DIALOG RAKYAT |
- MB: Ugut ‘pancung kepala’, tindakan Perkasa jejas imej Islam
- Larang masuk Sarawak jejas nama baik Adenan
- Dihukum mati: Ini jawapan Badie kepada hakim
- Hotel lima bintang berkonsep Islam di Kelantan
- [VIDEO] Bongkar Lagi: Timb Menteri Ada Saham Dalam Konsesi UiTM Tapah
- Gagal Nasihati Kerajaan, Wira Perkasa Desak Gani Patail Letak Jawatan
- 3 Pelajar Mengaku Bersalah Pukul Rakan Sekolah
- El Nino : Langkah Permulaan Diumum Minggu Hadapan
- Lokasi sebenar MH370 belum kenal pasti
- Media asing ganggu siasatan polis
- Pakatan Rakyat harus utamakan agenda bersama – Anthony Loke
- Tiga perkataan yang meruntun jiwa
- Tinggal seminggu lagi pelaksanaan, PT3 masih kabur
- ‘Penswastaan’ UiTM beri untung kepada Umno
- ‘Kenapa tidak batal sahaja larangan masuk Sarawak?’
MB: Ugut ‘pancung kepala’, tindakan Perkasa jejas imej Islam Posted: 24 Jun 2014 04:38 AM PDT SELANGOR KINISHAH ALAM : Kerajaan Selangor kesal dengan ugutan "memancung kepala" yang dibuat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang hanya memberi kesan buruk kepada keharmonian pelbagai bangsa dan agama. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ugutan dibuat Perkasa itu tidak memberi manfaat bahkan ia memberi persepsi negatif terhadap Islam yang menitikberatkan persaudaraan, keadilan, keharmonian, saling hormati menghormati dan kesederhanaan. "Kita melihat kenyataan sebegitu hanya mencerminkan pemikiran tidak bertamadun dan perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia terutama masyarakat Islam," kata Abdul Khalid dalam kenyataan medianya. Beliau berkata, Kerajaan Selangor menyeru semua pihak berhenti mengambil kesempatan di atas isu Bible demi kepentingan diri atau politik. "Dan menghormati titah DYMM Sultan Selangor agar kes ini diserahkan kepada mahkamah," kata Abdul Khalid. |
Larang masuk Sarawak jejas nama baik Adenan Posted: 24 Jun 2014 04:35 AM PDT KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim menyifatkan larangan yang dikenakan ke atas beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk memasuki Sarawak hanya menjejaskan nama baik Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. Menghargai keputusan Adenan menghentikan sementara larangan itu bagi membolehkan pimpinan Pakatan menghadiri majlis pengebumian mendiang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek Wong Ho Leng, Teresa tetap menggesa Adenan membatalkan sahaja larangan tersebut, lapor Roketkini. "Memberikan penghormatan kepada Ho Leng adalah tanda 'gentleman' dan mesra oleh Ketua Menteri dan kerajaan negeri. "Saya mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada beliau yang membenarkan saya masuk ke Sarawak. (Namun) apabila saya tanya kenapa saya dilarang masuk, beliau tidak menjawab. "Bukankah lebih baik jika beliau membatalkan (sahaja) larangan itu? Larangan tanpa alasan ini hanya menjejaskan nama baik beliau," kata Teresa menerusi laman Facebooknya. Ketika kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Balingian Mac lalu, Teresa dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat lain, antaranya Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilarang masuk ke negeri itu. Namun, Teresa diberi 'pas istimewa' selama tujuh hari bagi menghadiri pengebumian mendiang Wong Ho Leng semalam. Selain pemimpin DAP, Adenan, Speaker Dun Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, dan beberapa Menteri Sarawak turut hadir memberikan penghormatan terakhir di kediaman mendiang, petang semalam. |
Dihukum mati: Ini jawapan Badie kepada hakim Posted: 24 Jun 2014 04:33 AM PDT KUALA LUMPUR: Semasa perbicaran semalam, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Dr Mohammed Badie yang dijatuhkan hukuman mati oleh sebuah mahkamah tentera, mengeluarkan kata-kata yang cukup memberi inspirasi kepada pejuang agama Allah. Dalam satu kenyataan kepada hakim, pemimpin berusia 71 tahun itu berkata hukuman mati sedikitpun tidak menakutkan beliau, tetapi beliau cuma kecewa kerana tiada lagi keadilan di bumi Mesir. "Hukuman mati tidak menakutkan saya. Saya tidak takut menghabiskan seluruh hidup saya di penjara. Jihad terbaik adalah berkata benar dihadapan pemerintah yang zalim. "Saya mengadu kepada Allah tentang tiada lagi keadilan. Saya bertukar dari mangsa kepada tertuduh di bawah rejim rampasan kuasa tentera. "Anak lelaki saya, Ammar dibunuh dan kejadian itu tidak pula pernah disiasat atau dibawa ke mahkamah mereka yang bertanggungjawab untuk jenayah itu," katanya dipetik Ikhwanweb.com. Mohamed Badie dijatuhkan hukuman mati dalam satu perbicaraan tanpa kehadiran beliau dan tidak diberi peluang untuk membela diri. "Ini adalah ibu segala ketidakadilan, terutamanya apabila pendakwa mengenakan tuduhan rekaan kepada saya dan tertuduh yang lain," katanya lagi. Mohamed Badie dituduh menyerang dan membakar ibu pejabat polis Odoua di wilayah Minya, serta membunuh seorang anggota polis pada Ogos tahun lalu. Bagaimanapun ketika kejadian, Mohamed Badie dikatakan berada di Kaherah dan bukannya di Minya. Sehingga kini 1,100 penyokong Presiden Dr Mohamad Morsi telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah dibawah rejim rampasan kuasa Mesir. |
Hotel lima bintang berkonsep Islam di Kelantan Posted: 24 Jun 2014 04:31 AM PDT KOTA BHARU: Kelantan melangkah setapak lagi ke hadapan apabila sebuahhotel berkonsep 'meningkatkan iman dan mendekati Islam' dibina di negeri ini. Hotel itu melibatkan kos RM300 juta setinggi 30 tingkat dikenali Damai Hotel & Suites (Damai HS) akan dibina di Jalan Telipot dekat sini. Upacara pecah tanah pembinaannya disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra hari ini. Damai HS milik syarikat Usahasama Seri Cemerlang Sdn Bhd (USC) dimiliki sepenuhnya Bumiputera. Pengerusi USC Tengku Datin Fatihah Al-Marhum Sultan Ibrahim berkata, hotel tersebut berciri mesra alam bertaraf lima bintang yang pertama seumpamanya di Kelantan. Katanya, Damai HS berkonsep senibina Islam yang melambangkan Islam itu progresif, berdaya saing serta maju ke hadapan. "Hotel terbabit menghayati konsep dan ciri-ciri senibina Islam termasuk reka bentuk dan operasinya nanti berlandaskan ciri-ciri syariah. "Konsepnya juga bertepatan dengan lanskap budaya dan resam Kelantan yang berpegang kepada ajaran Islam sebagai amalan kehidupan di Serambi Mekah ini," katanya pada majlis tersebut. Pembinaan hotel itu dijangka siap pada 2018, terletak berhadapan Istana Telipot dan tidak jauh dari Masjid Sultan Muhammad V. |
[VIDEO] Bongkar Lagi: Timb Menteri Ada Saham Dalam Konsesi UiTM Tapah Posted: 24 Jun 2014 04:24 AM PDT KELAB GREENBOCTimbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Rahman (gambar) merupakan pemegang saham minoriti dalam konsesi penswastaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah, kata PKR. "Hari ini saya boleh mengesahkan ahli Parlimen Pasir Salak adalah pemimpin Umno yang mempunyai pegangan minoriti dalam konsesi penswastaan UiTM kampus cawangan Tapah," kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. Rafizi berkata, konsesi penswastaan UiTM cawangan Tapah dianugerahkan kepada UniTapah Sdn Bhd dengan konsesi selama 23 tahun untuk membina dan menyewakan kembali kampus itu kepada UiTM. Beliau mendakwa, salah seorang pengarah UniTapah Sdn Bhd ialah Sri Rahayu Tajuddin, iaitu anak kepada Tajuddin. "Sri Rahayu juga pernah menjadi setiausaha Umno Bahagian Pasir Salak yang diketuai oleh Tajuddin. "Ini mengulangi perkara yang sama dalam konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM lain apabila setiap syarikat konsesi turut mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno atau ahli perniagaan yang rapat dengan Umno," katanya. Rafizi berkata, seorang lagi pengarah dalam UniTapah Sdn Bhd yang mempunyai hubungan dengan Tajuddin adalah Vignesh Naidu Kuppusamy Naidu melalui usahasama perniagaan bersama di antara mereka. "Selain UniTapah Sdn Bhd, Tajuddin dan Vignesh Naidu mempunyai hubungan melalui sebuah syarikat pembinaan iaitu Everfine Resources Sdn Bhd yang mana Tajuddin adalah pengerusinya dan Vignesh Naidu pengarah syarikat itu. "Kepentingan beliau dalam syarikat konsesi ini dipegang melalui sebuah syarikat iaitu Detik Utuh Sdn Bhd. "Syarikat itu mempunyai kepentingan sebanyak 9.8% dalam UniTapah Sdn Bhd manakala saham selebihnya dipegang oleh sebuah syarikat pembinaan yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur iaitu Crest Builder Holdings Berhad (melalui Crest Builder International Sdn Bhd)," katanya. Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Tajuddin memiliki 450,000 saham di dalam Detik Utuh Sdn Bhd, menjadikan beliau pemegang saham terbesar. Rafizi berkata, saham selebihnya dimiliki oleh Vignesh Naidu (150,000 saham) dan Obata-Ambak Holdings Sdn Bhd (400,000 saham). Obata-Ambak Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang dikawal oleh keluarga isteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. "Pengarah di dalam Detik Utuh Sdn Bhd adalah individu yang rapat dengan Tajuddin iaitu anaknya sendiri, Sri Rahayu dan kenalan perniagaan beliau iaitu Vignesh Naidu dan Haniff Mahmood. "Walaupun pegangan Tajuddin tidak sebesar pegangan ahli politik Umno lain dalam konsesi yang saya dedahkan sebelum ini, ia mengesahkan setiap konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM menguntungkan sekurang-kurangnya ahli politik Umno dengan bayaran sewa yang cukup membebankan rakyat," katanya. Rafizi sejak minggu lalu melakukan pendedahan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan Umno memiliki konsesi penswastaan UiTM di seluruh negara. |
Gagal Nasihati Kerajaan, Wira Perkasa Desak Gani Patail Letak Jawatan Posted: 23 Jun 2014 11:51 PM PDT Zaini Ghani KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Peguam Negara, Datuk Abdul Ghani Patail meletakkan jawatan ekoran gagal menasihati kerajaan dalam isu membabitkan sensitiviti umat Islam. Ketua Wiranya Irwan Fahmi Ideris berkata barisan kepimpinan Wira Perkasa telah membawa usul berkenaan sejak empat tahun yang lalu apabila Abdul Gani dilihat kurang bijak menangani isu sebegini dan mendakwa ianya harus dibawa kepada Yang dipertuan Agong, selaku ketua agama dan bukannya Peguam Negara. "Abdul Gani adalah penyangak. Dia patut letak jawatan kerana gagal menasihati kerajaan. "Walaubagaimanapun kita tetap akur dengan undang-undang, tetapi ia dapat dielakkan jika Peguam Negara dapat menanganinya dari awal," katanya ketika berucap pada perhimpunan aman mendengar keputusan penggunaan kalimah Allah di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya, semalam. Semalam, kira-kira 300 ahli Perkasa dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam berhimpun sejak jam 7 pagi sambil bermunajat dan membawa kain rentang mempertahankan kalimah suci Allah. Mahkamah Persekutuan semalam telah menolak rayuan Lawrence untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbar The Herald dengan mendapat persetujuan empat daripada tujuh hakim yang mengadili kes tersebut. Hakim yang menolak rayuan tersebut adalah Ketua Hakim Arifin Zakaria, Presiden Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif, Ketua Hakim Malaya Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi Halim Omar. Manakala tiga hakim yang berpendapat sebaliknya adalah Ketua Hakim Mahkamah Sabah dan Sarawak Richard Malanjum serta dua hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali dan Jeffrey Tan Kok Wha. |
3 Pelajar Mengaku Bersalah Pukul Rakan Sekolah Posted: 23 Jun 2014 11:45 PM PDT Radhi Razak SAMARAHAN,- Tiga orang pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di sini yang didakwa membelasah seorang pelajar lain sekolah itu dan perbuatan mereka dirakam dalam video yang tersebar di Internet mengaku bersalah di mahkamah majistret di sini semalam. Ketiga-tiga mereka yang berumur 16 tahun itu mengakui di hadapan Majistret Zulhairil Sulaiman tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Ekoran pengakuan itu, Zulhairil memerintahkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 seorang dengan ibu bapa masing-masing sebagai penjamin sementara menunggu laporan akhlak mereka kepada mahkamah 11 Julai depan. Mereka turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali sehingga tarikh tersebut, hari sebutan semula kes itu. Dalam kertas pendakwaan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sekolah yang sama kira-kira pukul 9.40 pagi 25 April lepas. |
El Nino : Langkah Permulaan Diumum Minggu Hadapan Posted: 23 Jun 2014 11:42 PM PDT Radhi Razak KUALA LUMPUR - Kabinet dijangka mengumumkan langkah permulaan dalam menghadapi cuaca kering dan fenomena El Nino di negara ini, minggu depan, persidangan Dewan Negara diberitahu. Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata jawatankuasa khas Kabinet yang ditubuhkan untuk menghadapi fenomena itu akan mengadakan mesyuarat pada 30 Jun sekali gus mengumpul dapatan dan maklumat lanjut berhubung perkara itu. "Jawatankuasa ini membolehkan pemantauan dan langkah persediaan dibuat secara menyeluruh. Kelak, semua langkah untuk menghadapi impak fenomena itu dapat diselaraskan di setiap negeri. "Sebagai contoh, kita akan dapat rekod jumlah air di setiap empangan. Kita juga boleh tahu jumlah bekalan air mentah untuk kegunaan sesuatu tempoh dan adakah ia boleh tahan sepanjang fenomena itu," katanya ketika menjawab soalan Senator Dr Ariffin S.M Omar. Jelas Mahdzir, agak sukar untuk kementeriannya memberi jaminan bahawa sumber air seperti dari empangan dan tangki simpanan mencukupi atau tidak terganggu ketika fenomena itu melanda negara. Oleh itu katanya, pelbagai persediaan telah dibuat supaya bekalan air tidak putus dan boleh sampai kepada pengguna antaranya pengguna industri diminta menggunakan air bawah tanah, kolam dan tasik selain pengguna domestik diminta menjimatkan penggunaan air setiap hari. Jawatankuasa khas itu ditubuhkan pada 15 Mei lepas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sebagai sekretariat. Jawatankuasa Khas Kabinet ini akan memantau impak cuaca kering daripada berbagai aspek termasuk perubahan iklim, kesihatan dan pertanian. Selain itu, penubuhan jawatankuasa akan membolehkan pemantauan dan pelaksanaan langkah-langkah mitigasi di peringkat nasional yang lebih menyeluruh bagi menyiapsiagakan negara untuk berdepan dengan fenomena El Nino ke atas semua sektor ekonomi dan sosial yang menggunakan air. Baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia telah membuat ramalan bahawa negara dijangka mengalami Monsun Barat Daya iaitu musim kering pada bulan Jun sehingga September tahun ini. Selain itu, ramalan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) bahawa fenomena El Nino berkemungkinan berlaku pertengahan tahun ini yang boleh berlanjutan antara enam hingga 18 bulan akan lebih memburukkan keadaan bekalan air negara khususnya bagi negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang paling teruk terjejas semasa cuaca kering yang lalu akibat kekurangan simpanan air mentah. |
Lokasi sebenar MH370 belum kenal pasti Posted: 23 Jun 2014 11:36 PM PDT KUALA LUMPUR - Kerajaan masih menjalankan perbincangan dengan pihak berkuasa Australia dan China bagi mengenal pasti lokasi baharu di laut Hindi untuk mencari MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perbincangan itu juga meliputi fasa baharu dan penggunaan aset bersesuaian bagi operasi mencari pesawat itu. "Itu amat penting dalam fasa baharu ini, kerana tanpa mengetahui atau memutuskan lokasi kawasan itu, ia adalah amat sukar untuk kita memahami jenis peralatan yang diperlukan yang mempunyai keupayaan tertentu dalam misi pencarian ," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) 2014 dan melancarkan buku bertajuk 'Perancangan Ketenteraan Dalam As-Sunnah' di sini, hari ini. Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang dalam perjalanan ke Beijing, China telah hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". Hishammuddin juga sekali lagi menggesa agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung laporan yang mendakwa juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah sebagai suspek utama di sebalik kehilangan MH370. "Jangan percayakan spekulasi, pada asasnya ini tidak adil kepada keluarga juruterbang, ini tentang keluarga dan beliau mempunyai anak dan sekiranya anda salah bagaimana anda mahu membaiki kerosakan yang telah ditimbulkan itu," katanya. Baru-baru ini, Akhbar Sunday Times, United Kingdom melaporkan polis Malaysia kini menganggap suspek utama di sebalik kehilangan MH370 adalah juruterbang penerbangan tersebut, Kapten Zaharie Ahmad Shah. - Bernama |
Media asing ganggu siasatan polis Posted: 23 Jun 2014 11:29 PM PDT Khalid Abu Bakar. - Foto Bernama SHAH ALAM - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini membidas tindakan media asing yang membuat laporan mengelirukan mengenai penerbangan MH370 sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi, sekali gus mengganggu siasatan polis. Beliau berkata kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu masih dalam siasatan dan hanya polis mempunyai maklumat sahih untuk dimaklumkan kepada umum. "Jangan dengar media asing, kami penyiasat utama kes ini dan hanya kami yang boleh beritahu perkembangan terkini, jadi dapatkan maklumat daripada kami. "Terlalu banyak cerita dan spekulasi, jangan dengar satu berita yang dihasilkan oleh media asing kerana ini hanya akan memburukkan keadaan," katanya kepada pemberita, di sini. Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan meluahkan rasa kesal terhadap laporan The Sunday Times United Kingdom yang membayangkan bahawa PDRM menganggap suspek utama di sebalik kehilangan pesawat itu ialah juruterbangnya Kapten Zaharie Ahmad Shah, jika kejadian tersebut disebabkan oleh manusia. PDRM dalam kenyataan tersebut menafikan mereka memberi maklumat seumpama itu dan menyifatkan kenyataan mereka telah dipesongkan. Mengulas lanjut, Khalid berkata pencarian pesawat itu termasuk kotak hitamnya masih dijalankan di kawasan selatan Lautan Hindi dan pihaknya positif pesawat tersebut akan ditemui. Beliau juga menganggap dakwaan bahawa operasi pencarian berkenaan menemui jalan buntu sebagai tidak relevan kerana siasatan masih berlangsung. Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang serta anak kapal menuju Beijing, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lepas. Gerakan mencari membabitkan pelbagai negara bermula di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan akhirnya di Lautan Hindi selepas data satelit menunjukkan pesawat itu melencong jauh daripada laluan asal dengan isyarat terakhir dikesan di selatan Lautan Hindi. - Bernama |
Pakatan Rakyat harus utamakan agenda bersama – Anthony Loke Posted: 23 Jun 2014 10:09 PM PDT Roketkini.com KULAIJAYA – 'Politik Baru' yang diperjuangkan oleh gerakan Islam di Malaysia seharusnya lebih menumpukan kepada agenda bersama yang dapat difahami dan boleh diterima oleh semua lapisan kaum sebagai satu objektif yang jelas dalam mendepani cabaran sebenar masa kini. Perkara tersebut ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat Anthony Loke dalam seminar "Islam dan Demokrasi" anjuran NGO Wadah di sini, kelmarin. Menurut beliau, agenda bersama yang dimaksudkan adalah agenda berkaitan kenegaraan yang merangkumi sistem tadbir urus yang cekap, bersih dan adil buat rakyat. "Matlamat kita untuk pastikan dasar dan agihan kekayaan negara diagih secara adil, tiada rasuah dan salahguna kuasa. Semua ini menepati dengan nilai-nilai Islam iaitu untuk membela golongan miskin dan memberi keadilan kepada mereka," ujar Loke. Beliau juga berpandangan bahawa agenda bersama Pakatan untuk meningkatkan sistem pilihanraya selari dengan nilai Islam. "Dalam Islam, nilai-nilai keadilan dan kejujuran itu amat dititikberatkan. Maka sistem pilihanraya kita mesti direformasikan. "Begitu juga dengan sistem kehakiman dalam negara kita, Islam sentiasa memastikan hakim itu adil, bukan hakim yang mudah dibeli oleh penguasa. Perjuangan agenda ini adalah selaras dengan prinsip Islam," tambah beliau. Dalam pembentangan kertas kerja bertajuk "Perspektif Bukan Islam Terhadap Idea dan Pendekatan Islam dan Demokrasi Malaysia" itu Anthony Loke menyatakan kebanyakan orang bukan-Muslim tidak memahami konsep-konsep Islam seperti "politik Islam" atau "ekonomi Islam". "Kebanyakan orang Cina biasa hanya tahu Islam sebagai tak boleh minum arak atau tak boleh berjudi, tak boleh makan babi dan boleh kahwin lebih dari satu, itu sahaja. Konsep-konsep politik Islam atau Ekonomi Islam mereka tak fahami dan bagi mereka hal itu sebagai perkara yang sangat kompleks untuk difahami," ujar beliau. Menurut Anthony lagi, keadaan bertambah buruk dengan kenyataan-kenyataan daripada Isma dan Perkasa yang langsung tidak memberi kefahaman kepada bukan-Muslim mengenai Islam itu sendiri. Seminar 'Islam dan Demokrasi' dirasmikan oleh Presiden Wadah Dato' Dr Siddiq Fadhil. Turut membentangkan kertas kerja adalah Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Idris Jauzi dan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki. -Roketkini.com |
Tiga perkataan yang meruntun jiwa Posted: 23 Jun 2014 10:04 PM PDT Muhammad Firdaus sentiasa memalingkan muka daripada orang ramai ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, semalam. 'IBU, ummi dan makan...'. Hanya tiga perkataan itu saja mampu diucap Muhammad Firdaus Dullah, remaja OKU malang yang ditemui dalam keadaan kebuluran dan tidak terurus di rumah pangsa Taman Semarak, Nilai, Sabtu lalu walaupun usianya sudah 15 tahun. Perkataan 'ibu' itu merujuk kepada pengasuh remaja berkenaan, Norfitri Radius, 42, yang menjaganya selama lapan tahun sejak 2003, sementara 'ummi' merujuk kepada ibu remaja berkenaan yang kini masih ditahan reman bagi membantu siasatan atas penemuan mengejutkan seluruh rakyat negara ini. Manakala, perkataan 'makan' pula biasanya akan keluar daripada mulutnya setiap kali lapar. Perkara itu didedahkan Pengarah Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, Datuk Dr Jaafar Che Mat berhubung tahap kesihatan Muhammad Firdaus selepas dua hari dirawat dan dijaga rapi di hospital berkenaan. Ketiga-tiga perkataan itu juga menunjukkan 'dunia' Muhammad Firdaus sebelum ini hanya tertumpu kepada pengasuh dan ibunya saja, tanpa melihat dan mengenali orang lain di sekeliling, sehingga ada kala dia kelihatan takut pada orang ramai. Berat hanya 15kg Jaafar berkata, amat menyedihkan apabila Muhammad Firdaus kelihatan rakus ketika pertama kali diberi makan oleh pihak hospital. Beliau berkata, remaja yang menghidap penyakit celebral palsy itu hanya seberat 15 kilogram ketika pihak hospital menerimanya. "Hari pertama kami terima anak ini, keadaannya amat teruk. Kami semua geleng kepala melihat keadaan fizikalnya. "Dia kelihatan rakus bila diberi makan roti seperti sudah lama tidak makan dan begitu kelaparan," katanya. Menurutnya, Muhammad Firdaus turut mengalami masalah kulit akibat terlalu lama berada dalam persekitaran kotor. "Dia juga kekurangan protein disebabkan tidak mendapat makanan berkhasiat. Kita akan merawat kulitnya dan beri makanan berkhasiat agar kembali pulih, sebelum membuat rawatan fisioterapi untuk anggota badannya yang lemah," katanya. Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan dijalankan terhadap remaja itu mendapati tiada kesan penderaan pada fizikalnya. "Tiada kesan menunjukkan dia didera, tetapi jika dikurung dan dibiarkan sudah termasuk dalam kes penderaan. Kita sudah serahkan laporan kesihatan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini, semalam. Jaafar berkata, untuk memulihkannya akan mengambil masa lama, bagaimanapun Muhammad Firdaus sudah menunjukkan respon positif berbanding sebelum ini. "Kita akan pastikan dia pulih sepenuhnya sebelum serahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya. Sementara itu, katanya, adik tiri remaja terbabit, Muhammad Haziq Jali, 7, turut dirawat di hospital berkenaan dan diletakkan bersebelahan Firdaus. "Adiknya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan cuma mengalami masalah hiperaktif," katanya. Jiran tak tahu remaja terkurung Sementara itu, di NILAI, penderitaan Muhammad Firdaus itu ternyata mengejutkan penduduk sekitar rumah pangsa Taman Semarak. Tinjauan Sinar Harian di rumah pangsa itu semalam mendapati, penduduk sekitar serta jiran-jiran tidak mengetahui ada remaja OKU terkurung di sebuah bilik di blok 15, selama ini. Kawasan perumahan yang rata-rata didiami warga asing itu kelihatan suram, selain berada dalam keadaan tidak terurus. Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam blok berkenaan, hidung mula terbau sesuatu kurang menyenangkan, dengan hancing serta busuk. Setibanya di hadapan rumah nombor 19 iaitu tempat Muhammad Firdaus ditemui, bau busuk terus menerpa kuat sebaik saja pintu dikuak. Tidak cukup dengan itu, kelihatan keadaan rumah berselerak seperti tidak berpenghuni, malah apabila ditanya jiran sebelah, mereka sendiri tidak tahu dan tidak kenal penghuni rumah itu. Salah seorang jiran yang tinggal depan rumahnya, Farhat, 30, berkata, selama tiga tahun dia tinggal di situ, dia jarang melihat wanita atau ibu kepada Muhammad Firdaus berada di rumah. Farhat yang berasal dari Bangladesh dan fasih berbahasa Melayu berkata, hanya sebulan sekali saja dia nampak wanita itu datang mengemas rumah dan membuang bungkusan sampah yang banyak. "Saya jarang nampak ada orang dalam rumah itu. Cuma setiap malam, saya sering terdengar suara kanak-kanak menangis dari rumah berkenaan. Suara itu akan diam sendiri selepas itu. "Sudah tiga tahun saya tinggal di sini, tetapi tidak pernah kenal dengan penghuni di depan rumah saya ini. Kali terakhir saya nampak dia (ibu Muhammad Firdaus) bulan lalu, ketika itu dia sedang angkat sampah dengan seorang anak lelaki kecil. Lepas itu tidak nampak lagi," katanya. Bagaimanapun, beberapa wanita tempatan yang ditemui mengakui ibu Muhammad Firdaus itu tinggal bersama kerana pernah ternampak wanita berkenaan di situ. Dalam pada itu, pengerusi flat berkenaan, Abdul Razak Nasir berkata, ibu kepada Muhammad Firdaus kelihatan keluar rumah awal pagi dan pulang lewat malam, dipercayai bekerja. "Keluarga remaja OKU ini tidak pernah bergaul atau berbual dengan penduduk di sini. Malah, kami sendiri tidak tahu dia mempunyai anak OKU sehinggalah berita ini tersiar," katanya. Ibu mengaku tinggal bersama Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Abdullah Roning berkata, ketika disoal siasat, wanita yang dikenali sebagai Lola itu mengaku masih tinggal bersama Firdaus di rumah berkenaan dan bukan tinggal di tempat lain. "Hasil percakapan pegawai penyiasat kami dengan wanita berkenaan, mereka masih tinggal serumah, cuma anaknya yang OKU itu diasingkan di sebuah bilik berlainan. "Semua keterangan daripada wanita berkenaan telah pun direkodkan dan diambil, sebelum tindakan lanjut dilakukan," katanya, semalam. Abdullah berkata, polis kini sedang mengesan bapa Muhammad Firdaus bagi melengkapkan kertas siasatan. Ibu remaja itu direman selama empat hari sehingga esok. Manakala, Timbalan Pengarah JKM Negeri Sembilan, Mohamad Hapil berkata, pihaknya akan mengesan bapa kepada remaja berkenaan. "Setakat ini, kita tiada maklumat mengenai ayahnya. Jika gagal dikesan, JKM akan mohon perintah sementara bagi menjaga dan melindunginya buat sementara sebelum proses ke mahkamah," katanya. |
Tinggal seminggu lagi pelaksanaan, PT3 masih kabur Posted: 23 Jun 2014 09:58 PM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming mempersoalkan kerajaan yang masih gagal memberi penjelasan berhubung pelaksanaan sistem Penilaian Tingkatan 3 (PT3) yang akan menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, walaupun sudah masuk semester kedua persekolahan. Menurut beliau, setakat pagi ini, surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan masih belum dapat diakses di laman web rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) sedangkan Menteri Pendidikan Datuk Seri Idris Jusoh menjelaskan di Parlimen pada 18 Jun lalu bahawa dua surat pekeliling dikeluarkan bagi menjelaskan PT3 dan telah dimuat naik ke laman web LP. "Malangnya, setakat jam 10.15 pagi ini saya belum dapat mengakses laman web itu (http://web.moe.gov.my/lp). Saya telah mencuba sejak Khamis lalu, namun tidak berjaya. Saya juga menjumpai laman web alternatif LP, iaitu http://www.lp.edu.my/. Hal yang sama berlaku apabila saya klik pada pautan PMR," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Setakat jam 12.30 tengah hari ini, kedua-dua pautan itu masih tidak boleh diakses. Menurut laporan, PT3 akan dimulakan dengan Instrumen Kajian Kes berbentuk kerja kursus bagi subjek Sejarah dan Geografi, bermula 1 hingga Julai ini. Namun sehinggai kini, masih ramai guru yang kabur dengan kaedah pelaksanaan PT3 yang merupakan sebahagian daripada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menerima kritikan hebat sebelum ini. Pada 15 Jun lalu, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng menggesa LP mengadakan pertemuan dengan semua guru yang terlibat secepat mungkin untuk menerangkan secara terperinci berhubung PT3 yang akan bermula 1 Julai ini. Kata Kian Ming lagi, garis panduan pelaksanaan sistem baru itu patut dinyatakan secara terperinci di laman web LP bagi kemudahan semua pihak, apatahlagi salah satu surat pekeliling itu telah dikeluarkan kira-kira tiga bulan yang lalu. "Jika guru sendiri risau dengan pelaksanaan PT3, saya hanya boleh bayangkan kekeliruan ibu bapa yang mempunyai anak di tingkatan 3. Dalam kajian ke atas keluarga berpendapatan rendah yang dijalankan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), didapati ada jurang maklumat antara rancangan kerajaan dengan maklumat yang diterima golongan miskin. Jurang itu pasti boleh dilihat pada pelaksanaan sistem ini," katanya lagi. IDEAS pada tahun lalu telah menjalankan kajian melibatkan 1,200 individu daripada golongan yang pendapatan mereka di tahap 40 peratus terendah dalam negara. Soal selidik yang dijalankan untuk kajian itu mendapati sebahagian besar mereka tidak pernah mendengar tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 yang dikeluarkan tahun lalu. "Jika Kementerian tidak boleh melaksanakan sesuatu yang begitu asas, seperti menjelaskan sistem PT3, setakat mana 'pencapaian' yang disenaraikan dalam Laporan Tahunan 2013 PPPM yang dikeluarkan Kementerian sebelum ini boleh dipercayai?" soalnya lagi. – Roketkini.com |
‘Penswastaan’ UiTM beri untung kepada Umno Posted: 23 Jun 2014 09:56 PM PDT Roketkini.com PETALING JAYA – Pembinaan sepuluh kampus baru Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) melahirkan kegusaran lantaran 'penswastaan' universiti awam tersebut dikhuatiri akan menambah beban mahasiswa. Kerajaan justeru digesa mengkaji semula konsesi pembinaan kampus-kampus UiTM yang didakwa memihak kepada syarikat kroni Umno bagi mengaut keuntungan. Dalam satu kenyataan bersama, Setiausaha Politik Ketua Parlimen DAP Dyana Sofya Mohd Daud, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Dr Afif Bahardin, dan beberapa alumni UiTM yang lain membuat gesaan terbabit selain mendesak supaya sistem tender terbuka dilaksanakan. "Selaku alumni UiTM; kami tidak sanggup melihat UiTM tergadai kepada syarikat-syarikat konsesi ini hanya kerana kerakusan pimpinan UMNO," ujar mereka dalam satu kenyataan bersama. "Kami selaku alumni UiTM merasa sedih dan kecewa; kerana hakikatnya UiTM telah dipergunakan UMNO dan Barisan Nasional." "Kami merasa gusar dengan masa depan UiTM kerana dengan bentuk 'penswastaan' ini; akhirnya ia bakal merugikan kerajaan dalam jangka masa panjang," kata mereka sambil menambah bahawa mereka turut khuatir kos penyelenggaraan yang ditanggung UiTM ini akhirnya akan ditanggung pelajar UiTM. Minggu lalu Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendedahkan beberapa konsesi UiTM di seluruh negara yang melibatkan pemimpin Umno. UiTM dalam jawapannya kepada dakwaan Rafizi langsung tidak menyangkal dakwaan beliau termasuk kos sewa tahunan yang ditanggung bagi setiap kampus malah seakan-akan membantu mengesahkan dakwaan Pengarah Strategi PKR itu. "UMNO seringkali melaungkan diri mereka sebagai pejuang kepentingan Melayu; hakikatnya ini adalah satu sandiwara untuk mengabsahkan amalan korup, kronisme dan nepotisme yang membarah dan menghantui sistem negara," tegas mereka. – Roketkini.com |
‘Kenapa tidak batal sahaja larangan masuk Sarawak?’ Posted: 23 Jun 2014 09:52 PM PDT Roketkini.com SIBU: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim menyifatkan larangan yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk memasuki Sarawak hanya menjejaskan nama baik Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem. Menghargai keputusan Adenan menghentikan sementara larangan itu bagi membolehkan pimpinan Pakatan menghadiri majlis pengebumian mendiang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek Wong Ho Leng, Teresa tetap menggesa Adenan membatalkan sahaja larangan tersebut. "Memberikan penghormatan kepada Ho Leng adalah tanda 'gentleman' dan mesra oleh Ketua Menteri dan kerajaan negeri. "Saya mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada beliau yang membenarkan saya masuk ke Sarawak. (Namun) apabila saya tanya kenapa saya dilarang masuk, beliau tidak menjawab. "Bukankah lebih baik jika beliau membatalkan (sahaja) larangan itu? Larangan tanpa alasan ini hanya menjejaskan nama baik beliau," kata Teresa menerusi laman Facebooknya. Ketika kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Balingian Mac lalu, Teresa dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat lain, antaranya Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilarang masuk ke negeri itu. Namun, Teresa diberi 'pas istimewa' selama tujuh hari bagi menghadiri pengebumian mendiang semalam. Selain pimpinan DAP, Adenan, Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, dan beberapa Menteri Sarawak turut hadir memberikan penghormatan terakhir di kediaman mendiang, petang semalam. Wong meninggal dunia pada jam 10.50 malam 21 Jun lalu akibat barah otak. Beliau dikesan menderitai penyakit itu pada Disember 2012. Awal tahun ini, Wong menjalani rawatan di Singapura dan menerima rawatan paliatif di Pusat Perubatan Rejang, Sibu awal tahun ini. Upacara pengebumian akan diadakan di Gereja Methodist Hwai Tang dan jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Kemuyang, hari ini. Ini merupakan kehilangan ketiga untuk DAP selepas Pengerusi dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya 17 April lalu dan Ahli Parlimen Teluk Intan Seah Leong Peng akibat barah pada 1 Mei 2014. – Roketkini.com |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan