Khamis, 17 Februari 2011

kalam Perantau

kalam Perantau


Apakah berlaku Pilihanraya serentak?

Posted: 16 Feb 2011 04:05 PM PST

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud semalam menolak laporan portal pro-pembangkang kononnya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan pada minggu ini bagi memberi laluan pilihan raya negeri.

Menyifatkan ia cuma rekaan semata-mata, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu menjelaskan, adalah tidak benar sama sekali beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Jumaat ini untuk mendapatkan kebenaran membubarkan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi.

Di sebalik penafian Abdul Taib itu, satu sudut lain melihat ada kalangan portal pro- pembangkang merencanakan ‘laporan’ kononnya pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Soalnya, apakah tempoh sesuai untuk Barisan Nasional (BN) menghadapi PRU? Adakah PRU diadakan serentak dengan Pilihan Raya DUN Negeri Sarawak yang perlu sebelum Julai ini atau ‘melepaskan’ dahulu Sarawak? Bagi penganalisis politik, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad, tempoh paling sesuai sekiranya BN hendak mencapai kemenangan dengan majoriti mudah adalah pada akhir tahun depan atau awal tahun 2012.

“Lagi pendek lagi bagus (tempoh hendak diadakan PRU), selain lagi cepat. Tetapi bahayanya jika tempoh bagi tarikh PRU agak lama (selepas pertengahan 2012 sehingga mandat berakhir pada April 2013). Ini kerana pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, Pas dan PKR begitu agresif, sebab mereka bukan nak fikir sangat soal rakyat tetapi yang paling utama adalah hendak menang dan perintah Malaysia.

“Saya percaya kalau BN tak baca signal ini, dikhuatiri BN akan ‘terperangkap’. Jadi, kalau hendak adakan serentak (PRU 13 dan pilihan raya Sarawak), maka dalam tempoh enam bulan mulai sekarang, BN perlu kerja keras sebab pembangkang sekarang kerja triple,” kata pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya itu kepada Utusan Malaysia.

Menurut Noor Sulastry, signal atau isyarat yang dimaksudkan itu merujuk jika BN gagal membacanya dengan tepat berkaitan masalah dalaman parti yang jika tidak diurus dengan baik, dikhuatiri akan merebak seperti jangkitan virus.

“Saya ingin menarik perhatian ini kerana jika ada lompang pun, kekuatan BN dari dalamlah yang mencemarkan parti itu dan bukannya dari luar.

“Jadi, inilah yang sering diambil kesempatan oleh pakatan pembangkang,” katanya.
Dalam aspek ini, katanya, BN perlu membuktikan mereka adalah juara rakyat sebenar dan bijak menangani masalah-masalah pengundi di setiap kawasan. Beliau menarik perhatian bahawa isu-isu pembangunan bukanlah ‘isu sebenar’ yang boleh dipergunakan sewenang- wenangnya oleh pembangkang kerana semua itu telah ditangani dengan baik oleh kerajaan BN.

“Dari sudut lain, isu pembangunan ini telah dimanipulasikan dengan sebegitu baik oleh lawan BN. Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh BN adalah fokus kepada isu-isu pembangunan yang lebih menumpukan pada soal kaum dan masyarakat tertentu antaranya warga emas, pelajar (pendidikan) dan golongan bergaji rendah serta sederhana.

“Isu pembangunan yang bersangkut paut dengan soal pembinaan yang menelan kos berpuluh atau beratus juta tidak kekal lama jika ia terlalu diuar-uarkan. Tetapi yang penting, ‘mudah’ dan paling diingati rakyat adalah yang menjurus terus kepada kehidupan majoriti mereka,” katanya.

Justeru, Noor Sulastry berpendapat, semua pemimpin dan ahli BN tidak perlu menunggu selepas Konvensyen BN selesai pada Ahad lalu untuk mula mengorak langkah mempertahankan mandat BN. “Saya percaya dengan keadaan undi yang berpecah, Melayunya lain (BN, Pas dan PKR), Cinanya juga begitu (MCA, PKR dan DAP), maka pencapaian sekurang-kurangnya dengan kemenangan majoriti mudah sebenarnya sudah cukup dalam situasi banyak negara di dunia ketika ini yang sukar mencapai tahap tersebut.

Nada sama turut dikongsi oleh seorang lagi penganalisis, Dr. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia.

“Pada saya, akhir tahun 2011 atau awal 2012 adalah waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU sekiranya BN berhajat mengekalkan mandatnya,” katanya.
Ini kerana, kata beliau, pada tempoh tersebut nanti, semua agenda yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri akan dan sedang terpamer untuk penilaian rakyat.

Sivamurugan turut menarik perhatian mengenai kepimpinan lepas yang hanya menonjolkan banyak projek dan program tetapi malangnya dari segi pelaksanaan, agak ‘indah khabar dari rupa’.

“Jika diadakan PRU serentak dengan pilihan raya Sarawak, ia agak sukar sebab harga barang baru naik selain perubahan kepimpinan dalam UMNO, manakala MIC baru hendak bermula.

“Tetapi tempoh lama (tarikh PRU) juga susah, katakan selepas pertengahan 2012, ia akan mewujudkan satu dilema untuk BN sendiri.

“Sebabnya, dibimbangi kemunculan lompang-lompang yang sengaja dicetuskan oleh pihak berkenaan,” katanya.


Tiada ulasan: