Jumaat, 10 Ogos 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Peluru emas Najib

Posted: 10 Aug 2012 01:12 AM PDT

Oleh Mazir Ibrahim



Oleh kerana tarikh pilihanraya hanya Tuhan dan Perdana Menteri saja yang tahu, maka kita tidak dapat pastikan apakah serangan-serangan UMNO-BN terhadap Pakatan Rakyat akhir-akhir ini sudah sampai ke tahap desperado.

Tetapi corak serangan mereka sejak akhir-akhir ini merupakan petunjuk bahawa kempen politik UMNO-BN sudah memasuki fasa-fasa akhir sebelum semboyan pilihanraya dibunyikan.

Dengan bermacam projek dan pakej-pakej bantuan kewangan kepada rakyat, seharusnya Najib Razak akan lebih yakin dengan kesan politik dan populariti dirinya dan UMNO-BN. Tetapi kelihatan kesan yang didambakkan itu tidak mencukupi untuk beliau bubar Parlimen.

Tidak seperti Pakatan Rakyat yang ingin memerintah dengan adil dan telus, kemenangan bagi PR pastinya sukar diurus kerana kesedaran atas dasar pertanggungjawaban. PR enggan mempalitkan diri dengan rasuah, salah guna kuasa serta menyelewengkan wang rakyat untuk dijadikan gula-gula politik.

Ini berlaku sebaliknya bagi UMNO-BN, kerana kemenangan bagi mereka bermakna kuasa dan wang, maka mudah untuk jentera politik bergerak. Justeru, apa saja yang boleh dilakukan oleh BN untuk menang, pasti mereka akan lakukan.

Serangan perkauman UMNO

Maka dilaksanakan serangan politik desperado yang berbaur perkauman dan sentimen agama. Hinggalah apa yang terjadi baru-baru ini di mana media utama UMNO, iaitu Utusan Malaysia, tergamak menggunakan ungkapan guru agama untuk menyebar kebencian ke atas DAP yang memperjuangkan politik bersih, anti-rasuah dan peluang saksama.

Ungkapan itu dijadikan seperti fatwa untuk menutup minda orang Melayu. Bagi Utusan, apa pun asas ungkapan itu sudah tidak penting. Bagi Utusan, matlamat menghalalkan cara walau mereka berkokok sebagai juara Islam kononnya.

Malah sebelum isu ini timbul, memori hitam 13 Mei juga telah digunakan oleh juak-juak UMNO untuk berkempen. Ini tidaklah menghairankan kerana hingga hari ini, Najib Razak masih tidak menyahut cabaran Lim Kit Siang untuk berikrar bahawa jika PR mengambil alih Putrajaya, BN akan menghormati keputusan itu.

Motif semua serangan ini mempunyai pelbagai maksud dan tujuannya. Tetapi apa yang lebih utama adalah, dengan serangan ini perhatian rakyat dan juga Pakatan Rakyat akan teralih. Kita akan kelam-kabut bertahan hingga lupa taktik lama UMNO iaitu,  pecah dan perintah.

Dalam Pakatan Rakyat sibuk bertahan, UMNO dengan licik akan menekan rakyat termasuk memanipulasi parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Taktik mereka mudah saja – hentam dan fitnah DAP, pujuk dan kelirukan PAS, dan serang Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang bakal memimpin kerajaan baru.

UMNO dan BN pastinya akan melakukan perkara-perkara yang mungkin tidak pernah terduga oleh kita bahawa mereka akan melakukannya. Namun, jika ia benar-benar berlaku, adakah itu noktah perjuangan PR?

UMNO-BN halalkan apa saja cara untuk menang

Sungguhpun Najib bukan Perdana Menteri yang dipilih melalui pilihanraya (beliau hanya mengambilalih selepas Adbullah Ahmad Badawi meletak jawatan pada 2009), jangan sesekali kita memandang rendah pada kemampuan politik manipulasi Najib.

Dalam situasi UMNO yang amat terdesak ini (bayangkan untuk kali pertama sejak 1955, UMNO bakal ditolak rakyat dalam PRU akan datang), mungkin ada beberapa perkara luar biasa boleh beliau lakukan kerana lojiknya ada.

Antara perkara silap mata paling memukau yang mungkin dilakukan oleh Najib adalah:

1.      Najib dan BN yang selama ini meminggirkan Kelantan yang diterajui PAS sejak 1990, tiba-tiba akan menurut apa sahaja kehendak Kelantan. Negeri Cik Siti Wan Kembang itu mungkin mendapat royalti minyak yang dituntutnya selama ini. Sama ada ini membolehkan UMNO merampas semula Kelantan, setidak-tidaknya ia akan dijadikan propaganda untuk menunjukkan kebaikan pentadbiran Najib kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai 'Janji ditepati'.

2.      Kerajaan Persekutuan yang sebelum ini tidak mempedulikan masalah rakyat Sabah dihimpit kebanjiran pendatang asing tanpa izin sejak lebih 20 tahun lalu, tiba-tiba akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyelesaikan masalah utama di negeri bawah bayu itu. Ini untuk memastikan tiada lagi Ahli Parlimen atau ADUN UMNO-BN akan lompat dan bekerjasama dengan PR yang telah berjanji untuk menyelesaikan masalah itu jika diberi mandat memerintah Sabah. Ia juga ubat mujarab untuk mengubati luka hati rakyat Sabah yang selama ini dipinggirkan oleh Putrajaya.

3.      UMNO Johor mungkin dibenarkan melaksanakan hukum hudud (versi mentah UMNO) atau setidak-tidaknya dijanjikan untuk membuat pelaksanaan. Tindakan desperado ini mungkin dilihat oleh UMNO mampu membeli jiwa orang Melayu dan melembutkan hati penyokong PAS yang sedang bangkit di Johor. Tambahan pula MCA semakin ghairah menghina dan mengutuk hukum hudud.

4.      Loji nadir bumi Lynas di Pahang mungkin ditutup dan lesen pelabur akan dibatalkan. Walaupun kerajaan UMNO-BN mungkin rugi berbilion ringgit, ia dapat memastikan penentangan rakyat terhadap BN akan berkurangan.

5.      Yang mungkin mengejutkan tapi tak mustahil, Najib mungkin meniru bulat-bulat idea Buku Jingga termasuk menurunkan harga minyak RON95 dan mengembalikan subsidi untuk rakyat serta membuat pelbagai janji baru.

Adakah rakyat mudah terpedaya?

Ini semua mungkin menjadi peluru emas Najib bagi memastikan sokongan rakyat akan dilantunkan semula kepada UMNO-BN yang semakin tidak disukai oleh rakyat pelbagai kaum.

Sungguhpun semua perkara luar biasa ini mampu dilakukan oleh Najib, rakyat juga semakin sedar bahawa jika rasuah politik dilaksanakan demi untuk menang, kerajaan yang baru dibentuk nanti akan kering kontang perbendaharaannya.

Jika itu berlaku, maka rakyat akan menderita sebaik sahaja selesai PRU apabila pelbagai cukai dan bayaran baru dikenakan untuk memulihkan kewangan negara yang telah dibazirkan dnegan teruknya pada masa ini.

Malah, kegembiraan kerana sedikit wang ringgit ditaburkan UMNO-BN hanya bersifat sementara. Najib amat terdesak untuk mengembalikan kuasa majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Selepas berjaya, itu cerita lain.

Peluru emas Najib ini akan menjadi penentu sejauh mana keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Sudahkah PR bersedia dengan taktik pecah perintah dan rasuah poilitik UMNO-BN ini? – Roketkini.com

Siapa sayang komunis?

Posted: 10 Aug 2012 01:05 AM PDT

Oleh Izmil Amri



Acapkali DAP dituduh sebagai sebuah parti komunis oleh manusia yang malas membaca dan tidak tahu pun hujung pangkal ideologi DAP sebagai sebuah parti demokrasi sosial. Jadi disebabkan DAP ini ramai ahlinya berketurunan Cina, dan itu menyebabkan mereka fobia dan teringat kepada Mao Zedong, maka teruslah dilabelnya DAP ini parti cauvinis Cina, komunis pula.

Mudah betul jadi politisi etnosentrik di Malaysia ini. Kalau ramai Cina, terus hukum komunis. MCA tidak dihukum begitu pula. Sayang betul mereka dengan MCA. Tidak pula parti yang terang nyata menentang hukum Islam itu difatwakan haram segala. DAP yang ramai Melayu Islam ini juga yang mahu dikafirkan, dicap komunis dan konon mahu mengkristiankan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Gila puak-puak ini. Terhantuk kepala sewaktu main buai masa kecil-kecil barangkali.

DAP mangsa fitnah UMNO

Tapi tak apa. DAP ini parti penyabar, dan bagaimana teruk ia ditohmah sejak azali pun, ia masih lagi berdiri dan mara terus untuk membetulkan segala yang tidak betul dengan urus tadbir bobrok negara Malaysia pimpinan United Malays National Organisation.

Saya sering tertanya-tanya kenapa parti Melayu ini namanya United Malays National Organisation dan bukan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Mereka tidak pula terasa malu apabila mengagungkan nama bahasa ibunda penjajah itu.

Jadi akhirnya dua tiga hari lalu kebetulan saya bertemu seorang teman UMNO yang memberitahu bahawa UMNO ini mahu jadi parti yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa. Jadi harus namanya itu menggunakan bahasa Inggeris. "Sama lah macam DAP," katanya.

"Democratic Action Party, DAP. Kenapa tak guna nama PTD, Parti Tindakan Demokratik?" soal beliau.

"Supaya tak bunyi macam Pegawai Tadbir Diplomatik," saya kata. Dia diam. Orang UMNO ini selalunya begitu. Dihujahkan dengan akal, diamlah dia. Lagi pula memang dia tak sedar dia samakan UMNO macam DAP. Tapi DAP memang tak mau ada kena-mengena dengan rasuah, salah guna kuasa, ketuanan kaum dan benci kaum lain.

Jadi dengan keinginan UMNO untuk menjadi parti yang boleh dikenali masyarakat antarabangsa dengan nama Inggerisnya itu buat saya tertanya-tanya pula; kalau semedang kerja UMNO ini bersekongkol dengan Parti Komunis China, kenapa ia tidak ada nama versi bahasa Mandarin?

 

UMNO kawan akrab Parti Komunis China

Ya, tidakkah anda tahu? UMNO ini parti politik Melayu yang berkawan rapat dengan Parti Komunis China. Ini dimulakan di zaman almarhum ayahanda kepada Perdana Menteri sekarang. Demikian mesra dan akrabnya UMNO dan Parti Komunis China ini, kelihatan kerap sekali delegasi kedua parti politik ini lawat melawat antara satu sama lain.

Pelik bila difikirkan bagaimana sebuah parti Melayu yang begitu fobia dengan orang Cina dan komunis boleh bercengkerama dengan Parti Komunis China. Kedua-dua fobianya terus digabung dalam nama parti – komunis dan Cina. Jadi kenapa pula UMNO dan sekutunya harus begitu alergik dengan DAP?

Baru semalam sang Timbalan Perdana Menteri menerima kunjungan hormat daripada seorang pemimpin Parti Komunis Cina. Zhao Leji namanya.

Beliau ini sekarang menjawat jawatan Ketua Parti Komunis bagi wilayah Shaanxi. Walaupun bahasanya berbunyi Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis, tetapi letak duduk jawatannya di dalam hierarki pentadbiran Shaanxi ini lebih tinggi dari gabenor yang kini disandang Zhao Zhengyong. Jadi Zhao Leji ini jawatannya macam Menteri Besar lah.

Kenapa pemimpin Parti Komunis China kerap jumpa pemimpin UMNO?

Kenapa Kenapa 'Menteri Besar' Parti Komunis China Shaanxi datang ke Malaysia untuk berjumpa Muhyiddin Yaasin, seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden United Malays National Organisation, sebuah parti konservatif Melayu yang anti-komunis dan alah kepada orang Cina?
 
 Ini kelakar. Ini bahkan tidak masuk akal. Apa sebenarnya masalah UMNO ini? Berapa kali sebenarnya dia terhantuk kepala waktu kecil-kecil dulu? Ataukah kena langgar bas?


Jadi DAP parti demokrasi sosial yang tidak mempolitikkan agama ini sekarang dituduh kafir harbi.
Tidak cukup dengan itu, hari ini timbul pula tuduhan kononnya logo Hari Merdeka Pakatan Rakyat itu mengandungi simbol-simbol Kristian, seperti burung merpati dan bentuk hati berwarna merah. DAP lah juga yang dituduh telah berjaya mentarbiyah dan menundukkan PAS sehingga tertipunya mereka itu dan menerima simbologi Kristian yang tersirat di dalam logo. Kelakar.

Eh tolonglah. Nak tutup isu lagu Janji Ditepati sambutan Medeka ala UMNO-BN yang dikatakan diciplak daripada lagu Kristian yang memuja Yesus Kristus dari Indonesia ke?

Apa yang ada dalam otak pemimpin UMNO?

Mentaliti gila dan penuh ketakutan begini hanya kedapatan dalam kepala otak mereka yang takut benar kehilangan kuasa dan pengaruh. Tetapi perlu pula menakutkan orang lain kononnya kuasa mereka pula yang akan hilang dan kepentingan mereka tidak dijaga. Kemudian guna sentimen perkauman dan agama untuk membuakkan rasa takut melampau ini sehingga semuanya tertipu untuk mengundi kerana mahukan kestabilan dan keamanan.

Apabila Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di Putrajaya nanti, bukankah Anwar Ibrahim, seorang Melayu yang akan menjadi Perdana Menteri? Adakah Melayu pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia yang bersahabat dengan Yusuf Qaradawi itu akan membiarkan negara ini dijadikan negara Kristian oleh sebuah parti sekular demokratik yang tidak pernah pun mengaitkan agama dengan politik?

Adakah bakal Perdana Menteri Melayu Islam daripada PKR yang majoriti ahlinya orang Melayu serta didokong oleh PAS yang jelas perjuangan Islamnya dan disokong oleh DAP yang berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, akan menghakis kedudukan orang Melayu? Jadi apa yang gelabah sangat ni?

Kenapa tak gelabah apabila pemimpin kanan Parti Komunis China bersahabat dengan UMNO? Kenapa tak menjerit melolong macam orang kena sampuk apabila pimpinan tua dan muda Parti Komunis China makin kerap melawat Malaysia? – Roketkini.com




Cyanide Di Bukit Koman: Apa Yang Perlu Anda Tahu

Posted: 10 Aug 2012 12:57 AM PDT

Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat

Cyanide adalah bahan kimia berbahaya wujud perlbagai bentuk, dalam bentuk gas yang tidak bewarna seperti hydrogen cyanide (HCN) dan yanogen chloride (CNCl) atau dalam bentuk kristal seperti sodium cyanide (NaCN) dan potassium cyanide (KCN).

Hydrogen cyanide (HCN) pernah digunakan dalam Perang Dunia Kedua sebagai agen pembunuh oleh Tentera Jerman, Tentera Amerika Syarikat dan Tentera Jepun malah ada juga laporan yang mengatakan agen pembunuh itu juga telah digunakan ketika perang Iran-Iraq pada tahun 80-an. Ia juga pernah digunakan oleh Tentera Perancis ketika Perang Dunia Pertama.

Penggunaan bahan kimia ini telah diharamkan di beberapa buah negara khususnya di sektor perlombongan antaranya adalah Amerika Syarikat (Montana, Colorado, Wisconsin), Turki, Honduras, Republik Czech, Argentina, Jerman, Greece, Costa Rica, Peru,  dan Filipina kerana ancamannya kepada Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.

Pendedahan berterusan bahan kimia ini melalui pernafasan udara, air minuman, makanan malah memegang tanah yang dicemari cyanide kepada manusia boleh menyebabkan kematian malah jika mangsa berjaya diselamatkan sekalipun, dengan tahap keracunan yang tinggi boleh menyebabkan jantung dan otak mangsa rosak. Cyanide akan menghalang sel badan manusia daripada menerima oksigen yang secukupnya dan jika sel badan tidak dapat menerima oksigen yang secukupnya, sel itu akan mati. Jantung dan otak adalah organ manusia yang banyak menggunakan oksigen.

Kesan pendedahan langsung bahan kimia cyanide itu dalam jumlah yang kecil boleh dilihat melalui tanda-tanda berikut iaitu sesak nafas, kegelisahan, pening, lemah, sakit kepala, loya/muntah, dan degupan jantung yang kencang manakala pendedahan dalam jumlah yang besar boleh menyebabkan sawan, tekanan darah rendah, degupan jantung yang perlahan, pengsan, kerosakan salur pernafasan termasuklah seluruh sistem pernafasan manusia dan seterusnya  kematian.

Kemalangan maut yang pernah melibatkan cyanide berlaku di utara Indiana Amerika Syarikat melibatkan 4 pekerja kilang dan mencederakan 20 yang lain akibat daripada pendedahan kepada gas beracun cyanide. Di Ghana, 30 penduduk dilaporkan mengalami tanda-tanda keracunan cyanide selepas sungai Ajoo dicemari pencemaran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas di situ. Malah di Laos, pencemaran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas dari Australia telah menyebabkan kematian ikan dan keracunan kepada penduduk yang tinggal sehingga 3KM jaraknya dari kilang itu.

Di Beijing China, kebocoran gas cyanide di salah satu syarikat perlombongan emas di daerah Huairou telah menyebabkan 3 kematian manakala 15 lagi dimasukkan ke hospital. Malah kemalangan maut yang melibatkan cyanide telah meragut nyawa 12 kanak-kanak yang tidak berdosa akibat pencemaran air di Sungai Bambana.

Bencana alam sekitar yang paling ketara kesan daripada kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas berlaku di bahagian utara-barat Romania pada tahun 2000 dan diklasifikasikan sebagai bencana sungai yang paling teruk di Eropah sehingga menyebabkan pencemaran sumber air serta kematian hampir 20 jenis ikan yang dilindungi termasuklah binatang-binatang lain seperti memerang, musang dan burung. Malah pada tahun 1995 dan pada tahun 2000 di Guyana, pencemaran sungai akibat kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas telah menyebabkan pencemaran sumber air dan kematian kehidupan akuatik sejauh 4KM malah penduduk yang telah terdedah dengan pencemaran cyanide itu  mengalami ruam-ruam merah di badan mereka, muntah dan ceret-beret.

Kemalangan yang melibatkan bahan kimia cyanide ini terlalu banyak di seluruh dunia dan kerana ancaman ini, PAS melalui Lajnah Alam Sekitar Pusatnya yang dipengerusikan oleh Sdr.Zulkefly Mohamad Omar serta Sdr.Andansura Rabu yang mewakili Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang telah mengambil ketetapan untuk bersama-sama Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman.

"Kedudukan kilang Raub Australian Gold Mining (RAGM) yang hanya 200-300 meter dari lokasi penempatan 3000 penduduk dan dimiliki oleh anak kepada veteran politik MCA itu jelas membelakangkan konsultansi dengan penduduk setempat lebih-lebih lagi apabila bahan kimia cyanide digunakan untuk operasi perlombongan emas mereka. Kami tahu Kajian Impak Alam Sekitar (PEIA) yang telah diluluskan Jabatan Alam Sekitar tidak memerlukan konsultansi pihak awam tetapi seharusnya atas faktor 'social obligation' atau khidmat masyarakat, konsultansi ini dapat dipertimbangkan untuk dilakukan terlebih dahulu sebelum keputusan kesesuaian tapak atau lokasi akhir syarikat perlombongan itu diputuskan oleh pihak pengurusan RAGM dengan mengambil kira jarak syarikat perlombongan itu dengan penempatan penduduk. Dalam kes ini, masalahnya ialah ia terlalu dekat",  ujar Sdr.Zulkefly Mohamad Omar (gambar) selaku AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.

Beliau juga mempersoalkan di manakah garis panduan dari pihak Kerajaan Pusat dan Negeri untuk industri perlombongan emas yang menggunakan cyanide ini seperti yang sudah sedia ada untuk insinerator lebih-lebih lagi apabila terdapat terlalu banyak kemalangan di seluruh dunia yang melibatkan penggunaan bahan kimia cyanide ini khususnya di dalam sektor perlombongan emas. Malah terbukti beberapa negara sudah pun mengambil tindakan mengharamkan penggunaan cyanide di negara mereka malah Kesatuan EU walaupun tidak mengharamkan penggunaan cyanide atas sebab-sebab kesan pengharaman bahan kimia itu ke atas keperluan sosio-ekonomi mereka di sana (peluang pekerjaan, dan sebagainya), satu garis panduan yang ketat telah pun dikuatkuasakan.

"Seharusnya satu Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) yang digunapakai oleh RAGM dan bukan PEIA, tetapi masalahnya, peraturan yang sedia ada, yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar tidak memerlukan DEIA dilakukan untuk syarikat perlombongan emas itu. Persoalannya, atas dasar apakah DEIA tidak dikuatkuasakan untuk RAGM?.

Kes yang sama berlaku untuk projek LYNAS di mana PEIA sahaja diperlukan walaupun industri yang berkait dengan sisa radioaktif adalah industri impak tinggi kepada Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar. Mungkinkah industri perlombongan emas yang menggunakan bahan kimia cyanide ini diklasifikasikan sebagai industri yang rendah impaknya? Persoalannya, jika benar, kenapakah sektor perlombongan emas ini diklasifikasikan sebagai rendah impaknya kepada Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.

 Ini soalan saya kepada Jabatan Alam Sekitar. Kerana keputusan Jabatan Alam Sekitar inilah, konsultansi pihak awam tidak berlaku dan apabila konsultansi pihak awam tidak berlaku, inilah sebabnya kenapa penduduk Bukit Koman tidak tahu bahawa RAGM sudah beroperasi dengan menggunakan cyanide semenjak tahun 2009 lagi.", ujar Sdr. Andansura Rabu (gambar) selaku Exco Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang selaku Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar Negeri.

Sdr. Zulkefly dan Sdr. Andansura mempertikaikan kegagalan Menteri Kesihatan, Dato' Sri Liow Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong Pahang, Menteri Pelancongan Dato' Sri Dr Ng Yen Yen yang juga Ahli Parlimen Raub Pahang dan Dato' Hoh Khai Mun, ADUN Bilut selaku Exco Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Kesihatan Pahang dari MCA itu untuk menyelesaikan isu penduduk Bukit Koman ini di Raub. Malah kenyataan Dato' Sri Liow Tiong Lai yang mempersoalkan di manakah penyelesaian terhadap masalah ini daripada penduduk Bukit Koman serta mempertikaikan sumber ancaman  kesihatan itu yang mungkin bukan dari RAGM jelas menyerlahkan sikap beliau untuk mempertahankan RAGM berbanding kepentingan rakyat.

"Adakah mereka melindungi kepentingan RAGM kerana hubungan pemegang saham utama RAGM itu dengan ayahnya yang pernah menjadi veteran MCA? berbanding kepentingan rakyat yang telah mengundi mereka sebagai Ahli Parlimen?. Kerana selepas 3 tahun RAGM beroperasi, isu yang melibatkan kepentingan rakyat setempat masih tidak dapat diselesaikan. Adakah mereka juga yakin jika berlaku kebocoran cyanide dari RAGM tidak akan hanya menjejaskan kesihatan penduduk Raub khususnya di Bukit Koman tetapi akan juga menjejaskan Empangan Klau di mana airnya akan disalurkan pula ke penduduk di Selangor selepas projek Pemindahan Air di antara Negeri Pahang-Selangor (ISRWT) siap nanti?", ujar Sdr. Zulkefly.

Memetik kenyataan Sdr.Andansura, selepas isu pencemaran alam sekitar di Cameron Highlands didedahkan PAS 2 hari yang lalu termasuk isu pencemaran sungai di Bentong serta Kuala Lipis dan isu LYNAS, kini rakyat Pahang dihantui pula dengan ancaman agen pembunuh cyanide di Bukit Koman Raub. Rakyat Pahang dilihat telah diperlakukan seperti tikus makmal oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam kerakusan mereka mengejar keuntungan ekonomi semata-mata.

Kerana sikap kejam dan tidak berperikemanusiaan inilah,  PAS mengambil pendirian dan ketetapan untuk bersama-sama dengan Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman untuk sama-sama menganjurkan "Himpunan Hijau Raub" 2hb September (Ahad) ini di Dataran Raub Pahang. PAS Pusat bersama-sama dengan Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang ingin menyeru seluruh ahli PAS di seluruh negara khususnya di Pahang untuk sama-sama turun ke Raub untuk memberikan sokongan menghalang penggunaan ancaman bahan kimia Cyanide ini oleh RAGM.

Umno Calarkan Kesucian Islam

Posted: 10 Aug 2012 12:55 AM PDT

Wartawan Buletin

MARANG - Dakwaan pemimpin Umno konon DAP akan menguasai negara sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah dengan provokasi perkauman boleh menimbulkan kebencian kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Melayu dan Islam sepatutnya diperkasakan dengan pengetahuan politik, bukannya diperlekehkan melalui media.

Menurutnya, Umno gagal menunjukkan contoh dan sifat Islam sebenar kepada bukan Islam, sebaliknya menonjolkan amalan boleh mencalarkan imej agama suci itu.

"Contoh, tidak adil terhadap semua, rasuah, menggunakan kuasa yang bercelaru, pemimpin yang terlibat segala jenis skandal silih berganti dan skandal digunakan untuk menundukkan pemimpin mengikut contoh politik kaum Yahudi,"  katanya.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan itu memperlihatkan Umno sanggup melakukan apa sahaja walaupun melanggar perlembagaan.

Menurutnya, Umno tidak perlu menyalahkan parti lain sekiranya Melayu Bumiputera masih lambat mengejar kejayaan bangsa lain kerana Umno sendiri yang menghilangkan jati diri Melayu Islam di Singapura dan negeri-negeri  Melayu di Pantai Barat Semenanjung dan kelemahan Bumiputera Islam di Sabah dan Sarawak kerana merebut jawatan untuk mengaut kekayaan.

Belanja RM46 juta Tapi Pesawah Tempatan Macam Orang ‘Myanmar’

Posted: 10 Aug 2012 12:53 AM PDT

Wartawan Buletin


Shttp://www.buletinonline.net/images/stories/berita63/masalah%20air%20sawah2.JPGETIU – Para pesawah di kampong Jelapang, Langkap, dekat sini menyifatkan pelaburan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu melibatkan wang sebanyak RM46 juta, membina infrastruktur kawasan penanaman padi, tidak berbaloi.

Menurut mereka, kemudahan pengairan yang dibangunkan tidak sepatutnya dibina sebelum memastikan sumber air mencukupi.

"Air hanya ada dua kaki setengah dalam parit, mana cukup untuk tanam padi, itu pun baru ada sejak hujan dua tiga hari ini, sebelum ini lebih teruk,

"lepas (peruntukan) RM46 juta ada tambahan pula (peruntukan) kita duduk macam ni juga (tidak berubah) buat longkang pun longkang pecah," adu Abdul Rahman Awang kepada Buletinonline.

Beliau yang dikenali dengan panggilan 'Pak Muda' berkata demikian ketika ditemui dalam tinjauan Buletinonline ke kampong tersebut pada Rabu 8 Ogos.

Hampir separuh padi dalam petak-petak sawah di kawasan penanaman blok A sawah padi tersebut berwarna kekuningan kerana tidak mendapat cukup air.

Sementara itu, beliau yang mempunyai pengalaman padi lebih 20 tahun mendakwa, sistem perparitan yang dibina agak pelik dan tidak pernah dilaksanakan dimana-mana tempat.

Katanya, parit air masuk dan air buang dibina bersebelahan dan selari melingkungi kawasan penanaman padi memberi kesukaran kepada para pesawah.

Selain itu, kata beliau, parit konkrit yang dibina tidak dibuat saluran untuk memasukkan air ke dalam petak sawah.

"Air tak boleh masuk dalam petak sawah sebab tak ada saluran masuk, kami terpaksa buat salur dan sedut air masuk macam sedut minyak dalam tong,"jelasnya

DISKRIMINASI

Pada musim penanaman sebelum ini, para pesawah Jelapang tidak mendapat hasil yang menguntung kan kerana potongan padi yang terlalu tinggi.

Justeru, para pesawah Jelapang telah menghantar memorandum kepada pelbagai pihak berkaitan, menuntut supaya diberikan hak subsidi dan insentif yang mereka tidak perolehi.

Rakan pesawah Pak Muda mendakwa kehidupan penanaman padi di kampung Jelapang bertambah terhimpit apabila berlaku diskriminasi dan pilih kasih semakin menjadi-jadi diantara pesawah yang dianggap sebagai penyokong kerajaan dan bukan penyokong kerajaan.

Zainal Yusof mendakwa beliau tidak mendapat bantuan input padi seperti baja dan racun kerana ia dikawal oleh ketua blok, seorang Imam masjid kampong berkenaan.

"sejak dari awal waktu sodok meratakan sawah sudah berlaku tidak adil, tanah dia diratakan molek, orang lain tak,

"saya cakap, Tok Imam biar jadi Tok Imam sahajalah, jangan 'pegang' (jawatan ketua blok) projek padi ini, nanti (lama kelamaan) orang tak pergi sembahyang (di masjid),"katanya.

Beliau mendakwa pesawah kampung berkenaan yang kononnya 'Jelapang Padi Baru' negeri Terengganu menerima harga jualan padi yang rendah, potongan yang terlalu tinggi, tidak ada subsidi dan insentif.

Beliau menyifatkan para pesawah umpama 'warga Mayanmar' yang terpaksa 'berdagang' walaupun lahir di tanah air sendiri.

"Jadi kita (pesawah Kampung Jelapang) macam rakyat Myanmar (menjadi) berdagang di negara sendiri mari tebas tebang buat padi,

"subsidi boleh ke orang, insentif beri ke orang harga padi 25 sen……macaman kita (boleh) jadi rakyat Myanmar?,

"(sedangkan) tanah hak kita, usaha kita (buat) tebas tebang (hutan) dari tok nenek kita lagi…….acu kita fikir!,"tegas Zainal.

Muallaf palsu ikut bersolat

Posted: 10 Aug 2012 12:51 AM PDT

KL TODAY

 

Kira-kira 30 jemaah tidak menyangka diri mereka ditipu dengan memberi sumbangan kepada dua lelaki yang menyamar sebagai mualaf ketika menunaikan solat Tarawih di Masjid Sultanah Aminah Tanjung Radin (gambar) dekat sini, malam kelmarin.

Difahamkan, anak-anak kariah ternampak dua lelaki itu ketika majlis berbuka puasa yang dianjurkan kariah masjid terbabit, namun tidak menghiraukan mereka.Mohd Tarmizi Awang, 32, berkata, selepas berbuka puasa dua lelaki bercermin mata sama itu masuk ke dalam masjid bersama anak kariah lain bagi menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

Menurutnya, selepas solat imam masjid mengumumkan kepada jemaah bahawa dua lelaki itu adalah mualaf yang ingin memohon sumbangan peribadi untuk kos pembelajaran agama di Pondok Pasir Puteh Kelantan.

"Saya mensyaki dua lelaki itu adalah penipu dan menyamar sebagai mualaf bagi mendapatkan sumbangan.

"Seorangnya daripadanya lingkungan umur 40-an berpakaian baju T dan seluar jeans dan kopiah hitam, manakala seorang lagi lingkungan umur 50-an memakai kemeja berseluar jeans dan berkopiah," katanya.

Menurutnya, disebabkan perasaan curiga yang kuat terhadap dua lelaki itu menyebabkan dia segera menghampiri mereka selepas solat Tarawih dan tazkirah Nuzul al-Quran bagi mendapatkan kepastian.

"Difahamkan mereka datang dari Melaka untuk memohon sumbangan. Ditanya mengapa datang ke Kedah, sedangkan negeri itu mempunyai banyak masjid dan lelaki itu berkata, kenapa tanya macam-macam sedangkan jemaah lain mudah sahaja bagi sumbangan.

"Mereka juga berkata datang ke Kedah untuk membuka kedai telefon bimbit memandangkan di Melaka sudah mempunyai sebuah kedai menyebabkan saya terkejut. Saya terus meminta mereka menunjukkan kad pengenalan, namun mereka enggan sehingga saya membawanya kepada beberapa jemaah lain dan bilal masjid," katanya.

Mohd Tarmizi berkata, dia membawa dua lelaki itu bertemu dengan bilal masjid terbabit agar dapat menunjukkan kad pengenalan namun setelah didesak, lelaki itu mengeluarkan sekeping kad keras yang hanya tertulis Yasin sahaja.

"Selepas didesak lagi, mereka berdua beredar dalam keadaan tergopoh-gapah dengan menaiki sebuah kereta perodua Kancil.

"Saya kesal kerana kebanyakan jemaah sudah memberi sumbangan yang banyak dan ada yang memberi RM10, RM20 dan RM50," katanya.

Sementara itu, bilal masjid terbabit, Ali Muhammad, 65, berkata, dia tidak menyangka perkara itu berlaku dan kejadian itu mencemarkan institusi masjid, kerana mereka berani masuk dan menipu orang Islam ketika menunaikan solat.

"Tidak menyangka ada orang akan menipu dengan masuk dalam masjid dan turut sama menunaikan solat berjemaah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Pendang, Syeikh Ahmad Shukri Muhamed berkata, Pejabat Agama Kedah mengeluarkan arahan yang dipanjangkan kepada masjid supaya tidak mengutip derma kepada orang ramai sewenang-wenangnya, namun begitu pejabat agama tidak mempunyai hak untuk menghalang orang ramai bersedekah lebih-lebih lagi pada bulan ini.

"Dinasihatkan agar orang ramai lebih berhati-hati dan siasat latar belakang sekiranya peminta sumbangan ini tidak diberi kebenaran daripada pihak berwajib.

"Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di daerah ini, tetapi difahamkan berlaku di beberapa negeri lain dengan menggunakan alasan yang sama iaitu ingin mendalami ilmu agama di Kelantan," katanya.

Suami eksekutif TV9 didakwa bunuh isteri

Posted: 10 Aug 2012 12:46 AM PDT

KL TODAY

 

Suami eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 Nur Syaleza Jaffar, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya itu, bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31, eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Tertuduh yang memakai baju-T berkolar berwarna ungu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya.

Norazman Bashah, didakwa membunuh Syaleza, 31, di kediamannya di No.115, Tingkat 1 Blok O, Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, di antara jam 12 tengah hari hingga 7.30 malam, 28 Julai lepas.

Norazman Bashah yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 Sept untuk tarikh sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Akhbar sebelum ini melaporkan  seorang eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9 ditemui mati di kediamannya di Damansara Damai.

Ribuan hadiri Qiam Sultan Kelantan

Posted: 10 Aug 2012 12:43 AM PDT

KL TODAY

 

Ribuan rakyat negeri Kelantan tidak melepaskan peluang untuk menghidupkan Ramadhan bersama Sultan Kelantan dalam program Qiam With Me di Istana Negeri di sini malam tadi.

Program julung-julung kali diadakan itu menerima sambutan luar biasa rakyat yang mahu bersama sultan kesayangan mereka Sultan Muhammad V.

Suasana malam tadi menyaksikan Dewan Jubli Perak, di Istana Negeri, Kubang Kerian itu penuh malah kesemua khemah diluar dewan juga sesak.

Program Qiam With Me bermula dengan Solat Isyak kemudian diteruskan dengan solat Terawih bersama Sultan Muhammad V.

Turut hadir pada program itu, saf kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan penceramah popular dari Terengganu Ustaz Azhar Idrus sebelum masing-masing diberikan masa untuk berehat.


Program seterusnya dimulakan pada jam 4 pagi untuk qiamullail sehingga sahur dan kemudiannya solat Subuh secara berjemaah.

Asri: Jika haram DAP,haramlah MCA & MIC

Posted: 10 Aug 2012 12:41 AM PDT

KL TODAY

 

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap pandangan seperti haram dan berdosa mengundi DAP tidak membawa kemudaratan, dan 'fatwa' sedemikian perlu diteliti semula dalam konteks politik sebenar negara ini.

Mohd Asri berkata, oleh kerana perkara tersebut merujuk kepada DAP, rakan politik dalam Pakatan Rakyat (PR), Barisan Nasional (BN) juga ada parti komponen yang mempunyai pendirian seakan sama dengan DAP.

"Itu, kalau kita kata haram, kena melihat pada alasan mengapa kita kata begitu.

"Kalau kita kata haram (mengundi DAP) kerana dia tidak menyokong negara Islam, ada juga parti dalam BN seperti MCA dan MIC tidak menyokong… jadi kita mengambil pendirian sebahagian sahaja (dalam mengatakan haram dan dosa)," kata beliau.

Mohd Asri mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat Abdullah Sa'amah, dipetik Utusan Malaysia kelmarin bahawa bahawa umat Islam tidak boleh menyokong DAP kerana ia haram serta berdosa.

Gesaan itu adalah ekoran pendirian parti Pas untuk terus bekerjasama dengan DAP sedangkan pengerusi DAP Karpal Singh berkeras supaya Pas menggugurkan niat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Mohd Asri, Ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia dan baru pulang ke tanah air selepas dilantik sebagai felo di Pusat Pengajian Islam Oxford selama lapan bulan menambah, jika perkara tersebut dilihat secara menyeluruh dan perlu dibincangkan, ia harus dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membuat keputusan.

"Kita tidak boleh membuat fatwa sendiri, kita kena bincang perkara ini supaya tidak bercelaru," kata beliau sambil berkata, pandangan sedemikian tidak wajar membawa kepada kemudaratan dalam negara yang penduduknya pelbagai kaum dan agama.

Katanya, realiti politik di negara ini berbeza dan ia disedari oleh komponen Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

Sambil menekankan bahawa beliau tidak mahu menyentuh secara mendalam soal fatwa, Mohd Asri berkata, jika DAP dilabel sebagai "kafir harbi", ia akan membawa kesan yang mendalam, seolah-olah meminta orang Islam  berperang.

"Saya tidak kata apa yang diperkatakan itu betul atau salah, tetapi kenyataan dikeluarkan mengenai soal haram dan dosa, perlu diteliti semula, kemudian boleh berbincang. Saya lihat itu hanya pandangan peribadi sahaja," kata beliau lagi.

"Kemungkinan dia tidak tahu kesan kenyataan, kesan perkataan dikeluarkan, tidak tahu bahawa ia boleh membawa kepada permusuhan, tidak baik bagi negara majmuk dan pelbagai agama seperti Malaysia," katanya.

Mohd Asri juga berkata, beliau tidak memihak kepada PR atau BN yang ada parti komponen atau wakil rakyat bukan Islam.

"Juga ada wakil bukan Islam dalam kerajaan. Jadi, kita perlu fikir semula perkara (kenyataan) itu semula," katanya lagi.

"Haram perlu kedua-dua sebelah. Kita tidak boleh memilih, hanya satu parti… jadi kita memerlukan penjelasan, kita kena menjustifikasikan," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, pada 1980-an, Pas sendiri pernah berpendirian sedemikian dengan menggunakan perkataan kafir ke atas penyokong BN.

"Tetapi hari ini mereka sedar bahawa pemerintahan negara ini memerlukan sokongan pelbagai pihak. Pas sudah berubah. Dan, hari ini seolah-olah Umno mengambil pendirian macam Pas tahun 1980-an.

"Esok, keadaan akan berubah. Jadi kita boleh menggunakan agama sebagai panduan berpolitik, tetapi tidak harus menjadikan ia sebagai instrumen politik.

"Agama mengatasi politik. Jadi, kita jangan campur aduk politik dan agama, jangan gunakan agama untuk politik," katanya lagi.

Lihat Anak Bulan Syawal 18 Ogos

Posted: 10 Aug 2012 12:27 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh Hari Raya Puasa ialah pada petang Sabtu, 18 Ogos bersamaan 29 Ramadan ini, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

"Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen," kata kenyataan itu.

Jawatankuasa berkenaan akan melihat anak bulan Syawal di Pontian Kecil; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara; Telok Kemang, Port Dickson; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Kuala Langat; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Daerah Manjong; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang).

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; Menara Alor Star; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Setiu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Kuala Krai; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu; Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu.Tempat lain ialah di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan; Tingkat 13 Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis). - BERNAMA

Permohonan Masuk Politeknik Sesi Disember 2012 Dibuka 13 Ogos

Posted: 10 Aug 2012 12:25 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Borang permohonan memasuki politeknik Kementerian Pengajian Tinggi bagi sesi Disember tahun ini akan mula dijual pada 13 Ogos ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Mejar (K) Md Nor Yusof berkata sebanyak 20,500 tempat ditawarkan di 30 politeknik seluruh negara bagi pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sijil politeknik kementerian itu.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 23 Sept, katanya dalam satu kenyataan hari ini.Beliau berkata para pelajar boleh memperoleh nombor pin di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional dengan harga RM10.60 dan membuat permohonan secara online di www.politeknik.edu.my.

"Pelajar yang telah membeli nombor pin untuk kemasukan sesi Jun 2012 tetapi gagal untuk mendapat tempat di politeknik, boleh menggunakan nombor pin yang sama untuk memohon semula bagi sesi Disember ini," katanya.

Jenis kursus yang ditawarkan terdiri daripada 24 kursus peringkat sijil dan 24 kursus peringkat diploma bagi lulusan SPM atau STPM, dan 13 jenis kursus peringkat diploma bagi lulusan Sijil Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi, katanya.

Keputusan permohonan dijangka diketahui pada 3 November dan pelajar yang berjaya akan mula mendaftar pada 17 Disember.

Md Nor berkata sebarang pertanyaan berhubung kemasukan ke politeknik berkenaan boleh diajukan ke Bahagian Pengambilan Pelajar, Jabatan Pengajian Politeknik, Aras 4, Galeria PjH, Jalan P4W, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya atau telefon 03-8891 9240/9255. - BERNAMA

Bekalan Wang Kertas Baru Mencukupi - Bank Negara

Posted: 10 Aug 2012 12:24 AM PDT




PETALING JAYA: Bekalan wang kertas baru untuk memenuhi permintaan semasa musim perayaan bagi tujuan pembayaran dan transaksi perniagaan adalah mencukupi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

"Bank Negara Malaysia ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa bekalan wang kertas baru adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan semasa musim perayaan," menurut kenyataan itu.

Justeru, semua bank perdagangan dikehendaki memastikan cawangan masing-masing mempunyai bekalan wang kertas mencukupi untuk memenuhi permintaan orang ramai.

Menurut kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang kesukaran untuk mendapatkan wang kertas baru boleh menghubungi talian 03-26907613, 03-29698804 sambungan 7402/8658 atau emel ke ncs@bnm.gov.my.

Wang kertas siri baru yang terdiri daripada denominasi RM100, RM20, RM10, RM5 dan RM1 memasuki edarannya pada 16 Julai lalu menerusi bank-bank, pasar raya dan kedai runcit.

Wang kertas itu turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan termasuk imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna.

Ia turut diberi sentuhan warna terang dan bermotifkan ciri-ciri mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi negara.

Baru-baru ini, orang ramai meminta Bank Negara menambah edaran wang kertas siri baru itu terutama wang kertas RM20 di pasaran agar ia dapat digunakan secara lebih menyeluruh pada musim perayaan.

Malah, rata-rata mereka mahu menjadikan wang kertas baru tersebut sebagai duit raya agar sambutan Aidilfitri nanti lebih ceria dan meriah.

BN Dakwa KDEB Punca Krisis Air Di Selangor

Posted: 10 Aug 2012 12:22 AM PDT




SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor mendakwa Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah mengeluarkan arahan kepada Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) supaya mengurangkan pengeluaran air terawat daripada 145 juta gelen sehari kepada hanya 120 juta gelen sehari yang menyebabkan berlakunya krisis air di Kajang dan Balakong kerana syarikat tersebut mengendalikan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata berdasarkan maklumat yang diterima Pengarah KDEB, Suhaimi Kamaralzaman telah mengeluarkan surat kepada pihak Abbas pada 2011.

"Persoalannya, mengapa Suhaimi mengeluarkan arahan tersebut kepada Abbas? Adakah KDEB atau kerajaan negeri ingin melakukan sabotaj terhadap rakyat Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)?

"Kenapa pihak yang Syabas yang dipersalahkan sedangkan kawasan yang mengalami gangguan dikendalikan oleh Abbas? Siapakah yang mengarahkan Suhaimi supaya mengeluarkan arahan sedemikian," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Umno Selangor pada Jumaat.

Justeru, beliau meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan dan menjawab persoalan yang dilontarkannya kerana sebelum ini mereka hanya menunding jari menyalahkan pihak lain ketika berlakunya krisis air di Kajang dan Balakong.

Bukan itu sahaja, Mohd Zin yang juga bekas Menteri Kerja Raya mendakwa beliau mendapat maklumat saham 15 peratus yang dimiliki oleh KDEB dalam Syabas turut dicagarkan kepada sebuah bank bagi tujuan mendapatkan pinjaman sebanyak RM250 juta bagi kegunaan tertentu.

"Persoalannya ialah mengapa kerajaan negeri begitu daif hingga terpaksa mencagarkan saham KDEB dalam Syabas untuk dapatkan pinjaman?

" Jika benar ini berlaku, mampukah kerajaan negeri ingin ambil alih Syabas sedangkan saham 15 peratus pun tidak mampu diuruskan dengan baik, inikan pula sebuah syarikat pengagihan air yang begitu penting," ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Zin berkata adakah tindakan yang dilakukan kerajaan negeri itu menunjukkan sikap urus tadbir yang beretika.

"Adakah niat sebenar pengambilalihan Syabas hanya unyuk menutup kelemahan kerajaan negeri dan apakah tujuan pinjaman tersebut dibuat," soalnya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga didakwa terpaksa berhutang dengan membuat pinjaman sebanyak RM300 juta setahun dengan kadar faedah RM8 juta bagi tujuan memberikan air percuma kepada rakyat negeri itu.

"Adakah ini satu langkah pentadbiran yang bijak hingga kerajaan negeri terpaksa berhutang dengan bank untuk memberikan air percuma. Bagaimana pelan kerajaan negeri untuk melangsaikan hutang-hutang tersebut?

"Adakah mereka tidak punya sumber kewangan kukuh unutk melaksanakan pemberian air percuma seperti yang dijanjikan hinggakan terpaksa berhutang?," soalnya lagi.

Beliau berkata, jangan sampai nanti kerajaan negeri jadi seperti cerita Pak Kaduk yang terpaksa menggadaikan negeri demi melunaskan hutang.

"Hakikatnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak mampu mentadbir dan menguruskan ekonomi Selangor dengan baik kerana isu penting seperti pengurusan air tidak dapat diselesaikan dengan mudah.

"Langkah terakhir mereka seperti biasa mengelirukan rakyat dan tidak cakap berasaskan fakta. Saya juga akan mendedahkan beberapa kelemahan lain supaya rakyat Selangor dapat menilai sikap sebenar kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim ini," katanya.
 

Bersih 2.0: Polis setuju pakai baju Bersih tak salah

Posted: 09 Aug 2012 07:46 PM PDT

Norazmir Zakaria,

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menyambung perbicaraan Kes Musafri bin Abdullah Azmi di dalam kes saman beliau terhadap Dato' Seri Hishamuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan tiga yang lain kerana mendakwa penahanan beliau dan rampasan pihak Polis terhadap baju-baju beliau yang tertera "BERSIH 2.0 Gabungan Pilihanraya BERSIH dan Adil" pada 24/6/2011 adalah salah dan tidak sah, mala fide, melanggar hak dan kebebasan asasi manusia serta melanggar Pelembagaan Persekutuan.

Beliau diwakili barisan Peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) iaitu Mohd Nazruddin Abdullah, Noorazmir Zakaria, dan Azizzul Shariman.

Perbicaraan adalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, iaitu Yang Arif Dato' Hj Zainal Azman bin Ab Aziz.

Perbicaraan yang masuk hari kedua ini telah mendengar keterangan daripada tiga orang saksi daripada pihak Defendan-defendan yang merangkumi pegawai polis yang menangkap, pegawai polis yang merakamkan percakapan Musafri dan pegawai penyiasat bagi kes tangkapan Musafri tersebut.

ASP Mohd Amirul Anbalagan bin Abdullah, 41, yang merupakan pegawai penyiasat kes tersebut ketika disoal oleh Peguam JUHAM mengakui dan bersetuju dengan cadangan Peguam JUHAM bahawa memiliki dan memakai baju BERSIH 2.0 adalah tidak salah. Malah, beliau kemudiannya bersetuju dengan cadangan yang dilontarkan oleh Peguam JUHAM bahawa tangkapan pihak polis terhadap Musafri bukanlah kerana Gabungan BERSIH 2.0 adalah satu pertubuhan haram.

Sebaliknya, ASP Mohd Amirul menyatakan hasil siasatan beliau menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan Musafri berniat untuk membuat perhimpunan tanpa permit di kawasan Musafri ditangkap pada malam tersebut iaitu di Bilik Gerakan Jawatankuasa Keselamatan Kampung Padang Jawa (JKKK).

Korp Ruslee bin Mastam, 52, yang merupakan pegawai polis yang menangkap Musafri sebelum itu telah memberikan keterangan di Mahkamah bahawa beliau menangkap Musafri berdasarkan syak wasangka yang munasabah bahawa Plaintif akan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 yang ketika itu sedang diadakan di Uptown Seksyen 24 Shah Alam. Namun ketika disoal balas oleh Peguam JUHAM kemudiannya, Korp Ruslee menyatakan bahawa beliau tidak tahu penangkapan yang dibuat oleh beliau tersebut adalah berdasarkan kepada undang-undang apa dan apakah undang-undang yang digunakan untuk menyiasat Musafri.

Ketua Inspektor Zakiol bin Kaning, 35, yang merupakan Ketua Polis Balai Seksyen 15 Shah Alam sebelum itu turut memberikan keterangan di Mahkamah dan menyatakan bahawa beliau telah memberikan taklimat kepada anggota bawahan yang bertugas di Balai Seksyen 15 Shah Alam berkenaan "Ops Padam"; iaitu Operasi Pencegahan Perhimpunan BERSIH 2.0 untuk menangkap mana-mana orang atau pihak yang terlibat atau disyaki terlibat dalam perhimpunan di Uptown Seksyen 25 Shah Alam. Ketua Inspektor Zakiol kemudiannya ketika disoal balas oleh Peguam JUHAM mengakui bahawa arahan tangkapan tersebut tidak merangkumi tangkapan terhadap orang yang menjual dan mengedar baju BERSIH 2.0.

Mahkamah telah menetapkan para Peguam untuk memfailkan Hujahan mereka pada 18/9/2012 dan kemudiannya Mahkamah telah menetapkan tarikh 26/9/2012 untuk para Peguam membuat Hujahan Balas dan klarifikasi.

Mahkamah Tinggi pada 24/7/2012 yang lalu telah membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun 2011 bahawa Gabungan Pilihanraya BERSIH dan Adil (BERSIH) adalah sebuah pertubuhan 'haram'.

*Penulis adalah Ketua Unit Media JUHAM Dewan Pemuda PAS Malaysia

MB Selangor: Jawatankuasa khas ditubuh ambil alih konsesi air

Posted: 09 Aug 2012 07:29 PM PDT

NURKHAIRINI JUMARI

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 
 
 
SHAH ALAM - Selangor menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang telah bersetuju supaya Kerajaan Negeri melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sememangnya Kerajaan Negeri telah lama bersedia untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air di negeri ini selaras dengan WSIA.
Oleh demikian, menurutnya, Kerajaan Negeri akan memanggil semula empat pemegang konsesi bagi menyelesaikan pengambilalihan syarikat konsesi berdasarkan harga pasaran yang munasabah.

"Bagi mempercepatkan proses ini, Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memuktamadkan pengambilalihan tersebut selewat-lewatnya September 2012.

"Sekiranya pemegang  konsesi tidak menerima nilai yang ditawarkan, mereka boleh merujuk kepada badan timbang tara bebas yang akan memutuskan nilai yang sepatutnya. Kerajaan Negeri akan mematuhi keputusan yang dibuat oleh badan timbang tara tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memastikan proses pemajakkan aset air negeri dan pengambilalihan liabiliti industri air  diselesaikan serentak.

"Pada masa sama, pemantauan ke atas Syarikat Bekalan Selangor Air Sdn Bhd (Syabas) akan diteruskan oleh Jawatankuasa Pemantauan bekalan air seperti biasa.

"Kerajaan Negeri komited dengan pendirian bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah," katanya.

Semalam, Sekretariat Jawatankuasa Khas Mengenai Isu-Isu Air Selangor dalam kenyataannya memutuskan Kerajaan Negeri Selangor boleh melaksanakan skim penstrukturan semula seperti mana yang dilaksanakan negeri lain, namun ia mesti mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua perjanjian konsesi air dan undang- undang yang berkuat kuasa.

Keputusan itu selaras dengan pendirian Kerajaan Persekutuan yang tidak pernah menghalang Kerajaan Selangor melaksanakan model penstrukturan yang dihasratkan.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu turut menegaskan tidak berhasrat campur tangan dalam usaha kerajaan negeri Selangor mengambil alih konsesi di negeri itu kerana ia adalah transaksi komersial membabitkan dua pihak yang berkenaan saja.

Dalam masa yang sama, Sekretariat tersebut memutuskan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 tetap diteruskan walaupun Kerajaan Selangor atau pihak berkuasa tempatan (PBT) enggan memberi kelulusan bangunan,.

Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa asas selepas Kerajaan Selangor sehingga kini tidak mengeluarkan kelulusan pembangunan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Mahathir: Keluar parti 'risiko' bagi BN

Posted: 09 Aug 2012 07:27 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
 
 
SHAH ALAM - Di sebalik spekulasi bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dipanggil dalam waktu terdekat, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kekurangan besar yang sedang dilalui Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri ialah beliau mewarisi sebuah kerajaan yang lemah.

"Masalah di sini bukan Najib... beliau pemimpin sebuah kerajaan yang lemah," kata Dr Mahathir yang menyandang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum bersara pada Oktober 2003.

Bercakap kepada Bloomberg, Dr Mahathir berkata, sebarang bentuk berpaling tadah akan menyebabkan "BN kalah dalam pilihan raya akan datang."

BN, perikatan 13 parti memerintah Kerajaan Pusat sejak negara merdeka. Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 31 Ogos ini. Ia akan disusuli dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Hasil kajian Merdeka Center diumumkan bulan lalu menyebut bahawa Najib, Perdana Menteri yang keenam, masih menikmati paras populariti 'stabil' yang positif.

Bulan lalu, dua ahli Parlimen BN dari Sabah mengisytiharkan tindakan memutuskan 'hubungan dengan parti masing-masing. Empat tahun lalu parti komponen BN di Sabah, Sapp telah keluar daripada perikatan tersebut.

Najib mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009 - setahun selepas PRU12, yang menyaksikan BN hilang majoriit dua pertiga di Parlimen selain kehilangan kuasa kerajaan di empat lagi negeri.

Dalam temu bual itu, Dr Mahathir berkata, rakan Umno dalam BN iaitu MCA, Gerakan dan MIC telah berhadapan dengan masalah kepimpinan sehingga menyebabkan perikatan itu lemah.

Pun begitu menurut beliau, kedudukan BN lebih baik berbanding 2008.

"Najib lebih popular sekarang," kata Dr Mahathir, yang juga bekas Presiden Umno.

"Sebelum ini, rakyat bukan menentang BN, tetapi mereka marah dengan perdana menteri sebelum ini, keluarganya dan menantunya," kata beliau dengan merujuk kepada penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jais kesan sindiket guna pelajar sekolah kutip derma hingga pukul 3 pagi

Posted: 09 Aug 2012 07:24 PM PDT

SINAR  HARIAN

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan terdapat sindiket yang berselindung di sebalik nama pusat Tahfiz, madrasah dan rumah anak yatim serta menggunakan pelajar sekolah untuk mengutip derma sehingga ke pukul 3 pagi setiap hari.
  
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jais Hardi Mohamad Sadali berkata aktiviti sindiket mengutip derma itu terbongkar selepas lapan individu termasuk tiga rakyat asing ditahan dalam operasi kutipan derma tanpa kebenaran di Seksyen 9, 11, 17, 18 dan 19 di sini, hari ini.
  
Beliau berkata mereka yang ditahan berumur antara 16 dan 50 tahun kerana didapati menjalankan aktiviti mengutip derma tanpa kebenaran Jais dan di kawasan yang tidak dibenarkan.
  
"Siasatan kami mendapati ada yang berselindung di sebalik sindiket yang menggunakan pelajar sekolah yang dihantar sejak awal pagi hingga ke pukul 3 pagi keesokannya malah ada yang dipercayai dipergunakan oleh sebuah ajaran yang meragukan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
  
Hardi berkata operasi yang diketuai Penolong Pengarah Unit Perundangan dan Kesalahan Jais Zaaba Zakaria itu turut merampas beberapa barangan yang dijual oleh mereka yang ditahan seperti cakera padat karaoke, madu dan ubat-ubatan tradisional.

Beliau berkata turut dirampas ialah resit, tabung derma dan surat kebenaran kutipan yang tidak sah.
  
"Kesemua yang ditahan akan diambil kenyataan untuk tujuan siasatan sebelum tindakan selanjutnya dan dibebaskan," katanya.
  
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
  
Beliau berkata Jais memang ada mengeluarkan kebenaran untuk mengutip derma tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu tidak dibuat di tempat awam seperti di restoran dan bank.
  
Ditanya mengenai pembabitan kumpulan ajaran dipercayai sesat dalam sindiket itu, Hardi tidak menolak kemungkinan itu dan berkata perkara itu masih di peringkat siasatan.
  
"Kami masih menyiasat malah ada mereka yang ditahan memaklumkan mereka mengutip derma untuk aktiviti kumpulan berkenaan dengan menjual produk mereka," katanya. - Bernama

Isu asrama: JNSB sedia runding

Posted: 09 Aug 2012 07:19 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Syarikat yang bertanggungjawab mengurus asrama di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya, Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) sedia berbincang dengan pengurusan universiti dan wakil jawatan kuasa rundingan  timbang tara berhubung kontroversi isu asrama.

Salah seorang pegawai kanan JNSB yang enggan dikenali mendakwa, pihaknya bagaimanapun masih belum menerima sebarang pelawaan itu sehingga kini walaupun beberapa pucuk surat telah dihantar sebelum ini, namun masih tiada jawapan.

Menurutnya, mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 2003 itu, Unisel sepatutnya mengadakan perbincangan sebulan sekali, namun mendakwa, ia tidak berjalan secara berkala.

"Kita ada dua perjanjian (dengan Unisel) melibatkan konsesi asrama dan perjanjian penyelenggaraan. Dalam perjanjian sama ada peringkat teknikal, pengurusan dan jawatankuasa penyelesaian pertikaian (DRC), ia memang  disebutkan untuk perbincangan.

"Perbincangan (JNSB dan Unisel) yang terakhir adalah hampir setahun lalu. Yang lainnya, lebih kepada surat-menyurat," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mengulas permohonan injunksi mahkamah oleh Unisel, pegawai itu berkata, JNSB akan tetap berpegang kepada perjanjian yang dimeterai sebelum ini.

"Kalau (katakan) pendaftaran hari ini, kita tetap dengan keputusan untuk tidak buka asrama sebab bayaran tertunggak terlampau (banyak iaitu RM15 juta). Kita (JNSB) melihat, kita perlu ada 'give and take'.

"Kalau sampai gaji staf tiada, bagaimana hendak buka asrama? Hendak buka asrama perlukan 'frontdesk', 'supervisor' dan 'technician', sama seperti 'check in' di hotel.

Bukan kerja mudah," katanya. Sinar Harian difahamkan, kakitangan JNSB tidak dibayar gaji di antara sebulan hingga dua bulan.

16, 17 Ogos cuti berganti persekolahan sempena Aidilfitri

Posted: 09 Aug 2012 07:18 PM PDT

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Jemaah Menteri bersetuju supaya 16 dan 17 Ogos ditetapkan sebagai cuti berganti persekolahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 19 Ogos.

Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas, kata Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan hari ini.

"Dengan ini, semua pihak mempunyai tempoh masa mencukupi bagi merancang perjalanan pulang dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan jalan raya," katanya.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah untuk memohon cuti berganti melalui pendaftar masing-masing untuk kelulusan.

Bagi tujuan penyelarasan, kementerian itu mencadangkan supaya cuti berganti persekolahan 16 Ogos diganti pada Sabtu, 8 Sept manakala cuti berganti 17 Ogos diganti pada Sabtu, 22 Sept.

"Pihak sekolah hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya pada hari Sabtu berkenaan sebagai hari ganti persekolahan mengikut jadual waktu hari yang terlibat dengan hari cuti berganti tersebut," kata kenyataan itu. - Bernama

Borak bersama Anwar di Google Hangout 17 Ogos

Posted: 09 Aug 2012 07:16 PM PDT

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan muncul secara langsung di You Tube dalam sesi Google Hangout "Borak Bersama Anwar" pada pada jam 10.30 malam, 17 Ogos ini.

Dalam sesi itu, rakyat Malaysia boleh berinteraksi secara langsung dengan Anwar untuk bertanya apa sahaja yang ingin diketahui dari beliau.

Dalam satu kenyataan hari ini Anwar berkata, beliau sangat teruja untuk tampil dan bertemu rakyat di internet yang disifatkan sebagai medan pencetus kebebasan bersuara, untuk memberitahu apa yang penting untuk rakyat.

"Anda ada soalan boleh bertanya terus. Pasukan saya dan pekerja sukarelawan akan bekerja keras untuk melayan setiap soalan dan pertanyaan mendahului sehingga acara ini dan termasuk sebahagian daripada mereka yang bertanya soalan untuk sesi LIVE.

"Saya berasa bangga bahawa saya pemimpin politik tempatan pertama menggunakan Google Hangout. Anda boleh memantau perkembangan tersebut di laman peminat Facebook saya (https://www.facebook.com/anwaribrahim.keadilan)," katanya.

Selain Facebook, rakyat juga boleh menyertai sesi ini ini di Twitter, dengan menggunakan hashtag #BorakAnwar.

Sesei tersebut akan berlangsung sejam termasuk mereka yang dijemput untuk menyertai sebagai panelis video secara langsung.

"Jadi gunakan peluang ini dengan menanyakan soalan kepada saya, sebaik-baiknya soalan video di YouTube, dan hashtag #BorakAnwar dan berkongsi pautan pada laman peminat Facebook saya atau Google Plus saya," katanya sambil mengharapkan ianya menjadi peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh rakyat Malaysia.

Tema Pakatan pupuk penyatuan rakyat - Pak Samad

Posted: 09 Aug 2012 07:13 PM PDT

Salmiyah Harun,

 

 KUALA LUMPUR: Pemilihan Slogan 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat sebagai tema Hari Merdeka yang ke-55 terlebih dahulu diperhalusi dan dinilai dengan membandingkan slogan yang pernah digunakan kerajaan Persekutuan sejak tahun 1970 hingga 2011.

Jawatankuasa Pemilihan Tema Merdeka ke-55 Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said mendapati slogan yang digunakan kerajaan tahun demi tahun semenjak 1970 sering mengulangi perkataan seperti masyarakat, bersatu dan rakyat dalam tema Hari Kemerdekaan.

Malah katanya, apabila tiba waktu tertentu pula kerajaan menggunakan perkataan 'wawasan' dalam tempoh empat tahun bermula tahun 1991 dengan tema 'Wawasan 2020' diikuti 'Wawasan Asas Kemajuan',  'Bersatu Menuju Wawasan', 'Nilai Murni Jayakan Wawasan' dan tahun 1995 dengan tema 'Jatidiri Pengerak Wawasan'.

"Jadi dengan menghalusi itu kita dapat mewujudkan yang lebih bagus lalu kita membincangkan slogan-slogan yang dihantar, akhirnya kita bersetuju sebuah slogan yang tidak sempurna iaitu 'senegara, sebangsa, sehati, sejiwa'," katanya dalam sidang media.

Hampir 250 cadangan slogan yang diterima oleh jawatankuasa tersebut yang turut dianggotai oleh bekas menteri kabinet, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Gerakan, Dr Toh Kin Woon dan Pengarah Eksekutif  Women's Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah.

Bagaimanapun slogan yang diilhamkan oleh Alhaimi Adam, A. Samad berkata slogan itu ada sedikit perubahan di mana perkataan 'sehati' digugurkan.

"Kita bincangkan perkara ini, kita fikir sebelum wujudnya negara mesti ada bangsa dahulu sesudah bangsa baru ada negara , sesudah ada bangsa dan negara wujud sejiwa.

"Bunyinya sedikit abstrak tapi kami kira 'sejiwa' itu amat penting dan kami tolak sehati oleh kerana 'hati' ini ia boleh busuk, jiwa ia tidak boleh busuk," katanya.

Beliau percaya setiap kelompok manusia rindu akan kesatuan demi kedamaian dan kesejahteraan hidup.

"Sejak merdeka kita dapati 14 negeri disatukan dan orangnya dipanggil rakyat Malaysia. Mereka ini menjadi kelompok bangsa yang membentuk sebuah bangsa Malaysia yang baru akhirnya wujud sebuah negara," katanya.

Selama lima dekad lebih beliau mendapati rakyat Malaysia lambat untuk benar-benar bersatu malah ada yang tergamak untuk memecahbelahkan sehingga menggunakan alasan perkauman.

Sebab inilah, katanya ia melambatkan untuk membentuk sebuah negara dan matlamat ini tidak akan dicapai kalau rakyat itu tidak bersatu padu atau tidak sejiwa.

"Dan maka atas alasan-alasan itulah kami memilih slogan yang dihantar oleh Alhaimi Adam dengan mengubah dan menyusun semula, di mana bangsa diubah menjadi sebangsa memberi maksud tersirat harus bersatu. Bangsa harus hidup bercita-cita dan hidup damai jadi ia harus sejiwa," katanya.

Telaga Tiub bantu bekalan air Pasir Mas

Posted: 09 Aug 2012 07:11 PM PDT

Rizal Tahir,

(TG Nik Aziz sedang diberi taklimat oleh pengurus besar AKSB Ir Haji Hanapi Mahmood mengenai telaga tiub di logi air Kelar.)


PASIR MAS: Dua buah telaga tiub yang dibina bagi menampung keperluan air di daerah ini telah mula beropersi bagi menampung keperluan penduduk di sekitar daerah ini.

Dengan tambahan telaga tiub ini, ia dapat menaikan bekalan air ke daerah Pasir Mas dari biasa kepada 62 juta liter sahari.

Pengerusi Jawatankuasa Peruamahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar, Datuk Mejar (B) Md. Anizam Abdul Rahman berkata demikian sewaktu mengiringi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam lawatan mereka ke loji sauk Kelar dan pusat rawatan air Kelar, di sini.

Turut bersama dalam lawatan berkenaan, exco kerajaan negeri, Che Abdullah Mat Nawi dan Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd Ir Haji Hanapi Mahmud.
Lawatan berkenaan susulan ganguan air selama seminggu di daerah Pasir Mas baru-baru ini.

Anizam memberitahu, bekalan air di daerah itu kini pulih selepas hujan mulai turun di hulu Kelantan dan penampungan bekalan melalui dua buah telaga tiub berkenaan.

Menjawab soalan pemberita mengenai kegiatan menyedut pasir di sepanjang sungai Kelantan yang dikatakan mengakibatkan ganguan air di daerah ini baru-baru ini, Anizam berkata ianya tidak menjadi punca kepada masalah yang timbul.

"Kerja-kerja pasir tiada kena mengena dengan gangguan bekalan air," katanya.

Kenyataan Anizam itu disokong oleh Pengarah Jabatan Parit dan Saliran (JPS) negeri Kelantan, Mat Rahim Ismail.

"Kerja-kerja penyedutan pasir tidak menjejaskan paras air sungai. Semakin dalam sungai semakin banyak air yang masuk.

"Cuma kalau kerja-kerja penyedutan pasir berhampiran dengan tebing sungai, ia akan mengakibatkan tebing runtuh," ujarnya.

Ujarnya lagi, pasir di dalam sungai memang perlu diambil bagi mengelak sungai menjadi cetek.

Kanak-kanak Rohingya perlu bantuan

Posted: 09 Aug 2012 06:54 PM PDT

RUZY ADILA IDRIS

SHAH ALAM – Malaysian Relief Agency (MRA) merayu rakyat Malaysia menghulur bantuan berupa makanan ataupun wang kepada anak-anak pelarian Rohingya di negara ini.

Koordinatornya, Johari Kan Abdullah berkata, bantuan diperlukan bagi meringankan beban kanak-kanak terbabit yang sering kekurangan bekalan makanan.

Beliau yang juga Pengetua Sekolah Komuniti Rohingya, yang berpusat di Cheras Baru, Kuala Lumpur berkata, ketika ini bantuan diterima terus daripada MRA.

"Bantuan berbentuk makanan amat-amat dialu-alukan terutamanya dalam bulan Ramadan ini bagi menampung keperluan berbuka puasa dan bersahur.

"Di sekolah ini mempunyai seramai 82 orang pelajar yang berusia dari enam hingga 16 tahun dan kebanyakan mereka ramai yang masih buta huruf," katanya.

Katanya, kanak-kanak ini amat menghargai bantuan orang ramai kerana mereka tinggal dalam keadaan amat susah sebagai pemegang status pelarian.

Johari menambah, sumbangan tersebut boleh disalurkan melalui akaun Maybank atas nama Malaysian Relief Agency, nombor akaun: 5640 9820 6365.

Selain itu, penderma boleh juga menghantar bantuan ke Malaysian Relief Agency, Lot 7, Jalan Raja Uda, Kampung Baru 50300 Kuala Lumpur.

Sementara itu, menurut laporan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), sehingga penghujung Jun lali, lebih 99, 800 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar kini berada di Malaysia.

Daripada jumlah itu, seramai 91,400 daripadanya merupakan pelarian Myanmar.

Berdasarkan pecahan kaum pula, mereka terdiri daripada 34,420 Chin, 23,830 Rohingya dan 10,580 Myanmar di mana yang beragama Islam seramai 6,050 berasal dari Rakhines, 3,730 Mons, 3,230 Kachin dan lain-lain dari etnik lain dari Myanmar.

Dr Asri: Soal haram dosa undi jangan sampai mudarat negara

Posted: 09 Aug 2012 06:50 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
 
SHAH ALAM - Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap pandangan seperti haram dan berdosa mengundi DAP tidak membawa kemudaratan, dan 'fatwa' sedemikian perlu diteliti semula dalam konteks politik sebenar negara ini.

Mohd Asri berkata, oleh kerana perkara tersebut merujuk kepada DAP, rakan politik dalam Pakatan Rakyat (PR), Barisan Nasional (BN) juga ada parti komponen yang mempunyai pendirian seakan sama dengan DAP.

"Itu, kalau kita kata haram, kena melihat pada alasan mengapa kita kata begitu.

"Kalau kita kata haram (mengundi DAP) kerana dia tidak menyokong negara Islam, ada juga parti dalam BN seperti MCA dan MIC tidak menyokong... jadi kita mengambil pendirian sebahagian sahaja (dalam mengatakan haram dan dosa)," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Mohd Asri mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat Abdullah Sa'amah, dipetik Utusan Malaysia kelmarin bahawa bahawa umat Islam tidak boleh menyokong DAP kerana ia haram serta berdosa.

Gesaan itu adalah ekoran pendirian parti Pas untuk terus bekerjasama dengan DAP sedangkan pengerusi DAP Karpal Singh berkeras supaya Pas menggugurkan niat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Mohd Asri, Ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia dan baru pulang ke tanah air selepas dilantik sebagai felo di Pusat Pengajian Islam Oxford selama lapan bulan menambah, jika perkara tersebut dilihat secara menyeluruh dan perlu dibincangkan, ia harus dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membuat keputusan.

"Kita tidak boleh membuat fatwa sendiri, kita kena bincang perkara ini supaya tidak bercelaru," kata beliau sambil berkata, pandangan sedemikian tidak wajar membawa kepada kemudaratan dalam negara yang penduduknya pelbagai kaum dan agama.

Katanya, realiti politik di negara ini berbeza dan ia disedari oleh komponen Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

Sambil menekankan bahawa beliau tidak mahu menyentuh secara mendalam soal fatwa, Mohd Asri berkata, jika DAP dilabel sebagai "kafir harbi", ia akan membawa kesan yang mendalam, seolah-olah meminta orang Islam  berperang.

"Saya tidak kata apa yang diperkatakan itu betul atau salah, tetapi kenyataan dikeluarkan mengenai soal haram dan dosa, perlu diteliti semula, kemudian boleh berbincang. Saya lihat itu hanya pandangan peribadi sahaja," kata beliau lagi.

"Kemungkinan dia tidak tahu kesan kenyataan, kesan perkataan dikeluarkan, tidak tahu bahawa ia boleh membawa kepada permusuhan, tidak baik bagi negara majmuk dan pelbagai agama seperti Malaysia," katanya.

Mohd Asri juga berkata, beliau tidak memihak kepada PR atau BN yang ada parti komponen atau wakil rakyat bukan Islam.

"Juga ada wakil bukan Islam dalam kerajaan. Jadi, kita perlu fikir semula perkara (kenyataan) itu semula," katanya lagi.

"Haram perlu kedua-dua sebelah. Kita tidak boleh memilih, hanya satu parti... jadi kita memerlukan penjelasan, kita kena menjustifikasikan," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, pada 1980-an, Pas sendiri pernah berpendirian sedemikian dengan menggunakan perkataan kafir ke atas penyokong BN.

"Tetapi hari ini mereka sedar bahawa pemerintahan negara ini memerlukan sokongan pelbagai pihak. Pas sudah berubah. Dan, hari ini seolah-olah Umno mengambil pendirian macam Pas tahun 1980-an.

"Esok, keadaan akan berubah. Jadi kita boleh menggunakan agama sebagai panduan berpolitik, tetapi tidak harus menjadikan ia sebagai instrumen politik.

"Agama mengatasi politik. Jadi, kita jangan campur aduk politik dan agama, jangan gunakan agama untuk politik," katanya lagi.

Kementerian Pelajaran tidak halang PIBG kumpul dana

Posted: 09 Aug 2012 06:49 PM PDT

SINAR HARIAN

Datuk Wee Ka Siong
Datuk Dr Wee Ka Siong 
 
IPOH - Kementerian Pelajaran mengalu-alukan inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah mengutip derma bagi mengumpul dana untuk tujuan aktiviti pelajar dengan syarat ia perlu mendapatkan kelulusan pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Timbalan Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pengarah JPN perlu memperhalusi sebab dan tujuan kutipan derma itu sebelum memberikan kelulusan.

"Kita mengalu-alukan apa juga inisiatif di bawah persatuan (PIBG) itu tetapi ia tertakluk kepada kelulusan pengarah JPN...perlu perhalusi permohonan itu," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek bantuan modal Sekolah Bantuan Kerajaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di SMJK Sam Tet di sini hari ini.

Beliau  mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah kerana ia sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia.

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan  menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.

Bagaimanapun beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan derma seperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dan sebagainya.

Wee berkata pihak kementerian tidak pernah menghalang inisiatif PIBG bagi mengumpul dana contohnya bagi tujuan pembinaan gelanggang sukan yang lebih canggih dan moden serta program peningkatan akademik pelajarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian akan selesai mengagihkan bantuan modal kepada semua Sekolah Bantuan Kerajaan dalam tempoh sebulan mulai Ogos.

"Majoriti sekolah akan terima sebelum Aidilfitri, namun kerana kita akan bercuti hari raya ada negeri yang akan menerimanya selepas itu.

Kita akan menjadualkan semula  penyerahan bantuan itu," katanya.

Beliau berkata pembayaran bantuan modal kepada SJKC, SJK Tamil, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Mubaligh adalah janji kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012.

"Kerajaan sangat komited untuk bidang pendidikan dan inilah janji kita yang semuanya ditepati," katanya
Bagi negeri Perak bantuan modal sebanyak RM16.53 juta diagihkan kepada 96 buah SJKC dan 17 buah SMJK, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: