Rabu, 12 Januari 2011

Muslimeen United

Muslimeen United


Ahli MCA Mahu Bunyi Azan Dikawal & Diperlahankan. Bayangkan Kalau Ahli PKR atau DAP yang Tulis?

Posted: 12 Jan 2011 01:13 AM PST


Berdasarkan surat rasmi di bawah ini, seorang peguam yang mendakwa sebagai ahli seumur hidup MCA tidak berpuas hati dengan bunyi azan yang didakwanya terlalu kuat di Masjid Al-Khadijah Pantai Dalam, berdekatan dengan tempat tinggalnya, iaitu Pantai Hill Park. Justeru, ahli MCA ini telah menulis surat kepada PM Najib untuk mengadu tentang hal itu.

Selain Najib, surat bertarikh 20 Disember 2010 ini turut dihantar kepada Hishamuddin, Raja Nong Chik, Jamil Khir, Nazri Aziz, dan Koh Tsu Koon melalui faks dan e-mel.




Sumber gambar: Payahsungguh

P/s: Isu ini tidak riuh dibicarakan di blog pro-UMCO, langsung tidak dibicarakan di TV3, RTM, mahupun Utusan.

Tujuan saya menyalin dan menampal surat aduan ini bukanlah mahu memberikan komen tentang hal tersebut kerana situasinya tidak saya ketahui, malah jauh sekali untuk menjadikannya suatu provokasi. Saya menyiarkan surat ini sekadar membuat perbandingan reaksi/respon pemimpin dan jurublog UMCO jika surat berkenaan ditulis oleh ahli DAP atau pemimpin parti itu.

Jika surat ini ditulis oleh orang DAP, saya ramalkan isi surat ini akan disiarkan pada halaman hadapan Utusan Malaysia dan sudah tentu dua-tiga muka surat akhbar itu akan berisi ulasan dan kutukan pemimpin UMCO dan pihak yang sewaktu dengannya. TV3 sudah dengan riak wajah pembaca beritanya akan membicarakan kandungan surat ini selama beberapa hari. Jurublog UMCO pula akan menulis di blog masing-masing dengan pelbagai macam bentuk tulisan berbentuk provokasi.

1,000 sertai himpunan sokong Sultan, kerajaan Selangor

Posted: 12 Jan 2011 01:03 AM PST


Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 12 Jan: Lebih 1,000 rakyat Selangor hari ini berhimpun di Dataran Shah Alam dalam usaha menunjukkan sokongan kepada kerajan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang dipimpin Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mereka yang berhimpun sejak jam 3 petang tadi kini berarak menuju ke pejabat pentadbiran kerajaan negeri di bangunan SUK.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Dr Badrul Amin, Abdullah Sani dilihat berada di barisan hadapan perarakan.

Mereka melaungkan 'Hidup Pakatan Rakyat, hancur Umno dan reformasi' sepanjang perarakan.

Perhimpunan ini dipercayai diadakan berikutan beberapa isu kontroversi yang melanda Kerajaan Negeri Selangor termasuk terbaru dalam isu perlantikan SUK.

Sebelum ini juga beberapa pihak telah mengadakan himpunan serupa bagi mendesak menteri besar meletak jawatan.

Petang ini, Menteri Besar turun sendiri menerima memorandum tersebut yang diserahkan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mewakili pimpinan Pakatan Rakyat yang diiringi Pengerusi Kelab Menteri Besar Selangor, Anuar Othman.

Anuar dalam ucapannya sebelum penyerahan itu membaca ikrar sokongan padu kepada pemimpin PR.

"Kami rakyat negeri Selangor dengan ini menyatakan taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan kerajaan negeri di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui Tan Sri Khalid Ibrahim," ujarnya dengan diikuti peserta himpunan.

Sementara itu, Khalid dalam responnya berkata kerajaan negeri berjanji akan memerintah Selangor dengan bersih dan bertanggungjawab untuk kebajikan rakyat.

Himpunan bagaimanapun bersurai sejam kemudian selepas bacaan doa oleh Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali. -Hrkh


Kenyataan Tmb. Menteri "Bengap"..!!

Posted: 11 Jan 2011 04:25 PM PST

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal dengan tindakan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi yang mempertahankan Pengarah Pelajaran Johor Tn. Hj. Markom Giran berkempen untuk Barisan Nasional di Sekolah Menengah Tenang Station pada 31hb Disember 2010. Tindakan beliau amat memalukan rakyat Malaysia khususnya warga pendidik dan masyarakat di Dun Tenang, Johor.

Dalam kenyataannya semalam Dr Mohd Puad menyatakan bahawa tindakan Tn Hj Markom tersebut tidak salah kerana sebagai penjawat awam beliau berhak menyokong polisi-polisi kerajaan.

Dr Mohd Puad memberi alasan bahawa calon belum dikemukakan maka tiada kempen dilakukan oleh Pengarah Pelajaran Johor tersebut. Sebenarnya Timbalan Menteri Pelajaran ini tidak mengkaji ucapan sebenar Tn Hj Markom yang rakamannya boleh diperolehi dengan mudah di YouTube.

Beliau juga boleh mendapatkan penjelasan daripada Pembantu Khas beliau En. Zahari Bin Sharif yang turut hadir dalam taklimat tersebut. Secara jelas Tn Hj Markom mengesa guru-guru kaunseling menyokong dan berkempen bagi calon Barisan Nasional(BN) dalam pilihanraya Kecil Dun Tenang. Antara ucapan-ucapan beliau adalah :

"Kalau tidak ada pilihanraya Tenang, maka saya tidak akan berjumpa tuan-tuan semua"

" Memohon bantuan gerakan jentera bantu kerajaan untuk menang pilihanraya kali ini"

Tn Hj Markom juga meminta guru kaunseling berbangsa Cina dan India membuat program motivasi di sekolah Jenis Kebangsaan. Selepas program tersebut, guru kaunseling tersebut dikehendaki berjumpa ibu bapa pelajar bagi mengenalpasti kecenderungan politik mereka.

Beliau menyatakan terdapat empat kategori ibu bapa iaitu hijau adalah penyokong pembangkang, kelabu mereka yang membantah dasar-dasar kerajaan, putih dan biru dipercayai penyokong BN. Tn Hj Markom juga mendesak kepada guru-guru kaunseling menukarkan kecenderungan poitik ibu bapa daripada kelabu kepada biru. Jika pegawai pendidikan tidak boleh berfungsi maka mereka akan ditukarkan ke tempat lain.

Taklimat Tn Hj Markom ternyata dengan jelas cuba mengerakkan guru-guru kaunseling memenangkan calon BN. Bagaimana Dr Mohd Puad boleh menyatakan bahawa taklimat tersebut adalah menyokong polisi-polisi kerajaan. Apakah mengkategorikan pengundi Dun Tenang sebagai hijau, kelabu, putih dan biru itu boleh dianggap usaha menyokong dasar kerajaan?

Apakah memaksa guru kaunseling menukar pandangan politik pengundi DUN Tenang daripada kelabu kepada biru itu boleh dianggap sebagai usaha menyokong polisi-polisi kerajaan? Intipati taklimat Tn Hj Markom bukan menyokong polisi kerajaan sebaliknya menyokong parti UMNO- BN. Malah tindakannya telah menyalahi Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang dilarang daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

Sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mohd Puad hendaklah berkecuali dalam menilai laporan-laporan yang telah dikemukakan walaupun daripada Pakatan Rakyat. Beliau tidak boleh berpihak atau dilihat berpihak. Tindakan Dr Mohd Puad yang secara jelas berpihak kepada Tn Hj Markom tanpa kajian yang mendalam dilihat sebagai tindakan yang tidak profesional. Jika Dr Mohd Puad boleh bertindak sedemikian rupa bagaimana beliau boleh berperanan secara berkesan sebagai ahli Parlimen Batu Pahat dan Timbalan Menteri Pelajaran. Bayangkan bagaimana Dr Mohd Puad boleh bertindak secara adil jika terdapat laporan-laporan guru terlibat dengan pembangkang. Saya sangat khuatir ramai lagi warga pendidik yang akan menjadi mangsa dasar pilih kasih seorang Timbalan Menteri Pendidikan.

DPP Malaysia mendesak kepada Dr Mohd Puad agar menyesali dan memohon maaf khususnya kepada semua warga pendidik serta masyarakat Dun Tenang berhubung dengan kecuaian beliau memberi respon yang salah terhadap isu ini. DPP Malaysia juga meminta Tn Hj Markom agar memberi notis 24 jam berhenti sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil Dun Tenang. Beliau dilihat berpotensi memandangkan beliau sudah dikenali ramai melalui media baru dan kebetulan beliau sudah hampir bersara awal tahun ini. DPP Malaysia penuh yakin Dato Abdul Ghani Othman, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor akan bersetuju dengan cadangan ini.

Mengapa Perlu Keyakinan PM Untuk Siasat & Dakwa Rais?

Posted: 11 Jan 2011 04:22 PM PST

Adakah siasatan polis bermula dengan keyakinan PM?

Usaha untuk menjatuhkan seseorang di dalam organisasi berlaku di mana-mana; di dalam parti, di luar parti, di dalam syarikat, di dalam jabatan - pada ketika mereka merebut kerusi dan jawatan.

Kali ini, usaha bagi menjatuhkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim berlaku dengan menyebarkan berita beliau memperkosa pembantu rumahnya, Robengah yang bekerja di rumah menteri itu sejak 23 Disember 1999 hingga 2007 selama lapan tahun.

Insiden dikatakan berlaku sekitar 2007 yang diketengahkan oleh Migrant Care, sebuah badan bukan kerajaan yang menjaga kebajikan pekerja-pekerja Indonesia di Malaysia. Pada tahun 2007, sekiranya perkara ini dibangkitkan, sesungguhnya warga Indonesia serta kerajaan Indonesia sendiri sudah "mengamuk" kerana perhubungan Malaysia-Indonesia pada waktu itu tidak berapa baik, malah lebih teruk daripada kemarahan Indonesia terhadap Malaysia atas kekalahan semasa perlawanan bola sepak akhir Piala Suzuki baru-baru ini.

Oleh kerana kejadian berlaku pada tahun 2007 dan dibangkitkan sekarang, maka menimbulkan persoalan sendiri. Adakah pihak yang membangkitkan isu ini benar-benar simpati terhadap mangsa dirogol si menteri atau tujuan menjatuhkan kerjaya menteri tersebut?

Sumber yang mendedahkan jenayah Menteri pada asalnya datangnya dari WikiLeaks dan kemudiannya diperbesarkan lagi oleh blog bigdogdotcom.wordpress.com dan rockybru.com.my.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) didapati lambat bertindak berhubung dakwaan terhadap menterinya, sedangkan SKMM tangkas bertindak ke atas RockyBru melalui laman blognya apabila menteri yang bertanggjungjawab ke atas suruhanjaya itu membuat laporan polis ke atasnya sebelum ini.

Media Indonesia sendiri tidak terbakar dengan liputan yang dibuat. Mereka berpendapat, sikap Robengah itu sendiri yang sudah membuat pengakuan bahawa beliau tidak dirogol menutup segala spekulasi. Pihak Migrant Care yang menerima laporan awal kes ini juga tidak berhasrat untuk memperbesarkan kes tersebut kerana menghormati permintaan Robengah dan Pejabat Luar Negara Indonesia juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa kes tersebut ditutup.

Robengah tidak mengakui dirinya dirogol. Suaminya juga meminta supaya tidak memporak-perandakan keluarganya. Bagi Perdana Menteri pada waktu kejadian berlaku, Abdullah Badawi juga mengeluarkan kenyataan dengan menafikan tindakannya berdiam diri berhubung tuduhan memperkosa terhadap Rais Yatim bertujuan menutup kes dan melindunginya. Abdullah berkata dakwaan penulis blog dan pembangkang itu adalah tidak berasas, malah kejadian itu tidak pernah dilaporkan kepadanya sepanjang menjawat jawatan Perdana Menteri dari Oktober 2003 hingga April 2009.

Lagipun, perkara ini dibangkitkan oleh seorang penulis yang sememangnya dijangkakan beragenda tersendiri.

Keputusan atas keyakinan PM

Berlainan sungguh dengan dakwaan yang dikenakan sebelum ini terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim (gambar kiri) sewaktu waktu dahulu. Di saat Anwar Ibrahim diserang media, dinafikan hak bersuara, dikecam peribadinya di sebalik perbicaraan mahkamah yang lompong dan belum dibuktikan bersalah. Anwar berkali-kali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa dia meliwat pemandu kereta isterinya, tetapi dakwaan tetap dikenakan - kerana Perdana Menteri yakin perkara ini berlaku.

Sehingga rencana ini ditulis, tiada sebarang dakwaan oleh pihak Peguam Negara terhadap Rais Yatim. Barangkali keputusan Peguam Negara (untuk tidak bertindak) berdasarkan atas keyakinan Perdana Menteri bahawa perkara tersebut tidak berlaku.

Tolak-tarik Pengakuan Bersumpah

Di Malaysia, pengakuan bersumpah seperti suatu yang boleh dipermainkan. Terdapat beberapa kes di mana pengakuan bersumpah yang dibuat, boleh dibuat pengakuan bersumpah lain satu lagi bagi menutup pengakuan bersumpah yang awal. Antara faktor-faktor yang menjadikannya begitu ialah kerana dipaksa membuat pengakuan, ada juga tidak lari daripada diugut, dan diberi rasuah.

Berikut beberapa contoh insiden pengakuan bersumpah yang dibuat di negara ini:

1. Julai 2008: P.Balasubramaniam (gambar kanan), seorang peyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak Baginda memperincikan kisah yang mahu diceritakan berkenaan apa yang berlaku dan apa yang diberitahu kepadanya oleh tokoh-tokoh utama dalam kes tersebut termasuk Abdul Razak Baginda dan Altantuya sendiri. Pengakuan berkanunnya juga mengaitkan Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, Najib Razak dengan Altantuya Shaariibuu.

Pada 4 Julai 2008, P.Balasubramaniam didapati menarik kembali pengakuan tersebut. Akuan berkanun yang baru itu tanpa rujukan Najib mempunyai hubungan seksual dengan Altantuya ataupun Najib yang memperkenalkan Abdul Razak baginda kepada wanita Mongolia tersebut.

2. Penghujung tahun 1998: Pengakuan bersumpah Munawar Ahmad Anees, penulis ucapan mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang memperjelaskan betapa keji dan hinanya perbuatan polis Malaysia di dalam tindakan mereka yang mereka banggakan sebagai "profesional". Munawar mendakwa dipaksa membuat pengakuan bersumpah untuk membebaskannya daripada pendakwaan diliwat oleh Anwar Ibrahim.

3. Penghujung tahun 1998: Pengakuan bersumpah adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaatmadja bahawa dia diliwat oleh Anwar Ibrahim kemudiannya membuat pengakuan bersumpah yang lain yang menyatakan beliau dipaksa membuat pengakuan bersumpah awal dan kemudiannya menafikan segala dakwaan liwat antara beliau dengan Anwar Ibrahim.

4. September 2008: Pengakuan Doktor Mohamed Osman, doktor yang memeriksa Saiful Bukhari (pihak yang mengadu diliwat Anwar Ibrahim) bahawa tiada kesan tusukan pada dubur Saiful.

5. 19 Jun 2008: Pengakuan bersumpah Raja Petra Kamarudin penglibatan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri sekarang, dalam kes pembunuhan Altantuya. Raja Petra kini menjadi buruan polis dan dakwaan di dalam pengakuan bersumpah tersebut langsung tidak dipertikaikan.

Mungkin benar, bahawa daripada pendakwaan tersebut mempunyai kepentingan tertentu, tetapi mengapakah siasatan tidak dibuat ke atas laporan polis (gambar kiri) yang telah pun dibuat oleh Norazizi Abd Aziz, Penyelaras SAMM b/p Solidariti Anak Muda Malaysia? -MR

*Faisal Mustaffa ialah penulis bebas.

Gambar Kemalangan Ustaz Misbahul Munir

Posted: 11 Jan 2011 04:21 PM PST

Kemalangan yang melibatkan mantan Setiausaha Politik MB Perak , iaitu AF Ustaz Misbahul Munir.

Beliau yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur bersama anaknya telah terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS laluan antara Tg Malim dan Behrang. Kejadian berlaku ketika hujan lebat.

Ketika kejadian, kereta yang dinaiki oleh beliau dipandu oleh anaknya telah terbabas. Keadaan kereta beliau remuk.

Beliau dikejarkan ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan. Sejurus selepas itu, beliau terus dibawa ke Hospital Besar Ipoh untuk rawatan lanjut.

keadaan luka di kepala beliau agak parah, namun kedua-dua anaknya dilaporkan dalam keadaan stabil, hanya cedera ringan.

Marilah semua berdoa agar AF Ustaz Misbahul Munir diberi kesihatan dan kekuatan untuk meneruskan perjuangan bersama Gerakan Islam dan Pakatan Rakyat.


Gambar di bawah menunjukkan keadaan kenderaan beliau...sumbergambar dan berita




Tiada ulasan: