20-an, model kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat berdarah Thailand yang kini menetap di negara ini sejak enam tahun lalu.

Sebagai anak tunggal dan dibesarkan dengan ajaran Kristian sempurna oleh bapa bergelar paderi, Aliza berkata, dia perlu mengambil berat perasaan kedua-dua ibu bapanya sebelum mengumumkan menganut Islam.

Berikutan itu, dia mengambil masa setahun untuk membuktikan kasih sayang sebagai anak kepada ibu bapa sebelum mengisytiharkan pengislamannya kepada masyarakat dan keluarga, Januari lalu.

"Sebelum memaklumkan mereka mengenai status Islam, terlebih dulu saya memberitahu bahawa diri sedang mempelajari Islam dan tiada sebarang bantahan daripada mereka.

"Bapa seorang lelaki yang baik dan taat kepada agama, pernah terlintas di fikiran saya bahawa sukar untuk berterus-terang kepadanya. "Temujanji antara anak dan bapa di Melaka, tahun lalu, memberi peluang kepada saya untuk membuktikan diri masih anak yang mereka sayangi sejak kecil. Kasih sayang itu tidak akan berubah.

"Semestinya pengakuan saya membuatkan mereka bersedih, namun bapa berfikiran terbuka dan mereka menerimanya dengan hati terbuka.

"Pesanan mereka sekiranya Islam memberi ketenangan dan harapan, saya diberi kebebasan untuk meneruskan pilihan itu," kata Aliza ketika ditemui pada majlis Hijab Event 2014, Taman Tasik Titiwangsa, sempena Hari Hijab Sedunia, semalam.

Wanita ini mengakui memiliki alasan kukuh merahsiakan dulu status pengislamannya, termasuk persediaan menjadi Muslimah sejati secara luaran mahupun dalaman dan penerimaan ibu bapanya.

"Sebelum saya umumkan kepada khalayak ramai, saya perlu membuat persediaan awal.

"Saya ingin memakai pakaian menutup aurat, berhijab bukan sekadar menutup rambut, bahkan hati dan fikiran saya.

"Perjalanan saya bergelar Muslimah bermula dengan pembacaan dan kajian untuk mencari ketenangan sebenar dalam hidup. "Jika saya mengumumkan pengislaman ini lebih awal namun tidak memiliki ciri-ciri wanita Muslimah sama ada pemakaian, pemikiran mahupun percakapan, mungkin ada yang menganggap ia mainan dan penghinaan kepada Islam sendiri.

"Saya ingin menjadi Muslimah sejati, di dalam mahupun di luar,"
katanya yang kini giat menghasilkan buku panduan Islam kepada saudara baru dengan cara lebih mudah.

Berkongsi cerita penghijrahannya, Aliza yang kini aktif menghadiri kelas agama setiap hujung minggu ini mengakui perjalanan mencari kebenaran bermula apabila kehidupan peribadinya berdepan krisis besar, termasuk gemar menyertai parti sosial dan bergambar "berani" dalam dunia fotografi.

"Selepas enam bulan hidup dengan cara itu, saya mula bosan dan kekosongan jiwa belum diubati. Kemudian, saya menyesal dan berhasrat untuk kembali kepada ajaran agama.

"Saya tinggalkan semua aktiviti itu dan mendekatkan diri kepada Tuhan dengan harapan dapat menemui ketenangan sebenar.

"Berniat mencari agama dan ajaran sebenar, saya mengunjungi banyak gereja serta membuat kajian mendalam sejak 2012.

"Namun pencarian itu belum memenuhi kekosongan jiwa. Lantas saya mula mengkaji agama dan ajaran yang dibawa golongan nabi termasuk Muhammad, Isa dan Musa.

"Saya percaya nabi tidak akan sekali-kali melakukan kesilapan," katanya sambil mengakui teman menyarankan supaya mengkaji Islam.

Sepanjang pembacaannya mengenai Islam terutama kisah nabi, Aliza mengakui lebih mudah memahami kerana dia turut mempelajarinya dalam Bible.

Aliza berkata, dia tertarik dengan sistem dan penstrukturan Islam dalam aspek kehidupan seperti bersolat, makan, pakaian mahupun bercakap.

"Apabila kita ikhlas mencari Allah, Dia akan datang kepada kita. Kemudian, saya mencari kebenaran mengenai satu Tuhan, bukan saja Islam, Kristian mahupun Yahudi, bahkan agama lain.


"Saya membaca 12 buku dan setiap buku itu membawa saya kepada pencarian dan pengetahuan baru mengenai kebenaran.

"Saya berasakan ia adalah aturan sempurna ditetapkan Allah untuk saya melihat kebenaran.

"Apabila difikirkan semula, secara ikhlas saya yakin sebenarnya kebenaran yang menemui saya," kata lulusan Sarjana Perniagaan Antarabangsa ini.

Disoal masih merindui dunia peragaan, Aliza berkata, pekerjaan itu dilakukan bukan untuk mengejar populariti, sebaliknya mencari pendapatan menampung kehidupannya. -pentakpatah




Model Anttarabangsa Aliza Kim Memeluk Islam


Aliza Kim, seorang model antarabangsa berbangsa Thai-Amerika mengisytiharkan keislamannya di FB beliau pada 1 Januari lalu. Seorang siswazah Sarjana dalam Perniagaan Antarabangsa, beliau mula bekerja di AS dan seterusnya di Thailand selama dua tahun dan menyertai pertandingan ratu cantik Thailand, menceburi iklan komersial dan drama TV yang membawanya ke Malaysia. Ikuti kisah perjalanan hidayah beliau yang menyentuh hati.

Saya telah melihat halaman kosong ini (FB) sekurang-kurangnya 20 minit, memikirkan bagaimana saya harus mulakan cerita yang ingin saya beritahu anda. Saya telah memikirkan kandungannya untuk beberapa hari – sebenarnya untuk beberapa bulan – tetapi tidak menemui cara yang memuaskan untuk saya mulakan. Jadi, saya rasa saya hanya mulakan dengan memperkenalkan diri saya.

Nama saya Aliza. Saya tidak berbeza daripada anda, tetapi ramai yang berkata bahawa saya telah mengalami beberapa perkara yang luar biasa. Dalam hidup saya, saya telah belajar di beberapa sekolah-sekolah yang paling teruk dan juga sekolah-sekolah yang terbaik di dunia, mempunyai peluang untuk mengembara ke lebih daripada sedozen negara-negara, bekerja dalam pekerjaan yang berubah seperti yang anda boleh bayangkan – dari seorang pelayan kepada seorang anggota pengurusan kanan korporat, model yang 'in-demand' kepada seorang jurubahasa tentera.

Saya boleh katakan bahawa saya telah mempunyai suatu hidup yang ditaburi dengan cebisan-cebisan menarik dalam perjuangan, pengembaraan, kesusahan dan sedikit glamor. Malah pada tahun lalu, saya berada di muka depan sekurang-kurangnya dalam dua majalah dan menjadi tajuk utama dalam tiga atau empat majalah yang lain.

Tetapi tahun ini sangat berbeza.

Bagi tempoh 12 bulan lalu, saya sengaja menjauhkan diri daripada media dan daripada acara-acara industri model; memendam diri untuk mencari diri saya sendiri. Walaupun banyak kerja saya masih mendapat perhatian tinggi di TV, nama saya pudar daripada majalah, media dan senarai undangan. Tahun ini, saya dikelilingi oleh rakan-rakan dan bukannya kamera. Tahun ini, hati saya lebih damai daripada apa yang dirasai. Mengapa? Saya telah menemui asas, kebenaran, keikhlasan dan ketenangan dalam agama … agama yang bukan ketika saya dilahirkan.

(Saya berharap untuk berkongsi pengalaman hidup saya, minat saya dalam kesihatan dan kesejahteraan, pengembaraan makanan saya dan pandangan saya mengenai isu-isu dunia dan banyak lagi hanya kerana saya telah lama dengan anda selepas cerita ini dikeluarkan. Saya tahu bahawa jika anda seperti saya, anda adalah seseorang yang melihat seseorang melebihi bangsa, agama dan jantina mereka dan berminat untuk berkawan dengan semua orang dengan cara yang positif dan terhormat tanpa mengira perjalanan hidup mereka.)

Saya telah menemui agama yang berasaskan kedamaian, keikhlasan dan kehormatan. Nama agama ini diterjemahkan secara bahasa bermaksud "penyerahan" dan, apabila dimasukkan ke dalam konteks keagamaan, ia bermakna "untuk beribadah (menyerah diri) kepada satu-satunya Tuhan". Ini adalah Tuhan yang sama Nabi Adam, Nuh, Musa, Ibrahim, Daud dan Isa sembah … Tuhan yang sama yang saya suburkan sembah dan cinta sebagai penganut Kristian yang kuat.

Tetapi, agama yang saya peluk itu adalah satu agama yang terlalu disalah fahami dan dan ditakuti secara meluas kerana budaya popular dan peristiwa-peristiwa semasa.

Saya mula belajar tentang Islam melalui usaha ikhlas untuk melihat diri saya dalam Kristian ketika saya memerlukan harapan. Tetapi pencarian saya untuk harapan dalam Kristian membawa saya kepada penyelidikan akademik yang teliti tentang Islam sebagai agama dan satu cara hidup. Saya menemui Islam tidak melalui apa yang media gambarkan atau apa yang saya pernah mendengar tentang orang Islam, tetapi melalui sejarah, ilmuwan, menteri-menteri Kristian , pakar-pakar Bible, guru-guru agama (Islam), pemerhatian rakan-rakan Islam saya dan apa yang saya rasa dalam hati saya sendiri.

Secara jujurnya, tidak mudah bagi saya untuk membuka dan memberitahu anda cerita saya. Dan, kerana kebanyakan orang tahu saya sebagai penganut Kristian yang kuat, saya rasa ramai di kalangan anda yang membaca (tulisan) ini yang terkejut dengan apa yang saya kongsikan dengan anda. Tetapi saya berharap anda masih teruskan membaca pada kerana saya tidak menulis ini untuk keuntungan peribadi atau cuba untuk meyakinkan anda apa-apa. Harapan saya adalah untuk berkongsi sedikit tentang diri saya dengan anda dan memberi sedikit imbasan sebahagian daripada apa yang telah saya pelajari tentang Islam semata-mata demi memupuk toleransi agama, hormat dan persahabatan.

Permulaan Sederhana

Bagi anda yang tidak tahu dengan latar belakang saya, izinkan saya untuk memberitahu secara ringkas tentang diri saya.

Saya dilahirkan di sebuah pekan kecil di Oklahoma, Amerika Syarikat yang dinamakan Enid dengan bilangan penduduk kurang 50,000 berbanding dengan bandar yang berpenduduk 1.5 juta yang saya tinggal sekarang (Kuala Lumpur). Selepas Enid, saya telah berpindah 12 kali setakat ini.

Dalam beberapa tahun, ada beberapa masa yang selesa dan masa kesusahan yang melampau. Saya hampir-hampir tiada tempat tinggal, mempunyai sangat sedikit makanan yang ditaja kerajaan, tetapi saya juga mempunyai peluang untuk bekerja dan belajar dengan lebih keras bagi mencipta masa depan untuk diri sendiri. Walaupun dengan kesusahan itu, saya telah cemerlang di sekolah, memenangi biasiswa akademik dan kini memegang dua Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dan Sosiologi dan juga Ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa.

Saya juga telah berubah secara dramatik dalam tahun-tahun tersebut. Daripada seorang gadis pekan kecil yang senyap, yang tidak berkata sepatah pun di sekolah hingga berumur 12 tahun, kepada seorang wanita muda yang secara sedar berjanji kepada dirinya untuk menjadi seseorang yang akan berjaya dalam apa sahaja yang diletakkan di mindanya.

Saya mula bersuara, menjadi pemimpin pelajar, kemudian menjadi aktivis kampus, mendapat pengiktirafan untuk beberapa pencapaian saya dari tempat-tempat seperti Pentagon di Washington DC dan, selepas mendapat MBA, saya mendapat sendiri kerja di mana saya dengan segera menjadi Pengarah Pemasaran walaupun dengan usia saya yang muda.

Bagi orang yang melihat saya dari luar, segala-galanya kelihatan baik … terlalu mudah (dilihat). Tetapi, tiada siapa yang dapat melihat apa yang berlaku di dalam. Dari dalam, saya dalam keadaan kacau-bilau.

Suatu Pencarian Untuk Kedamaian

Dalam banyak cara, peristiwa-peristiwa dalam hidup saya adalah satu kekaburan. Dan ia adalah satu kekaburan dalam ingatan saya untuk sebab yang baik – untuk menjauhkan kesakitan, sedih dan kitaran buruk kemusnahan diri.

Saya tidak mahu pergi secara terperinci dalam bahagian ini kerana menghormati orang ramai yang boleh dipengaruhi oleh apa yang saya tulis, tetapi apa yang saya boleh katakan ialah saya jatuh ke dalam tempoh kemurungan klinikal kerana keadaan hidup saya semasa itu, pengalaman yang saya terpaksa bertahan tahun demi tahun; dan apabila saya fikir saya hampir pulih, saya telah membuat beberapa keputusan hidup yang buruk yang menggelincirkan hidup saya untuk beberapa tahun lagi.

Lebih daripada itu, saya adalah seorang yang sangat pendiam, yang sukar untuk bercakap secara terbuka kepada orang (walaupun kepada ibu bapa saya) dan, dengan itu, lebih suka menyimpan segala-galanya dalam diri. Tambahan lagi, saya tidak pernah benar-benar mempunyai tempat yang sesuai untuk membantu saya dan menyelesaikan isu-isu yang melanda saya. Saya sering berpura-pura gembira dan yakin untuk mengekalkan status quo supaya tiada siapa yang akan bertanya kepada saya apa-apa dan saya tidak perlu berfikir tentang apa yang menghantui saya. Semua ini sudah tentu satu formula untuk kehancuran emosi.

Tetapi ada satu perkara – satu-satunya perkara yang saya sentiasa boleh beralih kepada dasar, untuk menenangkan diri saya dan untuk memfokuskan semula supaya saya sekurang-kurangnya boleh berfungsi di tempat kerja dan dalam kehidupan. Agama. Saya sentiasa mempunyai Tuhan.

Awal tahun lalu bermula agak cerah untuk saya. Saya merasakan kebebasan yang baru ditemui kerana saya akhirnya membuat kemajuan dalam menyelesaikan beberapa isu-isu peribadi dan keluarga dan memandang ke depan untuk memulakan (kehidupan) pada banyak peringkat. Kerjaya saya dalam media telah berjalan dengan baik dalam kedua-dua tugasan tempatan dan antarabangsa, jadi saya merasakan seperti saya mahu mengalami perkara-perkara baru dan mencuba gaya hidup yang berbeza.

Saya tinggal dalam kehidupan yang agak peribadi, tenang dan merendah diri, melakukan pekerjaan saya dan menghabiskan masa di rumah, tetapi kerana beban yang ditarik balik, saya telah mencuba untuk lebih banyak keluar, bersosial, menemui beberapa rakan-rakan hipster, mula membuat penampilan dalam pelbagai program dan parti-parti di sekitar bandar, dan juga mencuba-cuba sedikit dalam fotografi seni di mana saya mendedahkan diri lebih daripada apa yang buat sebelum ini. Saya berasa bebas dan hidup tetapi bagaimanapun, masih merasa kosong.

Mungkin kerana kehidupan yang saya cuba untuk hidup begitu asing kepada saya dan amat tidak sesuai bagi saya, saya menyesal. Dan apabila kekosongan semakin meningkat, parti-parti jadi membosankan, saya terperangkap dengan imej seksi dan rakan-rakan hipster tidak membawakan (kehidupan) yang terbaik dalam diri saya, pendek kata.

Saya mula membenci apa yang terjadi pada diri saya dalam bulan-bulan yang singkat itu dan saya kembali merasa kehilangan, tiada harapan dan keliru tentang dunia. Saya mahu kembali kebiasaan, ketenangan, kebosanan tetapi bermanfaat, kehidupan peribadi saya. Jadi, saya memutuskan diri saya sepenuhnya dan kembali kepada satu perkara yang sentiasa bertapak dan memfokuskan saya semula. Selepas menghentikan segala-galanya, saya segera kembali kepada Tuhan dengan harapan untuk menemui kedamaian sebenar saya dambakan. Dan perjalanan saya bermula…

Kebenaran Yang Menemuiku

Seperti yang dinyatakan, ini bukan kali pertama saya memohon bantuan Tuhan untuk menenangkan diri saya dan memberi tumpuan semula, tetapi entah bagaimana saya benar-benar mahu ia menjadi untuk kali terakhir. Masa yang lain, saya akan memberi tumpuan semula hanya cukup untuk terus hidup, tetapi kali ini, saya mahu Tuhan untuk menjadi dan kekal sebagai panduan dalam hidup saya.

Saya mahu agama menjadi pilihan gaya hidup saya, bukan hanya satu elemen dalam hidup saya. Saya telah cukup berpengalaman dalam kehidupan sekarang untuk mengetahui jenis orang yang saya mahu jadi dan memimpin jenis kehidupan yang paling selesa. Saya mahu hidup dalam keadaan yang baik, bersih, hidup yang damai dan mahukan keaslian.

Untuk mendapatkan keaslian, saya mahu mencari gereja yang benar dan mudah bagi Kristian yang awal kerana saya fikir, perlu ada cara yang betul untuk menyembah Tuhan. Saya fikir bahawa orang-orang yang bersama Nabi Isa atau pengikut-pengikutnya dan bagaimana mereka menyembah, harus menjadi cara yang betul. Saya dapati gereja moden terlalu menonjol – seperti konsert rock, dan kurang mendalam dan kejiwaan.

Saya juga mendapati beberapa teori Kristian baru bertembung dengan sistem kepercayaan saya di mana orang ramai tidak perlu mengubah teori agama untuk menyesuaikan keinginan mereka sendiri. Satu kumpulan Kristian yang baru tidak patut dibuat setiap kali sekumpulan orang tidak bersetuju dengan sesuatu unsur atau mahu tambahan kepada apa yang mendahului. Oleh itu, fakta bahawa terdapat lebih daripada 200 kumpulan dalam Kristian tidak menyenangkan saya. Saya mahu keaslian. Saya mahu kebenaran. Saya mahu cara ibadah yang betul.

Apa yang saya telah lakukan, telah jadi satu latihan akademik. Saya merasakan bahawa apa yang telah saya lakukan ialah penyelidikan sejarah Kristian dan mendapatkan Bible daripada Kristian yang awal dan manuskrip untuk mendapatkan petunjuk tentang gereja mana, kumpulan mana yang betul… yang saya harus ikuti.

Saya tahu bahawa penulis sering tanamkan laporan mereka dengan berat sebelah dan kepercayaan mereka, jadi saya memilih buku-buku tentang sejarah Kristian yang ditulis oleh ahli sejarah bukan agama dan pakar-pakar Bible. Saya tahu bahawa saya terpaksa menggali secara mendalam dan kembali kepada peringkat yang sangat permulaan tentang gereja kerana apa yang saya tahu mengenai Bible.

Sebagai seorang pelajar Sarjana Muda, saya belajar di sebuah kolej Jesuit di mana masih terdapat paderi berjubah coklat mengajar dan menjaga dasar kampus. Wajib bagi pelajar untuk mengambil kelas teologi Kristian sebagai sebahagian daripada kurikulum. Dalam salah satu kelas, Jesuit yang bersyarah mengajar sesuatu yang saya tidak pernah lupa. Kitab Bible itu telah disusun oleh pope.

Kemudian, saya mendapati bahawa bab-bab dalam Bible juga dipilih atau ditolak dan terdapat banyak versi yang bercanggah. Jika Bible ini disusun oleh seorang lelaki atau sekumpulan lelaki dan ada konflik dalam versi yang berbeza, maka apa terjadi kepada agama itu sendiri? Saya perlu tahu. Saya mahu tahu kerana saya mahu menjadi seorang Kristian yang baik yang mengikuti perintah-perintah Tuhan bukan apa yang telah dipilih oleh seorang lelaki atau sekumpulan lelaki pada masa lalu.

Pada ketika ini, saya ingin memberi hormat saya kepada rakan-rakan Kristian kesayangan saya dan ahli keluarga yang boleh membaca dan membiarkan anda tahu bahawa saya tahu betapa indahnya sebahagian ajaran Kristian. Saya amat berbangga dengan didikan Kristian yang saya terima. Saya berterima kasih untuk nilai-nilai dan ideologi agama Kristian telah diterapkan dalam saya. Dan, saya masih suka ajaran dan kehidupan Nabi Isa hingga ke hari ini.

Walau bagaimanapun, lebih jauh saya melihat ke dalam sejarah, lebih banyak saya faham bahawa agama Kristian dan teori-teori dan kepercayaan yang kita pegang kini, telah dimasukkan oleh sekumpulan lelaki. Semakin banyak saya belajar tentang berapa banyak usaha supaya beberapa konsep seperti Trinity disahkan dan diterima, menunjukkan saya bahawa ia adalah hanya semata-mata – satu konsep (dan sebenarnya, ia telah terbukti sebagai satu ciptaan teori dan telah diambil dalam kebanyakan cetakan semula Bible moden).

Semakin saya mendapat tahu tentang Paul atau Saul, penulis sepatutnya dalam Perjanjian Baru (Bible), lebih banyak saya rasa terpaksa untuk terus menyelidik dan mencari kebenaran. Selepas beberapa lama, saya membuat kesimpulan bahawa apa yang saya perlu lakukan ialah adalah melihat agama yang telah diamalkan oleh Nabi Isa, Daud, Ibrahim, Musa, Nuh dan sebagainya. Bukan agama yang telah diturunkan kepada saya.

Saya tahu tiada di kalangan lelaki ini adalah Kristian. Saya tahu bahawa Nabi Isa adalah seorang Yahudi yang bercakap Aramaik tetapi tidak semuanya Nabi-nabi yang besar (adalah Yahudi). Sesetengah para Nabi adalah orang Arab, sebahagiannya kaum yang lain. Jadi, agama apa yang semua lelaki-lelaki agung ini (para Nabi) amalkan? Kerana, itulah apa yang setepatnya yang saya mahu amalkan. Mereka yang terbaik dan dipilih oleh Tuhan, jadi apa sahaja yang mereka lakukan mesti betul.

Semasa menyelidik, menggali dan mencari secara jujur, seorang rakan Muslim saya bertanya jika saya pernah belajar apa-apa mengenai Islam. Memang diakui, saya tidak pernah. Saya ingin berfikir bahawa saya tahu sedikit sebanyak tentang agama Kristian dan sedikit tentang agama Yahudi tetapi agama Ibrahim ketiga, saya tidak tahu apa-apa. Jadi, saya rasa jika saya mencari kebenaran dan Islam berasal daripada tradisi yang sama, perlu juga ada petunjuk dalam Islam bagi saya untuk dedahkan. Jadi, saya mula membaca, dan membaca, dan membaca, dan saya tidak boleh berhenti.

Saya telah diserap sepenuhnya dengan ajaran Islam daripada mula lagi. Seperti yang disentuh sebelum ini, Islam secara mudah bermaksud "untuk menyerah (menyembah) kepada satu-satunya Tuhan". Dan, seorang Muslim adalah seseorang yang menyembah kepada satu-satunya Tuhan.

Bila saya belajar, saya fikir, maksudnya tiap-tiap orang dari tiga agama Nabi Ibrahim ini adalah seorang Muslim dan kemudian mengamalkan Islam! Jadi, secara imbasan (tentang Islam), ya, tetapi tidak cukup kerana dalam Islam, di sana bukan sahaja penekanan kepada keesaan Tuhan, tetapi juga, kerana hanya ada satu Tuhan, di sana mestilah ada juga, secara logik, hanya satu cara yang betul untuk menyembah Tuhan.

Oh… ini mula kelihatan seperti apa yang saya cari selama ini.

Semasa saya terus membaca, saya dapati diri saya mudah memahami cerita-cerita para Nabi Islam kerana mereka Nabi-nabi yang sama yang saya belajar tentang mereka dalam Bible Kristian. Saya dapati diri saya tertarik dengan cara Islam menstrukturkan agama ke dalam gaya hidup dan bukan hanya satu daripada kehidupan, dan saya dapati diri saya bersedia menerima cara orang Islam menyembah Allah. Saya bermula dengan sebuah buku yang membandingkan manuskrip purba dalam bahasa Aramaik, Arab dan Yunani.

Kemudian saya berpindah ke buku-buku yang dikesan kebenaran tentang satu Tuhan melalui bukan sahaja Islam, Kristian dan Yahudi tetapi melalui banyak agama lain di seluruh dunia. Malah agama yang menyembah banyak Tuhan (politheistic) menerima bahawa ada satu Tuhan yang agung. Kemudian, (berpindah) kepada buku mengenai pandangan Islam terhadap Nabi Isa dan Kristian.

Kemudian, (berpindah) kepada buku mengenai kepercayaan Islam dan sebagainya dan seterusnya. Buku demi buku itu setiap satu (tajuk) kira-kira 10 hingga 12 buah telah saya baca, telah meletakkan satu aturan untuk saya; membina pencarian dan pengetahuan yang diperoleh dari buku-buku tersebut dan membawa kepada buku seterusnya untuk dibaca.

(Saya merasakan seperti Tuhan telah membawa saya langkah demi langkah dan meletakkan setiap buku dalam turutan yang sempurna bagi saya untuk melihat kebenaran. Dan, walaupun ia adalah pilihan peribadi saya untuk mula mencari kebenaran, secara ikhlas saya rasa sekarang bahawa kebenaran telah menemui saya.)

Dua buku terakhir yang saya baca adalah tentang kesejagatan (sifat universal) Islam (bagaimana Islam boleh masuk ke dalam mana-mana budaya dan bangsa dan menjadi panduan kepada apa-apa situasi kehidupan) dan (buku) koleksi cerpen bagaimana orang lain mencari Islam.

Secara jujur, semasa saya membaca tentang kemasukan orang lain (ke dalamIslam) daripada paderi-paderi Kristian kepada suri rumah Jepun, kepada kanak-kanak kecil di sekolah Brazil dan bakal samseng di Amerika, tiada cerita yang menyentap diri saya lebih daripada cerita yang ditulis oleh seorang wanita dari Oklahoma yang berlatarbelakang Kristian yang mencari kebenaran. Apabila saya membaca cerita beliau, ia refleks kembali pada saya dan saya menangis dengan deraian air mata. Saya tahu dan yakin bahawa saya telah menemui apa yang saya cari.

Dari Sekarang hingga Hari Akhirat

Baiklah, jadi saya menemui kebenaran yang saya mahukan. Sekarang apa (pula)? Pada masa ini, walaupun saya tidak ragu-ragu bahawa Islam adalah cara untuk pergi, isu kembali (revert) (Umat Islam menggunakan perkataan "kembali" dan bukannya "menukar" kerana ia percaya bahawa apabila seseorang itu memeluk Islam, mereka kembali ke jalan yang betul kepada satu penyerahan yang total kepada Allah selepas tempoh yang sesat) masih satu keputusan yang amat sukar dan serius bagi saya.

Saya mempunyai banyak kebimbangan bagaimana reaksi ibu bapa, bagaimana reaksi rakan-rakan saya, bagaimana reaksi rakan sosial saya dan sama ada saya akan kehilangan semua orang dan semua orang sayang kepada saya jika saya secara rasmi menerima Islam ke dalam hidup saya. Kemudian, ada isu kerja dan dari mana pendapatan saya akan datang jika saya perlu mengakhiri kerjaya saya dalam media supaya saya boleh berpakaian dengan betul dan memakai tudung. Banyak perkara telah melalui fikiran saya semasa minggu-minggu tersebut.

Tetapi apa yang saya boleh simpulkan adalah, jika Allah telah membimbing saya kepada Islam, maka saya tidak mempunyai pilihan kecuali menerima (Islam), kerana saya tahu bahawa Dia adalah yang Maha Baik, Maha Mengasihani dan mengetahui apa yang terbaik untuk saya.

Tambahan pula, jika pilihan ini menjadikan saya anak perempuan yang lebih baik, kawan yang lebih baik dan orang yang lebih baik dan memberi saya lebih kedamaian, lebih harapan dan lebih kebahagiaan, saya percaya bahawa orang-orang yang menyayangi saya masih akan menerima saya tidak kira apa (yang terjadi) – walaupun ia mengambil sedikit masa. Saya juga percaya bahawa, kerana Tuhan adalah Pemberi Rezeki dan Pelindung yang terbaik, Dia akan mengirim pekerjaan untuk saya, yang bukan sahaja sesuai dengan saya tetapi juga boleh diterima dalam Islam.

Sebaik sahaja pemikiran ini telah mengukuh dalam fikiran saya, saya fikir untuk mendapatkan al-Quran terjemahan bahasa Inggeris Amerika untuk dibaca. Dan, ia adalah pada hari yang saya meminta satu salinan terjemahan al-Quran daripada salah satu guru Islam saya – apabila beliau bercakap kata-kata yang menusuk hati saya dan membuatkan saya digenangi dengan air mata – bahawa saya secara rasmi menerima Islam dengan membaca Syahadah atau Testimoni Keimananan secara Islam.

Apa yang beliau katakan kepada saya? Apa yang menyentuh hati seseorang tidak sama dengan yang lain tetapi saya akan berkongsi salah satu perkara yang beliau tegaskan kepada saya. Beliau berkata kepada saya, "Mengapa anda tidak menyerahkan sepenuhnya diri anda dan menjadi seorang Muslim? (Perlu diingat bahawa Islam bermaksud seseorang yang menyerahkan kepada satu-satunya Tuhan).

Beliau tahu bahawa saya telah melakukan penyelidikan yang meluas, membaca secara intensif dan telah datang kepada kesimpulan bahawa Islam adalah kebenaran dan yang tepat untuk saya. Melalui perbualan pendek kami hari itu, beliau juga tahu bahawa saya merasakan seolah-olah saya telah Islam seluruh kehidupan saya tetapi tidak tahu.

Bagi saya, kesedaran ini menunjukkan bahawa saya telah Islam, jadi saya menjawab, "Saya sudah (Islam)". Lalu beliau pantas menjawab, "Tidak, anda belum (Islam)". Mendengar kata-kata itu mematahkan hati saya. Sesuatu telah terkoyak dalam diri saya dan saya mula menangis. Ketika itu, saya menyedari dengan sepenuh kefahaman bahawa tanpa mengisytiharkan dan memberikan komitmen diri saya kepada kehidupan yang diserahkan kepada satu-satunya Tuhan, saya bukanlah benar-benar berserah (Islam).

Saya merasakan saya seperti tanpa disedari, telah menafikan Tuhan, menafikan kebenaran yang telah saya temui, menafikan kepercayaan saya, bila saya mahu begitu banyak (kajian) untuk menjadi baik dan tunduk kepada Tuhan dengan cara yang betul. Kurang daripada sejam selepas kesedaran ini, saya menyerah dan menerima Islam sebagai cara hidup saya.

Selepas membaca Syahadah, apa yang saya rasa tidak boleh digambarkan dengan tepat. Saya merasakan satu sensasi yang menyelinap dalam diri menyebabkan perasaan seperti pembersihan yang menyeluruh. Saya rasa suci dan diberi cahaya, kedamaian dan kebahagiaan yang hakiki. Saya tidak pernah merasakan kegembiraan yang tulus seperti itu dalam hidup saya. Dan, perasaan ini berada hingga ke hari ini dan saya tahu ia akan bersama saya hingga ke hari terakhir saya di dunia ini.

Saya gembira dengan Allah, Perancang saya dan (gembira) dengan agama pilihan saya.

Kedamaian, Harapan dan Kehormatan

Saya tidak tahu bagaimana cerita saya akan diterima tetapi saya harap kita akan terus menjadi sebahagian kehidupan antara satu sama lain. Saya berharap kita meneruskan berkongsi pandangan, berkongsi pengalaman dan menyokong antara satu sama lain dengan cara yang positif. Saya juga berharap untuk berkawan dengan rakan-rakan baru dari mana sahaja, daripada setiap budaya dan agama. Saya melihat ke hadapan untuk beralih daripada masa saya yang lalu kerana apa yang penting ialah apa yang saya lakukan daripada sekarang ke masa hadapan.

Ya, anda akan melihat saya berpakaian berbeza dan saya juga boleh bercakap sedikit berbeza tetapi sebahagian besarnya, saya hanya akan menjadi versi diri saya yang dinaik taraf. Saya mahu menjadi orang yang lebih baik. (Jadi) seseorang yang lebih baik, lebih memberi, lebih bijaksana, lebih prihatin, lebih bertimbang rasa, lebih menghormati, lebih berlemah lembut, lebih tenang, lebih memahami dan seseorang yang lebih mementingkan untuk memperbaiki dirinya setiap hari.

Saya benar-benar berterima kasih kepada ibu bapa saya untuk kasih sayang, keprihatinan dan persefahaman yang mereka berikan kepada saya. Mempunyai sokongan dan kebenaran mereka untuk memilih apa yang saya percaya yang terbaik untuk diri saya, adalah satu restu sebenar yang akan selamanya saya syukuri.

Akhirnya, saya berdoa agar anda semua juga akan mencari kedamaian, harapan dan kehormatan dalam kehidupan anda sendiri.

Bekas Ketua UMNO Songlap RM12 Juta Pampasan Kampung Chubadak?

Posted: 26 Jun 2014 01:44 AM PDT

KELAB GREENBOC


 
Seorang daripada penduduk Kampung Chubadak Dalam, Sentul menggunakan pembesar suara ketika membantah tindakan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Wang pampasan sebanyak RM12 juta daripada pemaju yang sepatutnya dibayar kepada penduduk Kampung Chubadak Tambahan tidak sampai, sebaliknya didakwa dilesapkan oleh bekas Ketua UMNO Cawangan Kampung Chubadak.

Pendedahan itu dibuat oleh bekas Timbalan Ketua Cawangan Kambung Chubadak, Suliah Mujni kepada pemberita pagi semalam.

Katanya, perkara itu disedari apabila beliau dan ahli UMNO cawangan itu mengambil keputusan menggulingkan Ketua cawangan tersebut sekitar awal tahun 1970an.

"Kami meragui tindakan beliau yang tidak mengambil kira kepentingan penduduk dalam isu pengambilalihan tanah oleh pemaju.

"Apabila beliau digulingkan, kami masuk ke pejabat UMNO di Dewan Kampung Chubadak dan apabila diselongkar kami jumpa surat dari pemaju mengenai bayaran pampasan sebanyak RM12 juta kepada penduduk, sedangkan kami tidak pernah terima apa-apa pampasan pun.


"Kalau wang RM12 juta itu dibahagi-bahagikan kepada antara 1,200 hingga 1,400 keluarga seperti mana bancian dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia ketika itu, bermakna setiap keluarga atau rumah di situ menerima kira-kira RM10,000," kata Suliah.

Jelas Suliah, surat itu ditemui kerana penggulingan tersebut dibuat secara mengejut sehingga Ketua UMNO terlibat tidak sempat 'menyelamatkan' dokumen penting di dalam pejabat UMNO Cawangan Kampung Chubadak.

"Pada tahun 70an, wang sebanyak RM10,000 adalah satu jumlah yang amat besar berbanding sekarang. Malangnya, wang itu tidak sampai kepada kami walaupun satu sen," jelasnya. – MalaysiaGazette

DAP dakwa penyertaan MCA dalam Kabinet tidak bawa perbezaan

Posted: 26 Jun 2014 01:37 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (tengah) ketika mengumumkan penyertaan pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam Kabinet, semalam. Gambar fail The Malaysian Insider.
 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (tengah) ketika mengumumkan penyertaan pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam Kabinet, semalam. Gambar fail The Malaysian Insider.



DAP menyifatkan penyertaan MCA dan Gerakan ke dalam Kabinet tidak memberi sebarang makna kepada masyarakat Cina di negara ini kerana parti itu gagal menyuarakan hasrat mereka.

"Apa bezanya Kabinet yang ada wakil MCA dan Kabinet yang tiada wakil MCA," kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng sebagaimana dilaporkan oleh Roketkini.

Lim dalam kenyatannya hari ini berkata, sama ada wujud atau tidak wakil MCA dalam barisan Kabinet, tidak ada perbezaan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman penyusunan semula

Kabinet semalam dengan memasukkan pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam Kabinetnya. Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai menteri pengangkutan, menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sementara Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Najib turut melantik Naib Presiden MCA Senator Lee Chee Leong menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Chua Tee Yong menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan dan Senator Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Sebelum ini, bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam satu kenyataan berkata, parti itu menolak sebarang jawatan dalam kerajaan ekoran pencapaian parti itu yang lemah dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Namun, pada Februari 2014 selepas pelantikan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai presiden MCA dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM), parti itu mengintai peluang untuk mendapat semula jawatan di peringkat pusat, negeri dan kerajaan tempatan.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, tidak ada sebarang hasil kerja yang boleh dibanggakan, malah tanpa sebarang petunjuk prestasi bagi mengabsahkan pelantikan lima pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam Kabinet.

 "Kabinet kerajaan minoriti Barisan Nasional terpaksa disusun semula. Selepas hanya setahun, Malaysia kembali ke petak mula," katanya.

Beliau berkata, penyusunan semula Kabinet itu hanya untuk 'memberi muka' kepada MCA dan Gerakan yang gagal kekal relevan pada PRU lalu.

Lim sebelum ini pernah meminta pemimpin MCA yang begitu aktif di media sosial, terutama presidennya untuk menawarkan lima janji kepada masyarakat Cina sebagai hujah penyertaan parti itu ke dalam Kabinet.

"Permintaan ini tidak dijawab. Minggu lalu saya bertanya lagi dan kali ini saya kurangkan kepada tiga janji sahaja. Ini pun tidak dijawab. MCA kekal membisu.

 "Apa janji MCA yang tidak boleh diusahakan sendiri oleh masyarakat Cina tanpa MCA?" soal Lim.

Sehubungan itu, katanya, pada hari bersejarah MCA menyertai semula Kabinet, beliau sekali lagi meminta parti itu untuk menawarkan satu saja janji lagi kepada masyarakat Cina di Malaysia.

"Saya secara spesifik menyebut 'masyarakat Cina' kerana kali terakhir saya periksa, MCA itu maksudnya Malaysian Chinese Association.

"Semua orang tahu MCA sebuah parti Cina yang ditolak masyarakat Cina dan tidak berfungsi sepanjang setahun lalu," katanya.

Masing sedih, kecewa dengan rombakan kabinet

Posted: 26 Jun 2014 01:30 AM PDT

OLEH DESMOND DAVIDSON

PRS layak diberikan lebih jawatan menteri dan timbalan menteri berdasarkan kepada kemenangannya dalam PRU13, kata presidennya Tan Sri Dr James Masing. Gambar fail.
PRS layak diberikan lebih jawatan menteri dan timbalan menteri berdasarkan kepada kemenangannya dalam PRU13, kata presidennya Tan Sri Dr James Masing. Gambar fail.


Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing melahirkan rasa sedihnya susulan rombakan kecil kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mendakwa formula perdana menteri dalam memberikan jawatan menteri itu "tidak mencerminkan kekuatan parti komponen".

Presiden salah satu parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) di negeri Malaysia Timur itu berkata, peruntukan portfolio menteri yang diberikan semalam juga mengabaikan sumbangan Dayak terhadap kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

PRS pada masa ini adalah parti kedua terbesar dalam gabungan empat parti BN Sarawak.

Masing berkata, walaupun beliau senang dengan kemasukan semula MCA dalam kabinet, beliau bagaimanapun kecewa kerana permintaan partinya unauk mendapatkan jawatan timbalan menteri tidak diendahkan.

"Perdana menteri tahu kehendak PRS. Saya sudah menulis surat kepadanya. Saya akan mengingatkan beliau lagi," kata Masing yang juga menteri pembangunan tanah Sarawak, ketika diminta mengulas rombakan kabinet semalam.

Masing sedih berikutan hakikatnya ialah pada PRU13, PRS menang semua enam kerusi yang dipertandingkan sementara MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi yang diperuntukkan.

Dengan tujuh ahli Parlimen, MCA diberikan dua jawatan menteri penuh dalam rombakan kecil kabinet semalam – presidennya Datuk Seri Liow Ting Lai kini menteri pengangkutan sementara timbalannya Datuk Dr Wee Ka Siong dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

 Parti itu juga diberikan tiga jawatan timbalan menteri. Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Datuk Chua Tee Yong sebagai timbalan menteri Kewangan sementara Datuk Lee Chee Leong menjawat jawatan timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Semua tiga timbalan menteri yang baharu itu adalah naib presiden MCA, dengan Chew dan Lee dilantik senagai senator.

 Masing berkata, sebaliknya, PRS dengan enam ahli Parlimen hanya ada seorang wakil dalam kabinet – Datuk Joseph Entulu Belaun, menteri di Jabatan Perdana Menteri.

 "Kerajaan ditetapkan oleh jumlah kerusi dimenangi parti ketika pilihan raya umum, bukan dengan berapa jumlah ahli sesebuah parti," katanya.

Masing juga bengang apabila kekuatan partinya disetarakan dengan parti majoriti Cina, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang hanya menangi satu kerusi, kerusi Dayak, dalam tujuh yang diberikan untuk bertanding dalam pilihan raya umum tahun lalu.

 Walau hanya dengan satu kerusi, SUPP diberikan jawatan menteri dalam kabinet – Datuk Richard Riot, timbalan presiden SUPP dilantik sebagai menteri Sumber Manusia.

Satu lagi parti BN Sarawak, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), menang empat kerusi dalam pilihan raya itu tetapi tidak mendapat tempat mewakili parti dalam kabinet.

 "Tiga parti ini secara kolektif menyumbang 10 kerusi kepada BN, tetapi mereka hanya diberikan empat jawatan menteri penuh dan tiga timbalan menteri.

 "Antara PRS dan SPDP, kami menyumbangkan 9 kerusi, tetapi hanya diberi satu jawatan menteri penuh.

"Dengan jujur, saya tidak boleh kata PRS gembira dengan peruntukan yang kami terima walaupun kuasa pelantikan menteri terletak di tangan perdana menteri.

 "Saya hanya berharap dalam masa terdekat, PRS akan diberikan pertimbangan berikutan sumbangan besarnya dalam berjaya menjadikan BN pentadbir negara ini.

"Jangan terus mengabaikan kami, kalau tidak pengundi kami juga akan mengabaikan kami menjelang pilihan raya umum ke-14," katanya

Muhyiddin akui Kabinet besar tetapi ia bukan isu, katanya

Posted: 26 Jun 2014 01:22 AM PDT

OLEH MD IZWAN

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berkata saiz Kabinet yang besar tidak dapat dielakkan, khususnya selepas MCA mahu menerima semula jawatan jemaah menteri serta kemasukkan semula Gerakan dalam pentadbiran. – Gambar fail, 26 Jun, 2014.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berkata saiz Kabinet yang besar tidak dapat dielakkan, khususnya selepas MCA mahu menerima semula jawatan jemaah menteri serta kemasukkan semula Gerakan dalam pentadbiran. – Gambar fail


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin mengakui saiz Kabinet Malaysia memang besar tetapi bagi beliau, ia bukan satu isu sebaliknya menegaskan keberkesanan Jemaah Menteri yang lebih penting.

"Ia memang besar, perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) pun akui.

 "Tetapi yang penting adalah keberkesanan, menteri dan jemaah yag dipilih perlu buktikan keberkesanan mereka," kata Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN) semasa sidang media selepas merasmikan kad pelajar, i-Kad di Damansara.

Muhyiddin berkata saiz Kabinet yang besar tidak dapat dielakkan, khususnya selepas MCA mahu menerima semula jawatan jemaah menteri serta kemasukkan semula Gerakan dalam pentadbiran.

 "Ia tidak dapat dielakkan, sebab keadaan selepas pilihan raya dahulu kita tubuhkan Kabinet tanpa MCA dan Gerakan," kata beliau.

Menurut Muhyiddin lagi, kemasukan MCA dan Gerakan membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) mementingkan perkongsian kuasa dengan kaum lain.

"Seperti sejarah lalu, kita mahu perwakilan daripada semua kaum dalam Kabinet. "Dengan keputusan ini, kita mengembalikan perkongsian kuasa dengan wakil kaum lain," kata beliau.

Muhyiddin juga berharap kedua-dua pemimpin daripada parti komponen tersebut dapat memainkan peranan, khususnya dalam menjalankan tanggungjawab dan mengembalikan sokongan kepada BN.

"Saya harap kemasukan ini dapat mengukuhkan kedudukan MCA dan Gerakan," kata beliau.

Semalam, Najib mengumumkan penyusunan semula Kabinet dengan memasukkan pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam Kabinetnya.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai menteri pengangkutan, menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sementara Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Najib turut melantik Naib Presiden MCA Senator Lee Chee Leong menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Chua Tee Yong menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan dan Senator Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Bagaimanapun, pengkritik membidas langkah tersebut memandangkan saiz yang terlalu besar dan mempersoalkan keperluan penyusunan tersebut

Adakah Hudud bentuk rasisme terbaru oleh UMNO?

Posted: 25 Jun 2014 11:14 PM PDT

sakmongkol.blogspot.com



Kita nak tanya- bila Jamil Khir Baharum, menteri yang bertanggung jawab mengenai agama Islam mengistiharkan negara ini negara Islam, adakah ini keputusan kabinet? Atau ini kenyataan untuk menyukakan hati kaum Melayu? Jika ianya keputusan kabinet, maka bagaimana reaksi pimpinan MCA, Gerakan dan pimpinan parti komponen BN yang bukan Islam? Kita tahu MCA tidak ada lagi missi perjuangan selain berleter untuk mendapatkan jawatan dalam kabinet. demikian juga parti2 lain. 

UMNO dan Hudud. 

Kenapa tiba2 UMNO beria-ia memperjuangkan hudud? Parti ini tidak pernah dikenali sebagai parti politik yang memperjuangkan cita2 Islam. Bahagian itu dimiliki oleh PAS. PAS pun bersikap berhati2 apabila mahu melaksanakan hudud. Pembentangan private members bill mengenai perlaksanaan hudud oleh PAS di parlimen suatu ketika baru2 ini ditunda dahulu. Walaupun hudud itu hanya untuk negeri Kelantan. 

Kerana PAS sedar bahawa walaupun ianya dilaksanakan di Kelantan, implikasi nya akan menyeluruh. 

Tapi UMNO lebih kuah dari camca. Sampai melimpah kesungguhan dan keterujaan nya untuk membentangkan hudud. Wakil rakyat UMNO yang ek dan gah mahu membentangkan hudud di DUN Selangor pada saat akhir menanrik balik hasrat nya. nyatalah kepada wakil UMNO, DUN hanya seperti pasar malam. 

Kepada UMNO, pemikiran disebalik hudud iti bukan seperti pemikiran PAS. Motivasi PAS ialah mendepankan prinsip agama. Kepada UMNO ianya suatu mainan politik dan hudud adalah suatu instrument untuk menyelamatkan dan mengekalkan kedudukan UMNO. Kita semua tahu UMNO didirikan atas semangat nasionalisme Melayu.  

Dan dalam bulan2 mutakhhir ini, nasionalisme UMNO ialah nasionalisme puak ekstremis kanan. Agama dan mempertahankan institsui Raja Melayu adalah dua bidang dimana puak pelampau kanan UMNO menunjukkan taring mereka. Sedangkan dua perkara ini tidak lansung berada dalam ancaman. 

Maka, hudud merupakan peluang politik yang terbaik untuk mengembali-kukuhkan( reassert)  imej UMNO sebagai menjuarai bangsa Melayu. Hudud sebagai sebahagian agama Islam tentulah disokong oleh semua bangsa Melayu. Jika UMNO boleh menunjukkan dirinya lebih dari PAS dalam memperjuangkan hudud ini, maka UMNO akan mendakwa dirinya sebagai satu2 nya parti yang mendahulukan Melayu.

Hudud pula tidak disetujui oleh hampir semua orang bukan Islam- India dan Cina. Maka hudud boleh digunakan sebagai senjata oleh UMNO untuk membahagikan Melayu dengan bukan Melayu. Bukan Melayu akan dilihat sebagai musuh yang menentang segala nya Melayu. UMNO akan pergi keserata kampung dan beteriak, orang Melayu dan agama mereka dalam bahaya sebab golongan bukan Melayu menentang bangsa kita. 

Sedangkan penolakan hudud oleh bangsa bukan Melayu bukan disebabkan kerana mereka anti Melayu atau anti raja Melayu. Bahkan penolakan mereka disebabkan oleh kegagalan institusi Islam di Malaysia menerapkan pemahaman serata menunjukkan bahawa Islam itu adil dari sudut perlaksanaan nya. KIta lihat 'kezamilan' dan kekerasan Islam dalam kes2 hak penjagaan anak oleh seorang ibu bukan Islam, kes merampas jenazah seorang bukan Islam, dan kes enggan pulangkan bible. Kesemua ini memperlihatkan kepada bukan Islam dan orang Isalm juga, betapa tokoh2 agamawan yang tidakpun dipilih oleh rakyat berlagak macam diktator menjalankan hukum Islam dari sudut pengertian mereka. 

Dan tentangan itu tidak ada kena mengena dengan hudud. Ianya di tentang kerana kebimbangan kaum bukan Melayu akan kemungkinan perlaksanaan tersebut dijadikan alasan untuk menindas bukan Melayu dan bukan agama Islam. 

Maka kepada saya, kepentingan UMNO dalam isiu hudud ini tidak ada kena mengena dengan prinsip agama Islam. Ianya semua sebagai suatu senjata politik yang membolehkan UMNO bercakap secara terang terangan mengenai pertembungan antara Melayu dan musuh Melayu. Hudud ialah bentuk rasism terbaru oleh UMNO. 

Keadaan akan judi juru hara, keadaan masyarakat akan menjadi tegang sebab UMNO sekarang hanya bercakap dari sudut Melayu dan musuh Melayu. 

kepentingan UMNO dalam memperjuangkan hudud ialah politik semata mata. Perlaksanaan prinsip2 Islam tidak ada dalam kamus UMNO. Apatah lagi, bila Najib bercakap mengenai hudud, maqasid syar'iyyah- kita tahu itu semua hipokrasi Najib. Saya bukanlah lah mahu memperkecilkan religiosityNajib, tapi jika Najib bercakap mengenai apa2 pasal Islam ianya seperti Hugh Heffner( pemilik majallah Playboy) bercakap mengenai agama kristian.

Agenda UMNO hanya satu- menggunakan hudud sebagai bentuk rasism yang terbaru. Dengan hudud, UMNO boleh membahagikan rakyat mengikut pecahan kaum. Oleh kerana kaum Cina dan India akan menentang hudud kerana sememang nya mereka bukan Islam- maka itu akan membolehkan UMNO bercakap dari sudut melayu dan bukan melayu dan antara kita dengan mereka. Kita ialah Melayu dan mereka ialah Cina dan bukan Melayu.

Ianya akan membolehkan UMNO melihat semua penentangan dari gologan bukan Melayu sebagai serangan kepada kita. Dan ini akan digunakan oleh UMNO untuk menjustifikasikan tindakan ekstrim dan ganas.

Kassim Ahmad fail semula semakan kehakiman

Posted: 25 Jun 2014 11:06 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Sarjana kontroversi Kassim Ahmad hari ini memfailkan semula permohonan semakan kehakiman bagi mengetepikan tiga pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

Ini ekoran ucapan kontroversinya berhubung agama Islam yang disampaikan di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya pada Februari lalu.

Tindakan itu diambil selepas kegagalan mendapatkan campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung pertuduhan terhadapnya bagi mengelak pertembungan perlembagaan.

Peguam Kassim juga menghantar salinan surat tujuh halaman kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk tindakan lanjut.

Ia bertujuan menggesa perdana menteri dan menteri besar menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan negeri bagi mengelakkan negara ini berada dalam kecelaruan.

Pada 27 Mac, Kassim dituduh mengikut Seksyen 7(b) Akta Kesalahan Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana mempersenda Islam dalam satu seminar di Putrajaya pada Februari lalu.

Kassim hadir bersama isterinya Syarifah Fawziah Syed Yusoff dan peguam yang memfailkan permohonan semakan kehakiman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Susun kabinet, Najib hebat lagi luar biasa

Posted: 25 Jun 2014 10:59 PM PDT

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Dalam sususan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, tambah cemerlang lagi ialah dengan perlantikan Datuk Wee Ka Siong dan Datuk Mah Siew Keong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ini bermakna jumlahnya meningkat kepada 10 orang. Lapan menteri sedia ada di JPM ialah Jamil Khir Baharon, Wahid Omar, Shahidan Kassim, Idris Jala, Joseph Kurup, Nancy Shukri, Joseph Entulu dan Paul Low.

Jika dikira dengan Najib sebagai ketua dan Muhyiddin sebagai orang nombor dua di JPM, jumlahnya meningkat lagi kepada 12 orang, suatu angka yang menakjubkan pencapaiannya bagi negara seperti Malaysia.

"Mempunyai menteri di JPM seramai 10 orang tidak pernah berlaku sebelum ini, baik di era Mahathir mahupun Pak Lah. Inilah hebat dan luar biasanya Najib," tulis Shahbudin Husin di dalam blognya semalam.

Menurutnya, ramai yang berkata, jumlah itu terlalu besar dan lebih merupakan pembaziran.

"Berapa wang rakyat bakal dihabiskan untuk membayar gaji dan elaun mereka saja sedangkan dengan jumlah menteri yang ramai itu, tentulah skop kerja dan bidang tugas menjadi semakin sedikit. Sekali lagi, inilah hebatnya Najib," ulasnya lagi.

Rafizi tak menang tangan, bakal bongkar satu lagi skandal rasuah

Posted: 25 Jun 2014 10:50 PM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Belum lagi selesai membongkar isu penswastaan konsesi Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dianugerah kepada kroni Umno, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli kini menggenggam maklumat satu lagi skandal penyelewengan institusi pendidikan.

IMG_1553"Tak habis lagi saya selidik kronisme di UiTM, hari ini (semalam) saya dapat lagi satu kertas tebal penyelewengan di institusi Melayu juga. Tak cukup tangan.

"Saya dah belek-belek dan saya rasa yang baru nak siasat ini pun adalah skandal juga. Harap Perkasa (Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia), Isma (Ikatan Muslimin Malaysia) dan lain-lain sama-sama banteras isu rasuah macam ini," kata Rafizi di twitter.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan itu mendedahkan Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Rahman mempunyai pegangan minoriti di dalam konsesi penswastaan UiTM Tapah.

Sebelum itu, beliau juga mendedahkan, konsesi yang diberikan kepada adik bekas Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail turut mendapat manfaat daripada pemberian konsesi bagi membina UiTM kampus cawangan Puncak Alam, Selangor.

Manakala dua bekas Adun Umno di Selangor menerima konsesi untuk pembinaan UiTM kampus cawangan Jasin, Melaka.

Rafizi sebelum ini mendedahkan kerajaan memberikan konsesi selama 23 tahun kepada syarikat kroni untuk membina enam kampus cawangan UiTM seluruh negara.

Dalam masa sama, UiTM perlu membayar sewa kepada syarikat berkenaan antara RM56 juta sehingga RM69 juta setahun.

Jumlah keseluruhan bayaran tersebut adalah sebanyak RM8.6 bilion iaitu lima kali lebih tinggi berbanding kos membina sendiri kampus-kampus ini iaitu RM1.8 bilion.

Kenyataan Perkasa ancam rakyat Sarawak

Posted: 25 Jun 2014 10:47 PM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: PAS Sarawak menyelar amaran melampau Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memancung kepala mana-mana pihak yang masih enggan menghormati kedaulatan Islam dan mengkhianati kedudukan Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri.

Ketua Penerangannya, Andri Zulkarnaen Hamden berkata, kenyataan yang amat ketelaluan dan tidak bertanggungjawab itu boleh mencerminkan kesan buruk bukan sahaja kepada keharmonian pelbagai bangsa di Malaysia bahkan memberi persepsi negatif terhadap agama Islam itu sendiri.

Katanya, Islam adalah agama yang mengajarkan kasih sayang, persaudaraan bukan mengajarkan kekerasan, juga menitikberatkan keadilan, keharmonian, saling hormat menghormati dan kesederhanaan.

"Kenyataan Perkasa mencerminkan pemikiran tidak bertamadun dan sikap ekstrem mereka yang perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia terutama masyarakat Islam," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya mereka benar-benar ingin memerlihara dan mempertahankan kesucian Islam itu, kenapa apabila pemimpin BN dan Umno sendiri menghina Islam terang-terangan mereka diam seribu bahasa.

Justeru beliau mempersoalkan kenapa program berunsur maksiat dianjurkan oleh kerajaan dan pihak swasta Perkasa tidak bangun membantah.

"Adakah isu terpilih yang mendatangkan keuntungan politik sahaja Perkasa ingin menjuarai agar dapat memberi impak politik kepada mereka?" tanya beliau lagi.

Justeru, ujarnya PAS Sarawak beranggapan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Perkasa adalah amat berbahaya dan boleh mengancam hubungan baik yang telah terbina berkurun lamanya dengan penganut kristian terutama di Sarawak.

Katanya lagi, kenyataan Perkasa juga boleh menimbulkan kebencian dan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.

"PAS Sarawak mencadangkan polis agar segera menyiasat kenyataan Perkasa ini kerana kenyataan tersebut berunsur hasutan dan boleh mengugat kestabilan dan keamanan negara yang mempunyai berbilang bangsa dan agama," ujarnya.

Koperal polis antara 6 disyaki pengganas Sulu

Posted: 25 Jun 2014 10:46 PM PDT

BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat koperal antara enam yang ditahan kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas Sulu dalam satu operasi khas sekitar daerah Kunak di Sabah semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menamakan anggota polis sebagai Koperal Zainuddin Mislani.

Turut ditahan Abu Bakar Jayari@Alex, 60; anak Abu Bakar, Ilyasa Abu Bakar@Maharaja Omar; Kassim Ibrahim (disyaki pendatang tanpa izin; dan Industan@Md Bustan Lumatang@Hindustan, 55.

Dalam kenyataan hari ini, Khalid berkata operasi itu turut menyaksikan penahanan Sitti Nukah Abdul Lama, 56, yang juga isteri Kassim.

"Tangkapan terbaru oleh Cawangan Khas Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ini adalah susulan daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lepas," katanya.

Khalid berkata polis turut merampas kad keanggotaan dan sijil pelantikan 'panglima' kesultanan Sulu, beberapa dokumen berkaitan kesultanan Sulu serta beberapa bilah senjata tajam.

"Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 124(C) Kanun Keseksaan dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pada Februari tahun lepas, sekumpulan pengganas bersenjata menceroboh Lahad Datu dan berlaku pertempuran yang mengorbankan nyawa 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia, iaitu lapan polis serta dua tentera. - Bernama

Kerajaan perlu cekap, bukan tambah anggota kabinet

Posted: 25 Jun 2014 10:44 PM PDT

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini memerlukan kerajaan yang cekap dalam melaksanakan tanggungjawab kepada dan bukannya berbangga dengan jumlah anggota kabinet yang besar.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata pengumunan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pelantikan beberapa anggota kabinet baru semalam amat mengecewakan dan dilihat satu pembaziran.

"Saya melihat pengumuman anggota kabinet yang dilakukan Najib semalam adalah perkara yang mengecewakan dan pembaziran untuk sebuah negara yang mempunyai rakyat seramai 30 juta penduduk.

"Rakyat hanya inginkan sebuah kerajaan yang berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dan bukannya menambah anggota bagi memenuhi janji politik individu," katanya kepada Harakahdaily sebagai respons kepada penambahan anggota kabinet yang diumumkan Najib itu.

Katanya lagi, transformasi yang dilaungkan Najib dalam urus tadbir kerajaan tidak mencerminkan kesungguhan beliau dalam memastikan penjimatan dan kecekapan bekerja.

"Bila tambah anggota kabinet, ini menyebabkan tugas anggota kabinet akan lebih ringan dan saya pasti akan ada satu anggota kabinet akan laksanakan satu tugas sahaja.

"Sebagai sebuah kerajaan kita memerlukan seseorang yang dilantik itu boleh menjalankan pelbagai tugas yang diberikan.

"Jelas transformasi Najib ini tidak mencerminkan kecekapan pentadbiran tetapi merupakan transformasi pembaziran dengan pertambahan kos yang melampau," ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Beliau berkata, walaupun Negara China mempunyai jumlah rakyat yang ramai namun anggota kabinet masih kecil berbanding kabinet Najib hari ini.

Menurutnya, pengumuman itu turut memalukan apabila negara luar melihat kegagalan Najib mentadbir dengan keadaan kabinet yang tidak seimbang mengikut jumlah rakyat berbanding dengan negara-negara luar.

Pengumuman semalam, anggota kabinet Najib menjadi 35 orang menteri penuh dan 27 timbalan menteri, 10 daripadanya berkhidmat dalam Jabatan Perdana Menteri.

Berdasarkan pakej saraan yang ditetapkan parlimen Malaysia, barisan baru kabinet itu akan menelan wang pembayar cukai kira-kira RM530,000 dalam bentuk gaji atau RM6.3 juta setahun.

Tunjuk sebab: Mungkin tak jawab rela dipecat, kata Yammy

Posted: 25 Jun 2014 10:43 PM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ibu Dyana Sofya, Yammy Samat tidak peduli jika Umno memecat keahlian beliau ekoran dituduh menyokong dan membantu kempen anaknya yang juga calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan lalu.

Katanya, setakat ini beliau berkemungkinan tidak akan membalas surat tunjuk sebab yang dihantar kepada beliau.

"Kemungkinan besar saya tidak akan jawab surat itu. Tapi tengok macam mana nanti sebab ada tempoh 14 hari untuk jawab. Apapun, saya tidak peduli sekiranya saya dipecat," katanya.

"Kalau Umno hendak pecat saya ke apa, itu terpulang kepada parti dalam membuat keputusan," kata beliau kepada mStar Online.

Yammy turut menafikan tuduhan bahawa beliau membantu kempen Dyana pada PRK tersebut seperti dakwaan dalam surat tunjuk sebab itu.

Sebaliknya jelas Yammy, pada PRK tersebut beliau hanya menemani Dyana sebagai atas kapatisi seorang ibu.

"Saya tak buat salah. Surat itu mengatakan saya penyokong Dyana sedangkan saya tidak berkempen pun untuk dia tetapi sekadar menemaninya sebagai anak," tegasnya lagi.

Mengulas karier politiknya sekiranya dipecat, Yammy berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti lain dan memilih untuk bersara daripada politik.

"Cukuplah, saya dah penat dalam politik ini, biarlah saya berehat... umur saya dah nak masuk 60 tahun pun," katanya seperti dilapor portal itu

PAS pecat Lotfi Ariffin 11 Mei lalu

Posted: 25 Jun 2014 10:41 PM PDT

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: PAS Pusat telah memecat Lotfi Ariffin sebagai ahli PAS serta merta selepas mendapat maklumat dengan jelas dan sahih berhubung pemergiannya ke Syria.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pemecatan Lotfi dibuat dalam satu mesyuarat PAS Pusat pada 11 Mei 2014 lalu.

"Kita mendapat maklumat sahih tentang pemergian beliau ke Syria untuk menyertai gerakan jihad, maka kita membuat keputusan pecat beliau. Beliau sudah tidak ada kaitan lagi dengan PAS," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Mustafa pemecatan Lotfi juga telah dimaklumkan kepada ahli keluarga beliau.

Justeru, beliau turut mengingatkan mana-mana ahli PAS yang terlibat dalam gerakan seperti itu, PAS Pusat tidak teragak-agak untuk memecat ahlinya.

Pemegang konsesi UiTM Kota Semarahan juga dianugerah konsesi LATAR

Posted: 25 Jun 2014 10:39 PM PDT

Oleh Rafizi Ramli


Pemegang konsesi penswastaan UiTM yang terakhir mengikut jawapan bertulis Perdana Menteri kepada soalan Parlimen saya ialah Rekajaya Projek Sdn Bhd yang dianugerahkan konsesi penswastaan UiTM Kota Samarahan.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat ini dikuasai oleh pasangan ahli perniagaan bernama Dato' Mohamed Raffe b K. Chekku dan isterinya Datin Nilufar Yusupova melalui Rafulin Holdings Sdn Bhd. (Sila semak carian SSM bagi Rekajaya Projek Sdn Bhd dan Rafulin Holdings Sdn Bhd)

Sementara saya tidak mempersoalkan kebebasan ahli-ahli perniagaan seperti Dato' Mohamed Raffe untuk menjalankan perniagaan masing-masing, kaedah rundingan terus yang digunakan oleh pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak dengan berselindung di sebalik alasan pendekatan "private finance initiatives" (PFI) begitu mudah disalahgunakan atau dipengaruhi yang membuka ruang kepada rasuah yang merugikan rakyat.

Melalui kaedah rundingan terus ini, ahli perniagaan yang mempunyai akses dengan pimpinan Umno dan pegawai tinggi kerajaan berpeluang mendapat konsesi-konsesi yang diikat dalam tempoh yang lama dan boleh merugikan rakyat.

LATARSelain konsesi penswastaan UiTM kampus cawangan Kota Samarahan, syarikat yang dikawal oleh Dato' Mohamed Raffe juga dianugerahkan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur Kuala Selangor (atau LATAR) melalui satu konsortium Kuala Lumpur Kuala Selangor Expressway Berhad. Konsesi lebuhraya LATAR ini adalah selama 40 tahun.

Syarikat-syarikat yang dikawal oleh Dato' Mohamed Raffe boleh diibaratkan sebagai pakar perunding konsesi yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan konsesi-konsesi sebegini sementara pembinaannya diberikan kepada syarikat bukan Bumiputra sama ada melalui perkongsian (joint venture) atau sub-kontrak.

Di dalam kes pembinaan Lebuhraya LATAR dan UiTM cawangan Kota Samarahan, pembinaannya dikendalikan oleh Binapuri Holdings Berhad, sebuah syarikat pembinaan bukan bumiputra yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur.

Semakan ke atas carian syarikat SSM dan laman web syarikat-syarikat terbabit menunjukkan bahawa kos pembinaan kedua-dua konsesi yang dianugerahkan kepada syarikat Dato' Mohamed Raffe dibiayai melalui pinjaman dengan Bank Pembangunan Berhad, sebuah bank milik penuh kerajaan.

Saya mengambil contoh konsesi penswastaan UiTM cawangan Kota Samarahan ini untuk menunjukkan bagaimana kaedah PFI yang dijadikan alasan untuk memberi anugerah konsesi kepada ahli-ahli politik Umno dan rakan perniagaan mereka sebenarnya samalah dengan Kerajaan Persekutuan menanggung sendiri kos pembiayaan tanpa perlu diikat dengan perjanjian konsesi 23 tahun yang membebankan rakyat; atas pertimbangan berikut:

1. Kontraktor akhir yang membina kampus-kampus ini atau lebuhraya adalah syarikat pembinaan sedia ada seperti Binapuri Holdings. Syarikat-syarikat ini boleh sahaja turut serta dalam satu tender terbuka pembinaan kampus tanpa perlu melalui syarikat konsesi seperti sekarang. Akhirnya projek dikendalikan kontraktor bukan bumiputra walaupun Umno memberi alasan ia perlu dianugerahkan melalui konsesi untuk memberi peluang kepada kontraktor Bumiputra

2. Projek sebenarnya dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan sendiri melalui Bank Pembangunan milik penuh Kerajaan Persekutuan. Sekiranya kampus-kampus ini dibina sendiri tanpa diswastakan, Kerajaan Persekutuan boleh sahaja meminjam dari Bank Pembangunan tetapi kos yang ditanggung rakyat adalah jauh lebih murah

Siri penswastaan UiTM menjadi bukti bagaimana nama Melayu dan Bumiputra disalahgunakan untuk mengkayakan kroni Umno. Saya akan terus bersuara mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan di dalam kaedah PFI supaya Umno tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan konsesi yang akan membebankan rakyat kelak.

Saya juga sertakan jawapan bertulis Perdana Menteri yang mengesahkan syarikat-syarikat yang memenangi anugerah konsesi penswastaan UiTM ini sebagai bukti fakta sepanjang pendedahan.

* Rafizi adalah Pengarah Strategi KEADILAN merangkap Ahli Parlimen  Pandan.

Pemilihan semula Cabang Puchong, Kelana Jaya ditangguh 10 Ogos

Posted: 25 Jun 2014 10:31 PM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Proses pemilihan semula KEADILAN Cabang Puchong dan Kelana Jaya ditangguhkan ke 10 Ogos ini.

_MG_5853Menurut Pengerusi Jawatankuasa Aduan Pemilihan, Abd Malek Hussin, penetapan itu dibuat selepas perbincangan dengan anggota di kedua-dua cabang berkenaan berdasarkan Seksyen 9.3 Peraturan Pemilihan KEADILAN.

"Saya bagi pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dengan ini mengumumkan bahawa proses pemilihan semula bagi Cabang Puchong dan Kelana Jaya ditangguhkan ke 10 Ogos 2014," katanya dalam kenyataan.

Minggu lalu, Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul berkata, sebanyak 36 cabang sah untuk mengadakan pemilihan semula selepas melalui proses sesi pendengaran oleh Abdul Malek yang juga Pengerusi Panel Bantahan JPP.

Bawa MCA, Gerakan dalam kabinet, BN terdesak raih sokongan

Posted: 25 Jun 2014 10:29 PM PDT

KEADILAN DAILY

 
KUALA LUMPUR : Perlantikan pimpinan MCA dan Gerakan dalam kabinet bertujuan menarik kembali sokongan masyarakat bukan Melayu supaya kembali kepada Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, penstrukturan semula kabinet yang ditunjangi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menjadikan ia antara kabinet terbesar dalam sejarah negara, selepas penolakan nyata kedua-dua parti komponen BN itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Katanya, tindakan Najib juga bercanggah dengan apa yang ditonjolkan kelompok 'Melayu Ultra' yang dibawa badan bukan kerajaan (NGO) yang dibela Umno.

"Keputusan itu seperti ingin melunturkan imej 'Melayu Ultra' antaranya Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) secara tidak langsung demi meraih sokongan bukan Melayu walaupun NGO ini turut memberi sumbangan penting bagi Umno," katanya dipetik.

kabinet NajibBeliau mengulas perlantikan Pengerusi MCA, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai ke dalam kabinet sebagai Menteri Pengangkutan, manakala Datuk Wee Ka Siong dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sementara itu, Pengerusi Gerakan, Datuk Mah Siew Keong turut dilantik sebagai Menteri di JPM, Lee Chi Leong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa), Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan), Datin Paduka Chew Mei Fun pula kembali memegang jawatan lama beliau iaitu sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Khalid berkata, keputusan Najib merombak kabinet dengan menambah anggota di bawah Jabatan Perdana Menteri hanya memberi manfaat kepada Najib sendiri, selain untuk membalas jasa kepada mereka yang berjaya mempertahankan kerusi BN.

"PM boleh goyang kaki bersama isteri? Tambah anggota Kabinet tapi Kabinet tetap tak berupaya. Jawatan sebagai hadiah…," kata Khalid di twitter.

Tiada ulasan: