Safwan Anang
Sebahagian daripada mahasiswa dan orang ramai yang berkumpul di hadapan Penjara Kajang. - Foto ihsan Safwan Anang
 
SHAH ALAM - Sekumpulan mahasiswa dan aktivis berkhemah di luar kompleks Penjara Kajang, Kajang malam ini bagi menuntut keadilan ekoran keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas seorang aktivis Occupy Dataran, Umar Muhammad Azmi hari ini.
Kumpulan itu memasang lima khemah di kawasan pintu masuk ke penjara sekitar jam 10.30 malam tadi.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang mendakwa matlamat mereka berkhemah bukan bermaksud untuk memprotes, tetapi bagi memaklumkan kepada umum bahawa hukuman yang dikenakan ke atas sahabat mereka adalah tidak munasabah.
"Saya dan rakan-rakan akan berkhemah malam ini sehingga hari Isnin iaitu hari sama Umar akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengemukakan rayuan.
"Kami sebagai sahabat Umar turut bersolidariti bersamanya walaupun berada di luar penjara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.
Umar, 23, dihukum penjara sebulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung kesalahan menghalang tugas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), lapan bulan lalu.