Isnin, 31 Januari 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Motel Seks Diserbu JAIK, 3 Pasangan Dicekup

Posted: 31 Jan 2011 12:29 AM PST


JAIK tahan tiga pasangan di premis Jalan Bukit Pinang

ALOR SETAR: Sebuah motel yang terletak di hujung kampung yang menawarkan harga serendah RM80 semalam untuk setiap bilik menjadi lokasi pilihan pasangan 'bercinta' untuk melempiaskan nafsu sejak beberapa tahun lalu.

Kegiatan itu didedahkan Bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) yang menyerbu motel di Jalan Bukit Pinang, dekat sini dan menahan tiga pasangan termasuk tiga penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tengah malam kelmarin.

Dalam serbuan pada kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, penjaga motel yang berusia awal 20-an dikatakan terkejut apabila melihat sepasukan 15 anggota penguatkuasa JAIK membuat pemeriksaan di situ.

Hasil siasatan mendapati penjaga motel itu memberi jaminan kepada pelanggannya yang beliau akan menghantar SMS jika ada serbuan JAIK untuk membolehkan mereka melarikan diri sebagai tarikan untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan ke motel itu kerana ia dikategorikan 'selamat'.

Bagaimanapun, kelmarin, penjaga motel itu terpaksa akur dengan memberi kerjasama dan mengetuk bilik pelanggannya yang disyaki melakukan maksiat itu. Motel itu mempunyai 15 bilik membabitkan tiga blok.

Ketua Operasi JAIK, Mat Nasir Md Dali, berkata pihaknya yang menerima maklumat berhubung kegiatan itu membuat serbuan di motel itu dan menahan tiga pasangan berusia 19 hingga 33 tahun di tiga bilik sewa di motel itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, ketiga-tiga pasangan itu mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan sah atau suami isteri menyebabkan timbul syak mereka melakukan maksiat.

"Kita sudah banyak kali menerima aduan berhubung kegiatan maksiat di motel itu sejak beberapa tahun lalu, tetapi kita perlu menjalankan siasatan menyeluruh termasuk membuat rondaan serta risikan maklumat dan membuat pengesahan berhubung aduan itu terlebih dulu sebelum membuat serbuan.

"Hasil serbuan kita menemui tiga pasangan terbabit di bilik berasingan dan percaya lebih ramai pelanggan menyewa di situ setiap malam disebabkan lokasinya yang jauh daripada pandangan orang ramai dan terletak di hujung kampung," katanya.

Mat Nasir berkata, berdasarkan siasatan kebanyakan mereka yang dicekup itu berasal di sekitar negeri ini dan ada di kalangan mereka mengaku sudah beberapa kali datang ke motel itu untuk melakukan maksiat bersama pasangan masing-masing.

Semua pasangan yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Kepala Batas, di sini untuk dibuat laporan tangkapan dan dibawa ke pejabat JAIK untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga masing-masing.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkurung sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mat Nasir berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pengadu, motel itu kerap disewakan untuk pasangan Islam yang belum berkahwin terutama penuntut universiti dan pelajar sekolah kerana jalan masuk ke situ gelap gelita dan sudah lama beroperasi.

"Disebabkan banyak hotel dan motel murah di sekitar bandaraya ini diserbu JAIK, lokasi ini menjadi pilihan utama pasangan remaja untuk melakukan maksiat kerana ia terletak di kawasan yang terpencil dan tidak diketahui ramai," katanya. -BH

Ayat Al-Quran & Hadith Hilang Dari Buku Doa Ghaib

Posted: 30 Jan 2011 11:16 PM PST

Alor Limbat – Seorang wanita yang juga guru mengaji dari Kampung Belukar Sukai, Beladau Kepong terkejut apabila mendapati tulisan ayat al-Quran dan hadis di beberapa helaian buku doa haji dan umrah miliknya hilang.

Kejadian ini disedari ketika Aisyah Deraman, 59, membaca buku itu selepas sembahyang Isyak Isnin lalu dan dia mendapati tulisan di beberapa helaian buku lenyap walaupun sebelum ini tulisan tersebut ada dan boleh dibaca.

"Saya tidak pernah melihat helaian kosong sebelum ini. Jika ia hilang disebabkan tindak balas kimia, mengapa hanya lapan helai sahaja yang hilang dan tidak di muka surat lain," katanya semalam.

Lebih mengejutkan, Aisyah berkata, apabila buku itu diserahkan kepada seorang peniaga, Malek Mustaffa, 43, pada Rabu minggu lalu untuk disimpan, Malek memberitahu bahawa tulisan pada empat lagi helaian dalam buku tersebut didapati hilang selepas itu.

Aisyah yang lebih mesra dikenal sebagai Kak Mah oleh penduduk setempat berkata, dia membeli buku tersebut 10 tahun lalu dan membacanya sebanyak tiga atau empat kali dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, buku itu disimpan dengan baik dan tidak pernah terkena air atau bahan kimia.

"Kehilangan ayat dalam buku doa itu disifatkan pelik walaupun sebelum ini saya pernah mendengar dan membaca di akhbar mengenai ayat suci pada helaian al-Quran hilang," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian menemui Malek untuk melihat lebih dekat naskhah buku himpunan doa tersebut dan mendapati tiada kesan ia sengaja dipadamkan atau kemungkinan helaiannya sengaja ditukarkan.

Malek ketika ditemui Sinar Harian di Masjid Pengadang Baru di sini, turut menyifatkan ia sesuatu yang luar biasa dan kehilangan tulisan di helaian buku itu pula baginya mungkin sebagai satu peringatan kepada umat Islam.

"Walau apa pun yang berlaku hanya Allah SWT sahaja yang tahu dan Dia maha berkuasa ke atas segala sesuatu dan ini mungkin peringatan kepada kita sebagai umat Islam," katanya.



Mungkin sebab tindakbalas kimia: Imam Besar

Kejadian tulisan di beberapa helaian buku Himpunan Doa, Haji dan Umrah milik seorang guru mengaji di Kampung Belukar Sukai, Beladau Kepong, Marang hilang secara tiba-tiba mungkin disebabkan oleh faktor kimia.

Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, perkara tersebut boleh berlaku sekiranya dakwat yang digunakan untuk mencetak buku terbabit kurang berkualiti sekali gus menyebabkan ia tidak mampu bertahan lama.

Menurutnya, ia bukanlah satu perkara pelik atau aneh kerana kejadian helaian buku menjadi kosong kerana tulisan hilang secara tiba-tiba pernah berlaku sebelum ini dan ia dipercayai berpunca daripada tindak balas kimia.

Bagaimanapun Aizi Saidi berkata, walau apa juga puncanya, orang ramai khususnya yang beragama Islam perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada kejadian itu kerana ia pernah dinyatakan dalam al-Quran.

"Dalam agama, kita perlu ambil iktibar daripada setiap apa yang berlaku dan ia mungkin ada kaitan dengan amalan kita selain keadaan ajaran Islam sekarang yang nampaknya kurang dipraktikkan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di Kuala Terengganu, semalam.



Umat Islam perlu ambil iktibar: Mustaffa Kamal

Pengerusi Ikatan Pendidikan Tauhid Tasawuf (Iptaf), Mustaffa Kamal Hamzah menganggap kejadian tulisan di beberapa helaian buku doa hilang sebagai peringa-tan daripada Allah SWT.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku kepada buku doa tersebut yang dimiliki seorang guru mengaji wanita dari Kampung Belukar Sukai, Beladau Kepong itu.

Menurutnya, insiden itu boleh dikatakan sesuatu yang agak pelik kerana tulisan hilang secara tiba-tiba dan ketika zaman kanak-kanak beliau pernah mendengar kejadian sama berlaku kepada al-Quran.

Mustaffa Kamal berkata, Allah boleh menunjukkan kekuasaannya sebagai pencipta alam ini kepada manusia dengan pelbagai cara dan kes tersebut mungkin salah satu daripadanya.

"Jadi, kita kena ambil berat terhadap perkara ini dengan sentiasa membaca al-Quran, jangan leka hingga melupakan al-Quran.

"Ini penting kerana satu hadis ada menyebut bahawa kita perlu sentiasa membaca al-Quran sebelum al-Quran diangkat oleh Allah" katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di Kuala Terengganu, semalam. -SH

"Down Mubarak" Kedengaran Di Kedutaan Mesir Di Kuala Lumpur Pagi Tadi

Posted: 30 Jan 2011 09:53 PM PST

Sekumpulan NGO dan parti pembangkang pagi ini mengadakan bantahan di kedutaan Mesir di Kuala Lumpur bagi menunjukkan kebersamaan mereka dengan perjuangan rakyat negara itu dalam menuntut regim Mubarak turun dari tampuk kuasa.

Berarak sedikit daripada kawasan letak kereta tidak jauh dari situ, mereka melaungkan slogan 'Down Mubarak' (Turun Mubarak) sambil membawa poster pemimpun Mesir dengan lambang Zionis di dahi.

Kumpulan daripada 71 NGO itu kini sedang berunding dengan kira-kira 50 anggota polis - yang menutup pintu masuk ke kedutaan - untuk menghantar memorandum kepada wakil kerajaan Mesir.

Setakat ini, dalam bantahan besar-besaran penduduk Mesir, ribuan membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah bagi menuntut penamatan 30 tahun pemerintahan Hosni Mubarak.

Aljazeera hari ini melaporkan, pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei yang menyertai kumpulan penunjuk perasaan itu memberitahu orang ramai pada Ahad malam bahawa "kita sudah bermula dan tidak boleh berpatah balik".

Sejak Selasa lepas beberapa siri demonstrasi dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak pengunduran Mubarak.

Kebangkitan rakyat Mesir itu kini menarik perhatian seluruh dunia kerana dijangka memberi kesan besar kepada politik dunia Arab. -mk

Siling Lobi Hospital Serdang Runtuh

Posted: 30 Jan 2011 09:01 PM PST

Siling lobi Hospital Serdang runtuh

Siling berukuran di kawasan lobi utama Hospital Serdang dilaporkan runtuh tengah malam tadi, dipercayai insiden pertama seumpamanya yang berlaku di hospital itu sejak ia mula beroperasi pada Disember 2005.

Insiden yang berlaku kira-kira 12.30 malam itu telah mengakibatkan bahagian-bahagian dan serpihan siling bertaburan di kawasan lantai lobi.

Jurucakap hospital tersebut ketika dihubungi berkata tiada kecederaan yang berlaku kerana ketika kejadian tiada orang awam atau pelawat berada di sekitar lokasi.

"Kami juga telah kerahkan pengawal untuk menutup kawasan itu sebaik sahaja kejadian sampai kepada pengetahuan kami. Satu lencongan juga telah dibuat bagi tujuan keselamatan," katanya.

Jurucakap itu berkata satu siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan kejadian telah dilakukan, katanya. --Bernama

Di Melaka Dah Ada Melayu Yang Puja Keris Setiap Malam

Posted: 30 Jan 2011 08:00 PM PST

Suami puja keris setiap malam

ALOR GAJAH: "Saya terjaga daripada tidur apabila terdengar suara suami seperti sedang meratib atau berzikir dengan kuat. Apabila saya intai ke dalam biliknya, saya terkejut melihat perbuatannya yang pelik.

"Dia bukannya berzikir, tapi membaca mantera dengan bahasa yang saya tidak fahami. Dia duduk di atas sejadah, tapi tak menghadap kiblat dan tangannya memegang satu keris kecil.

"Dia seolah-olah memuja keris itu," kata wanita yang mahu dikenali sebagai Humairah mengenai amalan aneh suaminya kononnya untuk menambah rezeki keluarga mereka selepas diberhentikan kerja sejak setahun lalu.

Humairah, 25, dari sebuah kampung di sini berkata, dia mengesan amalan pelik suaminya yang berusia awal 30-an selepas curiga dengan sikapnya yang jauh berubah berbanding sebelumnya.

Menurutnya, selepas kira-kira seminggu diberhentikan kerja, suaminya yang berasal dari Filipina, tetapi sudah memeluk Islam sering memerap di dalam bilik sambil membaca sesuatu dalam bahasa sukar difahami.

Humairah yang ditemui Harian Metro ketika menjalani rawatan dengan seorang pakar perubatan Islam di sini berkata, keadaan bertambah parah apabila dia mengesan suaminya menjalin hubungan dengan wanita warga Indonesia yang sudah berusia hampir 50 tahun.

"Sejak menjalin hubungan dengan wanita itu, suami saya kerap berulang alik ke Filipina atau Indonesia bersama kekasih gelapnya. Ada kalanya sehingga berminggu-minggu dia tak pulang ke rumah.

"Jadi, saya yang terpaksa berkerja keras menanggung kehidupan kami serta tiga anak kami yang berusia 10 bulan hingga lima tahun," katanya.

Humairah berkata, pada mulanya dia sukar percaya suaminya menjalin hubungan dengan perempuan lain, namun selepas sikap suaminya jauh berubah kerana suka menyendiri dalam bilik dan selalu tidak pulang ke rumah, dia yakin ada yang tidak kena.

"Keyakinan saya nyata berasas selepas terjumpa tangkal hitam dan botol minyak berisi akar kayu berbalut kain hitam serta dua keris kecil dalam lipatan cadar katil dalam biliknya.

"Saya semakin terpanggil untuk menyelidik lebih mendalam apabila selalu terjaga daripada tidur pada kira-kira jam 11 malam dan mendengar suara suami membaca mantera dengan kuat di dalam biliknya," katanya.

Menurut Humairah, rasa ingin tahun itulah yang mendorongnya mengintai perbuatan suaminya dan ketika itulah dia mengesan amalan aneh suaminya ketika memuja keris kecil miliknya.

Katanya, kebiasaannya selepas selesai acara pemujaan itu, suaminya keluar rumah ke tempat tidak diketahuinya dan hanya akan pulang sekitar jam 5 pagi sebelum terus tidur hingga tengah hari.

"Saya kemudian membawa barangan pelik termasuk keris kecil milik suami kepada ustaz dan saya diberitahu semua itu amalan syirik yang bertentangan dengan Islam.

"Mujur, suami saya sedia mengikut saya untuk berubat. Apabila saya tanya mengenai barangan peliknya itu dia memberitahu ia pemberian kekasih gelapnya dan memujanya setiap malam supaya orang mudah kasih kepadanya dan rezeki bertambah murah," katanya.

Humairah berkata, dia bersyukur kerana selepas melalui beberapa sesi rawatan pemulihan menggunakan al-Quran suaminya semakin pulih dan sudah insaf dengan perlakuan songsangnya. -hm

Cek Tertulis "MCA Cawangan Tenang" Ditemui Bukti Berlaku Beli Undi Di PRK Tenang

Posted: 30 Jan 2011 06:02 PM PST

Berlaku Beli Undi Di Tenang Station

LABIS . : DAP mendakwa berlaku pembelian undi di SJK (C) Ai Chun yang terletak dalam daerah pengundian Tenang Station. Illustrasi FMT

Menurut Teo Chin Liang iaitu bapa kepada ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching, dia dan agen undi DAP, Liew Choan Chee, pergi ke dewan sekolah tersebut apabila mendapati pintunya terbuka luas, yang menurut mereka tidak biasa berlaku pada hujung minggu.

Setibanya di situ, kata Teo, dia nampak beberapa orang lelaki Cina sedang duduk di sebuah kaunter. Dia kemudiannya didatangi tiga orang, yang bertanyakan mengapa dia berada di situ, lapor Malaysiakini.

Teo menjawab dia hanya mahu melihat yang apa yang sedang berlaku di situ. Mengesyaki sesuatu, dia kemudiannya memanggil Liew yang berada di dalam kereta dan Liew datang serta mengambil gambar tiga orang berkenaan.

Melihatkan foto mereka diambil, ketiga-tiga mereka menjadi marah.

Menurut Teo, seorang daripada mereka yang berbaju putih, mengejar Liew hingga ke keretanya dan mengarahkannya menyerah kameranya, dan mengancam akan menggunakan kekerasan jika Liew enggan berbuat demikian.

Liew, bagaimanapun, memberi amaran kepada penyokong ketiga-tiganya bahawa penyokong PAS akan sampai beberapa minit lagi.

Mereka kemudiannya jadi takut lalu beredar dari tempat tersebut.

Bagaimanapun, setelah mereka pergi, kelihatan beberapa orang masih datang ke dewan sekolah berkenaan.

Teo kemudiannya menemui mereka dan diberitahu, mereka datang setelah diminta oleh seorang yang dipanggil 'Ah Teck' untuk mengundi di situ, walaupun sekolah berkenaan bukanlah pusat mengundi.

Tertinggal di situ ialah cek RM3,000 yang telah dikoyak, dengan tandatangan ketua kampung yang juga pengerusi MCA Kampung Sawah Padi, Kok Yun Keong.

Cek bertarikh 27 Januari itu, ditulis "MCA cawangan Tenang" di atasnya, namun tiada nama penerima.

Analisa Tenang: MCA Sudah Menjadi OKU Dalam BN

Posted: 30 Jan 2011 04:29 PM PST

Tenang dalam banjir: Kemenangan UMNO didahulukan?

Meskipun Barisan Nasional akhirnya berjaya untuk mempertahankan kerusi DUN Tenang-nya, namun kemenangan ini pada hakikatnya memberi tamparan sengit kepada slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", tebu yang ditanam di bibir Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Najib Razak.

Apa tidaknya, apabila Tenang dilanda banjir yang setinggi paras pinggang (sedalam dua atau tiga kaki), sehingga menghalang sesetengah pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka, ia sebenarnya mencerminkan ketidakcekapan dan kepincangan kerajaan tempatan dalam perancangan pembangunan bandar.

Belum lagi pertikaian yang semakin kuat didengar, sama ada pengundian perlu dihentikan atau ditangguhkan untuk memberi laluan sepenuhnya kepada kerja penyelamatan dan bantuan kepada mangsa banjir.

Ironinya, ketidakcekapan kerajaan inilah sebaliknya menyumbang kepada kemenangan BN. Pusat pengundian SMK Kamarul Ariffin di Bandar Labis Tengah misalnya, dikelilingi air bah - menghalang kira-kira 90 orang pengundinya untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing, meskipun hanya satu kilometer jaraknya dari pusat pengundian.

Salah seorang pengundi merungut kepada wartawan MerdekaReview, mereka sudah berada di situ pada jam 4 petang, menunggu agar truk tentera menghantar mereka ke pusat pengundian. Hasrat mereka tidak kesampaian. Mereka akhirnya gagal bergerak walaupun satu kilometer dalam masa satu jam - dan jarak 1 km inilah yang menggagalkan suara mereka untuk diambil kira dalam PRK ini.

Bagaimanapun, UMNO-BN menang dengan majoriti 3,707 undi, lebih kurang daripada matlamat 5,000 undi yang digariskan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sebelum ini. Apa yang lebih menarik, sokongan pengundi Cina masih memihak kepada Pakatan Rakyat, meskipun diwakili PAS kali ini - pola yang cukup meresahkan BN, terutamanya MCA dan Presidennya Chua Soi Lek.

Chua Soi Lek: Musuh luar dan dalam

Maklumlah, 14 PRK sejak PRU ke-12 sebenarnya cukup penat buat pemimpin dan penyokong kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Pada hakikatnya, tidak banyak ruang khayalan untuk PR menawan kubu BN di Tenang, memandangkan 4,118 undi daripada jumlah keseluruhan datang dari kawasan FELDA.

Apa yang menarik, PRK Tenang adalah PRK pertama di Johor, kubu BN di Semenanjung Malaysia. Lebih-lebih lagi, DUN Tenang berada di bawah kawasan parlimen Labis, kawasan asal Presiden MCA Chua Soi Lek. MCA telah dilanda krisis pergelutan kuasa untuk hampir setahun, dan hanya reda (pada permukaannya) selepas pemilihan semula pada 28 Mac 2010. Satu soal selidik yang dikendalikan Merdeka Center pada Mac 2010 mendapati "hanya 22% Cina anggap MCA relevan".

PRK Tenang menjadi kayu ukur untuk menilai prestasi Chua Soi Lek. Namun, untuk Chua Soi Lek, kemenangan BN di Tenang tidak membawa apa-apa makna yang positif untuk dirinya - seandainya undi Cina tidak melonjak. Malah, kesudahan yang mungkin paling sempurna dari perkiraan politik Chua Soi Lek adalah BN kalah, tetapi undi Cina meningkat. Ini kerana kesudahan sedemikian akan menonjolkan betapa pentingnya kedudukan MCA dalam BN, sementara membuktikan bahawa Presidennya berjaya mengembalikan sokongan Cina.

Ini menjelaskan mengapa Chua Soi Lek mengatur strategi untuk menyerang dengan isu sama ada calon PAS Normala Sudirman bersalaman dengan lelaki atau tidak. Strategi ini langsung tidak mengambil sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, yang sudah tentunya bakal memberi impak kepada UMNO.

Begitu juga sebaliknya, Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin tidak mengambil kira perasaan MCA, terus menyelar Chua Soi Lek secara terbuka, malah mengeluarkan kenyataan bahawa "Malaysia adalah Negara Islam yang menjadi teladan", pada ketika MCA menakut-nakutkan komuniti Cina dengan isu Negara Islam.

Sebagai politikus veteran, Chua Soi Lek semestinya menyedari bahawa selain musuh dari Pakatan Rakyat, antara parti komponen BN, beliau juga berdepan dengan musuh dalam MCA sendiri. Seandainya beliau gagal mempertahankan undi Cina di kawasan dirinya (sungguhpun kini disandang anaknya, Chua Tee Yong), maka keupayaan beliau akan dipertikaikan oleh pemimpin yang menggosok tangan dalam MCA. Dan ia mungkin pencetus konflik dalaman seterusnya dalam MCA.

Keputusan hari ini jelas menunjukkan bahawa strategi Chua Soi Lek untuk menakutkan pengundi Cina dengan isu "Negara Islam" hilang mujarabnya. Sama ada MCA bakal tunduk kepada realiti ini, ataupun kekal menggunakan senjata terakhir ini, akan diketahui dalam PRK Merlimau yang bakal diadakan pada hujung Februari depan.

Kedudukan PAS di kawasan campuran

Untuk PAS pula, PRK Tenang sebenarnya lebih merupakan pertarungan untuk menguji kedudukannya di kawasan campuran. Rakan partinya dalam Pakatan Rakyat, DAP dilihat bersungguh-sungguh untuk menangkis serangan dari MCA terhadap PAS. Jikalau "Negara Islam" menjadi isu yang menghantui hubungan antara PAS dengan DAP pada masa dahulu, kini kedua-dua parti ini kelihatan lebih matang untuk berdepan dengan isu yang kontroversi ini.

Keputusan PRK Tenang menyaksikan PAS meraih sokongan yang melonjak di komuniti Cina, dan mungkin lebih tinggi seandainya pengundi tidak disekat banjir. Ketika dihubungi MerdekaReview, pengkaji politik, Wong Chin Huat menyimpulkan keputusan ini dengan "UMNO menewaskan PAS, dan PAS pula menewaskan MCA".

Wong Chin Huat mengingatkan bahawa, PAS masih mampu melonjakkan sokongan pengundi Cina terhadap dirinya dalam keadaan kadar pengundian menurun, malah di kawasan kubu Presiden MCA sendiri!

Ini bermakna, MCA akan tewas dengan lebih teruk jikalau calon DAP atau PKR menyarung jersi dalam PRK ini. Malah, jikalau keadaan yang sama berlaku di kawasan yang bukannya kubu MCA, kekalahannya akan lebih ketara, menurut Wong Chin Huat.

Bagaimanapun, keputusan sedemikian mengesahkan sekali lagi realiti bahawa PR menghadapi kesukaran di kawasan desa, khususnya kawasan FELDA dan ladang estet.

Sungguhpun kalah dalam PRK Tenang, namun PAS mungkin boleh yakin dengan undi yang diraihnya melalui Pakatan Rakyat - sokongan yang melangkaui batas kaum dan agama. Malah, ia semestinya menyuntik semangat kepada pemimpin yang mengambil pendekatan sederhana dalam PAS. Cuma, PAS perlu memikirkan sesuatu untuk menembusi kubu UMNO di kawasan pedalaman, yang mana pendekatan ini tidak semestinya perlu mengorbankan undi bukan Melayu-Muslim. -MR

*Analisa ini disunting daripada beberapa laporan dan tulisan yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

Kekalahan PR Di Tenang. Loceng Amaran Berbunyi (updated)

Posted: 30 Jan 2011 03:42 PM PST

PKeputusan rasmi mengesahkan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang, Johor pada pilihan raya kecil hari ini, yang terganggu disebabkan hujan lebat dan banjir.

Calon BN Mohd Azahar Ibrahim memperoleh 6,699 undi manakala calon PAS Normala Sudirman mendapat 2,992 undi.

Majoriti diperoleh BN 3,707 undi.

Sebelum ini BN meletakkan sasaran untuk mencapai majoriti 5,000 yang pernah diperoleh pada 2004.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, calon BN menewaskan PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

Muhasabah Awal

1) Hujan yang begitu lebat turun mungkin menjadi faktor penguni-pengundi tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Ini diakui sendiri oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang berkata jumlah peratusan itu lebih rendah daripada pilihan raya umum 2008 iaitu 73.52 peratus.

2) PR tidak menduga lantas tidak bersedia dengan kaedah-kaedah untuk mengangkut pengundi apabila berlaku keadaan banjir sedemikian. Sekadar mengharapkan bot pertahanan awam dan polis, ia seperti menempa kekalahan awal.

3) Peratusan mengundi kaum Cina di bandar adalah rendah. Di satu ketika melalui twitter seorang anggota parlimen Serdang Teo menulis "Amaran! Peratusan keluar mengundi di kawasan Cina cuma 20 peratus; Felda sudah 50 peratus. Tolong bantu panggil orang yang kamu kenal di Labis." Selain hujan, ada faktor lain kaum Cina tidak keluar mengundi, dimana ditemui sekeping cek yang dikoyakkan bernilai RM3,000 dipercayai perbuatan membeli undi (atau jangan kelaur mengundi) dari kaum Cina giat berlaku.

4) Masyarakat FELDA sepertimana yang GB pernah ulas sebelum ini, menerima ugutan, sehinggakan PAS dilaporkan tidak dibenarkan berkempen di beberapa lokasi di ladang FELDA. UMNO BN menggunakan taktik yang sama di Galas. Semalam GB menyatakan:

Ingat Galas! UMNO bawa taktik Galas ke Labis. Di Galas, orang asli yang diumpan dan diugut, tetapi di Labis, warga FELDA yang menerima umpanan dan ugutan tersebut.

Buktinya:

GALAS



TENANG



4) PKR Bermasalah. Tidak dinafikan ramai pemimpin PKR yang turun membantu bertungkus lumus, namun PKR masih bermasalah. Faktor Anwar, faktor kesan pemilihan 2010 menjejaskan reputasi PKR sehinggakan masyarakat kaum bukan-Melayu (Cina & India) dikatakan enggan keluar mengundi. 2 pemimpin PKR keluar parti di masa kempen PRK Tenang, Pengasas PKR, Ng Lum Yong dan MP Gobala.

5) PAS sendiri bermasalah. Pertama, kurang mesra dengan pengundi Melayu. Hanya menemui mereka semasa pilihanraya. Kedua, ada jurang komunikasi diantara pengundi dengan parti. Dakwah belum berjejak ke akar umbi.

6) Kempen menyerang calon BN. Ia tidak berapa tersusun dan tidak tepat. Masyarakat melihat seperti PAS tidak mengkotakan janji iaitu tidak akan melakukan serangan peribadi. Ia tidak dijelaskan di peringkat awal sidang media sehinggakan satu ketika GB terpaksa membetulkan persepsi bahawa yang kita serang bukan peribadi tetapi kompetensi calon yang diketengahkan.

Akibat dari strategi yang kurang tepat, pihak lawan bertindak balas dengan dua serangan peribadi di saat akhir, satu berkenaan sijil cuti sakit suami calon siap dengan ugutadari TPM, kedua serangan sijil kelulusan SPM calon PAS yang tak berkesempatan untuk dijawab.

7) Media PR masih tidak tersusun, tidak prolifik dan tidak pro-aktif. Maklumat tidak mantap. Banyak yang keterlaluan optimisnya. Seperti kenyataan Timbalan Presiden PAS: "PAS yakin menang atau kurang majoriti BN" - apa asasnya? Bahan kempen juga tidak mencukupi untuk mengimbangi media massa arus perdana yang menyerang secara agresif. Serangan dan ucapan para pemimpin UMNO BN banyak yang tidak ditangkis.

Ada lagi beberapa sebab lain yang tidak wajar untuk GB tuliskan di sini. Akan dikemukakan jika diminta oleh parti iaitu dari perspektif seorang blogger kecil seperti GB.

Apa-apa pun kita mengucapkan terima kasih dan syabas kepada petugas yang bertungkus-lumus tanpa mengira siapa mereka, PAS, PKR, DAP, blogger, kumpulan atau individu, yang berusaha di sepanjang tempoh kempen PRK Tenang. Semuga Allah membalas segala jasa mereka yang terlibat.

GB yakin jika kita berani mengakui kelemahan dan kemudian mencari jalan mengatasinya, kita akan berjaya di dalam PRK Merlimau nanti.


"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali 'Imran: 139)

"Jika kamu mendapat luka, maka sesungguhnya mereka itu pun mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang yang ingkar) dan supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya sebagai syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim, dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang ingkar." (Ali 'Imran: 140-141)


Tiada ulasan: