Khamis, 19 Jun 2014

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Kampung Chubadak: PERKASA sedih dengan tindakan DBKL..

Posted: 19 Jun 2014 12:14 AM PDT


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan penempatan penduduk Kampung Chubadak Dalam, Sentul Ahad lalu sebagai 'berani sesama bangsa sendiri'.

Ketua Wiranya, Irwan Fahmi Ideris berkata, sikap pengecut DBKL bertindak tidak adil kepada penduduk Melayu di situ, adalah suatu perbuatan yang memalukan sebagai agensi penguatkuasa kerajaan tempatan.

Katanya, beliau tidak mempertikaikan penguatkuasaan DBKL dalam merangka perancangan bandar raya itu, tetapi mereka seharusnya perlu bijaksana menangani kes yang melibatkan penempatan haram atau setinggan.

"Memang penempatan itu dibina secara haram sejak lebih 40 tahun lalu, tetapi pegawai DBKL yang rata-rata berkelulusan tinggi, perlu berhemah menangani masalah ini.

"Mereka boleh ajak penduduk berbincang, cari jalan penyelesaian. Apabila sudah capai kata sepakat, barulah DBKL boleh merobohkan penempatan itu dan penduduk pula mencari tempat tinggal sementara," katanya.

Tetapi menurut Irwan Fahmi, DBKL langsung tidak menggunakan kebijaksanaan, melainkan penduduk di situ diberi notis supaya mengosongkan rumah masing-masing pada Oktober tahun lalu dengan alasan kawasan itu akan dimajukan.

Kata beliau, walaupun penduduk diberi pampasan, namun jumlahnya dikatakan tidak setimpal untuk mereka membiayai kos menyewa rumah baru.

"Sedangkan syarikat yang mendapat kontrak untuk memajukan kawasan Chubadak Dalam itu dikatakan agak sombong dan angkuh apabila mendabik dada kononnya mereka mempunyai banyak projek besar di luar negara.

"Saya sedih kerana DBKL sanggup mengagungkan syarikat yang sombong ini dan pada masa sama menafikan hak orang Melayu yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya. - MalaysiaGazette

Mahasiswi UM diusir keluar dari Dewan Peperiksaan kerana berpurdah..

Posted: 18 Jun 2014 05:30 PM PDT


Semalam, seorang siswi daripada Akademi Pengajian Melayu telah diarahkan keluar daripada dewan peperiksaan ketika peperiksaan berlangsung, untuk menanggalkan purdah yang dipakainya.

Pihak Hewi PMIUM melihat tindakan daripada seksyen Peperiksaan ini telah menafikan hak beliau untuk mengamalkan hak dalam beragama serta telah mengaibkan peribadi siswi tersebut.

Jika pemakaian purdah dilarang dengan alasan undang-undang UM tidak membenarkan, mengapakah larangan berkenaan hal ini tidak pernah dinyatakan secara jelas serta penguatkuasaan berkenaan larangan ini tidak juga dimaklumkan kepada mahasiswa UM sendiri?

Pihak seksyen peperiksaan juga dianggap mengenakan tindakan berbentuk "double-standard", apabila hanya siswi tersebut yang dikenakan tindakan sedemikian (diminta keluar dari dewan peperiksaan untuk membuka purdah), sedangkan rata-rata siswi lain yang juga berpurdah tidak pula dikenakan tindakan yang sama jika ia benar-benar melanggar peraturan universiti.

Lebih menghairankan, lebih ramai mahasiswa yang berpakaian menjolok mata di dalam kampus serta terang-terangan melanggar peraturan pemakaian pelajar tidak pula dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak berwajib.

Pihak Hewi PMIUM menuntut agar pihak pentadbiran UM dapat menjelaskan kepada mahasiswa berkenaan isu pemakaian purdah di dalam kampus.

Jika benar ia dilarang, di mana hitam putihnya dan apakah justifikasi larangannya? Kami juga menuntut agar penguatkuasaan dan tindakan tegas dikenakan kepada mahasiswa yang menyalahi etika berpakaian di dalam kampus seperti yang termaktub di dalam peraturan universiti.

Kenyataan di atas dikeluarkan oleh Sobiroh Puzi, Pengerusi Hal Ehwal Mahasiswi, Persatuan Mahasisa Islam Universiti Malaya di SINI

Manakala berikut pula adalah kenyataan oleh mangsa sikap double standard UM, Zulaikha Adam

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Status 'purdah' saya bukanlah untuk menjatuhkan mana-mana pihak mahupun mengaut perhatian besar. Saya sudah lali, bercerita tentang realiti hidup yang saya alami di FB saban hari, dengan tujuan perkongsian. Mana yang elok, ambil. Mana yang tidak elok, tinggal. Tiada niat juga untuk saya meletakkan mereka yang tidak menutup aurat pada status yang rendah, kerana siapa saya untuk menjadi juri. Kalau boleh tidak ingin diperbesarkan, tetapi eloklah menjadi pengajaran.

Malam ini, saya koreksi diri. Bukan saya ingin membuka identiti purdah saya untuk menunjukkan saya ini baik tetapi saya sedang berusaha ke arah itu. Saya memegang purdah sebagai SUNAT dan itu pilihan. Dan tidak setiap masa juga saya mampu mengenakan purdah, lagi pula saya masih baru dalam lindungan fabrik ini.

Tetapi apa yang mengecewakan, apabila saya perhatikan undang-undang manusia yang semakin jauh dari Islam. Berilah 100 rasional, kenapa purdah tidak dibenarkan dalam universiti? Barulah saya akan akur, bahawa purdah ini memudaratkan. Tapi ternyata tidak bukan? Apakah yang dididik dalam Islam itu memudaratkan? Bukankan purdah itu tujuannya untuk melindungi? Terutamanya untuk perempuan.

Lebih terkilan, apabila saya terkenang pelajar-pelajar lain yang berada di sekeliling saya yang masih belum mampu menutup aurat dengan sempurna. Mereka tenang berlegar-legar dalam zon bebas "buka aurat", kenapa mereka tidak dikenakan tindakan? Ada yang berambut merah, ada yang berseluar pendek, mini skirt dan lain-lain. Dalam hal ini, bukan saya mempertikaikan kenapa mereka tidak menutup aurat? Tetapi kenapa mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang sedangkan setiap universiti ada kod etika dan pemakaian tersendiri. Kenapa yang memakai purdah sehelai ini yang mati-matian ditegah?

Jujur, yang membuat saya agak marah tadi bukan kerana tidak dibenarkan memakai purdah di dalam dewan peperiksaan, tapi kerana pengawas peperiksaan tadi seolah-olah mencabar hak saya untuk berpakaian apabila saya 'bertegas untuk tidak buka'. Bila berbicara tentang HAK, itu terpulang pada manusia itu sendiri untuk menentukan. Kenapa harus kakak tadi begitu takut dengan ketua pengawas yang cuma manusia itu?

Saya terfikir, dalam tempoh sesingkat tadi untuk melawan terus. Buktikan mana hitam putih purdah tidak dibenarkan, dan alasan musabab purdah tidak dibolehkan? Kalau dengan alasan PENYAMARAN, itu cukup dangkal dan boleh disangkal. Saya sudi menyelak sekejap purdah, tetapi jangan disuruh untuk buka terus. Akhirnya saya tetap akur dan menghormati ratusan pelajar lain yang sedang menjawab peperiksaan. Akur, tetapi kecewa.

PURDAH. Itu tidak melambangkan baik atau tidaknya seseorang. Jangan kerana seseorang wanita itu berpurdah, dia sudah cukup baik. Tidak semestinya! Sebaliknya, purdah digunakan sebagai perlindungan dan pertahanan dari dosa dan maksiat. Sekali lagi, bukan kerana baik atau tidaknya seseorang.

Namun, jika adanya undang-undang manusia yang jahil seperti ini, sampai bila-bila pun lah tiada orang yang berpeluang untuk menjadi baik. Kerana lebih takut. Dengan undang-udang manusia, bukan dengan undang-undang Tuhan.

Wallau'alam.

Sekian.

FaceBook beliau di SINI

Jadi inilah yang dimaksudkan oleh Menteri bahawa Malaysia bukan negara sekular?.. Berpurdah tak boleh tapi berpakaian seksi boleh?

Malaysia sekular atau tidak? Tunku Abdul Rahman ada jawapannya!

Posted: 18 Jun 2014 03:00 PM PDT


Perbahasan serta perdebatan sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular semakin memuncak pada 16 Jun, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberitahu seorang ahli parlimen bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular.

Persoalan "negara sekular ataupun tidak" telah berada di tengah-tengah perbahasan yang berterusan sama ada hudud boleh dilaksanakan di Malaysia.

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan memberitahu theantdaily bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam, hanya kerana Islam adalah agama persekutuan.

"Sistem kerajaan di Malaysia adalah berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Walaupun Islam adalah agama negara ini, ia tidak bermakna bahawa ia adalah sebuah negara Islam.

"Ia adalah sebuah negara sekular yang mempunyai unsur-unsur Islam sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan agama persekutuannya adalah Islam," katanya.

Ragunath berkata sebuah negara Islam bermakna semua undang-undang di negara ini adalah berdasarkan Islam.

"Kita telah menjadi ahli OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) selama beberapa tahun tetapi itu tidak bermakna bahawa kita merupakan sebuah negara Islam. Sebuah negara Islam bermakna bahawa semua undang-undang yang mentadbir negara, termasuk sistem keadilan jenayah, adalah berasaskan Islam," katanya.

Jamil Khir dilaporkan berhujah yang Malaysia bukan sebuah negara sekular berdasarkan fakta bahawa negara ini ditubuhkan berdasarkan kerajaan kesultanan Melayu Islam, di mana sultan adalah ketua agama Islam di negeri mereka masing-masing.

"Ini diperkukuhkan lagi oleh Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, walaupun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana di dalam persekutuan ini," kata Jamil Khir dalam jawapan bertulis kepada ahli parlimen, Oscar Ling (DAP-Sibu) .

Menteri itu membentangkan lima hujah bagi pendirian kerajaan persekutuan yang berdasarkan undang-undang tertinggi di negara ini, termasuk Perkara 11 (4) yang meliputi larangan terhadap penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang Islam di bawah undang-undang negeri atau persekutuan.

Turut dipetik oleh beliau adalah fasal 1A Perkara 121 yang tidak memasukkan bidang kuasa mahkamah sivil ke atas mana-mana kuasa di dalam bidang kuasa mahkamah Syariah, dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan undang-undang Syariah yang mentadbir penganut agama Islam.

Jamil Khir juga menamakan Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi ikrar oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan Islam pada setiap masa, dan juga Perkara 12 (2) yang membenarkan kerajaan samada persekutuan atau negeri untuk menubuhkan atau memberi bantuan dana kepada institusi Islam dan pendidikan Islam.

"Oleh itu kedudukan ini berbeza dengan negara-negara sekular yang belum memiliki agama rasmi, tetapi membenarkan rakyat mereka untuk mengamalkan agama mereka sendiri. Agama mereka adalah berasingan dan sulit," katanya.

Kenyataan beliau mendorong Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh untuk mengatakan bahawa Mahkamah Persekutuan hendaklah menjadi pihak berkuasa yang berhak untuk menentukan jika negara ini adalah sekular, dengan mengatakan bahawa Agong mempunyai kuasa untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan pendapatnya mengenai persoalan kesan mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai anggota Parlimen, saya dengan rasa rendah diri menyeru Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan menggunakan kuasa baginda di bawah Perkara 130, untuk merujuk perkara ini kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan pendapatnya sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular ataupun tidak," Gobind dipetik sebagai berkata.

Tetapi mungkin cara terbaik adalah untuk melihat niat dan tujuan di sebalik pembentukan negara, dan tiada yang lebih baik dari merujuk kepada Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.

Malaysian Insider telah merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri pertama negara itu di Parlimen pada 1 Mei 1958, di mana beliau berkata: "Saya ingin menjelaskan bahawa negara ini bukan sebuah negara Islam seperti yang difahami secara umumnya; kita hanya menyatakan bahawa Islam hendaklah menjadi agama rasmi negara."

Sebuah artikel berita juga melaporkan ucapan Tunku pada 8 Februari 1983 sewaktu sambutan ulang tahun beliau yang ke-80, di mana beliau berkata: "Negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum dengan pelbagai kepercayaan. Malaysia mesti kekal sebagai sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi. "

Bukankah ini sudah cukup jelas?


~ The Ant Daily

Tiada ulasan: