Selasa, 8 Februari 2011

Politiksukusakat

Politiksukusakat


Apa jalan penyudah konflik di Mesir?

Posted: 08 Feb 2011 12:00 AM PST

WAN NORDIN WAN YAACOB
(Analisis)

Medan Tahrir terus dipenuhi dengan jutaan demonstran yang sanggup bergadai nyawa dengan pemuda-pemudanya melilitkan kain kaffan membungkusi batang tubuh untuk mendesak Presiden Mesir, Hosni Mubarak segera meletak jawatan.

Medan Tahir bergelumang darah lebih 300 demonstran ini setelah rakyat Mesir menyaksikan kebangkitan rakyat di Tunisia menghalau presiden Zine El Abidine Ben Ali yang telah berkuasa selama 23 tahun.

Rakyat Mesir mahukan Mubarak yang memerintah negara 'firaun' itu sejakk tahun 1981 berundur daripada tampuk kekuasaan. Mubarak menaiki takhta sebagai presiden Mesir selepas pendahulunya Anwar El Sadat dibunuh.

Paling cemas dengan detik kebangkitan rakyat Mesir ini ialah Amerika Syarikat dan Israel yang memiliki kepentingan ketenteraan, kekuatan ekonomi (gas dan petroleum) serta strategik.

Pelan transisi yang dicadangkan Amerika Syarikat selaku sekutu kuat Mesir tidakpun mampu meredakan kemarahan jutaan rakyat Mesir yang selama ini hidup tersepit dengan pemerintahnya mengamalkan dasar ekonomi elit pro kronisme.

Rasuah melata, yang kaya terus menikmati kekayaan hasil titik peluh golongan hamba dan miskin, sementara ramai lagi yang mengganggur akibat dasar kerajaan yang yang menodai rakyat sendiri.

Medan Tahrir menyaksikan Letupan demi letupan, balingan batu silih berlegar di udara antara penyokong Mubarak dan anti Mubarak, sementara pasukan tentera memerhatikan sahaja pergolakan dua golongan ini di sana.

Dalam kebangkitan itu, Amerika Syarikat pula masih terus menjalankan pelan menyelamatkan dasar untuk kepentingan negara kuasa besar itu dan sekutunya, Israel di sana.Rakyat pula terus merancang untuk menawan istana Presiden sebagai kemuncak kepada perjuangan menjatuhkan kerajaan yang korup.

Nama-nama pemimpin sekular berkiblatkan Amerika seperti, Al Baradei, Umar Sulaiman dan beberapa nama lagi muncul bagi menggambarkan mereka lah tokoh yang seharusnya dinaikkan sekiranya Mubarak jatuh.

Media-media pro-Amerika pula terus menggelapkan usaha-usaha kepimpinan Ikhwan Muslimin yang turut serta membantu demonstran dan menjadi sebahagian demonstran.

Apakan daya, Ikhwan Muslimin adalah sebuah parti yang tekah diharamkan oleh kerajaan Mesir sejak berpuluh tahun lamanya.

Namun rakyat Mesir di kalangan warga miskin, doktor, jurutera, golongan pelajar, Islam dan bukan Islam nekad untuk berdemonstrasi kerana mereka yakin menjatuhkan sebuah kerajaan perasuah yang zalim.

Namun dicelah kebangkitan rakyat yang sangat memuncak, seperti kata peserta Diskusi Krisis Mesir anjuran Harakahdaily 8 Februari lalu di sini, Abdullah Zaid bahawa dunia masih mempersoalkan siapakah 'kepimpinan' yang benar-benar mampu mengisi ruang yang selama ini kosong untuk mengubah lanskap dunia Mesir yang telah lama bergelar 'tali barut Amerika-Israel' di Timur Tengah.

Persoalan yang paling besar Hari ini apabila kebangkitan rakyat Mesir tidak dapat dihentikan, dan tiada 'pemimpin' yang benar-benar boleh menggalas tugas menyelamatkan Mesir seterusnya melarikan negara itu dari terus terikat dengan perjanjian bersama sekutunya, Amerika serta Israel.

Pandangan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad dalam diskusi yang sama juga menarik, perkembangan di Mesir sebenarnya 'sukar diduga' kerana keadaannya sekarang seperti 'fluid'.

Telahan Syd Azman mudah, apa sahaja boleh berlaku di sana, samada Hosni akan terus kekal menerajui negara dengan Amerika sedaya upaya akan membantunya, apakah akan muncul seorang lagi Presiden baru Mesir yang ditaja Amerika demi menjaga kepentingan
ekonomi iaitu gas dan petrol negara kuasa besar itu, ataupun akan berlakunya sebuah pilihan raya untuk rakyat menentukan siapa pemerintah yang mereka mahukan.

Pandangan Syed Azman ini ada benarnya, kerana seperti yang disebut AJK PAs Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar selaku moderator diskusi, apa yang penting bagi Amerika ialah siapa sahaja yang menerajui Mesir perlu dipastikan mampu melaksanakan dasar luar yang sangat cenderung menjaga kepentingan Amerika dan Israel.

Selama ini Mubarak telah melaksanakan tugasnya dengan baik untuk menjadi 'pak turut' kepada Amerika dan Israel dalam melaksanakan agenda memerangi Islam.

Ramai yang melihat, gelombang kebangkitan rakyat di Mesir ini sebagai satu sinar dan harapan baru yang akan muncul di Timur Tengah.

Namun, apakah sinar ini akan terus menyaksikan krisis berpanjangan bakal berlaku, pandangan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof dalam diskusi yang sama menarik perhatian.

Yusmadi mencadangkan adanya usaha gerakan-gerakan Islam seperti PAS di Malaysia dan Nahdatul Ulama di Indonesia serta beberapa gerakan Islam di Asia ini mengatur langkah bertemu untuk menggariskan beberapa resolusi bagi membantu pergerakan Ikhwan
di sana meneruskan kelangsungan perjuangan rakyat.

Sayang sekali kata Yusmadi jika peluang sebaik yang terhidang di Mesir ini dengan kebangkitan seluruh rakyatnya hanya akan tersia-sia jika keputusannya nanti tidak menyebelahi rakyat.

Apa yang mungkin berlaku jika tiadanya kepimpinan meneruskan perjuangan rakyat menuntut perubahan di sana ialah, Mesir bakal terjebak didalam 'Perang Saudara'.

Suasana ini pastinya menggembirakan Amerika lantas bakal mengambil peluang untuk melakukannya seperti di Iraq dan Afghanistan, sementara Israel bakal campur tangan dengan lebih hebat demi agenda tersembunyi.

Benar kata Yusmadi, sekarang ini apakah 'exit plan' (pelan keluar) kepada rakyat Mesir dalam krisis ini?Gerakan Islam di nusantara perlu mengadakan himpunan segera dengan PAS menggerakkannya bagi menjayakan sebuah resolusi membantu Ikhwan sebagai front yang demokratik.

Perkembangan berbentuk 'fluid' di Mesir ini seperti kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dalam Diskusi Krisis Mesir perlu cermat diperhatikan dengan gerakan Islam juga perlu melihat apakah kesudahannya nanti.

Tiada ulasan: