Selasa, 15 Februari 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Bilangan Pengundi Di Parlimen Pekan Meningkat Mendadak

Posted: 15 Feb 2011 12:30 AM PST

Peningkatan pengundi melampau di Pekan

TEMERLOH, 14 Feb: PAS Pahang menyifatkan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 yang sedang dipamerkan pada masa ini mengalami pertambahan bilangan pengundi yang menakjubkan terutama di Parlimen Pekan.

Gambar: Lembu-lembu ini pun dikira pengundi baru? Illustrasi hiasan

Setiausaha Perhubungan PAS Pahang Roslan Zainal berkata, untuk suku tahun keempat sahaja terdapat pertambahan sebanyak 26,000 pengundi iaitu hanya dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu.

Sedangkan katanya, untuk tempoh tiga penggal (9 bulan) sebelum itu jumlah pertambahan pengundi hanya sekitar 29,000 sahaja.

"Bagi PAS Pahang ini amat menakjubkan kerana bagi tiga bulan terakhir sahaja hampir menyamai pendaftaran sembilan bulan," katanya.

Menurut Roslan, paling menghairankan ialah pertambahan lebih 6,000 pengundi baru dalam masa tiga bulan itu di Parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Setelah disemak kita dapati pengundi-pengundi di pos-pos Orang Asli naik mendadak terutama di Parlimen Pekan dan Cameron Highlands. Selain itu kita dapati ramai pemilih-pemilih yang beralamat negeri Kedah terdapat di Pekan.

"Bagi PAS Pahang ini amat mencurigakan. Ini ditambah lagi dengan proses semakan dan bantahan dianjakkan sehingga hampir dua minggu, sedangkan keadaan seperti ini tidak pernah terjadi," katanya.

Kata Roslan, PAS Pahang berpendapat senario ini mungkin satu agenda bagi mengekalkan Najib di Pekan setelah merasa kurang selamat.

Tambahnya, jika ini benar ia hanya mengulangi proses penambahan pengundi pada 2003 di mana semasa persempadanan semula kawasan pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebahagian kawasan Parlimen Paya Besar dibawa ke Pekan dengan melibatkan dua buah kem tentera.

"Oleh yang demikian PAS pahang berpendapat sistem daftar pemilih SPR yang ada ini sudah lapok dan patut diganti setelah 53 tahun merdeka.

"Kerajaan pernah mendakwa mykad negara ini antara yang tercanggih di dunia jadi sepatutnya SPR boleh bekerjasama sengan Jabatan Pendaftaran Negara bagi membuat pandaftaran secara automatik apabila setiap warganegara berusia 21 tahun," katanya.

Roslan juga turut menggesa sistem undi pos sekarang dihapuskan kerajaan jika benar dakwaan mereka bahawa negara ini selamat. -harakahdaily



Mahathir Tak Ingat Muka...

Posted: 14 Feb 2011 11:30 PM PST

Ops Lalang: Saya ada jumpa pembangkang cuma tapi tak ingat muka, kata Mahathir

SHAH ALAM, 15 Feb — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus bertegas pemimpin-pemimpin pembangkang yang menemuinya lebih 20 tahun lalu sebelum mereka ditahan di bawah Ops Lalang seharusnya bercakap benar dan mengakui bahawa mereka ada menemuinya sebelum Ops itu dilaksanakan.

"Ia berlaku lebih 20 tahun lalu. Saya benar-benar ingat perjumpaan dengan mereka, saya tidak ingat wajah-wajah mereka. Saya pasti Karpal (Singh) bukan salah seorang daripadanya dan saya rasa (Lim) Kit Siang salah seorang daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) di sini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan pemberita sama ada beliau akan menyahut cabaran oleh pengerusi DAP Karpal Singh untuk menamakan anggota pembangkang yang menemuinya sebelum Ops Lalang dilaksanakan.

Dr Mahathir berkata sekiranya pemimpin pembangkang ikhlas dan tidak cenderung untuk berbohong, beliau merasakan mereka perlu mengakui yang mereka menemuinya sebelum operasi.

Katanya pemimpin-pemimpin pembangkang merayu kepadanya bagi mengelak penahanan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987, dan itu adalah sebabnya mengapa beliau menemui mereka supaya mereka tidak ditahan.

Dr Mahathir berkata: "Ia memalukan buat saya, selepas beri jaminan yang mereka tidak akan ditahan, mereka ditahan polis, dan sudah tentu saya terpaksa menandatangani perintah tahanan."

Menyentuh laporan berita mengenai bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan memiliki operasi perniagaan di Amerika Syarikat Dr Mahathir berkata: "Itulah memang kita tahu pun tapi bila kita nak dedah sesuatu kenalah ada bukti".

"Dia kaya bukan miskin sebab itulah dia boleh pergi sana sini cerita karut kepada orang memburukkan nama saya itulah kerja dia," katanya.

"Mungkin selepas ini saya akan terima surat peguam dari Anwar mengancam untuk menyaman saya bagi menutup mulut saya," kata Dr Mahathir.

Sementara itu semasa ditanya sekiranya Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud perlu meletak jawatan sebelum atau selepas pilihan raya negeri Dr Mahathir berkata: "Ia terpulang kepada rakyat Sarawak untuk menentukannya, saya rasa mereka lebih tahu sama ada dia perlu berundur atau tidak."

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata sekiranya Taib hendak berundur, sepatutnya perlu ada seseorang untuk menggantikannya, bukan seperti bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak yang meletak jawatan tanpa sebarang pelan pemindahan kuasa yang teratur. — Bernama

Ulasan GB

Mahathir pelupa, nyanyu atau nyanyuk atau sengaja mencipta alasan bahawa beliau tidak ingat?

Sehinggakan wajah orang yang ditemuinya pun sudah lupa?

Kalau kes ini di dalam mahkamah, dengan sendirinya beliau akan ditengking oleh hakim, sebab cuba menghina mahkamah dengan cuba mereka-reka andaian yang beliau sendiri tidak dapat membuktikan dengan sebenar siapa orang yang ditemuinya.

Mahathir cuba mencuci tangannya dari peristiwa Ops lalang.

Tidak semudah itu.

PRK Merlimau: PAS Tarik Diri? Karut!

Posted: 14 Feb 2011 10:35 PM PST

PAS tidak akan menarik diri dari bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, kata Yang DiPertua PAS Jasin, Kamaruddin Sidek.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh PAS Pusat setelah diberi mandat oleh Pakatan Rakyat.

"Kalau ada berita PAS tarik diri, ia berita baru. Tetapi tidak bincang tentang tarik diri. Kalau hendak tarik diri tentu ada perbincangan tetapi hingga hari ini tidak ada perbincangan.

"Saya ingin tegaskan PAS kekal bertanding (di Merlimau) sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat pada 11 Februari lalu.

"KIta telah pun membuat persiapan untuk PRK Merlimau. Wang pun sudah banyak dibelanjakan," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Kamaruddin berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin bahawa PAS akan menarik diri dari bertanding di Merlimau.

Alasannya ialah bagi mengelak kekalahan terus memandangkan Merlimau merupakan kubu kuat BN.

Khabar angin juga mendakwa PAS akan menyokong seorang calon bebas yang akan bertanding di Merlimau.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, "PAS tidak pernah menaja seseorang untuk menjadi calon bebas. PAS juga tidak menyokong calon bebas. Tetapi tidak tahu jika Umno terdesak untuk meletakkan calon bebas di Merlimau."

PRK Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyat Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 26 Febuari sebagai hari penamaan calon dan 6 Mac hari pengundian. PAS akan mengumumkan calonnya pada 24 Februari ini.

Empat nama yang dibincangkan oleh PAS semalam ialah Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man, Kamaruddin, Yang Dipertua PAS Jasin Jasme Tompang dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin Yuhaizan Abdullah. -FMT

Kes Tanam Anak Belakang Rumah: Siasatan Dapati Bayi Cedera Di Kepala

Posted: 14 Feb 2011 08:30 PM PST

Kuala Lumpur - Bedah siasat ke atas mayat bayi perempuan yang cuba ditanam di belakang rumah ibu bapanya di kawasan setinggan di Jinjang Utara semalam mendapati bayi itu mati akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata hasil siasatan mendapati bayi tersebut dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 3 Feb lepas sebelum dibawa pulang ke rumahnya pada lima hari lalu dan dipercayai tidak sihat.

"Bedah siasat yang dilakukan pada tengah hari tadi mengesahkan kematian bayi tersebut adalah kerana hentakan benda tumpul di kepala," katanya dalam kenyataan pada hari Isnin.

Beliau berkata bapa kepada bayi malang itu mendakwa anaknya mati akibat tercekik susu ketika isterinya keluar bekerja dan apabila isterinya pulang, dia menanam bayi tersebut kerana takut disoal siasat polis.

Katanya, curiga dengan keterangan bapa bayi tersebut, polis bertindak menahan lelaki berusia 38 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk siasatan lanjut.

"Kita juga telah mengambil keterangan isterinya yang bekerja sebagai pelukis inai di Jalan Masjid India tetapi wanita berusia 29 tahun itu tidak ditahan," katanya.

Zakaria berkata terdapat kesan pasir dan tanah pada mayat bayi tersebut dan polis percaya mayat bayi malang itu telah ditanam tetapi kemudiannya dikeluarkan semula.

Katanya, mayat bayi perempuan tersebut dibalut dengan kain dan berada di dalam beg plastik ketika dijumpai.

Semalam kira-kira-kira pukul 6 petang, polis bergegas ke rumah tersebut selepas mendapat maklumat dari orang awam yang berasa curiga apabila terlihat sebuah lubang di belakang rumah pasangan terbabit sebelum menemui mayat bayi berkenaan.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan. -- BERNAMA

Berita semalam


Tanam anak belakang rumah

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri ditahan selepas cuba menanam anak kelima yang meninggal dunia selepas 10 hari dilahirkan di dalam lubang di belakang rumah mereka di kawasan setinggan di Jinjang Utara, di sini, tengah hari semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu disedari seorang jiran pasangan terbabit selepas bapa bayi berkenaan datang meminjam cangkul dengan alasan untuk menanam uri bayinya yang baru dilahirkan.

Jiran pasangan itu, Mohd Ashaari Ulong, 56, berkata dia mengesyaki sesuatu dengan tindakan jirannya itu kerana tiba-tiba ingin meminjam cangkul dan menanam uri sedangkan bayinya lahir sejak 10 hari lalu.

"Pada masa sama, dia tidak pernah mendengar tangisan bayi dari rumah jirannya itu walaupun tahu isteri jirannya sudah melahirkan anak," katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, berikutan rasa was-was itu, dia enggan meminjamkan cangkul.

"Saya meminta anak buah saya meninjau kawasan rumah lelaki itu sebelum dimaklumkan ada kesan timbusan tanah di belakang rumah terbabit.

"Mungkin ada sesuatu ditanam, saya menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan polis tiba untuk membuat siasatan. Saya terkejut apabila polis menemui mayat bayi lelaki ditanam dalam lubang berkenaan," katanya.

Sementara itu, menurut sumber, bayi lelaki itu ditemui dalam lubang yang baru digali di belakang rumah suspek yang juga ibu bapa bayi berkenaan.

Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Berikutan itu, pasangan terbabit berusia 40-an yang ada kaitan dengan kejadian itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini, polis sudah menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan," katanya. -hm

Pondan Pakai Gaun Wanita Ditemui Mati Dibunuh

Posted: 14 Feb 2011 07:30 PM PST

George Town - Seorang lelaki yang berpakaian gaun wanita ditemui mati, dipercayai dibunuh di Lorong Love di sini hari ini.

ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki berpakaian wanita yang mati dibunuh di Jalan Love, George Town semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an yang dipercayai dihentak dengan tukul besi pada bahagian kepala itu mati di tempat kejadian.

"Menurut beberapa saksi, mangsa yang berjalan seorang diri di kawasan sebuah tokong tiba-tiba dihampiri seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan memukulnya dengan tukul besi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Lelaki yang masih belum dipastikan identitinya itu dipercayai pondan dan menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, polis menemui tukul besi berhampiran tempat kejadian yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk membunuhnya.

Sementara itu, polis mencari sepasang suami isteri rakyat Myanmar bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki rakyat negara itu di Lebuh Victoria di sini, Jumaat lalu.

Gan berkata, pasangan suami isteri yang tidak memiliki dokumen perjalanan diri itu dikenali sebagai Nar Phet (suami) berusia dalam lingkungan 30-an manakala isterinya dikenali sebagai As, 20-an.

"Polis telah mengedarkan gambar pasangan berkenaan di seluruh negeri ini bagi menjejaki mereka untuk membantu siasatan pembunuhan rakan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jumaat lepas, polis menemui mayat Kachut, 30-an, dengan kesan empat tikaman di dada dan kesan hentakan objek keras di kepala di asrama tempat kerjanya di sebuah rumah kedai di Lebuh Victoria di sini.

Gan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pasangan berkenaan menghubungi pegawai penyiasat kes itu, ASP A.Sidambaram menerusi talian 019-4137974 atau balai polis berhampiran.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak empat daripada 39 kes kebakaran yang dilapor di negeri ini sejak Januari lepas diklasifikasi sebagai perbuatan khianat.

"Empat kes itu ialah di Jelutong, Pasar Anson, Komtar dan Lebuh Melaka.

Polis telah mengesan seorang lelaki dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya. -Bernama

Isy, Warga Emas 62 Tahun Pun Dirogolnya...

Posted: 14 Feb 2011 06:30 PM PST

Sungai Petani - Seorang buruh yang mengaku bersalah atas tuduhan merogol dan meliwat seorang warga emas hampir dua tahun lepas hari ini dihukum penjara berjumlah 16 tahun dan 12 sebatan.

Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Zainol Saad memerintahkan hukuman ke atas tertuduh, Shariefuddin Arshad, 45, dari Serdang, Bandar Baharu dijalankan secara berasingan mulai tarikh dia ditangkap pada 27 Sept 2009.

Shariefuddin dituduh melakukan kesalahan tersebut secara berasingan ke atas jirannya seorang warga emas berusia 62 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Wangsa, Serdang, dekat sini.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa merogol jirannya itu antara pukul 7 dan 8 pagi, 6 Sept 2009.

Kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, Shariefuddin didakwa melakukan persetubuhan di luar tabie pada tarikh dan tempat sama dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan pertama, Shariefuddin dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan enam kali sebatan manakala pertuduhan kedua, dia dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Syazwani Syed Hussain memohon supaya hukuman penjara dijalankan secara berasingan sebagai pengajaran kerana mangsa mengalami trauma akibat kejadian tersebut. - Bernama

[Bergambar] Sultan Kelantan Bersama TG Nik Aziz Di Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Peringkat Negeri Kelantan 1432 H

Posted: 14 Feb 2011 05:41 PM PST


Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama MAIK - Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Peringkat Negeri Kelantan 1432 H di Masjid Muhammadi Kota Bharu pada 14 Februari 2011, dimulakan dengan solat Maghrib/Isyak berjemaah, cemarah khas Maulidur Rasul, Bacaan Selawat dan jamuan rakyat.


Turut berangkat ke Sambutan Maulidur Rasul tersebut adalah KDYMM Sultan Muhammad V, Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan, Dato Mohammad Yaakod (Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato Haji Husam Musa (Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan) serta exco-exco / saf kepimpinan kerajaan negeri Kelantan dan seluruh rakyat negeri Kelantan dari seluruh pelusuk negeri Serambi Mekah.

Ceramah khas sempena Maulidur Rasul disampaikan oleh Ustaz Hassan Mahmud A-Hafiz. Bacaan Selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W turut diadakan. Majlis berakhir dengan jamuan rakyat.












Bawa Anak Kecil Semasa Khalwat

Posted: 14 Feb 2011 03:58 PM PST

Sepang: Taktik seorang duda menggunakan anaknya berusia setahun lapan bulan bagi mengaburi pihak berkuasa ketika asyik memadu kasih dengan pasangan berusia 21 tahun tidak menjadi apabila dicekup pihak berkuasa di sebuah hotel murah di Dengkil, semalam.

TAHAN...pasangan kekasih terbabit yang dicekup dalam operasi, semalam.

Mereka ditahan penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Sepang dalam operasi antizina di beberapa hotel murah di Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi, kira-kira jam 2 pagi, selepas mendapat maklumat pasangan bukan mahrim terutama dari luar kawasan itu menjadikan hotel murah di kawasan itu bagi 'meraikan' hubungan sulit sempena Hari Kekasih.

Malah, ketika ditahan, duda berusia 27 tahun dari Dengkil itu hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju, manakala pasangannya sudah berpakaian lengkap.

Operasi bermula jam 10 malam dan berakhir jam 6 pagi itu diketuai pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Mohd Azran Musa bersama 25 anggota membabitkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Polis Diraja Malaysia dan penguat kuasa agama.

Pegawai Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Sepang, Alfian Ahmad, berkata duda terbabit dipercayai membawa anaknya bagi melindungi kegiatan tidak bermoral bersama pasangannya.

Menurutnya, pada zahirnya, orang ramai akan menyangka pasangan itu suami dan isteri apabila ada anak kecil bersama di dalam bilik hotel berkenaan.

"Tetapi, hasil risikan kami membongkar rahsia pasangan itu tiada sebarang hubungan suami isteri dan anak kecil itu anak lelaki terbabit.

"Kami percaya lelaki terbabit menggunakan taktik membawa anak kecil itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, cara mereka memperalatkan kanak-kanak itu bagi menjayakan perbuatan maksiat mereka tidak berhasil apabila serbuan dilakukan penguat kuasa agama," katanya ketika di temui dalam operasi itu, semalam.

Alfian berkata, siasatan turut mendapati lelaki terbabit sudah bercerai selain mempunyai seorang lagi anak dan memberikan alasan akan berkahwin dengan pasangan pada Jun depan. -hm

Giliran Blogger Pula Tinggalkan PKR, Cucumatkilau & Matsamankati Ucapkan Sayonara!

Posted: 14 Feb 2011 02:45 PM PST

Selamat Jalan PKR

PKR pasca 2008, tak sama dengan PKR pra-2008. PKR sebelum menang, tak sama dengan PKR selepas menang.

Gambar: cucumatkilau (kiri) matsamankati (kanan)

Sebelum menang, macam-macam janji. Macam-macam harapan yang ditaburkan. Selepas menang, janji entah kemana, harapan entah kemana.

Aku dah baca banyak komen. Aku dah dengar banyak alasan. Aku dah tengok banyak contoh. Dan aku dah rasa banyak pengalaman.

Cukup lah sampai disini. Aku tak mau lagi bersubahat dengan mereka yang mungkir janji. Sebab mungkir janji itu adalah sifat munafik.

Aku tak mau dengar alasan lagi. Sebab alasan hanyalah helah untuk menutup kelemahan.

Aku tak mau kutuk lagi, sebab itu bukan contoh yang baik.

Dengan itu…aku mengambil sikap untuk berundur dari PKR. Aku bukan keluar PKR, sebab aku masih lagi memegang prinsip yang diperjuangkan. Tetapi aku tak sanggup lagi berada dalam PKR yang ada hari ini kerana ianya tidak lagi memegang prinsip yang diperjuangkan.

Maka dengan ini, aku mengisytiharkan, bahawa aku bukan lagi ahli PKR, bukan lagi penyokong PKR dan tidak ada kena mengena dengan PKR. Tetapi bukan bermakna aku memusuhi semua kerabat PKR. Masih ramai mereka yang didalam PKR yang aku hormati.

Tetapi oleh kerana ianya dipimpin oleh mereka yang tidak lagi aku hormati, maka aku tidak lagi mahu bersubahat dengan mereka.

Selamat jalan PKR. -ureka.asia


Blogger Cucumatkilau 'Secara Rasmi' Isytiharkan Keputusannya Keluar Dari Parti Keadilan Rakyat

KUANTAN, 11 Feb [12.03 pm] - Akhirnya Blogger Cucumatkilau @ Mohd Shukri Mohd Ramli (foto), 39, hari ini mengesahkan yang dirinya secara rasmi mengundurkan diri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sidang media telah berjaya diadakan di Restoran Sg.Kita, Jalan Tanah Putih dekat sini jam 10.00 pagi tadi. Dengan keputusan ini juga bermakna beliau kini tidak lagi terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan parti itu.

Menurut Cucumatkilau keputusan yang diambil ini biar pun berat tetapi terpaksa ditelan jua memandangkan beliau mahu bergerak bebas dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjayanya.

"Saya mahu berehat dan lupakan seketika dunia politik. Banyak benda yang perlu saya uruskan terutamanya berkaitan dengan keluarga. Saya mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk membela nasib keluarga dan masa depan anak-anak", katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan keputusan yang diambil ini akan dicemuh dan dikutuk oleh ahli-ahli PKR terutamanya bagi mereka yang memang sejak sekian lama tidak bersetuju dengan pandangan saya.

"Orang boleh kata apa saja, namun niat saya untuk keluar memang sudah lama saya maklumkan cuma ia tidak secara rasmi. Kini barulah saya rasa bebas dan boleh menentukan hala tuju masa depan saya sendiri. Memang saya akui banyak tuduhan akan dilemparkan oleh mereka selepas ini. Itu hak mereka, tetapi hak saya perlu dipertahankan. Ketika saya jatuh, susah dan mengharapkan simpati tiada siapa yang mahu datang membantu tetapi bila saya memilih jalan hidup sendiri ramai pula yang mempertikaikan. Biasalah, buat baik pun orang akan mengutuk apatah lagi dengan keputusan berat yang saya ambil ini", tambah beliau lagi.

[Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan akan kembali berpolitik suatu hari nanti jika ada kekuatan dan semangat untuk meneruskan perjuangan itu. Ikuti kenyataan beliau dalam blognya www.cucumatkilau.blogspot.com, terutamanya mengenai beberapa teguran dan nasihat buat mana-mana sahabat yang masih meneruskan perjuangan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri.

Kami dan seluruh warga kerja Pahang Daily Online mengucapkan selama berehat untuk Cucumatkilau, semoga perjuangannya akan diteruskan dalam apa jua cara sekali pun.

Biar apa pun yang terjadi, kami yakin yang beliau telah memikirkan apa yang mahu dibuatnya. Keputusan yang dibuat itu adalah selepas beberapa lama membuka ruang perbincangan dengan sahabat terutamanya pemimpin PKR itu sendiri. Jika beliau seorang pengkhianat, lebih baik dia terus keluar dari PKR tanpa berbincang sebegitu lama. Namun, orang ramai yang mengenalinya saja yang boleh menilai apa yang dilakukannya ini. Bagi kami, hak peribadi beliau usahlah dipertikaikan kerana dia lebih mengetahui segala apa yang mahu dilakukannya sekarang. -pahangdaily


Ulasan GB

Apa yang GB katakan sebelum ini menjadi kenyataan.

Tindakan Anwar, Saifuddin dan Azmin sendiri yang menyebakan PKR jadi begitu menyebabkan ramai yang bertindak meninggalkan parti.

Dan anehnya pimpinan tidak memperbaikinya, sebaliknya terus mempertahankan kelemahan dengan nak jelajah satu negara baiki imej parti, kata mereka.

Petikan:

Imej parti nak dibersihkan dengan menjelajah satu Malaysia. Itu satu langkah yang baik. Setidak-tidaknya dari perspektif kekuatan PR sendiri supaya PKR tidak terus-terusan menjadi liabiliti kepada PR.

Tetapi pemulihan imej tidak hanya dapat dilakukan dengan sekadar menampal make-up di wajah yang telah hodoh sedangkan tak ambil langkah positif perbetulkan kelemahan yang menyebabkan PKR ditolak dan imejnya tercalar.

Ini zaman IT. Ini zaman orang berilmu, ini era twitter, era blogging, zaman orang berfacebook! Orangramai tidak semudah itu boleh menerima kata-kata ucapan retorik lagi.


Baju Dan Seluar Dalam Ditemui Berterabur Dalam Semak

Posted: 14 Feb 2011 06:57 AM PST

Tindakan orang gila seks. Mungkin itu sesuai untuk menggambarkan situasi menggemparkan berikutan penemuan sebahagian pakaian dalam wanita yang berhampiran semak di Lorong 12 Bukit Perdana, Setongkol di sini.

Paling mengejutkan, golongan terlibat itu sanggup menyusun coli pada tiang elektrik di lorong itu selain seluar dalam yang bertaburan dalam semak berdekatan.

Selain itu, turut ditemui uniform sekolah yang turut dibuang dalam semak tersebut.

Situasi ini menyebabkan penghuni lorong dan sekitarnya gusar berikutan kes kehilangan pakaian dan baju dalam milik mereka (wanita) sejak minggu lalu.

Seorang peniaga, Chew Yen Chin, 35 berkata, dia menyedari kehilangan baju dalam miliknya pada pagi Jumaat lalu selepas balik dari tugasan luar.

Menurutnya, selepas dua orang gajinya memberitahu, mereka memeriksa dan mendapati kehilangan pakaian dalam miliknya.

"Orang gaji saya turut kehilangan beberapa pasang coli dan seluar dalam milik mereka.

"Sebelum ini, saya pernah berhadapan dengan seorang lelaki bermotosikal yang cuba mencuri pakaian dalam di belakang laman rumah saya dua tiga tahun lalu," katanya tindakan lelaki itu berjaya digagalkan selepas dia menjerit terhadap pelaku itu.

Menurutnya, dia risau tentang keselamatan penghuni terutamanya kanak-kanak dan wanita memandangkan laluan itu turut menjadi tumpuan penduduk beriadah (jogging) selain gelap di waktu malam.

Bagi dua orang gajinya, Asi dan Asu, 21 yang berasal dari Jawa itu berkata, mereka mengetahui lokasi kejadian itu selepas berjalan-jalan di lorong itu.

"Kami terkejut dan pantas memberitahu majikan tentang penemuan ini dan turut menjumpai batang besi yang digunakan sebagai alat untuk mencuri pakaian dalam.

"Kami kini risau juga kalau mereka yang melakukan perbuatan ini ada niat lain dan buat perkara bukan-bukan," kata mereka yang masih terkejut kerana pertama kali berhadapan dengan masalah itu.

Sementara itu Pegawai Khas Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang yang berkunjung ke lokasi itu selepas mendapat aduan menasihatkan mangsa terlibat membuat laporan polis untuk langkah keselamatan.

"Kita berharap pihak berkuasa dapat menyiasat seterusnya menangkap mereka yang terlibat untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku suatu hari nanti," katanya.

[Bergambar] Lagi Bas 2 Tingkat Kemalangan, Langgar 2 Kenderaan Didepannya

Posted: 14 Feb 2011 05:30 AM PST

Sebuah bas dua tingkat yang membawa kira-kira 20 penumpang merempuh dua kenderaan di hadapannya di Kilometer 273 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban di sini, Isnin.

Kejadian pada pukul 9.30 pagi yang membabitkan bas dari Seremban ke Kuala Lumpur itu menyebabkan penumpang sebuah daripada kenderaan yang dirempuh bas itu cedera di kaki akibat tersepit di tempat duduk.

Anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan penumpang kenderaan pacuan empat roda yang tersepit itu. Kesemua penumpang bas selamat.

Jurucakap polis berkata kejadian dikatakan berpunca daripada pemandu bas terbabit tidak sempat memberhentikan kenderaan apabila menyedari terdapat kesesakan jalan raya di hadapannya.

"Bas itu merempuh sebuah kereta sebelum merempuh sebuah lagi pacuan empat roda sebelum berhenti di tengah jalan," katanya.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk sejauh beberapa kilometer.

Seorang penumpang bas, Muhammad Hazwan Zulkifli, 23, berkata keadaan di dalam bas kelam kabut apabila berlaku rempuhan kuat menyebabkan ada penumpang tercampak dari kerusi.

"Beberapa penumpang menjerit ketakutan kerana terkejut. Walaupun ada yang tercampak dari kerusi, saya nampak penumpang bas tidak mengalami kecederaan yang serius.

"Saya tidak pasti bagaimana kemalangan itu berlaku, mungkin pemandu bas tidak nampak berlaku kesesakan di depan kerana keadaan jalan yang agak berbukit," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Muhammad Hazwan yang duduk di tingkat atas bas itu, berkata ketika kejadian bas berkenaan dipandu mengikut kelajuan biasa.-BERNAMA









Ameng Mengaku Salah Miliki Dadah

Posted: 14 Feb 2011 04:00 AM PST

Ayer Keroh: Vokalis kumpulan rock terkenal Spring, Ameng, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis dan methamphetamine di sebuah hotel di Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, dekat sini, pada 1 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 43, dan isterinya, Sabariah Zakariah, 41, didakwa memiliki dadah jenis kanabis dengan berat kasar 122 gram dalam sebuah bilik di Hotel Senyum Mesra pada kira-kira 5.20 petang.

Bagi pertuduhan kedua pula, pasangan berkenaan turut didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan berat kasar sebanyak satu gram pada tarikh, tempat dan masa sama.

Bagaimanapun, Sabariah tidak mengaku bersalah terhadap kedua-dua dakwaan terbabit.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibacakan bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (3) akta sama dan Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau minimum tidak kurang dari lima tahun dan sebatan tidak kurang dari 10 bagi pertuduhan pertama, manakala bagi pertuduhan kedua, hukumannya didenda tidak lebih dari RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tan Sri Arshad Cancelor Baru UNISEL Ganti Rosmah

Posted: 14 Feb 2011 02:44 AM PST

Raja Arshad ganti Rosmah canselor baru Unisel

Pro-canselor Universiti Industri Selangor Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dipilih menggantikan isteri perdana menteri Rosmah Mansor sebagai canselor baru universiti milik kerajaan negeri itu.

Menurut sumber, pelantikannya akan berkuatkuasa pada 21 Februari depan dan beliau dijadual menerima watikah daripada Sultan Selangor pada sebelum 9 Mac ini.

Pelantikan itu dijadual diumumkan oleh exco pendidikan negeri Dr Halimah Ali di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di Shah Alam pada jam 3.30 petang ini.

Pengumunan pengganti Rosmah itu sekali gus bakal menghentikan spekulasi penggantinya dan lobi-melobi ke jawatan itu.

Beberapa nama yang pernah dicadangkan sebelum ini antaranya Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan tokoh akademik Khoo Khay Kim.

Kekosongan Raja Arshad akan diisi oleh Tan Sri Ismail Adam.

Raja Arshad merupakan pengerusi Maxis Berhad dan anggota lembaga pengarah Sime Darby Berhad.

Beliau juga terlibat dalam kerja kemasyarakat apabila menjawat jawatan pengerusi Yayasan Raja Muda selain menjadi anggota Dewan DiRaja Selangor dan majlis penasihat kepada Sultan Selangor. -mk

Suruhanjaya Bebas Siasatan Teoh Sebenarnya Tidak Bebas

Posted: 14 Feb 2011 01:00 AM PST

Pakar patologi forensik Dr Pornthip Rojanasunand bukan merupakan salah seorang saksi yang akan dipangggil oleh suruhanjaya siasatan, yang hari ini mula mendengar prosiding kematian Teoh Beng Hock.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh berkata, Dr Pornthip tidak dinamakan sebagai saksi meskipun penemuan beliau akhir 2009 menunjukkan adanya tanda-tanda kecederaan prakematian bekas pembantu Exco Kerajaan Negeri Selangor itu.

"Sekiranya kita adakan siasatan bebas... nama pertama (pada senarai) seharusnya (mendapat perhatian ialah) Dr Pornthip," kata Gobind hari ini.

Sebelum ini Dr Pornthip menyuarakan pendapat terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera. Ia membawa kepada bedah siasat kali kedua oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Nor pada 22 November lalu.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Pornthip, sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan mendakwa hasil pemerhatiannya mendapati kemungkinan 80 peratus kematian Teoh adalah kerana dibunuh manakala 20 peratus lagi akibat bunuh diri.

Suruhanjaya itu juga menerima pegawai-pegawai pengendali dari Jabatan Peguam Negara meskipun dibantah peguam-peguam Teoh mengenai kemungkinan elemen bias.

Gobind berkata pegawai-pegawai pengendali, yang dipertanggungjawabkan untuk mengemukakan bukti ketika inkuiri, mempunyai konflik kepentingan memandangkan Jabatan Peguam Negara didakwa memohon penemuan menyentuh soal bunuh diri dalam permohonan semakan mereka terhadap keputusan terbuka dalam inkues Teoh awal bulan lalu.

"Sehingga dan apabila kita ada sebab untuk meragui sikap berkecuali mereka, kami akan terima bantuan mereka," kata pengerusi suruhanjaya Tan Sri James Foong pada permulaan inkuiri.

"Kami rasa selesa kerana kesemua pihak yang mewakili, bukan sahaja akan menyediakan elemen semak dan seimbang, tetapi juga akan membantu membawa maklumat dan bukti yang relevan dalam mencapai terma rujukan," kata beliau. -TMI


RCI tolak permohonan singkir pengendali suruhanjaya



Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock hari ini menolak permohonan keluarga si mati itu untuk menyingkirkan timbalan pendakwa raya yang mengendalikan prosiding berkenaan.

Suruhanjaya berkenaan turut menetapkan supaya prosiding itu diteruskan walau semakan inkues yang difailkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada awal bulan lalu belum diputuskan.


Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang mempengerusikan suruhanjaya tersebut.

Terdahulu, peguam yang mewakili keluarga Teoh antara lainnya membangkitkan isu berhubung kedudukan dua timbalan pendakwa raya dalam suruhanjaya itu.

Timbalan perndakwa raya berkenaan, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Amarjeet Singh didakwa tidak dapat bertindak secara bebas disebabkan semakan kehakiman itu
.

Turut dipertikaikan ialah kedudukan seorang lagi pegawai pengendali suruhanjaya itu, Kwan Li Sa atas alasan sama.

Peguam Gobind Singh Deo, Karpal Singh dan Malik Imtiaz Sarwar mewakili keluarga Teoh dalam prosiding suruhanjaya diraja yang bermula hari ini.

Gobind dalam hujahnya berkata, pegawai pengendali dalam suruhanjaya itu perlu bertindak tanpa memihak sedangkan peguam negara merupakan pegawai yang berkuasa ke atas timbalan pendakwa raya berkenaan.

Dalam kenyataan balasnya, Amarjeet menjelaskan, autoriti mereka ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan surat pelantikan yang diterima dan bukannya daripada pejabat peguam negara.

Dalam pada itu, Foong pula memberi jaminan ketiga-tiga timbalan pendakwa raya itu akan bertindak dengan bebas.

Katanya lagi, keputusan untuk menyingkirkan timbalan pendakwa raya berkenaan tertakluk kepada budi bicara suruhanjaya berkenaan.

Prosiding yang dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini akan disambung semula pada hari Rabu. -mk


Ulasan GB

Daripada senario diatas jelas bahawa Suruhanjaya yang dikatakan bebas itu sebenarnya tidak bebas.

Ia dilantik oleh kerajaan berdasarkan kepada "telunjuk" Peguam Negara.

Dan kita sudah tahu sikap Peguam Negara yang sebenar di dalam kes Teoh Beng Hock ini iaitu sentiasa cuba melindungi Polis dan SPRM.



Tiada ulasan: