Sabtu, 8 Januari 2011

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


VIDEO US BADRUL AMIN - BUKAN SETAKAT PUTRAJAYA, KITA MAHU PIMPIN OIC

Posted: 08 Jan 2011 10:00 PM PST

PROJEK LANGGAR HADI JADI PROJEK PUKUL CURI ?

Posted: 08 Jan 2011 08:00 PM PST

Oleh: Mandor

TERKEJUT aku apabila membaca tajuk artikel pada blog menyebut tetamu Presiden PAS dilayan seperti anjing. Aku tahu ini kaitan dengan tragedi Blogger Aduka Taruna yang didakwa dipukul oleh sekumpulan lelaki di Rusila.

Aduka yang sering berhajat untuk `melanggar Hadi' ini nampaknya mendapat bahana di Rusila kali ini. Sebelum ini, projek tidak berfaedah itu berjalan baik tanpa ada sebarang kejadian yang menimpa beliau. Mungkin kali ini, beliau ingin mencuba lagi tetapi nasib tidak menyebelahinya.

Benarkah Aduka menjadi `tetamu' Tuan Guru Presiden pada hari tersebut? Jika tetamu yang dijemput atau telah membuat temujanji dengan Presiden PAS itu, tentulah tidak wajar beliau dibelasah sedemikian rupa. Masakan Tuan Guru Hj Hadi tidak tahu adab menghormati tetamu.
Persoalannya, benarkah beliau tetamu seperti yang ditulis pada beberapa blog itu?

Jika bukan tetamu, maknanya apa? Jika kita tengok rancangan TV seperti Melodi atau Terjah, banyak kali melihat wartawan `menerjah' artis di mana dan tidak kira waktu. Tetapi, Tuan Guru Presiden bukan artis. Beliau seorang Presiden PAS dan juga seorang Ulamak. Mungkin ada yang tidak mahu mengiktiraf beliau sebagai Ulamak, tetapi sedikit pun tidak menjejaskan keilmuan dan darjatnya.

Justeru itu, berhadapan dengan pemimpin tidak kira dari mana pun mestilah ada adab dan sopan. Kalau kita tidak beradab atau sukar untuk beradab, kita kena bertanya orang lain dahulu bagaimana untuk beradab. Jangan main terjah-terjah begitu sahaja. Kalau mak ayah kita diterjah orang sedemikian rupa tanpa adab, takkan kita nak lihat sahaja?

Aduka pernah menulis tentang Sultan Johor dengan satu penulisan yang dikatakan menghina Sultan. Beliau telah didakwa dan kes tersebut belum selesai lagi. Di mahkamah suatu ketika beliau melaporkan dipukul oleh seseorang. Kini, di Rusila pula. Mengapa Aduka sering menjadi mangsa?

Apa pun, diharapkan Aduka boleh belajar banyak perkara dari beberapa kejadian yang menimpa beliau selama ini. Kepada yang memukul Aduka di Rusila (jika benar), silalah mohon maaf kerana tindakan emosi anda itu. Aduka juga mesti mohon maaf kerana tindakan tidak beradab dengan pemimpin sehingga mendatangkan kemarahan para pengikut Tuan Guru Hj Hadi.

Ini ulasan aku berpandukan apa yang aku tahu dari blog. Jika ada maklumat baru yang sahih yang menyalahi apa yang aku tulis, korang anggap tulisan aku ini terbatal./mandor.blogspot.com

AWANG SELAMAT UTUSAN MELOYA UMPAMA MALING GILA?

Posted: 08 Jan 2011 05:00 PM PST


Isu SUK: Awang Selamat biadab, berniat jahat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menempelak sikap wartawan akhbar Utusan Malaysia, Awang Selamat yang mengulas isu perlantikan SUK Selangor.

Katanya, seorang yang berfikiran waras akan memahami soal perlantikan SUK tidak langsung timbul isu penderhakaan terhadap Sultan Selangor seperti yang cuba digambarkan Awang Selamat.

Ianya hanya membabitkan masalah pentadbiran antara kerajaan Selangor dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) apabila KSN tidak bertindak profesional dengan membelakangkan Menteri Besar selaku ketua eksekutif.

Isu tersebut jelasnya bertambah rumit apabila pilihan terbaik menurut meritokrasi, kemampuan, pengalaman dan kekananan dalam jawatan diketepikan begitu sahaja.

"Tulisan Awang Selamat atas tema 'biadab', sungguh tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

"Jelas ia bertujuan melaga-lagakan pihak Istana dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,"katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas tulisan wartawan Utusan itu dalam keluaran akhbar itu Ahad lalu.

Tambahnya lagi, Awang Selamat juga sepatutnya ingat bahawa DYMM Sultan Selangor sedia mengambil maklum bahawa kerajaan Umno BN lah yang telah menghakis kekuasaan Raja-raja Melayu sejak krisis Perlembagaan 1993.

Beliau juga mahu wartawan akhbar pro Umno itu membaca kembali laporan Berita Harian, pada 19 Januari 1993, menyiarkan berita seorang ahli parlimen dari Perak yang mengingatkan raja-raja supaya mengambil kira suara rakyat jika mahu kekal lama.

"Bagi mengingatkan Awang, akhbar yang sama pada 16 Januari 1993 turut melaporkan seorang Menteri Besar pernah mendesak para ulama dan ilmuan Islam menasihati raja-raja Melayu tentang keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memansuhkan kekebalan raja-raja.

"Ahli Parlimen dari Pahang pula dengan tega memberi tempoh 30 hari kepada raja-raja bagi memikirkan semula pendirian mereka berhubung pindaan tersebut," katanya memberi peringatan.

Membidas sikap Awang Selamat yang didakwa 'tidak ubah sebagai pecacai Umno', beliau memberitahu Pakatan Rakyat sentiasa menjunjung penuh kedaulatan DYMM Sultan Selangor yang menjadi tempat rakyat berlindung dan mencari keadilan.

Titah Tuanku Sultan Selangor ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada DY Teramat Mulia Raja Muda pada 6hb Januari juga katanya sangat mengujakan.

"Tuanku dengan jelas menjawab Awang dan pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh bahawa tohmahan mereka salah.

"Baginda bertitah bahawa baginda begitu akrab dan mesra dengan Datuk Menteri Besar Selangor, nasihat-menasihati antara satu sama lain, bertukar-tukar fikiran dalam banyak hal dan perkara," katanya lagi.

Selain utusan, turut ditempelak adalah NGO Gaps dan Perkasa dan beliau mahu kesemua mereka menghentikan taktik 'kotor' tersebut.

"Amat menghairankan di mana hilangnya ketegasan Menteri Dalam Negeri dalam situasi bahaya ini. Mengapa Awang Selamat dibiarkan merapu dan berkeliaran umpama maling gila merosak keamanan?" soalnya./Harakahdaily

BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP MANTAN SUK SELANGOR

Posted: 08 Jan 2011 07:44 AM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

MANTAN SUK Selangor, Datuk Ramli mengatakan bahawa pencalonan Datuk Khusrin sebagai SUK Selangor bagi menggantikannya telah dimaklumkan kepada MB Selangor sebelum dipersembahkan kepada Sultan Selangor. MB Selangor pula menafikannya, bahkan surat yang didakwa salinan kepada MB Selangor pun tidak diterima.

Ini bermakna, ada salah seorang dari mereka ini telah menipu Sultan Selangor. Salah kecilkah jika ada yang menipu atau mengelirukan Sultan Selangor? Perlukah diwujudkan satu Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat siapa yang berbohong sehingga menjadikan isu perlantikan SUK Selangor sebagai satu krisis Perlembagaan?

Mungkin tindakan boleh diambil kepada bekas SUK Selangor itu sekiranya terbukti beliau tidak melaksanakan tugasnya dengan jujur, lebih-lebih lagi bertindak mengelirukan Sultan Selangor. Bukan sukar untuk menyiasat perkara ini kerana ianya melibatkan pentadbiran dalaman yang mempunyai dokumen-dokumen dan surat sebagai bahan bukti.

Saya cadangkan Kerajaan Negeri Selangor membuat laporan Polis ke atas mantan SUK Selangor sekiranya Kerajaan Negeri menganggap beliau telah bertindak di luar bidang kuasa dan mempunyai niat untuk mensabotaj Kerajaan Negeri./wfauzdin.blogspot.com

ISU SUK - SIAPA MENIPU SULTAN SELANGOR SEBENARNYA?

Posted: 08 Jan 2011 07:34 AM PST

SU MB 'Sgor: Fakta pelantikan SUK diputarbelit

Jan 8, 11

Kenyataan ketua setiausaha negara (KSN) dan bekas setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud bahawa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dimaklumkan sebelum 21 Disember berhubung pelantikan SUK baru didakwa ternyata salah.

Setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin sebaliknya berkata, tidak juga terdapat surat berkaitan dengannya sama ada dari KSN mahupun dari Ramli.

"Sebaliknya apa yang berlaku ialah KSN telah menyerahkan senarai nama kepada DYMM Sultan Selangor melalui Datuk Ramli. Cara ini ternyata tidak menepati prosedur dan membelakangkan Datuk menteri besar serta mengetepikan amalan telus dan profesional.

"Hal ini terbongkar apabila pada 21 Disember (setiausaha sulit Sultan) Datuk Munir (Bani) telah menghantar surat kepada setiausaha sulit menteri besar dengan mengepilkan surat bertarikh 10 Disember yang beliau hantar kepada Datuk Ramli berkenaan perkenan Tuanku melantik Datuk Khusrin sebagai SUK," kata Faekah lagi.

Berikut kenyataan penuhnya sekitar kontroversi pelantikan Datuk Khusrin Munawi:

YAB Dato' MB terharu dengan titah DYMM Tuanku Sultan pada 6 Jan lalu. Tuanku ternyata melihat keikhlasan Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dengan telus cekap dan efisien. Tuanku juga menegur sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan di dalam isu yang hangat ini dengan memberi persepsi silap kepada rakyat. Pakatan Rakyat bersyukur dengan titah ikhlas yang dikeluarkan Duli Tuanku.

Mengambil maklum dan menjunjung titah Tuanku tersebut, Dato' MB ingin memperbetulkan beberapa dakwaan oleh bekas Setiausaha Negeri Dato' Ramli Mahmud dan KSN kononnya Dato' MB telah dimaklumkan berkenaan lantikan Dato' Khusrin Munawi sebelum 21 Disember. Dato' MB menegaskan beliau telah dibelakangkan dalam semua urusan penyerahan nama ke Istana sebelum 17 Disember 2010. Begitu juga maklumat dari KSN diserahkan kepada Dato' Ramli dan beliau tidak memanjangkan kepada Dato' MB.

Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk mentadbir negeri secara profesional dan mantap tanpa ada niat untuk bermain politik dalam soal pentadbiran mahupun mempolitikkan isu-isu tertentu. Namun apabila sesuatu fakta itu diputar belit serta bercanggah dengan bukti yang sedia ada, adalah menjadi tanggungjawab Dato' MB memberi penjelasan. Bukti amat jelas bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan yang melantik Setiausaha Negeri tanpa rundingan dengan Menteri Besar adalah satu tindakan sabotaj yang memang bersifat politik. Tindakan arbitrasi inilah yang telah memulakan segala kekeliruan dan akhirnya menjadi masalah.

Dato' Ramli akan bersara wajib pada 24 Mac 2011. Justeru, pada 26 Oktober Pejabat Menteri Besar telah diberi nota amalan (practice notes) dari Pejabat Setiausaha Negeri melalui Pusat Sumber Manusia (PSM) Negeri. Nota amalan ialah berkenaan amalan yang biasa (convention) yang dilakukan untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri ( SUK ). Nota amalan tersebut jelas menyatakan tatacara yang perlu diambil iaitu;

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak ( Gred 54 ke atas ) kepada Menteri Besar.

Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada DYMM Sultan Selangor.

Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan, Dato' MB akan menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

Sebaliknya apa yang berlaku ialah Ketua Setiausaha Negara ( KSN ) telah menyerahkan senarai nama kepada DYMM Sultan Selangor melalui Dato' Ramli. Cara ini ternyata tidak menepati prosedur dan membelakangkan Dato' Menteri Besar serta mengetepikan amalan telus dan profesional.

Hal ini terbongkar apabila pada 21 Disember Dato' Munir telah menghantar surat kepada Setiausaha Sulit Dato' MB dengan mengepilkan surat bertarikh 10 Disember yang beliau hantar kepada Dato' Ramli berkenaan perkenan Tuanku melantik Dato' Khusrin sebagai SUK.

Antara 10 hingga 21 Disember, Dato' Ramli telah hadir pada dua Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Mesyuarat Exco), dua mesyuarat Majlis
Tindakan Ekonomi Selangor (MTES). Majlis persaraan beliau juga diadakan. Dalam lima pertemuan ini, Dato' Ramli tidak pernah menyebut bahawa Tuanku telah memberi perkenan kepada Dato' Khusrin.

Justeru, kenyataan KSN dan Dato' Ramli bahawa Dato' MB telah dimaklumkan sebelum 21 Disember ternyata salah. Tidak juga terdapat surat berkaitan dengannya sama ada dari KSN mahupun dari Dato' Ramli.

Kerajaan Negeri Selangor bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ikhlas memperjuangkan kebajikan rakyat. Sekiranya kerajaan Persekutuan menghormati semangat Federalisme dan memahami kehendak rakyat yang telah memilih kerajaan Negeri Selangor hari ini, pastinya mereka tidak akan melantik seorang Setiausaha Negeri tanpa sebarang konsultasi dengan Dato' MB yang telah dipilih rakyat.

Dato' MB berharap KSN dan amnya SPA akan sanggup bekerjasama untuk mencari penyelesaian terbaik dalam masa terdekat. Tidaklah perlu memanjangkan perkara ini dengan menimbulkan isu lain kononnya Dato' MB terlewat menghantar nama dan sebagainya. Dato MB percaya hanya dengan bertindak secara profesional serta jujur pada amalan, isu ini boleh diselesaikan./Malaysiakini

KETUA PEMBANGKANG SELANGOR AHLI POLITIK MALAS ?

Posted: 08 Jan 2011 02:00 AM PST

Teresa Kok : Pemilihan Satim, Aneh Dan Diluar Jangkaan
07/01/2011


SHAH ALAM 7 JAN : Perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Serdang, Datuk Satim Diman sebagai ketua pembangkang baru di Selangor adalah sesuatu yang aneh dan diluar jangkaan.

Demikian pandangan ADUN Kinrara, Teresa Kok yang turut berasa hairan bagaimana pemimpin Umno-Barisan Nasional meletakkan Satim bagi mengetuai pasukan pembangkang, walhal kelibat ADUN itu jarang kelihatan menjalankan tanggungjawab di Dewan mahupun di kawasan beliau.

" Di Dewan pun saya juga sentiasa nampak dia tidak ada. Jadi kalau dia jadi Ketua Pembangkang sama ada dia boleh memainkan peranannya dengan berkesan kerana bagi saya dia memang seorang ahli politik yang malas," kata Teresa ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.

Umno Selangor malam tadi mengumumkan perlantikan Satim bagi menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang terpalit dengan kes rasuah. Satim sebelum ini merupakan setiausaha badan perhubungan negeri. Jawatannya itu kini digantikan oleh bekas Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed.

Mengulas lanjut mengenai karektor individu yang dipilih oleh Umno itu, menurut Teresa, beliau tidak akan lupa tindakan ADUN itu yang terburu-buru melemparkan tuduhan ke atasnya berhubung isu larangan azan. " Ini menunjukkan bahawa beliau tidak menunjukkan keprihatinan beliau berhubung isu yang berlaku di tempatnya dan beliau adalah seorang yang mudah melemparkan tuduhan tanpa melakukan siasatan," tegas Teresa.

Dalam kejadian pada 2008 itu, Satim katanya telah melemparkan tuduhan bahawa beliau telah mengeluarkan larangan azan dilaungkan di sekitar Kota Damansara, Sri Serdang dan Puchong. Malah Satim mengatakan bahawa beliau telah menulis surat mengenai petisyen bantahan penduduk yang tidak berpuas hati dan meminta pihak jawatankuasa masjid supaya tidak menggunakan pembesar suara untuk melaungkan azan kepada Satim. Katanya, beliau dilemparkan dengan tuduhan yang tidak berasas sama sekali kerana tempat yang dinyatakan adalah kawasan Satim sendiri, dan beliau tidak tahu menahu apa yang berlaku di kawasan ADUN itu.

" Ini menunjukkan bahawa beliau tidak menunjukkan keprihatinan beliau berhubung isu yang berlaku di tempatnya dan beliau adalah seorang yang mudah melemparkan tuduhan tanpa melakukan siasatan. " Saya rasa prestasi beliau akan lebih teruk dari Dr Khir Toyo," tambah Teresa lagi, mengulas sikap sambil lewa Satim./TVNews

Tiada ulasan: