Khamis, 17 Februari 2011

Tempayan Retak

Tempayan Retak


Parti Kita Akhirnya Dapat Kelulusan

Posted: 16 Feb 2011 05:37 PM PST



PETALING JAYA: Presiden Kita (Kesejahteraan Insan Tanah Air) Datuk Zaid Ibrahim, pada Rabu mengesahkan bahawa parti itu telah mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Saya diberitahu oleh pegawai saya bahawa mereka telah terima surat kelulusan semalam," katanya kepada mStar Online.

Zaid berkata bagaimanapun beliau belum berkesempatan melihat sendiri surat tersebut. Katanya, kelulusan itu melibatkan beberapa perkara dan perlembagaan termasuklah penukaran nama "Kita" yang sebelum ini didaftar sebagai Angkatan Keadilan Islam Malaysia (Akim).

Menurut Zaid, kelulusan yang diperolehi itu akan membolehkan parti berkenaan bergerak seratus peratus sebagai sebuah entiti yang baru dan sah serta boleh merancang strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Saya rasa lega...Selepas ini Kita akan tumpu ke kawasan-kawasan yang ingin kita tandingi.
"Parti Kita akan buat persiapan dari segi pemilihan calon-calon, dasar-dasar dan isu-isu yang nak diketengahkan kepada rakyat," katanya.

Menurut beliau, Kita akan bertindak sebagai parti yang melihat isu untuk kepentingan rakyat.
"Kalau Barisan Nasional (BN) betul pun kita sokong, kalau tak betul kita akan kritik. Tengoklah yang mana bagus untuk rakyat," ujarnya.

Jelas Zaid lagi, sebagai parti baru yang ingin bertanding dalam pilihan raya, Kita akan lebih menumpukan perhatian kepada soal pemilihan calon yang tepat untuk bertanding berbanding ahli yang ramai.
Bagaimanapun beliau yakin parti itu tidak menghadapi masalah mendapatkan sokongan daripada rakyat.
Zaid berkata, kelulusan itu juga membolehkan Kita mengadakan 'roadshow' sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.

"Tapi 'roadshow' kita kecil-kecilan sajalah. Taklah macam parti lain," katanya merendah diri.
Mengulas tentang kawasan tumpuan pada PRU akan datang, Zaid tidak menafikan yang partinya akan memberi fokus kepada beberapa negeri termasuklah Selangor.

"Kita mungkin akan banyak bertanding untuk kerusi di Selangor. Kemudian di Perak sikit dan Kedah sikit," katanya.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan itu sebelum ini pernah memberi kenyataan bahawa beliau sendiri akan bertanding di kawasan parlimen dalam Petaling Jaya pada PRU akan datang.

"Saya kata boleh jadi saya bertanding di PJ. Saya cari tempat yang saya sudah biasalah," katanya.
Pada 15 Disember lalu, Zaid dipilih sebagai presiden Akim dalam mesyuarat agung parti itu sebelum dinamakan semula sebagai Kita - sebuah parti politik pelbagai kaum.

Peguam, keluarga Beng Hock tarik diri

Posted: 16 Feb 2011 05:34 PM PST

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang bersidang di sini hari ini dikejutkan oleh tindakan peguam dan ahli keluarga setiausaha politik Exco Selangor itu apabila mereka tiba-tiba memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai prosiding tersebut.
Peguam Karpal Singh memaklumkan pendirian itu selepas permohonan pihaknya agar Tan Sri James Foong Cheng Yuen menarik diri sebagai pengerusi suruhanjaya serta permohonan penangguhan prosiding, ditolak.

''Kami mendapat arahan daripada keluarga Beng Hock untuk tidak terlibat dalam siasatan ini,'' katanya sebelum meninggalkan bilik bicara bersama peguam Gobind Singh Deo dan empat ahli keluarga simati.

Berikutan tindakan itu, Cheng Yuen melahirkan rasa kesal kerana pihak berkaitan yang terlibat secara langsung dan berkepentingan dalam suruhanjaya tersebut memilih untuk menarik diri serta tidak lagi terlibat dalam prosiding itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa panel-panel suruhanjaya akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diberi dengan adil dan sebaik mungkin.

Terdahulu, Karpal memaklumkan bahawa permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan suruhanjaya menolak untuk menyingkirkan tiga pegawai pengendali telah difailkan pada petang ini.

Sehubungan itu, beliau memohon agar prosiding ditangguhkan sehingga semakan kehakiman itu didengar dan diputuskan, Jumaat ini.

Karpal turut membuat permohonan agar Cheng Yuen menarik diri daripada mempengerusikan suruhanjaya itu dengan alasan beliau adalah Hakim Mahkamah Persekutuan serta anggota badan kehakiman.

Katanya, hampir kesemua suruhanjaya sebelum ini dipengerusikan oleh mereka yang tidak lagi memegang jawatan dalam badan tersebut.

Kedua-dua permohonan itu disokong oleh peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar dan peguam yang mewakili Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong.

Sementara peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula membantah dengan alasan pelantikan hakim yang masih bertugas sebagai pengerusi suruhanjaya biasa dilakukan di negara lain.

Selepas berbincang dengan panel-panel yang lain, Cheng Yuen menolak kedua-dua permohonan itu.
''Berhubung permohonan agar saya menarik diri, kami dapati tiada asas untuk menyokongnya kerana tiada kaitan antara jawatan saya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan tugas sebagai pengerusi suruhanjaya.
''Kami juga telah membuat keputusan untuk tidak menangguhkan prosiding sebelum ini dan tiada alasan untuk kami meneliti semula keputusan yang telah dibuat pada 14 Februari lalu,'' kata Cheng Yuen.

Sementara itu, adik perempuan Beng Hock, Teoh Lee Lan, 30, pula melahirkan rasa terkilan kerana permohonan penangguhan prosiding sekali lagi ditolak oleh suruhanjaya.

''Kami cuma mohon lebih masa untuk membolehkan Mahkamah Tinggi membuat keputusan terhadap permohonan semakan kehakiman tetapi tetap tidak dibenarkan.

''Kami mahu suruhanjaya yang bebas, adil, telus dan profesional. Kenapa masa untuk suruhanjaya bersidang terhad,'' katanya.

Turut hadir ialah bapa Beng Hock, Teoh Leong Hwee, 64; ibu, Teng Shun Hor, 57; dan abang, Teoh Meng Kee, 34.

Tiada ulasan: