"BERANI KERANA BENAR!" |
- Nikmati kehadiran Ramadan
- Eksploitasi kutipan amal kanak-kanak
- Obama datang ke kampung kami
- Blue Lake: Tasik Dengan Air Paling Jernih Di Dunia
- Tabah hadapi ujian
- 10 Tip Bersihkan Peti Masuk (Inbox) E-mel
- Jemaah umrah dijangka meningkat sempena Ramadan
- Tidur ubat paling mujarab
- Tiada lagi siaran percuma Piala Dunia - Shabery
Posted: 25 Jun 2014 08:29 AM PDT SESUNGGUHNYA sudah menjadi tanggungjawab semua umat muslimin untuk meneruskan amal ibadat masing-masing dalam kehidupan termasuklah setiap kali munculnya bulan barakah, Ramadan al-mubarak. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu mengerjakan puasa sebagaimana yang telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa." Bagaikan menunggu tetamu yang istimewa, Ramadan dinanti-nantikan oleh seluruh umat mukmin di seluruh pelosok dunia. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanya Ramadan, Rasulullah telah mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Bahkan bermula Rejab membawa ke Syaaban, baginda telah mengajar para sahabat sebuah doa bagi mendapatkan keberkatan Syaaban sehingga munculnya Ramadan dalam keadaan yang lebih bersedia. Doa tersebut berbunyi: " Ya Allah berkatilah kami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan." Bersempena dengan kehadiran Ramadan pada tahun ini, elok kiranya kita sama-sama bermuhasabah bagi merenung sejenak sejauh manakah kita bersiap sedia untuk sama-sama menghayati fadilat Ramadan yang mencakupi aspek emosi, jasmani, rohani dan intelek kita sebagai seorang Muslim, khususnya dalam menjalani ibadat puasa. Dalam hal ini cuba kita renungi catatan Imam al-Ghazali yang telah membahagikan tahap puasa orang mukmin melalui tiga tahap tertentu: * Terbaik (khusus al-khusus) - Seseorang Islam yang berjaya mengawal puasanya daripada melakukan segala perkara yang membatalkan puasanya, bukan setakat makan dan minum tetapi mencakupi keseluruhan perbuatan atau tindakan lain yang boleh membatalkan atau mengurangkan pahala puasanya. * Khusus - Seseorang yang berjaya dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi dia masih lagi tidak dapat mencegah diri daripada maksiat batin. * Umum - Seseorang yang berpuasa dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan apa jua perbuatan yang boleh membatalkan puasanya tetapi masih lagi tidak dapat menghindarkan diri daripada melakukan maksiat zahir dan batin. Antara punca-punca yang menyebabkan ramai dalam kalangan umat Islam hari ini masih berada di tahap kedua dan ketiga sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Ghazali adalah disebabkan nilai dan mutu kehidupan seseorang itu sendiri yang masih berada di takuk lama, walaupun menyedari sedang meniti hari-hari dalam bulan yang begitu berkat dalam Islam. Perbuatan seperti terlalu banyak bercampur dengan rakan-rakan yang melebihkan tumpuan dalam hal keduniaan, hanyut dalam kealpaan dan angan-angan, bergantung harap tidak kepada Allah SWT dengan sepenuhnya dan makan serta tidur yang berlebihan. Rasulullah SAW dalam sebuah hadis telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan, Allah akan mengampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim) Dalam sebuah hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama. (riwayat Bukhari) Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dapat kita laksanakan dengan syumul, perkara utama yang harus didahulukan adalah menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini |
Eksploitasi kutipan amal kanak-kanak Posted: 25 Jun 2014 08:25 AM PDT Oleh OTHMAN MUSTAPHA ISU eksploitasi kanak-kanak dalam kegiatan mengutip derma, jualan amal dan sumbangan kebajikan terus mengundang polemik dalam masyarakat. Eksploitasi golongan ini dalam kegiatan tersebut dikatakan melibatkan pelbagai institusi seperti rumah anak yatim, rumah kebajikan, sekolah agama, pusat tahfiz, madrasah dan sebagainya yang bergerak atas nama kebajikan, amal jariah, pembangunan sosial dan juga agama. Isu nasional ini sentiasa menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat malah dilihat belum berkesudahan meskipun tindakan pencegahan dan penguatkuasaan telah dijalankan oleh pihak bertanggungjawab. Lebih ketara lagi, kegiatan ini terus berleluasa tanpa mengira waktu dan tempat termasuklah semasa Ramadan. Mengapakah kegiatan ini masih berlaku sedangkan langkah-langkah tersusun telah diambil dan usaha juga telah digembleng dalam menanganinya? Salah satu faktornya ialah kelicikan dalang terlibat yang sering mengubah modus operandi kegiatan ini bagi mengaburi mata masyarakat dan pihak berkuasa. Jika dulu mereka menghantar kanak-kanak yang nampak penat bagi menarik simpati orang ramai menggunakan van tetapi kini mereka bergerak melalui teksi dan kenderaan persendirian. Kegiatan mengutip derma ini juga dilakukan di pelbagai tempat bukan sahaja di kawasan tumpuan awam seperti di gedung beli-belah, stesen minyak, medan selera dan restoran, hentian rehat dan rawat (R&R), terminal bas, bank, pasar malam malah juga di bangunan pejabat. Umumnya, penglibatan kanak-kanak dalam kegiatan mengutip derma dan jualan amal adalah satu pengeksploitasian terhadap golongan tersebut yang mungkin telah menempuh pelbagai risiko, masalah keluarga, himpitan kemiskinan, kesulitan hidup, diculik atau diperlakukan secara tidak baik. Keadaan ini bertambah buruk apabila ia dipercayai mempunyai kaitan dengan pengeksploitasian agama dan sindiket ajaran salah seperti yang dilaporkan berlaku di Kedah dan Sabah. Mengimbau tragedi kemalangan maut yang berlaku pada 29 Disember 2006 di Kilometer 355.7 Lebuh Raya Utara Selatan turut menimbulkan soal keselamatan dan perlindungan di kalangan remaja dan kanak-kanak yang terlibat. Kejadian tersebut membabitkan lima pelajar Pusat Tahfiz Amal di Kuala Kedah, Kedah, yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke pusat berkenaan menaiki van selepas menjalani latihan perniagaan dan jualan amal di ibu kota. Ini menunjukkan dalang yang berselindung di sebalik kutipan derma dan jualan amal memperjudikan kudrat serta keselamatan remaja dan kanak-kanak terbabit demi mencapai matlamat 'amal' mereka. Menyusuli isu ini, tindakan pragmatik telah diambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui kerjasama strategik inter agensi yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pihak Berkuasa Negeri dengan merangka dan merencana pelan komprehensif menangani isu pengeksploitasian remaja dan kanak-kanak dalam kegiatan tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada. Antara undang-undang yang dirujuk ialah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam di bawah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri selaku pelaksana. Seterusnya. Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) di bawah KDN dan PDRM, selain Akta Pungutan Rumah Ke Rumah Dan Di Jalan 1947 (Akta 200). Jakim sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan berhubung sebuah Pusat Tahfiz Amal yang bernaung di bawah satu ajaran yang telah difatwakan sesat oleh kebanyakan negeri malah turut mewartakannya sebagai bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bukanlah maksud kita cuba menyekat masyarakat berbuat amal jariah malah ia memang dituntut di dalam Islam. Sifat dermawan dan murah hati yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia memang harus dipuji dan diteruskan. Namun saya mengingatkan bahawa niat yang murni jika disalurkan kepada tempat yang salah khususnya mereka yang mengambil kesempatan dan berselindung atas nama agama, mungkin akan menjadi saham dalam menghidup atau menyuburkan aktiviti yang menyalahi akidah dan syariah. Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) mengingatkan masyarakat untuk tidak memberi sokongan kepada Pusat Tahfiz yang menjalankan aktiviti kutipan derma atau apa yang didakwa sebagai 'jualan amal' di mana-mana premis dengan menggunakan kanak-kanak. Ini kerana kebanyakan kegiatan yang dijalankan ini menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada. Kita juga mendapati mereka memanipulasi para pelajar untuk mengutip derma dengan berselindung di sebalik `jualan amal' atas dasar kononnya ia falsafah akademik bagi mempelajari nilai-nilai Islam secara praktikal. Inilah hakikat pembohongan terbesar mereka terhadap agama demi keuntungan peribadi yang mesti kita banteras bersama-sama. Akal yang waras dapat menilai sejauh mana kebenaran kumpulan ini, mana mungkin seorang pengasas sekolah tahfiz mengamalkan hidup sosial sebegitu, menjadi penyanyi dan mengeluarkan album. Justeru, masyarakat harus sedar dan tidak terus berderma kepada pusat amal ini yang kononnya bagi kutipan derma kanak-kanak agar tidak menjadi kelangsungan kepada kumpulan ini. Tindakan oleh pihak berautoriti hanya akan berkesan sekiranya masyarakat bersama-sama tidak menyokong atau menghulurkan bantuan kepada kumpulan ini. Jakim dan pihak berkuasa agama Islam Negeri telah menyediakan Pelan Tindakan Penguatkuasaan Menangani Isu Kutipan Derma Di Kalangan Kanak-kanak. Pelan mengandungi lima teras strategik yang dirangka dengan kerjasama 18 agensi merangkumi kerajaan, badan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi ini bagi membolehkan tindakan bersepadu dan berkesan dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan Negeri. Antara yang terlibat, JAIN, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, PDRM, KDN, KPDNKK, JKM, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Imigresen dan PLUS. Pelan Tindakan Penguatkuasaan Menangani Isu Kutipan Derma di Kalangan Kanak-kanak ini diserahkan kepada semua JAIN pada 10 Jun 2013, untuk dilaksanakan dan Jakim akan memantau perkembangan aspek penguatkuasaannya dari semasa ke semasa. Hasil perbincangan dan usaha bersepadu antara Jakim, JAIN dan bank-bank di Malaysia serta Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia akan mengambil inisiatif dalam memberi sokongan terhadap pelan yang telah dihasilkan. Sedikit masa lagi ia akan menjadi salah satu kempen bagi memastikan tiada pihak memberi sokongan kepada pusat tahfiz atau sesiapa yang menjalankan aktiviti kutipan derma tanpa kebenaran pihak berkuasa khususnya yang mengeksploitasi kanak-kanak. Untuk mengenal pasti kesahihan sesuatu pusat tahfiz ini, orang ramai perlu memastikan sama ada pihak berkaitan iaitu pengutip derma atau pengelola telah mendapat pengesahan dan kebenaran pihak Malis Agama Islam Negeri-negeri. Tanpa kebenaran tersebut, pihak-pihak berkaitan melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta/Ordinan/Enakmen Pentadbiran Islam yang berkuat kuasa di negeri-negeri. Malangnya berdasarkan pemantauan dan tindakan operasi pencegahan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan mendapati kebanyakan individu atau kanak-kanak yang menjalankan aktiviti kutipan derma ini tidak mempunyai kebenaran atau memalsukan dokumen kebenaran tersebut. Sehubungan itu, masyarakat harus berhati-hati dan bersama-sama memberi sokongan terhadap kempen ini. Tanpa pemberian yang berterusan, saya yakin kegiatan tidak sihat ini akan dapat dikurangkan. Dalam konteks ini, peranan dan kerjasama strategik yang boleh dimainkan oleh agensi-agensi lain diperkukuhkan bagi memastikan tindakan dijalankan mengikut strategi jitu, tidak bersifat silo dan menyeluruh. Jakim adalah responsif dalam menangani isu-isu seperti ini berlandaskan tanggungjawab, teras-teras dasar negara serta komited untuk memperluas jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain, pihak swasta dan NGO sebagai penggemblengan usaha dalam mendepani permasalahan dan isu-isu kemasyarakatan atau nasional. Pengukuhan rakan strategik, penyelarasan perundangan bersama, pembentukan kerangka kerjasama sistematik dan strategi lautan biru akan menjadi sebahagian asas usaha meningkatkan keberkesanan Jakim mengatasi isu-isu seperti pengeksploitasian kanak-kanak ini. * PENULIS ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) |
Posted: 25 Jun 2014 08:20 AM PDT TUAN Obama akan melawat kampung kita. Bangga, memang kita kena bangga. Tok Penghulu dapat berita daripada Tuan DO. Kata Tok Penghulu, ini kehendak Tuan Obama. Bertuah kampung kita, kan?" "Tuan Obama? Keturunan mana dia tu? Setahu Ayah Engku, cuma keturunan Raja Jembal yang guna gelar Tuan." "Bukan gitu Ayah Engku, tuan tu ... pembahasaan. Terjemahan dari 'Sir'. Kan, kita sekarang agungkan bahasa Melayu." "Tuan itu besar maknanya Sudir, keramat bangsa. Jangan sesuka hati nak bagi hak kita pada orang. Itu gelar keturunan. Macam Tengku, macam Nik, macam Syed, macam Megat. Boleh kalau kau letak Syed Obama atau Megat Obama?" "Adoiii ... Ayah Engku selalu buat Tengku pening." "Orang muda kena tahan akal jangan mudah pening. Ayah Engku balik dulu, kejap lagi bilal azan Asar, tapi awak fikir-fikirlah apa yang Ayah Engku cakap tu." Pak Engku perli kita. Macam kita tidak tahu apa satu. Rasa terhina sangat-sangat. Rasa macam usaha Tok ini lekeh sahaja di mata dia. Selalunya pembangkang berfikir begitu. "Sudir, orang berjuang mesti kuat. Jangan peduli. Esok, kita mula kerah orang kampung." Balas Tok Penghulu. "Tak ada masalah sikit habuk tapi bajet jangan lupa, Tok. Budak-budak kita, biasalah." "Malam ni, kena mula pasang pelita macam malam tujuh likur. Biar cerah ceraco kampung kita. Aku dah beli pelita, siap dengan minyak gas." "Bukan budaya kita tu ... nanti orang agama kata macam Majusi, sembah api pulak Tok." "Haihhhhh ... mcam-macam kau Sudir. Dahlah, aku beli dah. Pasal mengecat rumah orang kampung, pasal kereta giling yang nak tar jalan kita ni pun, mari esok. Siap sah lirah dah, aku kira." "Tok dan rumah Tok akan terkenal ke seluruh dunia. Hebat!" "Hahaha ... iyalah tu, tapi kau jangan lupa, pokok-pokok tepi jalan kena selia. Mana patut kena tebang, patut tebang kiralah. Kita tak nak kereta Tuan Obama calar. Aku dengar kereta dia dibawa mari dari Amerika nah." "Kalis peluru Tok, tembak tak lut. Kebal. Dari KL ke sini pun dia orang bawa dengan jet. Turun di Pengkalan Cepa. Kapal terbang lain Tok, boleh turun hari tu, Tok." "Mana kau tahu Sudir? Tuan DO tak cakap pun." "Internet Tok, Internet!" Tok Penghulu angguk berkali-kali sebelum menyerahkan dua keping not seratus kepada Sudir. Setelah itu Tok Penghulu bangun dari bangku di kedai kopi Che Ussin yang sejak tadi duduk sama mendengar projek menghias kampung bersama Mat Daud, Meli Pakda Dan, dan dua tiga orang kampung turut bangun. Penghulu Che Man berdiri betul-betul menghadap rumah Tuan Muhammad yang letaknya di muka pong Kampung Nering, kampung mereka. Pagarnya dari kayu bakau. Menurut Ripin Tukang, kasa jantannya dari Bali. Rumah Tuan Muhammad pelik sikit. Macam ada dua rumah. Kata Ripin, satu rumah ibu satu rumah dapur. Pelataran kayu nibung dibuat menghubung kedua-dua rumah. Tiang seri dan tiang-tiang lain semua daripada cengal. Kata Ripin lagi, semuanya kayu lama. Tiang-tiang gemulah tok dia. Pendek kata Tuan Muhammad seorang sajalah yang masih mahu berumah kayu. Mak Wan, orang perempuan Haji Muhammad itu suka bertenun. Di bawah rumah kayu besar mereka, dibuat tempat bertenun. Mak Wan ada dua tiga murid tapi bukan orang tempatan. Ada orang Iban, Jepun, Korea dan ada juga yang dia tidak kenal romannya. Pernah juga dia nampak orang Arab. Kerja Tuan Muhammad? Oh, itu dia tidak tahu. Ada kata dulu Tuan Muhammad kerja di England. Duduk sana sampai pencen. Jadi, dia pun tak tanya lanjut walaupun waktu mula-mula kelik ke mari dulu, dialah orang pertama Tuan Muhammad jemba. Bagitahu nak buat rumah di tanah gemulah Hajah Nik Kelsom, Cik kepada Tuan Muhammad yang dulunya meniaga beras dalam market Pasir Puteh. "Ada masalah kita ni, Tok." Tiba-tiba Sudir bersuara gemas di sebelahnya. "Aku dah agak." "Yalah Tok, dia kata janga n kosek kawasan rumah dia tapi Tok nak semua rumah bercat. Tok kata Tuan DO nak macam tu." "Ni, aku duk fikir. Macam mana nak berkira dengan dia." "Kalau dia berkeras jugak?" Tok Penghulu melangkah meninggalkan Sudir yang masih berdiri di kaki lima kedai kopi Che Ussin. Tok Penghulu masuk ke kereta Proton Preve birunya dan pergi. Sudir kembali duduk di bangku di kedai kopi Che Ussin. Dua tiga rakannya menambah air. Mereka turut memesan makanan. "Aku tau nak buat, jangan karik," janji Faizul kawan Sudir yang sejak dua hari lepas ikut sibuk bersama. Munif angkat ibu jari. Mereka lagakan ketiga-tiga tapak tangan dan siku. Itu cerita tiga hari lepas. Hari ini semua siap. Jalan ke rumah penghulu bertar sudah. Jalan ke masjid juga. Mengikut Pegawai Daerah yang lebih mereka sebut sebagai DO, Tuan Obama mahu melawat masjid baru siap itu. Mereka sepakat, Tuan Obama rasmikan pembukaan masjid baharu. Nanti masjid itu dinamakan Masjid Obama. Mudah-mudahan hati Tuan Obama tergerak peluk Islam. Hidayah itu milik Allah, kata Sudir. Tok Penghulu suka sangat dengan cadangan Sudir. Setuju sahaja dia. DO pun. Obama siap diberitahu. Rumah-rumah tepi jalan bercat. Tiga warna tetapan. Biru lambang harmoni. Merah tanda berani dan kuning membawa makna kita masih ada raja yang jadi tonggak negara berdaulat ini. Jadi pemilihan tiga warna ini kerana kita nak bagitahu Tuan Obama, kita hidup harmoni di bawah pimpinan seorang raja dan kita berani bergerak ke hadapan. Kita tidak boleh diremeh-remehkan oleh sesiapa, kata Sudir. Orang kampung pun pilihlah warna. Lawa sungguh Kampung Nering! "Mengecat rumah batu tak susah." "Tak ada masalah, Tengku buat molek-molek rumah Ayah Engku." "Tengku tolong Sudir," sambut Munif. Faizul mengangguk-angguk. "Ya, Ayah Engku ... kami buat petang ni. Lagipun belah depan yang mengadap jalan saja. Bukan banyak." Tambah Faizul sungguh-sungguh. "Munif, Sudir, Faizul ... awak orang kenal Obama?" "Laaa ... satu dunia kenal dia." "Awak orang tau, dia mari dengan siapa?" "Dia dah macam raja, kan? Raja ada pengiring ... pengawal, kan?" "Setahu Ayah Engku, dia berjalan tak pernah tak ada anjing." "Anjing? Maksud Ayah Engku nanti dia pergi masjid, masuk masjid kita sekali dengan anjing? Tak ... tak mungkin. Dia faham Islam ... " "Kita sembahyang hajat." "Tak nak bagi dia datang?" Tinggi suara Faizul. "Muslihatnya banyak. Yang sikit tu, sabar. Yang rugi kita. Sejarah kita panjang tapi yang pendek pun tak dibaca orang. Tanah ni tanah kita, kenapa kena tunduk lagi?" "Ayah Engku, sekarang orang sebut borderless world. Macam kita buat homestay. Siapa pun boleh datang. Lama mana dia nak duduk, tak ada masalah. Janji bayar." "Faizul, ini soal kedaulatan. Soal maruah." "Huh! Cakap Ayah Engku macam pejuang kemerdekaan dalam teaterlah." "Ini misi pelancongan, kita kena tengok begitu," sambung Munif. Air di cawan tinggal separuh. Tiga anak muda di depannya, lulusan universiti. Dia mengeluh. Kesal. Lama dia tunduk. Dia nampak simen kedai Che Ussin retak beribu di kakinya. Lambat-lambat dia bengah dan bersuara, "Itu luarnya saja. Dalamnya lain. Banyak agenda tu, kita kena halang." "Ayah Engku ... menteri, timbalan menteri, wakil rakyat yang tak kenal kampung kita pun akan datang. Wartawan tak payah ceritalah. Karang yang tersohornya, kampung kita." "Nabi Muhammad ditawarkan bulan dengan matahari tapi dia memilih Islam kerana kita. Kalau baginda berpandangan macam awak semua, tak sampai Islam pada kita hari ni." "Lagi tak faham ni ..." "Malam karang kita pakat solat hajat lepas tu, baca Yassin kat masjid baru." "Tapi belum rasmi, Ayah Engku." Tekan Faizul. "Kita kena buat. Ini maruah agama." "Solat hajat untuk perkara baik tak apa tapi kalau untuk gagalkan rancangan orang, Tengku tak nak." "Satu Malaya dah tau. Dah masuk berita, dah tersebar kat Internet. Apa musibahnya Ayah Engku? Tengku taknak jadi pengacau. Pemberontak." Sujud Malam itu Tuan Muhammad tidak tidur. Tiap kali Mak Wan intai, dia nampak suaminya sujud. Kalau tidak sujud, berdoa. Kalau tidak berdoa, tengah tahhiyat. Kalau bukan tahhiyat sedang takbir. Suaminya memang selalu solat malam. Dari muda. Suaminya itu anak kepada guru Qurannya, Hajah Nik Kelsom yang dia panggil Mak Nik Aji. Kata Mak Nik Aji, Tuan Muhammad berkenankan dia tapi kalau jadi orang perempuan anaknya, dia kena ikut Tuan Muhammad ke England sebab Tuan Muhammad kerja dengan syarikat orang putih selepas habis mengaji di sana. England? Naik kapal laut macam orang pergi haji? Sudah ada kapal terbang, kata Mak Nik Aji. Lagipun Tuan Muhammad baik. Dia akan jaga Wan Anum molek-molek. Tuan Muhammad itu bagus agamanya macam gemulah moyangnya Haji Mat Hassan bin Munas juga. Ikut cerita Mak Nik Aji, moyang Tuan Muhammad pernah lawan orang putih sampai mati kena gantung songsang. Diarak ke Padang Bank Kota Bharu dari Pasir Puteh. Dituduh derhaka. Semangat dia dengar cerita itu. Kemudian banyak lagi cerita-cerita sakit yang dia dengar dari gemulah Mak Nik Aji. Selepas menikah tetaplah di England dan beranak pinak di negeri baginda ratu itu. Lima anaknya mengaji dan kerja di sana tapi semua sudah siap siaga untuk balik. Tidak lama lagi. Esok. "Abang Engku ... mari kelih pagar kita ni!" Ketika Tuan Muhammad tiba, Wan Anum sedang bercekak pinggang di pintu pagar. Wan Anum tunjukkan pagar kayu gelam telah bertukar merah. Tuan Muhammad menggeleng beberapa kali sambil tarik tangan Wan Anumnya. Dikepit bawah ketiak. Waktu Wan Anumnya cuba bersuara, Tuan Muhammad pekup mulut Wan Anum. "Orang buat kerja ni, nak capai objektif hidup. Dah capai karang, diamlah. Siap digeger, katanya Obama sampai pukul sepuluh. Sambut mari dengan pulut semangat, bunga telur, budak-budak cerdong yang nak jadi pawai ambe tengok duk buat raptai semalam. Silat ada, rebana ubi ada. Ada belaka." "Amboi ... masa Obama di masjid tu, sambut dengan ngaji Quran? Internet pun dah tak boleh akses sejak kemarin. Eh ... kalau takut sangat, tak payah datang." Tuan Muhammad cuma diam sambil angkat kening tinggi-tinggi. Dia tahu, isterinya tidak boleh dilawan. Banyaklah bebelnya. Lepas Dhuha. Tok Penghulu Che Man alias Enche' Karman bin Mamat, Sudir, Faizul, Munif dan Che Ussin serta orang kampung semua ada. Berbaju Melayu segak bersamping. Budak-budak sekolah memegang bunga telur. Setiap orang satu. Lambang Melayu, kata Sudir. Pemain gendang dan pemukul rebana ubi pun siaga sudah. Paling sibuk Tok Penghululah. Tidak kurang Sudir dan kawan-kawan. Ke hulu ke hilir dengan motor meneliti itu ini. Matahari mulai tinggi. Para pelajar kelihatan bergerak ke depan ke belakang. Orang-orang kampung pun sudah banyak kali berdiri duduk. Baju yang elok berkedut-kedut malah berjeruk basah dek peluh. Ada cari tisu, ada cari sapu tangan. Sekejap nampak Tok Penghulu menelefon. Sekejap memasukkan ke poket. Sudir lagi kepoh. Tiba-tiba lima Mercedes menjalar datang. Berhenti betul-betul depan rumah Haji Tuan Muhammad. Lima orang lelaki keluar dan lima orang perempuan berserta beberapa anak muda. Remaja dan kanak-kanak. Mereka meluru dan memeluk Haji Tuan Muhammad dan Wan Anum yang ikut berbaris di tepi jalan kampung mereka. Ketika itu semua mata tertumpu kepada momen dramatik yang kelihatan bagaikan klimaks itu. Sudirlah yang paling terkejut dan serba salah. Dia berlari ke arah Tok Penghulu. Mereka berbisik-bisik. "Ayah Engku, Tengku tak tahu siapa tamu-tamu Ayah Engku ni, tapi Tengku nak mintak tolong tamu Ayah Engku bawak masuk kereta ke halaman. Sebentar lagi Tuan Obama sampai. Tolong ya ..." "Obama datang?" "Ya, Tuan Obama akan sampai sebentar lagi, encik." Sudir menjawab pertanyaan salah seorang pemuda yang baru sampai. "Eh, awak tak tahu Obama tak jadi datang?" "Tak jadi? Tak mungkin. Banyak dah duit kami habis. Mana awak tahu Tuan Obama tak jadi datang? Awak siapa?" "Saya Tuan Awang." "Saya Tuan Arjuna." "Saya Tuan Aduka." "Saya Tuan Khalid." "Semua ni, anak Ayah Engku. Ini Tuan Mat Hassan, yang sulung. Namanya sempena nama moyang kami. Mereka semua balik untuk tanah Mat Hassan bin Munas." Jawab Tuan Muhammad sambil memeluk seorang lelaki dalam lingkungan lima puluhan yang berjanggut rapi. Haji Muhammad kemudian melambai-lambai tangan ke halaman besar mereka. Anak-anaknya kembali ke kereta dan sesetengahnya pula berderai-derai berjalan ke halaman hijau nan luas itu. Mak Wan bukan main lebar senyumnya. |
Blue Lake: Tasik Dengan Air Paling Jernih Di Dunia Posted: 25 Jun 2014 08:14 AM PDT Planet kita mempunyai banyak tempat-tempat yang indah, khazanah, dan bersejarah. Tetapi, salah satu keajaiban yang sebenar ialah tempat yang mempunyai air yang paling jernih. Ia membawa rasa yang luar biasa apabila bersantai dan berasa seperti berasa di tempat yang suci serta memberi rasa keghairahan kepada mana-mana pengunjung. Sudah tentu, terdapat banyak tempat di dunia dengan tasik dan sungai yang mempunyai air yang jernih di sekeliling mereka. Tetapi, tempat yang mempunyai keadaan air paling jernih dan jelas hingga ke dasar adalah Blue Lake di New Zealand. Ia mempunyai penglihatan yang jelas sehingga pada kedalaman 80 meter iaitu sebanyak sedalam 262 kaki. Bagi anda yang nak menikmati imej mengesankan permata semula jadi tersebut, meh usha kat bawah ni.. |
Posted: 25 Jun 2014 08:09 AM PDT Jika dilihat senarai pelakon-pelakon kerdil tempatan, boleh dikatakan hampir semua yang bergelar veteran telah meninggalkan kita dengan kenangan mereka melalui filem dan drama. Nama seperti Allahyarham Ibrahim Pendek, Allahyarham Pak Jamal, Allahyarham Amran Kenit dan mendiang Param antara golongan kerdil yang berbakat besar dalam menghiasi dunia seni tempatan. Sekitar tahun 70-an dan 80-an, nama mereka meniti di bibir peminat industri hiburan tempatan dan kini yang masih tinggal untuk berkongsi pengalaman ketika ini ialah Kamal Pendek. Sebelum ini, pihak media ada melaporkan yang dia perlu menjalani pembedahan untuk memulihkan tulang belakangnya yang bengkok selepas terjatuh ketika bekerja di sebuah hotel. Alhamdulillah, pembedahan itu berjaya dilakukan. Namun, baru-baru ini ada yang memberitahu bahawa kelibat Kamal Pendek sering dilihat di Hospital Kuala Lumpur. Rasa ingin tahu tentang perkhabaran terbaharu tentang dirinya, Mega menghubunginya untuk bersua muka dan benar apa yang diberitahu bahawa Kamal Pendek atau nama sebenarnya Nurul Kamal Mohamad Zainuddin, 62, kini sedang menjalani rawatan di HKL. Pertemuan diatur di restoran Haslam, Jalan Pahang, Kuala Lumpur, berdekatan dengan tempat tinggal sementara Kamal Pendek di Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM). Sekitar pukul 2 petang, semasa menuju dari tempat letak kereta ke Restoran Haslam, terlihat tubuh kecil Kamal Kerdil sedang duduk minum teh tarik di ruang kaki lima restoran Haslam. Keadaan fizikalnya yang lain daripada manusia normal menyebabkan dia mudah untuk dilihat oleh sesiapa sekalipun. Mungkin berasa panas dan tidak selesa dengan lokasinya itu, dia beralih untuk duduk di tempat yang lebih terlindung. Dipautnya tongkat untuk dia turun daripada kerusi sambil dibantu pekerja Restoran Haslam. Langkahnya perlahan, terhincut-hincut. Rata-rata mata pengunjung semua fokus kepadanya. Semua ini diperhatikan Mega sebelum sampai ke lokasi pertemuan. Selepas memperkenalkan diri kepada Kamal Pendek, tangan dihulur untuk bersalam. Sejuk tangannya ketika itu. Lalu, kami berbual sedikit tentang media dan industri hiburan kini. Dia mengakui, sudah ramai wartawan yang tidak kenalinya. Selepas berbual-bual sekitar 15 minit, terus ditanya perkembangannya terkini. "Tidak ada apa yang boleh saya ceritakan tentang kehidupan terbaharu saya. Tiada apa-apa melainkan kehidupan derita menanggung sakit," katanya sambil termenung.Jelas terpapar diwajahnya, sebuah senyuman yang cuba dipaksa. Tanggung derita Mengingati semula detik dugaan pada dirinya, jelas Kamal Pendek, ketika dia bekerja sebagai seorang juruteknik di sebuah hotel, dia telah terjatuh dan ketika itu, kesakitan itu tidak lagi terasa. "Masa jatuh tak rasa sakit apa pun. Cuma selepas seminggu kejadian baru terasa. Badan jadi letih, tangan jadi kebas. Bila dah jadi macam itu, saya balik kampung jumpa adik dan dia suruh saya berjumpa doktor. "Bila doktor periksa, memang saya ada masalah pada tulang belakang yang telah bengkok selepas insiden terjatuh itu. Urat-urat saraf saya dah terhimpit dan itu yang buat saya sakit," jelasnya. Tambah Kamal Pendek, dia bersyukur kerana pembedahan yang menelan belanja sebanyak RM26,000 itu berjaya dilakukan. "Sekarang ini, tulang belakang saya dah pulih. Tapi dengan sokongan besi la. Ada 14 besi di belakang badan saya ini. Tujuh sebelah kiri dan kanan. "Tapi itulah, selesai tulang belakang, timbul pula derita baharu melibatkan masalah pada tulang leher. Doktor kata perkara ini memang boleh terjadi cuma sebelum ini tidak diketahui. "Itu pun lepas saya beritahu yang saya sakit dan bila doktor periksa, dia beritahu yang urat saraf saya di leher sudah sempit kesan daripada masalah pada tulang leher. Itu yang tangan saya rasa sejuk dan kebas," jelasnya. Menambah bicaranya, jelas Kamal Pendek, Khamis minggu lalu dia bertemu dengan doktor pakar dan pembedahan perlu dilakukan pada bulan Oktober depan. "Kalau boleh saya hendak bedah cepat tapi bilik pembedahan sentiasa penuh. Itu yang diatur bulan Oktober. Lagipun salah satu sebab ialah kerana faktor duit. Pembedahan kali ini mungkin melibatkan kos sebanyak RM20,000," ujarnya. Ditanya tentang deritanya, jelas Kamal Pendek, kesakitan pada tulang tengkuk itu memberi rasa tidak selesa pada dirinya terutama pada waktu malam. "Memang tak tahan. Tangan dan badan saya ini kadang-kadang rasa sejuk, kadang-kadang rasa panas. Kulit saya di bahagian leher mengelupas dan jadi merah sebab panaslah. "Mata saya berair. Memang sakitlah rasanya. Kalau malam memang rasa susah nak tidur. Awal-awal tu rasa badan panas, tetapi sekitar pukul 2 hingga 3 pagi, tiba-tiba rasa sejuk pula sampai menggigil. "Tapi apa saya boleh buat? Tahan jelah derita macam ini sementara nak menunggu bulan 10 nanti. Sekarang ini saya sedang usahakan untuk cari duit. Tabahkan hati sahaja sekarang ini," katanya. Tambahnya lagi, doktor ada memberitahu yang pembedahan ini terpaksa dilakukan dan jika tidak, kesannya akan menjadikan Kamal Pendek lumpuh. Begitulah derita yang ditanggung insan istimewa ini. Hidupnya kini bergantung kepada wang pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Socso hasil kerja terakhirnya di hotel, itupun hanya RM700 sebulan. Namun, disebalik kesukaran dan deritanya itu, masih lagi dia kuat dalam mengharunginya. Selagi tulang empat kerat itu masih boleh diguna, akan dikerah dirinya untuk menempuh ujian kehidupan. |
10 Tip Bersihkan Peti Masuk (Inbox) E-mel Posted: 25 Jun 2014 08:03 AM PDT Semua perkhidmatan e-mel memiliki peraturan, penapis dan sistem label yang membolehkan anda secara automatik mengerakkan e-mel masuk secara teratur. Beberapa kaedah juga perlu dipraktikkan supaya tetapan ini sentiasa bergerak dengan lancar. a) Pindahkan e-mel yang penting atau pun tidak penting ke dalam folder sendiri b) Serlahkan atau tetapkan keutamaan bagi alamat e-mel tertentu. c) Tapis dengan perkataan spam yang biasa masuk dalam e-mel anda. d) Tandakan jika ada e-mel-e-mel penting yang akan sentiasa dikemas kini. 2. Pastikan ia mudah Banyak pengguna yang merumitkan e-mel mereka dengan mewujudkan puluhan folder yang berlainan bagi membantu menyusun e-mel mereka. Kadang kala, anda perlu memastikan ia mudah dan tidak terlalu berlebihan sehingga membuatkan anda tercari-cari dan pening dengan kewujudan berpuluh-puluh folder yang diwujudkan oleh diri sendiri. Apa kata lebih baik anda cuba membuatkannya lebih mudah? 3. Jangan takut untuk padam Selepas membaca e-mel, anda perlu terus memberikan respons dalam jangka masa yang singkat. Jika anda masih teragak-agak dan malas untuk membaca e-mel tersebut, ia menjadi salah satu faktor yang akan membuatkan ia akan terabai begitu sahaja. Ambil cara mudah, jangan takut untuk memadam atau mengambil tindakan terhadap sesuatu e-mel. Jika merasakan ia tidak perlu, padam. 4. Sentiasa membalas e-mel dengan cepat dan pendek Bagai sesetengah e-mel yang memerlukan balasan anda, cuba untuk membalas dengan cepat dan pendek kerana anda tidak perlu menghabiskan terlalu banyak masa terhadap e-mel individu. Ini mengelakkan pengirim menunggu lama atau kemasukan banyak e-mel lain tanpa anda sedari pada satu-satu masa. 5. Berhenti melanggan surat berita dan matikan notifikasi Walaupun anda memiliki niat yang baik untuk mendapatkan berita terkini melalui surat berita, jika ia terlalu banyak ia akan menyemakkan dan mengganggu e-mel lain yang lebih penting. Selain itu, begitu juga dengan notifikasi daripada laman rangkaian sosial anda seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Matikan semua notifikasi kerana inilah sebenarnya yang mengusutkan e-mel anda tanpa kawalan. 6. Simpan tapi jangan terlalu banyak Cuba untuk membaca e-mel anda sekurang-kurangnya sekali setiap hari atau pada setiap jam bergantung pada jumlah e-mel yang anda terima. Walau bagaimanapun, jangan simpan e-mel anda yang dirasakan tidak perlu. Buat jadual untuk memeriksa e-mel anda dalam jangka masa yang tetap dan abaikan masa-masa lain. Jika anda mempunyai notifikasi tentang e-mel yang baru masuk, matikan kerana ia akan lebih bersifat melarikan fokus anda. 7. Jangan balas spam Sesetengah akaun e-mel pasti tidak akan terlepas daripada penyelinapan e-mel spam walaupun pelbagai perlindungan telah anda lakukan. Tetapi, jangan sesekali membalas e-mel spam kerana ia akan mengundang bala. 8. E-mel anda bukan kalendar atau senarai tugasan Kebanyakan pengguna hari ini tersalah anggapan dengan menganggap peti e-mel mereka seperti kalendar dan pengingat tugasan yang perlu dilakukan. Akibatnya, peti masuk e-mel akan penuh dengan perkara yang sia-sia. Ada program atau perisian lain yang berasingan atau pun dokumen teks yang boleh dijadikan sebagai kalendar atau senarai tugasan. 9. Balasan automatik, FAQ dan jawapan terkumpul Jika anda mendapati kerap kali mendapat e-mel yang bertanyakan soalan berkaitan sesuatu yang sama berulang kali, anda boleh memikirkan untuk menggunakan perisian yang dapat memberikan balasan secara automatik kepada pengirim e-mel tersebut. Selain daripada memberikan jawapan yang lebih tepat, ia juga membantu anda membalas sesuatu e-mel dengan lebih pantas. 10. Prihatin dengan e-mel penting Jika anda sememangnya tahu bahawa banyak e-mel penting yang sering kali masuk dalam peti masuk anda, simpan e-mel tersebut dengan lebih cermat. E-mel penting terutamanya berkaitan kerja, urusan perbankan yang penting serta sebagainya perlu diuruskan dengan bijak supaya anda bebas untuk membersihkan peti masuk tanpa ragu-ragu lagi. |
Jemaah umrah dijangka meningkat sempena Ramadan Posted: 25 Jun 2014 07:57 AM PDT MEKAH - Jumlah umat Islam yang akan melakukan ibadah umrah dijangka meningkat dengan kedatangan bulan Ramadan. Arab News melaporkan, statistik terkini mendedahkan bahawa jumlah jemaah yang memasuki Kota Mekah telah mencecah 5.3 juta sehingga Ahad lalu. Kementerian Kesihatan Arab Saudi dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya akan terus bersiap sedia untuk musim umrah kali ini dengan melancarkan kempen kesihatan besar-besaran untuk menyedarkan rakyat, peniaga, pelawat dan jemaah terhadap penyakit Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV). Portal berita Saudi Gazette melaporkan bahawa, pihak kementerian mengambil sikap dengan memberi kesedaran dalam kalangan jemaah umrah mengenai langkah berjaga-jaga dan pencegahan untuk mengelakkan dijangkiti MERS-CoV. Kementerian turut menegaskan mengenai kepentingan mengambil vaksin yang sepatutnya diambil oleh jemaah bagi melindungi diri. Tambahnya lagi, kementerian juga sedang memantau keadaan kesihatan jemaah umrah yang masuk di kedua-dua kota suci Mekah dan Madinah dari hari ketibaan mereka sehingga meninggalkan negara ini. Sementara itu, Kementerian Haji turut mengesahkan bahawa setakat ini tiada jemaah umrah yang dijangkiti MERS-CoV. Kementerian Haji juga menjangkakan lebih jemaah umrah akan tiba sempena bulan Ramadan bermula minggu ini. |
Posted: 25 Jun 2014 07:54 AM PDT Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH TIDUR bola, makan bola, mandi bola, apa pun bola. Bermulanya Piala Dunia 2014 menandakan kehangatan demam bola kepada jutaan peminat sukan berkenaan di seluruh negara. Sudah pasti dalam tempoh tinggal hampir tiga minggu inilah 'kaki-kaki bola' ini akan bersengkang mata untuk menyaksikan perlawanan pasukan pilihan mereka yang kebanyakannya berlangsung pada awal pagi. Di Suzhou, China baru-baru ini menyaksikan seorang peminat bola sepak mati dipercayai akibat kurang tidur selepas berjaga beberapa malam untuk menonton siaran langsung Piala Dunia. Lelaki yang berusia 25 tahun itu ditemui mati di hadapan televisyen di rumahnya di Suzhou berhampiran Shanghai. Perbezaan waktu antara Suzhou dan Brazil ialah 11 jam. Ini bermakna peminat bola sepak di China perlu berjaga sepanjang malam untuk mengikuti perlawanan Piala Dunia, lapor laman web Yahoo Sports. Doktor memberitahu, kematian itu berkaitan dengan kurangnya tidur. Menurut Perunding dan Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr. Raymond Tan Suan Kuo, tidur ialah merehatkan badan dan minda beberapa jam pada waktu malam ketika sistem saraf tidak aktif, mata ditutup dan otot postur berehat. Bagaimana jika keadaan sebaliknya berlaku apabila kita kurang atau tidak tidur? Sudah tentu seseorang yang kurang tidur boleh menyebabkan memori terganggu dan keletihan bahkan mampu membawa kepada risiko-risiko buruk yang lain. Sebenarnya, masalah ini dapat di atasi jika anda tidur seketika pada waktu siang. Pun begitu, masih ramai menganggap bahawa tidur seketika pada waktu siang merupakan sifat orang yang malas. Tidak kurang juga yang beranggapan bahawa rutin tidur sebegini mengganggu kesihatan. Tidak ramai yang mengetahui bahawa tidur seketika dapat menyegarkan semula badan dan minda yang juga dipanggil sebagai power nap. Amalan ini telah dipraktikkan oleh masyarakat di negara-negara Barat dan umat Islam sejak dahulu. |
Tiada lagi siaran percuma Piala Dunia - Shabery Posted: 25 Jun 2014 07:44 AM PDT PUTRAJAYA - Rakyat perlu bersedia menerima hakikat bahawa mereka mungkin tidak akan berpeluang menonton kejohanan bola sepak Piala Dunia secara percuma pada masa hadapan. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana kos mendapatkan hak siaran eksklusif kejohanan tersebut meningkat setiap kali penganjurannya, selaras dengan perubahan kecanggihan teknologi produksi yang digunakan. Beliau berkata, pada tahun ini sahaja, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah membelanjakan RM20 juta untuk mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2014. "Saya menjangkakan kos mendapatkan hak penyiaran pasti akan terus meningkat, mungkin kepada RM40 juta hingga RM50 juta pada masa akan datang," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pra pelancaran sambutan Kemerdekaan ke57 di sini semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan rakyat berhubung ketidakseragaman penyiaran perlawanan di beberapa saluran televisyen. Pada masa sama, Ahmad Shabery berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa keputusan berhubung penyiaran semua perlawanan Piala Dunia bergantung kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). "Kita kena faham sukan sudah menjadi mahal kerana ini merupakan sebuah industri besar, dulu kita anggap sukan untuk dapatkan pingat dan menjaga kesihatan sahaja. "Oleh itu, industri besar ini perlu dilindungi oleh pihak yang mengasaskannya, dalam konteks ini ialah FIFA," katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, bukan semua negara menyediakan siaran perlawanan Piala Dunia secara percuma kepada rakyat masing-masing. Beliau memberi contoh Singapura dan Britain yang menetapkan penduduk negara berkenaan perlu membuat pembayaran untuk menonton perlawanan kejohanan tersebut. "Paling banyak pun mereka hanya boleh melihat sedikit sedutan-sedutan perlawanan sahaja, tetapi di Malaysia masih beruntung kerana dapat lihat sebahagian secara percuma melalui RTM," katanya. |
You are subscribed to email updates from BERANI KERANA BENAR To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan