Jumaat, 7 Januari 2011

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


IBRAHIM ALI SEMAKIN CERCA MERBA, PERTANDA DISEMADIKAN SELEPAS PILIHANRAYA UMUM NANTI?

Posted: 07 Jan 2011 11:00 PM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

SAYA merasa pelik dengan sikap dan tabiat Presiden PERKASA, Ibrahim Ali. Di dalam mengulas keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock di dalam kawasan pejabat SPRM, Ibrahim Ali amat menentang penubuhan Suruhanjaya Diraja tersebut. Baca di sini.

Ibrahim Ali berpendapat memadai pihak Polis menyiasat kes tersebut. Kita ingin bertanya kepada beliau, adakah kematian Teoh tidak pernah disiasat oleh pihak Polis sebelum diadakan injues? Adakah siasatan Polis atau inkues lebih baik atau telus jika ingin dibandingkan dengan Suruhanjaya Diraja? Kes mata lebam DS Anwar dahulu boleh dijadikan panduan untuk menjawab persoalan ini.

Melucukan, beliau secara sinis menyebut beliau pelik dengan sikap `keterbukaan dan baiknya' kerajaan apabila bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Mengapa Ibrahim Ali pelik? Mungkin beliau sedar kerajaan selama ini tidak bersikap terbuka dan tidak baik, sebab itu lah beliau merasa pelik. Di dalam Parlimen, MP Pasir Mas yang menenggek atas kerusi ihsan PAS ini berdegar-degar bercakap akan menyokong apa jua yang baik samada dari Kerajaan atau Pembangkang. Adakah Suruhanjaya Diraja ini tidak baik untuk Ibrahim Ali?

Hujah beliau bahawa mengadakan Suruhanjaya Diraja membazirkan wang rakyat adalah satu hujah dungu oleh seorang Ahli Parlimen. Beliau cuba ingin membandingkan nilai atau harga sebuah keadilan dan ketelusan dengan wang ringgit. Beliau tidak tahu menilai nyawa yang hilang dan tidak merasa apa yang dirasakan oleh waris Teoh Beng Hock. Seandainya tragedi ini berlaku ke atas ahli keluarga atau warisnya, mungkin Ibrahim Ali akan menjadi `gila' dan `meroyan'.

Ibrahi Ali yang sinonim digelar `raja katak' ini sempat mengulas isu Datuk Khusrin, SUK Kerajaan Negeri Selangor yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Selangor. Beliau menyebut bahawa perlantikan SUK itu adalah sah dari segi undang-undang. Kita semua tahu, yang dibicarakan sekarang berkaitan isu SUK ini adalah tentang ketelusan dan tahap profesional pihak KSN, SPA dan JPA. Rekod Datuk Khusrin sepanjang berkhidmat sebagai Pengarah JAIS sepanjang PR mentadbir Selangor juga boleh dinilai sebelum mengesahkan perlantikannya.

Saya tidak pelik jika Ibrahim hanya menyebut dari segi undang-undang semata-mata dan tidak mahu menyentuh dari segi moral dan adab. Kita pun tahu dari segi undang-undang, MP Pasir Mas ini memang sah sebagai Ahli Parlimen walaupun tanpa parti kerana beliau `disedekahkan' oleh PAS untuk kerusi tersebut. Tetapi jika ingin membicarakan soal moral dan adab, Ibrahim Ali sewajarnya sudah lama mengosongkan kerusi tersebut kerana bertindak lebih Umno dari Umno apabila menyerang PR, khususnya PAS.

Bermoralkah Ibrahim Ali yang di`beri makan' oleh Tuan Guru Nik Aziz berada di kerusi tersebut, tiba-tiba mendesak Mursyidul Am PAS tersebut meletakkan jawatan sebagai MB Kelantan? Jelas, perjuangan Ibrahim `raja katak' semakin lama semakin cerca merba. Itu pertanda awal beliau akan `disemadikan' selepas Pilihanraya Umum Ke 13 nanti./wfauzdin.blogspot.com

TRAGEDI RUSILA - PERTEMBUNGAN KEDUA PIHAK YANG TIDAK BERADAB?

Posted: 07 Jan 2011 08:00 PM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

MELALUI maklumat dari blog rakan dan blog Aduka Taruna sendiri, termasuk dari blog Batu-Api@firestone sepatutnya berlaku perdebatan ilmiah di antara Aduka Taruna dengan Batu-Api@firestone di Masjid Rusila, Marang, Terengganu semalam selepas Solat Jumaat semalam. Berita terkini melaporkan, debat tidak berlaku sebaliknya Aduka Taruna telah `dibelasah' oleh sekumpulan pemuda di perkarangan Masjid Rusila selepas Solat Jumaat tersebut.

Saya cuma membaca satu sumber di sini, dan mungkin ada lagi sumber yang saya tidak sempat membacanya. Membaca hanya dari satu sumber tidak boleh membantu meyakinkan kita semua. Saya hanya ingin mengulas sedikit betapa tragedi ini (dibelasah) tidak mungkin boleh berlaku sekiranya Aduka Taruna mempunyai adab ketika berurusan samada resmi atau tidak dengan pemimpin. Kejadian seperti ini juga boleh dielakkan sekiranya sekumpulan pemuda yang didakwa membelasah Aduka Taruna itu juga mempunyai adab dan akhlak.

Sekiranya tujuan Aduka Taruna ke Masjid Rusila mempunyai dua tujuan iaitu untuk menemubual spontan Tuan Guru Hj Hadi (istilah `langgar Hadi' oleh Aduka) dan juga beliau ingin mengadakan debat dengan Batu-Api@firestone, maka Aduka perlu fokus kepada dua matlamat itu sahaja.

Dikatakan, sejurus selesai Solat Jumaat Aduka telah mengekori Tuan Guru Hj Hadi yang ingin pulang ke rumahnya yang berhampiran untuk menanyakan beberapa soalan terhadap Tuan Guru Presiden. Tindakan `terjahan' umpama wartawan Melodi TV3 suku seperti ini mungkin tidak disenangi oleh Tuan Guru Presiden, lantas beliau dikatakan enggan melayani pertanyaan Aduka. Sejarah lalu juga sudah cukup memberi ingatan kepada Aduka agar tidak membuat perkara yang sama kerana menjadi hak sesiapa sahaja untuk menjawab atau tidak soalan di dalam keadaan atau situasi apa sekali pun.

Sewajarnya, mengikut adab menghormati pemimpin sekiranya Tuan Guru Presiden enggan menjawab soalan yang ingin beliau kemukakan secara `terjah' sedemikian, Aduka sepatutnya berhenti di situ sahaja dan tidak terus mendesak. Ertinya, beliau gagal di dalam satu objektif beliau ke sana. Beliau sepatutnya terus kepada objektif kedua, iaitu mengadakan debat seperti yang dirancangkan. Malangnya, kedua-dua objektif Aduka gagal oleh kerana beliau tidak boleh menerima kegagalan di dalam objektif pertamanya. Aduka masih gagal mendisiplinkan dirinya ketika berurusan dengan pemimpin. Itu kelemahan Aduka, pada pendapat saya.

Kemungkinan perbuatan atau tingkah laku yang mendesak sedemikian rupa oleh Aduka terhadap Tuan Guru Presiden, menimbulkan emosi kepada beberapa orang yang berada di situ. Maka, berlakulah apa yang didakwa bahawa Aduka telah dibelasah dan mengalami cedera ringan.

Walau apa pun kesalahan Aduka, saya berpendapat beliau tidak harus dibelasah hanya kerana mendesak Tuan Guru Presiden. Apatah lagi, kejadian itu dikatakan berlaku di sekitar Rumah Allah. Saya merasa hairan, sekiranya kumpulan yang membelasah Aduka ini pernah ditarbiyyah mana mungkin mereka boleh bersikap sekejam itu? Mungkinkah kumpulan ini bukan dari kumpulan yang menerima Tarbiyyah dari PAS? Amat malang jika benar mereka telah membelasah Aduka sedangkan mereka adalah anak murid atau pengikut Tuan Guru Hj Hadi.

Benarkah kejadian itu disedari atau dilihat sendiri oleh Tuan Guru Hj Hadi? Benarkah Presiden PAS itu tidak berbuat apa-apa apabila melihat kejadian itu? Itu semua saya tidak berani ulas kerana kita setakat ini hanya membaca berita dari sebelah pihak. Saya menanti agar sebelah pihak lagi untuk menceritakan hal sebenar kejadian yang dianggap memalukan ini.

Apa yang boleh saya perkatakan, Aduka tidak menggunakan kebijaksanaannya seolah-olah tidak menghormati pemimpin. Walaupun Tuan Guru Hj Hadi mungkin tidak dianggap pemimpin oleh Aduka, tetapi beliau adalah pemimpin di mata ramai khususnya umat Islam terutamanya di dalam PAS. Pendekatan yang diguna pakai oleh Aduka tidak bijak samasekali walaupun berniat baik, apatah lagi berniat jahat.

Kumpulan yang dikatakan membelasah Aduka juga tidak bijak dan tidak beradab melayani Aduka sedemikian rupa. Sepatutnya mereka mesti menunjukkan contoh dan teladan yang baik sekiranya mereka mengaku bahawa mereka adalah pengikut Tuan Guru Hj Hadi atau pengikut PAS. Membelasah Aduka tidak bererti memperkuatkan perjuangan Islam yang dicita-citakan oleh PAS. Mereka hanya menampilkan imej yang tidak baik kepada Masjid Rusila yang menjadi saksi perbuatan kedua-dua pihak yang tidak beradab ini./wfauzdin.blogspot.com

HARAMKAN UTUSAN DI SELANGOR?

Posted: 07 Jan 2011 07:00 PM PST

AMK Desak Kerajaan PR Selangor Haramkan Utusan Malaysia
Jika Polis Gagal Ambil Tindakan

07/01/2011


SHAH ALAM 7 JAN: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja, Azmizam Zamanhuri memberi amaran untuk mendesak Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor mengharamkan penjualan akhbar pro-Umno, Utusan Malaysia sekiranya polis gagal mengambil tindakan.

Azmizam bersama kira-kira 30 ahli PKR membuat laporan polis di Ibu pejabat Daerah Shah Alam meminta siasatan dibuat ke atas Utusan Malaysia kerana mengeluarkan berita berbentuk fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Sebelum ini, akhbar Utusan Malaysia telah mengeluarkan beberapa berita dalam keluarannya bertarikh 3, 4, 5 dan 6 Januari 2011 yang menuduh Shuhaimi sebagai penderhaka kepada Sultan Selangor, mempertikaikan kuasa Sultan dan berniat menghasut rakyat melancarkan perang terhadap Raja-Raja Melayu. "Sekiranya pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia, saya nak bagi amaran, kita AMK akan berjumpa dengan Tan Sri Khalid, Datuk Menteri Besar (MB) dan kita akan mendesak MB Selangor untuk mengharamkan penjualan Utusan Malaysia di negeri Selangor," tegas beliau yang dijumpai di perkarangan IPD Shah Alam petang tadi.

Beliau berkata, pengharaman ini boleh dilakukan dengan meminta MB meluluskan dan menurunkan arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengharamkan penjualan akhbar tersebut di premis-premis yang diberi lesen perniagaan oleh kesemua PBT. Dalam pada itu, beliau juga meminta polis agar mengambi serius laporan yang dibuat dengan mengadakan satu penyiasatan yang telus dan adil. "Kita dah buat laporan ini, kita minta pihak polis menyiasatnya secara telus, secara adil, dan pastikan tindakan diambil terhadap Utusan Malaysia. Sekiranya tidak ada apa-apa tindakan daripada pihak PDRM, pihak kami akan terus membuat laporan dan akan terus ramai-ramai membuat laporan tanpa henti terhadap Utusan Malaysia yang bukan sahaja memfitnah YB Shuhaimi Shafiei tetapi juga memfitnah kerajaan PR terutama sekali Tan Sri Khalid Ibrahim," tegas beliau.

Selain itu, Azmizam juga menuntut pihak Utusan Malaysia meminta maaf kepada kesemua pihak yang terjejas akibat berita fitnah tersebut dan memberikan amaran tindakan lebih tegas akan diambil terhadap Utusan Malaysia sekiranya gagal menunaikan tuntutan. "Saya juga mendesak supaya Utusan Malaysia minta maaf kepada kerajaan PR, Datuk MB, juga kepada YB Shuhaimi Shafiei kerana memfitnah mereka. Kalau pihak polis tidak siasat, kita akan desak kerajaan Selangor untuk haramkan penjualan Utusan Malaysia, dan kita juga akan minta kerajaan dibawah naungan PR yang lain juga untuk mengharamkan Utusan Malaysia dijual di negeri-negeri tersebut," tegas beliau.

Beliau berkata, Utusan Malaysia kini telah dijadikan alat propoganda Umno-BN yang digunakan untuk menghuru-harakan keadaan politik negara serta mengganggu ketenteraman rakyat dengan cubaan melaga-lagakan kerajaan PR Selangor dan institusi Istana Negeri Selangor. Katanya lagi, insiden pintu masuk pejabat Shuhaimi yang disimbah cat merah juga berpunca daripada berita fitnah Utusan Malaysia. "Kenapa pejabat itu disimbah, sebab berpunca daripada fitnah yang dibuat oleh Utusan Malaysia terhadap YB Shuhaimi Shafiei menyebabkan mungkin ada segelintir rakyat keliru dengan kenyataan fitnah Utusan Malaysia menyebabkan ada rakyat yang mengambil tindakan sebegitu rupa, contohnya seperti menyimbah cat untuk melepaskan geram terhadap YB Shuhaimi Shafiei," jelas beliau.

Azmizam yang juga Naib Presiden AMK Pusat menegaskan, AMK Pusat juga tidak akan bertolak ansur atas perkara ini dan akan terus membuat laporan polis secara besar-besaran sehingga tindakan diambil terhadap Utusan Malaysia serta memberikan masa seminggu bagi polis mengambil tidakan. "Kita tak akan bagi peluang kepada Utusan Malaysia untuk terus memfitnah kerajaan PR dan seterusnya mengelirukan rakyat terutama sekali dalam isu perkauman dan isu Istana di Selangor," kata beliau lagi./TVNews

TAMPARAN HEBAT LAGI BUAT UMNO P.PINANG YANG SERING DAKWA GUAN ENG ANTI MELAYU ISLAM

Posted: 07 Jan 2011 05:00 PM PST

Kontraktor Melayu mohon maaf kepada Guan Eng

Susan Loone
Jan 7, 11

Dalam satu tindakan yang mengejutkan hari ini, pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pulau Pinang, Datuk Mohamed Fadzill Hassan memohon maaf kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng ekoran pelbagai serangan yang dibuat terhadapnya.

Mohammed Fadzill berkata, beliau telah meminta maaf di atas kenyataan kerana kontraktor Melayu mahu bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri.

"Kami ingin memulakan era baru dan menyelesaikan masalah (antara kita)," tambahnya yang turut diiringi oleh sekumpulan wakil, ketika mengadakan pertemuan dengan Lim.

NONELim (tengah), yang mengadakan sidang akhbar tergempar di Komtar hari ini
berkata, Mohammed Fadzill memohon maaf di atas kenyataan-kenyataan yang sebahagian besar dibuat dalam akhbar Melayu.

"Kenyataanya yang sebahagian besarnya dalam akhbar Melayu menyerang saya dan kerajaan negeri...," katanya sambil menegaskan bahawa mereka mahu menyelesaikan perkara itu dan memulakan hubungan baru.

"Jadi Fadzill telah menarik kenyataanya dan memohon maaf, kita menerimanya ... ini satu perkembangan yang baik," tambahnya.

Beliau merujuk kepada serangan terbaru Mohamed Fadzill yang mendakwa bulan lalu bahawa masyarakat Melayu hanya diberikan projek yang tidak signifikan nilainya.

Beliau telah dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai mencabar Lim memberikan butir-butir terperinci mengenai projek-projek terbabit.

Kerajaan negeri kemudiannya mengumumkan perangkaan yang menunjukkan kontraktor Melayu mendapat hampir kesemua projek di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Rekod kerajaan negeri menunjukkan 94 peratus kontrak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri diberikan kepada kontraktor Melayu manakala kesemua kontrak Jabatan Pengairan dan Saliran diberikan kepada kontraktor Melayu.

Lim mengulangi bahawa kerajaan negeri tidak menyenarai-hitamkan sebarang kontraktor, tetapi memastikan mereka yang mendapat kontrak harus bertanggungjawab dan tidak menjadi kroni dari mana-mana pihak.

Dengan perkembangan terbaru itu, katanya - walaupun tiga tahun terlambat - merupakan satu kemenangan bagi kontraktor Melayu dan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri, katanya, mahu menjalinkan hubungan yang sihat dan terancang yang berdasarkan kepada fakta dan bukan emosi.

Tambahnya, ada antara kontraktor Melayu yang terbaik di negara ini kerana beliau telah menyaksikan kualiti kerja mereka.

"Hanya kontraktor Umno yang buat bising sekarang (kerana mereka tidak dapat kontrak), bukan kontraktor Melayu," tambah Lim./Malaysiakini

Prinsip Raja Berperlembagaan Anwar: Sultan perlu dapatkan nasihat MB

Posted: 07 Jan 2011 12:43 PM PST

Lim Hong Siang |

Jan 07, 2011

Perbincangan tentang institusi Raja Melayu dalam alaf ke-21 perlu mengambil kira faktor sejarahnya. Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan - Yang Di-Pertuan Agung sebagai Ketua Negara, sementara kuasa raja tertakluk kepada perlembagaan. Raja yang berkecuali dari politik kepartian, dijadikan lambang tertinggi dalam sesebuah negara.

Di Malaysia, institusi Raja sering diheret ke gelanggang pergelutan politik kepartian. Bukan itu sahaja, pada ketika kuasa hampir dimonopoli sepenuhnya kerajaan UMNO-Barisan Nasional, pembangkang dan masyarakat sivil yang kebuntuan menjadikan istana sebagai pangkalan untuk menyekat kuasa regim BN. Misalnya, perhimpunan dan perarakan untuk menuntut pilihan raya yang adil dan BERSIH pada tahun 2007.

Strategi ini semestinya mengundang risiko. Bukan tugas yang enteng untuk meletakkan garisan pada batas "sistem Raja berperlembagaan", terutamanya dalam konteks masyarakat yang sarat dengan pelbagai akta untuk digunakan terhadap mereka yang berbicara mengenai kuasa institusi Raja. Pengaruh institusi Raja semakin terserlah, antaranya ketika rampasan kuasa kerajaan negeri Perak, sebelum kemelut perlantikan Setiausaha Negeri Selangor, baru-baru ini.

Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan "semangat prinsip Raja Berperlembagaan", dalam wawancara bersama MerdekaReview di ibu pejabat PKR, semalam. Ahli politik yang cuba menampilkan diri sebagai pemimpin negara masa depan ini menghadapi desakan golongan pendukung politik baru yang progresif, di samping perlu berhati-hati dengan sentimen "kemelayuan" yang tidak boleh diperlekehkan.

Antara Rakyat dengan Raja

"Dia harus ditangani dengan hikmah. Mempertahankan hak rakyat dan juga memuliakan institusi raja," jawab Anwar dengan cermat, menjelaskan bagaimana convention perlantikan SUK selama ini menyaksikan hak rakyat diputuskan seperti mana yang diusulkan Menteri Besar, dan kemudian nama itu mohon perkenan Raja.

Beliau menyambung, "Dalam kes ini, usul Menteri Besar tidak berlaku. Maka kita sukar menerima. Di mana ada kuasa rakyat di sini? Apa erti pilihan raya? Apakah ini bermakna kita mengetepikan perkenan Raja? Tak benar. Tetapi bagaimana perlantikan dibuat tanpa usul daripada rakyat? Itu prosedur dia."

Bagaimanapun, upacara angkat sumpah SUK baru, Khusrin Munawi, calon yang tidak direstui kerajaan negeri Selangor telah berlangsung di Istana Bukit Kayangan, sebelum wawancara ini dijalankan. Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang menegaskan bahawa "kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri" pada 3 Januari, akhirnya akur, walaupun mendakwa "hadir tidak bermakna rela" kemudiannya.

Anwar menjelaskan bahawa perbincangan dalam PR, bersama Lim Kit Siang (DAP) dan Hadi Awang (PAS) mencapai muafakat - menyerah kepada EXCO kerajaan Selangor untuk menyelesaikan kemelut ini.

Kehadiran halalkan perlantikan

Anwar: Kerana upacara itu bukan upacara angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri sahaja. Upacara itu upacara yang melibatkan banyak program lain. Keengganan kerajaan negeri hadir akan menimbulkan tafsiran yang berbeda. Bukan soal Setiausaha Kerajaan Negeri. Soal Setiausaha Kerajaan Negeri kita tegas. Tetapi nampaknya usul angkat sumpah itu dimasukkan sebagai salah satu upacara itu.

MR: Tetapi sebelum ini, MB dengan jelas mengatakan bahawa beliau tidak akan menghadiri upacara itu...

Anwar: Tetapi upacara itu disekalikan dengan beberapa upacara yang lain!

MR: Tetapi, kehadiran ini memberi laluan kepada Khusrin untuk menjadi SUK yang halal.

Anwar: Itu saya tidak... (mahu mendalami) macam mana implikasi dari segi undang-undang, tetapi kalau Setiausaha Kerajaan Negeri yang tidak diterima oleh kerajaan negeri, juga tidak mudah (untuk Khusrin).

PR berganjak langkah?

Bagaimanapun, kesudahan isu perlantikan SUK semalam mungkin mengundang persepsi di kalangan sesetengah pengamat politik, bahawa PR telah berganjak langkah.

"Pendirian kita jelas. Kita tidak setuju dengan cara mengetepikan suara rakyat. Itu prinsip dia. Tetapi kita tidak mahu langkah kita itu memberikan tafsiran berbeda, terutama kerana upacara istana itu tidak hanya angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri. Kenyataan MB itu merujuk kepada upacara angkat sumpah. Tetapi upacara angkat sumpah itu disekalikan dengan upacara yang melibatkan institusi Raja yang lain, jadi itu menyukarkan kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri, dan saya faham bahawa ia menimbulkan juga sedikit kerumitan tambahan kepada kita. Tapi saya yakin kerana kerajaan negeri masih punya suara yang besar," jelas Anwar.

Beliau kemudian menuding jari kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, "Ini peranan Dato Seri Najib yang cuba nak merampas Selangor setelah setahun, dua tahun ini gagal. Ini helah tambahan. Ini kita tahu. Ini usaha, helah UMNO untuk rampas secara haram. Jadi, oleh yang demikian, kita akan mempertahankan (kerajaan negeri Selangor)."

Apabila keputusan MB semalam dipertikaikan sebagai memberi ruang kepada UMNO-BN untuk menggunakan institusi Raja untuk menekan PR sebaliknya, Anwar berkata, "Itu bukan bagi ruang, itu perlembagaan. Kita nak pilih. Kalau saudara buat andaian begini, makna seolah-olah kita memilih untuk menolak institusi Raja-Raja. Ini perangkap yang dimainkan oleh mereka."

"Ada orang yang bersuara kita harus tegas. Tegas, betul. Tetapi tegas sehingga menyebabkan kita dilihat sebagai menentang institusi Raja juga tidak sihat. Sebab pendirian kita pertahankan institusi ini. Jadi, jangan kita terperangkap. Oleh kerana kita nak keras, keras itu menyebabkan kita terperangkap, kerana suara rakyat sekarang masih mahu pertahankan semangat perlembagaan itu. Tapi, semangat perlembagaan itu tidak bermakna kesediaan kita menerima kenyataan bahawa institusi Raja diheret oleh mana-mana pihak," tekan Anwar.

Tentang kenyataan Suhaimi...

Sama ada perlantikan SUK Selangor ini konspirasi UMNO-BN untuk merampas kuasa, ia terserah kepada masa untuk menjawabnya. Namun, apa yang pasti, ia membuka gelanggang pertarungan politik, dan akhirnya ADUN Sri Muda-PKR, Suhaimi Shafiei menjadi sasaran baru, atas tuduhan "menghina Sultan".

Utusan Malaysia pada 6 Januari 2011, memberi liputan penuh pada muka surat ketujuh, untuk mengecam kenyataan Suhaimi (gambar kanan), di samping menyiarkan tulisan asal blognya. Antara kenyataan Suhaimi berbunyi, "baginda DYMM Sultan Selangor selaku Raja Berperlembagaan hendaklah mendapat nasihat dan bertindak mengikut nasihat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan) dalam menjalankan fungsi baginda seperti yang dinyatakan dalam peruntukan fasal 55(1) dan (1A), Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959."

Meskipun tidak bersetuju sepenuhnya kenyataan Suhaimi, tetapi Anwar mempertahankan kenyataan Suhaimi pada bahagian di mana Sultan perlu mendapat nasihat daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ditafsirkannya sebagai "maksud Raja Berperlembagaan".

Beliau mempersoalkan, sejak bila Utusan Malaysia tidak menyerang PKR/PR? "Cuba baca Utusan masa dia menyokong pinda perlembagaan. Cuba baca Utusan masa dia menyerang Raja, itu jauh lebih parah daripada kenyataan Suhaimi. Jadi, kalau Utusan mahu ambil tindakan kepada Suhaimi, Utusan juga harus diambil tindakan, dan juga semua ucapan Presiden UMNO dulu...patut diambil tindakan."

Cubaan PR menarik sokongan Institusi Raja

Walaupun demikian, sesetengah pengamat politik mungkin menganggap PR juga pernah menunjukkan kecenderungan untuk menarik sokongan institusi Raja, khususnya sekitar rancangan rampasan kuasa pada 16 September 2008. Ia mungkin bertujuan untuk mengimbangi kuasa UMNO-BN, namun ia sering berakhir dengan kesudahan yang memihak kepada UMNO.

"Kita pertahankan prinsip perlembagaan, iaitu kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja. Ada juga usaha UMNO untuk mengheret institusi Raja, mendukung mereka dengan menanam rasa cemas atau takut, seolah-olah Pakatan Rakyat, terutama dengan adanya DAP, sebagai tidak menghormati Raja atau akan mengingkari kuasa Raja. Ini sebab kita nak pertahankan (institusi Raja)," Anwar menafikan andaian yang dilontarkan di atas.

"Yang kita pertahankan prinsip itu sahaja. Tidak lebih dari itu. Kita tidak mahu pulihkan kerajaan di mana Raja-Raja berkuasa, kerana itu sudah meninggalkan semangat prinsip perlembagaan dan raja berperlembagaan. Kalau dia katakan Raja yang melantik (dalam isu SUK), mana ada prinsip raja berperlembagaan di situ?"

Wartawan MerdekaReview membangkitkan ucapan dasar Presiden dalam Kongres PKR pada November 2008, yang menyebut kesediaan PKR untuk "mengembalikan kekebalan Raja-Raja".

Anwar bagaimanapun mendakwa bahawa "istilah itu mungkin dipertikai", sebelum menekankan, "Kalau kita pilih untuk mempertahankan institusi Raja berperlembagaan, institusi Raja itu mesti dimuliakan. Kalau tidak institusi itu tidak ada kesan. Tetapi ia tidak bermakna kuasa itu berbalik kepada Raja. Ini tahun 2010, ia tidak masuk akal untuk rakyat dipinggirkan."

Ketika dibangkitkan rancangan 16 September yang diuar-uarkannya itu turut menyebut langkah "mengadap Yang Di-Pertuan Agong", Anwar tetap mempertahankan bahawa perlembagaan menuntut prosedur mendapat perkenan Agong untuk menubuh kerajaan baru.

Beliau tidak melihat bahawa langkah ini bertentangan dengan politik baru yang didukung Pakatan Rakyat, "Politik baru tidak pernah mengatakan tidak mahu perkenan Raja."

Namun apabila wartawan membangkitkan situasi di mana Akta Hasutan 1948, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) digesa untuk digunakan, setiap kali apabila isu institusi Raja disentuh, Anwar berkata, "Yang itu kita tidak pernah setuju. Itu Utusan punya politik. (Politik) Lama. Kami kata orang nak bagi pandangan, teguran, tak ada salah. Sebab itu kita besarkan kenyataan Profesor Aziz Bari dan sebagainya untuk memberi pandangan yang berbeda."

Beliau menegaskan bahawa PR tidak menghina mana-mana institusi, tetapi memberi hak kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan. Secara terus terang beliau berkata, "Saya ikut perlembagaan sahaja. Saya juga tahu bahawa seluruh perjuangan kebangsaan Melayu juga mahu merdeka. Bebaskan diri dari kuasa mutlak Raja. Dari segi sejarahnya itu kita akui, tetapi institusi (Raja) itu kita pertahankan." (Bahagian pertama, bersambung)

*Wawancara ini dijalankan oleh Chan Wei See (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina), Lim Hong Siang (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia) dan Ong Vic Kee (Wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina), di pejabat Anwar Ibrahim pada 6 Januari 2011.

ISU SUK SGOR - ADA UNSUR SABOTAJ DARI AWAL ?

Posted: 07 Jan 2011 08:40 AM PST

Pejabat MB: Ramli 'membisu' hingga majlis bersara

Jan 7, 11

Pejabat Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa, sehingga majlis persaraan Datuk Ramli Mahmud pada 16 Disember lalu, bekas setiausaha kerajaan (SUK) negeri itu tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan penggantinya.

Pejabat Khalid juga mendakwa, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sebelah pagi hari yang sama, Ramli turut 'membisu' mengenai perkara itu.

Kenyataan itu dikeluarkan lewat petang ini, dipercayai sebagai respons terhadap kenyataan Ramli dalam Malaysiakini hari ini, yang menafikan beliau menyerahkan cadangan penggantinya kepada Sultan Selangor tanpa memaklumkan kepada Khalid.

Berikut kronologi pelantikan SUK menurut versi pejabat menteri besar yang merakamkan perkara itu:

26 Oktober 2010
PSM memberi Nota Amalan kepada Dato' Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Nota ini menyatakan bahawa:

i) Suruhunjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak ( Gred 54 ke atas ) kepada Menteri Besar.
ii) Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang
sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada DYMM Sultan Selangor.
iii) Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan MB akan menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

26 Oktober 2010
Pusat Sumber Manusia memberi nota amalan kepada Pejabat Dato' Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan yang baharu dan menyenaraikan 8 nama yang dicalonkan untuk pelantikan.

8 November 2010
Pejabat Menteri Besar menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan untuk memilih calon yang paling layak daripada 8 nama pegawai yang telah dicadangkan.

22 November 2010.
Jawatankuasa memulakan proses menemubual semua calon .

1 Disember 2010
Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan yang akan menggantikan beliau.

2 Disember 2010
Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

3 Disember 2010
Jawatankuasa telah memaklumkan kepada pejabat Dato' Menteri Besar bahawa 3 nama telah dipilih untuk dilantik serta memberitahu bahawa 2 calon tidak mahu mengambil bahagian

8 Disember 2010
Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

9 Disember 2010
Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

15 Disember 2010
Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan setiausaha kerajaan yang akan menggantikan beliau.

16 Disember 2010
2pm: Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menganti beliau.
9pm: Majlis Persaraan untuk Dato' Ramli Mahmud dan dihadiri oleh Dato' Menteri Besar serta Setiausaha Politik. Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau

17 Disember 2010
Dato' Menteri Besar menulis surat kepada Istana untuk memaklumkan DYMM Sultan Selangor tentang prosedur pemilihan yang dijalankan Kerajaan Negeri dan tiga calon akhir telah dipilih dan Dato' Menteri Besar terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan DYMM Sultan untuk pandangan dan nasihat. Ini selepas pemeriksaan teliti terhadap tiga calon ini.

20 Disember 2010
Dato' Menteri Besar menulis surat kepada Pusat Sumber Manusia untuk memaklumkan Menteri Besar telah menghantar tiga nama calon kepada DYMM Sultan Selangor dan belum menerima maklum balas. Surat berkenaan juga memberitahu Dato' Menteri Besar akan bercuti sehingga 30 Disember dan sebarang pengumuman mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dirujuk kepada Menteri Besar.

21 Disember 2010
Istana menerusi Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato' Muhamad Munir Bani menulis surat kepada Setiausaha Sulit kepada Dato' Menteri Besar, Haji Mustapha. Bersama surat itu dilampirkan surat bertarikh 10 Disember 2010 yang dialamatkan kepada Dato' Ramli Mahmud sebagai balasan surat yang dihantar Dato' Ramli bertarikh 3 Disember. Surat 3 Disember itu memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor tiga calon yang layak. Manakala surat 10 Disember memaklumkan kepada Dato' Ramli bahawa DYMM Sultan Selangor telah berkenan dengan pelantikan Dato' Muhamad Khusrin Munawi. Surat itu juga menyatakan Dato' Ramli boleh membuat pengumuman pada 16 Disember 2010.

24 Disember 2010
Pejabat Menteri Besar menjawab surat bertarikh 21 Disember dari Dato' Mohamad Munir bahawa Dato' Menteri Besar tidak pernah diberitahu keputusan yang telah dibuat bertarikh 10 Disember 2010 itu. Sehubungan itu, Pejabat Menteri Besar memohon perkenan untuk mengadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

27 Disember 2010
Dato' Menteri Besar menerusi surat memohon untuk menghadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

3 Januari 2011
Dato' Menteri Besar menghadap DYMM Sultan Selangor. Dato' Menteri Besar juga menulis kepada SPA menyatakan Kerajaan Negeri menolak pelantikan Dato' Mohamad Khusrin dan tidak mengadakan majlis angkat sumpah menyimpan rahsia sehingga perkara ini selesai.

4 Januari 2011
Pejabat Dato' Menteri Besar menulis surat kepada DYMM Sultan memohon supaya majlis angkat sumpah ditangguhkan sehingga Kerajaan Negeri dan SPA menyelesaikan perkara ini.

6 Januari 2011
Dato' Menteri Besar dan barisan Exco hadir ke majlis angkat sumpah di Istana Bukit Kayangan sebagai taat setia dan kasih kepada DYMM Sultan dan DYTM Raja Muda tetapi tetap tidak menerima pelantikan Dato' Mohamad Khusrin.

Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan: