KUALA LUMPUR - Penganjur menetapkan peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat (#KL112) berkumpul di beberapa lokasi walaupun polis menasihatkan mereka supaya tidak berbuat demikian.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, pihaknya tetap akan berhimpun di lapan lokasi yang dikenalpasti kerana ianya memudahkan peserta bergerak dalam kumpulan ke Stadium Merdeka.

Mohamad berkata, lapan lokasi pertemuan telah ditetapkan sebagai 'check point' bagi peserta berkumpul dengan setiap darinya diketuai penunjuk arah.

"Dalam pertemuan dengan Ketua Polis Dang Wangi petang semalam (kelmarin), persetujuan dah dicapai pihak penganjur dan pihak polis.

"Kita bincang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Jadi tidak timbul sebarang perubahan," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau juga menegaskan, tidak ada sebarang perarakan sebaliknya orang ramai bebas berjalan menuju ke Stadium Merdeka.

"Berjalan sahaja macam orang ramai berpusu-pusu nak pergi pasar malam. Cuma kita sediakan lapan check point bagi kemudahan peserta berkumpul sebelum berjalan," katanya.

Lapan tempat berkenaan adalah dari kawasan Masjid Universiti Jalan Pantai, Brickfields, KLCC, Jalan Sultan, Pasar Seni, Dataran Merdeka, Masjid Negara dan Kampung Baru.

Sebelum ini, polis hanya membenarkan perhimpunan itu diadakan di Stadium Merdeka dan peserta tidak dibenar berhimpun di lokasi lain.