Ahad, 30 Januari 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[Bergambar] 68.68% Telah Mengundi Hingga Jam 4.00 pm. Keadaan Banjir Semakin Serius.

Posted: 30 Jan 2011 12:58 AM PST

Pilihanraya N05 Tenang akan tamat 30 minit lagi. Keadaan hujaan masih turun dan beberapa tempat telah dinaiki air sehingga sedalam 1 meter seperti laluan dari Labis ke kg Paya Merah.

Jalan menghala ke Segamat telah ditutup kerana ditenggelami air.

Bot dan trak lima tan milik tentera dan bomba digunakan untuk membawa pengundi ke SMK Kamarul Ariffin selepas hujan di tempat itu kembali lebat. Terdapat juga kereta-kereta yang "tersangkut" di dalam banjir.


LAPORAN LANGSUNG

4.29pm: Sehingga jam 4 petang, peratusan keluar mengundi sebanyak 68.68% atau 10,133.












Akan dikemaskinikan sentiasa





PRK TENANG: 65.19% Mengundi Hingga 3 pm. PAS Minta SPR Tangguh PRK

Posted: 30 Jan 2011 12:20 AM PST

Nasib calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Tenang akan ditentukan oleh 14,753 pengundi di kawasan itu hari ini.

Pengundi akan memilih antara calon BN Azahar Ibrahim, 30, bekas pembantu pegawai daerah dan calon PAS Normala Sudirman, 38, seorang bekas guru.

Sebanyak 12 pusat mengundi di 12 daerah mengundi telah dibuka pada jam 8.00 pagi tadi dan akan tamat kira-kira jam 5.00 petang ini.

Kawasan berkeluasan 295.20km persegi itu meliputi tiga Felda, lima kampung Melayu, tiga kampung baru Cina, 25 kawasan perumahan moden, sebuah kuaters kerajaan, empat estet dan dua kawasan Orang ASli.

Pengundi Melayu mewakili 47.5 daripada jumpah penduduk diikuti oleh Cina (39 peratus), India (12 peratus) dan lain-lain (1.3 peratus).

LAPORAN LANGSUNG

BERSAMBUNG DI SINI

4.02pm: Laluan dari Labis ke kg Paya Merah terputus apabila paras air naik sehingga 1 meter.

Trak tentera kini digunakan untuk membawa orang ramai ke pusat pembuangan undi

3.40pm: Sehingga jam 3 petang tadi, sejumlah 9,618 orang pengundi atau 65.19 peratus telah keluar mengundi.


PAS gesa SPR tangguh pengundian

PAS mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dun Tenang hari ini ekoran kebanyakan kawasan terputus hubungan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, SPR perlu segera membuat keputusan itu ekoran pengundi kini tidak boleh keluar akibat hujan lebat dan banjir.

"Saya minta SPR menangguhkan proses pengundian hari ini kerana hujan lebat dan banjir.

"Pengundi kini sudah terputus hubungan kerana jalan sudah ditutup dan ada dikalangan mereka takut meninggalkan rumah untuk keluar mengundi ekoran banjir di kawasan mereka," katanya...


2.45pm Di SMK Kamarul Ariffin, Bandar Labis Tengah, walaupun banjir, penyokong kedua-dua calon masih bersemangat menyanyi, bersorak dan mengejek sesama sendiri.

Mereka juga bergilir-gilir mengucapkan "Gong Xi Fa Chai" (Selamat Tahun Baru Cina) dan "kamsia" (terima kasih) kepada pengundi.

2.37pm Sehingga 2 petang, peratus keluar mengundi sebanyak 61.17 peratus atau 9,025 orang.

2.26pm: DAP mendakwa banjir di dua pusat pengundian sudah "serius". Pengundi tidak boleh menghampiri Dewan Orang Ramai Kg Paya Merah di Labis Timor and SMK Kamarul Ariffin di Bandar Labis Tengah.

2.16pm: Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu Malaysiakini, pemanjangan masa mengundi "tidak boleh berlaku mengikut undang-undang".

2.12pm: Hujan kembali turun di SMK Kamarul Ariffin. Jalan raya yang ditenggelami air separas paha tadi, kini meningkat ke paras pinggang.

Sementara itu, menurut laporan RTM, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof, masa pengundian tidak akan dipanjangkan.

Katanya, walaupun beberapa pusat pengundian tidak boleh dilalui, pelbagai agensi kerajaan membanti mengangkut pengundi dengan kenderaan berat.

Sementara, SMS Sinar Harian pula melaporkan, SPR meminta pengundi Tenang tidak mempercayai khabar angin kononnya proses pengudian ditangguhkan kerana hujan lebat dan banjir.

1.42pm: Setakat 1 tengah hari, peratusan keluar mengundi sebanyak 55.36 peratus atau 8,167 orang.

1.12pm: Pemimpin DAP mula panik dengan peratusan rendah keluar mengundi masyarakat Cina, memaksa seruan mengundi dikeluarkan.

"Amaran! Peratusan keluar mengundi di kawasan Cina cuma 20 peratus; Felda sudah 50 peratus. Tolong bantu panggil orang yang kamu kenal di Labis," tulis anggota parlimen Serdang Teo di laman Twitter.

Sementara ketua publisiti Pemuda DAP Selangor pula menulis: "Secara keseluruhan, peratusan keluar mengindi di tiga kawasan majoriti Cina amat rendah! Labis Tengah 300 (orang); Labis Timor 600; Tenang Station 200 sehingga 10.30am."

12.52pm Setakat jam 12.00 tengah hari, menurut pemantauan terhadap kepercayaan politik oleh NGO Zentrum Future Studies, BN kini mendapat 59.5 peratus manakala Pakatan 40.5 peratus.

12.40pm: Menurut SPR, peratusan pengundian sehingga jam 12 tengahari meningkatkan kepada 48.93% atau 7,219 pengundi. Tinggal lima jam lagi sebelum pusat pengundian ditutup jam 5 petang ini.

12.09pm Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Seri Wee Ka Siong berkata hujan lebat di Tenang mengingatkannya kepada peristiwa banjir besar di Johor pada Disember 2006 dan Januari 2007.

"Harap ia tidak berlaku lagi," tulisnya di laman Twitter.

12.08pm: Ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata peratus pengundi Cina yang keluar amat rendah di Labis.

"Tolong desak anggota keluarga atau kawan-kawan keluar mengundi!" tulisnya di laman Twitter.

11.40am: Banjir yang melanda Jalan Segamat, laluan utama menghubungkan Labis dan Tenang Station, bertambah teruk. Jika hujan berterusan, laluan itu mungkin terputus hubungan tidak lama lagi.

Di Jalan masuk ke Ladang North Labis juga ditenggelami air kira-kira sekali dalamnya.

11.36am: Menurut twitter Loges Mohan - isteri ketua pemuda MIC T Mohan - Jabatan Pertahanan Awam dikerah ke Kampung Tenang untuk memindahkan 62 keluarga yang terperangkap kerana banjir.

Manakala twitter ketua Pemuda MCA yang juga timbalan menteri pelajaran, Datuk Seri Wee Ka Siang pula menyiarkan foto banjir sepanjang Jalan Segamat-Labis.

11.30am: Sehingga jam 11 pagi tadi, peratusan pengundian meningkat kepada 38.66 peratus atau 5,703 pengundi keluar mengundi.

11.15am: Calon PAS Normala Sudirman berkata beliau berfikiran "positif" dengan peluang untuk menang.

"Proses pengundian berjalan dengan lancar. Walaupun keadaan hujan lebat, saya tengok pengundi masih bersemangat.

"Saya yakin pengundi bijak membuat pilihan, kita nanti keputusan ini dengan penuh debaran," katanya ketika ditemui semasa mengunjungi pusat pengundian di SMK Kamarul Ariffin.

Normala Sudirman ditemani ketua muslimat PAS Pusat Nuridah Salleh dan suami calon Maarof Abd Mutalib.

Wartawan Malaysiakini bertanyakan khabar Maarof, beliau dengan ramah berkata "Alhamdulillah, sihat".

Setakat ini, Normala telah mengunjungi enam daripada 12 pusat pengundian.

11.07am: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengadakan sidang akhbar pada bila-bila masa di Kompeks Pendidikan Labis di Bandar Labis Tengah.

11.05am: Di pusat pengundian di SMK Tenang Stesen, pengundi terpaksa mengharung jalan yang dinaiki air sebelum melalui jalan menuju ke pusat tersebut untuk mengundi.

SPR menyediakan sebuah van untuk menghantar pengundi balik ke jalan utama, tempat mereka meletak kereta masing-masing.

11.00am Walaupun hujan lebih di Tenang dan setengah kawasan sudah banjir. sehingga jam 10 pagi ini, 24.34 peratus atau 3,591 pemilih atau satu perempat daripada pengundi sudah keluar mengundi. Hujan lebat turn sejak malam tadi.

10.52am: Ekoran hujan lebat, beberapa kawasan di sekitar dewan pelbagai-guna Kampung Paya Merah dinaiki air. Sepanjang 50 meter Jalan Segamat ditenggelami air sedalam setengah kaki.

Anggota polis bertugas mengawal lalulintas dan memaklumkan kepada para pengguna mengenai keadaan banjir di situ.

10.45am: Di SMK Kamarul Ariffin, pengundi berpayung ke pusat pengundian. Sebahagian besar penduduk di kawasan sekitarnya adalah terdiri daripada masyarakat Cina.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (kanan) mengunjungi khemah SPR di luar pusat pengundian dan mengambil peluang itu untuk bersalaman dengan pengundi.

10.35am: Pintu masuk ke pusat pengundian di SK LKTP Tenang sesak seperti pasar dengan kedua-dua anggota Puteri Umno dan pekerja PAS mengiringi pengundi keluar dari kereta untuk ke pusat tersebut.
Kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Tenang turut ditenggelami air hujan.

10.20am Calon PAS Normala Sudirman tiba di SK LKTP Tenang dan diejek penyokong BN.

"Ini wakil rakyat yang kamu mahu? Tak pernah masuk universiti," jerit penyokong BN.

Manakala penyokong PAS pula membalas dengan jeritan "rasuah".

10.05am Di pusat pengundian di SMK Kamarul Ariffin, proses pengundian berjalan tenang tanpa sebarang kekecohan.

Kedua-dua perayu undi, walaupun dengan hujan lebat, masih meneruskan usaha merayu undi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengadakan sidang media, di Kompleks Institutsi Pendidikan SMK Tenang, yang terletak bersebelahan pusat mengundi ini tidak lama lagi.

9.55am Keadaan trafik hampir terhenti akibat kesesakan di Felda Tenang, yang terdapat pusat pengundian SK LKTP Tenang.

8.50am Calon BN Azahar tiba 'disambut' laungan sindiran "jangan lelong tanah saya" di Kampung Paya Merah.

8.40am Cubaan penyokong PAS mendirikan khemah berdekatan dewan sebaguna Kampung Paya Merah dihalang polis.

9.40am: Menurut seorang pekerja parti DAP Lim Swee Kuan dalam laman Twitter, peratusan keluar mengundi sehingga jam 9 pagi sebanyak 10.06 peratus atau 1,576 orang.

9.30am Keadaan mula meriah dengan laungan takbir dan "Hidup BN" kira-kira 100 penyokong bersilih ganti di di SK Pekan Air Panas, Pekan Ayer Panas.

Hujan terus terus mencurah-curah, dijangka naik ke paras kaki tidak berapa lama lagi.

9.25am Jabatan Bomba dan Penyelamat kini bersedia dengan bot untuk menghadapi kemungkinan banjir teruk.

8.55am Calon PAS Normala Sudirman tiba di pusat pengundian SK Kampung Tenang, Kampung Redong.

Dengan yakin, beliau percaya pengundi akan membuat pilihan yang tepat.

8.55am Calon BN Azahar membuang undi di Kampung Paya Merah dengan neneknya berusia 95 tahun.

8.40am Beberapa petugas SPR menurunkan bendera dan poster - yang gantung sepanjang jalan menuju ke pusat pengundian- kerana berada kawasan pengundian.

Perayu undi dari kedua-dua parti, kini mula berada di luar pusat pengundian untuk merayu undi.

8.15am Hujan menyebabkan air naik di Kampung Redong. Jika berterusan, kawasan tersebut akan dilimpahi banjir.

Di Kampung Paya, SPR mula melarang payung dibawa ke tempat membuang undi.

8.02am Kelihatan BN dan PAS masing-masing membuka pondok panas mereka sendiri di sekitar pusat mengundi walaupun dilarang oleh Suruhjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengundi keluar agak perlahan ekoran hujan renyai-renyai. Banyak payung hijau dan biru mewarnai sekitar kawasan mengundi.

Di Kampung Paya, ahli parlimen Labis Chua Thee Yong antara yang menunggu BN dalam hujan renyai di mana calon itu akan mengundi.

"Kita jangkakan ia akan jatuh kepada 60 peratus atau lebih rendah lagi, bergantung pada keadaan," katanya.

Beliau berpendapat, peratusan keluar mengundi akan rendah ekoran cuaca semasa.

8.00am Peti undi dibuka.
















Keluar Mengundi Awal, Petang Dijangka Hujan

Posted: 29 Jan 2011 06:30 PM PST

Labis,Ramalan kaji cuaca menjangkakan cuaca di Dun Tenang pada sebelah pagi ini dijangka mendung dan hujan di waktu petang.

Pengundi bagi seluruh Dun Tenang dinasihatkan keluarkan mengundi awal pagi bagi melaksanakan tanggungjawab mereka memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, SPR juga katanya sudah mengambil langkah awal bekerjasama dengan Jabatan Pertahanan Awam 3, Pasukan Bomba dan Penyelamat, pihak polis dan juga Majlis Daerah Labis sekiranya banjir berlaku di kawasan mengundi.

Beliau juga masih optimis, sasaran 80 peratus pengundi akan keluar melaksanakan tanggungjawab mereka walaupun dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak lima hari yang lalu di Tenang.

Menjelang hari pengundian hari ini, 12 pusat membuang undi di Dun Tenang dibuka di Unit Peti Undi Kampung Redong, Air Panas, Labis Utara, Labis Timur, bandar Labis Tengah, Bandar Labis, Felda Tenang, Kampung Sawah Baru, Tenang Station, Ladang Bukit Dato', Felda Chempelak Barat dan Felda Chempelak.

14,753 pemilih berdaftar diingatkan membawa bersama kad pengenalan masing-masing semasa membuang undi. -n05tenang



Usah Sia-sia Peluang Mertabatkan Wanita Dan Guru

Posted: 29 Jan 2011 05:30 PM PST


Jangan Sia-siakan Peluang Martabatkan Wanita dan Guru

LABIS, Jan 29 - Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru pengundi-pengundi wanita dan guru di Tenang tidak mensia-siakan peluang bagi mengangkat martabat kaum hawa untuk menjadi jurubicara mereka di Dewan Undangan Negeri Johor.

"Pencalonan Cikgu Mala, seorang tokoh yang tegas dan mempunyai karisma sebagai pimpinan, serta pengorbanan beliau dalam meletakkan jawatan sebagai guru dan kehilangan segala pencen diharap akan menambah simpati pengundi kepada beliau," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata perkara yang menarik di pilihanraya kecil Tenang kali ini ialah kekalutan yang menimpa Wanita dan Puteri Umno yang dilihat kurang menyerlah apabila pemimpin yang diwar-warkan mereka, iaitu Ketua Wanita Umno Labis tidak dipilih sebagai calon.

"Wanita dan Puteri Umno kurang menyerlah, tidak sebagaimana kebiasaannya dalam PRK, hal ini banyak dikaitkan dengan kekecewaan Ketua Wanita Umno Labis tidak dicalonkan, sedangkan nama, gambar serta gempar-gempur beliau akan jadi calon telah diisytiharkan lebih awal, dan antara yang jelas kecewa ialah Ketua Wanita UMNO Sharizat Jalil," ujar Tuan Ibrahim.

Profesyen perguruan juga agak tertinggal sejak kebelakangan ini terutama apabila golongan guru tidak lagi mendapat tempat dalam politik negara. Kalau dahulu guru menjadi tokoh pilihan untuk menjadi calon dalam Umnio, kini tidak lagi apabila ahli perniagaan pula yang mendapat tempat.

Di PRK Tenang, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat sedang mencuba saranan terbarunya dalam memilih calon PRK iaitu "BN akan memilih calon yang boleh menang (winnable candidate) yang tidak semestinya yang mempunyai jawatan dalam parti" dengan memilih Mohd Azahar Ibrahim, bekas ADO Rengit yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti sebagai calonnya.

"OK itu tidak ada masalah tetapi yang akan menjadi masalah nanti adalah dalam menghadapi pilihan raya umum ke 13. Apakah faktor ini akan menjadi kriteria Najib?

"Andaikatalah Azahar benar-benar dibuktikan sebagai winnable candidate dalam pilihan raya kecil ini. Beliau mendapat undi yang besar bahkan lebih dari sasaran BN iaitu melebihi 5,000 undi majoriti.

"Apakah sebenarnya akan terjadi kepada kesemua pemegang jawatan dalam Umno sekarang di seluruh negara.

"Apakah mereka juga termasuk dalam senarai winnable candidate atau pimpinan Umno tidak lagi melihat mereka sebagai calon-calon yang berpotensi untuk menang," tulis Zulkifli Sulong, Ketua Pengarang Harakahdaily di kolumnya dalam The Malaysian Insider.

Ada juga pemerhati politik yang berpendapat bahawa Umno-Barisan Nasional sedang melayan pengundi-pengundi di Tenang sebagai anak tiri berbanding dengan pilihanraya-pilihanraya kecil yang lain dengan jumlah wang yang ditaburkan jauh lebih sedikit dan ketiadaan janji-janji projek besar seperti kawasan lain.

Bahkan sepanjang kempen, Najib juga tidak berapa kelihatan di Tenang kerana yakin bahawa pengundi-pengundi yang marah di kubu kuat mereka tetap akan mengundi calon Barisan Nasional.

Berdasarkan pengamatan tersebut, Tuan Ibrahim menyeru pengundi di Tenang untuk membuat perubahan bagi menaikkan taraf mereka kepada status anak kandung Umno-Barisan Nasional dengan memberikan undi ke calon PAS bagi mencatatkan sejarah politik di Johor hari ini.



PAS Yakin Lakukan Kejutan

Posted: 29 Jan 2011 04:30 PM PST

Jentera PAS optimis buat kejutan hari ini

LABIS, 29 Jan: Sehingga minit-minit akhir kempen pilihan raya kecil Tenang, PAS masih optimis dapat membuat kejutan dalam pembuangan undi hari ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Dun Tenang, Salahudin Ayub berkata, setelah membuat usaha terbaik, beliau telah meminta jenteranya dan semua ahli dan pimpinan PAS berdoa kepada Allah kerana hanya Dia yang berhak untuk menentukan segala-galanya.

Salahudin berkata demikian kepada Harakahdaily ketika dihubungi menjelang tengah malam 29 Januari iaitu menjelang tempoh kempen tamat sebelum pembuangan undi pilihan raya kecil pagi ini.

Pembuangan undi bermula jam 8 pagi esok di 12 pusat mengundi yang mempunyai 32 saluran.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyeru penduduk di kawasan pilihan raya kecil Dewan Uundangan Negeri (DUN) Tenang menunaikan tanggungjawab mereka pada sebelah pagi bagi mengelak hujan lebat yang dijangka berlaku petang ini.

"Kita mahu pengundi turun mengundi di sebelah pagi...jangan tangguh-tangguh," katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberi amanat kepada petugas SPR di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Labis hari ini.

Abdul Aziz berkata semua 12 pusat yang mempunyai 32 saluran mengundi adalah selamat daripada kemungkinan dilanda banjir kerana terletak di tempat tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata banjir dikhuatiri berlaku di sebatang jalan sepanjang tiga kilometer menuju ke pusat mengundi Kampung Sawah Baru, iaitu Sekolah Kebangsaan Sawah Baru, kerana terletak di kawasan rendah dan mudah ditenggelami air.

"Pengundi tidak perlu risau kerana SPR telah mengadakan persiapan yang rapi dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam, Bomba dan polis bagi menyediakan kemudahan pengangkutan untuk membawa pengundi ke pusat berkenaan," katanya.

Kempen jalan lancar

Menurut Salahudin yang juga Naib Presiden PAS, segala perancangan gerak kerja kempen yang dirancang pihaknya berjalan lancar.

"Untuk malam ini, kita akan tingkatkan keselamatan dan nampaknya jentera kita bersiap sedia untuk menjalankan tugas itu dengan yang terbaik," katanya.

Beliau berharap akan membuat kejutan dan untuk itu sentuhan terakhir sedang digerakkan pihaknya.

Jentera BN mensasarkan kemenangan lebih 5,000 undi majoriti namun sebuah badan penyelidikan, Ilham Centre menjangkakan jangkaan BN itu tidak akan berjaya.

Dalam tinjauan Harakahdaily pula, jentera PAS berjaya menembusi generasi kedua Felda dengan baik di samping kawasan pengundi Cina.

Namun begitu, BN masih mendapat sokongan kuat di kalangan peneroka Felda dan pengundi Melayu di kampung tradisional.

Pun begitu, calon PAS, Cikgu Mala berjaya mendapat sokongan kuat di kalangan pengundi wanita dan juga para guru yang ramai di Tenang ini.

"Jika PAS berjaya memikat lebih 60 peratus pengundi wanita, tidak ada sebab untuk PAS tidak menang," kata seorang pemerhati politik yang ditemui.

Calon PAS, Cikgu Normala Sudirman dijangka memulakan pagi esok dengan melawat pusat mengundi yang terletak di Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang iaitu di peti undi Kampung Redong.

Beliau dijangka sampai ke sana seawal jam 8. 30 pagi ini. -harakahaily






[Video & Bergambar] Mesir Kini Di Tangan Rakyat. Desak Mubarak Undur

Posted: 29 Jan 2011 03:50 PM PST

Situasi di Mesir semakin getir apabila sekurang-kurangnya 74 orang maut manakala lebih 2,000 lagi cedera selepas puluhan ribu penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan pada 'Hari Kemarahan' kelmarin.

Semalam bantahan rakyat merebak hampir ke semua bandar besar di Mesir.

Di tiga bandar utama negara itu iaitu Kaherah, Iskandariah dan Suez, perintah berkurung waktu malam dikuatkuasakan tetapi gagal meredakan tunjuk perasaan.

Dalam senario huru-hara di sini, kereta-kereta perisai cuba merempuh kumpulan orang ramai dengan anggota-anggota polis menembak gas pemedih mata, peluru getah dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Beberapa sumber perubatan berkata,kebanyakan penunjuk cedera akibat terkena tembakan pasukan keselamatan.

Selain kematian dan kecederaan, banyak bangunan dan kereta turut dibakar dalam kekacauan besar-besaran di ibu kota Mesir berkenaan.

Bantahan rakyat yang masuk hari keempat kelmarin, menyaksikan berpuluh-puluh ribu orang mengepung polis di sini.

Mereka turut berhimpun di sebuah jambatan yang menghubungkan sungai Nil untuk bertempur dengan pasukan keselamatan di sini yang setakat ini menyebabkan puluhan orang maut dan 1,030 cedera.

"Tunjuk perasaan ini bukan mencabar pentadbiran semasa. Tujuannya hanya satu. Ia adalah kerana anda (Hosni), anda patut pergi! Cukuplah apa yang anda lakukan kepada rakyat!" kata seorang penunjuk perasaan di sini.

Di bandar Suez, timur Mesir pula, deretan kereta kebal tiba di lokasi itu kelmarin selepas 13 orang maut dan sebuah balai polis dibakar perusuh.

Sekurang-kurangnya enam lagi turut maut di bandar Iskandariah, dengan sebuah bangunan pemerintah hangus dibakar manakala dua penunjuk perasaan terbunuh di bandar Mansoura.

Menjelang waktu malam semalam, ibu pejabat parti pemerintah, Parti Demokratik Nasional di sini dibakar diikuti kumpulan perusuh menyerbu masuk ke dalam bangunan stesen televisyen pemerintah.

Gelombang kebangkitan di Mesir kali ini menyusul selepas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali ditumbangkan oleh kuasa rakyat pada 14 Januari lalu.

Di Mesir, bantahan besar-besaran itu diadakan bagi menumbangkan pemerintahan tiga dekad Presiden Hosni Mubarak.

Rata-rata, rakyat memprotes kadar pengangguran dan kemiskinan yang melambung di Mesir selain berleluasanya rasuah.

Dalam usaha menyekat kebangkitan rakyat, pemerintah menggunakan pelbagai taktik termasuk kekerasan. Malah, perkhidmatan telefon bimbit dan Internet turut disekat. Namun, semua itu gagal membendung kemaraan rakyat.

Sehingga semalam, bilangan penunjuk perasaan bertambah hingga mencecah kepada puluhan ribu orang.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Hosni, 82, muncul di kaca televisyen buat kali pertama kelmarin dalam empat hari sejak kebangkitan rakyat bermula.

Beliau bagaimanapun, mengumumkan bahawa tidak akan sesekali berundur.

Sebaliknya, Hosni menawarkan untuk melaksanakan langkah-langkah demokrasi, bermula dengan pemecatan Kabinet.

"Saya akan memberi lebih kebebasan sekiranya rakyat patuh pada undang-undang," katanya.

Menurutnya, Kabinet baru Mesir akan dibentuk pada hari ini.

Sementara itu, bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Mohamed El-Baradei, 68 dikenakan tahanan rumah oleh polis kerana menyertai tunjuk perasaan di ibu kota Mesir kelmarin. – Agensi














TERKINI: Hayunan Terakhir PRK Tenang

Posted: 29 Jan 2011 02:04 PM PST

Sekali pun hujan rahmat cukup lebat dan mencurah turun, lebih 500 penduduk Tenang tidak berganjak di dalam majlis Makan Malam DAP di Labis sebentar tadi. Dilaporkan BN yang cuba menganggu majlis berkenaan dengan kedudukannya di seberang jalan, hanya dihadiri oleh 30 orang.

Turut memeriahkan majlis Makan Malam DAP berkenaan selain ceramah calon Pakatan Rakyat, Normala Sudirman ialah ceramah Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang turut menyanyikan lagi Mandarin "The Moon Represents My Heart" yang dinyanyikan bersama oleh peserta yang hadir.









PRK Tenang: Pusingan Akhir Pergelutan - Ubah Sekarang!

Posted: 29 Jan 2011 07:46 AM PST

Hari paling sibuk dalam pilihanraya biasanya adalah hari-hari akhir menjelang pengundian. Di sinilah "senjata akhir" akan digunakan oleh parti-parti yang bertanding. Hari terakhir berkempen bermakna hari kritikal bagi kedua-dua pihak. Hari "panas" untuk mengambil seberapa banyak peluang berkempen!

Bagi pengundi, ini mungkin hari terakhir mereka mendapat sebarang bentuk hadiah dari langit. Tangan-tangan yang memangkah dalam pilihanraya merupakan tangan yang amat berkuasa menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan.

Dalam konteks Tenang; rakyat diberi pilihan samada memilih PAS ataupun BN. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Kurang dari 24 jam lagi, tempoh berkempen akan tamat. Jentera kedua-dua parti bertungkus lumus berperang memenangi psikologi dan hati rakyat. Ada banyak cerita dapat didengar, ada banyak emosi boleh dikongsi. Para pengundi semestinya telah ada pilihan di hati. Semangat kerja berpasukan dengan moral dan disiplin yang tinggi terutama dari jentera Pakatan Rakyat boleh diberi salut! Ia bukan disebabkan upah atau nasi bungkus. Harapan dan sokongan dalam merintis jalan kesepaduan PAS, DAP dan PKR tidak lain hanya untuk Malaysia yang lebih adil dan berkebajikan.

Malaysia dengan sinar yang begemerlapan!

Pakatan Rakyat mantap

Tidak dapat dinafikan, BN dibantu dengan jentera kerajaan. Akan tetapi, jentera sahaja tidak cukup kalau tanpa isu yang baik. Kempen politik boleh jadi sangat menjengkelkan dengan isu peribadi yang "terlalu remeh" dan dilihat tiada maruah. Penganalisis politik melihat BN ketandusan isu sejak mula berkempen lagi. Sehingga saat-saat akhir tempoh berkempen, BN dilihat gelabah apabila telah mempolitikkan MC suami calon PAS Makrof Abd Mutalib.

Selain itu, kes lelong tanah yang menyeret calon BN Mohd Azahar Ibrahim secara langsung dan tidak langsung dikatakan sedikit sebanyak telah mempengaruhi mood sebahagian pengundi yang bersimpati. Jelas, Azhar Ibrahim punya rekod kurang baik untuk difikirkan warga Tenang. Isu ini merupakan kredit percuma untuk PAS.

Harapan Malaysia Baru untuk Tenang

Seluruh Malaysia sedang memerhati perkembangan politik di Tenang. Kita diperlihatkan dengan Kugan, Teoh Beng Hock dan Amirulrasyid yang meninggal dunia akibat salah laku dan kerakusan pihak berkuasa. Apakah tragedi yang meragut nyawa ini tidak menjadi sentimen rakyat di Tenang?

Atau; harga minyak harus dinaikkan lagi supaya rakyat Tenang sedar? Apa yang akan berlaku? Adakah keputusan pilihanraya nanti akan memihak kepada rakyat? Sekiranya BN menjaja isu Negara Islam, "salam", hudud PAS, ketuanan Melayu dan percaturan Saiful dengan bekas bosnya; Pakatan Rakayat lebih mendahului dengan senarai panjang isu-isu lokal dan nasional melibatkan keadilan dan intergriti yang masih segar dan bermaruah. Tak perlulah saya senarikan semuanya di sini. Anda lebih sedia maklum. Saya yakin PRK kali ini akan memperlihatkan sejauh mana jentera Pakatan Rakyat berjaya membebaskan pemikiran rakyat Tenang khususnya masyarakat FELDA mengenai isu-isu nasional atau; rakyat Tenang selesa dengan keadaan sekarang.

Akbar Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2011 memetik Mashitah Ibrahim; Ketua Wanita UMNO Baling memberi ingatan kepada BN supaya jangan memandang remeh strategi PAS meletakkan "pemidato" sebagi calon. Apatah lagi calon PAS adalah calon dari kalangan kaum wanita. Penulis melihat Cikgu Mala punya aura tersendiri sebagai seorang yang penuh semangat, tabah dan "tidak gemuk". Beliau tidak kekok bercakap, tidak lekang senyuman. Untung nasib. Tangan yang menghayun buaian ini mampu menggegarkan DUN Johor! -MR

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

Dah Memang Betul Jahiliyah, Nak Marah TGNA Buat Apa?

Posted: 29 Jan 2011 06:35 AM PST

Rais gesa Melayu, Islam tidak diperlekeh Nik Aziz

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim menegaskan pelakuan seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan mereka yang tidak mengundi PAS sebagai orang jahiliah hanya dilakukan ketika zaman jahiliah.

Beliau berkata Mursyidul Am PAS itu tiada hak untuk menentukan siapa yang masuk syurga atau neraka, jauh sekali melabelkan mengundi yang memilih parti lain selain PAS sebagai orang jahiliah.

"Ini adalah kata-kata yang tidak wajar dikeluarkan oleh seorang Mursyidul Am dan saya percaya ramai di dalam PAS tidak setuju dengan pandangan beliau. Menteri Besar itu akhir-akhir ini sudah jadi pengeluar fatwa sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Karangkraf 2011 di Shah Alam hari ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dikatakan mengeluarkan perkataan jahiliah itu pada sidang media di Kampung Redong di Labis dua hari lalu, semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Sehubungan itu, Rais berkata sudah sampai masanya orang Melayu dan Islam khususnya menilai Mursyidul Am PAS itu dengan sebaiknya dan tidak lagi diperlekehkan oleh beliau.

"Sekarang, setiap yang bernama Melayu dan Islam harus kerjakan sesuatu yang lebih dalam iaitu memahami agama kita dan tolong cari dalam al-Quran atau Hadis bahawa seseorang yang tidak memilih partinya (PAS) dia langsung menjadi seorang yang jahil atau tidak".

Rais berharap pengundi di Tenang tidak terperdaya dan membiarkan diri mereka diperkotak-katikkan dengan kenyataan Nik Abdul Aziz itu. - Bernama

Ulasan GB

Manusia boleh dinilai sebagai ahli syurga atau neraka berdasarkan perlakuan dan sikap yang mereka tunjukkan semasa di atas dunia lagi.

Telah banyak disampaikan oleh Allah dan RasulNya melalui Al-Quran dan Hadith mengenainya, tetapi adakah para penimpin UMNO khususnya Rais Yatim sendiri ada membaca Al-Quran dan Hadith?

Apabila tiada membaca kedua-duanya memanglah tak ditemui ayat-ayat mengenai ahli-ahli syurga dan neraka, dan justerunya boleh langgar semua hukum-hukum Islam hatta sampai menzalimi dan berlaku kejam ke atas sesama umat.

Kerana enggan untuk membaca Al-Quran dan Hadithlah maka wujud sistem pemerintahan UMNO BN yang berlagak bijak dan berlagak pandai, menganggap mereka lebih bijak dan lebih pandai daripada Tuhan mereka. Memperlakukan sewenang-wenangnya ke atas rakyat tanpa memperdulikan neraca pahala-dosa. Itulah jahiliyah namanya. Maka Allah sendiri yang menzalimkan, memfasiqkan dan mengkafirkan mereka melalui ayat-ayatnya. ". . . . . . . Waman lam yahkum bima anzalallah, faulaika humul kafirun. . . . . . .Waman lam yahkum bima anzalallah, faulaika humuldh dhalimun. . . . . . . Waman lam yahkum bima anzalallah, faulaika humul fasiqun." (QS. Al Maidah, 5 : 44, 45, 47).

Jangan marah TGNA, marah Tuhan yang tuduh demikian.

Saya dengan rendah hati meminta, samada Rais Yatim sendiri, atau lebih baik PM dan TPM, supaya beratur dan bergilir-gilir membaca Al-Quran melalui siaran TV yang kamu, Rais, ada kuasa pada bila-bila masa terhadapnya. InsyaAllah kami akan menunggunya dan kami akan meminta Mursyidul Am PAS, TG Nik Aziz menarik semula tuduhannya apabila seorang demi seorang perdengarkan bacaannya.

Jika tidak, MEMANG kamu-kamu jahiliyah!

PAS Bimbang Pemuda UMNO Buat Kacau Saat Akhir

Posted: 29 Jan 2011 04:50 AM PST

PAS bimbang Pemuda Umno akan buat kacau

'Ini maklumat yang kita dapat. Mereka mahu membuat perkara yang sama di Tenang.'

LABIS: PAS mendapat maklumat Pemuda Umno akan mencetuskan kekacauan mulai malam ini hingga tamat tempoh mengundi petang esok, dakwa Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (gambar).

"Maklumat yang kita dapat samseng Pemuda Umno itu akan membuat kacau termasuk 'menyerang' pondok petugas PAS.

"Mereka mahu mengulangi budaya samseng yang mereka lakukan semasa pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, dua tahun lalu.

"Ini maklumat yang kita dapat. Mereka mahu membuat perkara yang sama di Tenang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pilihanraya kecil Tenang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Mohd Azahar Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) dan Normala Sudirman dari PAS.

Esok adalah hari mengundi.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Zulkifli Ahmad dalam sidang media harian di sini berkata, beliau bersama beberapa pimpinan PAS akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Shariff petang ini.

Katanya, pertemuan itu bertujuan untuk memastikan keselamatan pengundi esok dan menghindari kejadian yang tidak diingi.

Beliau juga mendakwa, petugas PAS tidak dibenarkan di dua tempat iaitu Ladang Labis Utama dan Ladang Bukit Datuk untuk berkempen.

Alasan yang diberikan oleh petugas kedua-dua ladang tersebut ialah la adalah arahan pengurusan ladang berkenaan.

Zulkifli berkata, apabila beliau menyuarakan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Johor, alasan yang diberikan ialah ladang berkenaan milik swasta.

Beliau berkata, Ladang Labis Utama adalah milik Sime Darby, manakala pemilik Ladang Bagan Datuk tidak dapat dikesan.

Ladang Labis Utama mempunyai kira-kira 30 pengundi, manakala Ladang Bagan Datuk seramai 300 pengundi. -FMT

5 Nelayan Bertarung Nyawa Dalam Insiden Bot Terbalik Di Tok Bali

Posted: 29 Jan 2011 04:15 AM PST

Insiden Bot Terbalik Di Muara Tok Bali: Lima Nelayan Selamat

PASIR PUTEH: Berpantang maut sebelum ajal, lima nelayan terpaksa berhempas pulas untuk menyelamatkan diri apabila bot laut dalam mereka terbalik dipukul ombak besar ketika cuba memasuki muka muara Kuala Tok Bali di sini, pagi kelmarin.

Kelima-lima mereka terpaksa berpaut pada perut bot yang beberapa kali terbalik dipukul ombak setinggi lima meter ketika botnya cuba memasuki kuala muara terusan Semerak itu pukul 8.30 pagi.

"Ketika bot hanyut dibawa ombak menghampiri pantai saya memberanikan diri terjun berenang ke pantai," kata salah seorang nelayan So Hon Yu, 51, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis di sini, kelmarin.

Kesemua mereka yang terdiri daripada warga Thailand yang bekerja dengan pengusaha bot laut dalam tempatan terselamat dan dikejar ke hospital berkenaan untuk mendapat rawatan luar dan dibenar keluar pagi ini.

Empat lagi rakan mereka yang berasal dari wilayah Songkla, Selatan Thailand itu ialah Wee Chiau Co Eyat, 53, Pee Chai Yau Hong, 32, Man Chai, 33, dan Naita Kou Ching Thang, 17.

Seorang lagi rakannya Man Chai pula berkata bot mereka tidak dapat dikawal sebaik sahaja dipukul ombak besar beberapa kali sebelum terbalik dan ini merupakan kali pertama kejadian itu berlaku sepanjang lima tahun beliau bekerja sebagai nelayan asing di Tok Bali.

Sementara itu, Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia D10 Tok Bali, Left. Komander Romli Mustafa berkata kejadian itu disedari pihaknya yang secara kebetulan berada kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.

Katanya sebaik sahaja melihat bot berkenaan terumbang ambing dan terus terbalik pihaknya pantas mengarahkan anggotanya melancarkan gerakan menyelamat beserta dengan sebuah kapal dan dua buah bot kilat.

Bagaimanapun pihaknya tidak dapat menghampiri bot berkenaan kerana keadaan laut bergelora selain ombak besar dan keadaan angin yang bertiup kencang sehingga melebihi kelajuan 30 knot sejam iaitu merbahaya kepada semua kapal dan bot.

Beliau berkata pihaknya hanya dapat memantau berpuluh-puluh meter dari tempat kejadian sehingga pukul 9 pagi apabila mereka berjaya menyelamatkan diri selepas bot itu menghampiri pantai.

Romli menasihatkan nelayan tidak turun ke laut pada masa ini kerana keadaannya amat merbahaya kepada kesemua aktiviti perkapalan kerana beliau mendapati masih ada nelayan yang tidak menghiraukan ancaman itu.

Katanya di samping itu masih terdapat nelayan yang tidak memakai pakaian jaket keselamatan seperti nelayan terbabit. - BERNAMA


Setengah jam bertarung nyawa


PASIR PUTEH - Lima nelayan terpaksa berhempas pulas selama setengah jam bagi menyelamatkan diri selepas bot laut dalam yang mereka naiki terbalik dipukul ombak besar ketika cuba memasuki muka muara Kuala Tok Bali di sini kelmarin.

Semasa kejadian pada pukul 8.30 pagi, kelima-lima mangsa terpaksa berpaut pada perut bot yang beberapa kali terbalik dipukul ombak setinggi lima meter ketika bot itu cuba memasuki kuala muara terusan Semerak.

"Ketika bot hanyut dibawa ombak menghampiri pantai, saya memberanikan diri terjun berenang ke pantai," kata salah seorang nelayan So Hon Yu, 51, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis (HTA) di sini semalam.- kosmo

Nuraishah Didakwa Bunuh Bayinya Yang Baru Lahir

Posted: 29 Jan 2011 03:45 AM PST

Wanita Myanmar didakwa bunuh bayi baru lahir

SHAH ALAM: Seorang wanita warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan membunuh bayinya yang baru dilahirkan di rumahnya di Kampung Jawa di sini pada Selasa lalu.

Nuraishah Abdullah, 23, yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), didakwa melakukan kesalahan itu di No 4, Lot 9902, Batu 4, Kampung Jawa di sini, kira-kira jam 9 pagi pada 25 Januari lalu.

Wanita itu yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Nuraishah, yang kelihatan lemah sehingga terpaksa duduk di dalam kandang tertuduh, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripadanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Zara Aina Mohd Zawawi, yang mengendalikan pendakwaan, membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah supaya tertuduh
dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan mental.

Majistret Zilfinaz Abbas membenarkan permohonannya dan mengarahkan Nuraishah dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan mental selama sebulan.

Mahkamah menetapkan 28 Februari untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan mengenai penemuan mayat seorang bayi perempuan yang dipercayai ditikam beberapa kali di atas pelapik plastik di dalam bilik air rumah berkenaan.

Tertuduh ditemui dalam keadaan lemah dalam rumah itu dan polis turut menemui sejenis objek tajam, yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. - BERNAMA

Bapa Maut Anak Selamat Kenderaan Jatuh Dalam Anak Sungai

Posted: 29 Jan 2011 03:15 AM PST

Mati Lemas Akibat Kereta Terjatuh Ke Dalam Anak Sungai Di Sandakan

SANDAKAN: Seorang lelaki dilaporkan mati lemas selepas kereta yang dinaikinya terjatuh ke dalam anak sungai di sebuah ladang sawit di Batu 14, Jalan Taman Jalil Alip di sini, Jumaat.

Adami Madi, 55, mati lemas dipercayai terperangkap di dalam kereta pacuan empat roda itu.

Anaknya yang berusia 20-an dan pemandu kenderaan berkenaan terselamat dalam kemalangan 11.30 pagi itu.

Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Apandi Mahmood, ketiga-tiga mereka sedang dalam perjalanan keluar dari sebuah ladang selepas mengambil buah kelapa sawit.

"Pemandu kereta itu dilaporkan tidak dapat melihat anak sungai di tepi jalan yang telah dinaiki air banjir, menyebabkan kereta itu terjatuh ke dalam anak sungai.

"Anak mangsa dan pemandu kereta berjaya keluar menerusi tingkap kereta," katanya.

Mohd Apandi berkata bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat Adami. - BERNAMA

2 Maut Bas Ekspres Bertembung Dengan Treler

Posted: 29 Jan 2011 02:54 AM PST

Wanita Mengandung, Lelaki Warga India Maut Kemalangan Di Tatau

Gambar: KEADAAN bas yang terbabit nahas dan mengorbankan dua penumpang, semalam.

Dua penumpang termasuk seorang ibu mengandung maut, manakala empat lagi cedera parah, apabila sebuah bas ekspres bertembung dengan sebuah lori baja, selepas bas berkenaan hilang kawalan akibat tayar depan kirinya pecah dan meletup secara tiba-tiba, dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Bintulu-Tatau, pada kira-kira jam 6.15 pagi semalam.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali Cheria anak Menua, 39, yang mengandung enam bulan dan berasal dari Rumah Jamil, Tatau, serta seorang warga India, Ranjit Singh, 55.

Ranjit meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Cheria yang parah dalam kejadian itu meninggal dunia pada jam 8.30 pagi semalam di Hospital Tatau.

Dua pemandu bas termasuk pemandu gantian parah, selain dua penumpang, dengan pemandu lori serta sembilan penumpang lain cedera ringan, dengan kesemuanya dirawat di Hospital Bintulu.

Setakat petang semalam, polis belum dapat mengambil keterangan daripada pemandu bas berkenaan berikutan keadaannya yang parah dan identiti mereka yang parah juga belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Tatau, Wan Zai Zodin Wan Jaafar berkata, dalam kejadian awal pagi itu bas ekspres berkenaan dilaporkan hilang kawalan selepas satu daripada tayar hadapan meletup.

Pemandu bas itu katanya, gagal mengawal kenderaannya dan merempuh sebuah lori baja yang datang dari arah bertentangan.

"Ketika kejadian, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuching ke Miri, dengan polis masih menjalankan siasatan lanjut, " katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Nahas itu juga menyebabkan laluan Bintulu-Tatau sesak lebih dua jam berikutan dua kenderaan berat yang terbabit dalam nahas itu menghadang jalan, selain serpihan beberapa bahagian bas dan barangan penumpang, yang bertaburan di jalan raya. -BH

Tak Dapat Tanduk Telinga Dipulas, Serang Suami Apabila Gagal Gugat Cikgu Mala

Posted: 29 Jan 2011 01:30 AM PST

Serangan peribadi BN amat memalukan'

Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa serangan yang dibuat oleh PAS dan pemimpin Pakatan Rakyat lain tidak boleh dianggap serangan peribadi.

LABIS: PAS menyifatkan serangan peribadi terhadap calon PAS Normala Sudirman salam kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang sebagai sangat memalukan.

"Ini kempen pilihanraya yang paling buruk dalam sejarah Malaysia," kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau menambah, "isu serangan peribadi ini yang dilakukan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) menunjukkan mereka dalam keadaan bertahan."

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa serangan yang dibuat oleh PAS dan pemimpin Pakatan Rakyat lain tidak boleh dianggap serangan peribadi.

"Apa yang kita katakan mengenai calon BN, Mohd Azahar Ibrahim ialah mengenai integriti, kita tidak sebut mengenai kisah rumah tangga beliau.

"Kita tahu perangai dia tetapi kita tidak sebut kisah rumah tangga dia," katanya.
Tambah Mahfuz, PAS menetapkan tidak ada sebarang isu peribadi pemimpin disentuh dalam kempen pilihanraya ini.

"Kita boleh sebut kisah Datuk Seri Najib (Tun Razak) atau isterinya Datin Seri Rosmah (Mansor) tetapi kita tidak mahu.

"Kita boleh sebut kisah perceraian mereka terdahulu tetapi kita tidak mahu kerana supaya mereka tidak malu. Kita tidak mahu anak-anak mereka malu," katanya.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pemimpin BN telah membangkitkan kisah perceraian Normala dengan suami terdahulu.

Beliau juga menyifatkan tindakan pemimpin BN `menyerang' suami Normala, seperti tidak dapat tanduk telinga dipulas.

"Suami calon PAS jadi mangsa. Isu MC (sijil sakit) kalau hendak siasat, siasatlah. Tetapi siasat juga petugas Umno di Tenang dan di pilihanraya lain yang mengambil cuti sakit.

"Ramai juga kawan saya terdiri dari guru yang ambil MC setelah berunding dengan guru besar dan mengambil cuti untuk berkempen bagi pihak Umno.

"Saya tidak fikir isu MC ini menjadi isu besar. Isu yang besar ialah sama Normala kepada Mohd Azahar," katanya.

Tiada ulasan: