Isnin, 31 Januari 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


DEMO HARGA BARANG.

Posted: 31 Jan 2011 06:32 PM PST

Kes harga barang dan Mesir: Demo besar-besaran Jumaat ini
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 Feb: Selepas perhimpunan secara kecil-kecilan di depan kedutaan Mesir semalam, PAS bersama 71 NGO dan parti politik akan berhimpun di kedutaan Amerika pula selepas solat Jumaat, 4 Februari ini.

Ini kerana, mereka menganggap Amerika adalah sekutu rapat kepada regim Husni Mubarak yang sedang dihalau keluar oleh rakyat Mesir sekarang.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi dalam satu kenyataannya berkata, perhimpunan kali ini akan dibuat secara besar-besaran.

Selain Amerika, mereka juga mensasarkan kerajaan Malaysia apabila menaikkan lagi harga minyak Ron 97 sebanyak 10 sen lagi kepada RM2.30.

Menurut sumber kenaikan ini amat melampau dan mencekik pengguna di Malaysia kerana harga kosnya tidak setinggi itu.

"Harga Kos minyak Ron97 pada masa ini(semasa kenaikan minyak) adalah RM2.03 sahaja. Harga dijual oleh pengeluar minyak kepada pengusaha adalah RM2.3856. Harga Jual pula adalah pada harga RM2.50," kata satu sumber.

Ini bererti satu keuntungan yang berganda telah diambil oleh pengusaha yang dipercayai ada melibatkan keuntungan untuk pihak-pihak yang berkepentingan.

Kenaikan ini disifatkan sebagai hadiah untuk pengundi Tenang kerana telah memberikan kemenangan kepada BN dalam pilihan raya kecil Ahad baru-baru ini.

"Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri juga diminta untuk mengerahkan semua anak - anak muda bangkit menyatakan semangat kebersamaan kita disamping kita turut akan menyatakan bantahan kenaikan harga minyak dan harga barang yang semakin menjadi - jadi dalam negara kita," kata Nasrudin dalam kenyataannya.

Tempat berhimpun ialah di dua lokasi iaitu Masjid KLCC dan Masjid Tabung Haji dan sejurus solat Jumaat, semua akan berhimpun di Masjid Tabung Haji untuk menyatakan dua bantahan itu.

Timbalan Presiden PAS dan Tuan Hj Mohd Sabu AJK PAS Pusat dan pimpinan - pimpinan pemuda PAS dijangka akan memimpin perhimpunan ini.

"Pertama, isu penangkapan, kekerasan dan pembantaian regim Mesir ke atas rakyat mesir yang menuntut perubahan di negara mereka.

"Kedua, isu kenaikan harga minyak dan barang keperluan utama rakyat dalam negara kita," katanya dalam kenyataan itu.

Antara 71 pertubuhan yang turut serta dalam perhimpunan ini adalah ILMAM, Ikram, JIM, GMI, SAMM dan lain - lain ] termasuk kompenan parti politik Pakatan Rakyat seperti AMK dan lain-lain.


HADIAH TENANG: MINYAK NAIK LAGI

Posted: 31 Jan 2011 06:28 PM PST


RON97 naik 10 sen lagi
Jan 31, 11 7:29pm
Kongsi 14K

Harga petrol RON97 akan dinaikkan 10 sen berkuatkuasa tengah malam ini menurut satu sumber industri.

Dengan kenaikan itu, harga petrol RON97 akan meningkat menjadi RM2.50 seliter (RM2.40 sebelumnya).

Ini merupakan kenaikan harga yang keempat berturut-turut bagi petrol RON97.

Kenaikan harga ini juga dilakukan sehari selepas pilihan raya kecil DUN Tenang yang berlangsung semalam.

Semenjak tahun lalu, harga RON97 mula dinaikkan kepada RM2.15 pada 2 November, RM2.30 pada 1 Disember dan terus meningkat kepada RM2.50 pada 4 Januari tahun ini.

Harga bagi petrol RON97 yang banyak digunakan oleh kenderaan berkuasa tinggi, tidak ditetapkan kerajaan kerana ia diapung mengikut pasaran minyak dunia semasa.

Apungan itu diperkenalkan tahun lalu dan satu gred baru petrol RON95 turut diperkenalkan.

Harga bagi RON95 kini ditetapkan pada kadar RM1.80 seliter.

Pengurangan subsidi bagi bahan keperluan seperti petrol telahpun mula diperkenalkan melalui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) sejak awal tahun lalu.

Badan berkenaan ditubuhkan bagi mengurangkan beban subsidi negara.

BEBASKAN MESIR

Posted: 31 Jan 2011 01:38 AM PST

Sekumpulan 200 orang terdiri daripada NGO dan pemimpin parti politik pembangkang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Mesir di Jalan Ampang hari ini.

Beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat memasukkan memorandum ke dalam peti surat


Mereka melaungkan desakan agar Presiden Mesir Hosni Mubarak yang memerintah secara kuku besi selama 30 tahun agar segera berundur agar tidak menimbulkan lebih banyak kekacauan dan pertumpahan darah di Mesir.

Dalam perhimpunan itu para penunjuk perasaan melaungkan perkataan hidup rakyat, bangkit rakyat, sedar rakyat dan melaungkan takbir. Ketua Penerangan PAS Ustaz Idris Ahmad berucap mengecam kerajaan Mesir yang menggunakan kekerasan dalam melawan kebangkitan rakyat sehingga membunuh beberapa penunjuk perasaan.

"Kebangkitan di Tunisia telah merebak ke Mesir dan Jordan. Kebangkitan ini berterusan," katanya.

Bagaimanapun percubaan menyerahkan memorandum gagal kerana pegawai Kedutaan Mesir enggan menerima memorandum dari wakil perhimpunan. Berikutan itu, beberapa pemimpin parti politik dan NGO memasukkan memorandum ke dalam peti surat di pintu pagar kedutaan.

Dalam sidang media selepas itu Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvam mengecam Hosni Mubarak yang tidak memberi kebebasan kepada rakyatnya dan kini menyekat pula media internet seperti facebook dan twitter bagi melawan kebangkitan.

Arutchelvam meminta Hosni berundur dari kerusi presiden yang didudukinya selama tiga dekad. Beliau membidas kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang membiarkan kekejaman rejim Hosni terhadap rakyat hanya semata-mata mahu menyelamatkan Israel yang menjadi rakan baik Mesir.

"Kerajaan Mesir mengikut telunjuk Amerika dan Zionis. Tiba masanya pemerintahan diserahkan kepada rakyat," kata Arutchelvam.

Penunjuk perasaan membantah situasi di Mesir


Sementara itu, bekas Naib Presdien PAS Hj Mohammad Sabu menyelar sikap Hosni Mubarak yang tidak tunduk kepada suara rakyat biarpun mereka telah berdemonstrasi selama 6 hari dan melibatkan berbelas kematian .

Menurut Mohamad Sabu rejim Mubarak tidak mungkin akan bertahan lebih lama apabila pasukan askar dan polis telah dilihat bersama-sama rakyat dalam tunjuk perasaan. Askar yang dihantar menggempur rakyat akhirnya membenarkan rakyat menaiki kereta perisai mereka.

Beliau juga mengingatkan rejim BN di Malaysia yang mengamalkan korupsi seperti di Mesir mendengar suara rakyat agar tidak mengulangi apa yang berlaku di Mesir

"Rakyat dan polis membantah Mubarak. di negara ini (Malaysia) juga rakyat akan terus membantah (jika penyelewengan terus berlaku). Hari ini baru perhimpunan kecil, hari Jumaat nanti kita akan adakan perhimpunan yang lebih besar di masjid KLCC bagi meneruskan bantahan," katanya.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO yang kelihatan dalam bantahan itu ialah Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua Dewan Pemuda PAS Ustaz Nasruddin Tantawi, Presiden GMI Syed Ibrahim Syed Noh serta ramai lagi

Setakat ini, dalam bantahan besar-besaran penduduk Mesir, puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah pada setiap hari bagi menuntut pengunduran Hosni Mubarak.

Pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei yang menyertai kumpulan penunjuk perasaan pada Ahad lalu berkata, "kita sudah bermula dan tidak boleh berpatah balik".

Sejak Selasa lepas beberapa siri demonstrasi berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura

Kebangkitan rakyat Mesir itu kini menarik perhatian seluruh dunia kerana dijangka memberi kesan besar kepada politik dunia Arab.

SIAPA KALAH?

Posted: 31 Jan 2011 01:32 AM PST

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempunyai analisis 'ganjil' berhubung keputusan pilihan raya kecil Tenang semalam.

"Pemenang dan si kalah bukanlah calon tetapi orang lain," kata setiausaha agung DAP itu.

lim guan eng commenting on rci and pppaDi pihak BN, pemenang sebenar adalah Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman yang berjaya menunjukkan kebolehan dan kemampuannya, kata Lim dalam sidang media di Komtar hari ini.

"Manakala pihak yang kalah bukan calon PAS tetapi... kamu tahulah," tambahnya.

Apabila ditanya tentang pihak yang dimaksudkannya itu, beliau masih enggan menyatakannya.

"Dalam hati, kamu tahulah siapa dia," katanya Lim lagi, dipercayai merujuk kepada kemampuan MCA di kawasan Cina di Labis.

Tiada ulasan: