Khamis, 17 Februari 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Demi Masa Depan: Presiden ANAK, Mazlan Aliman Buat Gesaan Supaya Peneroka Felda Lebih Berani Memperjuangkan Hak Dan Kepentingan Mereka !!

Posted: 17 Feb 2011 10:20 AM PST

KUANTAN, 18 Feb [2.21 am] - Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman (foto) menggesa para peneroka supaya berani mempertahankan hak mereka berkaitan isu-isu Felda. Jika tidak mereka akan terus ditipu dan dicucuk hidung oleh agensi tersebut. "Kami sudah buat bermacam-macam cara untuk bantu peneroka seperti dialog, seminar, taklimat, laporan polis termasuk menghantar memorandum kepada Suhakam termasuk menteri yang berkenaan. Makanya, peneroka sendiri perlu berani berjuang dan tidak boleh bergantung kepada kami semata-mata", kata Mazlan semasa Majlis Dialog dan Penerangan Isu Felda di Markas PAS Permatang Badak dekat sini malam tadi. Menurut Mazlan, sudah tiba masanya peneroka bangkit dan buat tindakan demi masa depan mereka. "Tahap kesedaran orang Melayu tentang isu-isu Felda ini amat rendah sebenarnya. Justeru itu mereka terutamanya para peneroka perlu berubah mulai sekarang. Tiada gunanya lagi berunding dengan pihak Felda bagi menyelesaikan berbagai isu yang dibangkitkan. Ini kerana semua perundingan itu pemenangnya ialah Felda. Tiada langsung konsep 'win-win situation' dalam menangani hal ini", katanya.

Banyak Lagi Kes Isu Felda Di Bawa Ke Mahkamah

Sementara itu Mazlan turut menegaskan bahawa pihaknya (ANAK) tidak akan berganjak daripada matlamat asalnya untuk membela nasib peneroka yang terus ditindas terutamanya di Felda Plantations di seluruh negara. "Jalan perundingan semakin tertutup sekarang, maka itu kami menjangka dalam tempoh terdekat ini ada 20 hingga 30 kes lagi akan dibawa ke mahkamah. Buat masa ini, lebih 600 peneroka dari gugusan Bera sedang bersiap sedia untuk membawa kes mereka ke Mahkamah Tinggi Temerloh. Malah jika tiada aral melintang, jumlah itu akan bertambah mencecah ke angka 1,000 orang peneroka. Jika ini berlaku, ia akan menjadi satu sejarah sebenarnya", tambah Mazlan Aliman.


Tn.Hj Marzuki (bekas Pengurus), Mazlan Aliman (Presiden ANAK)
Harris Abdullah (Peguam) bersama pengerusi majlis dialog
[Majlis dialog yang diadakan secara tertutup itu turut dihadiri oleh Peguam Harris Abdullah dan Tuan Hj.Marzuki yang merupakan bekas seorang Pengurus Felda. Banyak isu-isu menarik yang telah diperkatakan dan seharusnya diambil perhatian oleh para peneroka Felda itu sendiri. Mereka harus mempunyai ilmu untuk membolehkan mereka berjuang mempertahankan hak dan kepentingan mereka. Jika tidak, maka selama-lamanya mereka akan terus ditipu dan dijadikan alat untuk memuaskan nafsu pihak-pihak yang berkepentingan. Isu Felda kini menjadi kes "berprofail tinggi" yang mendapat perhatian semua pihak. Malah, janji Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Felda Plantations seperti yang terdapat dalam Buku Jingga cukup memeningkan kepada pihak yang berkenaan. Kini, apakah rakyat wajar terus tertipu lagi sesudah lebih 50 tahun negara kita merdeka. Makanya, bebaskan peneroka dari cengkaman dan belenggu Felda selepas dapat Geran Hak Milik mereka].

Perbicaraan Kes Liwat II: Prosiding Dihangatkan Dengan Isu Bulu Kemaluan Serta Bukti Air Mani Terlekat Pada Seluar Dalam Saiful Bukhari Azlan

Posted: 16 Feb 2011 11:27 PM PST

KUALA LUMPUR, 17 Feb [3.00 pm] - Perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menempuh saat genting hari ini apabila mahkamah mendengar keterangan daripada ketua unit jenayah berat Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hong. Semalam, Seah hanya berada di kandang saksi selama beberapa minit sebelum perbicaraan ditangguhkan akibat gangguan bekalan elektrik di mahkamah. Beberapa pendedahan memeranjatkan berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, melibatkan borang pro-forma oleh doktor yang mengendalikan kes berkenaan. Doktor berkenaan menyatakan dalam borang tersebut bahawa pengadu dalam kes ini iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan dipercayai hanya terlibat dalam "cubaan liwat" dan "cubaan seks oral." Doktor Hospital Kuala Lumpur Dr Khairul Nizam Hassan sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Saiful mendakwa telah diliwat dan diminta melakukan seks oral. Bagaimanapun, pihak pembelaan yang diketuai peguam Karpal Singh berjaya menimbulkan keraguan berhubung kenyataan berkenaan. Turut hadir di mahkamah hari ini ialah wakil daripada Kedutaan Australia. Dua orang pakar daripada negara itu turut hadir hari ini iaitu ahli patologi forensik Dr David Wells dan pakar DNA Dr Brian McDonald. Prosiding hari ini dihangatkan dengan isu Seluar dalam Saiful. Seluar dalam itu telah dikemukakan sebagai bahan bukti.

[Nampaknya prosiding perbicaraan kes liwat II hari ini memang hangat dan sungguh menggemparkan. Ia susulan pendedahan tentang segala bukti-bukti berlakunya kejadian liwat seperti yang dimaksudkan oleh Saiful Bukhari Azlan terhadap dirinya. Segala bukti yang didedahkan pasti akan membuatkan perjalanan kes ini bertambah panas. Soalnya sekarang, mampukan para peguam Anwar terutamanya Karpal Singh mempertahankan anak guamannya itu, dalam keadaan mereka terus diasak bertalu-talu oleh pihak pendakwaraya. Rakyat kini hanya mahu melihat keadilan tertegak dalam kes ini sebenarnya. Justeru itu perjalanan kes haruslah relevan dan tidak bercanggah dengan keterangan asal pengadu. Apapun, sama-sama kita nantikan adengan seterusnya kes liwat II ini. Ramai yang meramalkan, Anwar Ibrahim bakal kembali ke Penjara Sg.Buloh dalam masa terdekat ini. Apakah semua ini dapat diterima oleh para penyokongnya yang selama ini menganggap dirinya tidak bersalah].

Bicara Liwat II: Lampu Terpadam Serta Jawapan Berbelit-Belit Oleh Doktor Jelas Membuktikan Ada Sesuatu Keraguan Terhadap Kes Ini Sebenarnya!

Posted: 16 Feb 2011 04:42 PM PST

KUALA LUMPUR 16 Feb [8.40 am] – Seorang bekas pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberitahu bahawa Mohd. Saiful Bukhari Azlan memaklumkan kepadanya dia telah diliwat walaupun dalam borang protokol perubatan (pro-forma) menyatakan 'cubaan meliwat'. Dr. Khairul Nizam Hassan (foto) yang kini bertugas di Hospital Putrajaya juga memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak pada sebarang masa menyatakan bahawa terdapat 'cubaan seks oral'. Beliau bagaimanapun berkata, pemuda itu ada memberitahu bahawa dia telah diminta untuk melakukan seks oral dan berikutan itu terdapat spesimen diambil daripada mulut pengadu berkenaan. Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan dalam pemeriksaan semula mengenai aduan utama oleh Mohd. Saiful Bukhari, menurut saksi tersebut, aduan utama pemuda itu adalah dia telah diliwat. Nordin: ''Adakah dia menyatakan oleh siapa (melakukannya)?'' Khairul Nizam: ''Dia cakap oleh orang kenamaan yang dikenali ramai.'' Nordin: ''Bila dia menyatakan sedemikian?'' Khairul Nizam: ''Dia memberitahu semasa proses mengambil latar belakang (kejadian).'' Peguam Karpal Singh yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pemeriksaan balas terhadap Khairul Nizam sebelum itu menimbulkan isu mengenai kandungan pro-forma yang mencatatkan 'ya' bagi soalan-soalan membabitkan 'cubaan seks oral' dan 'cubaan meliwat'. ''Memang dalam borang pro-forma, ia menyatakan 'cubaan meliwat' dan 'cubaan seks oral' tetapi dia (Saiful Bukhari) tidak menyatakan demikian,'' tegas Dr.Khairul.

Musykil, Doktor Pakar Ubah Fikiran Di Mahkamah

Ketika disoal semula oleh Nordin, saksi itu berkata, pro-forma tersebut telah diisi oleh pakar patologi forensik HKL, Dr. Siew Sheue Feng (foto) tetapi mengubah fikiran kepada tidak pasti mengenainya berikutan terdapat tandatangan seorang lagi doktor, Dr. Razuin Rahimi di bahagian bawah muka surat di borang tersebut. Anwar, 64, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Beliau didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Menjawab soalan lain, saksi pendakwa keempat itu berkata, beliau turut mengambil latar belakang Mohd. Saiful Bukhari sebelum melakukan pemeriksaan terhadap pemuda itu bersama Sheue Feng dan pakar bedah am, Dr. Mohd. Razali Ibrahim. Khairul Nizam juga berkata, beliau telah menerima laporan kimia bertarikh 11 Julai 2008 berhubung kehadiran air mani pada calitan putik kapas bertanda B5, B7, B8 dan B9 sebelum menyediakan laporan perubatan dua hari kemudiannya. Menurutnya, beliau ketika itu tidak tahu lokasi sebenar calitan putik kapas yang diambil daripada bahagian badan pengadu dan hanya mengetahuinya setelah ditunjukkan senarai lokasi calitan putik kapas (ID24) yang dikemukakan kepadanya semasa memberi keterangan.

Doktor Pakar Akui 'Tidak Isi' Maklumat Penting

Jelasnya lagi, ID24 tidak ada bersamanya ketika beliau menyediakan laporan perubatan tersebut yang mencatatkan tiada penemuan klinikal yang konklusif mengenai penetrasi dan tiada kesan luka yang ketara pada badan mangsa. Justeru katanya, beliau hanya mampu mengesahkan berlakunya penetrasi selepas merujuk kepada ID24 yang menunjukkan lokasi sebenar kehadiran air mani pada keempat-empat calitan putik kapas tersebut. Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh Karpal, saksi itu berkata, berdasarkan borang pro-forma, tiada paksaan digunakan tetapi mangsa telah bertindak melawan semasa kejadian itu berlaku. Berdasarkan borang itu juga, katanya, anggaran kejadian liwat tersebut berlaku adalah 30 minit dan tertuduh ketika itu cuba melakukan ejakulasi. Diasak oleh Karpal, saksi itu mengakui bahawa terdapat maklumat-maklumat penting yang tidak diisi dalam borang tersebut membabitkan latar seksual pengadu dan perkara-perkara yang berlaku selepas kejadian. Prosiding perbicaraan bersambung hari ini.

[Nampaknya, kontroversi kes liwat II ini semakin pelik dan mengelirukan sebenarnya. Jika sebelum ini Saiful mengaku diliwat dengan beberapa tusukan menggunakan "jelly", kini nampak sudah bercanggah bilamana "oral seks" pula yang digunakan dan mengaku dia melawan ketika Anwar cuba "memperkosa" dirinya. Malah lebih hairan lagi apabila seorang doktor pakar pula mengaku terdapat maklumat penting tidak diisi dalam borang yang berkaitan. Apa makna semua ini, masakan doktor pakar boleh "careless" dan terlepas pandang terhadap semua ini. Jika begitu adanya, maka doktor terbbait telah gagal menjalankan tugasa dengan penuh tanggungjawab. Prestasi kerjanya amat malang sekali dalam hal ini. Persoalannya sekarang, apakah kes seperti ini wajar diteruskan bila mana terdapat bukti-bukti jelas percanggahan fakta dalam prosiding yang berlangsung semalam. Maka, tidak hairanlah kita bila tiba-tiba saja "blakcout" berlaku. Sungguh memalukan bila ia terjadi ketika perbicaraan penting seperti kes liwat II ini sedang disaksikan oleh seluruh masyarakat dunia itu].

Persediaan 'Menghadapi Pilihan Raya Kecil' DUN Kerdau, Pakatan Rakyat Pahang Lancarkan Buku Jingga Peringkat Negeri Pada 26 Februari 2011 Ini

Posted: 16 Feb 2011 03:44 PM PST

KERDAU, 17 Feb [8.00 am] - Satu Majlis Pelancaran Buku Jingga Peringkat Negeri Pahang akan diadakan pada 26 Februari ini bertempat di Tapak Kompleks PAS Pahang dekat sini. Sempena dengan pelancaran yang bermula jam 9.00 malam itu, satu kempen jualan akan turut diadakan. Justeru itu, orang ramai terutamanya penyokong Pakatan Rakyat dijemput hadir beramai-ramai pada majlis itu nanti. Sementara itu difahamkan, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut akan hadir ke lokasi terbabit pada 20 Februari ini (Ahad). Beliau dijangka akan memberi taklimat berkaitan isu-isu semasa dan persediaan Pakatan Rakyat menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau tidak lama lagi. Sebelum ini, Anwar dipercayai terlibat dengan Majlis Jamuan Rakyat anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Temerloh di Dewan Taman Rimba Mentakab. Difahamkan turut dijangka hadir pada malam itu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Pesuruhjaya PAS Pahang), Tian Chua (Ahli Parlimen Batu), Datuk Chua Jui Meng (Pengerusi PKR Johor) dan Leong Ngah Ngah (ADUN Triang). Menurut sumber program yang diadakan pada malam itu adalah bagi tujuan untuk mengumpul dana PKR di mana pihak penganjur menyediakan kupon berharga RM40 dan meja-meja VVIP yang berharga RM2,000 dan RM1,000 untuk dijual. Semua pemimpin terbabit akan berceramah di Kerdau pada malam itu.

[Nampaknya Pakatan Rakyat Pahang sudah buka gelanggang. Bagaimana pula dengan UMNO BN agaknya. Jika dilihat kepada situasi semasa, pengaruh PAS tidak boleh dipertikaikan. Malahan terdapat dua kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kini berada ditangan PAS iaitu DUN Beserah dan DUN Semantan. Makanya, UMNO tidak boleh mendabik dada dan tidur lena sebenarnya. Sesuatu perlu dilakukan kerana Pahang adalah negeri kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Jatuhnya DUN Kerdau, bermakna harapan besar untuk rakyat melihat peralihan kuasa tampuk pimpinan negeri selepas Pilihan Raya Umum akan datang pasti akan tercapai. Oleh itu, semua pihak perlu bersedia kerana silap-silap haribulan PAS akan berjaya merampas kerusi DUN Kerdau. Ia ditambah lagi dengan kelembapan pembangunan di sana sekarang ini].

Tiada ulasan: