Isnin, 24 Februari 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Amah Dakwa Disuruh Bersetubuh Sesama Sendiri

Posted: 23 Feb 2014 10:20 PM PST


Sekadar hiasan.
[HM] Jakarta: Isteri seorang pesara pegawai kanan polis Indonesia akan disoal siasat hari ini atas tuduhan menyeksa dan mendera 16 pembantu rumahnya.

Ketua Polis Jawa Barat Inspektor Jeneral Muhamad Iriawan berkata, pihaknya sudah mengumpul kenyataan saksi untuk membolehkan soal siasat dijalankan selepas membawa semua 16 pembantu rumah itu ke ibu pejabat polis Bogor.

Siasatan bermula selepas seorang pembantu rumah Brigadier Jeneral (B) Mangisi Situmorang, Yuliana Leiwer melarikan diri dari kediaman majikannya dan membuat laporan polis mengenai penderaan yang dilakukan isteri Mangisi, Mutiara.Monang ialah bekas Ketua Pusat Penyelidikan dan Pembangunan polis Indonesia.

Pembantu rumah itu berkata, selain penderaan fizikal dan tidak dibayar gaji, mereka juga pernah disuruh bersetubuh sesama sendiri dan diancam tidak diberi makan selama tiga hari jika enggan melakukannya. Seorang pembantu rumah terbabit, Hesti, 26, berkata, dia dipukul, dicakar dan disimbah minyak panas sepanjang bekerja di rumah Mangisi sejak 8 bulan lalu.

Lebih buruk lagi katanya, dia pernah dipaksa bersetubuh dengan pembantu rumah lelaki. - Agensi/24/4/14


Lelaki Tikam Isteri Buat Pembedahan Plastik

Posted: 23 Feb 2014 10:15 PM PST


Margaret
[HM] Sydney: Lelaki warga Lubnan yang menetap di Australia membunuh isterinya selepas wanita itu melakukan pembedahan plastik.

Suspek, George Tannous menikam kepala isterinya dengan gunting sebaik saja isterinya pulang daripada melakukan pembedahan plastik. 

George kemudian menyerah diri kepada polis. 

Stesen Televisyen Lubnan, MTV, melaporkan Margaret baru pulang ke rumah ketika itu dan melihat suaminya menunggu dengan gunting.

"Dia menikam muka dan kepala isterinya dan berkata, 'saya akan jadikan awak cantik,'" lapornya.

Keluarga mangsa memberitahu, George sering memukul Margaret sebelum kejadian kelmarin. 

MTV yang memaparkan kejadian bunuh yang berlaku itu berkata, laporannya menimbulkan kemarahan keluarga mangsa di Lubnan. - Agensi/24/2/14


Pencuri "Bodoh"

Posted: 23 Feb 2014 10:13 PM PST


[HM] London: Dua penjenayah yang memuat naik gambar mereka bersama-sama barang yang mereka curi di Facebook boleh disifatkan sebagai pencuri paling bodoh di Britain.

Kerana tindakan mereka itu menyebabkan mereka tertangkap dan dijatuhkan hukuman penjara, kelmarin.

Jonathan Dougan, 26, dan Matthew Murphy, 23, melarikan motosikal, kereta berprestasi tinggi dan sebotol champagne dari rumah mangsa sepanjang enam bulan. 

Jonathan dan Matthew yang kedua-duanya masih dalam parol kemudiannya bergaya dengan barangan yang mereka curi serta memuat naik hampir 50 gambar ke akaun Facebook mereka.


MATTHEW dan Jonathan bergaya dengan motosikal curi.

Polis berjaya menangkap kedua-duanya hasil laporan seorang mangsa yang melihat keretanya di dalam akaun Facebook seorang daripada lelaki itu.

Mereka yang berasal dari Salford itu dipenjara sembilan tahun empat bulan setiap orang

"Kedua-dua mereka kibni mempunyai banyak masa untuk mengenang kembali kebodohan mereka. 

"Selama berbulan-bulan mereka menjalankan jenayah pecah rumah secara sistematik dan dapat melarikan motosikal serta kereta mewah. 

"Namun akhirnya, mereka tersilap langkah dan kami berharap mereka sedar dan berubah selepas keluar dari penjara nanti," kata sumber polis. - Agensi/24/2/14


Penangan "Pil Kuda dan Sokong Komunis"

Posted: 23 Feb 2014 07:33 PM PST


Presiden PAS Diperintah Bayar RM2 Juta dalam Penghakiman Ingkar

[TMI] Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) diarahkan membayar saman RM2,000,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dalam penghakiman ingkar yang diperolehi oleh Mohd Shamsul bin Mat Amin, calon PKR DUN Bukit Besi, Terengganu.

Selain itu, Abdul Hadi juga diarahkan membayar 5% faedah dari writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.

Ini berikutan kegagalan Abdul Hadi memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul sebelum ini.

Bagaimanapun, Peguam PAS, Asmuni Awi ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu esok.

"Kita menerima perintah itu hari ini dan kita akan failkan permohonan untuk mengenepikan perintah itu esok juga.

"Saya yakin perintah ini boleh diketepikan berdasarkan etika pengurusan kes ini," kata Asmuni kepada The Malaysian Insider.

Abdul Hadi disaman oleh Shamsul ekoran dakwaan Abdul Hadi bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum ke 13 lalu.

Ekoran dakwaan itu, PAS telah meletakkan calonnya di tiga kerudi DUN di Terengganu yang sepatutnya ditandingi oleh PKR.

Ia menghasilkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, PAS dan PKR ditiga DUN Di Terengganu termasuk Bukit Besi yang ditandingi Shamsul.

Sebelum ini, menjelang pilihan raya kecil Kuala Besut, Shamsul meminta Abdul Hadi menarik balik dan memohon maaf berikutan kenyataannya menjelang pilihan raya umum itu kerana orang ramai menganggap beliau yang didakwa Abdul Hadi itu.

"Saya minta (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang, dedahkan siapa yang dia fitnah sebagai pengedar pil kuda dan sokong komunis ketika berceramah di Tebakang, Alor Limbat, ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu," kata Shamsul dalam sidang media itu.

Ekoran kegagalan Abdul Hadi berbuat demikian, beliau telah memfailkan saman itu.

Permohonan saman Shamsul diuruskan oleh Tetuan Vasudevan & Co yang berpangkalan di Kajang, Selangor. – 23 Februari, 2014.


P/s: Kes ini ada kaitan dengan "pengkhianatan" PAS di Kota Damansara semasa PRU13.


Pelaksanaan PBS DITANGGUHKAN – KP Pelajaran

Posted: 23 Feb 2014 06:43 PM PST


[BH] KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ditangguhkan sehingga ia dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS sedang dijalankan dan cadangan penambahbaikan akan dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk keputusan.

"Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Khair berkata, selaras dengan arahan Menteri Pendidikan supaya kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS, KPM mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya supaya dapat mengurangkan bebanan tugas guru.

"Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara yang membabitkan kekerapan guru memasukkan data berkaitan eviden dan pencapaian murid, termasuk juga pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru," katanya.

Dr Khair berkata, di samping memastikan kajian dan penelitiannya dilaksana secara berkesan, KPM juga mengambil beberapa langkah segera bagi menanganinya termasuk menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari ini bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

Beliau berkata, KPM juga akan mengadakan bengkel membabitkan guru termasuk kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap pelaksanaan PBS.
"Bengkel berkenaan akan dilaksanakan pada awal dan pertengahan Februari ini dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam tempoh terdekat.

"Selain itu, pihak KPM akan menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS," katanya.

Sementara itu, bagi menangani isu berbangkit berkaitan PBS dengan segera dan berkesan, KPM akan mewujudkan 'war room' PBS di peringkat KPM.

"Usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem berkenaan secara lebih mudah dan berkesan.

"Semua tindakan berkenaan diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama, mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya," katanya. – 23/2/14



Tiada ulasan: