Sabtu, 22 Januari 2011

Kopitiam Bang Nan

Kopitiam Bang Nan


Najib kena sawan babi...berbuih mulut!!

Posted: 22 Jan 2011 05:48 PM PST

Kalau nak debat soal peribadi saya sedia, Anwar cabar Najib
Oleh Syed Mu'az Syed Putra
January 23, 2011




Anwar berceramah di Taman Gunung Emas, Labis malam tadi. — Foto Choo Choy May

LABIS, 23 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim turun membantu kempen PAS-Pakatan Rakyat di Tenang malam tadi dengan mencabar Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai soal peribadi jika perdana menteri terus menyerang soal peribadinya dan tidak sanggup sentuh dasar ekonomi kedua-dua perikatan.

Dua minggu lalu Anwar mencabar Najib agar berdebat berhubung dasar ekonomi kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat termasuk mengenai Buku Jingga.

"Saya cabar debat soal ekonomi tapi beliau (Najib) cakap peribadi, tapi kalau nak debat peribadi saya terima.

"Saya beri ingatan kepada beliau, kalau sebut lagi soal peribadi, saya cabar beliau debat soal peribadi.

"Tapi sekarang adalah soal ekonomi sebab itu saya cabar debat soal ekonomi," kata Anwar ketika memberikan ceramah di Taman Gunung Emas di sini malam tadi.

Ketika berada di sini awal minggu lalu, Najib berkata Anwar sewajarnya jangan terlalu mendesak untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan ketua pembangkang itu "demam" kelak jika dibongkarkan ketika berdebat.

Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau sebenarnya tidak gentar untuk berdebat dengan Anwar tetapi menyifatkan tindakan berdebat itu hanya akan membuang masa kerana pembohongan ketua pembangkang itu dan kegagalannya menunaikan janji.

"Dah cukuplah pembohongan, janji banyak tak boleh buat, ini nak debat dengan saya pula, buang masa. Saya boleh debat dengan dia, saya tak takut, saya dengan menteri saya tahu segala maklumat.

"Jangan cuba nak cabar saya, kalau saya dedahkan segala-galanya, ada orang yang demam nanti," katanya.

Gelanggang kempen kerusi DUN Tenang dibuka secara rasmi semalam dengan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon BN dan Pakatan Rakyat.

BN menurunkan Mohd Azahar Ibrahim, 39, iaitu bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mencalonkan Ketua Dewan Muslimat Labis Normala Sudirman, 38.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008.

Anwar, yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Najib berdebat soal ekonomi mengenai Program 100 Hari Pakatan Rakyat, namun ditolak pengerusi BN itu.

Najib berkata Anwar tidak perlu bersusah payah memikirkan soal debat kononnya demi kebajikan rakyat kerana BN akan bertanggungjawab dalam memastikan soal kebajikan rakyat dipelihara.

Selasa lalu, Anwar sekali lagi mencabar Najib agar berdebat dengan beliau berhubung kedudukan ekonomi negara dan juga mengenai Buku Jingga Pakatan Rakyat dengan menulis surat secara formal.

Pada 19 Disember lalu, Pakatan Rakyat menawarkan Program 100 Hari yang terdiri daripada 10 inisiatif jika pihaknya mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Dalam ceramahnya malam tadi, Anwar mempertahankan Program 100 Hari Pakatan Rakyat sambil menyifatkan gabungan tiga parti komponen termasuk PAS dan DAP mampu memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat sekiranya berjaya merampas Putrajaya daripada BN.

"Ini program (100 Hari Pakatan Rakyat) kita buat bukan untuk lima tahun, tapi 100 hari kalau kita perintah (Putrajaya) kita akan laksanakan.

"Perdana Menteri kata kalau Pakatan Rakyat perintah Malaysia akan bankrap, saya tak cabar beliau debat tapi beliau kata kita tidak bertanggungjawab.

"Kalau kita perintah ini yang akan kita lakukan, mana negara akan bankrap... negara bankrap kerana pemimpin curi duit rakyat dan rasuah," katanya.

Tambah Anwar, sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya barisan kepimpinan parti itu akan memastikan pentadbiran negara akan berjalan dengan baik tanpa amalan-amalan yang tidak baik.

"Jadi pemimpin bagi wang kepada kroni, bila tanya kata jaga rakyat... sebab itu saya ajak Perdana Menteri berdebat tapi beliau mengelak.

"Saya tahu beliau tidak boleh jawab... maknanya kalau kita memerintah kita tidak akan bertolak ansur, kita akan hukum siapa yang terlibat baik orang Melayu, Cina atau India.

"Sebab itu kita yakin kalau boleh perintah kita akan bersihkan dan kembalikan wang rakyat," katanya.

DUNIA LUNCAI...

Posted: 22 Jan 2011 04:29 AM PST

Apabila KSN diluncaikan — Subky Latif

January 22, 2011 — Langkah kerajaan Selangor mempertikai perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dikira oleh pentadbiran tinggi pusat sebagai mempertikai dan memperleceh penjawat awam atau PTD seluruhnya.

Menteri-menteri beranggapan begitu. Maka begitulah juga pendirian sekalian penyerokong Umno seluruhnya.

Bahkan itulah reaksi awal Istana Selangor atas reaksi awal kerajaan Selangor atas perlantikan itu. Kira-kira reaksi istana itu ialah jangan pertikai perlantikan Khusrin kerana ia boleh merendahkan penjawat awam.

Kesimpulan dari keadaan itu telah menjadikan semua pihak di Selangor — dari istana ke gobok usang, dari kerajaan dan pejabat Menteri Besar hingga ke rakyat jelata telah diluncai oleh keadaan.

Siapa yang menjadikan semuanya luncai?

Mari kembali kepada pemikiran Perdana Menteri Dr. Mahathir ketika berlaku kejadian 11 September ke atas menara kembar Pusat Dagangan Dunia di New York. Presiden George W. Bush mengecam ia angkara keganasan Islam. Reaksi Dr. Mahathir ialah jangan mudah menyalahkan keganasan tetapi salahkan dulu punca keganasan. Apa puncanya? Carilah punca itu.

Beramok Bush dan Dr. Mahathir atas persoalan itu. Dan rasionalnya ada di pihak Dr. Mahathir.

Maka apabila penjawat awam di Selangor dan sekaliannya telah diluncai, apa puncanya dan siapa puncanya?

Puncanya ialah Ketua Setiausaha Negara. KSN telah jadi luncai yang pertama. Dia diluncaikan oleh penguasanya iaitu Perdana Menteri Najib. Perdana Menteri itu ada politiknya. Justeru politiknya dia meluncai KSN dan seluruh sistem pentadbiran awam 1Malaysia.

Apabila merojok kepada pentadbiran awam 1Malaysia, maka ia satu pentadbiran luncai. Tindakan KSN dalam melaksanakan kuasanya mengikut undang-undang yang ada, telah meluncaikan perlantikan Khusrin. Ia dibuat mengikut undang-undang tetapi tindakannya tidak bijaksana. Undang-undang adalah satu hal tetapi kebijaksanaan adalah hal yang lain.

Gara-gara mengikut undang-undang semata-mata tetapi mengenepikan aspek bijaksana menjadikan SUK Selangor yang baru Luncai yang kedua.

Khusrin diluncaikan oleh Luncai pertama iaitu KSN. Reaksi kerajaan Selangor yang dikira meluncaikan penjawat awam telah menambahkan suasana luncai Khusrin.

Gara-gara reaksi kerajaan Selangor itu telah terbongkar Khusrin bukanlah pegawai PTD jusa yang ada kelas. Kelas jusa Khusrin belum layak jadi SUK. SUK jusa kelas tinggi.

Bukan senang untuk jadi jusa dari satu kelas ke satu kelas. Mesti melalui ujian. Mesti lulus ujian dulu.

Ramai lagi penjawat awam di Selangor yang sudah ada kelayakan jusa bagi menjadi calon SUK itu. Tetapi mereka tidak dipilih oleh KSN. KSN memilih pegawai jusa yang lebih rendah. Ini bererti penjawat awam seluruhnya, bukan sekadar di Selangor saja, telah diluncaikan oleh pentadiran luncai itu.

Di mana letak moral jusa kelas tinggi hendak duduk di bawah ketua jusa kelas rendah? Tidakkah mereka sudah dikartunkan iaitu sudah diluncaikan?

Inilah yang melambatkan Presiden Jerman dulu dalam melantik Hitler untuk menjadi Censelor. Hitler adalah bekas koperal tentera, sedangkan Presiden itu adalah pesara Fieldmarshal. Bagaimana Presiden yang berpangkat panglima hendak mendengar nasihat Censelor yang hanya seorang koperal?

Oleh kerana politik itu begitu, panglima terpaksa menerima kperal menjadi penasihatnya iaitu ketua kerajaannya. Censelor Jerman itu ada kedudukan politik. SUK Selangor bukan jawatan politik. Ia jawatan awam.

Hanya dalam suasana luncai saja seorang penjawat awam boleh dilantik menjadi SUK seperti melantik penjawat politik.

Bukan sekadar maruah Khusrin dipersoal dan direndahkan, tetapi maruah penjawat awam yang layak tetapi diketepi juga ikut terleceh. Semua menerima malu. Bukan Khusrin saja malu, habis semua orang lain malu sama. Ada yang malu kerana tidak terpilih dan ada yang malu kerana status jusya telah diluncaikan.

Apabila marauh sudah tercemar, bayangkan bagaimana anak Khusrin hendak berdepan dengan kawan-kawannya? Kawan-kawannya tahu, inilah anak orang yang perlantikannya telah dipertikai. Isterinya yang hendak menghadiri majlis rasmi yang dihadiri sama oleh isteri lain. Mereka akan merenung wajah isteri yang suaminya dikata begitu dan begini.

Apa masing-masing hendak kata apabila melihat Raja yang terperangkap dalam politik luncai itu?

Seronokkah KSN dengan tindakannya yang mengikut undang-undang tetapi tidak bijaksana? Dia sepatutnya bersara dalam suasana aman tetapi menjelang persaraannya dia menempuh alam luncai. Itulah pentadbiran 1 Malaysia. — harakahdaily.net

Tiada ulasan: