Dr Asri: Doa kehancuran dibolehkan jika dizalimi KOTA BHARU - Umat Islam boleh memohon doa kehancuran jika merasa diri mereka ditindas dan juga dizalimi.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, secara umumnya sesiapa sahaja boleh memohon doa kehancuran sekiranya merasakan diri dizalimi.

"Kita ada beberapa perkara yang perlu dipisahkan, isu politik dan fakta, jangan kerana kerana kita berpolitik, kita menafikan fakta.

"Pertama, persoalannya, adakah boleh kita mendoakan orang yang menzalimi kita agar ALLAH SWT mengambil tindakan kepadanya, itu persoalan yang biasa, jangan letak pada Pas atau Umno.

"Misal kata ada orang menganiaya atau menzalimi kita, boleh ke kita berdoa kepada mereka?

"Jawapannya boleh, tidak timbul isu tidak boleh mendoakan kehancuran sesama Islam," katanya kepada Sinar Harian pada Program Kembara Ilmu Bersama Dr Maza di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.