Isnin, 31 Januari 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Bantu Melayu, biarkan Cina dan India?

Posted: 31 Jan 2011 03:16 PM PST


Zulkifli Sulong

LABIS: Penyumbang utama kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Tenang adalah kerana kejayaannya membawa keluar seramai mungkin para penyokong utamanya di Felda dan kampung Melayu walaupun kawasan mereka dilanda banjir.

Pada jam 11 pagi ketika para pelancong politik, petugas dan pengundi bersesak di jalan menuju ke kampung dan Felda Tenang kerana banjir, siren petugas kecemasan kerajaan bingit meminta laluan diberikan kepada mereka untuk membawa bot ke sana.

Antaranya bot polis, tentera, Pertahanan Awan dan juga Bomba dan Penyelamat bergegas di bawa ke sana.

Namun usaha ini tidak berlaku di kawasan pengundi Cina. Ini menyebabkan, kenaikan mendadak peratus mengundi di kawasan Felda dan kawasan tradisional Melayu berbanding kawasan Cina.

Hasilnya, BN berjaya menaikkan peratusan pengundi Melayu mereka kepada 83.3 peratus iaitu kenaikan 4 peratus berbanding pilihan raya umum 2008 lalu.

Ia berlaku apabila jumlah pengundi Melayu dinaikkan kepada 81 peratus iaitu kenaikan 2 peratus berbanding sebelum ini sedangkan jumlah pengundi Cina jatuh 18 peratus manakala India jatuh 23 peratus.

Kawasan undi Kampung Redong sahaja berjaya dinaikkan 11 peratus kepada 80 peratus berbanding sebelum ini hanya 69 peratus.

Felda Chemplak naik 6 peratus kepada 88 peratus manakala di Felda Tenang naik 6 peratus kepada 86 peratus.

Peratusan ini adalah berdasarkan analisa peratusan keluar mengundi yang dibuat oleh Tony Pua, anggota Parlimen Petaling Jaya Selatan.

Undi Cina dan India

Kerana sikap pilih kasih dan bias fokus alat kerajaan untuk kepentingan BN ini, peratusan pengundian di kawasan Cina jatuh teruk. Ia ditambah pula dengan suasana sambutan Tahun Baru Cina yang hampir tiba. Mereka bimbang untuk meredah banjir dan hujan kerana takut demam atau cedera menjelang sambutan itu.

Hasilnya, peratusan keluar mengundi Cina jatuh 18 peratus iaitu kepada 54 peratus sahaja. Namun begitu, peratus undi untuk PAS kekal iaitu 64 peratus.

Peratusan keluar mengundi untuk Labis hanya 50 peratus, Labis Tengah 72 peratus, Labis Timur 67 peratus manakala Tenang Station hanya 51 peratus.

Kawasan yang paling teruk terjejas akibat diskriminasi ini adalah pengundi India apabila hanya 39 peratus sahaja pengundi mereka turun iaitu turun sebanyak 23 peratus.

Pada jam 3 petang semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta SPR menangguhkan pilihan raya ini kerana ramai yang tidak boleh kelauar akibat banjir ini.

"Saya minta SPR menangguhkan proses pengundian hari ini kerana hujan lebat dan banjir.

"Pengundi kini sudah terputus hubungan kerana jalan sudah ditutup dan ada dikalangan mereka takut meninggalkan rumah untuk keluar mengundi ekoran banjir di kawasan mereka," katanya.

Namun begitu, selepas pengumuman dibuat, seorang lagi naib presidennya yang juga pengarah pilihan raya ini, Salahuddin Ayub berkata mereka akan menerima keputusannya buat masa ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat terjejas teruk oleh banjir yang melanda beberapa pusat pengundian di Tenang hari ini.

Kataya, banjir telah menjejaskan peluang parti itu kerana ia melanda banyak kawasan di bandar itu seperti Ladang Labis Utara, Bandar Labis Tengah, Bandar Labis Timor.

Kejayaan PAS

Namun begitu, dengan kekalahan ini PAS masih berbangga dengan beberapa perkara termasuk menyelesaikan persepsi yang cuba dibina oleh Umno selama ini kononnya PAS berkawan dengan DAP yang anti Islam.

Pilihanraya ini membuktikan, MCA sebenarnya yang anti Islam bahkan tidak cuba langsung mendekati dan memahami Islam.

"What is so great about knowing Muslim values?" (Apa baiknya untuk (saya) mengetahui tatasusila orang Islam?)" kata Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek.

Sebelum itu, beliau menghina calon PAS, Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan bukan muhrimnya dan juga memakai sarung tangan untuk membolehkan beliau bersalama dengan mereka.

Ekoran itu pelbagai pihak telah mempertikaikan Soi Lek sehingga Mufti Perak sendiri meminta beliau memohon maaf kepada orang Islam kerana penghinaannya itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyeru seluruh jentera parti PAS untuk menghilangkan tanggapan bahawa kawasan Felda dan kampung tradisional merupakan kubu Barisan Nasional.

"Untuk menganggap Felda kubu BN saya kira agak ekstrem kerana PAS pernah menang di kawasan Felda bahkan pada tahun 1999, bilamana PAS menang di kawasan majoriti melayu, ianya termasuk kawasan Felda," kata Tuan Ibrahim yang diminta mengulas kegagalan PAS menembusi kawasan Felda di pilihanraya kecil Tenang.

Calon PAS, Normala Sudirman tewas kepada calon Barisan Nasional, Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi. Normala memperolehi 2,992 undi manakalah Azahar memperolehi 6,699 undi dengan peratusan keluar mengundi hanya 66.7 peratus.

Jentera Pakatan Rakyat berjaya mengekang majoriti BN naik kepada melebihi 5000 undi sebagaimana yang disasarkan BN.

PAS, PKR dan 71 NGO demo bantah Mesir

Posted: 31 Jan 2011 03:13 PM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Pemimpin PAS, PKR dan beberapa NGO hari ini berhimpun di kedutaan Mesir di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum menuntut agar regim Hosni Mubarak berundur.

Mereka berhimpun bagi menunjukkan semangat setiakawan mereka dengan perjuangan rakyat negara itu dan menuntut agar kerajaan yang ada tidak menggunakan kekerasan dan menerima tuntutan rakyat.

Antara yang hadir adalah AJK PAS Pusat Mohamad Sabu, Dr Syed Azman, Adun Kota Damansara Dr Nasir Hashim, Ketua Pemuda Nasruddin Hassan Tantawi dan juga ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof.

Mereka berarak daripada kawasan letak kereta tidak jauh dari situ sambil melaungkan kecaman ke atas Mubarak dengan 'Down Mubarak' (Turun Mubarak) sambil membawa poster pemimpun Mesir dengan lambang Zionis di dahi.

Kumpulan daripada 71 NGO itu kini sedang berunding dengan kira-kira 50 anggota polis - yang menutup pintu masuk ke kedutaan - untuk menghantar memorandum kepada wakil kerajaan Mesir.

Setakat ini, dalam bantahan besar-besaran penduduk Mesir, ratusan telah terkorban apabila ribuan membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah bagi menuntut penamatan 30 tahun pemerintahan Hosni Mubarak.

Aljazeera hari ini melaporkan, pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei yang menyertai kumpulan penunjuk perasaan itu memberitahu orang ramai pada Ahad malam bahawa "kita sudah bermula dan tidak boleh berpatah balik".

Sejak Selasa lepas beberapa siri demonstrasi dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak pengunduran Mubarak.

Kebangkitan rakyat Mesir itu kini menarik perhatian seluruh dunia kerana dijangka memberi kesan besar kepada politik dunia Arab.

Hidup rakyat Mesir, turun regim Mubarak

Posted: 31 Jan 2011 03:11 PM PST

Aziz Muda dan Majdan Yahya

KUALA LUMPUR: "Hidup, hidup, rakyat Mesir!", "Turun, turun, regim Mubarak!" Begitulah antara laungan yang lantang kedengaran dari ratusan pemimpin, ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat dan NGO yang berkumpul di kedutaan Mesir, di sini, pagi ini untuk menghantar memorandum bagi mendesak regim Hosni Mubarak turun dari tampuk pemerintahannya di negara itu.

Perhimpunan aman itu diadakan sebagai menunujukkan sikap kebersamaan mereka dengan perjuangan rakyat Mesir bagi melepaskan diri dari cengkaman pemerintahan Mubarak yang penuh kezaliman sejak 30 tahun lalu.

Mereka mula berkumpul sekitar jam 10.30 pagi di kawasan letak kereta lalu berarak menuju ke pintu pagar pejabat kedutaan Mesir, tidak jauh dari situ, dengan melaungkan slogan "Down Mubarak' (Turun Mubarak) sambil membawa poster Mubarak yang mempunyai lambang regim zionis di dahinya.

(GAMBAR: Dua pemimpin Pemuda PAS memegang poster Mubarak yang dahinya bertanda lambang Israel)

Perhimpunan tersebut antara lain diwakili oleh PAS, PKR, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan beberapa NGO termasuk JIM dan ILMAM (Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir).

Antara pemimpin PAS yang hadir termasuklah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi.

Pemimpin PKR dan PSM antara lain diwakili oleh Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan, manakala NGO pula diwakili pemimpin masing-masing.

Sementara menunggu pihak kedutaan menerima memorandum itu, beberapa orang pemimpin mengambil kesempatan berucap yang mengandungi mesej jelas kutukan mereka terhadap pemerintahan regim Mubarak yang penuh kezaliman terhadap rakyat Mesir, sehingga sekian banyak orang awam dan para pejuang Islam dibunuh.

Lebih ketara lagi, 25 Disember 2008 lalu, Mubarak turut bersekongkol dengan regim Zionis Israel dengan mengadakan mesyuarat khas, sehingga menyebabkan Israel semakin bermaharajalela dalam melakukan serangan, pembunuhan dan penindasan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

"Kini, rakyat Mesir ternyata sudah tidak sanggup lagi berada di bawah pemerintahan regim Mubarak. Rakyat Mesir sudah bangkit menuntut haknya. Regim Mubarak pasti akan tumbang.

"Kita di Malaysia menghidu perkembangan segar ini dengan penuh kesedaran bagi menunjukkan sikap kebersamaan kita dengan rakyat Mesir. Kita juga berharap agar apa yang berlaku terhadap Mubarak sekarang diambil pengajaran oleh semua pihak supaya tidak melakukan kezaliman kepada rakyatnya sendiri dan kepada sesama manusia," kata mereka.

Sambil diselang-seli dengan laungan takbir, kata-kata "hidup rakyat Mesir", 'hancur kezaliman", 'undur Mubarak" dan beberapa ungkapan lain, mereka bergilir-gilir berucap bagi menyatakan pendirian mereka yang tidak akan bersekongkol dengan sebarang penindasan dan kezaliman terhadap sebarang pihak di serata dunia.

Sehingga sekitar jam 12 tengah hari, pintu pagar pejabat kedutaan Mesir tetap juga tidak dibuka yang membuktikan pihak kedutaan enggan menerima memorandum itu.

Sebagai simbolik penyerahan, memorandum berkenaan kemudiannya telah dimasukkan ke dalam kotak dan diletakkan di peti surat yang terdapat di muka pintu pagar kedutaan tersebut.

Sebelum memorandum itu diserahkan kepada pihak kedutaan Mesir secara simbolik, mereka yang diwakili oleh S. Arutchelvan terlebih dahulu membacanya kepada para wartawan.

Antara isinya menegaskan tentang pendirian mereka yang menyokong sepenuhnya tuntutan rakyat Mesir agar Mubarak berundur dari takhta pemerintahannya.

Mubarak sendiri perlu faham dengan tuntutan itu kerana seluruh rakyat Mesir sudah menyatakan pendirian mereka secara jelas sejak seminggu lalu, apabila mereka telah keluar ke jalan-jalan bagi menyatakan kebencian dan suara hati mereka terhadap pemimpin tersebut, sehingga tidak akan berakhir selagi Mubarak tidak memenuhi tuntutan mereka.

Pemuda PAS teguh bersama rakyat Mesir

Posted: 31 Jan 2011 03:05 PM PST

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melahirkan pendiriannya akan berdiri teguh bersama rakyat Mesir yang memperjuangkan Islam, mempertahankan kedaulatan negara, memperbaiki kestabilan politik dan ekonomi serta mengembalikan kesejahteraan rakyat.

Mereka turut menolak sebarang bentuk pengaruh daripada Amerika Syarikat dan Israel dalam pembentukan polisi Mesir, di samping berharap agar pemerintahan baru di negara itu dapat membantu negara umat Islam di Palestin secara konsisten dan menjadi asas kepada kesatuan negara-negara Arab di Timur Tengah.

Ketua DPPP, Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi menegaskan, DPPP mengutuk keras sebarang bentuk kekerasan dan kekasaran yang dilakukan oleh regim Hosni Mubarak terhadap peserta demonstrasi serta menuntut agar desakan mereka dilayan secara profesional dan adil.

Menurut beliau, ini termasuklah membebaskan kesemua tahanan peserta demonstrasi dan pengamal media kerana ia bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada sebarang usaha ke arah pembubaran Parlimen Mesir dan penganjuran pilihanraya umum yang telus dan bersih.

"Pihak penganjur pilihanraya mestilah bebas daripada sebarang campur tangan parti politik, di samping menjamin kebebasan media untuk melaporkan perkembangan dan hasrat rakyat kepada pengundi dan masyarakat luar," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi memorandum khas DPPP yang diserahkan bersama memorandum yang diserahkan oleh para pemimpin PAS, Pakatan Rakyat dan beberapa NGO kepada kedutaan Mesir, di sini, hari ini.

Menerusi memorandum itu, DPPP turut melahirkan sokongan dan komitmen solidariti kebangkitan rakyat Mesir menentang regim autokratik Hosni Mubarak.

"Penentangan rakyat Mesir adalah manifestasi penolakan prinsip ketidakadilan, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah sejak beberapa dekad yang lalu," katanya.

DPPP turut mengucapkan tahniah khususnya kepada golongan muda yang berani dan aktif menyertai agenda revolusi bagi menuntut keadilan dan pembaharuan di Mesir.

"Malah, kami mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa yang terkorban mahupun tercedera dalam saingan revolusi ini," tegasnya.

Pergolakan politik di Mesir kini adalah ekoran kejatuhan regim pemerintah Zein Al-Abidin di Tunisia lalu menjalar ke beberapa buah negara jiran lain termasuk Yaman, Oman, Algeria dan Jordan.

Dengan perkembangan terbaru yang berlaku di Mesir, DPPP turut menjangkakan teori domino itu akan terus berantai sehingga memberikan kesan revolusi keadilan sedunia.

"Namun melihat perkembangan pergolakan politik hari demi hari di Mesir, DPPP melihat situasi semakin kritikal apabila pihak pemerintah tidak mengambil langkah drastik untuk menyelesaikan perkara pokok dan sebenarnya.

"Sebaliknya, mereka melakukan pembantaian terhadap peserta demonstrasi seperti menembak dengan menggunakan gas, air dan pukulan terhadap mereka. Malah lebih parah lagi apabila hubungan komunikasi melalui media baru dan telefon disekat untuk memadamkan kemaraan rakyat," katanya.

Jelas, menurut beliau, sikap yang ditunjukkan itu telah mencabul hak asasi manusia dan memburukkan wajah demokrasi di Mesir.

Berdasarkan pendedahan-pendedahan media antarabangsa, pihak berkuasa Mesir telah mengambil pendekatan kekerasan untuk mengawal dan meredakan keadaan.

"Walau bagaimanapun, desakan terhadap agenda reformasi, kestabilan, demokrasi dan kebebasan tetap menjadi agenda utama dan kami menyokong usaha tersebut," tegasnya.

Beliau berharap agar hasrat DPPP yang disuarakan melalui memorandum itu dapat disampaikan kepada pihak-pihak simpatisan dan pejuang revolusi kebangkitan rakyat di Mesir.

Kes Aminulrasyid: Nasib Koperal Jenain diketahui 17 Feb

Posted: 31 Jan 2011 03:03 PM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM — Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 17 Februari ini untuk memutuskan sama ada Koperal Jenain Subi dipanggil membela diri terhadap tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, tahun lepas.

Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan selain keterangan 39 saksi sepanjang perbicaraan.

Jenain didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April tahun lepas di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Harga petrol RON97 naik 10 sen seliter

Posted: 31 Jan 2011 02:51 PM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Harga petrol RON97 naik sebanyak 10 sen seliter mulai tengah malam ini, demikian menurut sumber-sumber industri hari ini.

Dengan kenaikan itu bahan api RON97 akan dijual RM2.50 seliter.

Ini kenaikan kali kedua tahun ini. Ia mengalami kenaikan, juga10 sen seliter berkuat kuasa 5 Januari lalu.

Harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Disember lalu, menjadikan RM2.30 seliter.

"Kenaikan kali ini hanya membabitkan petrol RON97, yang lain-lain kekal tidak berubah," kata sumber ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tiga maut, banjir semakin buruk di empat negeri

Posted: 31 Jan 2011 02:50 PM PST



Sebahagian daripada mangsa banjir di kawasan Segamat dipindahkan ke tempat lebih selamat oleh pasukan menyelamat mangsa banjir hari ini. — Foto oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 31 Jan — Dengan tiga kematian dan lebih 40,000 telah dipindahkan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang hari ini, masih ramai terperangkap di beberapa bandar di Johor dengan ketiadaan bekalan elektrik atau bekalan makanan, memaksa pasukan tentera menyertai operasi menyelamat mangsa.

Sehingga pukul 6.45 petang tadi, sebahagian besar Johor diselubungi awan mendung manakala maklumat pihak berkuasa kaji cuaca menunjukkan hujan akan turun sehingga hujung minggu ini.

Di Labis, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, bencana banjir yang melanda Labis, Segamat, Kluang,

Ledang dan beberapa daerah lain sejak dua hari lepas, berpunca akibat keadaan cuaca hujan lebat yang disifatkannya sebagai luar biasa.

Terdahulu beliau mengunjungi pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Agama Labis - sehari selepas pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang. Pusat itu menempatkan 830 orang daripada 137 keluarga, yang terjejas ababila banjir melanda beberapa kawasan perkampungan dan taman-taman perumahan di sekitar Labis.

Kata Muhyiddin, segala usaha untuk memindahkan mangsa dan memberi pelbagai bantuan kemanusiaan telah digerakkan melibatkan kerajaan negeri dan pelbagai agensi kerajaan pusat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau turut meminta Kementerian Pertahanan menggerakkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu operasi pemindahan mangsa banjir.

Bencana kali ini diakibatkan hujan berterusan selama hampir 10 hari, kata penduduk Segamat manakala menurut Jabatan Meteorologi, hujan dijangka turun hingga minggu ini di Segamat, Kota Tinggi dan Kluang.

Johor menyaksikan lebih 37,000 telah dipindahkan dengan dua kematian manakala di Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang membabitkan sekitar 5,000 orang.

Seorang meninggal dunia di Jasin, Melaka.

Penduduk tempatan Segamat bimbang keadaan banjir akan semakin buruk berbanding yang melanda kawasan itu pada Disember 2006 dan Januari 2007.

Hotel-hotel di Segamat terpaksa memindahkan ruang memasak ke aras yang lebih tinggi untuk menyediakan makanan bagi tetamu, yang hanya mampu menyaksikan sebahagian bandar yang terselamat dalam banjir 2006 tetapi tidak terlepas daripada bencana kali ini.

Satu-satunya cara untuk mereka keluar dari Segamat dan perkampungan sekitar ialah dengan menggunakan bot.

Sebahagian mangsa dilihat meninggalkan rumah masing-masing yang dinaiki air setinggi satu meter menggunakan sampan manakala pasar mini dan pasar raya yang tidak terlibat dengan banjir pula sudah kehabisan bekalan makanan.

Keluarga di pusat-pusat pemindahan juga risau dengan mendakwa bekalan makanan hanya cukup untuk sehari meskipun pihak berkuasa mengatakan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang mengambil langkah yang perlu untuk menyediakan makanan kepada mangsa-mangsa terlibat.

Banjir juga mencecah laluan Lebuh Raya Utara Selatan dekat Tangkak selepas air Sungai Kesang melimpah.

Keadaan itu menyebabkan pergerakan kenderaan menggunakan satu lorong, sekali gus membawa kepada kesesakan sejauh 10 kilometer ketika ramai mula menggunakannya sempena sambutan Tahun Baru Cina Khamis ini.

Sehingga petang tadi lebih 10,169 orang di daerah Segamat dipindahkan ke pusat perpindahan ekoran keadaan banjir yang semakin teruk.

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir daerah Segamat, sehingga pukul petang tadi kesemua penduduk telah dipindahkan dari rumah masing-masing dan dibawa ke 82 pusat perpindahan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,400 keluarga dipindahkan ke pusat perpindahan.

"Kita jangkakan jumlah itu akan bertambah, selain itu 19 kawasan terputus hubungan dan beberapa jalan utama juga terpaksa ditutup termasuk jalan Segamat ke Jementah dan Segamat ke Gemas," katanya.

Menurut jurucakap itu, keadaan banjir yang melanda daerah Segamat sejak semalam ekoran hujan berterusan sejak awal pagi dijangka akan terus meningkat sekiranya hujan masih turun.

"Bandar Segamat sudah ditenggelami air, begitu juga dengan beberapa kawasan petempatan lain terutamanya di kawasan kampung.

"Paras air masih lagi sama, kejap naik kejap turun tapi kalau masih hujan kita jangkakan ia akan naik lagi," katanya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, banjir yang melanda Johor meragut nyawa dua wanita — seorang di Chaah, Segamat, dan seorang lagi di Kampung Rahmat, Kulaijaya.

Kedua-duanya terperangkap dalam kenderaan masing-masing yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian malam tadi.

Di Chaah, Rohani Ismail, 51, lemas selepas kereta yang dipandunya dihanyutkan arus deras di KM145 Jalan Johor Baharu-Seremban, kata Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Abdul Majid Mohd Ali.

Di Kulaijaya pula, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata, mangsa yang lemas akibat banjir di Kampung Rahmat dikenali Aw Yoke Lin, 53, berasal dari Taman Pelangi.

Pegawai Jabatan Meteorologi memberitahu The Malaysian Insider, hujan lebat diakibatkan musim monsun timur laut.

"Angin dari musim monsun timur laut membawa hujan lebat, Johor menjadi tumpuan," katanya.

"Fenomena La Nina juga mungkin menyebabkan hujan lebat juga," kata pegawai jabatan itu.

Laporan berasingan Bernama menyebut, banjir di Melaka meragut mangsa pertama hari ini di Jasin sementara 2,714 mengsa dipindahkan di 26 pusat pemindahan di ketiga-tiga daerah di Melaka sehingga empat petang ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 616 keluarga di daerah Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Seramai 1,275 mangsa dari 330 keluarga dipindahkan di Jasin di 15 pusat pemindahanan, 1,390 mangsa dari 278 keluarga di Alor Gajah di 10 pusat pemindahan dan 49 mangsa dari lapan keluarga di Melaka Tengah di satu pusat pemindahan.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Che Suza Che Hitam, berkata, mangsa yang ditemui lemas ialah Yusry Mohd Yusof, 40, seorang pengawal keselamatan di Loji Air, Kg Chinchin, Jasin.

"Mangsa dilaporkan terjatuh ke kolam itu pada pukul 10 pagi ini dan polis dengan bantuan orang ramai, pasukan bomba dan penyelamat menemui mayat mangsa kira-kira 1.30 tengah hari," katanya ketika dihubungi Bernama.

Kerajaan negeri telah membuka bilik gerakan banjir yang beroperasi 24 jam di Kota Cemerlang, Air Keroh, di sini dan boleh menghubunginya di talian 06-2333333.

Seramai 538 mangsa banjir dari empat daerah di Pahang ditempatkan di 13 pusat pemindahan, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abd Rahim.

Beliau berkata mangsa-mangsa itu adalah dari 18 perkampungan di daerah Rompin, Raub, Bera dan Maran yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan yang dibuka sejak pukul 2.40 petang semalam.

Daerah Raub mencatatkan angka pemindahan tertinggi dengan 204 mangsa diiikuti Rompin (179), Bentong (100) dan Maran (55), katanya kepada pemberita di Kuantan.

Sementara itu katanya, beberapa jalan di daerah Bentong, Bera dan Rompin ditutup kepada semua jenis kenderaan setelah dinaiki air setinggi 1.5 hingga dua meter.

Jalan-jalan tersebut ialah di KM9, 12 dan 13 Jalan Karak-Kuala Pilah di Bentong, jalan alternatif Kampung Pasal ke Felda Palong 8 dekat Muadzam Shah, jambatan Kampung Lubuk Batu dan Jambatan Sungai Gayung di Rompin serta KM22 Jalan Kemayan ke Ladang Risda di Bera.

Bernama juga melaporkan bahawa kira-kira 1,921 penduduk dari empat daerah dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini berikutan banjir akibat hujan yang turun sejak semalam.

Gemas dan Tampin merupakan daerah yang paling teruk dilanda banjir apabila seramai 1,545 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan.

Banjir di Gemas kali ini adalah paling teruk berbanding tahun 2006, ekoran hujan luar biasa yang berterusan dalam tempoh dua hari menyebabkan air Sungai Muar melimpah.

Pekan Gemas ditenggalami air hingga menjejaskan aktiviti perniagaan.

Selepas Tenang, PAS rangka strategi berkesan

Posted: 31 Jan 2011 03:23 AM PST


Harakahdaily

KUALA LUMPUR: PAS akan merangka strategi berkesan dalam pilihanraya seterusnya dan akan melakukan desakan agar pilihan raya yang bebas dan telus dilaksanakan di Malaysia.

Demikian kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily ekoran kekalahan calonnya, Normala Sudirman di Tenang.

Calon BN pada PRK Tenang, Mohd Azahar Ibrahim mendapat 6,699 undi menewaskan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman atau Cikgu Mala yang memperolehi 2,992 undi dengan majoriti 3,707 undi.

Meskipun berjaya mempertahankan kerusi Dun Tenang, namun BN gagal mencapai majoriti sasaran iaitu 5,000 undi sebagaimana yang pernah dihasratkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang, PAS senantiasa menegaskan bahawa demokrasi tulen bukan terbatas kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi semata-mata,.

Tetapi ianya mestilah bertitik tolak dari peraturan yang adil, senarai pengundi yang bersih, media yang bebas, persekitaran kempen yang bebas dari sogokan dan ugutan rasuah projek pembangunan yang melimpah ruah semasa tempoh berkempen, dan berbagai lagi ciri yang mentakrifkan sebuah sistem demokrasi yang adil dan tulen.

Berikut adalaah kenyataan penuh beliau:

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

"Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN N.05 Tenang"

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh petugas pilihan raya kecil DUN Tenang dari berbagai latarbelakang politik, Pengarah dan Jawatankuasa Pilihan Raya PAS – DAP – PKR yang bertungkus lumus menggerakkan jentera kempen, Pengerusi dan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dan seluruh Negeri serta orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang menyumbangkan tenaga dan sokongan.

Ucapan tahniah diucapkan kepada calon PAS iaitu Cikgu Normala Sudirman dan keluarga beliau yang telah berjaya menggerakkan semangat juang yang tinggi di kalangan petugas sepanjang pilihan raya berjalan.

Jutaan terima kasih juga kepada seluruh pengundi berbagai kaum yang telah memberikan kepercayaan dengan mengundi PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil berkenaan.

PAS amat menghargai sokongan dan harapan semua pihak dalam pilihanraya kecil ini untuk melihat fajar baru menyinsing dalam dominasi politik baru di tanah air tercinta ini.

Keputusan pilihanraya ini walaupun tidak menyebelahi kita, tetapi ianya telah menjadi kunci kepada semangat juang kita seterusnya dalam proses untuk kita melakukan perubahan yang menyeluruh dan bermakna dalam sistem demokrasi yang berat sebelah ini.

Kita akan terus menerus merangka strategi berkesan bagi meningkatkan keupayaan dan kebersamaan gerakerja dalam pilihanraya seterusnya, dan dalam masa yang sama akan melakukan desakan agar pilihan raya yang bebas dan telus dilaksanakan di Malaysia.

Untuk kesekian kalinya kita berhadapan dengan Umno-BN yang menggerakkan jentera kerajaan dengan bajet yang tidak terbatas, media berat sebelah yang masuk di tiap-tiap buah rumah, dan peraturan pilihan raya yang tidak berasaskan suasana pertandingan di lapangan yang sama rata.

Oleh yang demikian, usaha menggerakkan massa menerusi saluran parti politik dan NGO akan terus dilaksanakan agar demokrasi yang tulen dapat ditegakkan.

Kita senantiasa menegaskan bahawa demokrasi tulen bukan terbatas kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi semata-mata, tetapi ianya mestilah bertitik tolak dari peraturan yang adil, senarai pengundi yang bersih, media yang bebas, persekitaran kempen yang bebas dari sogokan dan ugutan rasuah projek pembangunan yang melimpah ruah semasa tempoh berkempen, dan berbagai lagi ciri yang mentakrifkan sebuah sistem
demokrasi yang adil dan tulen.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

26 Safar 1432 H / 31 Januari 2011 M

STAM: 4,138 calon peroleh sijil dengan pangkat Maqbul

Posted: 31 Jan 2011 03:18 AM PST

BERNAMA

PUTRAJAYA— Seramai 4,138 atau 63.3 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus).

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata daripada jumlah itu, 413 calon memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) dengan 50 daripadanya mendapat gred cemerlang dalam kesemua 10 mata pelajaran, 804 mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik) dan 1,961 Jayyid (baik) dan selebihnya Maqbul.

Meskipun terdapat penurunan jumlah calon yang memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang), terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan iaitu pertambahan sebanyak 196 orang, Jayyid (554 orang) dan Maqbul(259) berbanding 2009, katanya ketika mengumumkan analisis keputusan STAM 2010 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata kesemua calon yang memperoleh sijil layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan atau ke Universiti Al-Azhar di Mesir.

"Seramai 3,178 calon yang mendapat pangkat Mumtaz hingga Jayyid layak memohon untuk melanjutkan pelajaran Universiti Al-Azhar," katanya.

Sebanyak 10 mata pelajaran ditawarkan kepada calon STAM yang meliputi bidang bahasa, sastera Arab, syariah dan usuludin.

Abdul Ghafar berkata pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam yang meletakkan STAM setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah menarik minat lebih ramai calon untuk menduduki peperiksaan itu pada tahun lepas iaitu 6,537 orang berbanding 4,694 calon pada 2009.

"Kita melihat lebih ramai calon tahun ini berjaya mendapat sijil berbanding tahun sebelumnya. Kejayaan mereka membuka lebih ruang dan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan," katanya.

Calon yang tidak berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian untuk sebarang mata pelajaran yang kurang memuaskan.

Mereka diberi peluang untuk mendaftar bagi menduduki semula peperiksaan itu pada 31 Mac ini.

Shaziman: Banjir di Gemas paling buruk

Posted: 31 Jan 2011 03:17 AM PST

BERNAMA

GEMAS — Penduduk di Negeri Sembilan yang terbabit dengan banjir diingatkan supaya memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan mereka.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata keselamatan diri dan ahli keluarga mangsa banjir perlu diberi keutamaan bagi mengelak kejadian tidak diingini yang boleh membahayakan nyawa mereka.

"Perkara paling penting yang saya hendak ingatkan ketika banjir ialah kita hendaklah memastikan keselamatan diri dan ahli keluarga kita," katanya yang juga Anggota Parlimen Tampin kepada pemberita semasa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Kira-kira 1,921 penduduk dari empat daerah dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini berikutan banjir akibat hujan yang turun sejak semalam.

Gemas dan Tampin merupakan daerah yang paling teruk dilanda banjir apabila seramai 1,545 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan.

Banjir di Gemas kali ini adalah paling teruk berbanding tahun 2006, ekoran hujan luar biasa yang berterusan dalam tempoh dua hari menyebabkan air Sungai Muar melimpah.

Pekan Gemas ditenggalami air hingga menjejaskan aktiviti perniagaan.

Shaziman berkata bekalan keperluan untuk mangsa banjir perlu dihantar segera.

Bapa Nurin Jazlin kalah kes saman polis

Posted: 31 Jan 2011 03:15 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman fitnah RM2 juta terhadap polis dan kerajaan, yang dikemukakan Jazimin Abdul Jalil, bapa kepada Nurin Jazlin kakan-kanak yang dibunuh kejam tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad mengenepikan saman Jazimin dengan kos terhadap bekas Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan kerana membuat kenyataan yang dianggap Jazimin sebagai fitnah, yang mengatakan bahawa kehilangan Nurin Jazlin berkaitan dengan along.

Dalam samannya pada 21 Ogos 2008, Jazimin berkata kenyataan defendan yang muncul dalam artikel akhbar harian di bawah tajuk "Siasat Ah Long Larikan Nurin" mengakibatkan nama baik dan reputasinya terjejas.

Jazimin mendakwa kenyataan itu bermaksud dia berhutang dengan along dan perbuatan itu membahayakan nyawa anggota keluarganya.

Nurin Jazlin, 8, diculik berdekatan dengan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, pada 20 Oktober 2007, dan mayatnya ditemui dalam beg sukan 27 hari kemudian.

Dalam keputusannya Asmabi berkata selepas mendengar keterangan dalam perbicaraan penuh saman itu, mahkamah berpuas hati bahawa kata-kata fitnah yang disebut dalam saman itu bukan diucapkan oleh Khalid pada satu persidangan media.

Beliau berkata Khalid membuat persidangan akhbar itu pada 20 September 2007 bagi memaklumkan orang ramai berhubung perkembangan siasatan kes Nurin Jazlin kerana beliau mempunyai tanggungjawab moral dan tugas untuk memberitahu orang ramai kerana, ia merupakan kes berprofil tinggi dan kes yang mempunyai kepentingan awam.

Asmabi berkata pemberita Kosmo yang memberi keterangan di mahkamah mengaku bahawa dia menulis artikel itu berdasarkan kepada pemahamannya mengenai apa yang dikatakan Khalid, dan ia bukan petikan sebenar kata-kata Khalid pada persidangan akhbar itu.

Pemberita itu mengakui bahawa dia tidak menulis teks keseluruhan mengenai apa yang dikatakan oleh Khalid, tapi hanya menulis fakta-fakta utama.

Hakim turut berkata keterangan daripada pemberita New Straits Times dan Oriental Daily menunjukkan bahawa mereka tidak mendengar kata-kata yang disiarkan oleh akhbar Kosmo, yang memetik kata-kata Khalid mengenai peminjam wang secara haram.

Asmabi berkata kedua-dua pemberita itu berkata, kata-kata mengenai peminjam wang haram itu keluar dari mulut seorang pemberita yang bertanyakan Khalid mengenainya pada persidangan akhbar itu.

"Dalam perkara ini plaintif menamakan pihak yang salah dalam samannya, dia seharusnya menyaman Kosmo dan pemberitanya. Oleh itu saman ini ditolak dengan kos," katanya.

Peguam kanan persekutuan Noorin Badaruddin yang mewakili defendan memohon RM50,000 sebagai kos yang perlu dibayar oleh plaintif kepada defendan.

Hakim bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Jazimin, Natasha Bashir supaya kos itu dinilai kemudian nanti.

Jazimin semasa ditemui pemberita berkata beliau akan berbincang dengan peguamnya untuk menimbang kemungkinan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini.

Kes Teoh: Sebutan semakan didengar 17 Februari

Posted: 31 Jan 2011 03:14 AM PST

BERNAMA

SHAH ALAM — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 Februari untuk sebutan bagi permohonan semakan kehakiman oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung keputusan Koroner yang merumuskan kematian Teoh Beng Hock sebagai keputusan terbuka.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak dan beliau hanya membenarkan pihak pendakwaan dan keluarga Teoh sahaja berhujah berkaitan permohonan itu.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kerajaan Negeri Selangor dan Badan Peguam dibenarkan bertindak sebagai pemerhati sahaja.

"Saya rasa yang terlibat secara terus adalah keluarga si mati. Dalam inkues sebenarnya melibatkan polis yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya dan koroner akan membuat keputusan tetapi di dalam kes ini saya beri hak kepada keluarga si mati kerana anak mereka telah meninggal dunia dan ini menjadi saluran untuk melahirkan rasa terkilan," katanya.

Semasa inkues, kesemua pihak terbabit dibenarkan oleh Koroner Azmil Muntapha Abas untuk berhujah serta menyoal balas saksi sepanjang prosiding.

Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 Plaza Masalam di sini.

Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Teoh bermula pada 29 Julai 2009 ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Di awal prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan tetap meneruskan permohonan itu walaupun pihak kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang akan bersidang 14 Februari ini.

Katanya permohonan tersebut dibuat pada 7 Januari lalu dan keputusan untuk penubuhan Suruhanjaya Diraja dibuat selepas itu iaitu pada 26 Januari.

Bagaimanapun, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memohon keputusan itu dikaji semula kerana Suruhanjaya Diraja berkemungkinan akan menyiasat perkara sama yang turut melibatkan siasatan terhadap kematian dan perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh.

Berikutan kenyataan Gobind itu, hakim memerintahkan tarikh sebutan ditetapkan selepas sidang pertama Suruhanjaya Diraja berlangsung bagi mengetahui skop siasatan.

Banjir di Johor ragut nyawa dua wanita

Posted: 31 Jan 2011 03:11 AM PST

TERKINI


Keadaan banjir yang semakin buruk di kawasan Segamat hari ini. — Foto oleh Choo Choy May


Gambaran satelit agensi kaji cuaca Singapura menunjukkan pergerakan awam di rantau Asia Tenggara. Wilayah selatan Semenanjung diramal hujan sepanjang minggu ini. —www.weather.gov.sg
JOHOR BARU— Banjir yang melanda Johor meragut nyawa dua wanita — seorang di Cha'ah, Segamat dan seorang lagi di Kampung Rahmat, Kulaijaya.

Kedua-duanya terperangkap dalam kenderaan masing-masing yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian malam tadi.

Di Cha'ah, Rohani Ismail, 51, lemas selepas kereta yang dipandunya dihanyutkan arus deras di KM145 Jalan Johor Baharu-Seremban, kata Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Abdul Majid Mohd Ali.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam tadi ketika Rohani bersama empat anggota keluarganya dalam perjalanan pulang ke Felda Keratong 5, Pahang, selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di Semerah, Batu Pahat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Majid berkata kereta yang dipandu Rohani dihanyutkan 50 meter ke dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

Beliau berkata sekumpulan penunggang motosikal yang lalu di jalan itu berjaya menyelamatkan anggota keluarga Rohani, termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, tetapi gagal menyelamatkan mangsa.

Katanya gerakan mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat Rohani dua jam kemudian.

Di Kulaijaya pula, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya, berkata mangsa yang lemas akibat banjir di Kampung Rahmat dikenali Aw Yoke Lin, 53, berasal dari Taman Pelangi di sini.

"Polis menerima maklumat sekitar 9 malam tadi mengenai kenderaan jenis Hilux yang dipandu oleh Aw yang dilaporkan dihanyutkan air deras dan masuk ke dalam sungai di kampung itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkefly berkata lima anggota bomba dan 12 anggota polis yang melakukan gerakan mencari dan menyelamat kemudian berjaya menarik keluar kenderaan terbabit dari sungai itu pada pukul 11.50 malam.

Beliau berkata Aw, bagaimanapun, didapati sudah meninggal dunia dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya, untuk bedah siasat.

Sementara itu, banjir ekoran hujan lebat sejak hampir seminggu lalu memaksa lebih 8,083 penduduk daerah Kluang dipindahkan dan jumlah itu dijangka bertambah sekiranya hujan berterusan. Kluang salah satu daerah terjejas ekoran hujan lebat di Johor.

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir daerah Kluang, penduduk yang terjejas banjir ditempatkan di 43 pusat perpindahan.

"Kita jangkakan jumlah ini akan bertambah kerana kita ada lima lagi pusat perpindahan yang belum pasti jumlah sebenarnya.

"Hampir kesemua kawasan di daerah ini ditenggelami air termasuk Paloh, Kahang, Simpang Renggam dan Kampung Gajah.

"Kita masih menjalankan kerja-kerja membawa penduduk di tempat perpindahan, jumlah yang ada ini akan bertambah," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut jurucakap itu, sebanyak 1,888 keluarga berada di pusat perpindahan di daerah itu.

Laporan hari ini mengatakan hujan yang berterusan di Johor memaksa lebih 1,000 orang dipindahkan selain memutuskan hubungan ke Segamat dan mengancam beberapa bandar lain, mencetuskan kebimbangan berulangnya banjir besar empat tahun lalu yang turut mengorbankan enam orang.

Seramai 1,339 orang telah dipindahkan setakat pagi tadi dengan 16 kampung di Segamat dinaiki air setinggi satu meter.

Menurut beberapa penduduk tempatan di kawasan Segamat, situasi semakin buruk berbanding keadaan yang disaksikan di Johor pada Disember 2006 dan Januari 2007.

Dalam pada itu, dipetik Bernama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bencana banjir yang melanda Labis, Segamat, Kluang, Ledang dan beberapa daerah lain sejak dua hari lepas, berpunca akibat keadaan cuaca hujan lebat yang disifatkannya sebagai luar biasa.

Oleh itu beliau berharap agensi-agensi kerajaan akan berbincang bagi mencari kaedah memperkenalkan sistem amaran awal banjir yang lebih berkesan.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, perbincangan itu perlu diadakan antara pelbagai agensi di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sistem amaran awal banjir itu perlu bukan sahaja bagi membolehkan kita menjangkakan bencana banjir lebih cepat tetapi memastikan operasi pemindahan mangsa banjir dan penggemblengan aset menyelamat menjadi lebih berkesan," katanya selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Agama Labis hari ini.

Pusat itu menempatkan 830 orang daripada 137 keluarga, yang terjejas ababila banjir melanda beberapa kawasan perkampungan dan taman-taman perumahan di sekitar Labis.

Katanya, segala usaha untuk memindahkan mangsa dan memberi pelbagai bantuan kemanusiaan telah digerakkan melibatkan kerajaan negeri dan pelbagai agensi kerajaan pusat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Semalam saya telah berbincang dengan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, dan meminta beliau melaksanakan segala usaha bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau turut meminta Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggerakkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu operasi pemindahan mangsa banjir.

Beliau berkata pengalaman Johor ketika berhadapan dengan banjir besar pada 2006 apabila puluhan ribu rakyat negeri itu menjadi mangsa dan ditempatkan di pusat-pusat pemindahan, amat berguna dalam menghadapi bencana banjir kali ini.

Wisma Putra nilai keperluan pindah pelajar di Mesir

Posted: 31 Jan 2011 03:02 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Luar A. Kohilan akan berlepas ke Kaherah malam ini mengetuai sepasukan lima orang untuk menilai keadaan semasa di sana serta melihat keperluan memindah lebih 11,300 pelajar serta rakyat Malaysia, berikutan krisis politik dan hura-hara yang semakin memuncak di negara itu.

Kohilan berkata bergantung kepada keadaan, antara penilaian dan pilihan yang akan dibuat ialah mengenai sama ada pelajar dan rakyat Malaysia perlu dibawa keluar terus ke Malaysia mahupun dipindahkan ke negara berhampiran seperti Arab Saudi dan Libya.

Menurutnya antara pilihan yang akan dilihat ialah membawa atau memindahkan melalui jalan darat, laut dan udara, tetapi semuanya bergantung kepada keadaan di sana yang sentiasa berubah.

Berikutan perkembangan terbaru, beliau berkata kerajaan telah menaikkan tahap klasifikasi keselamatan yang sebelum ini kuning kepada oren kerana "situasi telah mula membahayakan rakyat Malaysia."

"Jadi kita akan pergi ke sana dan melihat sama ada perlu membawa keluar pelajar-pelajar kita dan rakyat Malaysia atau mempunyai cara lain untuk terus memberi bantuan kepada mereka...kita akan lihat akan kesesuaian (pilihan yang ada)...kita boleh merancang macam macam cara tapi mungkin keadaan di sana agak lain sedikit," katanya kepada pemberita di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), di sini, hari ini.

Kohilan berkata pasukan tinjauan ini dianggotai oleh wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara dan juga dari Kementerian Luar Negeri bagi menilai keadaan semasa sebelum sebarang pemindahan rakyat Malaysia dilakukan.

Katanya Majlis Keselamatan Negara telah mengadakan mesyuarat kali kedua membincangkan pemindahan pelajar Malaysia di Mesir berikutan keadaan yang semakin buruk akibat tunjuk perasaan besar-besaran rakyat menuntut pengunduran Presiden Hosni Mubarak.

"Adalah dinasihatkan supaya rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan atau lawatan tidak penting ke Mesir. Rakyat Malaysia yang berada di Mesir juga dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa Mesir termasuk arahan perintah berkurung serta mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnnya seperti yang dimaklumkan kedutaan besar Malaysia di Kaherah," kata Kohilan.

Menurut Kohilan, setakat ini sejumlah 11,319 pelajar Malaysia berdaftar dengan kedutaan Malaysia di Kaherah dan tidak menolak kemungkinan angka ini lebih besar lagi dan menambah kata bahawa setakat 12 tengah hari ini, kesemua pelajar dan rakyat Malaysia dilaporkan selamat di negara itu.

Kohilan menjelaskan bahawa misi ini hanya untuk menilai keadaan untuk keperluan pemindahan, serta memberi segala bantuan yang diperlukan dan memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia dan tidak ada sebarang perjumpaan akan dilakukan dengan sebarang menteri negara Mesir.

Analisa Tenang: MCA Sudah Menjadi OKU Dalam BN

Posted: 31 Jan 2011 03:01 AM PST

KELAB GREENBOC

Tenang dalam banjir: Kemenangan UMNO didahulukan?

Meskipun Barisan Nasional akhirnya berjaya untuk mempertahankan kerusi DUN Tenang-nya, namun kemenangan ini pada hakikatnya memberi tamparan sengit kepada slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", tebu yang ditanam di bibir Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Najib Razak.

Apa tidaknya, apabila Tenang dilanda banjir yang setinggi paras pinggang (sedalam dua atau tiga kaki), sehingga menghalang sesetengah pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka, ia sebenarnya mencerminkan ketidakcekapan dan kepincangan kerajaan tempatan dalam perancangan pembangunan bandar.

Belum lagi pertikaian yang semakin kuat didengar, sama ada pengundian perlu dihentikan atau ditangguhkan untuk memberi laluan sepenuhnya kepada kerja penyelamatan dan bantuan kepada mangsa banjir.

Ironinya, ketidakcekapan kerajaan inilah sebaliknya menyumbang kepada kemenangan BN. Pusat pengundian SMK Kamarul Ariffin di Bandar Labis Tengah misalnya, dikelilingi air bah - menghalang kira-kira 90 orang pengundinya untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing, meskipun hanya satu kilometer jaraknya dari pusat pengundian.

Salah seorang pengundi merungut kepada wartawan MerdekaReview, mereka sudah berada di situ pada jam 4 petang, menunggu agar truk tentera menghantar mereka ke pusat pengundian. Hasrat mereka tidak kesampaian. Mereka akhirnya gagal bergerak walaupun satu kilometer dalam masa satu jam - dan jarak 1 km inilah yang menggagalkan suara mereka untuk diambil kira dalam PRK ini.

Bagaimanapun, UMNO-BN menang dengan majoriti 3,707 undi, lebih kurang daripada matlamat 5,000 undi yang digariskan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sebelum ini. Apa yang lebih menarik, sokongan pengundi Cina masih memihak kepada Pakatan Rakyat, meskipun diwakili PAS kali ini - pola yang cukup meresahkan BN, terutamanya MCA dan Presidennya Chua Soi Lek.

Chua Soi Lek: Musuh luar dan dalam

Maklumlah, 14 PRK sejak PRU ke-12 sebenarnya cukup penat buat pemimpin dan penyokong kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Pada hakikatnya, tidak banyak ruang khayalan untuk PR menawan kubu BN di Tenang, memandangkan 4,118 undi daripada jumlah keseluruhan datang dari kawasan FELDA.

Apa yang menarik, PRK Tenang adalah PRK pertama di Johor, kubu BN di Semenanjung Malaysia. Lebih-lebih lagi, DUN Tenang berada di bawah kawasan parlimen Labis, kawasan asal Presiden MCA Chua Soi Lek. MCA telah dilanda krisis pergelutan kuasa untuk hampir setahun, dan hanya reda (pada permukaannya) selepas pemilihan semula pada 28 Mac 2010. Satu soal selidik yang dikendalikan Merdeka Center pada Mac 2010 mendapati "hanya 22% Cina anggap MCA relevan".

PRK Tenang menjadi kayu ukur untuk menilai prestasi Chua Soi Lek. Namun, untuk Chua Soi Lek, kemenangan BN di Tenang tidak membawa apa-apa makna yang positif untuk dirinya - seandainya undi Cina tidak melonjak. Malah, kesudahan yang mungkin paling sempurna dari perkiraan politik Chua Soi Lek adalah BN kalah, tetapi undi Cina meningkat. Ini kerana kesudahan sedemikian akan menonjolkan betapa pentingnya kedudukan MCA dalam BN, sementara membuktikan bahawa Presidennya berjaya mengembalikan sokongan Cina.

Ini menjelaskan mengapa Chua Soi Lek mengatur strategi untuk menyerang dengan isu sama ada calon PAS Normala Sudirman bersalaman dengan lelaki atau tidak. Strategi ini langsung tidak mengambil sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, yang sudah tentunya bakal memberi impak kepada UMNO.

Begitu juga sebaliknya, Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin tidak mengambil kira perasaan MCA, terus menyelar Chua Soi Lek secara terbuka, malah mengeluarkan kenyataan bahawa "Malaysia adalah Negara Islam yang menjadi teladan", pada ketika MCA menakut-nakutkan komuniti Cina dengan isu Negara Islam.

Sebagai politikus veteran, Chua Soi Lek semestinya menyedari bahawa selain musuh dari Pakatan Rakyat, antara parti komponen BN, beliau juga berdepan dengan musuh dalam MCA sendiri. Seandainya beliau gagal mempertahankan undi Cina di kawasan dirinya (sungguhpun kini disandang anaknya, Chua Tee Yong), maka keupayaan beliau akan dipertikaikan oleh pemimpin yang menggosok tangan dalam MCA. Dan ia mungkin pencetus konflik dalaman seterusnya dalam MCA.

Keputusan hari ini jelas menunjukkan bahawa strategi Chua Soi Lek untuk menakutkan pengundi Cina dengan isu "Negara Islam" hilang mujarabnya. Sama ada MCA bakal tunduk kepada realiti ini, ataupun kekal menggunakan senjata terakhir ini, akan diketahui dalam PRK Merlimau yang bakal diadakan pada hujung Februari depan.

Kedudukan PAS di kawasan campuran

Untuk PAS pula, PRK Tenang sebenarnya lebih merupakan pertarungan untuk menguji kedudukannya di kawasan campuran. Rakan partinya dalam Pakatan Rakyat, DAP dilihat bersungguh-sungguh untuk menangkis serangan dari MCA terhadap PAS. Jikalau "Negara Islam" menjadi isu yang menghantui hubungan antara PAS dengan DAP pada masa dahulu, kini kedua-dua parti ini kelihatan lebih matang untuk berdepan dengan isu yang kontroversi ini.

Keputusan PRK Tenang menyaksikan PAS meraih sokongan yang melonjak di komuniti Cina, dan mungkin lebih tinggi seandainya pengundi tidak disekat banjir. Ketika dihubungi MerdekaReview, pengkaji politik, Wong Chin Huat menyimpulkan keputusan ini dengan "UMNO menewaskan PAS, dan PAS pula menewaskan MCA".

Wong Chin Huat mengingatkan bahawa, PAS masih mampu melonjakkan sokongan pengundi Cina terhadap dirinya dalam keadaan kadar pengundian menurun, malah di kawasan kubu Presiden MCA sendiri!

Ini bermakna, MCA akan tewas dengan lebih teruk jikalau calon DAP atau PKR menyarung jersi dalam PRK ini. Malah, jikalau keadaan yang sama berlaku di kawasan yang bukannya kubu MCA, kekalahannya akan lebih ketara, menurut Wong Chin Huat.

Bagaimanapun, keputusan sedemikian mengesahkan sekali lagi realiti bahawa PR menghadapi kesukaran di kawasan desa, khususnya kawasan FELDA dan ladang estet.

Sungguhpun kalah dalam PRK Tenang, namun PAS mungkin boleh yakin dengan undi yang diraihnya melalui Pakatan Rakyat - sokongan yang melangkaui batas kaum dan agama. Malah, ia semestinya menyuntik semangat kepada pemimpin yang mengambil pendekatan sederhana dalam PAS. Cuma, PAS perlu memikirkan sesuatu untuk menembusi kubu UMNO di kawasan pedalaman, yang mana pendekatan ini tidak semestinya perlu mengorbankan undi bukan Melayu-Muslim. -MR

*Analisa ini disunting daripada beberapa laporan dan tulisan yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

Siling Lobi Hospital Serdang Runtuh

Posted: 30 Jan 2011 09:50 PM PST

BERNAMA

Siling lobi Hospital Serdang runtuh

Siling berukuran di kawasan lobi utama Hospital Serdang dilaporkan runtuh tengah malam tadi, dipercayai insiden pertama seumpamanya yang berlaku di hospital itu sejak ia mula beroperasi pada Disember 2005.

Insiden yang berlaku kira-kira 12.30 malam itu telah mengakibatkan bahagian-bahagian dan serpihan siling bertaburan di kawasan lantai lobi.

Jurucakap hospital tersebut ketika dihubungi berkata tiada kecederaan yang berlaku kerana ketika kejadian tiada orang awam atau pelawat berada di sekitar lokasi.

"Kami juga telah kerahkan pengawal untuk menutup kawasan itu sebaik sahaja kejadian sampai kepada pengetahuan kami. Satu lencongan juga telah dibuat bagi tujuan keselamatan," katanya.

Jurucakap itu berkata satu siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan kejadian telah dilakukan, katanya.

Banjir di Johor ragut 2 nyawa, 28,900 dipindahkan

Posted: 30 Jan 2011 09:48 PM PST

BERITA HARIAN ONLINE

LABIS: Banjir di Johor meragut dua nyawa, kedua-duanya wanita dengan 28,900 mangsa dipindahkan di 192 pusat pemindahan di seluruh negeri sehingga 8 pagi tadi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata mangsa yang terkorban dari Kampung Rahmat, Kulai dan Kampung Chaah, Segamat.

Beliau berkata, mangsa yang dipindahkan itu adalah terdiri daripada 6,854 keluarga.

"Segamat, Johor Bahru dan Kluang kini adalah daerah yang paling teruk dilanda banjir dan hujan dijangka berterusan sehingga esok," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, semua hubungan ke Daerah Segamat kini lumpuh manakala laluan ke Muar, Johor Bahru dan Kuala Lumpur di kedua-dua hala turut ditenggelami air.

Laluan ke Pekan Labis yang semalam dinaiki air kini sudah surut tetapi kawasan pinggir daerah itu masih digenangi air.

1,900 mangsa banjir di Negeri Sembilan dipindahkan

Posted: 30 Jan 2011 09:46 PM PST

BERNAMA

TAMPIN: Kira-kira 1,921 penduduk dari empat daerah di Negeri Sembilan dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini berikutan beberapa kawasan di daerah tersebut dilanda banjir akibat hujan sejak semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Tampin berkata seramai 1,545 mangsa di daerah kecil Gemas dan daerah Tampin dipindahkan ke 13 pusat pemindahan di dua daerah itu.

Katanya 416 mangsa dipindahkan di Sekolah Tunku Abdul Rahman, Dewan Kampung Tiong (64 mangsa), Balai Raya Kampung Ladang (4), Masjid Kampung Londah (38), Dewan Sungai Kelamah (260), Sekolah Agama Rakyat Felda Jelai 4 (125), Balai Raya Kampung Parit Buluh (325) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalor (150).

Pusat pemindahan lain ialah di tokong Buddha Air Kuning (25), Sekolah Kebangsaan Ladang (54), masjid Kampung Gedok, Gemencheh (20), Masjid Kampung Sungai Dua, Gemencheh (35) dan satu pusat pemindahan di daerah Tampin di surau Kampung Keru Hilir, Repah (29).

Sementara itu, di daerah Jempol 235 penduduk dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan banjir di daerah itu.

Seramai 88 mangsa dipindahkan di pusat ko-kurikulum kawasan Jempol di pekan Jelai, Sekolah Kebangsaan Palong 1 (80), Balai Raya Kampung Baru Rompin (24)Balai Raya Kampung Datuk Johan (20), Sekolah Kebangsaan Rompin (13), Balai Raya Kampung Dusat, Air Hitam (6) dan Dewan Orang Ramai Ladang Geddes (4).

Di daerah Kuala Pilah pula tiga pusat pemindahan dibuka di mana 77 mangsa dipindahkan ke Dewan Besar Dangi, Dewan Bandaran Majlis Daerah Kuala Pilah (51) dan Balai Raya Kepis (13).

Hakim Syarie didakwa khalwat di kuarters kerajaan

Posted: 30 Jan 2011 09:37 PM PST

BERNAMA

GEORGETOWN: Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkhalwat dengan Nurul Izani Md Isa di kuarters kerajaan di sini pada 5 Disember lalu.

Nurul Izani, 34, seorang penasihat kewangan yang bertugas di Kuala Lumpur, juga mengaku tidak tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya yang menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Adam dan Nurul Izani dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 2.05 pagi di rumah nombor 18B, kuarters kerajaan negeri, Jalan Masjid Negeri di sini.

Adam dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Pulau Pinang manakala Nurul Izani dituduh mengikut Seksyen 27 (b) enakmen yang sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam prosiding hari ini, Ketua Pendakwa Syariah, Zulhairi Aziz memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk perbicaraan kerana ia membabitkan pegawai kanan perundangan dan untuk berlaku adil kepada semua pihak yang terbabit.

"Akan timbul isu-isu perundangan yang luar biasa yang memerlukan penafsiran undang-undang yang lebih mendalam," katanya.

Bagaimanapun peguam bela Munawir Abdul Aziz memohon pihaknya diberi peluang mengemukakan hujahan balas berhubung isu memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Syariah kerana katanya Mahkamah Rendah Syariah juga perlu mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum memutuskan untuk memindahkan kes itu.

1, 339 Mangsa Banjir Dipindahkan Di Segamat, Batu Pahat

Posted: 30 Jan 2011 09:35 PM PST

BERNAMA

LABIS: Seramai 1,339 penduduk daripada 313 keluarga di Segamat dan Batu Pahat dipindahkan ke pusat penempatan sementara akibat banjir berikutan hujan lebat melanda beberapa kawasan itu pada Ahad.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Negeri Johor, Mohamad Yusri Hashim, berkata sehingga pukul 1 tengah hari tadi, sebanyak 16 kampung dinaiki air di daerah Segamat dan sebuah kampung di Yong Peng, Batu Pahat.

Katanya kesemua mangsa dipindahkan ke 17 pusat pemindahan iaitu balai raya dan sekolah di sekitar kawasan yang terbabit dengan bencana itu.

"Setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad Yusri berkata di Batu Pahat empat mangsa dari satu keluarga di Kampung Haji Kamisan, Yong Peng pula dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan.

Selain itu, katanya, beberapa kawasan juga terputus hubungan akibat banjir dan antaranya ialah Kampung Orang Asli Selai, Jalan Labis-Tenang, Ladang Labis Utara, Jambatan Sekolah Menengah Kamarul Arifin, Labis dan Jambatan Ladang Voules, Labis.

Katanya Sungai Segamat sehingga pukul 1 tengah hari tadi mencatatkan paras bacaan 9.75 meter iaitu paras bahaya manakala paras amaran dicatatkan di Sungai Sungai Segamat Kuala, Sungai Muar di Buluh Kasap, Sungai Muar di Kampung Jijah, Sungai Labis.

7 Lanun Somalia Tiba Di Malaysia Untuk Diadili

Posted: 30 Jan 2011 09:33 PM PST

KLANG: Tujuh lanun Somalia yang ditahan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Teluk Aden pada 21 Januari lalu kerana merampas kapal dagang MT Bunga Laurel tiba di negara ini pada Isnin untuk diadili.

Mereka tiba di Pelabuhan Klang di sini pada pagi ini, dibawa ke pangkalan polis marin Pelabuhan Klang sebelum dibawa ke balai polis Pandamaran pada 9.55 pagi.

Bagaimanapun, mereka terlebih dahulu dibawa ke Hospital Tunkua Ampuan Rahimah Klang untuk pemeriksaan perubatan.

Mereka yang berpakaian oren kelihatan turun dari bas yang merupakan sebahagian daripada konvoi kenderaan polis.

Dalam kejadian serang lanun tersebut, ATM berjaya menyelamatkan MT Bunga Laurel selepas dua jam ia ditawan lanun kira-kira 300 batu nautika di timur Oman.

Misi menyelamat itu dilakukan bersama oleh kapal bantuan dan pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bunga Mas 5 di dalam Operasi Fajar yang ditugaskan memberi perlindungan kepada kapal MT Bunga Laurel ketika ia melalui perairan Teluk Aden.

Kira-kira pukul 11.40 malam pada hari Jumaat tersebut, kapal dagang itu yang disewa MISC Berhad telah ditawan sekumpulan tujuh lanun warga Somalia yang bersenjatakan AK-47 dan pistol.

Namun seramai 23 anak kapal dagang berkenaan berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan manakala kesemua tujuh lanun itu berjaya ditahan dan tiga daripada mereka turut cedera.

Kedutaan Mesir Enggan Terima Memorandum

Posted: 30 Jan 2011 09:32 PM PST

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang pada Isnin gagal menyerahkan memorandum bantahan bagi mendesak Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletak jawatan.

Kumpulan berkenaan yang berkumpul di luar Kedutaan Besar Mesir di sini sejak pukul 11 pagi tadi dimaklumkan oleh wakil kedutaan itu bahawa pihak mereka enggan menerima memorandum berkenaan kira-kira 45 minit selepas itu.

Bagaimanapun memorandum berkenaan tetap diserahkan menerusi kotak surat kedutaan terbabit.

Wakil kumpulan tersebut, Pengerusi Lajnah Perhubungan Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, pihaknya akan meneruskan gesaan berkenaan melalui himpunan rakyat yang akan diadakan pada Jumaat ini.

"Mungkin pihak Kedutaan Mesir tak nak terima sebab tidak ramai rakyat yang buat gesaan, tapi insyaAllah Jumaat ini kita akan himpunkan kira-kira 5,000 ke 10,000 rakyat bagi mengadakan demonstrasi,"katanya.

Perhimpunan itu akan bermula dari Masjid KLCC menuju Ke Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat.

Prolog Pasca Sebuah Pilihan Raya

Posted: 30 Jan 2011 09:30 PM PST


MSO
Keputusan muktamad pilihan raya kecil tenang
BN 6699, Pas 2992. Majoriti 3707
PEJUANG yang kental dan sejati itu tidak akan mengaku kalah. Istilah kalah atau berundur tidak ada dalam kamus hidupnya. Pejuang tulen melatakkan syahid itu sebagai matlamatnya. Mujahidin tidak pernah membawa kain putih untuk dijadikan bendera. Lilitan perca merah sentiasa mengecapi kepalanya.

Saya selalu mengatakan kemenangan dalam perjuangan bukan mendapat kuasa atau menjadi ketua. Kemenangan sebenarnya ialah mati sewatu kita sedang menghayungkan pedang ke leher musuh.

Belum tentu kita seorang manusia, (muslim) kalau kita mati dalam kuasa berada ditangan. Kuasa kadang kala menjadikan kita alpa, menjadi kita riak ataupun menjadikan kita munafik. Bayangkan kalau kita mati dalam keadaan itu maka hilang fitrah kerinduan kita untuk menjadi insan mutaqim lialamin.

Saya yakin dan percaya para pejuang agama di Tenang tidak akan kecewa dengan kekalahan semalam. Mereka pulang sambil mengibarkan bendera basah untuk dikeringkan di rumah kelak. Mereka akan turun semula untuk meneruskan perjuangan di Merlimau nanti. Hanya beberapa hari di rumah untuk menyembui letih, kemudian mengumpul kekuatan untuk datang (turun) kembali ke gelanggang perang di Melaka.

Kepada pejuang pertugas Pas dari segenap seantero negeri, pulang dan berihatlah mujahidin budiman. Mamah dan kunyahlah apa yang berlaku di Tenang setengang-tenangnya. Cari dan gali kesilapan anda di situ sehingga menyebabkan anda tidak marangkul kemenangan. Dalam menyalahi kezaliman musuh, cuba juga menyalahkan diri sendiri. Dalam konteks ini menyalah dan menginsafi diri sendiri rasanya lebih baik.

Berfikir sejenak mencari kesalahan diri sendiri lebih baik merenung sejam mencari keburukan musuh.

Kepada pejuang agama dan bangsa di Tenang juga tidak perlu bersedih dan bergunda guala. Banjir itu bukan air mata kekalahan, tetapi dicelanya juga ada air mata rahmat. Dalam kekalahan itu Pas masih memiliki sejuring kemenangan. Begitu juga dengan BN dalam kebanjiran kemenangan itu ada juga sejuring kemarau kekalahan.

BN menyedari kenapa mereka menang. Mereka juga menyedari apakah kemenangan itu bermoral atau sebaliknya. Kekesalan, kesenduan dan keinsafan akan hadir pada saat detik nazak menghampiri kita. Waktu itu semuanya sudah tidak ada guna lagi melainkan satu simbolik dan pesan amanat untuk sebuah kehidupan yang lain.

Jadi peristiwa selama lebih seminggu di Tenang biarlah ia berlalu. Segala dendam, marah, kebencian dan kepiluan di antara satu sama lain biarlah ia hanyut bersam arus bajir yang kini sedang menirus. Buangkan semuanya di kuala dan tenggelamkan di tengah lautan.

Ikhwah muslimim dan muslimat di Tenang harus hidup seperti biasa rukun dan damai. Anggaplah pilihan raya sebuah permainan menyenggangi kehidupan yang sibuk, dalam pada itu memberi sedikit kegembiraan. Iya... bila kampung halaman kita dijadikan ruang pesta, keriuhan sebuah sistem, maka adalah kesukaan dan tuahnya.

Segala perselisihan faham kecil, perbalahan kecil, hapuskan, dan berjabat salamlah dengan penuh mesra di antara satu sama lain tetangga untuk berjumpa lagi dalam gelanggang sama selepas ini dalam pilihan raya umum. Penentuan sebenar dan lebih afdal adalah di dalam pilihan raya umum.

Kepada cikgu Mala, mekarlah kamu dihati rakyat. Teruskan perjuangankan dan kuatkan semangat. Kekal kembangkan senyuman sampai kapan. Pilihan raya itu telah meletakkan nama anda dalam arkib sejarah yang ada makna tersendiri. Pilihan raya itu membuka kertas Phd untuk anda menjadi seorang ahli politik hebat di masa depan.

Kepada Azahar Ibrahim pula jangan persia-siakan harapan dan impian rakyat. Anda hanya memiliki masa kuranag setahun untuk melalui ujian sebenar.

Kepada Sallahuddin Ayub selaku pengarah pilihan raya Pas masih ada beberapa hal yang anda harus mempelajari dan menceramtinya untuk muncul sebagai seorang komender perang yang berjaya. Ingat ada sudah melwati dua pengalaman sebagai pengarah.

Salam hormat dan mohon berundur dari bumi Tenang lautan terbentang biru dan bulan akan mengambang atas ubun-ubun bangsa!

Kelahiran anak luar nikah di Terengganu semakin parah

Posted: 30 Jan 2011 04:08 PM PST

WarkahDaily

Amat menyedihkan, negeri yang duhulu, penduduknya terkenal dengan kesopanan dan kelembutan penduduknya yang berada di sebelah pantai timur semenanjung, namun kini telah berubah wajah.

Perubahan menggerunkan ini kelihatan semakin parah. Masalah sosial yang melanda amat membimbangkan. Jumlah kelahiran anak tanpa bapa semakin bertambah.

(Gambar kanan: Salah satu signboard yang dipasang sekitar Bandaraya KT)

Sebelum ini, kita hanya mendengar, kes-kes seperti ini hanya banyak berlaku di negeri sebelah pantai barat semenanjung tapi sekarang, Terengganu telah menerokai perubahan mengejut itu.

Pihak berwajib sepatutnya mengambil perhatian dengan segera sebelum ianya lebih parah. Pemimpin-pemimpin masyarakat di sana perlu menyeimbangi pembangunan yang diagung-agungkan dengan pembentukan akhlak rakyatnya.

Inilah akibat terlalu mengejar pembangunan siang-malam tanpa menghiraukan masalahh sosial yang dihadapi.

HMetro - KUALA TERENGGANU: Menggerunkan apabila seramai 623 anak tidak sah taraf dilahirkan di negeri ini tahun lalu sekali gus menunjukkan gejala kelahiran anak luar nikah berada pada tahap kronik.

Lebih mengejutkan, daripada jumlah itu, kadar tertinggi dicatatkan pada Mei dengan 72 kelahiran dan September 60 kelahiran yang dikaitkan dengan kemunculan 'produk' yang dibuat sembilan bulan sebelum itu iaitu pada Ogos dan Disember.

Hasil kelahiran dicatatkan dua bulan itu juga dikaitkan sebagai 'musim mengawan' pasangan muda-mudi yang berpesta seks tanpa ikatan sah pada malam sambutan hari kemerdekaan dan tahun baru.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Ghazali @ Suhaimi Muhammad berkata, jumlah kelahiran anak tidak sah taraf itu dicatatkan di sembilan pejabat JPN membabitkan bayi pelbagai agama daripada pasangan warganegara dan bukan warganegara.

"Angka ini begitu menggerunkan dan menunjukkan penyakit masyarakat yang membimbangkan semua pihak. Lebih menyedihkan, majoriti bayi dilahirkan daripada ibu beragama Islam.

"Jadi kita minta kerjasama agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi lain bersama membanteras pergaulan bebas muda-mudi bagi mengelak mereka terjerumus ke lembah maksiat dan menghasilkan anak luar nikah," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di pejabat JPN Terengganu, di sini, semalam.

Pada majlis itu, lima orang menerima sijil warganegara mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan lapan lagi mengikut Perkara 19(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan lapan berasal dari Kemboja serta masing-masing satu dari Indonesia dan India.

HEBATNYA KERAJAAN NAJIB DAN JENTERANYA MENEWASKAN SEORANG WANITA ?

Posted: 30 Jan 2011 03:57 PM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

TERLEBIH dahulu diucapkan tahniah kepada `Kerajaan Malaysia beserta beberapa Kementerian dan agensinya' yang telah menewaskan PAS yang mewakili PR di dalam PRK Dun Tenang yang diumumkan malan tadi.

Calonnya, Mohd Azahar Ibrahim mengalahkan calon PAS Normala Sudirman dengan majoriti 3, 707 dengan mendapat undian 6, 699 manakala Normala memperoleh 2,992 undi. Bumi Tenang dibanjiri air sehingga ke tengah Pekan Labis iaitu banjir terburuk di kawasan tersebut, namun majoriti pengundi tetap yakin bahawa Kerajaan Bn adalah kerajaan terbaik buat mereka dan Labis khususnya tetap dilihat maju di bawah Bn.

Majoriti di Labis juga berpendapat bahawa `ketuanan Melayu' mesti dipertahankan, walaupun beberapa pemimpin di kalangan mereka memperlekehkan hukum Islam. Melayu lebih penting dari segalanya, sebab itu seperti biasa kawasan Felda tetap aset penting pendukung `ketuanan Melayu'. Alhamdulillah, di saat ramai Melayu tidak peka terhadap hukum Islam, DAP dan pengundi-pengundi Cina bersatu dengan PAS mempertahankan maruah Islam dari terus dicemari oleh mulut beberapa pemimpin mereka.

Ini satu perkembangan baik buat PAS dan PR. Islam semakin difahami oleh mereka dan biarlah Chua Soi Lek, Muhyiddin, Rais atau Isa Samad yang merasa amat sukar memahaminya. Majoriti pengundi-pengundi di Tenang juga merasakan perjuangan Islam tidak mempunyai tempat di sini terutamanya di kawasan felda.

Sebab itu, hairan apanya jika kita lihat remaja-remaja di kawasan felda teramat baik akhlak mereka. Tiada masalah sosial di felda dan felda itu sendiripun bersih sebersihnya. Justeru, memang wajar Ahmad Maslan tidak menyahut cabaran ANAK untuk berdebat berkenaan isu felda.

Ini adalah kerana majoriti penduduk felda tetap yakin felda bersih. Tidak lama lagi seluruh felda akan mendapat WIFI percuma sepertimana kem tentera di Bagan Pinang telah mendapat WIFI, kolam renang dan Padang Futsal yang dijanjikan dulu (?)

Sekali lagi tahniah buat Kerajaan 1 Malaysia di bawah Najib dan ternyata jentera kerajaan mereka amat kuat sehingga boleh menewaskan seorang wanita dari PAS./

wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: