Jumaat, 25 Februari 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


WANITA UMNO JASIN TUTUP BILIK GERAKAN DI MERLIMAU

Posted: 25 Feb 2011 04:41 AM PST

Menjelang hari penamaan calon PRK Merlimau, Umno mengalami tsunami politik apabila Wanita Umno Jasin menutup bilik gerakan mereka di Taman Merlimau Jaya. Tindakan ini diambil kerana kecewa wakil Wanita Umno tidak dipilih menjadi calon untuk PRK Merlimau.

Sebaliknya Umno memilih Roslan Ahmad sebagai calon BN yang kurang dikenali dan popular di kalangan pengundi di situ. Perkara ini disahkan oleh Ketua Wanita Umno Jasin, Zaleha Bujang yang mengatakan bahawa beliau merasa tersinggung kerana pemilihan Roslan Ahmad menunjukkan pucuk pimpinan Umno mengenepikan sumbangan dan peranan wanita.

Menurut beliau lagi ini menunjukkan bahawa suara Wanita Umno tidak didengari oleh pimpinan Umno berbanding dengan Pakatan Rakyat seperti di PRK Tenang yang mengangkat martabat wanita dengan memilih bekas guru Normala Surdiman sebagai calon.

Beliau juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila kesungguhan Wanita Umno Jasin melancarkan "Gelombang Merah Wanita' yang menyasarkan 5000 petugas Wanita di Merlimau tidak dipedulikan oleh pimpinan Umno. Menurut beliau lagi sepanjang 15 PRK pasca pilihanraya ke 12 tidak ada seorang pun wakil di kalangan Wanita Umno dan BN dipilih menjadi calon berbanding dengan Pakatan Rakyat.

Kepada pengundi Merlimau, inilah watak sebenar Umno yang bercakaran dan berebut sesama sendiri untuk menjadi calon yang lebih kepada kepentingan peribadi dan mempunyai agenda tertentu. Inikah tradisi membela rakyat yang mereka slogankan selama ini? Adakah ini yang dinamakan rakyat didahulukan? Berbeza dengan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat sama ada sayap Pemuda dan Muslimat dan komponen Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR dan DAP yang sentiasa meletakkan agenda membela nasib rakyat dan keadilan serta membawa perubahan politik dan ekonomi sebagai teras perjuangan. Pendedahan Ketua Wanita Umno Jasin ini sekali gus mendedahkan tembelang sebenar Umno/BN yang kononnya sentiasa berganding bahu dan berpegang teguh kepada pucuk pimpinan.

Walau bagaimanapun kepada semua petugas PAS dan Pakatan Rakyat tidak mudah leka dan terbuai-buai dengan pergolakan yang berlaku dalam Umno di Merlimau sebaliknya terus meningkatkan momentum dan gerak kerja untuk menwan hati pengundi serta membawa mesej yang lebih besar bukan sahaja untuk PRK Merlimau tetapi dalam gagasan yang lebih besar dalam Pilihanraya Umum ke 13.

Pelaksanaan Gaji Minimum Hanya Retorik Politik

Posted: 25 Feb 2011 03:22 AM PST

TVS NEWS

SHAH ALAM : Setelah 62 tahun menanti, adakah benar pada akhir tahun ini isu gaji minimum akan diselesaikan atau hanya sekadar omong pilihan raya umum ke-13.

Itu persoalan yang diajukan oleh ahli parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid ketika mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam bahawa kerajaan akan mengumumkan kadar gaji minimum hujung tahun ini.

" Kalau 52 tahun dia ada peluang untuk buat, inikan pula lima tahun (kalau mereka menang PRU 13). Tak masuk akal dia boleh buat gaji minimum," kata Abdullah ketika dihubungi Tv Selangor.

Hakikatnya, isu gaji minimum bukanlah isu semasa. Ia dibawa oleh pemimpin-pemimpin terdahulu sejak tahun 30-an, 40-an. Namun begitu, isu gaji minimum tidak pernah selesai sehinggalah ia dikatakan akan diimplimentasikan akhir tahun ini.

Semalam, menterinya berkata, Akta Gaji Minimum dicadangkan akan dibawa ke Kabinet pada persidangan akan datang.

Namun menurut Abdullah, pelaksanaan gaji minimum tidak perlu ditunda hingga ke akhir tahun kerana ia sudah dituntut oleh rakyat sejak sekian lama.

Malah katanya, tindakan kerajaan melengah-lengahkan pelaksanaannya, menimbulkan kesangsian banyak pihak.

" Hujung tahun ini macam-macam boleh berlaku. Ini semua retorik. Saya tidak yakin, malah bertambah kesangsian setelah melihat ketidaksungguhan kementerian ini untuk mengadakan gaji minima. Sebenarnya gaji minima ini diminta sejak tahun 1949 lagi," jelas Abdullah.

Malah katanya, faktor tekanan yang diterima oleh kerajaan daripada syarikat-syarikat korporat, mungkin menjadi penghalang utama kepada pelaksanaannya.

Namun memandangkan PRU ke-13 semakin hampir, maka suntikan "feel good factor" perlu diberikan kepada rakyat.

" Memang saya percaya perkara ini tidak akan berlaku sebab ketidaksungguhan dan ketakutan Barisan Nasional terhadap kapitalis-kapital dan korporat-korporat yang sekarang ini menentang keras gaji minima. Saya tidak nampak kerajaan mempunyai kekuatan untuk mengadakan gaji minima ini.

Walau bagaimanapun,menurut Abdullah, janji-janji manis pilihan raya tidak diperlukan oleh Pakatan Rakyat.

Sekiranya rakyat memberikan mandat kepada gagasan itu, maka pelaksaan gaji minimum tidak memerlukan masa yang lama untuk dilaksanakan.

" (Isu) gaji minimum ini kalau kita perintah sepanjang tempoh 100 hari itu, kita sudah rangka. Kalau sesiapa yang ada pengalaman tentang gaji minimum ini,bila-bila masa pun ia bersedia, sama dengan Pakatan Rakyat, kita bersedia bila-bila pun," katanya.

Bekas Pekerja LBJ Tuntut Raja Nong Chik Tunai Janji

Posted: 25 Feb 2011 03:18 AM PST

TVS NEWS


PUCHONG : "Kerajaan mungkir janji lagi". Demikian laungan kira-kira 100 bekas pekerja Ladang Bukit Jalil (LBJ) yang menuntut agar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin menunaikan janji untuk membayar wang ehsan bernilai hampir RM1 juta.

Malah mereka juga turut menuntut tiga ekar tanah daripada 26 ekar tanah sedia ada untuk membina penempatan baru sebelum kediaman mereka dirobohkan pihak kerajaan.

Hal ini kerana, kedatangan menteri itu pada Rabu lalu, tidak menyelesaikan sebarang masalah yang membelit bekas pekerja ladang terbabit.

Menurut jurucakap Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Arutchelvan Subramaniam, sebagai rakyat, mereka berhak menyuarakan hak mereka dan membantah tindakan Raja Nong Chik beserta timbalannya, Datuk M. Saravanan dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.

"Dalam mensyuarat itu, mereka panggil kita untuk buat rundingan, tapi sebenarnya mereka hendak membuat pengumuman. Mereka akan menambah pampasan. Tapi isu yang kita ungkitkan adalah isu tanah ini. Kita minta 3 ekar daripada 26 ekar yang ada. Saya rasa apa yang diminta bekas pekerja LBJ tak salah. Mereka hanya minta 3 ekar tanah untuk bina rumah," kata Aruchelvan.

Aruchelvan yang juga Setiausaha Umum Parti Sosialis Malaysia (PSM) menjelaskan, hanya sepuluh buah keluarga sahaja telah berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, manakala majoriti yang lain masih menetap di kawasan ini.

Dalam pada itu, beliau juga menerangkan, kerajaan sebenarnya tiada hak untuk campur tangan dalam sebarang urusan pemberian tanah. Ini kerana, tanah yang diduduki sekarang telah diswastakan kepada Bukit Jalil Development Sdn Bhd.

"Adakah dia sekarang menjadi jurucakap untuk pihak swasta? Apakah kepentingan kerajaan dalam tanah ini? Dan saya rasa itu adalah isu pokoknya. Kalau kita tak pindah, mereka akan datang bagi notis dalam masa seminggu. Kita membantah notis yang diberikan sebelum ini kerana kita diberi adalah ordinan pemberian setinggan. Hanya boleh guna untuk penempatan setinggan. Ini pekerja ladang," tambah beliau.

Justeru, bekas pekerja LBJ menuntut supaya kerajaan memberi kenyataan hitam putih bagi membuktikan segala penjelasan yang diberi sebelum ini adalah benar dan bakal ditunaikan dalam masa terdekat.

"Jadi kami mahu kerajaan tunjuk hitam putih dengan segera. Kami tidak mahu berunding lagi. Kami mahu isu ini diselesaikan dengan segera. Mereka semua yang tinggal ini adalah generasi akhir pekerja ladang yang ada di Lembah Klang. Kami mahu jasa mereka diingati," tambahnya lagi.

Kerajaan sebelum ini bersetuju membayar wang ehsan tambahan berjumlah RM922, 088 kepada 116 bekas pekerja LBJ atau waris mereka sebagai tambahan kepada pampasan yang diberikan terdahulu.

Raja Nong Chik dalam satu kenyataan akhbar berkata, bayaran itu membabitkan dua pihak iaitu 27 bekas pekerja ladang yang berkhidmat selama 15 tahun dan 89 pekerja yang berkhidmat selama 7 tahun setengah.

Kedutaan Malaysia di Libya ditutup sementara

Posted: 25 Feb 2011 03:16 AM PST

BERNAMA


Protes di Tobruk, Libya.
KUALA LUMPUR — Kedutaan Malaysia di Libya ditutup sementara berikutan pergolakan yang berlaku di negara itu.

Duta Malaysia ke Libya Mohd Zulkephli Mohd Noor, isteri beliau dan warga kedutaan adalah antara 127 rakyat Malaysia yang diterbangkan keluar dari Negara itu hari ini.

"Buat sementara kedutaan kita di Tripoli ditutup kerana keadaan keselamatan yang tidak mengizinkan," kata seorang pegawai Wisma Putra ketika dihubungi.

Seramai 127 rakyat Malaysia yang terperangkap di Libya berjaya dikeluarkan dari negara itu dan diterbangkan melalui sebuah pesawat sewa khas yang mendarat di Tunis, Tunisia, kira-kira 11.30 pagi (waktu Malaysia), hari ini.

Mereka dijangka diterbangkan ke Rom, Itali sebelum pulang ke Malaysia melalui pesawat MAS.

Difahamkan lima daripada tujuh pelajar Malaysia di Libya enggan pulang.

Keadaan Libya bergolak sejak seminggu lepas berikutan tunjuk perasaan rakyat negara itu yang mendesak pemimpinnya Muammar Gaddafi meletak jawatan.

Penuntut Malaysia boleh kembali ke Mesir mulai 12 Mac

Posted: 25 Feb 2011 03:15 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR— Penuntut Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti di Mesir boleh kembali ke negara itu untuk menyambung pengajian mereka mulai 12 Mac ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu dicapai hasil pertemuan pasukan khas negara dengan universiti-universiti di negara itu sejak Ahad lepas hingga semalam bagi menentukan tarikh mula pengajian.

Penuntut bagaimanapun diminta menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara mengenai kepastian tahap keselamatan di Mesir sebelum kembali ke sana, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata hasil pertemuan dengan universiti di sana itu, pihaknya dimaklumkan bahawa Universiti Kaherah akan memulakan semula pengajian perubatan peringkat pengajian pra klinikal dan klinikal pada 12 Mac ini.

Begitu juga dengan Universiti Al-Azhar yang turut memulakan pengajian program pergigian pra dental pada hari yang sama, katanya.

Mohmaed Khaled berkata program perubatan di semua peringkat pengajian di Universiti Al-Azhar pula akan bermula pada 15 Mac manakala penuntut program Pengajian Islam perlu mendaftar semula selewat-lewatnya 8 April.

Beliau berkata Universiti Iskandriah akan memulakan pengajian farmasi mulai 17 Mac dan diikuti program pra klinikal perubatan pada 19 Mac, klinikal pada 26 Mac dan pergigian pada 2 April.

Universiti Mansurah pula akan memulakan pengajian bagi program perubatan klinikal bermula 15 Mac dan pra klinikal pada 19 Mac, manakala program pergigian dan farmasi pula bagi semua peringkat pengajian bermula pada 19 Mac.

Bagi program perubatan, pergigian dan farmasi di Universiti Tanta, Zagazig dan Ain Shams, tarikh pengajian akan bermula pada 15 Mac bagi semua peringkat pengajian, katanya.

PTPTN lanjut tempoh bayaran balik sehingga 30 bulan

Posted: 25 Feb 2011 03:12 AM PST

BERNAMA

TEMERLOH — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melanjutkan tempoh bayaran balik sehingga 30 bulan kepada mereka yang belum mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said berkata PTPTN sebelum ini memberikan tempoh enam bulan kepada mereka yang terlibat untuk membayar balik pinjaman itu.

"Ia kemudiannya dilanjutkan kepada 24 bulan, dan kini kita telah lanjutkan kepada 30 bulan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ismail yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau berkata kadar faedah yang sebelum ini sebanyak lima peratus juga telah diturunkan kepada satu peratus.

"Mereka yang belum mendapat pekerjaan perlu menulis surat atau berhubung terus dengan pegawai PTPTN untuk memberitahu masalah yang mereka hadapi untuk dipertimbangkan.

"Kita bersedia berbincang dan bertimbang rasa," katanya.

Beliau berkata sehingga kini seramai 1.67 juta pelajar menerima pinjaman PTPTN.

Saksi: Pen Teoh ‘hadiah’ SPRM, tapi tak siasat dakwat nota misteri

Posted: 25 Feb 2011 03:07 AM PST

KUALA LUMPUR — Pen ditemui pada poket Teoh Beng Hock telah diberikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada mendiang pada hari dia ditahan untuk siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadap ketuanya Ean Yong Hian Wah.

Bagaimanapun Pegawai Penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal memberitahu, beliau tidak memeriksa sama ada dakwat tulisan pada nota misteri, yang dipercayai ditulis Teoh, adalah daripada pen itu.

Nota kontroversi itu dipertikaikan selepas dikemukakan sebagai bukti ketika inkues menghampiri peringkat akhir tahun lalu.

Hari ini, Ahmad Nazri berkata beliau dimaklumkan yang SPRM memberikan Teoh pen itu pada satu majlis yang diadakan di Plaza Masalam, Shah Alam pada hari dia ditahan untuk siasatan.

Teoh dibawa ke bangunan itu yang menempatkan pejabat SPRM Selangor sebagai saksi pada 15 Julai 2009 untuk membantu siasatan.

Bekas setiausaha politik itu ditemui mati pada tingkat lima plaza itu keesokan hari selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM di tingkat 14 bangunan itu.

"(Maklumat) ini berdasarkan satu kenyataan daripada seorang pegawai SPRM. Saya tidak boleh ingat siapa," kata Ahmad Nazri.

Semalam, Suruhanjaya Siasatan menegur Ahmad Nazri kerana tidak menjalankan tugas dengan teliti ketika menjalankan siasatan ke atas kematian Teoh.

Seorang anggota panel suruhanjaya itu, Datuk T.Selventhiranathan yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan berpendapat kes kematian Teoh yang disiasat oleh Ahmad Nazri boleh diklasifikasikan sebagai kes yang penting dan luar biasa.

"Oleh itu, kes ini hendaklah diperhatikan dengan mendalam dan terperinci bukannya disiasat secara rambang," katanya.

Pendapatnya turut disokong oleh pengerusi suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong yang mempersoalkan tugas Ahmad Nazri sebagai pegawai penyiasat kes itu.

Prosiding siasatan bagi mengenal pasti punca kematian Teoh ini masuk hari ke-10 hari ini.

Kelmarin, Suruhanjaya Siasatan mengarahkan Ahmad Nazri kembali ke lokasi Teoh ditemui untuk mencari kepala jam tangan yang tidak ditemui semasa siasatan.

Arahan itu dikeluarkan selepas Ahmad Nazri mengakui beliau tidak memeriksa dengan terperinci untuk mendapatkan kepala jam tangan itu, yang mungkin boleh menunjukkan masa kematian Teoh.

Malah semalam, Ahmad Nazri memberitahu suruhanjaya bahawa beliau membuat kesilapan dalam menyatakan identiti pegawai SPRM ketika memberikan keterangan semasa inkues sebelum ini, yang membuat "keputusan terbuka" sebelum ini.

Dalam pada itu ketika ditanya peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM terhadap dakwaan Teoh dipukul di kepala untuk mematikannya dan adakah beliau melihat darah di kepalanya meleleh (seperti lelehan pada orang sedang berdiri)

dan melekat di seluruh bahagian kolar baju, Ahmad Nazri berkata hasil pemeriksaan pada mayat Teoh di tempat kejadian mendapati terdapat sedikit kesan darah di sebelah kolar kanan.

Katanya darah pada kepala Teoh juga lebih banyak mengalir ke lantai.

Ahmad Nazri yang merupakan saksi ke-12 turut ditanya mengenai dakwaan bahawa sebelum Teoh jatuh, ada sesuatu benda yang keras disula masuk ke dalam punggung hingga menyebabkan beliau cedera parah tetapi, sepertimana dalam inkues terdahulu beliau menegaskan tiada bukti yang menunjukkan sedemikian.

Beliau juga menegaskan sekali lagi bahawa seluar Teoh koyak disebabkan hentakan tulang dari bahagian dalam ke bahagian luar.

Ahmad Nazri turut memberitahu bahawa pada hari yang sama Teoh disoal siasat, Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah, kontraktor Lee Wai Leng dan seorang lagi kontraktor bernama Harun juga dipanggil memberi keterangan.

Ditanya adakah mereka membuat aduan telah dianiayai dan dikasari pegawai SPRM, Ahmad Nazri berkata: "Saya hanya ingat Boon Wah yang dia ada kata diarahkan berdiri beberapa jam dan tidak dibenarkan duduk dan ada pegawai yang mengacu-gacukan tangan padanya. Dua lagi itu tiada aduan."

Menyentuh mengenai nota yang ditinggal Teoh, Ahmad Nazri berkata isi kandungannya tidak menyatakan beliau dicederakan atau dipukul.

Di awal prosiding Ahmad Nazri berkata sekiranya kepala jam tangan Teoh dijumpai ia berkemungkinan dapat menentukan waktu beliau meninggal dunia.

Bagaimanapun ketepatannya hanya boleh ditentukan sekiranya kepala jam tersebut terhenti ketika Teoh jatuh.

Ekoran menyedari betapa pentingnya jam tersebut, beliau dan beberapa pegawai polis lain berusaha mencarinya berkali-kali meliputi kawasan mangsa ditemui dan juga di tempat lain tetapi gagal menemuinya dan hanya tali jam tangan yang ditemui.

Dalam pada itu, Ahmad Nazri juga berkata tiada sebarang senjata seperti kayu dan paip besi dijumpai di pejabat SPRM.

Usaha mencari alat senjata berkenaan dilakukan oleh pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri di keseluruhan pejabat iaitu di tingkat 14 dan 15 di Plaza Masalam.

Ahmad Nazri berkata beliau mencari senjata itu di pejabat pegawai penyiasat SPRM Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus (pegawai yang menyoal siasat Teoh), tandas, siling dan kawasan sekitar.

Beliau juga memberitahu tidak menemui sebarang kesan pergelutan di pejabat tersebut.

Ahmad Nazri juga memberitahu suruhanjaya bahawa satu eksperimen dengan menggunakan patung dan botol berisi air dilakukan bagi mengetahui kedudukan simati apabila jatuh dari tingkap pejabat SPRM di tingkat 14.

Bagaimanapun ia tidak dapat ditentukan kerana berat badan simati tidak sama dengan bahan yang digunakan.

Suruhanjaya ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Selventhiranathan yang juga bekas Hakim Mahkamah

Rayuan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ''keputusan terbuka'' berhubung kematian Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

PRK Kerdau : Panas!! Calon BN Bukan Lulusan Al-Azhar? --- UMNO/BN TAK HABIH - HABIH NAK MENIPU RAKYAT

Posted: 25 Feb 2011 02:59 AM PST


PASPB

Panas!! Ini berita yang baru di terima..Pagi tadi, semasa pekena mee hoon sup dengan seorang sahabat saya .Sambil-sambil makan, kami bersembang pasal isu semasa dan pilihanraya kecil di Merlimau dan Kerdau. Sembang punya sembang, maka terceritalah perihal calon BN di Kerdau iaitu Syed Ibrahim.

Dikhabarkan, Syed Ibrahim 44 tahun adalah juga Penasihat Agama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Yang panasnya.. sahabat saya bagitau, Syed Ibrahim ni bukan lulusan Al- Azhar sebenarnya, pengajian dia ni tak abih kat Al-Azhar. Maknanya Syed Ibrahim bukan lulusan Al-Azhar. Maklumat ni dapat dari kawannya yang belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Kalau betullah cerita ni, akan menjadi tamparan hebat buat BN. Umum mengetahui, calon BN di pilihanraya kecil dari Rohaizat (Penanti) sehinggalah Azhar Ibrahim (Tenang) mempunyai masalah. Sahabat saya ini berjanji akan mendapat maklumat lebih lanjut daripada kawannya berkenaan isu panas ini.

Sekiranya benar maklumat panas ini, saya akan paparkan dalam blog ini...tunggu!!!

By Addin77.

Bulu, Siswa dan Malaysia: Sebuah Catatan Penting

Posted: 25 Feb 2011 02:44 AM PST

Hafiz Zainuddin

Ketika Malaysia sibuk dengan air mani Mr. Y, bulu dan tuala Good Morning, dunia Arab sedang menyaksikan kebangkitan. Rakyat bersatu dan mengharap sinar baharu menyinari tanah air yang tercinta. Angin yang bertiup telah membawa khabar gembira untuk mereka. Dari Sahara yang kontang, mula bercambah benih-benih demokrasi yang dibajai semangat, keberanian dan kesanggupan untuk berubah. Ketika dunia Arab menyaksikan perubahan mentaliti dan fizikal yang hebat, Malaysia masih jauh ketinggalan dan sibuk dengan urusan liwat dan dubur Saiful yang katanya tidak dicuci selama tiga hari!

"Revolusi tidak pernah gagal kerana tidak ada revolusi yang menghancurkan negara. Negara hancur hanya apabila rakyat hilang kesanggupan untuk memastikan ia ditadbir dengan baik melalui prinsip kebebasan dan keadilan," Mantan Mejar Jeneral tentera Filipina, Jose T. Almonte. Kata-kata ini saya petik dari tulisan Amin Ahmad dalam JalanTelawi.com. Secara peribadi saya berpendapat bahawa revolusi di Timur Tengah ini sangat menggusarkan kerajaan pimpinan Najib Razak disebabkan kepemimpinan beliau langsung tidak mencerminkan integriti dan akauntabiliti. Pembaziran berlaku sewenangnya dan Malaysia tidak ditadbir dengan baik.

Lihat sahajalah bagaimana manusia yang terpalit dengan najis rasuah seperti Isa Samad boleh dilantik sebagai Pengerusi FELDA manakala pendedahan kekayaan Taib Mahmud dan keluarganya tidak mendapat respon SPRM seperti yang sepatutnya. Adakah Najib terfikir bahawa hati rakyat Malaysia masih lunak dengan pengukuhan nilai ringgit kemudian menyuapkan lagi peruntukan-peruntukan tertentu dalam Belanjawan 2011 yang lalu? Peruntukan RM114 juta kepada pembangunan infrastruktur di Kelantan misalnya dilihat cuma gula-gula politik. Akhirnya yang untung adalah kroni yang mendapat projek.

Telahan Anwar Ibrahim (gambar kiri, tengah) bahawa revolusi di Tunisia sebagai keping domino pertama telah dan sedang menjadi kenyataan. Kebangkitan hampir menyeluruh rakyat di negara-negara Arab pada saat ini seperti sudah tidak tertahankan lagi. Kebejatan pemimpin sudah mencapai klimaksnya. Mereka telah lama berada dalam cengkaman pemerintah yang zalim dan bersifat otoritarian. Dari pengamatan yang dibuat, isunya tetap sama; salah guna kuasa, kemiskinan, penggangguran, sekatan hak bersuara, penyelewengan harta negara, kronisme dan pencabulan hak asasi manusia. Soalan saya, apakah isu-isu tersebut begitu asing dengan Malaysia?

Selesainya urusan terpenting: Kejayaan Revolusi!

Sekali imbas, dunia boleh mengatakan urusan "terpenting" rakyat di Tunisia dan Mesir telah hampir selesai. Kemenangan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir semestinya memberi solidariti moral dan motivasi kepada tempat-tempat lain. Kini, Bahrain yang pernah menjadi taklukan Empayar Parsi dan pernah berada di bawah jajahan British pula menyaksikan bagaimana rakyat sedang bangkit untuk menggulingkan pentadbiran monarki keluarga al-Khalifa. Jabal ad-Duklan bakal menjadi saksi kebangkitan rakyat Bahrain! Benar kata pujangga Melayu; Raja adil raja disembah, Raja zalim raja disanggah.

Begitu juga apa yang berlaku di Libya. Bumi Umar Mokhtar ini telah menyaksikan lebih 400 rakyat Libya menjadi syahid atas keberahian Muamar Ghadafi (gambar kanan) yang telah memegang tampuk pemerintahan lebih empat dekad lamanya. Rakyat Libya diugut sedemikian rupa dan menjanjikan maut untuk penentangnya. Semua ini merupakan sebuah fenomena yang dahsyat dan menakutkan sesetengah pihak. Menurut Anwar dalam tulisannya di Wall Street Journal bertarikh 26 Januari 2011; apa yang berlaku di Tunisia merupakan fajar baru bagi demokrasi di dunia Arab dan Islam.

Melihat perkembangan di Tripoli. Ghaddafi berucap penuh emosi sambil melaungkan sentimen patrotisme, penuh ego dan dilihat desperado. Beliau meletakkan penentang beliau sebagai pengkhianat negara manakala anaknya Saif al-Islam menuduh protes besar-besaran ini berpunca dari pihak asing untuk menjatuhkan pemerintahan Islam. Saif juga mengancam untuk memerangi penentang sehingga peluru yang terakhir!

Di sini kita dapat melihat hikmah terbesar kebangkitan yang berlangsung di dunia Arab. Semakin lama sesebuah kerajaan itu memerintah, semakin banyak penyelewengan dan penindasan berlaku terhadap rakyat dan negara. Akhirnya, rejim tersebut dijatuhkan oleh tangan-tangan rakyatnya sendiri. Semakin rakyat ditekan dan ditakut-takutkan, semakin mereka bangkit menuntut pembebasan! Saya ingin bersoal, apakah BN mengambil pengajaran dari situasi ini? Apakah BN masih tidak sedar bahawa semakin lama mereka memerintah, harta negara semakin dikikis, salah guna kuasa semakin berleluasa, integriti terhakis, malah kebebasan bersuara juga dirasakan semakin sempit?

Penyelewengan nilai dan makna patriotisme

Saya tertarik dengan apa yang telah diucapkan Ghadafi dan anaknya Saif. Kata-kata sebegini seperti selalu sahaja kita dengari. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional. UMNO sebagai tulang belakang BN sering sahaja menuduh Anwar Ibrahim dan PKR sebagai pengkhianat negara dan agen asing. PAS pula dicop sebagai pemecah belah "orang Melayu" dan Islam, manakala DAP dianggap sebagai golongan yang memusuhi Islam - Perjuangan parti-parti ini harus ditolak kerana ia berbahaya dan akan memporak-perandakan negara. "Teks" yang diulang saban waktu dan ketika ini adalah 100% tidakpun 99% sama seperti apa yang telah diucapkan oleh Ghaddafi.

Dalam konteks Malaysia, makna dan nilai patriotisme telah diseleweng dan disempitkan. Patriotisme telah dimaknakan seolah-olah mencintai tanah air itu dengan mencintai pemimpin, mencintai parti, mencintai kaum masing-masing. Maka, minda rakyat sedikit sebanyak telah menyimpang dari semangat dan makna patriotisme sebenar. Sepatutnya patriotisme sebenar bermaksud membebaskan tanah air ini dari cengkaman pemerintah yang zalim dan buas. Mengembalikan hak dan maruah negara yang telah lama cacat.

Demokrasi dan Revolusi di Malaysia?

Nilai dan semangat demokrasi telah lama pudar. Lihat sahaja laporan Economist Intelligence Unit yang mencatatkan status Malaysia dalam indeks demokrasi 2010 berada pada tangga ke 71 daripada 167 buah negara berbanding tangga ke 68 tahun 2008. Malaysia telah lama menanti saat baru kebangkitan rakyat. Sama ada melalui pilihanraya mahupun jalan raya, kemenangan rakyat harus difokuskan kepada pembaikan sistem demokrasi dan urus tadbir yang telah lama diperkosa. Kita tidak boleh membiarkan kekayaan negara ini berada dalam kawalan manusia tertentu sahaja. Kekayaan negara adalah hak milik kita yang harus dituntut. Lihat sahaja isu minyak yang semakin naik. Rakyat Malaysia dibebani dengan apa yang mereka ada yang sepatutnya bukan menjadi isu.

Ini merupakan sebuah soalan popular. Akankah Malaysia direvolusikan? Saya pernah bertanyakan soalan ini kepada beberapa orang sahabat saya. Ada yang sinis dan ada yang optimis. Antara lain jawapan mereka ialah tidak mungkin berlaku revolusi di Malaysia kerana rakyat di Malaysia tidak terlalu tertekan seperti di tempat lain. Ada yang berkata mungkin boleh; mungkin tidak kerana rakyat Malaysia telah dipecahkan dengan beberapa kumpulan kaum dan kelas manakala ada pula yang optimis bahawa rakyat akan turun ke jalan raya; cuma menunggu masa. Sambil berlawak beliau berkata, "Orang Melayu khususnya telah lama diArabkan...sedikit masa lagi negara ini akan jadi negara Arab! Revolusi akan bermula di Ain Arabia Bukit Bintang!" Ujarnya tersengih. Apapun pendapat yang dilontarkan, kita boleh simpulkan bahawa revolusi adalah tekad dan kesungguhan, keberanian dan kesanggupan untuk berubah.

Semangat Dataran Tinanmen dan Mahasiswa Malaysia

Kebangkitan mahasiswa memberi makna besar bagi sesebuah negara. Kebangkitan mahasiswa bererti mungkin atau telah berlaku sebuah anjakan mahupun revolusi minda. Minda yang telah direvolusikan beerti pencerahan, pemahaman dan pengukuhan nilai telah berlangsung.

Mari kita imbau kembali apa yang telah pada April 1989. Dataran Tiananmen di Beijing menyaksikan kebangkitan lebih 100,000 mahasiswa dan golongan intelektual bersama rakyat menuntut pembaharuan demokrasi di China. Kebangkitan ini tercetus akibat kematian Hu Yaobang; Setiausaha Agung Parti Komunis China ketika itu yang dikenali sebagai susuk yang menyokong reformasi politik dan ekonomi China. Mereka berhimpun secara aman di dataran tersebut selama hampir tujuh minggu sehinggalah tragedi berdarah berlaku. Sehingga saat ini, tiada angka kematian rasmi yang dicatatkan dan dipercayai ribuan demonstran telah terbunuh. Saya terkesan dengan keberanian mereka. Ternyata perjuangan mereka ini sedikit sebanyak membuka lembaran baru dalam liberalisasi politik dan ekonomi di China.

Apabila pintu bangunan pejabat TNC UPM pecah dirempuh pelajar; ia membawa erti yang sangat besar kepada gerakan mahasiswa keseluruhannya. Tekanan yang diberikan pentadbiran universiti bukan semata-mata bersifat mental malah fizikal. Titisan darah yang mengalir adalah saksi kezaliman pentadbiran universiti dalam mengekalkan monopoli kekuasaan mereka. Gerakan pelajar dilihat sebagai gerakan pembangkang yang harus disekat manakala gerakan pelajar Pro Aspirasi pula dilihat sebagai memenuhi tuntutan pentadbiran? Ini merupakan pencabulan asasi kepada mahasiswa. Ke manakah hilangnya kewarasan dan kebijakan pentadbiran universiti? Mungkinkah juga berada dalam seluar dalam Saiful Bukhari Azlan?

Rakyat perlu berbangga dalam kejayaan besar gerakan Pro Mahasiswa memenangi pilihanraya kampus di universiti-universiti utama. Kemenangan ini merupakan gelombang awal saat-saat kebangkitan rakyat. Kita belum lagi menyaksikan malah menanti bagaimana, bentuk dan rupa perubahan yang bakal terhasil.

Mahasiswa harus bertindak sebagai agen perubahan pada minda dan struktur masyarakat umumnya. Kurang pendedahan terhadap isu-kekangan kebebasan bersuara dan malas berfikir merupakan barah kepada masyarakat kita hari ini. Masyarakat harus disedarkan-dan ramai yang mula sedar. Peranan mahasiswa haruslah menyeluruh dan mampu mendidik masyarakat untuk Malaysia yang diidamkan. Tanyalah sama pokok apa sebab goyang....Tanyalah sama hati kenapa kita harus menang!

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

UTUSAN RAKYAT GANTI AKHBAR SUARA KEADILAN?

Posted: 25 Feb 2011 02:41 AM PST

Oleh : MOHD FAIZAL MOHD SALLEH

TINDAKAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu menerbitkan sebuah akhbar yang bernama 'Utusan Rakyat' dilihat sebagai satu usaha mereka untuk mengelirukan rakyat khususnya orang Melayu terhadap apa yang dipaparkan Utusan Malaysia.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Safarizul Mustaffa berkata meskipun Utusan Malaysia sering dilabelkan kononnya sebagai sebuah akhbar rasis namun ternyata tindakan PKR yang mahu menerbitkan akhbar tersebut menunjukkan mereka tercabar dengan kewibawaan akhbar Utusan Malaysia.

"Mereka (PKR) sebenarnya takut segala kecacatan dan ketempangan mereka terbongkar. Sebab itu mereka nak terbitkan akhbar yang mirip dengan Utusan Malaysia dengan agenda mahu mengelirukan rakyat .

"Kita yakin akhbar PKR ini sekadar mahu memutar-belitkan fakta dan kebenaran. Kenapa mereka tidak lagi menggunakan akhbar Suara Keadilan mereka, kerana jelas akhbar rasmi mereka ini sudah ditolak dan tidak diterima rakyat kerana semua yang tertulis di dalamnya, hanya fitnah dan fakta yang diputarbelit semata-mata," katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Sekretariat Penerangan Pemuda UMNO Malaysia seterusnya berkata PKR sebenarnya mengakui kehebatan dan kewibawaan akhbar Utusan Malaysia apabila dikatakan akan menggunakan khidmat seorang wartawan kanan akhbar Utusan Malaysia sendiri, untuk diletakkan sebagai penggerak penerbitan akhbar Utusan Rakyat.

"Ia ibarat menebang sebatang pokok dengan menggunakan batang pokok juga kerana gergaji yang digunakan tumpul dan tidak mampu untuk menebang pokok tersebut. Ia samalah juga dengan menggunakan orang Utusan Malaysia untuk menyaingi dan berusaha untuk memusnahkan akhbar Utusan Malaysia sendiri", ujarnya.

JAMBATAN KAMPUNG MANGKALINAU DAIF

Posted: 25 Feb 2011 02:34 AM PST

REPUT…Inilah jambatan Kg Mangkalinau sudah 8 tahun tidak pernah dibaiki oleh pihak yang berkenaan.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

JAMBATAN kayu sepanjang 200 kaki lebar 5 kaki di Kampung Mangkalinau, DUN Elopura dan Parlimen Sandakan yang mengalami kerosakan teruk perlu dibaiki segera kerana 80 peratus gelagar dan papannya hampir reput sehingga bakal mengundang kecelakaan kepada pengguna pada bila-bila masa.

Seorang penduduk kampung berkenaan, Mamat, memberi tahu Sabahkini.Net bahawa sudah hampir 8 tahun jambatan tersebut tidak dibaiki oleh pihak yang berkenaan.

Kata Mamat lagi, 70 peratus penduduk Kampung Mangkalinau ialah rakyat tempatan dan majoriti mereka adalah pengundi tegar BN bagi DUN Elopura dan Parlimen Sandakan.

"Lantaran itu, bagi pihak penduduk kampung ini, saya memohon jasa baik ADUN Elopura dan Ahli Parlimen Sandakan agar dapat membaiki kerosakan jambatan tersebut kami. Tidak kisahlah siapa kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan jambatan tersebut kerana yang penting bagi kami ialah dapat kemudahan yang lebih selesa," rayu Mamat yang mewakili lebih 1,000 penduduk kampung Mangkalinau dan kampung berhampirannya.

Memandangkan pilihanraya umum ke 13 sudah semakin hampir, maka kata Mamat wajarlah kampung ini mendapat kemudahan seperti jambatan yang disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana bimbang isu ini dijadikan modal kempen kepada parti pembangkang kelak.

Speaker pohon ketepi keputusan kerusi P Klang

Posted: 25 Feb 2011 02:33 AM PST

BERNAMA

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim, telah memfailkan permohonan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Jumaat lepas yang mengekalkan kedudukan Badrul Hisham Abdullah sebagai Ahli DUN Pelabuhan Klang.


Writ itu difailkan menerusi Tetuan Tommy Thomas di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam semalam.

Dalam afidavit menyokong permohonannya, Teng, 48, berkata beliau mengalami ketidakadilan yang terlampau akibat penghakiman ingkar tanpa hujahan oleh peguamnya.

Cara pendengaran kes dilakukan khususnya atas dasar 'ex-parte' (sebelah pihak) sama sekali tidak adil, katanya.

Pada 18 Februari lalu, Hakim Datuk Zaleha Yusof memutuskan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang tidak kosong dan Badrul Hisham kekali sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Zaleha membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar hujahan saman pemula Badrul Hisham terhadap Teng yang mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN itu berkuat kuasa 16 Jan lalu.

Zaleha juga memerintahkan Teng membayar kos sebanyak RM40,000.

Speaker DUN Selangor itu mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang berikutan kegagalan Badrul Hisham menghadiri sidang Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah.

Badrul Hisham kemudian memfailkan saman pemula 24 Jan lalu bagi memohon deklarasi bahawa beliau masih menjadi wakil rakyat bagi kawasan Pelabuhan Klang dan mempunyai hak untuk menghadiri persidangan DUN Selangor.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa kerusi tersebut tidak kosong.

Teng memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu pada 11 Feb lalu dengan alasan selaku Speaker DUN negeri, beliau memiliki kekebalan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan daripada sebarang tindakan undang-undang.


Suruhanjaya Teoh: IO akui buat kesilapan

Posted: 25 Feb 2011 02:31 AM PST

S Pathmawathy

Pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal berkata terdapat kesilapan dalam keterangannya ketika inkues kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock yang berakhir bulan lalu.


NONEAhmad Nazri hari ini mengakui kesilapannya itu kepada Suruhanjaya Diraja dengan berkata beliau keliru identiti pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekalkannya salinan kad pengenalan Teoh dengan orang lain.

Dalam keterangan hari ini, Ahmad Nazri berkata beliau silap apabila peguam dari Majlis Peguam menyoalnya berhubung kejadian apabila pihak polis tiba di lokasi kejadian pada tengahari 16 Julai 2009.

Beliau kemudian dengan cepat memperbetulkan kesilapan itu dengan mennjelaskan bahawa pegawai penguatkuasa SPRM yang hanya dikenali sebagai Azian yang memberikannya salinan kad pengenalan Teoh dan bukannya Zurinawati Zulkifli, seseorang yang disebutnya pada inkues yang lalu.

"Zurinawati adalah orang yang menunjukkan saya beg Teoh di sofa. Bukan dia yang memberi saya salinan IC itu," katanya.

Ahmad Nazri semasa memberikan keterangannya juga berkata beliau tidak membuat siasatan terperinci bagi setiap laluan yang mempunyai "access card" ketika membuat membuat pemeriksaan di tingkat 14 dan 15, bangunan Plaza Masalam, Shah Alam

azlan"Apakah tugas kamu sebagai pegawai penyiasat dalam kes ini... adakah hanya membuka dan menutup kertas siasatan?" soal pengerusi suruhanjaya Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Ahmad Nazri menjawab: "Saya hanya ada masa dalam tujuh hari bagi menyiapkan kertas siasatan (IP) untuk diserahkan kepada Mahkamah Koroner."

Seorang anggota panel suruhanjaya itu, Datuk T Selventhiranathan yang juga bekas hakim mahkamah Rayuan kemudiannya mencelah dengan berkata: "Masa tujuh hari tidak mencukupi untuk menyiapkan kertas siasatan yang lengkap dan terperinci... adakah kamu pernah memberitahu Mahkamah Koroner bahawa kamu perlukan masa yang lebih untuk menyiapkan kertas siasatan itu?"

Ahmad Nazri memberitahu beliau tidak ingat.

Suruhanjaya itu juga mengumumkan pelantikan seorang bekas anggota polis dari Liverpool, England, Michael Leslie Squires sebagai penyiasat bebas bagi membantu mereka.

Polis tak lulus permit perarakan HRP Ahad ini

Posted: 25 Feb 2011 02:30 AM PST

BERNAMA

Polis hari ini memaklumkan bahawa perhimpunan serta perarakan beramai-ramai yang dirancang oleh Parti Hak Asasi Manusia (HRP) dari KLCC ke Balai Polis Dang Wangi Ahad ini tidak mempunyai permit.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan berkata permohonan permit yang dibuat parti itu kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi tidak diluluskan atas dasar keselamatan.

"Selain itu ianya boleh menggugat ketenteraman awam serta menghalang dan menyebabkan kesesakan lalu lintas," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata polis Kuala Lumpur pada petang ini telah menghubungi setiausaha agung HRP untuk memaklumkan bahawa permohonan mereka untuk mengadakan perhimpunan tidak diluluskan dan pihak polis akan mempertimbangkan semula sekiranya HRP mengadakan perhimpunan di tempat yang lebih sesuai dan tidak menimbulkan keadaan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Orang ramai diminta tidak terbabit dengan perhimpunan haram tersebut kerana polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang menyertainya.


Sekolah Cina tolak akhbar Melayu percuma

Posted: 25 Feb 2011 02:28 AM PST

MALAYSIA KINI

Akibat tekanan dan bantahan kumpulan pendidikan Cina dan parti pembangkan, sebuah sekolah rendah Cina di Kuantan menukar keputusannya untuk menerima akhbar percuma Utusan Malaysia.

utusan mahathir malay losing power 240910Menurut laporan Sin Chew Daily hari ini, keputusan tidak menerima akhbar tersebut dibuat oleh lembaga SRJK (C) Semambu selepas bermesyuarat malam semalam.

Pengerusi lembaga sekolah itu, Goh Kim Fah memberitahu Sin Chew Daily, sekolahnya pada asalnya memang mahu menerima akhbar percuma Utusan Malaysia yang disumbangkan oleh sebuah syarikat swasta yang bertujuan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajarnya.

"Diakui, kami memang lalai dalam isu ini. Kami tidak mengkaji impak keputusan (untuk menerima sumbangan itu)," katanya.

Menurut Goh, pelajar tidak seperti orang dewasa tidak akan dapat membezakan laporan Utusan Malaysia yang lazimnya menurut pengkritik adalah berat sebelah dan bersifat perkauman dengan berita sebenar.

utusan article on free paper give to chinese school 200211 02Ini antara alasan lembaga itu menolak tajaan sumbangan tersebut.

Isu berkenaan timbul apabila Utusan Malaysia melaporkan syarikat hartanah Pasdec Holdings Berhad akan menaja 4,375 akhbar percuma kepada empat sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Pahang.

Mahkamah: Perjanjian SYABAS kekal sulit

Posted: 25 Feb 2011 02:26 AM PST

MALAYSIA KINI

Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan responden mendapat akses kepada dokumen sulit berhubung perjanjian konsesi air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Sekaligus, keputusan majoriti Mahkamah Rayuan itu menetapkan supaya dokumen berkenaan tidak didedahkan.

Dokumen berkenaan melibatkan perjanjian konsesi air dengan SYABAS dan juga satu laporan audit yang menjustifikasi kenaikan tarif air oleh syarikat itu.

Panel rayuan itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaleha Zahari. Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus.

Ahli parlimen Klang Charles Santiago yang menghadiri prosiding itu berkata, kedua-dua Zaleha dan Abu Samah menerima rayuan oleh kerajaan Malaysia dan berpendirian bahawa responden berkenaan tidak mempunyai lokus standi dalam kes itu.

Bagaimanapun, Mohd Hishamudin dalam keputusannya berpandangan bahawa responden berkenaan berhak diberikan akses kepada dokumen berkenaan kerana kerajaan patut bertanggungjawab ke atas urus tadbir yang baik, kata Santiago lagi.

Santiago juga berkata, Hishamudin turut menekankan bahawa kerajaan juga perlu bertanggungjawab memandangkan peningkatan dalam tarif air akan membebankan rakyat.

Keputusan itu dibuat ke atas rayuan oleh menteri dan kerajaan Malaysia ke atas satu semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Jun, 2008.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu membenarkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan 13 individu lain mengakses dokumen berkenaan.

Ahli kimia: Arahan datang dari KP

Posted: 25 Feb 2011 02:22 AM PST

MALAYSIA KINI

Perbicaraan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim diteruskan hari ini dengan sesi soal balas ke atas ketua unit paterniti DNA Jabatan Kimia, Nor Aidora Saedon.


Sesi soal balas hari ini adalah penting kerana Nor Aidora telah memberi keterangan bahawa DNA yang dianalisanya diambil dari sebuah botol air mineral, tuala, berus gigi milik 'Lelaki Y'.

Semalam, pertahanan berjaya mengumpulkan beberapa keraguan mengenai keadaan dan perkhidmatan daripada peralatan DNA yang digunakan dalam menganalisis sampel diambil dari pengadu sodomi Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah terakhir juga mendengar seorang polis UNK Fauziah Che Mat kesaksian pada tujuh orang dan kereta yang kelihatan masuk dan keluar daripada kondominium Desa Damansara pada tarikh 26 Jun 2008.

Mereka yang dikenalpasti termasuk Anwar dan Saiful.

NONESementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Ram Karpal Singh,
Nor Aidora berkata beliau pernah memberi keterangan dalam 15 kes termasuk kes jenayah dan syariah.

Katanya, Genetic Analyser 3130 XL yang dikeluarkan oleh Applied Biosystem, telah digunakan untuk melakukan analisis DNA dalam kes ini.

Analisis statistik, katanya, adalah penting untuk menyokong bukti, dan ia digunakan jika ada kesepadanan.

Dalam kes ini, kata Nor Aidora berkata, beliau menggunakan data statistik.

Beliau berkata, laporan kimia yang disediakannya adalah untuk dibaca bersama dengan laporan Dr Seah Lay Hong.

Nor Aidora berkata, pejabatnya terletak kira-kira lima meter dari pejabat Dr Seah.

Katanya, pada 17 Julai 2008, beliau menerima item tersebut dari DSP Jude Pereira selepas jam 6 petang.

Katanya, beliau biasanya pulang pada jam 6 petang tetapi ketua pengarah Jabatan Kimia mengarahnya mengendalikan kes tersebut.

Biasanya, kata Nor Aidora, ketua seksyennya, Lim Tong Boon yang akan memberi tugasan tetapi arahan tersebut datang terus dari ketua pengarah.

Katanya, ketua pengarah memanggil sekitar waktu makan tengahari berkenaan dan memintanya mengendalikan satu "kes besar dan berprofil tinggi".

Penulis blog antara dilantik panel SPRM

Posted: 25 Feb 2011 02:19 AM PST

BERNAMA

Sembilan anggota Panel Penilaian Operasi (PPO) dan 12 anggota Panel Perunding dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) menerima watikah pelantikan mereka dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di Putrajaya hari ini.


Mereka termasuk bekas pengurus besar Bernama, Datuk Seri Azman Ujang yang dilantik semula menganggotai PPPR dan penulis blog 'Outsyed The Box' Syed Akbar Ali yang merupakan muka baru panel tersebut.

Berbanding sesi lepas, terdapat pertambahan anggota bagi kedua-dua panel iaitu dua bagi PPO dan seorang bagi PPPR untuk sesi 2011/2013 ini.

Bagi PPPR, terdapat empat lagi muka baru iaitu pengerusi Media Prima Bhd Datuk Johan Jaaffar, presiden Universiti Limkokwing Tan Sri Dr Lim Kok Wing, presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu dan timbalan setiausaha agung kehormat Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong)
Prof Dr Chin Yew Sin.

Anggota lain yang dilantik semula ialah pengarah eksekutif/ketua pengarang Kumpulan Star Publications (M) Bhd Datuk Seri Wong Chun Wai, bekas naib canselor Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill Datuk Dr Ishak Tambi Kechik dan felo utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anis Yusal Yusoff.

Juga dilantik semula felo utama Insitut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong, Pengerusi Institut Etika Perniagaan Malaysia Dr Zainal Abidin Abdul Majid dan Pengarah Urusan DC & A Group Sdn Bhd Datuk David Chua.

Bagi PPO, semua tujuh anggota panel sesi lalu dilantik semula iaitu bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, bekas pengerusi Penimbangtara Malaysia Tan Sri Cecil Abraham, pengerusi eksekutif Lembaga Pemantauan Audit Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dan anggota Lembaga Audit and Assurance Standards Board
(AASB) Institut Akauntan Malaysia Walter Sandosam.

Panel turut dianggotai pengarah Bukan Eksekutif Bebas Amanah Raya Berhad Datin Aminah Pit Abdul Rahman, ketua pegawai eksekutif IA Group Datuk Dr Hamzah Kassim dan pensyarah dari Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Syed Noh Syed Ahmad.

Dua anggota baru PPO ialah penasihat khas Bank Negara Malaysia Datuk Zamani Abdul Ghani dan peguam kanan persekutuan Jabatan Peguam Negara Datuk Abdul Razak Musa.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, ketua penolong kanan pesuruhjaya SPRM Datuk Ahmad Khusairi Yahaya berkata perlantikan kedua-dua anggota panel tersebut adalah selaras dengan Akta SPRM 2009 yang tujuan memberi nasihat kepada institusi itu selain memastikan SPRM sebuah agensi yang benar-benar bebas.

"Kelainan pelantikan pada kali ini khususnya bagi PPPR, ia terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kepakaran seperti ahli-ahli akademik dan blogger supaya mereka dapat memberi nasihat termasuk untuk menggunakan media sosial dalam kempen-kempen kita.

"Kita memerlukan kepakaran dan khidmat nasihat mereka untuk memperkasakan aspek pencegahan rasuah di negara ini," katanya.

Peranan PPO adalah kepada bahagian operasi yang mana mereka turut memantau siasatan yang dijalankan SPRM manakala PPPR pula lebih kepada langkah pencegahan rasuah secara menyeluruh, kata beliau.


Semakan kehakiman: MP lepasi halangan pertama

Posted: 25 Feb 2011 02:18 AM PST

Wong Teck Chi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada permohonan ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar untuk mendapatkan semakan kehakiman.

Permohonan itu dibuat untuk mencabar keputusan kerajaan pusat menolak peruntukan tahunan RM1 juta kepada kawasan pilihan raya berkenaan yang diwakili pembangkang.

NONEAhli parlimen PSM itu berkata, beliau agak "terkejut" dengan
keputusan tersebut kerana beliaui sendiri tidak menjangkakan mahkamah akan memberi kebenaran tersebut.

Jeyakumar menegaskan bahawa peruntukan tersebut - yang diterima ahli parlimen BN tetapi tidak kepada wakil rakyat pembangkang - adalah satu hak perlembagaan bagi semua wakil rakyat.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat, termasuk PKR Lembah Pantai MP Nurul Izzah Anwar, juga menjadi pemerhati, kerana kes tersebut turut mempunyai implikasi di kawasan yang mereka wakili.

Nurul Izzah Anwar turut hadir hari ini untuk memberikan sokongan kepada Jeyakumar.

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam membenarkan permohonan kebenaran mendapatkan semakan kehakiman, Hakim Datuk Aziah Ali berpendapat Dr Jeyakumar telah membuktikan ada kes untuk diberi pertimbangan sewajar.

"Saya setuju dengan peguam pemohon bahawa ada isu-isu yang memberi merit kepada permohonan yang perlu diselesaikan pada pendengaran usul substantif," kata Aziah dalam penghakimannya.

Hakim juga menolak bantahan awal Jabatan Peguam Negara bahawa alasan permohonan Dr Jeyakumar itu tidak berasas serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Peguam Datuk S. Ambiga, yang mewakili Dr Jeyakumar, memberitahu pemberita bahawa mahkamah telah menetapkan 18 Mac depan untuk pengurusan kes bagi mendengar penuh permohonan semakan kehakiman itu.

Pada 29 Oktober tahun lalu, Dr Jeyakumar memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi memperoleh perisytiharan bahawa peruntukan khas kawasan Parlimen mesti dibekalkan dan disediakan kepada semua Ahli Parlimen secara saksama.

Dr Jeyakumar, 52, seorang pakar jantung, menamakan Ketua Pengarah bagi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengarah Pejabat Pembangunan Perak dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dr Jeyakumar memfailkan tindakan undang-undang selepas permohonannya kepada Pengarah Pejabat Pembangunan untuk dana bagi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Shin Chung, Sekolah Jenis Kebangsaan Methodist dan Rumah Anak Yatim Nurul Ihsan serta dana untuk perkampungan Orang Asli ditolak pada 12 Okt tahun lepas.

Ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu berkata permintaan untuk dana harus diberikan kerana semua projek yang dipohon merupakan peruntukan khas untuk kawasan pilihan raya.

Beliau mendakwa pihak responden menggunakan kuasa atau budi bicara untuk memberikan peruntukan secara tidak adil dengan memihak kepada Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan prejudis terhadap Ahli Parlimen dari parti pembangkang.

Antara lain, Dr Jeyakumar juga menuntut perisytiharan bahawa peruntukan tersebut mesti disediakan secara saksama selaras dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, beliau juga menuntut perintah 'mandamus' bagi memaksa responden menperjelaskan kuasa mereka dalam meluluskan dana dari Peruntukan Khas Kawasan Parlimen mengikut budi bicara serta menyatakan prosedur peruntukan dana sejak 2008.

Beliau menuntut writ 'quo warranto' (permohonan yang mencabar kesahihan pelantikan perjawatan) dikeluarkan yang memerintahkan pihak responden untuk tunjuk sebab dan memberi maklumat mengenai kuasa mereka dalam mengguna, melulus dan mengeluarkan dana daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

SPR kabur tentang 'lu tolong gua, gua tolong lu'

Posted: 25 Feb 2011 02:16 AM PST

MALAYSIA KINI

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini enggan menyatakan pendiriannya sama ada pemberian 'habuan' dalam kempen pilihan raya, melanggar undang-undang pilihan raya.

NONEKetika ditemui wartawan ketika beliau melawat Kolej Politeknik Merlimau yang akan digunakan sebagai pusat penamaan calon esok, Abdul Aziz berkata beliau bukan seorang yang ahli mengenai perkara itu.

Ia walaupun suruhanjaya tersebut telahpun mengendalikan 12 pilihan raya umum dan banyak pilihan raya kecil selama ini.

Abdul Aziz berkata demikian ketika ditanya mengenai misteri NGO 1Malaysia yang muncul sewaktu pilihan raya kecil untuk menganjurkan majlis makan dan mengedarkan 'ole-ole' yang termasuk makanan ruji seperti Milo, beras dan susu pekat bersama-sama dengan poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Sasaran utama NGO 1Malaysia itu ialah pengundi bukan Melayu yang mengundi menentang BN dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

'Lu tolong gua, gua lu tolong'

Abdul Aziz juga memberi jawapan yang sama ketika ditanya tentang ucapan Najib "lu tolong gua, gua tolong lu' dalam satu majlis di SRJK (C) Merlimau pada 19 Februari lalu.

Ia dilaporkan oleh akhbar Sin Chew Daily, bahawa Najib telah memberitahu kira-kira 1,000 hadirin di majlis itu bahawa: "Lu tolong gua, gua lu tolong".

Kata-kata itu pertama kali diucapkan ketika pilihan raya kecil Sibu, di mana Najib telah berjanji untuk melaksanakan kerja mitigasi banjir hanya jika menang. DAP berjaya merampas kerusi tersebut dari BN dengan majoriti tipis.

'M'sia boleh, Gaddafi tak boleh'

Posted: 25 Feb 2011 02:09 AM PST

Abdul Rahim Sabri

Gema laungan 'Malaysia boleh, Gaddafi tak boleh' bergema di depan kedutaan Libya di ibunegara petang tadi, apabila sekumpulan rakyat negara itu berhimpun membantah kekejaman pentadbiran presiden Mohammad Gaddafi.

NONEKira-kira 50 rakyat Libya itu muncul selepas tiga pemimpin Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum bantahan kepada pegawai kanan kedutaan itu pada kira-kira jam 2.45 petang.

Mereka berhimpun di situ selama kira-kira 15 minit mulai jam 2.50 petang sambil membawa poster dan melaungkan antaranya, 'Gaddafi musuh Allah', kemudiannya diikuti dengan laungan 'Malaysia boleh, Gaddafi tak boleh'.

Sebelum itu, kira-kira 70 penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat serta NGO berarak ke Kedutaan Libya di ibunegara selepas solat Jumaat, bagi membantah kekejaman pentadbiran presiden Mohammad Gaddafi ke atas rakyatnya.

NONEBagaimanapun, mereka menghampiri kedutaaan tersebut, mereka dihalang oleh anggota polis yang berkawal di situ.

Selepas berunding seketika, pihak polis membenarkan lima orang untuk ke kedutaan tersebut bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Manakala yang lainnya berpatah balik ke Masjid Tabung Haji yang terletak berdekatan di situ.

Antara mereka yang dibenarkan masuk ialah dua ahli jawatankuasa pusat PAS, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi serta Mohamad Sabu. Turut sama ialah ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamarulzaman Mohamad dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Khairul Annuar Ahmad Zainuddin.

Setibanya di jalan masuk ke kedutaan tersebut mereka disertai oleh ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan ahli parlimen Batu, Tian Chua dan setiausaha agung PSM, S Arutchelvan.

NONESelepas sekali lagi berunding dengan anggota polis yang berkawal di situ, tiga orang - Nurul Izzah, Syed Azman dan Mohamad Sabu - dibenarkan masuk kira-kira jam 2.45 petang, untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada timbalan duta.

Menurut Syed Azman, memorandum itu adalah Gabungan Rakyat Malaysia yang diwakili oleh PAS, PKR, PSM dan 30 NGO, mendesak supaya dihentikan pembunuhan orang awam serta diadakan pilihan raya bebas bagi memenuhi aspirasi rakyat Libya.

“Biar rakyat tentukan,” Syed Ibrahim

Posted: 25 Feb 2011 02:04 AM PST

BERNAMA

Calon Dun Kerdau dituduh menipu berhubung kelulusan akademiknya.

TEMERLOH: Sekalipun tempoh kempen dan hari penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau belum bermula, calon

Barisan Nasional (BN) sudah pun menerima cercaan dan tuduhan tidak berasas daripada penyokong dan parti pembangkang.

Syed Ibrahim Syed Ahmad dituduh menipu berhubung kelulusan akademiknya.

Beliau didakwa tidak lulus semasa belajar di Universiti Al-Azhar dan dituduh membeli ijazah dari universiti berkenaan.

Syed Ibrahim yang lebih dikenali sebagai 'Syed Ibra' di kalangan penduduk tempatan hanya tersenyum lebar ketika ditemui Bernama bagi mengulas perkara berkenaan.

"Biarlah apa orang nak kata, kita tak boleh ikut dia (penyokong dan parti pembangkang), dia macam-macam boleh kata, kalau kita jawab lebih pun tak guna.

"Biarlah rakyat tahu sendiri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau adalah lulusan dari Universiti Al-Azhar dalam bidang Bahasa Arab.

Syed Ibrahim mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kuala Krau dan di Sekolah Menengah Agama Al Khairiah Temerloh sebelum menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar pada 1989 hingga 1996.

Beliau diumumkan sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Selasa lepas.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob ketika ditemui di sini hari ini turut kesal dengan tindakan para penyokong PAS dan parti itu yang membuat dakwaan tidak berasas.

"Saya tengok sijil dia, kalau dia tak lulus tinggi, takkan saya nak ambil dia bekerja sebagai Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar. Bodohlah saya ambil orang tak ada kelulusan.

"Tuduhan mengatakan dia tak ada kelulusan, itu satu pembohongan dan fitnah," katanya.

Dun Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim 12 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac depan.


Tiada sebarang senjata dijumpai di pejabat SPRM

Posted: 25 Feb 2011 01:58 AM PST

BERNAMA

Usaha mencari alat senjata dilakukan oleh pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri di keseluruhan pejabat iaitu di tingkat 14 dan 15 di Plaza Masalam.


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu bahawa tiada sebarang senjata seperti kayu dan paip besi dijumpai di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Usaha mencari alat senjata berkenaan dilakukan oleh pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri di keseluruhan pejabat iaitu di tingkat 14 dan 15 di Plaza Masalam.

Ahmad Nazri berkata beliau mencari senjata itu di pejabat pegawai penyiasat SPRM Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus (pegawai yang menyoal siasat Teoh), tandas, siling dan kawasan sekitar.

Beliau juga memberitahu tidak menemui sebarang kesan pergelutan di pejabat tersebut.

Ditanya peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM terhadap dakwaan Teoh dipukul di kepala untuk mematikannya dan adakah beliau melihat darah di kepalanya meleleh (seperti lelehan pada orang sedang berdiri) dan melekat di seluruh bahagian kolar baju, Ahmad Nazri berkata,

"Hasil pemeriksaan pada mayat Teoh di tempat kejadian mendapati terdapat sedikit kesan darah di sebelah kolar kanan."

Katanya, darah pada kepala Teoh juga lebih banyak mengalir ke lantai.

Ahmad Nazri yang merupakan saksi ke-12 turut ditanya mengenai dakwaan bahawa sebelum Teoh jatuh, ada sesuatu benda yang keras disula masuk ke dalam punggung hingga menyebabkan beliau cedera parah tetapi, sepertimana dalam inkues terdahulu beliau menegaskan tiada bukti yang menunjukkan sedemikian.

Beliau juga menegaskan sekali lagi bahawa seluar Teoh koyak disebabkan hentakan tulang dari bahagian dalam ke bahagian luar.

Ahmad Nazri turut memberitahu bahawa pada hari yang sama Teoh disoal siasat, Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah, kontraktor Lee Wai Leng dan seorang lagi kontraktor bernama Harun juga dipanggil memberi keterangan.

Ditanya adakah mereka membuat aduan telah dianiayai dan dikasari pegawai SPRM, Ahmad Nazri berkata: "Saya hanya ingat Boon Wah yang dia ada kata diarahkan berdiri beberapa jam dan tidak dibenarkan duduk dan ada pegawai yang mengacu-gacukan tangan padanya. Dua lagi itu tiada aduan."

Menyentuh mengenai nota yang ditinggal Teoh, Ahmad Nazri berkata isi kandungannya tidak menyatakan beliau dicederakan atau dipukul.

Di awal prosiding Ahmad Nazri berkata sekiranya kepala jam tangan Teoh dijumpai ia berkemungkinan dapat menentukan waktu beliau meninggal dunia.

Bagaimanapun ketepatannya hanya boleh ditentukan sekiranya kepala jam tersebut terhenti ketika Teoh jatuh.

Ekoran menyedari betapa pentingnya jam tersebut, beliau dan beberapa pegawai polis lain berusaha mencarinya berkali-kali meliputi kawasan mangsa ditemui dan juga di tempat lain tetapi gagal menemuinya dan hanya tali jam tangan yang ditemui.

Ahmad Nazri juga memberitahu suruhanjaya bahawa satu eksperimen dengan menggunakan patung dan botol berisi air dilakukan bagi mengetahui kedudukan simati apabila jatuh dari tingkap pejabat SPRM di tingkat 14.

Bagaimanapun ia tidak dapat ditentukan kerana berat badan simati tidak sama dengan bahan yang digunakan.

Suruhanjaya ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Datuk T.Selventhiranathan yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Pakar

Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka' berhubung kematian Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Sementara itu di awal prosiding juga Foong mengumumkan bahawa Michael Leslie Squires Michael yang dilantik sebagai pegawai penyiasat pernah memberi nasihat dalam modul akademi latihan pegawai SPRM tetapi tidak mempunyai secara langsung (kerja) dengan SPRM.

Prosiding disambung Isnin depan


Jadikan orang ramai fobia rasuah – kata PPPR

Posted: 24 Feb 2011 04:09 PM PST

Walaupun gejala rasuah merupakan jenayah yang serius, masih ada anggota masyarakat yang tidak takut melakukannya.

PUTRAJAYA: Orang ramai perlu ditakutkan agar mereka fobia dengan kegiatan rasuah bagi membendung gejala itu daripada berlarutan, kata anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azman Ujang.

Azman, yang juga bekas Pengurus Besar Bernama, berkata bahawa pada masa ini, walaupun gejala rasuah merupakan jenayah yang serius, masih ada anggota masyarakat yang tidak takut untuk melakukannya.

"Ini adalah sesuatu yang amat bahaya kerana sekiranya sesebuah negara itu boleh jatuh, ia boleh jatuh atau porak peranda kerana rasuah, bukan kerana jenayah, ancaman komunis dan sebagainya dan ini boleh dilihat daripada beberapa contoh sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azman sebelum itu menerima watikah pelantikan sebagai anggota PPPR bagi tempoh 25 Feb 2011 hingga 24 Feb 2013 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri di sini bersama 11 anggota panel yang lain.

Yang lain terdiri Ketua Pengarang Kumpulan Star Publications (M) Bhd Datuk Seri Wong Chun Wai, penulis blog 'Outsyed The Box' Syed Akbar Ali, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu, Pengerusi Media Prima Bhd Datuk Johan Jaaffar, Presiden Universiti Limkokwing Tan Sri Dr Lim Kok Wing, Timbalan Setiausaha Agung Kehormat Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) Prof Dr Chin Yew Sin.

Bekas Naib Canselor Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill Datuk Dr Ishak Tambi Kechik, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anis Yusal Yusoff, Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Prof Emeritus

Datuk Dr Abdul Rahman Embong, Pengerusi Institut Etika Perniagaan Malaysia Dr Zainal Abidin Abdul Majid dan Pengarah Urusan DC & A Group Sdn Bhd Datuk David Chua.

Azman berkata melalui panel itu, penekanan akan diberikan terhadap usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa rasuah itu adalah jenayah yang besar agar mereka takut melakukannya.

Wong pula berkata isu rasuah tidak mungkin dapat diselesaikan dalam sekelip mata kerana ia merupakan perjalanan yang jauh dan ini memerlukan strategi jangka panjang.


SPRM siasat Exco Perak?

Posted: 24 Feb 2011 04:06 PM PST

Harakahdaily

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak didakwa sedang menyiasat salah seorang Exco kerajaan negeri itu atas dakwaan rasuah.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Perak meminta Menteri Besar, Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir mengesah dan menjelaskan dakwaan tersebut.

Menurut Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Munir Ali, exco terbabit adalah orang lama dalam Umno.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) telah diberikan maklumat bahawa salah seorang Exco Kerajaan Negeri Perak pimpinan Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak baru-baru ini," kata Mohd Munir dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

"Kami juga difahamkan bahawa Exco yang terbabit dalam siasatan SPRM tersebut merupakan 'orang lama' yang penting di dalam barisan kepimpinan Datuk Seri Zambry," katanya dalam kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Perak mendesak Datuk Seri Zambry untuk mengesah dan menjelaskan isu tersebut bagi memberikan gambaran sebenar kepada rakyat.

"Pemuda PAS Perak juga meminta, jika maklumat yang diberikan tersebut benar, Exco terbabit wajar direhatkan dari menjalankan tugas rasmi bagi melincinkan siasatan SPRM," katanya.

Isytihar harta

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) juga mendesak Kerajaan Negeri Perak mengikut jejak langkah kerajaan negeri Selangor agar meminta semua Exco Kerajaan Negeri mengisytiharkan harta mereka dan dipamerkan di dalam laman web kerajaan negeri.

Perkara tersebut bagi membuktikan bahawa semua Exco kerajaan negeri bersih daripada amalan rasuah dan perkara tersebut adalah penting untuk menilai mana-mana pihak agar menunjukkan latar belakang yang bersih.

"Pemuda PAS Perak menunggu respon Datuk Seri Zambry bagi membuktikan perkara tersebut, jika Datuk Seri Zambry gagal mengisytiharkannya sepertimana langkah Kerajaan Negeri Selangor, akan menunjukan persepsi bahawa mereka tidak bersih sepertimana yang didakwa," kata Naib Ketuanya, Salman Haji Saleh.

Pemuda PAS Perak, katanya, yakin semua pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bersedia bagi membuktikan dengan cara mengisytiharkan harta mereka pada bila-bila masa.

Pemuda PAS juga yakin Umno/Barisan Nasional (BN) akan terus memberikan pelbagai alasan bagi melaksanakan perkara tersebut, katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Imagine what if there was cracked guide which teach win a lottery 98% of time. Find out this web page if you want to win lottery almost every time you play ...
[url=http://how-to-win-a-lottery.net]how to win a lottery[/url]