Nuffnang

Pengikut

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

0
sumber :-

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


SATU KEPALA RM25 UNTUK MAKAN, MUNASABAH KE?

Posted: 15 Jul 2011 08:30 PM PDT

Ghairah bela diri PDRM akui salah guna dana awam. Tahan lebih ramai atau
Polis 'curi' wang rakyat ? Ketua Polis sila jawab !


Polis sibuk nak bela diri kononya semua peserta himpunan BERSIH 2 diberikan layanan sempurna. Baca kenyataan Polis yang dilaporkan media kononya menyatakan RM25 seorang menjadi peruntukan yang digunakan untuk membiayai makan minum peserta ketika ditahan.

Bila ditanya kepada orang - orang yang ditahan mereka menyatakan mereka makan Ayam Goreng, Sayur, Sambal dan Nasi Kosong beserta dengan air manis. Hah! adakah ini harganya RM25 satu orang.

Pergilah ke mana - mana pembekal makanan memasak, tanyakan harga menu tersebut untuk lebih dari 1000 orang makan secara buffet... rata-rata akan mengatakan RM6 satu kepala malah ada yang akan menawarkan semurah RM4 sahaja jika cara pembayaran dipermudahkan.

Makanya PDRM keluar buget (wang rakyat) RM25. Mana pergi lagi RM20 ? Ini melibatkan salah guna kuasa... SPRM digesa masuk dan menyiasat perkara ini ....

Sebenarnya perkara ini sememang berlaku lama .... makanan dalam lokap siapa pernah periksa berapa harga diperuntukkan dan bagaimana mutu makanan disajikan dan siapa yang meraih keuntungan 'rasuah' tersebut ?
Link
Satu lagi teori menurut orang - orang yang ditahan, menurut mereka yang ditahan sebenarnya menjangkau lebih dari 3500 orang, tetapi sebaliknya yang diistiharkan hanya 1000 lebih. Mungkin saja kalau jumlah wang dibelanja untuk makanan kalau jumlah tahanan lebih ramai mungkin membawa ke jumlah harga munasabah...

Sekarang ini PDRM kena jawab mereka tahan lebih tapi tak istihar atau ada kegiatan 'rasuah' dalam membelanjakan wang rakyat dalam menyediakan makanan orang yang ditahan./Chegubard

VIDEO MAT SABU - JIKA POLIS JAGA UMNO, BILA UMNO TUMBANG POLIS AKAN TUMBANG

Posted: 15 Jul 2011 01:14 PM PDT


bumiperak

0
sumber :-

bumiperak


Demonstrasi bukan ajaran Islam?

Posted: 15 Jul 2011 07:23 AM PDT

Johor Bahru 14 Julai 2011 Sheikh Ahmed Tijani ulama yang menetap di Amerika Syarikat kelahiran di Accra, Ghana dihebahkan pakar undang-undang dan prinsip Islam merangkumi bidang Perbandingan Agama, Astronomi, Sains Spiritual dan Penyembuhan, Puisi Ketuhanan dan Rukyah, Penulisan Lagu dan Nyanyian serta Seni Halus dan Kebudayaan. 

Beliau menyuarakan pandangan ketika ditemui selepas syarahan umum bertajuk 'Kuasa Penyembuhan Al-Quran Yang Menakjubkan' di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dekat sini semalam. Katanya pihak yang merasakan 'suara permasalahan' mereka tidak didengari, maka keutamaan adalah mendengar 'suara' Allah dan pesanan Rasulullah SAW.

"Dengan nama Allah dan Rasulullah SAW, saya rayu umat Islam di negara Islam yang paling indah di dunia ini agar jangan keluar berarak di jalan raya menuntut apa sekalipun. Sebaliknya sebarang permintaan perlu melalui cara bijaksana seperti mana diperintahkan Allah.

"Jumpa ketua dan beritahu masalah untuk dibincang, inilah yang diperlukan. Tetapi kalau membelakangi pemerintah, sama dengan meninggalkan Allah, Rasulullah SAW, al-Quran dan hadis. Keluar ke jalanan dipengaruhi dan dipandu oleh syaitan," katanya.
Hujah kita begini:
Membaca kenyataan sebilangan pihak tertentu, bahawa kononnya demonstrasi adalah amalan yang bercanggah dengan Islam, terlintas di pemikiranku, sebuah buku tulisan Ustaz Rasul Dahri tentang demonstrasi yang bertajuk "demonstrasi adalah maksiat bukan jihad"

Didalam ulasan beliau, banyak mengkaitkan demosntrasi dengan tindakan golongan Khawarij yang telah melakukan pemberontakan terhadap khalifah ketika itu. Dengan alasan yang demikian, beliau mengistinbatkan bahawa demonstrasi adalah sesuatu yang maksiat kerana melawan kerajaan ketika itu.

Melihat kepada perbahasan ini, aku sebagai seorang yang tidaklah mempunyai ilmu yang banyak, tetapi, walaubagaimanapun, penilaian yang dapat dilakukan adalah, tafsiran dan pendedahan yang dilakukan oleh Ustaz Rasul Dahri itu menggambarkan bahawa dia tidak berpegang kaedah ;

الحكم على شئ فرع عن تصوره

Maksudnya;
"Hukum atas sesuatu adalah furuk (cawangan) dari gambarannya"
Ustaz Rasul Dahri meletakan sesuatu hukum, tanpa melihat kepada keadaan sesuatu benda yang hendak dihukumkan. Ekoran dari itu, hukum yang dijatuhkan itu menjadi 'berat sebelah' dan bersikap zalim.

Bertambah zalim lagi, buku 'Demonstrasi adalah maksiat bukan jihad' karangan beliau disebarkan di Malaysia. Ini kerana, suasana dan bentuk demonstrasi yang diadakan di zaman Khawarij dan di Malaysia adalah dua bentuk dan maqasid yang berbeza.

HAKIKAT DEMONSTRASI

Demonstrasi adalah satu kalimah inggeris yang diambil dari kalimah demonstration. Mengikut terjemahan melayu, Demonstrasi dimaksudkan dengan 'perhimpunan tunjuk perasaan'.

Didalam Kamus Dewan Bahasa, Demonstrasi mengandungi dua makna. Pertama: penerangan, peragaan, penunjukan tentang cara kerja sesuatu mesin, keluaran dan lain-lain; Kedua: tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak dan lain-lain.

Melihat kepada dua makna tersebut, makna yang kedua adalah yang paling tepat dalam perbahasan kita ini.

Di dalam Bahasa Arab, Demonstrasi dipanggil dengan MUZHAHARAH. Di dalam perbahasan Islam, Islam membahagikan demonstrasi kepada dua bentuk, iaitu (1) demonstrasi liar dan (2) demonstrasi aman.

Demonstrasi liar adalah demonstrasi yang bersifat sekumpulan masyarakat di tempat-tempat umum untuk menuntut dan membantah perkara-perkara tertentu yang sudah menjadi tugas negara atau orang yang bertanggungjawab. Di dalam Demonstrasi ini, para penunjuk perasaan biasanya akan melakukan kerosakan, rusuhan, kemusnahan, membakar harta milik negara, harta umum ataupun harta individu.

Adapun Demonstrasi aman iaitu perbuatan sekumpulan masyarakat untuk menyokong, menuntut dan juga membantah sesuatu. Tindakan ini tidak akan disertai aktiviti merosakkan, menghancurkan atau membakar harta benda negara, awam atau individu. Para penunjuk perasaan akan sentiasa memerhatikan dan mematuhi hukum-hukum syara', nilai-nilai Islam dan kemaslahatan umat Islam. Mereka juga akan sentiasa menjaga adab-adab sebagai orang Islam.

ISLAM DAN DEMONSTRASI

Melihat kepada hakikat dua demonstrasi yang didedahkan, maka kita dapat menilai, yang mana satukah demonstrasi yang diharamkan dan demonstrasi yang dibenarkan didalam Islam.

Demonstrasi liar adalah sesuatu tindakan yang diharamkan didalam Islam, maka tafsiran dan qiasan yang dilakukan oleh Ustaz Rasul Dahri terhadap demonstrasi seperti demonstrasi yang di lakukan oleh Khawarij, maka itu adalah demonstrasi mengikut tafsiran yang pertama.

Adapun Demonstrasi aman, maka itu dibenarkan didalam Islam. Ini kerana, banyak bukti-bukti dan dalil-dalil yang menyatakan keharusannya. Antara dalil-dalil tersebut adalah seperti berikut;

a. Rasulullah SAW pernah melakukan demonstrasi aman di kota Makkah. Peristiwa ini terjadi setelah Nabi SAW diperintahkan oleh Allah Ta'ala supaya berdakwah secara terang-terangan. Baginda lalu memerintahkan kaum Muslimin keluar dan berjalan membentuk dua barisan menuju Ka'bah. Satu barisan dipimpin oleh Umar ibn al-Khattab dan yang satu lagi dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Muthalib. Dengan diiringi laungan takbir dan kalimah suci La ilaha illallah, kaum Muslimin berjalan mengelilingi Ka'bah. Rasulullah sendiri berada di dalam kelompok tersebut memberi arahan.

b. Rasulullah SAW juga pernah menghimpunkan kaum Quraish di Bukit Safa untuk menyeru kepada mereka supaya beriman kepada Allah dan menjelaskan bahawa Baginda adalah Rasul yang diutus Allah kepada manusia.
c. Melihat kepada falsafah Haji, yang mana, Allah mengizinkan haji hanya dilakukan di Mekkah di hari-hari yang ditetapkan sahaja. Disamping mengerjakan haji, di suruh supaya melakukan tawaf dan bertalbiyyah sebagai cara hendak menyatakan hasrat hati dan 'tunjuk perasaan' didepan Allah.

Melihat kepada 'istidlal' ini, tidaklah Islam melarang Demonstrasi secara mutlak, seperti yang didakwa oleh Ustaz Rasul Dahri itu.

Sekiranya, cara non muslim sahaja menggunakan demonstrasi menjadi hujjah atas larangan berdemonstrasi, maka perlu difahami bahawa tidak semua perkara yang datang dari orang yang bukan Islam adalah di tolak, bahkan ada perkara yang datang dari bukan islam, di terima dan dibenarkan diamalkan didalam Islam, tetapi kebenaran tersebut, hendaklah berdasarkan kepada ketiadaan percanggahannya dengan nas-nas yang qatii dan yang lebih jelas.

Antara dalil mengatakan, tidak semua cara non muslim mesti di tolak adalah seperti berikut;

a. Sirah menjelaskan, ketika berlaku peperangan ahzab, Rasulullah SAW telah meminta pandangan dari kalangan sahabat supaya menyatakan pandangan-pandangan mereka. Lalu telah memberi pandangan oleh Salman Al-Farisi dengan menggali parit dengan alasan, taktik peperangan itu diamalkan oleh golongan Majusi (golongan yang menyembah Api) di Farsi ketika itu. Mendengar pandangan tersebut, Rasulullah menerimanya.
b. Di dalam sirah juga jelas menyatakan penerimaan Rasulullah SAW menjadikan golongan kuffar quraish yang ditawan dalam peperangan Badar, supaya menjadi guru-guru yang mengajar kepada anak-anak orang Islam di kala itu.

Dengan hujjah-hujjah ini, dapatlah kita membuat kesimpulan, bahawa Islam tidak melarang melakukan demonstrasi yang aman, tetapi Islam melarang demonstrasi liar.

PERSOALAN YANG TIMBUL

Membaca buku 'demonstrasi adalah maksiat bukan jihad' karangan Ustaz Rasul Dahri itu, terlintas di pemikiran ini, apakah yang diingini oleh Ustaz Rasul Dahri. Ini kerana, buku itu disebarkan di negara ini.

Apakah Ustaz Rasul menganggap bahawa Malaysia pimpinan UMNO dan BN ini adalah kerajaan Islam seperti kerajaan Islam dibawah kepimpinan Saidina Osman?

Sekiranya itulah sangkaan Ustaz Rasul, maka jelas Ustaz Rasul telah tersasar dari jalan yang lurus, ini kerana, kerajaan Islam Hadhari Malaysia bukanlah kerajaan Islam mengikut metod dan bentuk kerajaan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan Khulafa ar-Rasyidin, bahkan ianya adalah kerajaan secular yang sesat dan menyesatkan.

Pembuktian ini jelas dari sandaran kerajaan bukanlah kepada al-quran dan al-hadis, tetapi sandarannya adalah perlembagaan persekutuan yang ditubukan oleh suruhanjaya red yang bernama lord red.

Adapun mengikut metod kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Rasulullah SAW, bahawa didalam perlembagaan Madinah itu ada tersebut;


انكم مهما اختلفتم فيه من شيء فان مرده الى الله عز و جل والى محمد – صلى الله عليه و سلم

Maksudnya;
"Sesungguhnya kamu, apabila kamu berbeza-beza padanya daripada sesuatu perkara, maka sesungguhnya, tempat kembalinya adalah kepada Allah dan kepada Muhammad s.a.w"(Lihat "Al-Bidayah Wa An-Nihayah" (3/232) : Al-Hafiz Abi Fida' Ismail bin Kathir : Dar At-Taqwa : tanpa tarikh)


Wallahu a'lam.

Bahan Rujukan

1. Al-Fatawa : Dr Atiyyah Saqqar
2. Al-Fatawa Al-Maasirah : Dr Yusuf Al-Qaradhari
3. Al-Bidayah wa An-Nihayah : Imam Ibnu Kathir.
4. Dewan Bahasa dan Pustaka
5. Demonstrasi adalah maksiat, bukan jihad : Ustaz Rasul bin Dahri.
6. Utusan Malaysia.

Al-Bakistani

MIMPI SENJA

0
sumber :-

MIMPI SENJA


BERSIH 2.0 : "Bagi Cina semua keluar dahulu, kita jalan nanti ..."

Posted: 15 Jul 2011 10:05 PM PDT

Pada 9 Julai 2011, saya menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0. Saya dibasahi hujan, dua hari keletihan dan saya merehatkan diri selama dua hari, sekarang barulah ada mood untuk mencatatkan perasaan saya. Ramai warga internet telah menulis kisah 709 masing-masing, maka saya cuma nak mencatatkan adegan-adegan yang memahat hati sahaja.

1. Saya berkenalan dengan kawan Melayu baru. Seorang ahli PAS yang berpengalaman dalam demonstrasi sebelumnya memegang tangan saya, "Terima kasih kerana sokongan kamu (orang Cina)". Saya menjawab, "Ini usaha yang saya patut lakukan. Ini negara saya juga." (Rupa-rupanya dari pandangan mereka, orang Cina hanya mengaut keuntungan dan mengutamakan keuntungan sahaja. Jadi mereka amat gembira apabila ternampak dua tiga wajah orang Cina.) - seterusnya DI SINI

BERSIH 2.0 : Pengalaman YB Khalid Samad pada 907

Posted: 15 Jul 2011 09:47 PM PDT

16 JULAI — Pengalaman saya bersama Perhimpunan Bersih 2.0 bermula pada jam 11 pagi apabila saya dengan seorang teman dari PAS Shah Alam menuju ke Kuala Lumpur. Pada mulanya kami mencuba Lebuh Raya Persekutuan. Ianya sesak dari sebelum Tol Batu 3. Kami cuba pintas melalui Glenmarie. Trafik sesak di hadapan kilang pengedar kereta BMW. Kami memutuskan untuk berpusing balik dan mencuba pula melalui Elite/PLUS menuju ke KLIA. Masuk di Batu 3, keluar di Tol USJ. Seterusnya menuju ke arah Puchong. Seterusnya kami menyusuri Jalan Gasing dan melalui kawasan Universiti Malaya sehingga keluar di Jalan Pantai. Dari situ terus menuju ke KL Sentral.

Sekatan jalan oleh polis di merata tempat. BN menyusahkan rakyat semata-mata kerana hendak menghalang program yang menegur mereka. Turut bersimpati dengan pihak polis, berpanas dan mendapat sumpahan rakyat berbakul-bakul semata-mata kerana Umno/BN. Hanya pencuri dan BN yang bergembira dengan penggunaan polis secara sebegini. Tetapi, kalau difikirkan, memang terdapat persamaan di situ. Pencuri mencuri secara "illegal", BN mencuri harta rakyat melalui cara "legal".

Setibanya kami di jalan Brickfields, saya turun di tepi jalan dan berjalan kaki menuju ke KL Sentral. Terserempak dengan sahabat bermotosikal dan membonceng ke hadapan kawasan KL Sentral. Berjalan kaki pula menuju ke Hotel Hilton yang berada di sebelahnya. Saya berjalan berhampiran beberapa anggota polis tetapi mungkin oleh kerana saya bertegur sapa seorang pelancong dari Australia dan bersembang sambil berjalan dengan beliau, mereka tidak perasan akan saya. Mungkin juga saya dianggap sebagai "pemandu pelancong" ataupun tourist guide.

Saya masuk ke Hotel Hilton dan dari lobi, terus menuju ke atas untuk bersama pimpinan. DSAI telahpun berada di situ bersama Datuk Ambiga dan Lim Kit Siang. Beberapa pimpinan PAS juga sudah di situ apabila saya sampai. TG Abdul Hadi sampai pada jam 1 tengah hari. PC dibuat dan mereka menyatakan secara jelas apa itu Bersih 2.0 dan matlamat yang ingin dicapai. PR juga menyatakan sokongannya terhadap Bersih 2.0.

Selepas solat Zohor yang diimamkan TG Abdul Hadi kami mula bergerak ke bawah. Sampai sahaja kami ke lobi, pelanggan di restoran di kawasan lobi hotel itu tiba-tiba berdiri dan menepuk tangan menunjukkan sokongan. Termasuk pelancong-pelancong yang mengikuti perkembangan negara, mereka semua faham apa yang kami inginkan akan membawa kebaikan untuk negara. Hanya Umno tidak mahu faham kerana mereka lebih pentingkan kebaikan diri mereka sendiri! Ada dikalangan pelanggan, bangun untuk turut bersama. Sambil menunggu tadi, mereka minum di restoran hotel, membawa business juga pada hotel tersebut nampak gaya!

Kami keluar pintu utama hotel dan terus tuju ke bangunan KL Sentral. Sambil keluar saya menoleh ke belakang dan mata saya mengesahkan, tiada meja yang diterbalikkan, tiada kerusi yang dicampak dan tiada bahagian yang dibakar di Hotel Hilton! Kami himpunan aman, bukan perusuh.

Sambil keluar saya melihat hari sedang hujan. Hujan rahmat yang akan mengurangkan kesan keperitan gas pemedih mata, terfikir saya. Bila tiba di salah satu pintu masuk KL Sentral, ada anggota polis yang cuba menghalang kami dari masuk, tetapi tidak berjaya. Kami masuk ke dalam dan tiba-tiba, orang ramai yang berada di dalam bersorak menyambut ketibaan kami. Jumlah yang asalnya hanya berpuluh, tiba-tiba disertai ramai yang telah berada di dalam, menjadi beratus! Kami terus mara dan keluar dari bangunan KL Sentral, dibawa melalui tangga besi ke tingkat bawah.

Yang menyertai kami di KL Sentral terdiri dari rakyat biasa yang menyokong kami. Mereka menunggu kami dan sambil menunggu, mereka membeli minuman dan makanan di kedai-kedai di KL Sentral. Semasa mereka bangun untuk menyertai kami, tiada kedai yang dibakar, kerusi yang dibaling atau meja yang dipecahkan. Kerana kami berhimpunan secara aman yang ingin menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, bukan perusuh. Kami ingin lawan melalui pilihan raya, bukan melalui huru hara. Itu sebab pilihan raya perlu adil dan bersih.

Di tingkat bawah, kami berada di kawasan yang bagaikan sebuah terowong, kiri kanan berdinding. Mereka yang di depan membawa kami terus mara lagi menuju ke jalan keluar untuk ke Stadium Merdeka. Bila sampai di pintu "terowong" tiba-tiba kelihatan satu barisan anggota FRU menghalang jalan. Kami berada lebih kurang 20 meter dari mereka. Kami berhenti, pimpinan berada di saf hadapan. Saya di saf yang ketiga. Tiba-tiba berbunyi siren dari belakang. Land Rover FRU menuju ke arah kami dari belakang, inginkan laluan untuk ke depan. Kami memberinya laluan tanpa apa-apa tindakan khianat dari pihak kami.

Setelah Land Rover tersebut berada di hadapan, saya menoleh ke belakang, ingin melihat sekiranya ada pasukan FRU yang sedang mara ke arah kami. Orang sudah ramai, beresak-esak, dalam keadaaan kebimbangan kerana kami terperangkap dalam terowong tanpa adanya jalan keluar. Di depan FRU dan di belakang pun sudah begitu. Kami datang bukan untuk berentap dengan FRU tetapi BN menghantar FRU untuk menyerang kami.

Tiba-tiba saya mendengar bunyi tembakan dan dengan serta-merta, cermin-mata saya terpelanting ke depan. Asap gas pemedih mata mula berkepul-kepul. Tembakan datang dari depan dan belakang. Pada saat itu saya terfikir saya perlu mencari cermin-mata kerana semua menjadi kabur tanpanya. Tetapi suasana kelam kabut menyedarkan saya bahawa itu tidak mungkin saya lakukan. Gas pemedih mata mula terhidu. Saya teringat beg plastik yang berada di dalam kocek seluar saya dan dengan segera membukanya sehingga dipenuhi udara serta bernafas melaluinya dengan menutup hidung dan mulut saya dengannya. Beg plastik itu adalah pembalut baju Bersih 2.0 yang diberikan kepada saya semasa diatas.

Pada ketika itu saya tidak sedar bahawa kepala saya terkena kelonsong gas pemedih mata dan sudah mula berdarah. Saya bersama rakan saya dari Shah Alam, saudara Zainal, yang ditugaskan untuk menemani saya, bergegas ke belakang dan ternampak "lubang" di tepi dinding di sebelah kanan kami. Kami menuju ke lubang tersebut.

Sambil ke sana saya melihat A. Samad Said terduduk tersandar di tepi dinding. Beliau orang lama, pasti umurnya lebih 70 tahun. Dia tentu tidak mampu untuk beredar dari terowong yang semakin penuh dengan gas pemedih mata. Turut kelihatan beberapa pemuda yang duduk bersama beliau.

Semasa sidang akhbar sebentar tadi A. Samad Said turut bercakap. Beliau berkata, telah tiba masanya untuk sasterawan terlibat dalam pencorakan negara kerana kerosakan yang semakin melanda. Saya kagum dengan beliau. Kebiasaannya, orang seperti dia akan berehat di rumah, bermain dengan anak cucu. Malangnya kebobrokan pemerintah memaksa beliau ke jalan raya, walaupun sudah cukup berusia. Mengapa? Kerana dia tidak ingin mewariskan kepada yang muda suatu negara yang hancur dan budaya politik yang muflis dari segi akhlak dan amanah! Celaka BN kerana merampas ketenangan zaman usia emas darinya!

Kelihatan juga beberapa wanita yang terduduk di atas jalan, tercungap-cungap kepedihan, hadiah dari BN yang ingin terus mempertahankan proses pilihan raya yang kotor. Mereka sedar akan risikonya tetapi mereka ingin juga melihat perubahan dan keadilan. Apa akan mereka warisi sekiranya kepincangan diteruskan dan kekayaan negara terus disalah-gunakan? Oleh itu mereka datang walaupun tahu kemungkinan mereka akan dilayani sebegitu rupa oleh BN.

Pada ketika itu saya tersedar bahawa beg plastik yang saya bernafas melaluinya sudah mula basah, berisi dengan sesuatu cecair yang berwarna gelap. Sahabat saya lantas memberitahu saya bahawa saya telah terluka di bahagian kepala. Beg plastik dipenuhi darah!

Saudara Zainal membawa saya terus menuju ke lubang yang kelihatan tadi. Terpaksa kami melalui di bawah dua batang paip air untuk sampai ke lubang tersebut. Sebaik sahaja melalui lubang itu, kami dapati kami memasuki kawasan pembinaan. Ada beberapa pekerja di situ. Kami bertanya jalan keluar dan dengan segera mereka menunjukkan kami jalan untuk melepas diri.

Zainal meminta saya berhenti dan baju Bersih 2.0 yang saya pakai di atas baju T-shirt saya digunakan untuk membalut kepala saya untuk mengurangkan pendarahan. Pada masa itu kelihatan baju saya penuh dengan kesan darah. Saya duduk sambil dia dan beberapa lagi rakan seperjuangan membalut kepala saya. Ada bersama pemuda dari kawasan Selayang. Ada juga pemuda dari Sarawak! Pemuda dari Selayang memberikan saya tuala kecil yang sudah dibasahkan untuk membersihkan muka dari kesan darah.

Sambil itu semua dilakukan, dua orang lagi pemuda keluar dari kawasan pembinaan tersebut untuk mendapatkan teksi untuk saya. Bila ada teksi ditahan, maka mereka memanggil saya untuk menaiki teksi tersebut. Zainal menutup kepala saya dengan beg plastic kuning yang dia bawa bersama. Takut luka dibasahi hujan. Pemuda Sarawak memberi pula jaket hitamnya untuk menutup kepala saya juga, takut air hujan akan membasahi luka saya.

Saya dan Zainal menaiki teksi dan meminta pemandu membawa kami ke hospital. Pemandu itu melihat pada saya dan terus menyedari saya salah seorang yang menyertai perhimpunan Bersih. Dia nampak saya sedang cedera dan dengan segera dia membawa kami pergi. Sambil dalam perjalanan dia cukup berhati-hati, mengelak kawasan yang dijaga polis.

Setibanya kami di hospital, di bahagian kecemasan, saya dibawa untuk bertemu doktor yang bertugas. Pembantu Hospital (HA) ramai bertanya akan keadaan di Kuala Lumpur sambil menunjukkan sokongan mereka terhadap apa yang diusahakan. Sambil berbincang saya dicucuk dengan cucukan anti-tetanus, tekanan darah dibaca dan keadaan jantung diperiksa melalui ECG. Orang biasa yang berada di hospital turut bertanya apa yang sedang berlaku. Sambil menunggu keluarga mereka yang dirawat, sokongan mereka terhadap apa yang dituntut oleh Bersih jelas disuarakan.

Ada seorang peserta himpunan aman Bersih yang cedera telah tiba di hospital sebelum saya. Beliau lagi parah. Kelongsong gas pemedih mata terkena di dadanya dan melantun ke atas melanggar dagunya. Tulang dagunya patah menyebabkan dia tidak boleh bercakap dengan jelas.

Para doktor dan jururawat yang merawat saya begitu bersimpati dengan usaha kami. Sambil menjahit luka saya setelah kepala di X-ray, ada yang bertanya kehairanan terhadap cara perhimpunan itu ditangani. "Apa salahnya? Kenapa tidak dibenarkan sahaja? Apa yang diminta sememangnya patut" kata salah seorang doktor sambil menjahit enam jahitan dikepala saya. "Kami sokong, tapi terpaksa menikus" katanya lagi.

Itulah Malaysia, negara kesayangan kita semua. Bumi di mana golongan bijak pandai ditakut-takutkan. "Kalau bersama himpunan Bersih, tindakan akan diambil! Semua pegawai kerajaan diharamkan untuk berserta! Mahasiswa, mahasiswi, pensyarah, cikgu-cikgu, kalau terlibat, nahas kamu!" kata-kata perangsang pemerintah yang memerintah melalui penindasan dan ugutan. Ya Malaysia, bukannya Myanmar ataupun Kampuchea di bawah Pol Pot. Kehebatan negara ini dan segala kelebihannya hancur di tangan pemerintah yang mementingkan diri.

Itulah sebabnya perubahan itu perlu. Perubahan demi membebaskan Malaysia dari barisan pemimpin yang sudah lupa diri, tenggelam dalam harta dan kemewahan yang dicuri dari rakyat. Ianya hanya dapat dilakukan sekiranya pilihan raya itu adil dan bersih. Itulah sebabnya mengapa usaha Bersih perlu diteruskan.

Pada masa itu waktu sudah pukul empat petang. Saya menerima SMS bahawa TG Abd Hadi telah ditahan. DSAI dihantar ke hospital kerana turut cedera. Lebih kurang 1,400 orang ditahan polis. Tetapi, LKS tidak mampu ditahan polis walaupun beliau "separuh rabun" kerana baru sahaja menjalani pembedahan mata! Sedangkan beliau bersama di saf hadapan. Adakah ini merupakan sebahagian dari tipu muslihat mereka? Ingin ditonjolkan kononnya bahawa hanya Melayu sahaja yang terlibat sambil mengelakkan kemarahan masyarakat Cina?

Namun demikian, maklumat seterusnya yang saya terima melalui SMS menyatakan, himpunan Bersih 2.0 berjaya dihadiri berpuluh ribu rakyat berbilang kaum di beberapa tempat termasuk di Stadium Merdeka dan Puduraya! Sambil itu, perhimpunan turut diadakan di beberapa bandar utama di serata dunia!

Saya kembali ke rumah selepas itu, walaupun perit gas pemedih mata masih terasa dan luka di kepala masih menyengit, tetapi hati tetap gembira dengan kejayaan perhimpunan tersebut. Saya kemudiannya dikunjungi beberapa sahabat yang kembali dari Kuala Lumpur. Mereka menceritakan pengalaman mereka sambil ingin tahu keadaan saya. Semua merasa bangga dengan kejayaan perhimpunan tersebut dan tiada sesiapa, termasuk saya, merasa kesal kerana telah bersama. Ini adalah kerana, kami telah turut menyertai suatu perhimpunan yang telah melakar sejarah dalam mencorak masa depan tahah air. InsyaAllah, angina perubahan kencang akan terus kekal bertiup di bumi Malaysia ini! — harakahdaily.net

* Khalid Samad adalah Ahli Parlimen Shah Alam.

BERSIH 2.0 : Tindakan polis tak beradab

Posted: 15 Jul 2011 08:32 AM PDT

Hospital dan rumah ibadat ialah kawasan larangan bagi polis membuat serbuan mahu pun semburan air kimia ketika himpunan aman. Maka tindakan yang dilakukan polis ketika himpunan Bersih minggu lalu adalah tidak beradab, kata bekas Ketua Polis Daerah Baram, Sarawak, Voon Lee Shan.

Menyatakan semua tangkapan pada hari tersebut sebagai tidak sah, Voon menjelaskan peserta himpunan yang dikasari perlu mempertahankan hak mereka, termasuk mendakwa kerajaan dan polis.

"Sedangkan orang yang bersalah atas dakwaan jenayah pun wajib diberi hak keselamatan dan perlindungan. Apa lagi peserta himpunan aman?

"Kalau orang yang dah berlindung di hospital pun – ditangkap, itu tak beradab. Tak berperikemanusiaan," kata Voon yang pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Pendakwaraya di Kuching selama 7 tahun.

Beliau menjelaskan, polis selalunya beralasan tindakan mereka dengan tujuan mempertahankan keselamatan dan menguatkuasa undang-undang.

"Tetapi polis perlu ingat, peserta himpunan juga mempunyai hak yang termaktub dalam undang-undang.

"Artikel 10 Perlembagaan Pesekutuan melindungi hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman. Undang-undang itu lebih unggul (superior) daripada Akta Polis yang kononnya digunakan untuk membenarkan tangkapan," katanya kepada Keadilandaily.

Ditanya mengenai serangan dan tembakan gas pemedih mata terhadap pemimpin Pakatan Rakyat di KL Sentral, Voon memaklumkan melalui pemerhatiannya, polis tidak mematuhi kaedah standard operasi (SOP)

"Mereka tidak berunding atau memberikan masa. Malah, tembakan amaran yang dilepaskan tak mengikut prosedur yang sepatutnya berjarak masa yang munasabah.

"Ini melampaui batas,. Kerajaan wajib bertanggungjawab atas tindakan mereka," jelas Voon.

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

0
sumber :-

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Hishammuddin Digesa Dedah Kos Operasi Banteras Bersih 2.0

Posted: 15 Jul 2011 07:27 PM PDT

SHAH ALAM 16 JULAI : Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein didesak supaya mendedahkan perbelanjaan yang ditanggung kementerian itu dalam operasi besar-besaran membanteras Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata, beliau difahamkan kos bagi operasi tersebut mencecah jutaan ringgit.

"Hishammuddin perlu dedahkan berapa perbelanjaan yang digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri sepanjang operasi itu berjalan apabila mengerahkan begitu ramai polis dengan segala logistiknya, makanan untuk pegawai bertugas selama beberapa hari menjaga dan mengawal Kuala Lumpur . Kita nak tahu sejak dari mula operasi sampai habis.

"Saya difahamkan perbelanjaan itu mencecah jutaan ringgit," katanya.

Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas memfailkan saman pemula terhadap empat individu termasuk Hishammuddin berhubung tangkapan yang dilakukan ke atas ahli Pas di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sebelum Himpunan Bersih 2.0 berlangsung pada 9 Julai lalu, polis telah mengerahkan anggotanya untuk mengambil tindakan serta menahan sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil itu.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat ditahan.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri menarik balik semua pengisytiharan pengharam terhadap Bersih 2.0 termasuk baju-T.

Semalam Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob berkata pihaknya akan mengambil tindakan termasuk merampas barangan dan menangkap individu yang menjual barangan yang mempunyai logo Bersih 2.0 pada Sabtu lalu kerana ia menyalahi undang-undang.

Tambahnya lagi, sebarang penjualan barangan termasuk pakaian seperti kemeja-T atau tali leher yang mempunyai logo penganjur perhimpunan haram itu adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Mat Sabu Selamat Jalani Pembedahan

Posted: 15 Jul 2011 07:26 PM PDT

SHAH ALAM 15 JULAI :Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu selamat menjalani pembedahan membetulkan ligamen lututnya yang terkoyak akibat dirempuh kenderaan Land Rover polis dalam perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Menurut isterinya Normah Alwi, suaminya menjalani pembedahan itu di Hospital Pakar KPJ Selangor di Shah Alam pada jam 3 petang hari ini.

"Sekarang ini dia stabil, OK, sudah makan dan sedar," katanya sambil menambah pembedahan itu mengambil masa kira-kira satu jam.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Normah berkata, doktor memasukkan skru sepanjang 2.5 inci ke belakang pelipat lutut kanannya yang mengalami kecederaan.

"Sekarang dia dipindahkan ke wad biasa kira-kira jam 5 petang tadi," katanya.

Setakat ini Mohamad belum menerima pelawat, tambahnya.

Menurut Normah juga, Mohamad akan bermalam di hospital itu selama tiga hari sebelum dibenarkan mendaftar keluar.

Sebagai isteri, Normah berkata beliau tidak dapat menerima tindakan polis yang didakwa mencederakan Mohamad.

"Saya tidak boleh menerima kejadian macam ini. Hanya Allah sahaja yang akan membalas orang yang berbuat zalim," katanya lagi.

Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS

Posted: 15 Jul 2011 05:14 PM PDT

Chen Shu Yong

... Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?" Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu. Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan. Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!" Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.

Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.

Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas susunannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya. Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!

Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!

Kami berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.

Kemudian saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi garam kepada saya.

Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.

Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, "Bukan manusia!"

Saya berehat seketika. Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun. Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam ini!" Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan....

Matlamat sama..

Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"

Nota: Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.

Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.

Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak.

Adegan yang terharu buat 1Malaysia: "Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti"

Posted: 15 Jul 2011 05:06 PM PDT

Pada 9 Julai 2011, saya menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0. Saya dibasahi hujan, dua hari keletihan dan saya merehatkan diri selama dua hari, sekarang barulah ada mood untuk mencatatkan perasaan saya. Ramai warga internet telah menulis kisah 709 masing-masing, maka saya cuma nak mencatatkan adegan-adegan yang memahat hati sahaja.

1. Saya berkenalan dengan kawan Melayu baru. Seorang ahli PAS yang berpengalaman dalam demonstrasi sebelumnya memegang tangan saya, "Terima kasih kerana sokongan kamu (orang Cina)". Saya menjawab, "Ini usaha yang saya patut lakukan. Ini negara saya juga." (Rupa-rupanya dari pandangan mereka, orang Cina hanya mengaut keuntungan dan mengutamakan keuntungan sahaja. Jadi mereka amat gembira apabila ternampak dua tiga wajah orang Cina.)

2. Seorang uncle Cina membawa isterinya dan dua orang anak yang usianya kira-kira 20 tahun. Tinggi, kurus dan kelihatan lemah. Beliau memesan anaknya, "Cepat, cepat ikut mereka (kelompok orang). Apa takut? Bukan suruh kita pergi mati pun? Jangan takut, kita bukan orang besar. Sekarang bilangan orang yang diperlukan (perhimpunan), kita mesti sokong!" (Kebanyakan ibu bapa akan memarahi anak mereka, agar tidak terlibat dalam perhimpunan. Mengapa pula keluarga ini "terbalik" keadaannya?)

3. Seorang Melayu yang agak lanjut usianya berkata kepada beberapa orang pemuda Cina, "Kita mahu tunjuk perasaan , bukan kemarahan." (EQ pemuda Melayu lebih tinggi daripada orang Cina kali ini, memang cukup kelayakannya untuk berkata sedemikian.)

4. Sepasang suami isteri membawa dua orang anak, yang usianya kira-kira 8 hingga 10 tahun, mengambil makanan ringan di atas tangga. Hati saya berfikir, "Berkelah ke?" Wanita Melayu itu menatap saya, seolah-olah memahami apa yang bermain dalam fikiran saya. Maka beliau senyum dan berkata, "Kami nak mereka tahu, dari kecil lagi, malah belajar bagaimana memperjuangkan demokrasi." (Lantas saya mengangguk-angguk kepala saya, agak malu dengan diri saya yang memandang rendah orang tadi.)

5. Sepasang suami isteri Melayu yang lanjut usianya, mengeluarkan topeng yang kelihatan seolah-olah alat mainan dari beg plastiknya, dengan tangan yang bergetar. Mereka dengan ghairah berkata kepada saya, "Kami ada buat persediaan, kamu ada?" (Hati saya berfikir, memang kamu perlukannya, sebab kamu tak dapat lari dengan cepat!)

6. Sepasang suami isteri Cina yang muda, bukan sahaja turun ke jalan raya, malah membawa kereta bayinya. Mereka memakai baju hujan semasa air hujan mencurah dari langit. Malah, kereta bayinya sudah disediakan dengan kain kalis air. Dengan cepat saya menutup kereta bayinya, kemudian bersama dibasahi hujan di situ. (Bayi pun turut serta dalam perhimpunan, comel juga bayi tu!)

(Selepas saya balik, saya menceritakan kisah ini kepada jiran saya. Makcik-makcik itu mencelah, "Aiyoh, buat apa pergi demo? Apa kena-mengena dengan kita? Memang tak ada otak langsung. Bawa bayi pulak? Mengapa tidak kamu marahnya?" Saya berbisik dalam hati, "Aunty, saya terasa nak marah kamu...")

7. Seorang Mat Salleh nampak saya mengejar untuk merakamkan gambar bagaimana FRU menyuraikan orang ramai. Beliau berlari mengikut saya, malah berulang-kali berkata kepada saya, "You must put it in the media." (Brother, kamu terlebih memandang tinggi teknik sayalah. Saya bukannya pro (profesional) sangat...)

8. Kawan Melayu saya memberitahu saya, dirinya mempunyai pengalaman yang banyak untuk berdemonstrasi - bagaimana beliau tidak gentar dengan kuasa, bagaimana bertahan sehingga akhir, malah beliau berjanji untuk menjaga saya. Ketika gas pemedih mata ditembak untuk pusingan pertama, beliau menarik saya dan berlari. Dalam hati saya tertanya-tanya, "Bukankah kamu kata nak bertahan sampai ke akhir?"

Selepas kami keluar dari kelompok manusia, beliau menunjuk ke satu arah, "Kamu jalan dari sini. Tunggu kami di Stadium Merdeka. Kami akan berjumpa kamu di sana. Hubungi kawan yang lain. Bilangan yang menyertai perhimpunan dah mencukupi sekarang. Saya percaya polis akan lebihkan serangannya. Kamu tak boleh singgah di sini."

Saya bertanya, "Macam mana kamu pula?" Dia jawab, "Saya nak ke baris depan, bersama kawan saya." Seterusnya, beliau memaling dan melangkah menuju ke kepulan asap gas pemedih...

Akhirnya, saya berhimpun dengan kawan saya di tempat yang berhampiran dengan stadium, dan menyertai perarakan terakhir yang menuju ke Stadium Merdeka. Polis mengejar dan menangkap. Saya tidak lagi menemui kawan Melayu saya itu lagi. Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa beliau telah ditangkap, bagaimanapun dibebaskan juga akhirnya.

Nota akhir:


Saya membaca pengalaman ramai peserta, termasuk cerita Aunty Anne yang membuatkan saya terharu. Tetapi saya tidak menitiskan air mata, sehingga saya terbaca catatan seorang warga internet,

"Adegan yang paling memahat ingatan saya sepanjang perhimpunan itu adalah, ketika kami sekumpulan orang melarikan diri dari tangkapan polis melalui pagar di belakang Hospital Tung Shin, orang Melayu menendang pagar itu dengan kakinya, dan berkata 'Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti'. Kata-kata ini terus menusuk hati saya, saya amat terkagum! Kini barulah saya menghayati apa makna sebenarnya 'saling menolong tanpa mengira kaum dan budaya dalam Satu Malaysia', dan bukannya '1 Bumi, 1 Malaysia' yang didukung Barisan Nasional'. "

Tiba-tiba saya sebak. Saya tahu apa yang dikatakannya adalah kisah benar, ini kerana kawan Melayu saya juga menjaga saya. Lebih-lebih lagi, kawan saya dalam Facebook rata-ratanya menceritakan pengalaman bagaimana sahabat Melayu menjaga orang Cina kali ini. Mungkin mereka menganggap orang Cina jarang menyertai perhimpunan, tiada pengalaman.

Mengapa saya tersentuh dengan hal yang remeh sebegini? Kerana saya amat memahami, orang Cina adalah kaum minoriti di Malaysia. Seandainya minda perkauman ini tidak dipecahkan, orang Cina akan tetap ditindas dan tidak dilayan dengan adil. Namun, kerajaan kita bersikap perkauman, ditambah pula PERKASA yang melaga-lagakan, hal ini sukar diselesaikan!

Perhimpunan ini melakar gambaran masa depan untuk saya, malah mengubah persepsi saya terhadap kaum Melayu secara menyeluruh. Seandainya dikatakan negara ini musnah kerana politikus dari kaum ini, maka negara ini juga akan bangkit kerana kaum ini! Saya masih menaruh harapan dan keyakinan terhadap kaum ini dan negara ini.

Kawan-kawan Cina saya, perhimpunan aman tidak menakutkan. Jom turun untuk sokong lain kali!

Penafian Najib Di Media Asing Tambah Kelukaan Rakyat

Posted: 15 Jul 2011 05:52 AM PDT



SHAH ALAM 15 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi membelakangi realiti Bersih 2.0 apabila mendakwa polis hanya menggunakan kekerasan ringan ketika menyuraikan Himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Kata-kata itu keluar dari mulut Najib ketika kali pertama beliau ditemu bual media asing berhubung Himpunan Bersih Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kenyataan Najib itu nyata sekali mengundang reaksi kurang senang penganalisis politik termasuk Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah yang menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai menambah luka di hati rakyat Malaysia.

Malah menurut beliau, Najib sekaligus membuka pekung di dada bahawasanya polis sememangnya menggunakan kekerasan untuk menyuraikan himpunan aman itu walaupun dikatakan "agak ringan".

"Apa yang dijelaskan di Britain adalah satu gambaran yag sebaliknya iaitu gambaran yang menafikan bahawa telah berlaku kelukaan pada rakyat sedangkan ia adalah satu proses pandangan rakyat terhadap pemimpin,"kata Dr. Abu Hassan kepada Tv Selangor.

Najib ketika ditemu bual CNN semalam berkata, pihak polis hanya menggunakan kekerasan minimum dalam usaha menyuraikan himpunan Bersih.

Namun lensa kamera dan seluruh media yang membuat liputan pada himpunan Bersih itu menyaksikan sebaliknya.

Gambar-gambar dan rakaman video di ibu negara pada 9 Julai lalu memperlihatkan tindakan kejam polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan tembakan gas pemedih mata dan semburan air kimia kepada para demonstran yang berjalan secara aman.

Malah ada di antaranya, FRU menembak gas pemedih mata secara terus kepada orang ramai yang sepatutnya dilepaskan 45 darjah ke arah udara.

Selain seorang meninggal dunia, puluhan mengalami kecederaan dan himpunan itu menyaksikan 1,667 peserta himpunan itu ditahan polis selama beberapa jam.

Namun Najib berkeras bahawa polis menjalankan tugas mereka dengan baik di sebalik kritikan keras pelbagai pihak.

"Tiada penggunaan tindakan yang tidak wajar dan penunjuk perasaan disuraikan dengan menggunakan pasukan yang minumum," kata Najib kepada CNN.

Ia temu bual pertama Najib dengan media asing sejak perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mempertahankan tindakan polis.

Melihat kepada senario itu, Dr Abu Hassan yang juga Pengerusi Zentrum Future Studies Malaysia (Zentrum) menyifatkan tindakan pemerintah menggunakan kekerasan sebagai formula utama mendepani suara rakyat jelas satu bentuk penyelewengan demokrasi.

"Perhimpunan Bersih 2.0 itu sendiri harus dilayan dengan baik kerana ia adalah satu keperluan dan kedudukan yang termaktub dalam Perlembagaan, jadi kita tidak nampak kenapa perhimpunan ini dilihat sebagai satu ancaman kerana ia langsung tidak memberi gambaran sedemikian.

"Sebab itulah kita cuba elakkan kekejaman, kurangkan krisis, dan cegah peperangan menerusi diplomasi. Bagaimana kita ingin semai budaya diplomasi? Iaitu budaya berbincang, budaya saling berbagi-bagi dan bukanya membeza-beza jika pemerintah menggunakan jalan mudah menyelesaikan masalah dengan kekerasan,"katanya.

Malah kenyataan Najib yang acapkali menggambarkan polis melayani peserta himpunan dengan baik adalah jelas satu pembohongan dan keterangan sedemikian hanya
satu hipokrasi yang mengaibkan.

"Tindakan polis adalah satu tindakan yang melampaui daripada ramalan yang dijangka, sedangkan rakyat hanya ingin berkumpul, bersuara dan berdendang tentang keinginan dan perasaan mereka tetapi sebaliknya berlaku,"kata beliau lagi.

Maria Chin : Rombak Sistem Atau Tiada Pilihan Raya

Posted: 15 Jul 2011 05:48 AM PDT

SHAH ALAM 15 JULAI: "Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mahu mengambil pendekatan untuk berubah, maka tidak perlu adakan pilihan raya."

Demikian kenyataan ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah seraya mendesak suruhanjaya itu mempertimbangkan empat tuntutan utama bersabit rombakan sistem pilihan raya yang boleh dilaksanakan oleh suruhanjaya itu dengan kadar segera.

Tambahnya lagi, Bersih akan mengemukakan petisyen kepada SPR dalam masa terdekat sebagai tindakan lanjut termasuk memberi tempoh tiga bulan untuk melihat sebarang perubahan yang akan dilakukan agensi bebas itu.

Beliau berpendirian tindakan tersebut adalah sebahagian daripada cara gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu mengekalkan momentum selain inisiatif rakyat menganjurkan program 'hari kuning' pada setiap Sabtu.

"Kita mahu bergerak ke hadapan. "Bola" kini berada dalam gelanggang SPR dan mereka perlu respon sekarang," katanya.

Bercakap dalam wawacana khas bersama Tv Selangor, Maria menyifatkan SPR tidak mengambil pendekatan proaktif untuk mencapai persetujuan dalam rundingan dengan pihak Bersih.

Malah katanya, sehingga kini suruhanjaya itu lebih gemar memberi pelbagai alasan seolah-olah cuba untuk melindungi pihak berkepentingan.

Menurut beliau, SPR mempunyai kuasa untuk merombak sebarang peruntukan yang diyakini dapat menambahbaik sistem pilihan raya di negara ini memandangkan agensi itu terletak di bawah kuasa Majlis Raja-Raja.

"Dalam perbincangan antara Bersih 2.0 dan SPR, kita sudah jelaskan mereka ada kuasa untuk merubah undang-undang dan mengemukakan kepada kabinet. Tapi mereka menghadkan peranan dengan mengatakan mereka hanya pentadbiran.

"Jadi inilah (sebenarnya) empat tuntutan yang utama (dalam aspek) pentadbiran. Membersihkan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan tempoh berkempen selama 21 hari. Ini tidak perlu ubah undang-undang. Jadi saya rasa sekarang mereka tidak ada alasan (untuk tidak) melakukan dalam tempoh tiga bulan," kata beliau.

Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar baru-baru ini mengakui kelemahan aspek komunikasi suruhanjaya itu yang menyebabkan mereka gagal menjelaskan kepada rakyat tentang langkah penambahbaikan sistem pilihan raya.

Beliau turut berdalih tentang ruang yang terhad berikutan terikat dengan Akta Pilihan Raya 1957 selain mendakwa Bersih 2.0 membuat andaian tanpa sebarang bukti.

Beliau juga mendakwa pembangkang memanipulasi isu ketelusan pilihan raya sehingga menyebabkan rakyat turun ke jalanan pada 9 Julai lalu.

Mengulas perkara itu, Maria menyahut baik tindakan SPR untuk bertemu dan memberi penjelasan kepada rakyat namun katanya, tuduhan bahawa Bersih tampil tanpa sebarang bukti ternyata meleset.

"Sampai sekarang ada orang hantar bukti. Semalam, ada individu yang daftar dua kali menggunakan kad pengenalan yang sama dan dia telah mengundi dua kali tetapi dua tempat berasingan.

"Kita juga ada bukti di mana kad pengenalan baru dan lama digunakan untuk mengundi. Ini menunjukkan SPR sebenarnya tidak membersihkan senarai pengundi. Jadi kalau ini berterusan ianya akan memberi impak buruk kepada kerajaan sekarang," ujar beliau lagi.

Beliau turut mengulangi kejadian pembelian undi yang didedahkan portal berita alternatif pada Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu di mana SPR gagal mengambil sebarang tindakan walaupun gambar dan video telah tersebar luas di internet.

Maria menyifatkan sekiranya SPR melaksanakan tugas secara telus maka risiko bagi kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk tumbang adalah lebih kritikal.

Dalam pada itu Maria berkata, pengenalan kepada sistem biometrik amat digalakkan namun katanya kaedah itu memerlukan kos yang tinggi berbanding dakwat kekal.

Jelasnya lagi, dakwat kekal telah digunapakai di kebanyakkan negara termasuk India di mana perlaksanaannya memberangsangkan.

Maka menurut Maria tidak timbul sebarang dakwaan bahawa kaedah tersebut ketinggalan zaman kerana ianya akan memberi kebaikan kepada parti politik yang bertanding seraya mengelakkan daripada salah laku pengundian.

Sehubungan dengan itu kata beliau, Bersih bersedia untuk mengadakakan pertemuan semula dengan SPR sekiranya suruhanjaya itu berhasrat untuk mempertimbangkan empat tuntutan utama yang dinyatakan.

500 Ahli PSM, NGO Desak Enam Tahanan EO Dibebaskan

Posted: 15 Jul 2011 05:46 AM PDT




KUALA LUMPUR 15 JULAI : Badan Bukan Kerajaan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Kajang hari ini menghantar satu memorandum dan petisyen yang ditandatangani oleh 500 individu mendesak agar enam tahanan Ordinan Darurat (EO) PSM dibebaskan segera.

Menurut wakil PSM Kajang Ganesan Dhanapal, mereka yang ditahan kerana terlibat dengan bersih sepatutnya dibebas kerana Himpunan Bersih telah tamat 6 hari lalu.

"Memang kita, PSM, Jerit dan SUARAM tidak berpuas hati dengan penangkapan mereka. Mulanya mereka ditangkap kerana Bersih tapi himpunan sudah berlalu mereka masih tak dibebaskan.

"Kami kumpul tandangan bersama PSM dari seluruh Malaysia untuk desak mereka dibebas. Penahanan ini tidak munasabah," kata Ganesan kepada TV Selangor hari ini.

25 Jun lalu, 31 aktivis PSM ditahan di Pulau Pinang dan direman di bawah Seksyen 122 kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

2 Julai lalu, enam daripadanya termasuk Dr. D Jeyakumar dilepaskan tanpa tuduhan tetapi ditangkap semula di bawah EO sejurus menjejakkan kaki ke luar balai polis dan ditahan sehingga kini.

Oleh itu hari ini, kira-kira 30 ahli PSM Kajang, Jerit dan SUARAM berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar tersebut.

Bagaimanapun keadaan menjadi sedikit tegang apabila sekumpulan polis yang diketuai oleh ASP yang hanya dikenali sebagai Hata telah mengarahkan banner yang dibawa mereka ditutup.

Lebih parah lagi, Hata turut mengatakan pegawai hanya dapat menerima memorandum tersebut di kawasan tempat letak Kereta berhampiran.

Bagaimanapun setelah perang mulut terjadi antara koordinator SUARAM Nalini E dan Wakil Cawangan Perhubungan Awam Bukit Aman, DSP Venu Gopal, pegawai tersebut bersetuju menerima memorandum di hadapan Bukit Aman, tempat berkumpul wakil NGO tersebut.

Memorandum itu kemudiannya diserahkan oleh wakil PSM Lecthmi Doraisamy yang mahukan polis bertindak dengan lebih profesional.

"Kami menegaskan kepada pihak polis agar jangan salah guna kuasa yang diberikan.

"Kami mahu pihak polis tidak menjadi pak turut BN terutamanya Umno, " kata Lecthmi.

PSM kini sedang menunggu permohonan bagi mendapatkan perintah 'habeas corpus' yang akan didengari pada 22 Julai hadapan menerusi peguam mereka, Edmund Bon.

TAKUT KUNING DAPAT KUNING

Posted: 15 Jul 2011 01:36 AM PDT

SHAH ALAM 15 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terus menerima sindiran hebat masyarakat dunia ketika kunjungannya ke Buckingham, London.

Sindiran yang dimaksudkan ialah apabila pemakaian gaun dan tali leher kuning oleh Ratu Elizabeth dan Menteri Pengangkutan, Philip Hammond dalam dua pertemuan berasingan dengan Najib semalam.

Kolumnis Suara Keadilan, Hishamuddin Rais membayangkan tindakan itu sebagai kritikan terhadap dasar Najib.

"Dalam bahasa diplomatik, ini memperlekehkan Najib. Dalam bahasa diplomatik, ini mengkritik tindakan Najib yang menghambat peserta himpunan aman Bersih 9 Julai lalu.

"Sampaikan bunga di pasu dalam bilik pertemuan itu pun berwarna kuning. Tak mungkin Ratu Elizabeth atau Menteri di Britain tidak tahu apa yang berlaku di Malaysia sepanjang minggu lalu," katanya kepada KeadilanDaily.

Dalam pertemuan itu menyaksikan Najib bersalam dengan Ratu Elizabeth dan ada suara-suara yang mengatakan akhirnya Najib tunjuk kepada kuning berdasarkan gambar tersebut.

Malah paling ketara apabila kehadiran Perdana Menteri Malaysia itu tidak disambut dengan hamparan karpet merah sementara, Perdana Menteri Britain, David Cameron, malah membatal majlis makan tengah hari bersama Najib.

 Malah Najib terus menerima tamparan hebat hari ini apabila puluhan penunjuk perasaan turut berpakaian kuning menyambut kehadiran Najib ke United Kingdom hari ini.

Mereka membidas tindakan kerajaan yang menekan ribuan peserta perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara.

Puluhan penunjuk perasaan yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan juga asing berkumpul di Mansion House di London sejam sebelum ketibaan Najib yang dijadual mengakan pertemuan dengan tokoh perniagaan Britain.

Sambil membawa kain rentang dan sepanduk, penunjuk perasaan juga mendesak Najib supaya membebaskan segera enam tahanan Parti Sosialis (PSM) yang dinamakan sebagai "EO6" yang ditahan mengikut Ordinan Darurat. Di bawah akta itu, mereka boleh ditahan dan dinafikan hak untuk dibicarakan.

Malang Rakyat Malaysia Dapat PM Macam Najib-Khalid Samad

Posted: 15 Jul 2011 01:33 AM PDT





SHAH ALAM 15 JULAI: Rakyat Malaysia cukup malang mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak memandang berat nasib yang menimpa rakyat dan beranggapan menzalimi rakyat pada himpunan aman 9 Julai lalu adalah satu perkara biasa.

Paling teruk apabila seorang daripada peserta himpunan itu meninggal dunia ketika melarikan diri dari asakan polis dan ia disifatkan Najib Razak sebagai tindakan ringan yang harus dikenakan ke atas rakyat kerana berhimpun menuntut sebuah pilihan raya adil dan bebas.

Mengulas hal itu lagi, seorang mangsa keganasan polis pada hari kejadian , ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Najib cuba menafikan perkara yang sudah terbukti dan rakyat mampu menilainya.

"Saya rasa banyak gambar-gambar yang jelas menunjukkan keadaan yang sebaliknya.. Keadaan macam saya ini tidaklah seteruk macam Mat Sabu yang sampai dirempuh oleh polis.

" Lepas itu ada yang dalam video tu kita nampak kena pukul, yang berdarah-darah teruk,"kata Khalid yang mengimbas kembali kezaliman polis ketika menyuraikan himpunan aman di ibu negara 9 Julai lalu.

Najib dalam satu temu bual dengan CNN berkata, polis menggunakan tindakan sewajarnya dalam usaha menyuraikan himpunan aman di ibu negara 9 Julai lalu.

"Ia (tahap tindakan polis) agak ringan sebab meskipun ia dikenakan, mereka (yang ditahan) telah dibebaskan selepas lapan jam dan mereka dilayan dengan baik," kata Najib dalam temu bual itu.

"Tiada penggunaan tindakan yang tidak wajar dan penunjuk perasaan disuraikan dengan menggunakan pasukan yang minumum," tambah beliau lagi.

Namun Khalid berpendapat, kenyataan Najib itu langsung tidak menggambarkan jawapan seorang pemimpin sebuah negara yang menuju status negara maju.

" Saya rasa kalau di negara-negara yang lain kenyataan yang bodoh macam itu, rakyat sudah hukum dia,"kata Khalid lagi.

"Dia menunjukkan satu sikap yang tak ambil endah hak rakyat... hak rakyat dia tahan, dia halang, menyusahkan orang dan sebagainya. Walaupun dia lepaskan selepas sejam atau dua jam, ia tetap merupakan satu ketidakadilan terhadap rakyat yang tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana yang dianggap sebagai kesalahan adalah berhimpun (secara aman) dan memang terbukti aman. (Mereka) berjalan dengan lancar dan aman sehinggalah bila bertemu dengan polis,"kata Khalid lagi.

Dalam asakan polis ketika menyuraikan himpunan aman itu, kepala Khalid turut tercedera akibat tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis.
Puluhan mengalami kecederaan dan 1,667 ditahan polis.
Kerajaan pimpinan Najib sebelum ini dikritik media asing malah dibantah keras oleh masyarakat antarabangsa ekoran keganasan polis pada hari kejadian namun pentadbiran Najib menyokong tindakan polis berbuat demikian.
"Reaksi dari peringkat antarabangsapun semakin jelas menunjukkan bahawa tndakan Najib terhadap rakyat ini pun tidak boleh diterima oleh mana-mana masyarakat atau negara yang bertamadun,"ujar beliau.

Khalid juga menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang kebudak-budakkan dan tidak matang dalam berpolitik lantaran tindakannya memperlekeh-lekehkan kecederaan yang dialami Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

" Bagi dia sendiri (yang) tak pernah menghadapi kesusahan, tak pernah kena jentik, dia (pula) nak gelakkan Anwar kata Anwar buat lebih-lebih... itu saya rasa menunjukkan satu sikap yang kurang matang. Nampak cara dia buat itu buat orang naik meluat tengok dia,"tambah beliau lagi.

Tahan Bawah EO Satu Ketidakadilan Yang Dahsyat, Kata Kit Siang

Posted: 15 Jul 2011 01:32 AM PDT

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang melawat enam tahanan Ordinan Darurat (EO) Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Bukit Aman hari ini mengutuk tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan tangkapan itu.

Ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyatakan tindakan itu sebagai ketidakadilan yang dahsyat kerana tiada justifikasi dalam penangkapan tersebut.

Beliau mengganggap penahanan ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan lima yang lain itu sebagai cubaan untuk mecemarkan gerakan himpunan Bersih 2.0.

"Tuduhan sebagai penggerak Bersih ialah satu ketidakadilan. 709 telah tunjukkan betapa bukan puluhan ribu penyokong Bersih yang lakukan keganasan dan huru-hara tetapi pihak berkuasa polis," kata beliau kepada para wartawan di hadapan Bukit Aman.

25 Jun lalu, 31 aktivis PSM ditahan di Pulau Pinang dan direman di bawah Seksyen 122 kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

2 Julai lalu, 6 daripadanya termasuk Dr. Jeyakumar dilepaskan tanpa tuduhan tetapi ditangkap semula di bawah Ordinan Darurat sejurus menjejakkan kaki ke luar balai polis dan ditahan sehingga kini.

Kit Siang hari ini hadir bersama ahli parlimen Subang Sivarasa Rasiah dan ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub memberitahu Dr. Jeyakumar dan yang lain dalam keadaan baik.

Sivarasa bagaimanapun menyatakan tahanan yang dilakukan itu jelas bermotif tidak baik.

Menurut Sivarasa lagi, fitnah dan dakwaan bahawa Dr. Jeyakumar terlibat dalam aktiviti subversif seperti yang diuar-uarkan sebelum ini nyata tidak dipercayai oleh masyarakat, khayalak politik, malah polis sendiri.

"Tuduhan terhadap mereka tiada asas. Semua tuduhan tersebut berniat jahat untuk mengutuk Bersih. Malah untuk seksyen 122 melancarkan perang, satu satunya rujukan ialah kes Al-Maunah.

"Ia tidak berhasil, tiada siapa yang percaya malah kerajaan sendiri tak percaya sebab itu tak ada dakwaan," tegas Sivarasa.

Salahuddin pula menyatakan atas sebab-sebab itu nyata sekali Dr. Jeyakumar dan mereka yang lain seharusnya dibebaskan untuk memulihkan imej negara.

"Yang ditekankan ialah isu Bersih dan menganjurkan Bersih. Adakah itu sebab beliau ditahan dibawah Ordinan Darurat? Jadi untuk itu, saya bagi pihak Pakatan Rakyat mendesak beliau dan yang lain dibebaskan kerana ia tidak menepati lunas kemanusiaan,"kata beliau lagi.

A Samad Said 'Boikot' Semua Jemputan Kerajaan

Posted: 15 Jul 2011 01:31 AM PDT

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata beliau "tidak akan melayan" sebarang jemputan rasmi kerajaan termasuk membaca puisi dalam majlis anjuran mereka.

"Sebolehnya sekarang, saya tidak menerima jemputan daripada kerajaan," katanya ketika ditanya reaksi kawan-kawannya dalam kerajaan selepas menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

"Saya tidak fikir, (saya) dipulaukan. Tetapi kalau dijemput sementara ini, saya tidak akan layan. Kalau oposisi menang, saya layan,"katanya dalam temu bual khas bersama Malaysiakini.

Bagaimanapun, sasterawan 76 tahun itu berkata, sekiranya berlaku pertukaran kerajaan daripada BN kepada Pakaran Rakyat, beliau akan menerima jemputan tersebut.

Ditanya sama ada tindakan beliau sebagai 'mogok seni' kali kedua, A Samad yang terkenal dengan novel Salina itu berkata:

"Saya tidak tahulah tu. (Saya) tak tahu," katanya sambil ketawa sinis.

Pakai Baju Bersih,MP Bakri Ditahan Kali Kedua

Posted: 15 Jul 2011 01:30 AM PDT

MUAR 15 JULAI :Gara-gara terus mahu memakai baju T Bersih 2.0, ahli parlimen Bakri, Er Teck Hwa sekali lagi ditahan polis kira-kira jam 8.30 malam semalam.

Pemimpin DAP itu ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke program memperingati mendiang Teoh Beng Hock di Muar, Johor dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Muar sambil membawa kekwa putih dan bunga raya.

Ketika dihubungi, Er berkata beliau dan kumpulanya yang kira-kira 20 orang baru sahaja keluar dari pusat khidmat DAP Muar dan dalam perjalanan tiga buah trak FRU sedia menunggu di kawasan itu.

"Polis tidak benarkan saya terus kerana saya pakai baju Bersih. Tetapi apabila rakan saya beri baju lain, dan saya sarungkan baju itu, tapi polis tangkap saya juga," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Er beliau kemudiannya dibawa ke balai polis Muar dan hanya dibebaskan pada kira-kira jam 1 pagi tadi. Beliau dikehendaki melapor dirinya sekali lagi pada 15 Ogos nanti.

Baju Bersih miliknya itu juga dirampas.

Er pernah ditahan pada 3 Julai lalu beserta lima ahli DAP kerana mengedarkan risalah berkenaan himpunan BERSIH yang telah diadakan pada 9 Julai lalu.

Mereka ditahan di Pasar Awam, Taman Sri Tebrau, ketika mengadakan kempen kebersihan gotong-royong sambil mengedarkan risalah antara lain tertera "Membersihkan sampah-sarap negara".

Kumpulan itu memakai baju-T berwarna kuning dengan perkataan "Negara BERSIH Rakyat Bertuah" serta gambar penyapu dan penyodok.

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT