Rabu, 16 Februari 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Anwar Ibrahim di Mentakab, Kerdau Ahad ini

Posted: 16 Feb 2011 08:33 PM PST

TEMERLOH, 16 Feb: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri majlis jamuan makan malam dan berceramah di sini 20 Februari.

Menurut Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid jamuan makan malam bagi mengutip dana pilihan raya itu akan diadakan di Dewan Taman Rimba, Mentakab bermula jam 7.30 malam.

"Selain Anwar pimpinan lain yang dijangka hadir ialah (Menteri Besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Tian Chua, Datuk Chua Jui Meng dan Leong Ngah Ngah.

"Bagi tujuan mengumpul dana PKR menyediakan kupon-kupon berharga RM40 dan meja-meja VVIP yang berharga RM2,000 dan RM1,000," katanya kepada media di pejabatnya.

Ahmad Nizam yang juga Ketua Cabang PKR Temerloh berkata, selepas majlis tersebut Anwar dan semua pimpinan dijadualkan berceramah di tapak kompleks PAS Pahang, Kerdau.

"Di Kerdau Anwar dan yang lain akan memberi taklimat isu semasa dan pilihan raya. Walau bagaimanapun program ini tidak ada kena mengena dengan kempen awal untuk pilihan raya kecil (PRK) Kerdau kerana telah dirancang sejak Januari lalu," tegasnya.

Mengenai PRK Kerdau, Ahmad Nizam berjanji PKR Pahang akan memberikan komitmen 100 peratus dengan mengerahkan seluruh kekuatan bagi mempastikan kemenangan calon PAS.

Swasta Saman Ekor Untuk Tampung Belanja P'Raya BN- Mahfuz

Posted: 16 Feb 2011 08:21 PM PST

GOMBAK 17 FEB: Keputusan kerajaan menswastakan saman ekor melalui Sistem Penguatkuasaan Secara Automatik(AES) bertujuan untuk menampung perbelanjaan Umno-Barisan Nasional(BN)menghadapi pilihan raya umum ke-13, kata Datuk Mahfuz Omar.

Tindakan ini kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu adalah satu bentuk tekanan kepada rakyat yang sudah terbeban dengan kenaikkan harga barang ekoran kenaikkan harga minyak secara berterusan.

Pelaksanaan sistem AES yang diserahkan kepada dua syarikat iaitu Commerical Circle (M) Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.

"Saya berkeyakinan dua syarikat ini mempunyai kaitan dengan Umno-BN dan sudah pasti hasil keuntungan yang akan diperoleh nanti akan diberikan kepada parti ini, sudah pasti keuntungan yang berjuta ringgit ini pasti ada pihak yang dapat keuntungan.

"Sudah tentu ada habuan yang akan dibayar kepada Umno-BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, sebab itu kita bantah saman ekor dan bantah penswastaan saman ekor," katanya pada majlis pelancaran Kempen Anti Saman Ekor(KASE) yang diketuainya.

Tambah Mahfuz, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci mengenai dua syarikat yang diberikan kuasa untuk melaksanakan AES itu.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, tindakan kerajaan pimpinan Najib terpaksa bergantung kepada hasil wang saman ekor berbanding hasil negara.

"Kerajaan sekarang begitu kejar rakyat sampai ke lubang cacing semata-mata untuk cekik darah rakyat untuk menampung perbelanjaan negara.

"Hasil negara sudah tidak mencukupi kerana ia hilang begitu sahaja disebabkan pembaziran, ketirisan dan rasuah yang berlaku," katanya.

Sesi penerangan tersebut akan menjelajah ke seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada mangsa saman ekor.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata langkah terbaru Umno-BN itu menunjukkan mereka semakin terdesak untuk menambah perbelanjaan negara.

"Ini salah satu cara kerajaan untuk memperkayakan syarikat yang ada kaitan dengan Umno-BN, dalam pilihan raya umum ke-13 nanti Umno-BN pasti tumbang sebab itu masa sekarang mereka rompak habis-habisan," katanya.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.


Khalil bertegas bomoh masuk Dun Perak

Posted: 16 Feb 2011 08:20 PM PST



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Feb: "Saya tetap bertegas dengan mengatakan bahawa Dun Perak telah dimasuki bomoh sebelum 7 Mei 2009 dan Dewan Negeri Perak telah dijampi oleh bomoh tersebut," tegas Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim.

Beliau telah menerima surat rasmi daripada Setiausaha Dun Perak bertarikh 7 Februari lalu dan diminta hadir untuk memberi keterangan dalam sesi soal jawab kepada Jawatakuasa Hak dan Kebebasan Dewan pada 25 Februari, jam 10.30 pagi di bilik mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri Perak aras 2, Bangunan SUK Ipoh.

"Saya dikhendaki memberi keterangan dalam sesi soal siasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan berhubung dengan isu bomoh yang saya bangkitkan pada persidangan ketiga mesyuarat ketiga pada penggal ketiga Dewan Negeri Perak yang kedua belas pada 2 Disember 2010," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS negeri dipanggil kerana dikaitkan dengan usul mengikut standing order di bawah fasal 36(3)(b) ke atasnya kerana sewaktu berbahas di Dun Perak telah membuat pendedahan bahawa terdapat pihak yang telah membawa masuk bomoh ke dalam Dun Perak sebelum sidang 7 Mei 2009 yang menyaksikan kerusi Speaker Sivakumar dirampas.

Dalam sidang tersebut, beliau menyebut terdapat seorang Adun yang telah membawa bomoh untuk masuk ke dalam dewan.

"Apabila saya enggan mendedahkan nama Adun berkenaan lalu saya diusulkan untuk disiasat oleh jawatankuasa berkenaan," jelasnya.

Beliau akan mengadakan sidang media khusus berkenaan surat panggilan tersebut dan akan memberi reaksi mengenai surat itu.

HATI-HATI DENGAN EGEN 'ASING"

Posted: 16 Feb 2011 02:21 AM PST

KISAH BAGAIMANA KERAJAAN PAKATAN RAKYAT DI PERAK TUMBANG DILIHAT SEBAGAI SATU USAHA BAGI MENJATUHKAN KERAJAAN SELANGOR...JANGAN PERCAYA ORANG INI.

Khusrin: Pusat cuba 'guling' Selangor
Aziz Muda


KUALA LUMPUR, 29 Dis: Tindakan kerajaan pusat melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru dilihat seperti cubaan untuk mengguling kerajaan negeri Selangor, di samping memperlihatkan sikap sebenar kerajaan persekutuan yang tidak demokratik serta tidak menghormati semangat federalisme.

Biarpun perlantikan itu dilihat belum muktamad dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mohon mengadap Sultan Selangor untuk membincangkan perkara itu, pandangan kerajaan negeri wajar diteliti terlebih dahulu demi melahirkan sebuah kerajaan yang stabil.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi berkata, biarpun Kerajaan Negeri Selangor dipimpin oleh sebuah kerajaan yang tidak seideologi dengan kerajaan pusat, namun Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang sah melalui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, ekoran ia adalah mandat dari rakyat yang merdeka menerusi sistem pilihanraya.

Menurut beliau, sewajarnya kerajaan negeri Selangor atau mana-mana kerajaan negeri yang lain tidak diganggu apa lagi cuba diguling semata-mata kerana ia dipimpin oleh parti yang berlainan ideologi dengan kerajaan persekutuan.

"Gangguan dan tekanan yang sering dikenakan kepada kerajaan-kerajaan negeri seperti Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan sangat bertentangan dengan semangat federalisme dan ia jelas pula bertentangan dengan prinsip demokrasi," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan 27 Disember lalu bahawa Khusrin, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilantik sebagai SUK negeri itu berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Sementara itu, kerajaan Selangor dalam satu kenyataan terbaru mereka memberitahu perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor itu belum muktamad.

Mereka mendakwa cadangan melantik Khusrin ke jawatan itu tidak pernah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu, Menteri Besar menurut kenyataan itu telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklumkan bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut.

Tan Sri Khalid juga difahamkan turut menghantar tiga nama yang telah diputuskan oleh panel yang ditubuhkan kerajaan negeri kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sehubungan itu, Menteri Besar akan mengadap Sultan Selangor pada 29 Disember ini.

Menurut Nasrudin, pengumuman Ketua Setiausaha Negara dalam isu perlantikan Khusrin sebagai SUK Negeri Selangor tanpa terlebih dahulu mengambil kira pandangan dan kehendak kerajaan negeri adalah suatu yang tidak harmonis dan sewajarnya tidak berlaku demikian.

"Justeru apa yang berlaku ini boleh mencetus spekulasi dan ia dinilai oleh umum sebagai satu "hidden agenda" untuk melemah dan menggangu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri Selangor," katanya.

Jawatan SUK, menurutnya, jawatan nombor satu dalam perkhidmatan awam di sesebuah negeri. SUK juga secara automatik menjadi ahli ex officio kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Oleh itu, SUK yang dilantik sayugianya mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan negeri terutama ketua kerajaannya iaitu Menteri Besar agar pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri berjalan lancar dan efektif.

"Namun realiti yang berlaku di Selangor, Khusrin adalah individu yang sering mencetus kontroversi dan mengganggu kestabilan kerajaan negeri. Apakah kerana tersimpan agenda tertentu apabila Putrajaya dilihat beria-ia benar menabalkan Khusrin sebagai SUK Selangor?

"Sungguhpun SUK Selangor adalah terdiri dari pegawai PTD yang juga merupakan kakitangan Persekutuan, tetapi tidak bolehkah kerajaan negeri terlebih dahulu dirundingi? ke mana perginya semangat federalisme yang didokong selama ini? Apakah kerana Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat maka demokrasi diketepikan dan semangat federalisme dikesampingkan?

"Saya sangat tidak senang malah tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian. Tidak profesional, tidak demokratik dan tidak menghormati semangat federalisme. Ia dilihat seperti cubaan untuk membuli kerajaan negeri Selangor. Ini tindakan yang tidak baik," jelasnya.

Beliau berharap rundingan Menteri Besar dengan pihak Sultan Selangor akan membawa keputusan yang positif demi kestabilan kerajaan negeri, malah demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat negeri Selangor amnya.

"Justeru konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan dalam negara ini membina hubungan yang baik antara Menteri Besar dan Duli Yang Maha Mulia Sultan sementara tindakan Sultan pula berasaskan nasihat dari Menteri Besar," katanya.



Menteri Besar sebelum ini mempertikaikan pelantikan Mohamad Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuatkuasa 1 Jan lepas oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, menyatakan beliau tidak dirundingi sebelum pelantikan itu.

NONEBerikutan itu, kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tetapi gagal memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan.

Kerajaan negeri menyatakan cadangan pindaan itu bagi mengembalikan semula kuasa kepada sultan dan menteri besar dalam pelantikan tiga jawatan awam di negeri itu iaitu setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan negeri dan penasihat undang-undang negeri.

- Bernama

Tiada ulasan: