Ahad, 15 Jun 2014

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Kenapa hanya Blogger yang makan Cadbury tapi Pegawai JAKIM enggan?.. Tak yakin ke?

Posted: 15 Jun 2014 05:56 AM PDT


Awal June lalu bagi membuktikan status halal yang dikeluarkan oleh JAKIM terhadap coklat Cadbury benar-benar meyakinkan, pegawai jabatan itu dilaporkan sedia pada bila-bila masa untuk membuat demonstrasi memakan coklat tersebut.

Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Mohd Amri Abdullah berkata pihaknya berpegang kepada keputusan yang telah mereka keluarkan dan tidak ada masalah untuk pihaknya membuktikan kepada orang ramai bahawa coklat Cadbury adalah halal.

"Sebagaimana yang disebutkan bahawa status Cadbury yang diputuskan adalah halal. Kalau diminta kami makan coklat Cadbury kami yakin bahawa apa yang diberikan status pensijilan itu adalah halal sepenuhnya.

Tetapi hari ini bila Satu majlis makan coklat Cadbury diadakan bagi mempertahankan status halal produk berkenaan yang dianjurkan oleh portal myKMU (Kelab Macai Umno) dengan kerjasama portal SuaraTV dan Ikatan Aktivis Siber Malaysia (IKAS) lain pulak  jadinya..

Dalam program yang diberi nama 'Sijil Halal Malaysia Dan Kontroversi Cadbury: Satu Perspektif' yang bermula jam 1.30 petang di Wisma Nusantara, ibu negara itu hanya Blogger macai yang menelannya..

Tetapi Pegawai JAKIM yang hadir enggan menjamahnya malah beredar dari situ dan  membiarkan Blogger-blogger macai itu menelannya.

Kalau setakat blogger-blogger pro UMNO itu saja yang menelannya adakah ianya akan menyakinkan majoriti rakyat?

Adakah Pegawai JAKIM sendiri tidak yakin dengan status halal Cadbury yang mereka sendiri iktiraf?

Jika mereka sendiri tidak yakin bagaimana mereka boleh yakin yang rakyat akan yakin dengan jaminan mereka?

"Tidak ada sebab untuk umat Islam di negara ini meragui kualiti sijil Halal Malaysia yang telah melalui proses yang ketat dan teliti di pelbagai peringkat.

"Sebagai pengguna Islam, kami percaya dan yakin dengan keputusan status Halal oleh Jakim selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil tersebut."

Itulah pengakuan yang disuarakan Presiden Ikatan Aktivis Siber Malaysia (IKAS), Md. Faisal Ahmad yang mempertahankan JAKIM ekoran isu coklat Cadbury yang didakwa sebelum ini mengandungi DNA babi.

Md. Faisal berkata, pengguna harus mempercayai sepenuhnya keputusan status halal yang dikeluarkan JAKIM selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil itu.

"Sebagai pengguna Islam, kami percaya dan yakin dengan keputusan tersebut kerana JAKIM tidak akan mengkhianati amanah dan kepercayaan yang diberikan khususnya kepada umat Islam," katanya.

Menurutnya, kaedah ujian dan pensijilan halal oleh JAKIM mencukupi untuk mengesahkan status produk tersebut.

Demi meyakinkan pengguna coklat jenama Cadbury, kumpulan itu yang terdiri daripada blogger dan pemilik akaun media sosial mengadakan sesi demonstrasi makan coklat tersebut secara beramai-ramai di Wisma Nusantara, Jalan Puncak off Jalan P. Ramlee, tengah hari Ahad.

Turut hadir Penolong Pegawai Kanan Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Muhammed Naim Mohd Aziz selaku moderator bagi pihak JAKIM yang memberi penerangan dalam forum bertajuk: "Sijil Halal Malaysia dan Kontroversi Cadbury: Satu Perspektif."

Namun begitu, pegawai berkenaan enggan memberi komen dan menolak untuk bersama dengan kumpulan IASM dalam sesi demonstrasi makan coklat sebelum meninggalkan majlis melalui pintu belakang.

Apabila dihubungi petang tadi, Muhammed Naim memberitahu dia hanya dijemput untuk memberi penerangan dalam forum tersebut dan bukannya datang atas kapasiti menyertai demonstrasi makan coklat Cadbury.

"Untuk menolak sebarang konflik berlaku dari disalah tafsir, saya beri penjelasan dalam forum atas kapasiti jemputan bukan untuk menyertai mereka makan coklat tersebut.

"Saya bukannya melarikan diri tetapi hanya beredar dari situ," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengapa JAKIM tidak turut makan coklat Cadbury itu, Md. Faisal memberitahu pihak JAKIM tidak berhak untuk dipaksa berbuat demikian.

Md. Faisal berkata, penggiat media sosial menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tampil memberi kenyataan mengapa keputusan ujian DNA babi ke atas dua produk coklat Cadbury iaitu 'Cadbury Dairy Milk Roast Almond' dan 'Hazelnut' dibiarkan untuk tempoh tiga bulan.

Jelasnya, isu ini terjadi selepas KKM pada mulanya mengesahkan ada DNA babi awal Febuari lalu, namun membiarkan perkara ini berlarutan sehingga keputusan analisis dikeluarkan pada 5 Mei.

"Kita juga mahu tahu mengapa KKM tidak menjalankan ujian susulan bagi mengesahkan penemuan awal, dan adalah tidak wajar pihak Kementerian tidak membuat sebarang ujian lanjut dan berdiam diri sahaja.

"Tindakan itu bukan sahaja mengaibkan Malaysia sebagai peneraju hab halal yang menyumbang hampir tiga trillion ringgit setahun kepada negara, malah kepada seluruh kakitangan syarikat pengeluar jenama coklat terbesar dunia Cadbury," katanya lapor The Rakyat Post

Kalau setakat macai yang makan jawapannya hanya macai lah yang yakin..

Video berkaitan..

LHDN tekan golongan sederhana tapi beri layanan istimewa kepada yang kaya..

Posted: 15 Jun 2014 03:00 AM PDT


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilihat lebih memberi layanan istimewa kepada hartawan dan syarikat besar berbanding pembayar cukai individu, kata Utusan Malaysia.

Pengarang akhbar milik Umno itu yang menggunakan nama Awang Selamat menerima laporan daripada pembayar cukai individu terhadap sikap pilih kasih LHDN dalam urusan kelewatan membayar cukai.

"Antaranya aduan memohon pengurangan denda kerana terlewat membayar cukai, yang bukan saja tidak dilayan malah tidak dijawab surat rayuan mereka.

"Lain pula ceritanya apabila berurusan dengan seorang bilionair sehingga boleh mendapat 'diskaun' lebih RM100 juta.

"Itu pun melalui ansuran selama 18 bulan, yang rakyat biasa tidak akan menikmati diskaun dan kelonggaran luar biasa itu," katanya melalui akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia.

Bagaimanapun, Awang Selamat berkata, kebenaran dakwaan itu tidak dapat dipastikan namun ia sememangnya hangat diperkatakan.

Katanya, kes berkenaan melibatkan kepentingan umum dan Utusan Malaysia menggesa LHDN tampil memberikan penjelasan.

"Memandangkan ia isu kepentingan awam, LHDN wajar tampil memberi penjelasan termasuk menafikannya jika hal tersebut tidak benar," katanya.

Awang Selamat berkata, jika ketirisan berkenaan tidak ditangani secara serius, Malaysia akan menjadi seperti Mexico yang kehilangan 30% hasil pendapatan akibat penipuan dan mengelak daripada membayar cukai.

"LHDN boleh mengutip lebih banyak hasil jika lebih efisien dan tidak mengira bulu.

"Aneh di Malaysia, tiada jerung besar yang didakwa kerana kesalahan tersebut walaupun gejala itu diketahui berlaku," katanya.

Penulis itu turut memberikan contoh pengerusi Kumpulan Samsung, Lee Kun-hee dari Korea Selatan yang didakwa kerana mengelak membayar cukai.

Pada Julai 2008, Mahkamah Seoul mendapati Lee bersalah kerana mengelak daripada membayar cukai dan dikenakan RM318 juta.

Awang Selamat turut menyentuh isu rasuah di kalangan penjawat awam yang disifatkannya dahsyat dan memalukan.

Katanya, terutama kes yang melibatkan penyeludupan diesel bersubsidi di darat mahupun di laut.

"Di darat, ada pihak bekerjasama dengan sindiket termasuk membocorkan maklumat operasi serbuan. Ini meliputi segelintir petugas sebuah kementerian dan agensi penguatkuasa.

"Siasatan yang dilakukan mendapati ada anggota bawahan memiliki wang dalam akaun berjumlah RM1 juta dan pegawai mempunyai RM40 juta.

"Di laut pula, ada kalangan pegawai agensi yang mengambil 'tol' bagi setiap kapal yang menyeludup diesel. Sebab itu, aktiviti penyeludupan diesel dan penjualannya di pasaran gelap berleluasa," katanya.

Awang Selamat berkata, 'pemenang' dalam isu ini adalah penjual diesel haram dan operator nelayan.

Utusan Malaysia menggesa Putrajaya tampil dengan kaedah baru bagi memastikan diesel bersubsidi diterima golongan sasar.

"Formula lama pengagihan subsidi hanya memperkasakan golongan yang kaya raya, orang asing, dan membiakkan gejala rasuah," katanya ~ The Malaysian Insider

100 hari MH370 hilang.. kini anak Ketua Pramugara menangis lagi...

Posted: 15 Jun 2014 01:00 AM PDT


Hari ini Hari Bapa dan hari ke-100 pesawat MH370 dilaporkan hilang; namun Maira Elizabeth Nari, 18, anak perempuan kepada ketua pramugara Andrew Nari terus dihantui rasa kehilangan dan kekesalan.

"Kami tidak pernah menyambut Hari Bapa. Ayah saya selalu sibuk dengan tugasnya. Tetapi bila kami berpeluang, kami akan membelikannya kek dan sedikit hadiah," kata Maira.

Nari merupakan ketua pramugara Malaysia Airlines (MAS) sejak lebih 20 tahun lalu dan merupakan antara 12 anak kapal MH370 yang hilang secara misteri sejak 8 Mac lalu. Pesawat yang membawa 227 penumpang dan anak kapal itu masih belum ditemui.

"Saya lebih rindukannya sekarang. Air mata lebih mudah mengalir apabila saya fikir saya lebih kuat.

"Sudah 100 hari. Saya sepatutnya lebih tabah bukan? Tetapi setiap kali saya dan keluarga bercakap tentang ayah, kami jadi lemah," kata Maira, anak sulung Nari dan Melanie Antonio yang juga mempunyai adik lelaki, Malcolm, 14.

Maira, pelajar jurusan Komunikasi Massa di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur berkata jadualnya padat namun rasa kosong itu tetap dirasai.

Daripada perasaan itu, Maira lebih kesal yang amat sangat dan tidak dapat dilupakannya. "Saya harap dapat undurkan masa ke malam 7 Mac. Malam di mana ibu dan adik menghantar ayah menaiki pesawat.

"Saya tidak ikut kerana saya baru pulang ke rumah dan masih berasa letih. Saya masih ingat dia berdiri di muka pintu bertanya sama ada saya mahu ikut menghantarnya.

"Ayah mengucapkan selamat tinggal, jaga diri dengan mengukirkan senyuman dan berlalu pergi.

"Saya sepatutnya ikut menghantar ayah. Saya tidak dapat maafkan diri saya kerana mengatakan tidak pada malam itu," katanya.

Kekesalan menghantuinya; kesibukan seharian membuatkannya sedar perkara kecil seperti itu amat penting.

"Saya ambil ringan semua perkara. Bagaimana saya boleh kembalikannya semula?" Selepas pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac, Maira menggunakan Twitter bagi meluahkan perasaannya.

Kiriman tweet kepada bapanya melalui akaun @Gorgxous menarik perhatian dunia. Dia kini mempunyai 101,000 pengikut dan tweetnya dikirim semula lebih 69,000 kali.

Peminat bola sepak Liverpool seluruh dunia turut berasakan kesedihan Maira selepas dia mengirimkan tweet semasa Liverpool menentang Manchester United pada Mac lalu.

"Ayah, Liverpool mendahului. Baliklah menyaksikannya. Ayah tidak pernah terlepas. Ini kali pertama," katanya melalui Twitter.

Menerusi tweet itu, dia menerima jersi Liverpool dengan tandatangan pengurus kelab, Brendan Rogers dan pemain pada 13 April.

Jersi nombor 1 dengan nama Andrew Nari dikelilingi tandatangan pengurus dan pemain kelab itu merupakan inisiatif tiga rakyat Malaysia yang berkunjung ke Anfield bagi menyaksikan perlawanan menentang Tottenham dan berjaya mendapatkan tandatangan berkenaan.

"Saya cuba menjadi lebih kuat dan positif tetapi ada juga ketika saya lemah. Tragedi ini mengubah kami," katanya.

Dia berkata, sikapnya juga sudah tidak seperti dahulu. "Saya biasanya peramah dan periang tetapi ramai kawan kata saya tidak seperti dulu lagi namun mereka tetap bersama saya," katanya.

Masanya yang terluang akan dihabiskan bersama keluarga. "Saya jarang keluar sekarang. Banyak masa dihabiskan bersama ibu dan adik. Saya rindu bila ayah ada bersama dan kami keluar makan bersama," katanya.

Selepas 100 hari, Maira masih merasakan ayahnya ada bersama. "Panggillah saya gila sekali pun. Saya dapat rasakan ayah masih ada namun saya tidak dapat jelaskannya.

"Kita tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka. Kisah ini masih belum berakhir," katanya.

Maira kini menghabiskan masa hujung minggunya ke gereja bersama keluarga dan kemudian makan bersama keluarga anak kapal MH370 yang lain.

"Kami kini satu keluarga besar. Kami menangis dan ketawa bersama," katanya kepada The Malaysian Insider.

Luahan hati Petugas DBKL yang roboh rumah Kampung Chubadak..

Posted: 14 Jun 2014 09:10 PM PDT


Maka menangislah warga-warga emas di Kampung Chubadak, Kuala Lumpur selepas rumah yang didiami sejak lebih 30 tahun dirobohkan tanpa belas.

Rata-rata yang tinggal di situ adalah masyarakat Melayu yang telah pun memohon untuk mendapatkan status hak milik yang kini dikhabarkan sedang dalam proses untuk dikeluarkan.

Melihatkan kesungguhan penduduk mempertahankan hak mereka, rasanya mereka ada bukti sahih permohonan masing-masing memang sedang dalam proses untuk menjadi kenyataan.

Malah mereka juga telah mendapat surat dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 12 Jun 2014 yang menghalang mana-mana pihak daripada menceroboh atau meroboh rumah mereka buat sementara waktu.

Namun apapun alasan yang diberi walau keluar air mata darah sekalipun, jentolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus melakukan kerja merobohkan rumah-rumah di situ.

Semuanya kerana tugas dan mereka bukanlah sengaja datang hendak menghalau penduduk jika tidak ada arahan daripada pihak atasan.

"Kami faham perasaan mereka yang enggan keluar tetapi apa daya kami untuk tidak merobohkan rumah-rumah di situ kerana kami hanya menjalankan tugas sebagai pekerja.

"Kalau kami dipandang benci sekalipun, kami perlu menjalankan tugas yang diarahkan walaupun hakikatnya kami juga ada perasaan tidak sampai hati," kata seorang pekerja DBKL yang enggan namanya disiarkan.

Katanya, setiap kali melihat warga-warga emas di situ merayu dan merintih, hati kecilnya tersentuh tetapi dia melakukannya kerana terpaksa demi tugasan yang dipertanggungjawabkan.

"Saya dan rakan-rakan sekerja dimaki, dicaci sepanjang kami bekerja tetapi kami hanya mendengar. Kami faham apa juga alasan yang kami beri, mereka tidak akan terima.

"Sebenarnya, kalau perkara itu berlaku dalam keluarga saya pun saya tidak boleh terima dan pasti saya akan melakukan perkara sama yang dilakukan oleh mereka.

"Tapi inilah kerja saya dan punca rezeki untuk menyara keluarga. Kalau saya tidak melakukannya, saya akan dikenakan tindakan disiplin atau macam-macam lagi yang pasti akan menjejaskan kerja saya," ujarnya.

Pun begitu katanya, dia mengharapkan apa yang berlaku di Kampung Chubadak akan berakhir dengan sesuatu yang boleh memuaskan hati penduduk di situ.

"Saya hanya orang bawahan yang turut merasakan kesedihan mereka. Jadi, mudah-mudahan, selepas kejadian ini, ada pihak yang akan datang membantu mereka untuk menenangkan keadaan agar kesedihan yang ditanggung dapat diredakan," katanya. - MalaysiaGazette

 

Tiada ulasan: