Ahad, 22 Jun 2014

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Wajah ketika sihat remaja OKU yang ditemui di Nilai tersebar

Posted: 22 Jun 2014 08:50 AM PDT


Gambar awal remaja lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dijumpai dikurung seorang diri di Nilai awal pagi Sabtu, hangat diperkatakan di media sosial.

Gambar itu tersebar dipercayai diambil dari akaun Facebook milik ibu kandungnya. Gambar yang bertarikh 18 Mac 2012 itu jelas menunjukkan wajah remaja OKU yang bernama Muhammad Firdaus Dullah, 15, lebih berisi dan terurus.

Berbeza dengan keadaannya pada Sabtu, yang ditemui dalam keadaan menyayat hati serta kurus sehingga menampakkan benjolan tulang.


Turut trending, adalah wajah sebenar ibu kepada Muhammad Firdaus yang dikenali sebagai Lola, 40.

Orang ramai juga mengutuk tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan Lola, yang mengurung Muhammad Firdaus seorang diri di bilik yang dipenuhi najis dan sisa makanan.

Ramai pihak turut meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan penemuan tersebut dan menyeru agar Lola dikenakan tindakan. Muhammad Firdaus yang menghidap penyakit 'cerebral palsy' itu tanpa sengaja ditemui di sebuah unit Rumah Pangsa Taman Semarak, Nilai ketika Jabatan Imigresen melakukan operasi menangkap pendatang tanpa izin (Operasi 6P).

Mangsa ketika itu didapati berada di dalam keadaan yang amat menyedihkan dengan keadaan fizikal yang lemah dan tidak bermaya.

Sebaik dijumpai, dia dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk pemeriksaan.

Sementara itu, menurut laporan Harian Metro pada Ahad, ibu remaja itu yang kini isteri kedua berkata, dia bukan meninggalkan anak sulungnya itu tanpa jagaan dan tidak diberi makan, sebaliknya dia mendakwa meninggalkan makanan dalam bekas polisterin sebelum ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 "Apabila orang lihat keadaan dia, semua orang salahkan saya, tetapi adakah mereka mahu menjaganya sepanjang ketiadaan saya di rumah. Tiada siapa yang sanggup menjaganya kerana dia cacat," katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Firdaus adalah anak sulung hasil perkongsian hidup Lola dengan bekas suaminya berusia 53 tahun dan berpisah sejak 14 tahun lalu sebelum berkahwin lain pada 2004 dan dikurniakan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun.

Lola dilaporkan berasal dari Sabah dan difahamkan kes tersebut dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

~ AstroAwani

Selepas khalwat, Azilah disiasat kerana tumbuk Polis pula

Posted: 22 Jun 2014 07:33 AM PDT

Bekas komando polis yang didakwa membunuh Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 lalu kini berhadapan dengan masalah sekali lagi, sebelum ini ditangkap khalwat dengan wanita yang sudah berkahwin dan kini didakwa menumbuk seorang anggota polis pula.

Kejadian berlaku di Balai Polis Sepang malam Khamis lepas selepas beliau ditahan kerana berkhalwat dan dibawa ke balai polis itu.

Ia berlaku dalam keadaan tangannya bergari ketika rakan kepada suami wanita itu datang mahu membantu tangkapan tersebut.

Bekas komando itu menumbuk muka anggota polis itu sehingga berdarah hidungnya dan cedera ringan pada bibirnya.

Ketua polis Sepang, Superintendent Mohd Yusoff Awang berkata kertas siasatan dibuka terhadap suspek di bawah Seksyen 323 Kod Penal kerana menyebabkan cedera tanpa senjata selepas laporan oleh polis yang menjadi mangsanya.

Ketika menjelaskan perkara itu, Mohd Yusof berkata, berlaku kekecohan selepas bekas komando itu ditangkap kerana khalwat.

"Polis yang cedera itu adalah jiran wanita itu. Dia datang untuk membantu. Berlaku salah faham dan berakhir dengan kecederaan," kata Mohd Yusoff.

Difahamkan satu kenyataan direkodkan daripada pengadu tentang apa yang berlaku semasa insiden tersebut, namun tiada kenyataan direkod daripada bekas komando itu. 

"Kami akan panggil dia untuk membuat kenyataan tidak lama lagi," kata Mohd Yusoff.

Bekas komando itu yang sebelum ini bersama Skuad Tindakan Khas di Bukit Aman, ditangkap khalwat bersama wanita sudah berkahwin di dalam unit apartmennya di Ibu Pejabat Polis Sepang oleh suaminya pada 1.20am.

Suami wanita tersebut, seorang anggota polis bersama unit peronda, pergi ke unit mereka untuk memeriksa keadaan isterinya dan syak sesuatu tidak kena apabila mendapati pintu terkunci.

Selepas memeriksa lagi, dia menjumpai bekas komando itu bersembunyi di sebelah katil.

Kes ini dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan seterusnya.

Satu fail disiplin juga dibuka terhadap wanita tersebut, yang juga polis, sementara bekas komando tersebut disiasat di bawah kesalahan menumbuk polis. 

Dia juga bakal disiasat oleh Jais untuk dakwaan khalwat.

Mohd Yusoff enggan mengesahkan jika lelaki yang ditangkap tersebut adalah lelaki yang sama disabitkan untuk kes pembunuhan Altantuya dan dibebaskan atas rayuan.

"Saya belum jumpanya. Saya tidak tahu bagaimana rupanya jadi saya tidak boleh beritahu," katanya. 

Bagaimanapun, laporan polis yang dibuat tertulis namanya sebagai Azilah Hadri, nama yang sama seperti Ketua Inspektor Azilah Hadri yang merupakan salah satu daripada dua komando yang dibebaskan pada Ogos tahun lepas selepas sabit kesalahan mereka bagi pembunuhan Altantuya dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan.

 Seorang lagi komando tersebut adalah Korporal Sirul Azhar Umar.

Kebetulannya, lelaki yang ditahan tersebut juda merupakan seorang bekas polis bersama Skuad Tindakan Khas Bukit Aman, unit yang sama di mana Azilah bertugas sebelum penahannya pada 2006.

Azilah dan Sirul didakwa dan disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 2009 untuk pembunuhan Altantuya, 28, di sebuah hutan simpan di Shah Alam pada Oktober 2006.

Kedua-duanya bersama Skuad Tindakan Khas Bukit Aman dan di bawah pasukan sekuriti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada masa itu, Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan.

Pada Isnin, Mahkamah Persekutuan akan menjalankan prosiding dua kes berprofil tinggi, dan salah satu daripadanya adalah rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan dua anggota polis skuad tindakan khas, Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar atas dakwaan membunuh warganegara Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Mahkamah Rayuan pada Ogos lepas membebaskan Azilah dan Sirul Azhar atas dakwaan bunuh tersebut selepas sebulat suara meluluskan rayuan mereka, dan membatalkan sabit kesalahan serta hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah kerana membunuh Altantuya. 

Mahkamah Rayuan, dalam penjelasan penghakiman 47 mukasurat itu menegaskan bukti keterangan mengikut keadaan dikemukakan oleh pihak pendakwa tidak mencukupi untuk mensabitkan mereka bersalah.

Pihak pendakwa memfailkan rayuan mereka pada 3 Januari tahun ini, dengan 6 sebab mengapa Mahkamah Rayuan berpanel 3 hakim itu adalah salah di sisi undang berserta bukti untuk menghalang dua polis tersebut mengelak hukuman mati. Pendengaran kes tersebut akan berlangsung esok.


~ The Malaysian Insider

Kenapa Remaja OKU ditemui terbiar dan kurus?.. Ini penjelasan ibunya...

Posted: 21 Jun 2014 10:02 PM PDT


"Semua orang salahkan saya dan tuding jari ke arah saya menuduh saya tidak tahu menjaga anak dengan baik, tetapi mereka tidak tahu kesempitan hidup dan kesengsaraan yang saya alami.

"Saya sayangkan anak saya tetapi saya perlu bekerja dan menyara kehidupan dia, saya dan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun," kata ibu remaja orang kelainan upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam sebuah bilik di Flat Semarak, Taman Semarak Fasa 2 di Nilai, semalam.


Remaja malang itu, Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemui Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman dalam operasi 6P bersepadu di kawasan flat berkenaan selepas melakukan pemeriksaan di rumah itu.

Ibu remaja itu yang kini isteri kedua dan mahu dikenali sebagai Lola, 40, berkata, dia bukan meninggalkan anak sulungnya yang menghidap penyakit celebral palsy itu tanpa jagaan dan tidak diberi makan, sebaliknya dia mendakwa meninggalkan makanan dalam bekas polisterin sebelum ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, waktu kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia tiada masa menguruskan Muhammad Firdaus dengan baik dan mahu anak lelakinya itu berdikari.

"Apabila orang lihat keadaan dia, semua orang salahkan saya, tetapi adakah mereka mahu menjaganya sepanjang ketiadaan saya di rumah. Tiada siapa yang sanggup menjaganya kerana dia cacat," katanya sedih ketika tampil di pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad, di sini, semalam.

Dia yang berasal dari Sabah berkata, Muhammad Firdaus adalah anak sulung hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya berusia 53 tahun dan berpisah sejak 14 tahun lalu sebelum berkahwin lain pada 2004 dan dikurniakan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun.

Menurutnya, sejak berpisah dengan bekas suami yang berasal dari Tawau, Sabah, dia tidak lagi berhubung dan tidak tahu di mana bekas suaminya itu tinggal dan bekerja.

"Saya tidak pernah mendaftar anak saya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak tahu caranya dan terpaksa meninggalkannya sendirian kerana bekerja mencari wang," katanya.

Apabila ditanya mengenai nasib anaknya selepas ini, Lola berkata, dia sudah membuat keputusan untuk menyerahkan anaknya itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bukan saya tidak sayangkan dia, sebab saya sayangkan dia saya membuat keputusan itu. Saya fikir apa akan jadi pada Muhammad Firdaus jika saya mati nanti. Ajal maut di tangan Allah SWT, saya tidak tahu jadi saya perlu bersedia," katanya.

~ myMetro

Pemilihan dua cabang PKR batal kerana politik wang..

Posted: 21 Jun 2014 09:01 PM PDT


Kontroversi pemilihan PKR Perak bagi tahun 2014 semakin panas apabila parti itu mengesahkan dua lagi cabang parti di Perak dibatalkan keputusan pemilihan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dua minggu lalu.

Pengerusi PKR Negeri Perak, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, dua cabang parti yang disahkan dibatalkan keputusan adalah PKR Cabang Bagan Serai dan Cabang Tambun.

Menurutnya, JPP memutuskan keputusan pemilihan PKR kedua-dua cabang dibatalkan serta-merta setelah mendapati berlakunya salah laku membabitkan politik wang sewaktu pemilihan sedang dijalankan.

"Setakat ini, PKR Perak masih tidak dimaklumkan mengenai keputusan tarikh dan lokasi proses pemilihan semula membabitkan PKR cabang Bagan Serai, manakala proses pemilihan semula PKR Cabang Tambun hari ini (semalam).

"Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan pemilihan semula PKR Cabang Bagan Serai akan dilaksanakan selewat-lewatnya sebelum penghujung bulan Jun ini," katanya sewaktu dihubungi semalam.

Ditanya sama ada lebih banyak pembatalan keputusan cabang PKR di Perak akan berlaku di Perak, Muhammad Nur enggan mengulas lanjut dan menegaskan segala keputusan di tangan JPP.

"Saya enggan ulas lanjut kerana tidak mahu melangkaui JPP. Saya turut minta media tulis yang ini sahaja," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua PKR Cabang Bagan Serai, Md Nasib Rahim ketika dihubungi memaklumkan tidak mengetahui keputusan JPP membatalkan pemilihan PKR cabang Bagan Serai yang diadakan pada 4 Mei lalu.

Menurutnya, sehingga kini, Ketua PKR Cabang Bagan Serai yang baharu, Sharif Sarjono memaklumkan kepadanya masih belum menerima sebarang surat pembatalan keputusan pemilihan daripada JPP.

"PKR Cabang Tambun sememangnya sudah dimaklumkan mengenai proses pemilihan semula cabang itu diadakan hari ini (semalam).

"Namun, PKR Cabang Bagan Serai masih belum menerima sebarang hitam putih mengenai pembatalan keputusan pemilihan cabang ini sebelum ini," katanya.

Md Nasib turut menggesa JPP bersikap telus dan tidak sekadar membuat keputusan yang dipengaruhi pihak tertentu.

Sinar Harian pada 6 Mei lalu melaporkan kejayaan Ketua PKR Cabang Bagan Serai yang baharu, Sharif Sarjono menewaskan bekas pemangku Ketua PKR cabang itu, Munawir Mahmuddan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang, Azroul Shahrin Amir Hussin dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua PKR cabang itu.

PKR Cabang Bagan Serai sememangnya tidak asing daripada kontroversi apabila hampir 70 peratus ahli PKR cabang itu mengugut memboikot pemilihan dan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR itu sekiranya lokasi pengundian di Hotel Kelisa, Bagan Serai dikekalkan, seminggu sebelum pemilihan berlangsung.

~ Sinar Harian

ADUN Bukit Assek Meninggal Dunia

Posted: 21 Jun 2014 09:36 AM PDT


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Bukit Assek, Wong Ho Leng disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.50 malam Sabtu akibat kanser.

Perkara itu disahkan oleh Ibu Pejabat DAP Kebangsaan sebentar tadi. Terdahulu, The Star melaporkan Hong Leng yang sedang menjalani rawatan tumor otak berada dalam keadaan koma di Pusat Perubatan Rejang di Sibu, Sarawak.

Isteri beliau, Irene Chang turut mengadakan sidang media untuk memaklumkan mengenai keadaan Hong Leng.

Pada Januari tahun lalu, Hong Leng mengumumkan beliau disahkan menghidap tumor otak.

Bagaimanapun, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan berdasarkan rekod sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 20 Jun 2011.

Ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK hanya boleh diadakan tidak kurang dari tiga tahun dari tarikh pembentukan kerajaan negeri lapor mStar

Tiada ulasan: