Selasa, 25 Februari 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


MB Selangor: Syabas gagal bentang jadual agihan air dalam 4 mesyuarat

Posted: 25 Feb 2014 06:19 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER



























Kenyataan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang mendakwa telah menyediakan pelan penjadualan semula bekalan air adalah tidak benar kerana syarikat konsesi air itu gagal membentangkannya dalam empat mesyuarat berasingan, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar).

Menteri Besar Selangor mendakwa perbincangan mengenai cadangan pelaksanaan penjadualan pengagihan air telah dibincangkan bersama wakil Syabas dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Selangor sejak 18 Februari 2014.

"Jawatankuasa berkenaan meminta Syabas membentangkan pelan tersebut dalam mesyuarat pada 20 Februari tetapi Syabas hanya membentangkan kertas cadangan catuan bekalan air.

"Kerajaan Selangor sekali lagi mengarahkan Syabas menyediakan pelan penjadualan pengagihan air untuk dibentangkan pada 21 Februari tetapi Syabas masih gagal dan pada 24 Februari sekali lagi Syabas gagal berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Syabas dalam satu sidang media hari ini mendakwa pelan penjadualan semula bekalan air disediakan sebaik sahaja Khalid mengeluarkan arahan tindakan kecemasan bagi kawasan yang terjejas Jumaat lalu.

Pengarah Eksekutif Teknikal Konsesi Air Syabas V. Subramaniam berkata, bagaimanapun ia hanya diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri (SPAN) semalam.

Khalid berkata menjadikan SPAN sebagai alasan amat tidak masuk akal, mengarut dan tidak boleh diterima kerana perkara ini mustahak dan melibatkan kepentingan rakyat.

Katanya, persetujuan untuk Syabas melaksanakan pelan penjadualan pengagihan air sekiranya pelepasan air mentah daripada empangan dilaksanakan telah pun diberikan oleh kerajaan negeri.

"Kerajaan Negeri terpaksa melaksanakan pengurangan pelepasan air daripada empangan untuk memastikan pengguna tetap menerima bekalan air walaupun berselang seli sehingga akhir Mac ini.

"Kami tegaskan bahawa keadaan pada ketika ini berbeza dengan apa yang berlaku pada Julai 2012 apabila Syabas mengumumkan catuan air di Lembah Klang tanpa mendapat persetujuan kerajaan negeri dan ahli lembaga pengarah Syabas," katanya.

Semalam, Khalid membidas Syabas kerana gagal menyediakan pelan kecemasan berikutan kekurangan air kerana musim kemarau.

Katanya, ekoran kegagalan Syabas menyediakan pelan kecemasan menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan jadual catuan sendiri di mana ia hanya diumumkan pada semalam.

Khalid berkata, langkah catuan air membolehkan bekalan air dapat bertahan selama beberapa hari lagi.

Sementara itu, Syabas berkata, catuan air hanya melibatkan kawasan tertentu seperti di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang di mana kawasan tersebut dibahagikan kepada dua zon.

Pengarah Eksekutif Operasi Syabas, Yusof Saraji, berkata catuan air akan bermula 27 Februari dan akan berterusan sehingga akhir Mac.

“Sibuk mengata Selangor, Negeri Sembilan pun masalah air”

Posted: 25 Feb 2014 06:05 AM PST

Lyn Nasir


masalah_air


KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda (AMK) Negeri Sembilan, Nazree Yusof kerajaan Pusat dan pimpinan BN menghentikan propaganda masalahan gangguan air yang berlaku di Selangor, kerana Negeri Sembilan turut mengalaminya.

"Kerajaan BN sibuk mengata negeri Pakatan Rakyat akan mengalami masalah gangguan air dan sebagainya, tapi sekarang ni jadi pada Negeri Sembilan pula.

"Jadi BN perlu beri bertanggungjawab terhadap krisis air yang berlaku di Negeri Sembilan ni." katanya kepada Keadilandaily.

Menurut Nazri, antara kawasan yang terjejas adalah di Sendayan, Rasah, Mambau dan Seremban sehingga memberi kesan kepada 8,000 isi rumah semenjak Rabu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini melaporkan pihak berkuasa mengambil 13 juta liter air mentah dari Sungai Batang Benar dan 45 juta liter lagi dari Sungai Ulu Muar bagi menampung pengguna di Seremban.

Katanya lagi, rakyat kini mampu menilai tindakan kerajaan yang sebelum ini sering kali menunding jari terhadap negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat dimana Selangor bakal menghadapi gangguan air yang kritikal.

"BN perlu beri penjelasan dan langkah yang sepatutnya perlu diambil untuk pulihkan keadaan di Negeri Sembilan ni.

"Kita akan sedia untuk duduk berbincang dan memberi pendapat, tapi kita nak dengar dulu apa penjelasan dari pihak kerajaan." ujarnya.

Difahamkan negeri dibawah pentadbiran BN seperti Johor mengalami kemerosotan paras air yang mendadak di Empangan Semberong Kiri, Empangan Bekok dan Empangan Machap yang membekalkan air kepada penduduk Kluang, Batu Pahat serta Pontian.

Sementara itu media melaporkan, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi menerima permohonan daripada pihak pengurusan empangan di Johor, Sarawak dan Negeri Sembilan bagi melaksanakan pembenihan awan untuk menghasilkan hujan ekoran cuaca panas ketika ini.

Jentera BN Bengang Muhyiddin Sudah "Iktiraf" Anwar Menang Di Kajang

Posted: 25 Feb 2014 06:00 AM PST

KELAB GREENBOC


Jentera BN semakin tidak bersemangat dengan kenyataan Muhyiddin

 
KAJANG: Nampaknya Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak yakin BN akan menang dalam PRK Kajang pada 23 Mac ini apabila beliau berkata meskipun calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi PRK Kajang, Anwar tidak akan berjaya ke Putrajaya,

Katanya, sekiranya Anwar menang, beliau hanya ADUN di Selangor sedangkan Datuk Seri Najib Tun Razak masih Perdana Menteri.

"Yang menang sekarang BN. Perdana menteri kita Najib. Anwar kalau menang sebagai ADUN. Yang menang di Kajang tidak jadi perdana menteri," katanya ketika berucap di hadapan penyokong Barisan Nasional (BN) dan penduduk setempat di Kajang, Selangor hari ini.

Pemerhati politik menyifatkan kenyataan Muhyiddin ini seolah-olah sudah mengiktiraf kemenangan Anwar walaupun hari pembuangan undi pada 23 Mac masih jauh lagi.

Menurut seorang pemerhati politik yang enggan namanya disebut, kenyataan Muhyiddin itu mengecewakan jentera BN kerana sebagai orang nombor dua dalam BN, beliau sepatutnya memberi kata semangat kepada jentera dan bukannya "negative thinking" dengan mengandaikan Anwar akan menang.

Katanya, Muhyiddin tidak sepatutnya berkata meskipun Anwar Ibrahim menang, seolah-olah beliau mendoakan kemenangan Anwar.

Katanya lagi, Timbalan Perdana Menteri dia hari lepas ditegur kerana mengatakan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun boleh tahan cantik. Ia dianggap sebagai kenyataan sexist.

Pemerhati politik itu mempertikai kenyataan Muhyiddin seolah-olah bercakap seperti bekas Timbalan Perdana Menteri (1986-1993), Tun Ghafar Baba yang suka bercakap merapu.

Katanya, memanglah bila Anwar menang, bukan Anwar jadi Perdana Menteri kerana untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, seseorang itu mestilah ahli parlimen dan bukannya ADUN.

"Apa kena mengena jawatan ADUN Kajang dengan jawatan Perdana Menteri? Ini menunjukkan kebodohan Muhyiddin mengeluarkan kenyataan seperti itu,"
tambahnya.

Beliau mendakwa di Sungai Limau, Muhyiddin dikritik kerana mengeluarkan kenyataan menghina bekas ADUN Sungai Limau, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang dipotong kaki kerana kencing manis.

Katanya, Kesilapan Muhiddin membuat andaian Anwar akan menang menunjukkan beliau tidak yakin dengan jentera MCA.

Sehubungan dengan itu, beliau menempelak BN yang bertanding dalam suasana BN tidak yakin menang.

"Sudah tentu BN menghabiskan masa dan wang dalam PRK Kajang kalau dah tahun BN sukar untuk menang. Lebih baik BN beri laluan kepada calon Bebas, Datuk Zaid Ibrahim menentang Anwar Ibrahim," katanya lagi. -FMT

Anwar menang di Kajang tapi tidak sampai ke Putrajaya, kata Muhyiddin


Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, calon Pakatan Rakyat (PR) itu tidak akan berjaya menerajui Putrajaya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya Anwar menang di Kajang hanyalah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dan Datuk Seri Najib Razak masih perdana menteri.

"Mungkin Selangor sebuah negeri besar dan kaya raya, dia kata kalau dia menang di PRK Kajang ini adalah satu langkah paling dekat untuk sampai Putrajaya. Menang PRK sini tidak sampai ke Putrajaya.

"Yang menang sekarang BN. Perdana menteri kita Najib. Anwar kalau menang sebagai Adun. Yang menang di Kajang tidak jadi perdana menteri," katanya ketika berucap di hadapan penyokong Barisan Nasional (BN) dan penduduk setempat di Kajang, Selangor hari ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun itu, Muhyiddin mengumumkan Datuk Seri Noh Omar sebagai pengarah PRK Kajang BN.

Muhyiddin berkata, hasrat BN untuk bertanding PRK Kajang adalah bagi menyuburkan semangat demokrasi dan menunjukkan parti itu prihatin kepada kehendak rakyat.

Katanya, biar 10 kali calon seumpama Anwar datang sekalipun, BN tetap akan bertanding sebagai alternatif kepada pengundi Kajang untuk tidak terjerat dalam permainan politik PR.

"Maklum balas daripada pelbagai pihak meminta BN menawarkan diri untuk bertanding kerusi DUN Kajang. Kita sebagai sebuah parti yang mendukung semangat demokrasi yang prihatin dengan apa rakyat mahu pastinya akan menawarkan diri.

"Kita bertanding menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya hatta Anwar 10 kali datang pun, BN tetap akan bertanding di Kajang," katanya.

Muhyiddin pada Jumaat mengumumkan Chew yang juga naib presiden MCA sebagai calon BN menentang Anwar dalam PRK Kajang setelah beberapa siri perbincangan diadakan bersama parti komponen BN.

Chew, 50, adalah bekas ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, ketua wanita MCA, timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta senator.

Selepas tiga tahun mendiamkan diri, Chew membuat kemunculan semula apabila memenangi jawatan naib presiden MCA dalam pemilihan parti Disember tahun lalu.

Muhyiddin berkata, pengundi di Kajang sewajarnya bertanyakan kepada Anwar mengapa PRK di kawasan itu perlu diadakan dan Anwar perlu menjadi calon.

Katanya, Anwar bukanlah anak jati kelahiran Selangor tetapi bercita-cita mahu menjadi menteri besar sebagai mana yang dilaporkan media.

"Sepatutnya mereka yang terpilih menjalankan tanggungjawab dan amanah apabila rakyat mengundi mereka. Agak luar biasa yang menawarkan diri mengisi kekosongan adalah Anwar.

"Kalau Anwar menang, saya andaikan satu krisis akan timbul. Bila krisis (Tan Sri Abdul) Khalid dan (Mohammed) Azmin tidak dapat diselesaikan menunjukkan bahawa kelemahan pimpinan Anwar sendiri. Dia ketua umum dan penasihat kepada kerajaan negeri, tak kan dia tak boleh selesai," katanya.

Muhyiddin menyifatkan pengundi Kajang yang mengundi BN pada PRK 23 Mac ini sebagai satu jihad mengelakkan kemungkaran dan perselihan yang negatif.

"Bila BN membuat keputusan menawarkan calon, ia bertujuan menyelamatkan keadaan selepas pilihan raya nanti.

"Ini satu tanggungjawab dan dalam Islam disebut jihad untuk mencari kebaikan, mengelak kemungkaran, jauh daripada perselisihan perkara yang tidak baik. Ini satu kewajipan dan tanggungjawab kita," katanya.
-TMI

ULASAN GB

Sekali lagi Muhyiddin paparkan kelembapan dan kesembapannya yang amat ketara.

Beliau berkata: "sekiranya Anwar menang di Kajang hanyalah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dan Datuk Seri Najib Razak masih perdana menteri."

Agaknya Muhyiddin terlupa bahawa Anwar Ibrahim sudah berada di Parlimen sebagai ahli parlimen Permatang Pauh. Mungkin dah ponteng banyak kali sesi parlimen menyebabkan Muhyiddin terlupa fakta itu.

Sangat bagus jika Muhyiddin gantikan tempat Najib sebagai PM dalamasa yang terdekat ini... lagi cepat UMNO BN ditumbangkan.

Isu balak: PKR lapor SPRM

Posted: 25 Feb 2014 03:34 AM PST


Rafizi Rafizi


PUTRAJAYA - PKR menyerahkan memorandum bukti yang didakwa melibatkan penyelewengan adik kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung pembayaran balak yang melibatkan kerajaan Jepun, hari ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pihaknya menyerahkan bukti keterlibatan ahli perniagaan itu dalam kes rasuah import balak ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Rafizi turut ditemani Adun Batu Lintang, Sarawak, See Chee How hadir ke bangunan SPRM di Putrajaya kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

"Kes yang kita bawa ke SPRM hari ini adalah kes yg telah dibuka dan disiasat sebelum ini, berkaitan pembayaran rasuah kepada syarikat yang dimiliki oleh adik kepada Ketua Menteri Sarawak iaitu Onn Mahmud.

"Onn Mahmud memang secara jelas mempunyai pengaruh yang besar dalam kerajaan walaupun tidak ada apa-apa jawatan sehingga syarikatnya boleh menuntut bayaran yang tinggi terhadap syarikat-syarikat yang telah diberikan hak untuk mengimport balak dari Sarawak ke Jepun," katanya kepada pemberita selepas hampir 20 minit bertemu pegawai SPRM, di sini.

Rafizi menyarankan SPRM agar menjalankan siasatan menyeluruh bagi setiap ahli keluarga Abdul Taib.

"Bagaimana mereka yang tidak ada jawatan dalam kerajaan begitu berpengaruh?

"Ini mesej yang cukup penting kepada SPRM dan juga Abdul Taib serta keluarga," dakwanya lagi.

Menurut See Chee How, kes tersebut perlu disiasat lebih lanjut oleh SPRM bagi menjelaskan perkara berkenaan.

"Kes ini berlaku sekitar 2007-2008. Ada keputusan daripada tribunal cukai yang mengatakan bahawa bayaran itu adalah sah...ditolak cukai. Jadi, kami lihat kes itu secara mendalam.

"Kami dah dapat semua dokumen termasuk keputusan tribunal cukai. Sekarang kami dah tahu bagaimana wang ini dikutip oleh syarikat tersebut," katanya yang pergi ke Jepun untuk bertemu pihak berkaitan kes tersebut.

Tambahnya, SPRM boleh mendapatkan dokumen penuh dari negara-negara terlibat termasuk Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat.

"Jadi, bagaimana mereka mendapat kuasa tersebut saya rasa sudah tentu SPRM kena siasat lebih lanjut soal ini.

"SPRM boleh dapatkan dokumen penuh dari Jepun, malah dari Kanada dan California," katanya.

Jelasnya, dokumen-dokumen tersebut tidak hanya tertumpu kepada seorang ahli keluarga Abdul Taib sahaja.

Dalam pada itu, PKR turut bakal menyerahkan laporan bukti tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.
Artikel Berkaitan

Altantuya: Sebutan kes rayuan Khamis ini

Posted: 25 Feb 2014 03:29 AM PST

Altantuya Shaariibuu Altantuya Shaariibuu


PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan Khamis ini bagi pengurusan kes berhubung rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan dua anggota unit tindakan khas polis daripada pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Pendaftar Izuddin Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan peguam J.Kuldeep Kumar mewakili Cif Insp Azilah Hadri, yang turut menyebut kes itu bagi pihak peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar.

Manoj memberitahu pemberita tarikh pendengaran bagi rayuan pihak pendakwa itu masih belum ditetapkan.

Mengenai isu lain, Kuldeep Kumar menyangkal laporan satu portal berita bahawa Sirul Azhar telah menghilangkan diri selepas dibebaskan daripada pertuduhan itu oleh Mahkamah Rayuan.
"Beliau masih ada di sini," katanya.

Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, disabitkan dan dijatuhi hukuman mati pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Kedua-dua mereka memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan pada 23 Ogos tahun lepas dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan yang membatalkan sabitan mereka.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman 47 muka surat memutuskan keterangan keadaan dikemukakan pihak pendakwa tidak mencukupi untuk mengekalkan dapatan dua anggota polis itu bersalah.

Mahkamah menyatakan kesalahan mereka tidak dibuktikan secara kukuh, "dengan itu mahkamah terpaksa memberi faedah kesangsian".

Pihak pendakwa memfailkan petisyen rayuan pada 3 Januari tahun ini, menyenaraikan enam alasan kenapa panel tiga anggota Hakim Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta untuk membenarkan dua anggota polis itu terlepas hukuman mati.

Sementara itu, pihak pendakwa tidak merayu terhadap pembebasan bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar.

Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober, 2008, memutuskan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak. - Bernama

PRK, lalat khinzir dan masuk gereja

Posted: 25 Feb 2014 03:26 AM PST



Oleh A Kadir Jasin


 CERITA masuk gereja dan babi dekat dengan hati saya. Jadi apabila penceramah Ridhuan Tee Abdullah dilaporkan mengecam perbuatan seorang bakal calon Melayu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang berucap di gereja, saya ingin tumpang sekali.aya katakan "bakal calon" kerana penamaan calon belum diadakan. Antara sekarang dan saat itu, apa pun boleh berlaku.

Menulis dalam akhbar Sinar Harian, Ridhuan mengkritik langkah bakal calon tersebut memasuki gereja Holy Family, Kajang dan berucap. Tee menyifatkan tindakan itu  sebagai "liberal dan keterlaluan". Bakal calon yang dimaksudkan itu ialah Anwar Ibrahim.

Katanya: "Luar biasa! Dahulu orang Melayu usahkan nak masuk gereja atau kuil, lalu sahaja di luar pun kalau boleh, cuba elakkan. Sama seperti jika mereka ke pasar, kalau boleh elak melalui atau memandang daging atau penjual khinzir. Lebih dahsyat lagi, ketika di pasar, ada yang takut 'lalat khinzir' terbang kawasan 'halal' Islam. Begitulah berhati-hatinya orang Melayu terhadap cara hidup mereka."

Saya katakan cerita masuk gereja dan babi dekat dengan hati saya kerana kedua-duanya adalah sebahagian daripada pendewasaan saya.

1. Ketika saya kanak-kanak,  di kampung saya babi peliharaan adalah perkara biasa. Jiran Cina yang berupa penduduk minoriti pelihara babi dan kadang kala babi mereka terlepas keluar kandang dan masuk kampung kami.

2. Babi masuk kampung perkara biasa waktu itu. Kita hambat keluar atau kita biarkan asal tidak merosakkan tanaman atau datang terlalu hampir dengan rumah. Malah nenek saya melakukan kegiatan tukar barang kerana babi. Penternak babi tuai keladi liar yang tumbuh dalam kampungnya untuk makanan haiwan itu. Sebagai ganti mereka memberikannya gula, kopi dan susu.

3. Kalau menunggang basikal dari Tanah Merah (Pendang) ke Kubur Panjang melalui Tobiar, kita akan  melintasi sebuah perkampungan orang Siam. Mereka pun pelihara babi dan babi mereka jinak. Bila kita lalu, babi akan ikut kita, apatah lagi kalau kita membawa buah-buahan atau sayur-sayuran.

4. Tapi orang Melayu jijik dengan daging babi dan sangat ambil berat makanan halal. Tapi ramai tidak peduli sangat kalau makanan halal diperoleh secara haram atau dibeli dengan pendapatan haram macam rasuah. Dua cerita daging babi dan makanan halal adalah:

(a) Seorang buta (tentunya tidak tahu rupa bentuk babi) terambil bungkusan mengandungi daging babi kepunyaan kawan Cinanya. Si isteri celik, tapi tidak pernah tengok dagang babi. Mereka masak dan makan. Tidak jadi apa-apa. Si kawan Cina berasa sangat bersalah dan pergi beritahu yang itu daging babi. Laki bini muntah sampai lembik. Begitulah jijiknya orang Melayu dengan babi.

(b) Seorang Melayu (tentunya Islam) "bergumbira" tiga hari dua malam di Haadyai dengan "temannya" berkurung dalam bilik hotel. Hari ketiga lapar dan turun cari makan. Pertanyaan pertamanya: "Halal ke ayam ni?" Maksudnya disembelih ikut cara Islam.

5. Mengenai masuk gereja pula, kalau itulah interpretasi Tee, saya lagi teruk daripada bakal calon yang Tee kritik itu kerana:

(a) Saya masuk gereja ketika bersekolah selama lapan tahun di Sekolah Rendah dan Menengah Saint Michael di Alor Setar. Bukan masuk gereja untuk sembahyang Kristian, tetapi berlindung daripada bahang panas musim kemarau. Saya juga masuk gereja untuk ziarah kenalan Kristian yang mati.

 (b) Ketika belajar kewartawanan di New Zealand, saya tinggal seminggu di rumah seorang paderi Gereja Anglican. Di rumah beliaulah saya belajar mengenai "grace" atau doa sebelum makan berbunyi: Bless, O Father, Thy gifts to our use and us to Thy service; for Christ's sake. Amen.

Jadi apalah salahnya bakal calon masuk berucap dalam gereja atau melawat kuil. Perdana Menteri kita, Mohd Najib Abdul Razak pun buat masa perayaan agama-agama bukan Islam siap dengan pakaian sekali. Inilah 1Malaysia. Wallahuaklam.

NOTA KAKI: Hari ini, 25 Feb, 2013 genaplah lapan tahun usia blog kita. Terima kasih kepada pelawat, pembahas dan "followers". - http://kadirjasin.blogspot.com/

Bagaimana kalau pengundi BN pulau PRK Kajang?

Posted: 25 Feb 2014 03:20 AM PST


Oleh Subky Latif


Justeru marahnya pemimpin Barisan Nasional dari semua parti kepada apa yang dikatakan permainan politik peribadi Anwar Ibrahim dalam politik PRK Kajang, maka mungkin penyertaan mereka dalam PRK  dilihat sebagai orang yang dipermainkan oleh Anwar.

Penyertaan itu kira-kira mereka masuk dalam perangkap Anwar dan seperti dialatkan oleh Anwar.
   
Bagi mengelakkan supaya Anwar tidak menang percuma dan tidak mahu BN khususnya Umno dikira kalah sebelum bertanding, maka itulah mereka terpaksa letak calon.
  
Pemimpn BN tiada pilihan. Sekalipun mereka benci pada Anwar dan pura-pura benci dengan PRK sedemikian justeru membazir wang kerajaan yang juga wang rakyat, mereka terpaksa bertanding walaupun mereka tahu mereka diperolok oleh Anwar.
   
Tetapi penyokong dan pengundi tetap BN tidak semestinya ikut pemimpin-pemimpinnya yang diperangkap oleh apa yang dikatakan permainan politik peribadi Anwar itu. Para pemimpin terpaksa juga bertanding kerana tidak mahu malu dan tidak mahu dilihat malu.
   
Maka penyokongnya boleh bertindak lain dari yang dibuat oleh pemimpin dengan tidak turun mengundi. Jika mereka mengundi, mereka masuk perangkap Anwar sedang mereka bencikan Anwar serba serbi.
    
Jika betul tak mahu diperalat Anwar, biarkan saja dia berpolitik seorang diri. Mungkin yang tinggi marahnya kepada Anwar tidak mahu mengundi. Rafizi Ramli tidak menjangkakan ada yang macam itu dan  sudah meramalkan peratus yang memulaukan pengundian itu terlalu kecil.
   
BN pun ada kebimbangan dan ada yang berkepala angin lalu tidak mengundi, semata-mata kerana tidak mahu masuk dalam jebak Anwar.
   
Justeru TPM Muhyiddin Yassin kata, BN tidak beri laluan mudah kepada Anwar dan Dr Mahahtir pula mahu semuanya turun bagi mengalahkan Anwar.
   
Antara yang mereka marah sangat Anwar ialah kerana dia dan partinya memperolokkan demokrasi dan cemar demokrasi olehnya.
   
Jika mereka libatkan diri dan sertai PRK dengan mengundi, maka mereka jayakan politik Anwar. Sukalah Anwar. Apa yang menyukakan Anwar? Mereka tidak mengundi. Tiada apa rugi Anwar jika mereka tidak mengundi. Ia memudahkan lagi Anwar menang dan ia menambah pula majoriti PKR.
   
BN pun memang takut kepada pengikutnya yang berkepala angin itu. Jika mereka tidak mengundi malu besarlah BN. Seolah-olah ia membantu Anwar menang besar.
   
Dari baca politik payah bagi Anwar kalah. BN pun tahu. Memang ia payah menang. Apa yang BN harap dari PRK itu ialah menambah undinya dan mengurang majoriti Anwar. Maka kempen besar BN sekarang ialah menggesa supaya penokongnya jangan memulaukan pengundian.
   
Jika perlu mereka dihulur lebih, hulurlah lebih dari selalu kerana BN tidak mahu undinya merosot dan majoriti Anwar naik.
   
Sekalipun Anwar dirasakan akan menang, tetapi dia bukan tidak boleh dikalahkan. Harapan dia dikalahkan hanya dengan menjadikan Dr Mahathir sebagai calon. Itupun belum tentu menang, tetapi  dia saja yang ada harapan bagi mengalahkan Anwar.
   
Dr Mahathir tidak membentu BN sekadar membangkitkan kelemahan Anwar. Tiada banyak kesan. Tetapi dengan dia sendiri  terjun, barulah kesannya naik. Kalau Tun M hendak melihat Anwar kalah, turunlah sebagai calon BN. Tak usah malu.
  
Lainlah kalau dia takut kalah!

Fitnah AKSB: Presiden MTRK diarah bayar RM50,000

Posted: 25 Feb 2014 03:11 AM PST

ASLANI M


KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini memerintah Presiden Majlis Tindakan rakyat Kelantan (MTRK), Che Azmi Mohd Ali membayar gantirugi sebanyak RM50,000 kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Hakim Datuk Azman Abdullah dalam penghakiman memberitahu Che Azmi tanpa usul periksa telah membuat suatu kenyataan media yang merosakkan reputasi AKSB.

Hakim menjelaskan defendan tidak mengetahui fakta sebenar kerana menganggap pinjaman RM600 juta dilulus kerajaan Persekutuan boleh digunakan serta-merta.

Sedangkan katanya, pinjaman itu dilulus secara berperingkat dan segala bayaran kepada kontraktor perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Sebelum ini Che Azmi yang juga adik kepada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap AKSB dengan menuduh melakukan salah urus dan menyeleweng pinjaman RM600 juta kerajaan Persekutuan.

Kenyataan tersebut disiarkan kebanyakan media arus perdana sehingga memberi gambaran yang buruk terhadap AKSB.

Ekoran itu AKSB mengemukakan saman dan menuntut gantirugi sebanyak RM1 juta terhadap Che Azmi. Turut dinamakan sebagai defendan, akhbar The Star.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi ketika ditemui berkata, hakim juga menolak dakwaan Che Azmi di mana AKSB menghabiskan belanja sebanyak RM12 juta kerana menukar 80,000 unit "smart meter" memandangkan kos itu ditanggung kontraktor pembekal.

"Selain gantirugi kewangan, Che Azmi turut diperintah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada AKSB dan menyiarkannya di satu muka surat penuh akhbar The Star.

"Beliau juga dikenakan injunksi kekal iaitu tidak boleh lagi membuat sebarang kenyataan negatif terhadap AKSB. Che Azmi turut diarahkan untuk membayar kos perbicaraan sebanyak RM15,000," ujarnya.

Perbicaraan kes tersebut berlangsung enam hari, di mana lapan orang saksi memberi keterangan termasuk bekas wartawan TV3, Puspavathy Ramaloo.

Che Azmi diwakili peguam Ilias Mohd Noor dan Nor Azli Ahmed, manakala peguam Bhag Singh mewakili akhbar The Star.

Saman terhadap The Star sebelum ini diselesaikan luar mahkamah.

Kes WWW1: Nizar menang saman terhadap TV3

Posted: 25 Feb 2014 03:06 AM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menang saman fitnah terhadap stesen televisyen TV3 berhubung isu nombor pendaftaran kereta WWW1 milik Sultan Johor.

Menurut laporan The Malaysian Insider, tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohamad Arif Yusof ketika membenarkan rayuan Nizar berkata, plaintif berjaya membuktikan kes kebarangkalian yang seimbang.

"Perintah Mahkamah Tinggi adalah dengan ini diketepikan dan kes ini akan dirujuk ke Mahkamah Tinggi bagi penaksiran ganti rugi," katanya.

Arif berkata, keputusan dibuat Mahkamah Tinggi yang menolak saman Nizar tidak boleh dikekalkan dan TV3 bertanggungjawab.

Beliau berkata, pembelaan justifikasi TV3 gagal dan stesen TV itu tidak berjaya membuktikan kebenaran atau sebahagian kebenaran dalam laporan mereka.

"Malah, ada niat jahat oleh defendan dalam laporan mereka," katanya.

TV3 juga diperintahkan membayar RM30,000 kos mahkamah.

Kassim Ahmad: Perkasa, NGO Umno hilang lantang?

Posted: 25 Feb 2014 03:04 AM PST

MUHAMMAD FAIZAL 


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad melahirkan rasa hairan dengan sikap kumpulan NGO Umno yang seperti 'hilang suara' dalam isu Kassim Ahmad berbanding siu-isu berkait agama sebelum ini.

Katanya, sehingga kini tidak kedengaran suara lantang mereka, yang sebelum ini seringkali mengancam ugutan fizikal malah mengadakan demonstrasi dalam isu-isu terdahulu.

"Mana pergi kumpulan pendesak Melayu seperti Perkasa, Jati mahupun Perkida yang sebelum ini lantang jika Melayu atau Islam itu dipersoalkan.

"Kenapa dalam isu Kassim ini mereka tidak berani ke hadapan, adakah ia berkaitan dengan Umno jadi mereka hanya berdiam diri termasuk juga pihak berkuasa agama tempatan?," soal beliau dalam satu sidang media hari ini.

Dalam pada itu beliau menggesa kerajaan melalui pihak berkuasa agama agar segera mengambil tindakan terhadap Kassim Ahmad yang secara jelas telah menghina Hadis yang menjadi salah satu sumber pegangan umat Islam.

Jelasnya lagi, pihak berkuasa tidak perlu takut untuk bertindak walaupun ia mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ataupun dengan Umno.

"Pihak berkuasa tidak perlu takut untuk bertindak ke atas Kassim walaupun ia mempunyai kaitan dengan Dr Mahathir ataupun dengan Umno sekali pun.

"Kalau isu Syiah sebelum ini mereka boleh bertindak kenapa tidak berlaku ke atas Kassim, kita harap perkara ini perlu disegerakan agar tidak ada umat Islam yang terkeliru dengan kenyataannya," kata beliau lagi.

Ditanya mengenai cabaran Kassim supaya orang yang mempertikai pandangan beliau tampil behujjah, Khalid berkata pihak berkuasa agama patut mengambil inisiatif tersebut.

"Saya harap pihak jabatan agama boleh menganjurkan pertemuan dan kalau orang lain tidak mahu bertemu dengannya (Kassim) saya bersedia.

"Isu sekarang bukan bersekemuka atau berbincang, tetap tindakan tegas atas kenyataan beliau yang bertentangan dengan ajaran islam," tegasnya.

Sejauh mana dibenar melihat aurat dalam perubatan

Posted: 25 Feb 2014 03:02 AM PST


Dr Suhazeli Abdullah 


TUGAS seorang pengamal perubatan sungguh mulia. Membantu menyelamatkan nyawa manusia dan menghilangkan kesakitan kepada pesakit (dengan tidak dinafikan bahawa segalanya adalah ketentuan dari Allah jua).

Sesiapa yang menceburi bidang ini, sama ada doktor, jururawat atau seumpamanya adalah khusus bagi menolong kehidupan manusia sejagat. Inilah kemahiran yang sukar diperoleh. Malah untuk menjadi seorang doktor, sela masa yang lebih lama di universiti berbanding dengan profesyen lain.

Oleh kerana keistimewaan inilah tugasan yang diberikan amat besar. Justeru, tugasan ini tidak boleh diberikan kepada orang yang tidak khusus belajar mengenai hal ehwal merawat pesakit. Lebih besar lagi taklifan yang diberikan kepada para pengamal perubatan ini apabila ada di antara mereka menceburi bidang yang lebih spesifik dalam ilmu dan dunia perubatan.

Sebagai contohnya pembedahan jantung oleh pakar Jantung, hal-hal khusus sakit puan oleh pakar sakit puan. Ada yang mengambil kepakaran sakit tulang, sakit kanak-kanak, sakit berkaitan darah dan sebagainya. Pendek kata bukan calang-calang orang sahaja yang mengambil bidang yang penting ini.

Ilmu Allah ini juga tidak tertakluk kepada lelaki mahupun wanita. Ianya bergantung kepada kecenderungan masing-masing dan minat yang mendalam dalam sesuatu disiplin ilmu spesifik itu.

Menjaga batas syariat

Tidak sihat seseorang itu boleh membawa kepada hidup tidak berkualiti. Kerja terganggu. Ibadah pun terbatas. Malah penyakit yang dialami boleh membawa maut jika tidak diurus dengan baik oleh perawat yang berkemahiran di dalam sesuatu bidang penyakit tersebut.

Namun disana timbul satu isu apabila kita sebagai seorang muslim, perlu menjaga batas syariat yang ditetapkan dalam agama seperti menjaga aurat sepanjang waktu. Aurat lelaki antara pusat dan lutut bagi masyarakat umum. Manakala aurat wanita adalah muka dan tapak tangan boleh didedahkan.

Batasan aurat ini boleh terangkat hukumnya jika berlaku darurat. Apa yang dimaksudkan darurat di sini sebagai contohnya jika wanita yang sudah sampai waktu bersalin, wajib hadir disisinya seorang pembantu yang mahir dalam selok belok kelahiran dan membantu proses berkaitan dengan kelahiran agar terjamin nyawa ibu dan anak.

Penjagaan batas aurat ini tidaklah termasuk dalam lima perkara penting tujuan diturunkan syariat (maqasid syar'iyyah); iaitu untuk menjaga agama, akal, nyawa, maruah dan harta.

Penggunaan hukum darurat bagi menjaga aurat semasa merawat ini tidak terpakai secara langsung. Cuma hukum darurat ini digunapakai secara tidak langsung apabila ketidakhadiran orang yang mahir (sama ada lelaki atau wanita) boleh mengakibatkan nyawa siibu atau sianak yang akan dilahirkan terancam.

Batasan hukum penjagaan aurat

Batasan hukum penjagaan aurat dalam bidang perubatan ini boleh diletakkan sebagai rukhsah. Rukhsah bermaksud keringanan yang dibenarkan syariat atas keadaan-keadaan tertentu.

Keringanan ini juga disebut sebagai 'takhfif' selain rukhsah. Ia adalah bentuk kemudahan yang diberikan oleh Islam bagi setiap hamba-Nya yang berada pada keadaan tertentu. Ibnu Nujaim menyebutkan bahwa rukhsah terdiri dari beberapa jenis:

Pertama: Menggugurkan (takhfif isqath), seperti pengguguran kewajiban solat Jumaat kepada orang yang sakit kronik.

Kedua: Mengurangkan (takhfif tanqish), seperti qasar solat empat rakaat menjadi dua ketika dalam keadaan musafir; dibolehkan solat sesuai dengan kemampuan bagi seseorang yang dalam keadaan sakit dan yang lainnya.

Ketiga: Menggantikan (takhfif ibdal). Misalnya mengganti wuduk air dengan tayamum menggunakan debu diakibatkan tidak adanya air yang digunakan untuk berwuduk.

Keempat: Mendahulukan (takhfif taqdim), seperti rukhsah jamak taqdim.

Kelima: Mengakhirkan (takhfif takhir). Ini termasuklah rukhsah jamak takhir, melewatkan solat Isyak dan lain-lain.

Keenam: Meringankan (takhfif tarkhish), seperti dibolehkan minum arak jika tercekik sesuatu apabila tiada minuman lain di sekelilingnya.

Ketujuh: Mengubah (takhfif taghyir). Misalnya perubahan bentuk perbuatan solat menjadi lebih ringan ketika terjadi peperangan. [Lihat Imam Musbikin, Qawa'id al-Fiqhiyah, Jakarta: PT. Raja Grafindo Persada, 2001]

Dalam konteks yang dibincangkan ini, kehadiran perawat untuk merawat pesakit diringankan hukum melihat auratnya kerana kemahiran yang ada bagi perawat dan kemaslahatan yang timbul atas pesakit.

Jika digabungkan jenis rukhsah, takhfif tarkhish akan diguna pakai. Dengan sendiri isu perawat lelaki tidak timbul. Kehadiran perawat yang berkemahiran amat dituntut demi menjaga kemashlahatan nyawa pesakit.

Jika tidak melibatkan nyawa sekalipun seperti dalam pemeriksaan biasa, sentuhan dari perawat amat penting bagi menjamin kesinambungan penjagaan kesihatan yang berterusan. Lebih-lebih lagi perawat itu adalah lelaki yang lebih berkemahiran. Kerana aurat kemaluan wanita bukan sahaja lelaki ajnabi yang haram melihatnya, wanita pun haram melihatnya tanpa sebab yang khusus seperti berubat.

Namun dari satu sudut yang lain sifat dan naluri seorang manusia tidak boleh lari dari malu mendedahkan anggota sulit mereka kepada sesiapa sahaja. Disinilah perlunya satu etika khusus dalam berubat dan merawat. Iaitu tidak sewenangnya mengambil ruang rukhsah tersebut dalam mangambil kesempatan melihat aurat diluar dari batas yang sepatutnya.

Dr Suhazeli Abdullah ialah Pakar Perubatan Keluarga

Saman RM2 juta: PKR ambil langkah selesai cara baik

Posted: 25 Feb 2014 02:57 AM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kepimpinan PKR akan mengambil langkah perlu untuk membolehkan kes saman RM2 juta melibatkan Presiden PAS dapat diselesaikan dengan baik dan penuh hikmah, demi kebaikan dan kesepakatan bersama.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyatakan demikian merujuk kes saman fitnah di mana Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah diarah mahkamah untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada bekas calon PKR bagi kerusi Dun Bukit Besi, Terengganu, Mohd Shamsul Mat Amin.

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, pimpinan PKR telah mengambil pendirian sebelum ini bahawa kes saman itu tidak perlu diteruskan.

Namun, jelasnya Mohd Shamsul telah bertegas bahawa beliau perlu membersihkan nama dan maruah akibat dakwaan yang dibuat sewaktu PRU13.

Tiada ulasan: