Isnin, 30 Jun 2014

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Hayati pengertian Ramadan dan persediaannya

Posted: 29 Jun 2014 10:15 PM PDT

RAMADAN muncul lagi. Bulan penuh keberkatan ini hanya muncul setahun sekali. Pastinya bulan
ini amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.

Di dalam bulan Ramadan, seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa. Ini diterangkan dengan jelas dalam ayat 183, surah Al-Baqarah yang bermaksud; "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."

Perkara utama yang dituntut bagi seluruh umat Islam yang berpuasa hendaklah meninggalkan makan dan minum serta tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.

Dalam bulan ini umat Islam juga dituntut untuk memperbanyakkan amal ibadah dan bertaubat di atas dosa-dosa yang dilakukan dengan mengisi ruang-ruang yang ada bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.

Ini kerana Ramadan adalah satu-satunya bulan yang memberi peluang keemasan untuk setiap umat Islam meningkatkan ketakwaan diri, menambahkan kesyukuran atas nikmat yang diberikan dan bulan untuk mendapat keampunan dari segala dosa yang dilakukan. Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu memuliakan dan menghayati Ramadan untuk mendapat keberkatannya.

Apatah lagi, setiap saat adalah peluang-peluang yang paling utama untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT. Sebagaimana di dalam satu hadis Nabi SAW. telah bersabda yang bermaksud: " Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun". (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi )

Oleh itu, dengan kesempatan hadirnya Ramadan yang mulia ini sama-samalah kita memberi tumpuan kepada tawaran Allah SWT pada bulan ini bukannya terpengaruh dengan promosi-promosi produk atau barang-barangan tertentu yang dikaitkan dengan Ramadan, walaupun hari ini jika kita pergi mana-mana pasar raya memang sudah ada promosi jualan untuk perayaan hari raya termasuklah jualan murah baju raya, biskut raya dan sebagainya. Bahkan di pasar raya hari ini juga telah berkumandang lagu-lagu raya Apakah ini caranya untuk kita menyambut bulan Ramadan al-Mubarak?

Sepatutnya setiap individu Muslim menyambut ketibaan Ramadan dengan penuh kesyukuran kerana kita berkesempatan menemui bulan kerahmatan, keberkatan dan kemuliaan ini sekali lagi. Pada bulan ini Allah menawarkan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan oleh sesiapa yang berpuasa dengan sempurna. Justeru, ambillah kesempatan di bulan yang mulia ini untuk menambah pahala yang dijamin oleh Allah SWT.

Antaranya, berazamlah untuk menjadikan bulan Ramadan kali ini satu bulan yang terbaik untuk diri kita. Misalnya, kita berazam menjalani ibadah puasa yang tinggi kualitinya. Di samping memperbanyakkan lagi kuantiti kita dengan amalan-amalan sunat seperti solat sunat Terawih, menggandakan lagi tadarus al-Quran, qiamulai, bersedekah, beriktikaf dan sebagainya. Cubalah untuk tekadkan dalam diri merebut semua peluang kebaikan yang ditawarkan dalam bulan Ramadan ini.

Sesungguhnya Ramadan ini juga adalah bulan untuk melatih diri menjadi lebih cermat di dalam setiap perbuatan. Bulan yang menahan lidah dari perkataan yang sia-sia dan merosakkan. Bulan yang memelihara mata dari pemandangan yang jelik dan menjijikkan. Bulan yang menahan telinga dari halwa yang menghayalkan. Dan bulan yang menahan hati dari niat yang serong. Maka peliharalah jasmani dan rohani kita, kerana itu adalah sebaik-baik pelaburan di bulan ini.

Begitu juga untuk kesempurnaan ibadat kita di bulan yang mulia ini dari segi kesihatan perlulah dijaga. Kesihatan tubuh badan yang sempurna sudah tentu menjamin kesempurnaan ibadah puasa kita. Apabila tubuh badan kita sihat ini memudahkan kita melaksanakan segala amalan yang wajib dan yang disunatkan dalam bulan Ramadan ini.

Bagi golongan yang bergantung kepada ubat-ubatan tertentu untuk merawat penyakit, barangkali berpuasa ini mungkin akan menganggu masa pengambilan ubat-ubatan. Golongan sebegini perlulah mendapatkan nasihat doktor masing-masing. Kemungkinan besar beberapa pengubahsuaian waktu pengambilan ubat-ubatan itu boleh dilakukan. Sama ada mengambilnya pada waktu sahur atau selepas berbuka.

Seterusnya, faktor kewangan juga perlu diambil kira. Persediaan dari segi kewangan juga perlu dilakukan. Pada bulan Ramadan ini, kita selalunya akan menyediakan pelbagai juadah untuk berbuka.
Oleh itu, perbelanjaan untuk perkara ini juga perlu diteliti dan dikawal agar tidak melampaui batas. Segala bentuk pembaziran perlulah dielakkan agar keberkatan bulan Ramadan tidak disia-siakan.
Walaupun bazar Ramadan tumbuh bagaikan cendawan kita tidak boleh menjadikan Ramadan sebagai pesta berbelanja sehingga makanan yang dibeli dibuang begitu sahaja. Begitu juga dengan tawaran bufet Ramadan di hotel-hotel juga seharusnya kita berhati-hati agar tidak terdorong untuk berbuka puasa dengan promosi yang dikatakan murah tetapi mahal dan membazir.

Walau bagaimanapun, bagi yang berhasrat untuk berbuka di mana-mana hotel atau premis perniagaan yang menawarkan bufet Ramadan ini, cubalah selidik dahulu sama ada premis perniagaan tersebut mempunyai sijil perakuan dan penandaan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Alangkah ruginya puasa kita seharian apabila kita tidak mengambil berat soal halal dan haram ketika berbuka puasa nanti.

Begitu juga dengan peranan media massa sepatutnya terus-menerus menyebut berkaitan kelebihan dan kemuliaan bulan Ramadan. Ini penting untuk memberi rangsangan dan semangat kepada umat Islam di bulan ini. Di pihak media misalnya, sentiasalah menguar-uarkan ganjaran pahala dan memperbanyakkan bercerita tentang keberkatan bulan yang mulia ini.


Sesungguhnya, alangkah bahagia dan gembiranya bagi umat Islam yang dapat menemui bulan Ramadan untuk kali ini. Di samping berpeluang lagi untuk menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan.

Maka keistimewaan yang ada dalam bulan ini janganlah disia-siakan. Buatlah persediaan sewajarnya untuk menyambut bulan mulia ini. Bermula sejak dari hari pertama kita berpuasa sehinggalah di hari terakhir bulan Ramadan.

Moga-moga di akhir Ramadan nanti, kita akan menjadi seorang Muslim yang lebih mulia di sisi Allah SWT.

* PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Malaysia (IKIM)

Tiada ulasan: