Ahad, 30 Januari 2011

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Mengimpikan Pilihanraya Yang Adil!!!

Posted: 30 Jan 2011 06:46 PM PST

Setiap kali Pilihanraya semestinya SPR antara badan yang menyelia dan mengurus semua urusan pilihanraya di Malaysia . Namun sejak akhir-akhir ini, tindak tanduk SPR seolah-olah menjadikan diri mereka lebih memihak kepada kerajaan. Apa sahaja peraturan yang dibuat semuanya lebih menguntungkan kerajaan sedia ada.

Keadilan seolah-olah telah hilang bagi SPR. Ini yang menjadikan Pakatan Rakyat bukan sahaja bertarung dengan parti yang bertanding tetapi juga pihak SPR . Ini belum ditambah pula dengan karenah pihak keselamatan yang sentiasa memastikan apa sahaja aktiviti parti pembangkang sepanjang setiap kali pilihanraya dikawal dengan ketatnya terutamanya yang melibatkan PR.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Perak , Kedah dan terbaru di Selangor. Mereka ambil sikap sambil lewa dalam isu ini walaupun Speaker Dewan telah mengisytiharkan kekosongan DUN berkenaan. Mengapa ini berlaku. Rupa dan wajah pengerusi SPR juga bila berhadapan dengan wartawan seolah-olah tidak mesra bila melibatkan isu yang dibangkitkan oleh pihak PR.

Saya menyeru sekali lagi kepada Pengerusi SPR, SU SPR dan mana-mana yang terlibat dengan SPR , berlaku adillah pada semua . PR bukan inginkan keistimewaan , tetapi biarlah berlaku secara adil samada dari segi layana media yang sama rata. Kalau BE END boleh kempen melalui TV maka PR pun sepatutnya boleh, begitu juga dengan akhbar harian. Begitu juga dengan Undi POS. Usaha-usaha ini seharusnya datang dan dipelopori oleh SPR untuk memastikan Pilihanraya yang adil.

Esok diakhirat kita yang bertanggungjawab akan dipersoal. Tidak ada pihak yang akan dapat menolong kita diakhirat kelak sekiranya kita mempunyai sikap yang tidak adil diatas muka bumi ini.

Insiden banjir di Tenang cukup untuk memahamkan betapa SPR perlu jujur dan adil dengan suasana seperti ini. Kiranya penduduk di Felda disediakan kemudahan pengangkutan ke Pusat Pengundian maka Penduduk Cina yang terlibat dengan banjir seharusnya juga perlu diberi kemudahan seperti biasa.

Sebab itulah kita jangan merasa marah jika orang bukan islam mempelekehkan bangsa Melayu yang menganut Islam memandangkan orang Islam sendiri lupa akan prinsip keadilan yang digariksan oleh Islam . Keadilan bukan hanya untuk adil pada pihak yang kita sokong tetapi lebih luas konsepnya.

Janganlah disebabkan jawatan dan pangkat yang kita sandang kita lupa akan tangungjawab yang sebenar. Kita lupa doa orang yang dizalimi . Sehingga kini belum ada satu pun Pengerusi SPR yang benar-benar bebas . Apa yang ada hanyalah pengerusi yang meneruskan usaha dan kehendak kerajaan BE END.

Memang kita akui PR menang di beberapa buah negeri dalam PRU yang lalu. Namun hakikatnya ialah kuasa Allah mengatasi segala-galanya.Sebagai contoh kita lihat menjelang PRU yang lalu , penggunaan dakwat terus dibatalkan disaat akhir sehingga menimbulkan keraguan. Mana perginya mereka yang didakwa menyeludup masuk dakwat berkenaan. Hingga kini tiada pendakwaan dilakukan. Kenapa berlaku sedemikian rupa? Sudah tentu ada agenda yang tersirat mengapa ianya berlaku sedemikian rupa.

Sebab itulah saya katakan, rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi mengimpikan satu pertandingan yang sihat dan adil yang selama ini tidak diterjemahkan oleh SPR. Ingat ! Jangan sampai tindakan kita dipersoalkan di akhirat kelak.

Semoga mererka yang terlibat dengan SPR akan peka akan apa yang diperkatakan dalam artikel ini dan menjadikan PRU akan datang bebas dari pengaruh BE END.


Dari Detikdaily

Sekular Itulah Jahiliyyah

Posted: 30 Jan 2011 06:08 PM PST

Kelmarin setibanya saya di rumah selepas berada di Tenang, Johor selama tiga hari, saya dikejutkan dengan satu rombongan bas kaum India dari Hulu Selangor yang siap menunggu ketibaan saya. Mereka meminta saya untuk berucap sepatah dua kata dan saya menjemput mereka naik ke masjid jika ingin mendengar ucapan saya. Alhamdulillah, tanpa fobia dan takut, mereka naik ke masjid.

Tidak tahulah pula saya jika langkah saya itu boleh menjadi isu kepada pihak-pihak tertentu. Namun bagi saya, Islam perlu diperlihatkan dengan wajahnya yang sebenar bukan hanya melalui lidah orang-orang Islam sendiri yang jahil tentang Islam. Hasilnya, biarpun 50 tahun negara merdeka, orang bukan Islam masih belum memahami Islam sehinggalah perkara yang paling asas seperti soal larangan bersalaman antara bukan mahram pun masih dipertikaikan!

Islam adalah rahmat. Sekular pula warisan jahiliyyah. Ada yang nampaknya memarahi saya apabila saya membangkitkan soal jahiliyyah. Bahkan ada yang menafsirkan jahiliyyah hanyalah orang-orang Arab yang kafir di zaman Nabi Muhammad SAW. Sukalah saya ingatkan terhadap satu buku yang dikarang oleh Dr Muhammad Qutb yang bertajuk Jahiliyyah fil Qarnil Isyrin (Jahiliyyah di Kurun ke-20). Ini bukti saya bukannya orang pertama yang menyatakan jahiliyyah wujud di zaman ini.

Sukalah saya ulangi, setiap perkara yang bertentangan dengan Islam ialah jahiliyyah. Datangkanlah apa jua jenis nama ideologi sekalipun, jika tidak selari dengan Islam, pastinya ia jahiliyyah walaupun tidak memakai nama jahiliyyah. Ia seperti menggelarkan zina dengan seks bebas, sekalipun nama berbeza dan dilembutkan nadanya, ia tetap zina. Dadah disebut morfin, heroin dan sebagainya, ia tetap dadah. Arak pula digelar minuman keras dengan pelbagai jenama, hakikatnya ia tetap arak yang diharamkan. Demikianlah sekularisme, nasionalisme, komunisme, sosialisme dan ism-ism yang diasaskan oleh manusia moden tetap merupakan benih jahiliyyah. Setiap masa dan saat, kita diberikan dua pilihan, Islam atau jahiliyyah. Pilih Islam ertinya selamat, menentang Islam bererti memilih jahiliyyah.

Ada yang berkata jahiliyyah hanyalah bermakna bodoh. Ini satu tanggapan yang salah. Tidakkah orang-orang Arab di zaman nabi merupakan orang-orang yang cerdik. Mereka pakar di dalam perniagaan, pakar peperangan dan pakar bahasa. Gelaran jahiliyyah bukanlah kerana mereka bodoh tetapi kerana mereka menolak Islam. Justeru Allah SWT berfirman :

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Yang bermaksud : "Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin." Surah Al-Maidah ayat 50.

Saya ingin bertanya kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang begitu kuat menghentam saya, benarkah perjuangan UMNO berlandaskan Islam? Jika benar, rujuklah kembali kepada al-Quran dan al-Hadis sebagai dasar. Hairan saya, Timbalan Perdana Menteri sendiri boleh menakut-nakutkan kaum Cina di Tenang, Johor dengan negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Dalam masa yang sama, PAS dituduh sebagai kuda tunggangan DAP. Jika TPM sendiri menyebut PAS tidak pernah menggugurkan agenda negara Islam, UMNO pula bagaimana? Difahami daripada kenyataan tersebut, UMNO tidak akan membawa Islam sebagai agenda perjuangannya. Hairan, jika disebut jahiliyyah mereka melenting, tetapi mereka sendiri menolak Islam. Situasi ini mengingatkan saya kepada bait-bait syair Iqbal, seorang penyair Paskitan ketika mengumpamakan senario umat Islam pada hari ini : Ke bumi tidak jatuh, ke langit tidak naik, sembah berhala pun tidak, sembah tuhan pun enggan.

Islam mengajar selepas mati ini akan nada hidup di akhirat. Sayang sekali, hidup akhirat ini tidak pernah meniti di bibir pimpinan UMNO. Sedangkan kepercayaan kepada hari akhirat merupakan tonggak kepada rukun iman dan Nabi Muhammad SAW seringkali mengingatkan dalam banyak hadisnya : "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat……" Islam mengajar dunia ini milik Allah SWT, dipinjamkan kepada manusia sebagai khalifah. Sekular mengajar bahawa manusia berhak melakukan apa saja yang dikehendakinya apabila berkuasa. Islam mengajar bahawa setiap perbuatan manusia akan diadili di akhirat, jika baik natijahnya syurga dan jika tidak, natijahnya ialah neraka. Pernahkah syurga dan neraka disebut di daam ajaran sekular yang didokong oleh UMNO?

Ajaran sekular hanya memikirkan soal bagaimana untuk berkuasa. Etika dan undang-undang boleh diketepikan apabila tidak berpihak untuk mereka. Lihatlah di Tenang, dijanjikan peruntukan RM30 juta tanpa sedikitpun dijeling oleh SPRM. Barangkali bagi mereka, pengundi di Tenang boleh dibeli seperti membeli binatang ternakan. Rasulullah SAW hadir dengan membawa makanan roh bukannya makanan fizikal semata-mata seperti yang diamalkan oleh UMNO. Rasulullah SAW hadir bukan dengan menjanjikan projek seperti yang diibawa oleh UMNO kerana manusia memerlukan bukan hanya makanan fizikal tetapi juga makanan roh. UMNO masih beum cukup serik mempermainkan rakyat kerana hanya itu yang termampu dilakukan oleh mereka.

Seruan saya, baliklah kepada Islam. Islam yang adil, Islam yang membawa rahmat dan Islam yang menjanjikan kemenangan. Saya ulangi kembali pesanan saya kepada jentera pilihanraya PAS di Dun Tenang, kita bukannya memburu kemenangan di dalam pilihanraya di dunia semata-mata, tetapi kita memburu kemenangan di akhirat. Hari ini, PAS tewas di Tenang, namun PAS berpuas hati kerana telah melaksanakan tugas amar makruf nahi munkar. Adapun UMNO, bolehkah perjuangan mereka dibawa ke akhirat? Fikirkanlah.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Kg Pulau Melaka.

PR Tetap Kukuh

Posted: 30 Jan 2011 05:58 PM PST

Tindakan anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedikitpun tidak menjejaskan kekuatan Pakatan Rakyat di Kedah, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata tindakan itu telah lama dijangka kerana Gobalakrishnan mungkin mempunyai kepentingannya sendiri kerana terlibat dalam banyak kesalahan di sisi undang-undang sebelum ini.

"Jadi, sebagai wakil rakyat, kalau dia buat sesuatu (keluar parti) mungkinorang akan hukum dia esok," katanya kepada pemberita pada jamuan sempena sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Seri Mentaloon semalam.

Azizan diminta mengulas tindakan Gobalakrishnan yang meletakkan semua jawatan dalam parti dan keluar PKR serta memilih menjadi wakil rakyat Bebas kerana tidak puas hati dengan kepimpinan parti itu kelmarin.

"Kita tidak goyah...malah kita jadi lebih kuat...mereka serang kita melalui televisyen pun kita tak terjejas," katanya mengenai dakwaan Pakatan Rakyat semakin goyah.

Menorobos Minda Pengundi Melayu!!!.

Posted: 30 Jan 2011 05:30 PM PST

Keputusan PRK Tenang cukup jelas menunjukkan betapa minda pengundi Melayu yang berada di kampung-kampung sama seperti 50 tahun dahulu. Mengapa perkara ini berlaku seharusnya diperhalusi. Jentera PR yang dikatakan antara yang terbaik sepanjang kempen di Tenang gagal menembusi lokasi majoriti pengundi Melayu terutamanya dikawasan Felda dan kampung tradisi.

Faktor peranan media, taktik ugut dan sogokan dikenalpasti taktik utama BE END dalam mana-mana pilihanraya . Orang Melayu seolah-olah tidak kisah nasib bangsanya yang semakin jauh dengan Islam. Mereka lebih gemar berhibur dan menolak majlis ilmu.

Kalau di Johor setiap malam Jumaat , Yassin hanya dijadikan rutin mingguan, makan dan minum jadi agenda tanpa menghayati kandungan surah Yasin itu sendiri. Maaf kiranya ada Melayu Johor yang tersinggung tetapi inilah realiti semasa di Johor. Kalau majlis kenduri kendara karaoki menjadi agenda wajib semasa majlis berkenaan. Tiada ayat-ayat yang mengingati Allah di perdengarkan. Inilah wajah Melayu Johor. Meminjam kata-kata Abang Mat Sabu dulu, orang UMNO Johor ini..darah depa CAP KERIS tu yang agak payah sikit nak ubah minda mereka sekarang.

Masyarakat Melayu juga tidak menghiraukan apa sahaja yang berlaku dalam negara , isi kenaikan harga barangan , bebanan yuran persekolahan anak-anak, kenaikan harga minyak dan beberapa perkara seperti Tarif elektrik yang dijangka akan naik semuanya dibuat tidak kisah. Selain itu is-isu nasional juga tidak diendahkan oleh orang Melayu kampung .Lihat isu Kugan dan Beng Hock bagaimana bangsa lain sangat sensitif isu kezaliman ke atas bangsa mereka. Tetapi dalam kes adik Aminulrashid hanya kelibat para pemimpin Melayu dari PR yang bersuara.

Orang Melayu juga tidak peka permasalahan sekeliling seolah-olah duduk bawah tempurung. Mereka tidak menjadikan kejatuhan kerajaan Tunisia sebagai contoh menentang kezaliman kerajaan sekarang. Kuasa undi Melayu tidak digunakan sepenuhnya. Cukup sekadar terima dua atau tiga ratus atau habuan-habuan sementara untuk mengekalkan kerajaan sedia ada.

Orang Melayu juga buat tidak kisah bila isteri Pi Em kita berbelanja sakan masa melancong/melawat luar negara. Orang Melayu juga tidak kisah bila Isteri pemimpin mereka tidak menutup Aurat.

Lihat masyarakat Cina, mereka sangat bijak berpolitik apa sahaja yang kerajaan buat semua mereka dapat tetapi undi bukan untuk dibeli. Inilah bezanya maruah bukan melayu dan orang Melayu.

Kepada pihak pimpinan PR pula usaha berterusan untuk menembusi kawasan-kawasan Melayu harus dilakukan bagi memastikan cita-cita untuk menumbangkan rejim zalim Be End ini menjadi kenyataan. Lakukanlah yang terbaik di negeri-negeri dibawah pimpinan PR seperti Kedah, Penang, Kelantan, Selangor. Apa sahaja aktiviti yang melibatkan kebaikan orang Melayu haruslah ditonjolkan dan dalam masa yang sama masyarakat bukan melayu tidak harus ketepikan.

Orang Melayu kena cepat-cepat diberik buku jingga agar mereka sedar matlamat kerajaan PR yang lebih baik dari kerajaan yang sedia ada. Semoga orang melayu akan berubah dan tidak harus bergantung pada Be End. Semoga pimpinan PR dapat menerobos minda melayu yang penuh dengan daki atau karat biru.

Semoga segala usaha PR akan beroleh kejayaan kelak Insyaallah.Semoga orang Melayu tidak akan layu .



Sumber Dari RM

Keputusan Rasmi Tenang : BN Gagal Capai Target (video)

Posted: 30 Jan 2011 06:07 AM PST

BN mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan majoriti 3,707, sekaligus tidak berjaya mencapai target yang disasarkan.

Manakala calon PAS, Normala Sudirman, mendapat 2,992 undi.

Sementara itu undi pos juga menjadi milik BN dengan majoriti 112 undi dan 1 undi rosak.

Sebanyak 71.8 peratus atau 10,579 orang daripada sejumlah 14,753 pengundi berdaftar bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang keluar mengundi sehingga proses pengundian ditutup pada pukul 5 petang tadi.

Difahamkan, jumlah peratusan ini lebih rendah daripada pilihan raya umum 2008 iaitu 73.52 peratus.

Ia mungkin didorong oleh faktor banjir yang melanda beberapa kawasan di sekitar Labis.

Beberapa jalan yang menghubungkan pusat pengundian tidak dapat dilalui kerana ditenggelami air.

Pada pilihan raya umum 2008, calon BN menewaskan PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

Sementara itu, wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat melalui Twitter masing-masing memberikan respon terhadap kemenangan BN di kuat parti itu.

" Walaupun membelanjakan berjuta-juta duit rakyat tetapi tidak mencapai majoriti yang mereka inginkan! PRU mereka tidak boleh buat macam sekarang, PRU target
kita," tulis Khalid Samad di laman Twitternya.

Manakala ADUN Bukit Lanjan, Elizaberth Wong pula berkata, peratusan undi pengundi Cina semakin meningkat kepada Pakatan Rakyat.

" Kalah di Felda tetapi peratusan meningkat di kawasan majoriti Cina sehingga 70 peratus. Harus meningkatkan strategi di kawasan yang kalah," tulis Eli.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember tahun lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Pakatan bincang sama ada letak calon PAS atau PKR

Posted: 30 Jan 2011 05:34 AM PST

Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan sama ada meletakkan calon PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau 6 Mac ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan di peringkat pusat mengenai calon dari parti mana akan diketengahkan pada pilihan raya kecil itu akan diadakan dalam waktu terdekat.

Abdul Hadi yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Wacana Memperkasa Fikrah Rakyat berkata demikian ketika ditanya mengenai minat PKR untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu yang sebelum ini diwakili calon PAS.

"Insya Allah akan adakan perbincangan dengan Pakatan Rakyat.

"Kita bincang di peringkat Pakatan Rakyat kerana kita bergerak secara kolektif dan bukan bersendiri," jelas Hadi kepada pemberita.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Ambil Iktibar Kebangkitan Rakyat Mesir, Tunisia

Posted: 30 Jan 2011 05:25 AM PST

Kemelut di Mesir dan Tunisia harus dijadikan iktibar sambil melahirkan rasa sedihnya terhadap despotisme(kuasa mutlak) yang diamalkan oleh para pemimpin negara-negara Islam.

Dalam ucapannya di seminar 'Critical Islam with Ziauddin Sardar(ZS)' di Kelana Jaya semalam, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain Indonesia dan Turki yang kini berjaya mengadaptasikan konsep demokrasi, negara-negara Arab lain jelas tidak mempedulikan hak asasi manusia yang sepatutnya dirasai oleh rakyatnya.

"Kenapa anda tidak mempunyai, tidak mengiktiraf kebebasan, hak asasi manusia, keadilan, kesetaraan jantina di dunia Islam? Terutamanya di dunia negara-negara Arab, kecuali Indonesia, yang berjaya mengubah dirinya mengamalkan demokrasi dengan penuh semangat, dan Turki. Di dalam dunia Arab, penafian hak-hak asas ini merupakan satu kewajipan mutlak," kata beliau dalam ucapannya.

Jelas beliau, kebanyakan cendekiawan Timur Tengah menganggapnya sebagai satu budaya kerana pemerintahan bercirikan despotisme atau satu kuasa mutlak merupakan perkara terpenting dalam sejarah tamadun Mesir di mana rakyat Mesir tidak lekang memuja para Firaun walaupun sedar kezaliman mereka.

Anwar berpandangan, warga Mesir kini seolah-olah cuba menyampaikan mesej bahawa Mesir memerlukan seorang Firaun moden bagi mengawal dan menangani rakyat Mesir.

"Ini merupakan satu hujah yang langsung tidak berasas kerana apa yang berlaku di Mesir sekarang, seperti yang berlaku di negara-negara Arab lain, ialah kerana para pemimpinnya yang memandang rendah warga negaranya. Mereka ini dinafikan hak asas yang mana dengan jelas diperuntukkan di dalam mana-mana perlembagaan," kata beliau lagi.

Sambil berseloroh beliau berkata beliau tidak langsung mengaitkan hujahnya dengan Malaysia kerana khuatir akan disiasat lagi oleh kerajaan Umno-BN dengan alasan kononnya berhubungan dengan pengganas antrabangsa.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar kanan) dalam satu kenyataan berkata, umum mengetahui bahawa demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan tersebut dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan.

"Bagi pihak PAS, kami menyatakan solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan. Kami mendoakan kejayaan intifadha rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini.

"PAS juga mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang tidak adil," katanya.

PAS juga meminta pemerintahan BN segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

Rakaman PRK N05 DUN Tenang

Posted: 30 Jan 2011 01:31 AM PST



Pusat pengundian DUN Tenang ditutup. Peratusan keluar mengundi dijangka lebih rendah daripada pilihanraya sebelum ini akibat banjir melanda.

Menurut ketua publisiti DAP Tony Pua dalam twitternya berkata "Mengapa tidak ada bot untuk membawa majoriti pengundi di bandar Labis yang ditenggelami banjir tetapi Felda mendapat semua bot polis dan bomba?".

Gambar Cikgu Mala Di Tempat Pembuangan Undi Felda Tenang

Posted: 30 Jan 2011 12:00 AM PST

Gambar-gambar sekitar PRK DUN Tenang dari Blog Cikgu Mala
















Sekitar pembuangan undi di Felda Tenang

PAS Gesa SPR Tangguh Sebab Banjir

Posted: 29 Jan 2011 11:56 PM PST


PAS mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dun Tenang hari ini ekoran kebanyakan kawasan terputus hubungan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, SPR perlu segera membuat keputusan itu ekoran pengundi kini tidak boleh keluar akibat hujan lebat dan banjir dipetik Harakah Daily.

"Saya minta SPR menangguhkan proses pengundian hari ini kerana hujan lebat dan banjir.

"Pengundi kini sudah terputus hubungan kerana jalan sudah ditutup dan ada dikalangan mereka takut meninggalkan rumah untuk keluar mengundi ekoran banjir di kawasan mereka," katanya.

Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan Labis kini terkepung oleh banjir dari kedua dua arah jalan masuk Segamat dan Yong Peng.

Manakala di Tenang sendiri, beberapa kawasan kini ditenggelami air dan penduduk sedang giat dipindahkan oleh pihak keselamatan termasuk pasukan tentera dan Pertahanan Awam Malaysia.

Laluan di Tenang Stesen ditutup sejak jam 12 tengahari tadi ekoran paras air tinggi mencapai lebih satu meter.

Jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamarul Ariffin menuju ke Air Panas turut ditutup.

Ianya sekaligus menghalang pergerakan penduduk yang mahu keluar mengundi.

SPR sebelum ini menjelaskan, proses pengundian tetap akan diteruskan kerana banjir hanya melanda kawasan kediaman penduduk dan bukan tempat mengundi.

Mereka turut menyediakan kenderaan bagi mengangkut pengundi ke tempat mengundi.

Namun menurut Mahfuz, keadaan kini bertambah buruk ekoran hujan lebat masih tidak berhenti, dan beberapa jalan lagi telah dinaiki air.

"SPR perlu tegas dan jangan hanya menjaga kepentingan Umno BN sahaja," katanya.

Tindakan Gobala Sudah Diramal

Posted: 29 Jan 2011 11:53 PM PST

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan N. Gobalakrishnan meninggalkan PKR berkuat kuasa semalam sudah lama dijangkakan.

Malah menurut Anwar, keputusan Gobala itu tidak memberi kesan jangka panjang ke atas parti itu.

"Kami sudah lama menjangkakan yang ini, melihat pada trendnya, tidak, tidak ini bukan sesuatu yang mengejutkan," kata Anwar di sini, hari ini.

Ura-ura bahawa Gobala akan meninggalkan PKR bertiup kencang sejak akhir tahun lalu.

Justeru, pengumumannya semalam, tidak mengejutkan mana-mana pihak.

Cuaca buruk, peratus keluar mengundi pula tinggi?

Posted: 29 Jan 2011 11:43 PM PST

Cuaca buruk dengan hujan lebat sejak pagi tadi dan banjir kecil menenggelami beberapa tempat menjadi petunjuk peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil Dun Tenang, dijangka rendah.

Namun apa yang meragukan bilangan keluar mengundi sehingga pukul 1.00 tengahari mencatatkan peratusan sebanyak 55.36 peratus, meskipun pengundi dilihat tidak ramai yang keluar menunaikan kewajipan mereka di beberapa tempat akibat hujan lebat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor, Zabidie Abas yang kini berada di Pusat pengundian di Pekan Labis berkata, beliau juga hairan dengan jumlah pengundi yang keluar seperti yang dilaporkan media.

Berdasarkan pemerhatiannya sendiri, bilangan yang keluar mengundi sangat sedikit berikutan cuaca buruk tersebut.

"Di sini kehadiran orang ramai agak lengang. Kehadiran orang tak nampak seramai itu lagi, kalau menyeluruh di tempat lain mungkin. Hujan baru sahaja reda kira-kira pukul 1.30 petang.

"Saya menjangkakan peratus keluar mengundi hanya sekitar 75 peratus, jika lebih daripada itu ada sesuatu yang meragukan," katanya.

Katanya, banjir kecil yang melanda sesetengah tempat, menyukarkan pengundi keluar dari kediaman mereka. Bagaimana pun jentera Pakatan Rakyat berusaha untuk membawa pengundi keluar di kawasan-kawasan kritikal dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Pengundi Dun Tenang mempunyai masa kira-kira tiga jam lagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Berita : Proses Pengundian PRK N.05 Tenang - Part:2

Posted: 29 Jan 2011 09:00 PM PST

Kampung Paya Merah berhampiran pusat pengundian SMK Kamarul Ariffin mula dinaiki air. Beberapa batang jalan di air panas mula dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan. Ianya sekaligus menyukarkan pergerakan kenderaan.

Calon PAS, Normala Sudirman tiba di pusat pengundian SMK Kamarul Ariffin kira-kira jam 11 pagi. Beliau diiringi Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Mumtaz Md Nawi dan AJK Muslimat PAS Pusat Dr Siti Mariah Mahmud.

Normala sempat menyantuni petugas-petugas SPR dan pengundi-pengundi di situ.

Normala dalam respon awalnya berkata, beliau berpuas hati dengan proses pengundian yang berjalan lancar hari ini.

"Faktor cuaca iaitu hujan lebat ternyata tidak menghalang pengundi untuk keluar mengundi," katanya kepada pemberita.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, peratusan pengundian meningkat kepada 48.93 peratus atau 7,219 pengundi keluar mengundi.

Cikgu Mala ketika tiba di SMK Kamarul Ariffin

Cikgu Mala bertanya suasana mengundi kepada pegawai SPR di SMK Kamarul Ariffin.


Cikgu Mala bersama pengundi Cina di SMK Kamarul Ariffin


Kampung Paya Merah berhampiran pusat pengundian SMK Kamarul Ariffin mula dinaiki air.


SPR menjangkakan proses membuang undi tetap akan lancar kerana kawasan dilanda banjir hanya melibatkan kampung penduduk dan bukan pusat mengundi.


4 buah bot Pertahanan Awam Malaysia kini dibawa masuk ke pekan Air Panas bagi mengangkut pengundi terlibat banjir.

Perayu undi dan petugas parti dilihat sedang berkejar mengalihkan kenderaan yang diletak di sepanjang jalan di kampung Air Panas ekoran air mula melimpah.


Jalan dari kedua-dua arah menuju ke Air Panas kini sesak teruk ekoran beberapa tempat di sepanjang jalan dinaiki air. Beberapa buah kereta mati dan terpaksa ditolak ekoran melalui jalan yang dinaiki air di kawasan SMK Kamarul Ariffin.

Setakat jam 12.00 tengah hari, menurut pemantauan terhadap kepercayaan politik oleh NGO Zentrum Future Studies, BN kini mendapat 59.5 peratus manakala Pakatan 40.5 peratus. Di pusat pengundian di Sawah Bahru, jumlah keluar mengundi setakat 12.30 tengah hari tadi sudah mencapai 70.8 peratus.

Tinggal lima jam lagi sebelum pusat pengundian ditutup jam 5 petang ini.

Kaum Cina nyanyi 'Moon Represents My Heart' bersama Nizar

Posted: 29 Jan 2011 07:16 PM PST

Walaupun hujan lebat namun kira-kira 800 penduduk Cina pekan Labis setia mendengar ceramah yang diberikan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat malam tadi.

Yang menariknya, mereka dengan penuh ghairah turut menyanyi bersama Datuk Seri Nizar Jamaludin apabila beliau menyanyikan lagu Cina yang popular, "Moon Represents My Heart" (Bulan mewakili hatiku).

Dalam ucapannya Nizar, bekas MB Perak itu berkata, Datuk Seri Najib adalah ketua penyamun.

Rakyat Perak telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan di negeri itu tetapi Najib telah menyamun hak kerajaan dan rakyat Perak itu, katanya.

Walaupun jam sudah menunjukkan waktu 11.30 malam namun mereka masih setia mendengar ucapan demi ucapan dari para pemimpin DAP, PAS dan PKR di pusat operasi DAP di pekan Labis itu.

Di seberang jalan, MCA juga mengadakan majlis ceramah namun hanya kira-kira 30 penonton menyertainya.

Jika suasana sokongan ini boleh diterjemahkan dengan undi esok, nescaya calon Pakatan dari PAS, Cikgu Normala Sudirman akan mendapat majoriti undi Cina esok.

Teresa Kok yang turut berada di situ menyifatkan hujan yang turun ini umpama kerja tuhan membersihkan segala daki rasuah di atas bumi Labis ini.

Selain beliau, turut berada di situ adalah Teng Chan Khim dan Tony Pua.




Selain di kawasan Cina, Pakatan juga mengandakan ceramah di 15 kawasan malam ini walau dalam hujan lebat.

Berikut adalah gambar yang dirakamkan oleh jurugambar Harakah, Wan Zahari Wan Salleh.

Proses Pengundian PRK N.05 Tenang

Posted: 29 Jan 2011 07:02 PM PST

Sejumlah 14,554 pengundi di Dun Tenang akan menunaikan tanggungjawab hari ini.

Tenang mempunyai 14,673 pengundi berdaftar dengan 199 adalah pengundi pos yang telah selesai membuang undi lebih awal.



Perayu undi yang berada di bahu jalan mula bertambah.



Petugas SPR membantu pengundi warga emas.

Cikgu Mala tiba di Sek Keb LKTP Tenang. Beliau disambut laungan takbir penyokong yang merayu undi. Beliau kini membuat lawatan ke semua saluran disini dan bertemu petugas SPR dan pengundi.

Cikgu Mala ketika ditemui di sini berkata, beliau yakin pengundi tetap akan keluar mengundi walaupun cuaca hujan lebat hari ini. "Saya yakin pengundi akan tetap keluar mengundi walau apa cuaca sekalipun demi memilih calon terbaik mewakili mereka ke Dun Johor" katanya.


"Saya lihat proses pengundian lancar, saya ucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan dan SPR," kata Cikgu Mala.

Calon PAS, Cikgu Mala kini bergerak menuju ke Sek Men Kamarul Ariffin. Sehingga jam 10 pagi ini, 24.34 peratus atau 3,591 pemilih atau satu perempat daripada pengundi sudah keluar mengundi.

Tiada ulasan: