Khamis, 19 Jun 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Sultan titah JAIS rujuk pada pendakwa raya

Posted: 19 Jun 2014 06:21 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Sultan Selangor menitahkan agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) segera merujuk kepada pihak pendakwaan untuk memutuskan sama ada naskhah Bible yang dirampas dari Persatuan Bible Malaysia akan dipulangkan atau dilupuskan.

Setiausaha sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataannya menyebut, Sultan Selangor berhasrat agar keputusan berkenaan dilaksanakan mengikut proses undang-undang.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada JAIS perlu merujuk kepada mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

"Prosedur undang-undang menetapkan pelupusan barang kes yang dirampas semasa serbuan dan siasatan boleh dirujuk oleh pihak pendakwa raya kepada mahkamah bagi mendapatkan satu perintah sama ada perintah pelupusan atau perintah pemulangan," kenyataan itu dipetik.

Ia turut menyatakan bahawa titah berkenaan selari dengan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara – agar JAIS bertindak mengikut undang-undang.

"Oleh itu JAIS perlu segera merujuk perkara ini kepada pihak pendakwa raya untuk tujuan rujukan dibuat di mahkamah.

"Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua belah pihak yang terlibat," kata Mohamad Munir lagi dalam kenyataannya.

'Jangan politikkan'

Menurut Munir, Sultan Selangor juga menggesa agar itu tidak dipolitikkan dan diselesaikan oleh pihak berkuasa dan pihak yang terlibat.

"Di samping itu, baginda berharap ahli-ahli politik tidak menggunakan isu ini untuk kepentingan peribadi, kumpulan atau parti mereka.

"Biarlah perkara ini diselesaikan di antara pihak-pihak yang terlibat dan juga pihak yang diberi kuasa untuk menyelesaikannya.

"Isu agama adalah isu yang sensitif. Oleh itu baginda meminta supaya semua pihak berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan," kenyataan itu dipetik.

Menurut Munir, Sultan Selangor turut menekan bahawa baginda mengambil sikap yang selaras dengan undang-undang di dalam hal ini.

"Baginda juga membuat penegasan bahawa setiap tindakan dan titah baginda dalam apa jua isu sama ada berkaitan dengan agama atau negeri, tidak pernah membelakangkan undang-undang dan tidak pernah cuba bertindak mengatasi undang-undang," kenyataan itu dipetik.

'Masih dianggap barang larangan'

Sementara itu, seorang peguam yang mahir dengan prosedur kes begini berkata langkah menyimpan atau memusnahkan kitab Bible yang dirampas itu adalah perkara biasa.

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, kontroversi timbul kerana orang ramai tidak faham dengan undang-undang.

Jelasnya, walaupun perkara itu telah dijelaskan oleh peguam negara, barang yang dirampas masih lagi dianggap sebagai barang larangan.

"Ia seperti kes dadah atau seseorang yang memiliki dokumen sensitif, pendakwaan mungkin tidak mendakwa individu itu tetapi adakah barangan itu dikembalikan? Tidak," kata peguam itu.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan menghadap Sultan Selangor hari ini untuk mendapatkan pandangan baginda dalam menyelsaikan kemelut rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak lama dahulu.

Hasil perbincangan itu akan diumumkan Khalid pada Isnin depan.
 

Lagi bot bawa 27 penumpang karam pagi ini

Posted: 19 Jun 2014 06:15 AM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Belum pun selesai usaha mengesan mangsa tongkang karam di Banting semalam, satu lagi kejadian bot karam berlaku di Kuala Langat kira-kira jam 10 pagi ini.

Bot pancung yang membawa 27 penumpang itu dilaporkan karam perairan Beacon Air Gila di perairan Sepang kira-kira 30 batu nautika dari Pelabuhan Klang Utara.

Menurut Pengarah  Operasi Daerah Maritin 4 Klang, Leftenan Komander Maritim Mohd Hambali Ya'acob 18 mangsa berjaya diselamatkan, manakala sembilan lagi dilaporkan masih hilang.

Dalam pada itu, perkembangan uasaha menyelamat penumpang tongkang karam di Banting hari ini menemui satu lagi mayat yang menjadikan jumlah keseluruhan kematian setakat ini sebayak 10 orang.

Tragedi tongkang karam itu berlaku pada awal pagi Rabu di luar pantai Selangor, berdekatan Sungai Air Hitam, Banting.

Tongkang tersebut membawa 97 penumpang yang terdiri daripada pendatang asing Indonesia.

Mayat yang ditemui semalam telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.

Sehingga malam tadi,  jumlah mangsa yang diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) adalah 62 orang (49 lelaki, 12 wanita dan 1 kanak-kanak) dengan 26 dikhuatiri masih hilang.

Operasi mencari dan menyelamat hari ini diteruskan dengan operasi di laut dan tinjauan melalui udara.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ada mangsa yang barangkali terselamat dan bersembunyi kerana takut berdepan dengan tindakan undang-undang.

Difahamkan, jarak lokasi kejadian dari daratan adalah kira-kira 200 hingga 300 meter.

S'gor salur lebih RM10 juta kepada 479 sekolah

Posted: 19 Jun 2014 06:13 AM PDT

HARAKAHDAILY 



 


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyalurkan RM10,903,000 melalui Program Bantuan Sekolah (Fasa 1) bagi Tahun 2014 kepada 479 sekolah seluruh negeri ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata agihan itu bertujuan menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif di sekolah Selangor.

"Sebelum 2008, SAR tidak mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri atau Pusat. Kemudahan insfra di kebanyakan sekolah ini berada dalam keadaan yang lemah termasuk sistem pendawaian, tandas, kipas dan bilik darjah dalam keadaan tidak terurus dengan baik.

"Jadi, bantuan seumpama ini amat diperlukan pihak sekolah dalam memberi persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar," katanya dipetik Selangorkini.

 Untuk rekod, peruntukan Program Bantuan Sekolah bagi penggal itu masih kekal kepada RM16 juta.

Agihan itu membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dengan bantuan RM2,302,000, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) RM3,077,00 dan bakinya Rm5,506,000 untuk Sekolah Agama Rendah (SAR).

Agihan cek bagi SJKT dilaksana pada 18 Jun lalu, manakala SJKC akan dilaksanakan pada 24 Jun ini (lokasi akan diberitahu kelak), sementara SAR pada 7 Julai ini bertempat di Kolej Integrasi tahfiz tunas Ilmuwan Selangor (KITTIS) di Pancang Bedena, Sabak Bernam.

"Kita mahu setiap pemberian diuruskan pihak sekolah dengan penuh amanah. Kita bercadang untuk tubuhkan Jawatankuasa Khas bagi memantau setiap penggunaan dana supaya apa yang sekolah minta di dalam borang dilaksanakan selepas Kerajaan Negeri memberi bantuan," katanya.

'Bodoh', 'hodoh' gamatkan hari akhir Dewan Rakyat

Posted: 19 Jun 2014 06:11 AM PDT

SALMIYAH HARUN

.
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan dalam suasana kecoh ekoran penggantungan Ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran selama enam bulan.

Kekecohan berlaku ekoran kekeliruan yang ditimbulkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang meminta perkataan 'bodoh' ditarik balik oleh Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali.

Sebaliknya, Azmin yang sedang mengemukakan Peraturan Mesyuarat menafikan mengeluarkan perkataan bodoh.

"YB Pasir Salak sudah jadi menteri pun perangai masih hodoh," bidas Azmin apabila Tajuddin menyampuk ketika beliau sedang memberi penjelasan kepada Speaker.

"Hodoh, bukannya bodoh!" celah Ahli Parlimen Kapar Manivanan Govindasamy mengundang sorakan di kalangan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Suasana bertambah kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen BN bangun kerana tidak berpuas hati dengan tuduhan itu sambil menggesa Azmin menarik balik perkataan tersebut.

Speaker Datuk Ronald Kiandee juga meminta Azmin untuk menarik balik perkataan tersebut, keadaan terus kecoh.

"Hodoh dengan bodoh tidak boleh Yang Berhormat," kata Ronald.

"Kata minta maaf!"celah Tajuddin.

"Duduklah dulu," tegas Azmin kepada Tajuddin.

Pertikaman lidah terus berlaku dari kedua-dua belah pihak menyebabkan suasana dewan bertambah kecoh.

Bagaimanapun Ronald yang tidak dapat mengawal keadaan itu terus membuat keputusan menerima usul Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang mencadangkan Surendran digantung selama enam bulan.

Ekoran itu, kesemua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun membantah keputusan itu sambil melaungkan 'bantah, bantah, bantah' dan kemudian terus keluar meninggalkan dewan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin bangun mengemukakan Peraturan Meayuarat 27 (3) dan membantah usul menteri berkenaan kerana keputusan yang dibuat oleh Ronald tidak melalui prosedur yang betul dan wujud 'conflict of interest'.

Hanipa bertalu-talu mengemukakan hujah berkaitan Peraturan Mesyuarat namun Ronald tetap bertegas bahawa keputusan itu adalah muktamad dan menerima usul menteri untuk dibahaskan. -

Mahathir pun pernah kata parlimen 'rubber stamp'

Posted: 19 Jun 2014 06:02 AM PDT

MUHAMMAD FAIZAL



 


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Dewan Rakyat menggantung Ahli Parlimen Bagan Serai tanpa sebarang perbahasan dan menolak segala peraturan mesyuarat yang dibangkitkan sebagai mengulangi kegelapan sistem parlimen Malaysia.

Bercakap pada sidang media hari ini, Ketua Pembangkang itu juga mendakwa apa yang berlaku hari ini menunjukkan parlimen seperti diperalatkan pihak tertentu.

"Kita bantah keras cara parlimen diperalatkan, tidak boleh bahas usul penggantungan ahli parlimen dan apabila peraturan mesyuarat dibangkitkan speaker mencari pelbagai alasan untuk menolak semua peraturan tersebut.

"Kemudian kata kepentingan awam, apa kepentingan awam, nak jaga kemulian parlimen, beginikan cara kita jaga kemulian parlimen, tidak boleh kritik dan tegur," katanya sejurus keluar dari Dewan Rakyat selepas usul penggantungan N Surendran diluluskan.

Surendran pernah digantung pada November lalu dan baru beberapa hari tamat dari penggantungan itu.

Beliau hari ini sekali lagi digantung enam bulan atas dakwaan menghina dewan.

Anwar sendiri juga pernah digantung ketika membangkitkan isu APCO pada penggal parlimen yang lalu.

"Saya masih ingat kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamed ketika menentang Tunku Abdul Rahman mengatakan parlimen digunakan sebagai 'rubber stamp', tiada tindakan diambil.

"Tetapi bila disebabkan Pakatan Raykat ia dikenakan tindakan, kalau orang Umno bising melolong dalam parlimen tidak ada seorang pun dikenakan tindakan.

"Inilah cara perlimen dikendalikan, kita tiada pilihan dan membantah cara ia dikendalikan," kata beliau.

Bawa ke CPA

Sementara itu, Ketua Whip Ahli Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan sesi parlimen yang berakhir pada hari ini dalam keadaan yang sangat memalukan.

"Ini bagi saya suatu yang sangat malang dan boleh menyebabkan orang tidak menghormati speaker.

"Tindakan ini turut mendorong ahli-ahli parlimen terus mengkritik keputusan speaker yang tidak menghormati peraturan mesyuarat," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau juga bercadang untuk merujuk tindakan hari ini kepada Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) Cawangan Malaysia dan Persatuan Parlimen Antarabangsa (IPU) berhubung pelanggaran peraturan mesyuarat yang dilakukan.

"kita mahu CPA dan IPU memberi perhatian khusus kepada apa yang berlaku hari ini, supaya setiap negara-negara berparlimen yang mengganggotai persatuan ini menghormati sistem parlimen dan tidak mencemarinya.

"Kita mahu parlimen di Malaysia bebas sepertimana di negara-negara barat, speaker bebas tanpa menyebelahi mana-mana pihak dan bagi saya apa yang berlaku hari ini cukup memalukan serta merupa satu sejarah hitam yang berulang," katanya.

Azilah Hadri ditangkap khalwat

Posted: 19 Jun 2014 05:58 AM PDT

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Seorang daripada tertuduh dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, Cif Inspektor Azilah Hadri, hari ini ditangkap khalwat bersama seorang anggota polis wanita.

Mereka dikatakan ditangkap oleh suami wanita terbabit yang juga seorang anggota polis pada kira-kira pukul 2 pagi di perumahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan khalwat itu.

Katanya, Azilah, anggota Unit Tindakan Khas dan wanita tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor atas pertuduhan khalwat dan polis juga telah membuka kertas siasatan untuk tindakan tatatertib terhadap mereka.

"Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis," katanya.

Isnin ini, Azilah sepatutnya hadir ke Mahkamah Persekutuan bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dan pelepasannya bersama seorang lagi tertuduh dalam kes itu, Koperal Sirul Azhar Umar, 43.

Kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Tiada ulasan: