Ahad, 23 Januari 2011

KARPET KUNING

KARPET KUNING


PRK Tenang - Isu 'diboikot' & adab bersalaman terus hangat.

Posted: 23 Jan 2011 07:07 PM PST


LABIS: Sedang kempen pilihan raya kecil ke-14 Malaysia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang memasuki hari keduanya semalam, calon-calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) masing-masing cuba menolak pelbagai dakwaan terhadap diri mereka.


Calon Umno-BN, Encik Mohd Azahar Ibrahim, menolak bulat-bulat dakwaan bahawa beliau 'diboikot' kepimpinan Umno Labis ekoran daripada pemilihannya sebagai calon pilihan raya kecil DUN itu.


Calon Parti Islam SeMalaysia (PAS), Cik Normala Sudirman, atau lebih mesra dipanggil 'Cikgu Mala', pula menganggap serangan parti lawan terhadap keengganan beliau bersalaman dengan lelaki sebagai satu isu yang remeh.


Semasa ditemui wartawan selepas mengadakan lawatan di Pasar Awam Labis di sini pagi semalam, Encik Mohd Azahar menyifatkan dakwaan itu tidak benar dan fitnah semata kerana ada pihak yang mahu menjejaskan imej beliau.


'Tak ada... tak ada... itu satu fitnah. Itu adalah politik, kalau lihat, ramai yang ikut saya. Dakwaan itu tidak benar, ia adat politik,' kata beliau.


Sebelum ini, ada desas-desus yang mengatakan Umno Labis tidak menyokong pemilihan Encik Mohd Azahar sebagai calon tetapi hal itu juga dinafikan Ketua Wanita Umno Labis, Cik Haslinda Salleh, dan Setiausaha Umno Labis, Encik Abdul Razak Abdul Rashid.


Kedua-dua mereka pernah disebut-sebut berpeluang menjadi calon, menurut laporan laman berita The Malaysian Insider.


Satu blog pro-PR baru-baru ini menyebut pemangku Ketua Umno Labis, Encik Rusdin Mahamud, dan Cik Haslinda 'naik angin' dengan pemilihan Encik Mohd Azahar itu.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, menafikan Encik Mohd Azahar diboikot kepimpinan Umno Labis.


'Dakwaan yang mengatakan Umno Labis tak sokong, tidak betul. Beliau (Encik Mohd Azahar) mendapat sokongan daripada semua barisan kepimpinan. Itu saya nafikan apabila kata beliau diboikot. Saya nak kata dakwaan kata bahagian (Umno Labis) tak sokong adalah satu fitnah,' kata Datuk Ahmad.


Sementara itu, Cik Normala pula dipetik laman berita mStar Online sebagai berkata tindakan beliau enggan bersalaman dengan pengundi lelaki itu tidak seharusnya dijadikan isu kempen.
'Perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu. Selepas 53 tahun kita merdeka saya lihat Barisan Nasional dan parti komponennya gagal memahami isu bagaimana adab bersalaman seorang wanita Muslim dengan orang lain.


'Sebagai seorang wanita Islam kami memang tidak bersalaman dengan seorang lelaki. Kalau dengan masyarakat Cina wanita memang tidak ada masalah,' tegasnya pada sidang media harian PAS di markas parti itu, di sini, kelmarin.


Perkara tersebut didakwa menjadi isu di kalangan pengundi Cina di DUN Tenang.


Ahad ini, para penduduk DUN Tenang akan keluar mengundi untuk melantik wakil rakyat mereka. -- Agensi

PRK DUN Tenang: BN vs PR

Posted: 23 Jan 2011 07:41 AM PST


LABIS - Gelanggang kempen kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dibuka secara rasmi dengan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), mengulangi pertarungan pilihan raya tiga tahun lalu.

BN menurunkan Encik Mohd Azahar Ibrahim, 38 tahun, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, manakala Parti Islam SeMalaysia (PAS), yang mewakili PR, mencalonkan Ketua Dewan Muslimat Labis dan bekas guru, Cik Normala Sudirman, 38 tahun.

Pegawai pengurus pilihan raya, Encik Md Asri Amir, mengesahkan hanya dua orang mengemukakan borang penamaan calon dan kedua-dua mereka disahkan sebagai calon pilihan raya kecil yang ke-14 itu pada 11.20 pagi semalam.

Pengundian akan berlangsung pada Ahad depan.

Keputusan pilihan raya kecil itu, meskipun tidak akan memberi kesan ke atas kedudukan di DUN tersebut, telah dilihat sebagai bakal menentukan tarikh pilihan raya umum Malaysia ke-13 kelak, yang disebut-sebut akan diadakan tahun ini.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha, pada 17 Disember lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.

Datuk Sulaiman menewaskan calon PAS, Encik Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008. -- Agensi.

Tiada ulasan: