Rabu, 19 Januari 2011

kalam Perantau

kalam Perantau


PRK Tenang : Politik kembali Panas?

Posted: 19 Jan 2011 06:22 PM PST

Oleh MOHD SUHAIMI AL-MANIRI

Suasana politik negara dijangka kembali panas berikutan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor akan diadakan pada akhir bulan ini selepas BN menang di Hulu Selangor, Bagan Pinang, Galas dan Batu Sapi, menandakan UMNO/BN di bawah Najib Tun Razak telah  berjaya dipulihkan pada tahun 2010 selepas tsunami 2008 dan  selepas dimalukan oleh pengundi Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti dan Permatang Pasir serta Manek Urai pada 2009.

Jika BN terus menang dengan majoriti lebih besar dalam PRK Tenang ini bermakna pilihanraya umum ke-13 dan Pilihanraya Negeri Sarawak akan diadakan dalam tempoh tiga hingga empat bulan mendatang. Tetapi jika BN berjaya dikalahkan, pilihanraya umum ke-13 akan diadakan mungkin hingga tamat penggal 5 tahun yang ada sekarang ini.

Setelah PAS kecundang di dalam PRK Galas, Kelantan satu usaha kebangkitan PAS Ganti UMNO dimulakan. Dalam pelancaran program Himpunan Gerakkan Rakyat Terengganu – PAS Ganti UMNO, PR Ganti BN kira-kira 30,000 orang hadir pada 15hb. Januari, lalu di Kemaman, Terengganu.    

Sama ada gelombang kebangkitan rakyat PAS ganti UMNO, PR ganti BN ini berjaya melepasi sempadan Johor atau  tidak, kita akan lihat pada akhir bulan ini, yakni empat hari sebelum tahun baru Cina.

Mungkinkah pertandingan 2 penjuru, wanita lawan wanita?

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N05 Tenang, Johor pada 30 Januari ini menarik kerana telah 2 dekad tidak ada pilihanraya kecil di Johor. Bahkan pilihanraya kecil ini juga bakal mencipta sejarahnya tersendiri kerana PAS buat pertama kalinya membuat pengumuman pada 16hb. Januari lepas untuk meletakkan calon wanita dalam satu pilihanraya kecil, iaitu  Normala Sudirman (Ketua Muslimat Labis) .

Normala, 38, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala merupakan bekas guru sekolah menengah di Tenang. Beliau telah meletakkan jawatan bulan lalu.Normala juga merupakan pengerusi Lajnah Pendidikan Muslimat PAS pusat dan Naib Ketua Muslimat Johor.

Setelah PAS mengumumkan calonnya, pemerhati politik sedang memerhatikan mampukah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Wanita UMNO  yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) memberi pertimbangan sewajarnya nama Ketua Wanita UMNO bahagian Labis, Haslinda Salleh untuk meletakkan calon wanita sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil berkenaan  pada 30 Januari ini. 

BN menghadapi dilemma untuk memilih calon pada PRK kali ini dan khabarnya ianya hanya akan diumumkan sehari sebelum penamaan calon.  Soalnya apakah BN akan terus berani memperjudikan calon bukan anak tempatan untuk mengisi kekosongan tersebut seperti sebelum ini?

Dalam pilihan raya umum 2008, Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS, dengan kelebihan 2,492 undi. DUN Tenang ini dilihat menarik kerana peratusan komposisi pengundi iaitu Melayu (49.66 %), Cina (38.13 %), India (12.11 %) dan lain-lain kaum (0.10 %). Dalam PRK ini, Cina dan India menjadi penentu.

DUN Tenang merupakan salah satu kubu kuat Umno di Johor. Kesilapan memilih calon nanti dilihat boleh memberi kesan yang besar kepada keputusan pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari nanti. 

Pada 22 Januari ini akan menjadi titik tolak apakah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan terus bertenang atau akan berlaku pergolakan. Pada tarikh itu akan ditentukan calon-calon yang akan bertanding bagi mengisi kekosongan ADUN N05 Tenang ekoran kematian penyandang iaitu ADUN Tenang, Datuk Sulaiman Taha awal Disember lepas.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang ini mungkin bukan pertandingan dua penjuru anatara UMNO/BN dan PAS/PR kerana seorang  pemimpin Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW), G. Sivanandan, 50, berhasrat untuk menjadi calon Bebas pada PRK Tenang, selain PAS yang mewakili parti-parti Pakatan Rakyat (PR) atau UMNO yang mewakili komponen BN yang secara tradisi untuk menentukan parti mana yang akan menjadi pilihan  kira-kira 15,000 jumlah pengundi di DUN Tenang. 

Keputusan  PRK DUN Tenang ini mungkin menjadi topik analisis sebenar pihak kerajaan atau pembangkang menjelang PRU ke-13 setelah, kedua-dua pihak iaitu BN dan PR telah selesai mengadakan konvensyen masing-masing.

Jika A.Sivanandan pemimpin NUPW memang bertanding untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu bagi mewakili suara hampir 800 pengundi berdaftar kalangan pekerja ladang dan berjaya pula meraih sokongan pengundi-pengundi keturunan India di sini serta undi Cina dan Melayu berpecah, sukar untuk menentukan sama ada UMNO atau PAS yang menang.   

Lebih menarik apabila PRK DUN Tenang bakal menyaksikan pertembungan dua ‘Chua’ iaitu, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek  (Presiden MCA) dan, Datuk Chua Jui Meng (Pengerusi PKR Johor) yang bakal ‘berentap’ untuk meraih sokongan pengundi Cina.

Kita juga akan menyaksikan orang Melayu di  Felda Tenang, di Felda Chemplak, Felda Chemplak Barat dan di Gugusan Felda Maokil 1,2,3 dan 4 yang mempunyai ribuan penduduk tidak rela selama-lamanya membiarkan orang peneroka di sini terus hidup dalam keadaan terubang ambing seperti sekarang dan membiarkan segala kekayaan yang sepatutnya mereka kecapi kepada Felda?

Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) berjaya mengubah minda masyarakat Felda menuntut kearah kehidupan yang lebih terjamin di masa hadapan bersama dengan janji-janji perubahan yang sedang diperjuangkan.

Artikel ini ditulis untukk akhbar Siasah


Tiada ulasan: