Rabu, 12 Januari 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Barang Naik, Ahmad Maslan Gelabah‏

Posted: 12 Jan 2011 06:19 AM PST

Ustaz Idris Ahmad

Pemimpin Umno masih rungsing memikirkan mengenai janji Pakatan Rakyat 100 hari yang semakin diterima oleh rakyat apabila diberikan mandat untuk memerintah negara. Kenyataan Datuk Ahmad Maslan di Dewan Serbaguna Felda Chempelak Barat Tenang telah menyelar tindakan pembangkang yang selalu menghentam kerajaan berhubung kenaikan harga barang sebaliknya mencabar pembangkang menurunkan harga barang di negeri yang dikuasai mereka.

Ucapan Datuk Ahmad Maslan yang bertaraf Timbalan Menteri dan Ketua Penerangan Umno Malaysia lebih bersifat emosi dan gelabah menghadapi kebangkitan rakyat, terutama generasi kedua Felda di Dewan Undangan Negeri Tenang.

Tidak munasabah langsung cabaran beliau supaya negeri Pakatan Rakyat menurunkan harga di negeri yang mereka kuasai. Kenyataanya sama seperti kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Seri Muhyiddin Yasin yang mencabar pemimpin negeri Pakatan Rakyat naikkan gaji guru RM500. 00 sebagaimana janji dalam buku jingga.

Pimpinan pakatan Rakyat boleh menurunkan harga barang dengan syarat segala hak yang dipungut di negeri Pakatan Rakyat oleh kerajaan pusat seperti saman ekor, saman Jabatan Pengangkutan Jalanraya, cukai kastam, imigresen, cukai stem, tol, cukai jalan, cukai perkhidmatan 6 % di restoran, cukai kad kredit RM50 diserahkan kepada negeri Pakatan Rakyat.

Insyaallah negeri Pakatan Rakyat mampu memberikan kesenangan kepada rakyat, sebagaimana yang telah dibuktikan sekarang ini melalui air percuma , skim kifalah dan sebagainya walaupun hasil negeri tidak seberapa berbanding dengan pendapatan kerajaan pusat.

Kenyataan beliau ini tidak lebih daripada hendak melindungi rasa bersalah kerajaan yang ada gagal menguruskan rakyat dengan baik walaupun hasil negara melimpah ruah sehingga kehidupan rakyat semakin tertekan. Rakyat bawahan sudah mula merungut dengan kenaikan harga barang.

Kuasa membeli di kalangan rakyat semakin rendah seperti komen Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj Ali, mengenai kuasa beli di kalangan rakyat semakin merosot di tengah-tengah kejatuhan dolar Amerika Syarikat.

Tambah Alsetdek lagi, kerana penurunan kuasa beli itu menjadi petunjuk kepada ketidakseimbangan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran dalam sebuah negara. Jadi, mengapa kita perlu gembira apabila kejatuhan nilai mata wang, walhal nilai ringgit semakin tidak dirasai.

PAS ingin menyeru Datuk Ahmad Maslan memahami apa kuasa negeri dan pendapatan negeri berbanding dengan pendapatan yang dimiliki oleh kerajaan pusat. Pendapatan keraan negeri tidak banyak, cuma daripada hasil cukai tanah, perhutanan, air, cukai pintu sahaja.

Dengan kekangan kewangan dan pendapatan ini pun kemampuan negeri Pakatan Rakyat mampu mentadbir, tanpa terencat untuk kebaikan rakyat, contohnya negeri Kelantan walaupun sudah 20 tahun kita mampu mengurus dengan baik.

PAS menyeru rakyat bangkit menolak pemimpin BN dan berilah mandat baru kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk mentadbir urus dengan baik, kerana terbukti dan teruji.

Janji 100 Hari Untuk Rakyat, Bukan Untuk Kroni Najib‏

Posted: 12 Jan 2011 06:11 AM PST

Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia PAS berasa hairan dengan kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan janji 100 hari Pakatan Rakyat akan membawa anak cucu merana kerana tidak ada kemampuan kewangan.

Sepatutnya seorang Perdana Menteri mesti berfikiran positif apabila perancangan baik untuk rakyat di negara ini. Apakah salah apabila Pakatan Rakyat mengemukakan rancangan untuk manfaat majoriti rakyat? Salahkah Pakatan Rakyat hendak menghapuskan Felda Plantation dan membuka ladang-ladang baru kepada generasi kedua dan ketiga?

Salahkah Pakatan Rakyat hendak menyusun kembali tol yang dianggap sebagai penyebab bebanan terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan peningkatan kos operasi. Salahkah Pakatan Rakyat untuk memberi imbuhan bulanan tambahan kepada guru RM500 sebulan?.

Datuk Seri Najib cuba menimbulkan keraguan tentang kemapuan kewangan jika janji 100 hari dilaksanakan. PAS mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana baru sedar tentang hal ini, kalau hendak belanja ukurlah kemampuan dahulu.

PAS juga hendak mengingatkan kepada Datuk Seri Najib, janganlah kalau untuk kepentingan rakyat umum, tidak mampu, tetapi untuk kepentingan kroni mampu pula diluluskan peruntukan. Adakah Datuk Seri Najib sudah ambil kira kemampuan kewangan negara ketika mencadang untuk membina Menara Warisan 100 tingkat?.

Wang sebanyak RM5 bilion mampu membina 1667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah dan mampu memberi biasiswa pelajar perubatan seramai 5 ribu orang di United Kingdom dengan kos RM1 juta seorang dan boleh menampung biasiswa 10 ribu pelajar di fakulti perubatan di Mesir.

Kenapa peruntukan untuk Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang boleh dimanfaatkan hampir 3 juta di tiga negeri hanya RM178 juta iaitu 3.6% daripada kos pembinaan Menara Warisan

Apakah peruntukan untuk PERMATA yang dikendalikan oleh Datin Rosmah sebanyak RM111 juta tidak membazir, sedangkan untuk Sekolah Agama Rakyat RM95 juta.

PAS berasa hairan dengan kenyataan seorang Perdana Menteri yang mengatakan negara kita akan menjadi seperti negara Greece kalau ikut perancangan PR. Kenyataan yang sama juga ketika PAS memerintah di Kelantan pada tahun 1990.

Pemimpin Umno mendakwa PAS hanya mampu memerintah selama 3 bulan sahaja. Dakwaan mereka hanya menurut kaca mata mereka yang penuh dengan rasuah, ketidakcekapan dan salah urus.

Begitu juga ketika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu, pemimpin Umno kata ini perbelanjaan membazir. Pendek kata untuk rakyat semuanya membazir, kerana bimbang apabila rakyat senang, BN tidak ada harapan untuk menjerat leher pengundi dalam setiap pilihanraya.

PAS ingin menjawab keraguan Perdana Menteri Malaysia ragu tentang daripada mana sumber yang akan PR perolehi. Antara sumbernya ialah kita akan memerangi rasuah yang menyebabkan wang negara hilang sebanyak RM28 bilion.

Pakatan Rakyat tidak akan membuat Persidangan Wanita Pertama seperti kendalian Datin Rosmah selama 3 hari hampir RM4.5 juta. Subsidi untuk penjana kuasa bebas sebanyak RM19 bilion perlu dikaji semula kerana membebankan negara.

PAS berkeyakinan janji 100 hari, Pakatan rakyat mampu laksanakan, berdasarkan pengalaman di Kelantan yang mampu memberi kebajikan kepada rakyat walaupun sumber yang terhad. Keadaan berbeza apabila Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat yang mempunyai sumber kewangan yang lebih luas untuk dijanakan bagi manfaat rakyat.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Peneroka cabar permohonan injunksi kontraktor Felda

Posted: 12 Jan 2011 05:33 AM PST

Darwish Zainal

Seramai 33 peneroka Felda Palong 9, Jempol memfailkan afidavit balas di Mahkamah Tinggi Seremban semalam, untuk mencabar permohonan injunksi kontraktor lantikan Felda untuk menebang dan membeli pokok getah di tanah mereka.

Mereka memohon mahkamah menolak permohonan plantif - Evergreen Hevea Resources Sdn Bhd - dengan kos kerana mendakwa syarikat tersebut tidak mempunyai hak ke atas tanah mereka.

Afidavit balasan tersebut difailkan oleh salah seorang defenden - Azizan Ahmad - bagi pihaknya dirinya dan kesemua defenden yang lain.

Sebelum ini, kontraktor lantikan Felda itu telah memulakan kerja menebang pokok getah yang membabitkan lebih 200 peneroka di Felda Palong 9 untuk tanaman semula.

Bagaimanapun 33 peneroka berkenaan mahu melantik kontraktor lain yang menawarkan bayaran yang lebih tinggi untuk menebang dan pembelian pokok getah mereka.

Dalam afidavit itu, Azizan mendakwa pihak defenden tidak pernah menerima tawaran dari plaintif untuk kontrak penebangan dan penjualan pkok getah, mahupun menerima sebarang jenis ganjaran untuk pokok-pokok tersebut.

Katanya, defenden juga tidak menerima tawaran Felda untuk skim penebangan dan penjualan kayu pokok getah kerana ingin mendapatkan tawaran yang lebih tinggi dari luar.

Jika perintah larangan itu diberikan, tambahnya, ia akan menjejaskan hak defenden untuk memperolehi keuntungan yang maksima berdasarkan kepada keperluan pasaran dan ianya akan membantut secara tidak langsung proses penanaman semula.

Afidavit juga menyebut bahawa defenden masih boleh menoreh getah secara berterusan dan menyara hidup mereka.

Maka, jika perintah larangan dikenakan, ia akan menyebabkan defenden mengalami kesusahan kerana sekatan terhadap hak mereka mencari keuntungan yang berterusan kerana harga getah yang tinggi ketika ini dan jika plaintif cuba menebang pokok berkenaan, tambahnya.

Menurutnya lagi, defenden juga akan mengalami kerugian besar jika larangan dikenakan kerana harga yang ditawar oleh plaintif adalah rendah dan akan merugikan defenden.

"Defenden akan mengalami kesusahan untuk menjelaskan hutang, menyara hidup keluarga, persekolahan anak-anak akan terjejas dan seterusnya akan meninggikan tekanan hidup," katanya sambil menambah defenden tidak seharusnya menjadi mangsa atau kesilapan pihak lain.

Menurut peguam T Kumar yang mewakili 32 peneroka berkenaan, sebutan kes itu didengar dalam kamar dan akan dibicarakan pada 22 Februari ini.

Mereka turut diwakili peguam P Raja Sundram.

Bercakap kepada media kemudiannya, wakil peneroka, Mohd Salam Yusof mendakwa harga yang ditawarkan oleh kontraktor lantikan Felda bagi kerja menebang dan membeli kayu pokok getah adalah rendah, berbanding tawaran kontraktor yang ingin dilantik peneroka.

Menurut peguam T Kumar yang mewakili 32 peneroka tersebut, sebutan kes itu didengar dalam kamar dan ia akan dibicarakan pada 22 Februari ini.

Dakwaan rasuah: Karpal mahu CJ dibicarakan

Posted: 12 Jan 2011 05:30 AM PST

Hafiz Yatim

Peguam Karpal Singh hari ini memfailkan semakan kehakiman ke atas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi berhubung dakwaan pengakuannya yang beliau pernah merasuah kakitangan dan pegawai mahkamah.


NONEKarpal, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor MP, memohon bagi mendapatkan perintah mandamus bagi memaksa Zaki menjelaskan perkara itu dan mengheretnya ke Tribunal Kod Etika Hakim.

Beliau juga memohon perintah mahkamah bagi menghalang diri Zaki sendiri bagi menentukan merit aduan ke atas kes berkenaan.

Dalam permohonan itu, Karpal berkata mengikut Seksyen 5, Akta Jawatankuasa Etika hakim 2009, pihak berkuasa yang sewajar mendengar aduannya ke atas Zaki itu seharusnya seorang ketua hakim ataupun hakim mahkamah persekutuan yang telah bersara.

NONE"Tidak ada orang yang sepatutnya menjadi hakim dalam kesnya sendiri," katanya ketika memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tindakan ini adalah percubaan terbaru Karpal bagi menekan Zaki yang pernah membuat kenyataan bahawa beliau merasuah kakitangan mahkamah ketika menjadi peguam.

Zaki didakwa membuat kenyataan itu pada ucapannya di sebuah konvensyen di Kuching, pada November 2008.

Bercakap kepada wartawan, Karpal berkata beliau terpaksa memfailkan permohonan itu kerana Zaki sehingga hari ini belum mengeluarkan sebarang raeksi.

BN cabar S'gor serah draf pindaan perlembagaan

Posted: 12 Jan 2011 05:28 AM PST

Abdul Rahim Sabri & Salhan K Ahmad

BN Selangor mencabar kerajaan negeri menyerahkan kepadanya draf cadangan pindaan undang-undang tubuh negeri yang mahu dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 24 Januari ini.

azlan"Kita nak tengok draf (cadangan pindaan) dulu. Kalau berani berilah draf itu (kepada kami)," kata ketua pembangkang DUN Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman

"Lepas itu baru kita buat keputusan nak pergi atau tidak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

DUN Selangor akan bersidang pada tarikh tersebut untuk meminda undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kepada negeri dan sultan, kuasa melantik setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang.

Isu berkenaan tercetus ekoran bantahan kerajaan Selangor terhadap pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru.

Speaker DUN S'gor hari ini, Datuk Teng Chang Khim telah mengarahkan setiausaha DUN supaya memaklumkan perkara itu kepada semua ADUN Selangor.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi di mana Pakatan Rakyat mempunyai 35 kerusi dan BN pula mewakili 21 kerusi.

Kerajaan negeri memerlukan 37 daripada 56 kerusi itu untuk mendapatkan undi majoriti dua pertiga bagi meluluskan cadangan pindaan tersebut.

ADUN Pakatan terdiri daripada 14 dari PKR, 13 (DAP) dan 8 (PAS). BN pula mempunyai 21 ADUN - 19 Umno dan dua dari MCA. DUN Selangor juga mempunyai seorang ADUN Bebas.

Satim yang juga ADUN Seri Serdang berkata, BN akan mengadakan mesyuarat khas untuk mendapatkan pandangan daripada ADUN BN berhubung perkara itu.

Mengulas mengenai cadangan pindaan itu, beliau berkata: "Apa yang ada sekarang sudah sudah elok...sejak tahun 1959 sampai sekarang tak ada masalah.

"Jadi kita mendapat kebaikan yang betul-betul (daripada cadangan pindaan itu). Jadi keburukannya lebih daripada kebaikan," tambah Satim yang ketua Umno bahagian Puchong.

Sementara itu, ketua penerangan BN Selangor Abdul Shukor Idrus pula berkata undang-undang sedia ada sememangnya merupakan peruntukan terbaik dalam memelihara kuasa sultan berhubung isu tersebut.

Beliau yang juga ADUN Kuang berkata, pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK sememangnya dibuat dengan restu Sultan Selangor

"Jadi kita perlu tengok apakah yang dia hendak buat ini lebih baik daripada sedia ada," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Debat 100 hari Pakatan, Najib berdolak-dalih

Posted: 12 Jan 2011 05:19 AM PST

BERNAMA

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak nampak apa-apa hasil daripada debat yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beliau berhubung "Pelan 100 hari" Pakatan Rakyat.


Perdana Menteri berkata yang penting ialah penilaian daripada rakyat dan biar rakyat yang menentukannya.

prime minister najib razak at bn meeting press conference 2"Kalau nak debat, kita mesti ada sesuatu hasil daripada debat itu. Saya tak nampak ada hasil, yang penting sekali ialah penilaian daripada rakyat," katanya kepada pemberita di Seri Perdana di Putrajaya hari ini selepas majlis ramah mesra meraikan skuad bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala AFF Suzuki pada bulan lalu.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Anwar untuk berdebat dengan beliau berhubung "Pelan 100 hari" Pakatan Rakyat jika mereka menang pada pilihan raya umum ke-13 dengan menjanjikan antara lainnya pemansuhan tol dan kenaikan elaun untuk guru.

Sebelum ini, Perdana Menteri dan ramai pakar ekonomi menyifatkan pelan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan negara muflis.

Najib berkata pakatan pembangkang boleh membuat pembentangan mereka dan BN akan turut membuat pembentangan berhubung perkara itu.

"Dan kita boleh buat macam-macam penilaian atas perancangan berkenaan (pelan). Biar rakyat menentukan," katanya.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, jika ada orang lain yang mahu berdebat dengan Anwar seperti Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, itu terserah kepada masing-masing dan beliau tidak akan menghalangnya.


Pak Lah ada Khairy, Najib ada Rosmah

Posted: 12 Jan 2011 05:10 AM PST

Subky Latif

BETULKAH Khairy Jamaludin, Ketua Pergerakan Pemuda Umno mahu berundur dari politik buat satu masa yang tidak ditentukan?

Apa yang baru dinyatakannya dalam catitan komputer persendiriannya, dia baru menimbangkan kemungkinan tidak mempertahankan kerusi Parlimennya di Rembau dalam pilihan raya akan datang.

Baru menimbang saja. Belum ada kepastian.

Catitan sendiriannya itu belum boleh dilihat bersungguh. Masih banyak masa untuknya untuk menilai keinginan yang belum matang itu. Apa pun kenyataannya boleh menimbulkan spekulasi.

Yang baru dibayangkannya ialah kedudukannya sebagai anggota Parlimen Rembau. Kedudukannya sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia tidak disebutkan. Setakat ini dia masih Ketua Pemuda Umno dan belum membayangkan untuk berhenti dan masih Ketua Pemuda Barisan Nasional.

Kalau dia tidak mempertahankan kerusi Parlimen Rembau, belum tentu dia tidak akan bertanding lagi tetapi mungkin mahu berubah kawasan.

Bapa mertuanya, Tun Abdullah Badawi dipercayai tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas. Umno tentulah sedang mencari calon yang sesuai bagi gantinya. Apakah tidak mungkin Khiary mahu beralih ke Kepala Batas dan mengosongkan Rembau?

Selain dari Kepala Batas kawasan keluarga bapa mertuanya, ia juga adalah negeri bondanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Tetapi kemungkinan itu tidak berapa kuat.

Untuk mengatakan dia sudah hilang harapan dalam dunia politik, juga tidak berapa kena. Dia orang baru dan baru satu penggal sebagai Ketua Pemuda Umno. Masa depannya bergantung kepada masa depan Umno itu sendiri. Kalau Umno ada masa depan, maka dia mungkin ada masa depan juga.

Buat masa ini bintangnya tidak cerah. Bukan dia tidak pintar, maka dia tidak diberi apa-apa kedudukan dalam kerajaan. Tetapi masa ini dia berada dalam tempoh Perdana Menteri Najib mahu membebaskan Umno dan kerajaan dari saki baki pengaruh Tun Abdullah Badawi.

Pembersihan itu dilihat ketara. Selain dari tidak mahu ada orang Pak Lah, mengenepikan Khairy itu juga sesuai dengan kemahuan Dr. Mahathir. Logiknya pada Dr. Mahathir, Khairy tidak jadi ahli Umno pun tidak mengapa. Ramai lagi orang lain boleh menjadi ahli Umno.

Ada kemungkinan selagi Najib menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri, maka tidak dapat dibayangkan ada tempat yang sesuai untuknya. Itulah yang orang agak tentang Khairy dan Najib. Ia mungkin berubah. Tetapi setakat ini keadaan adalah begitu.

Khairy memang seorang yang ranggi semasa zaman Pak Lah dulu. Seteru politiknya memang suka akan nasibnya sekarang.

Apa yang cuba dibayangkannya itu mungkin mahu menguji Najib. Mahu meminggirnya terus atau mengkaji semula sikap mengenepikannya? Dan dia mungkin mahu melihat akan reaksi sekalian orang Umno. Adakah orang berkehendakkannya atau tak ada pun tidak akan mengurangkan kekuatan Umno?

Apa pun yang berlaku, jelas ia menyindir sikap Najib terhadapnya. Apa yang dia tidak suka sangat pada Khairy? Jawabnya tidak lain, kerana ada bayangan Pak Lah dalam politik Khairy.

Tidak dapat diagak apakah ia akan mengubah sikap Najib kepadanya?

Tetapi tidak juga mustahil suara awal Khairy itu adalah usaha untuk membebaskan diri dari beban politik Najib yang mungkin tidak akan dapat dipikul oleh Umno.

Kalau politik Pak Lah disangka politik Khairy, tetapi politik Najib adalah politik Rosmah malah Rosmah lebih menonjol dari Najib. Ia jadi beban kepada Umno dan beban kepada kerajaan. Dengan segala beban meliputi pollitik, ekonomi, sosial, akhlak, jenayah dan sebagainya, apa yang Najib hadapi lebih berat dari yang Pak Lah hadapi.

Khairy akan memikul sama beban berat itu. Sebelum ia rebah, baiklah Khairy membebaskan diri, supaya tidak terhempap sama dalam timbunan beban itu.

Selepas itu bolehlah dia memikir semula untuk aktif semula dalam politik.

Tetapi kalau perubahan kuasa berlaku di Putrajaya, tidak semestinya Khairy kembali cergas dalam Umno. Dia boleh menyesuaikan diri dengan suasana baru.

Mungkin janji 100 Hari Pakatan Rakyat itu yang mendorongnya secara tidak sedar menyatakan imbasannya dalam catitan komputer yang terbuka.

1,000 sertai himpunan sokong Sultan, kerajaan Selangor

Posted: 12 Jan 2011 05:02 AM PST


Nazri Abdullah

SHAH ALAM: Lebih 1,000 rakyat Selangor hari ini berhimpun di Dataran Shah Alam dalam usaha menunjukkan sokongan kepada kerajan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang dipimpin Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mereka yang berhimpun sejak jam 3 petang tadi kini berarak menuju ke pejabat pentadbiran kerajaan negeri di bangunan SUK.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani dilihat berada di barisan hadapan perarakan.

Mereka melaungkan 'Hidup Pakatan Rakyat, Hancur Umno dan Reformasi' sepanjang perarakan.

Perhimpunan ini dipercayai diadakan berikutan beberapa isu kontroversi yang melanda Kerajaan Negeri Selangor termasuk terbaru dalam isu perlantikan SUK.

Sebelum ini juga beberapa pihak telah mengadakan himpunan serupa bagi mendesak menteri besar meletak jawatan.

Perarakan itu disambut Menteri Besar sendiri yang turun menerima memorandum tersebut.

Memorandum kemudiannya diserahkan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mewakili pimpinan Pakatan Rakyat yang diiringi Pengerusi Kelab Menteri Besar Selangor, Anuar Othman.

Anuar dalam ucapannya sebelum penyerahan itu membaca ikrar sokongan padu kepada pemimpin PR.

"Kami rakyat negeri Selangor dengan ini menyatakan taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan kerajaan negeri di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui Tan Sri Khalid Ibrahim," ujarnya dengan diikuti peserta himpunan.

Sementara itu, Khalid dalam responnya berkata kerajaan negeri berjanji akan memerintah Selangor dengan bersih dan bertanggungjawab untuk kebajikan rakyat.

Himpunan bagaimanapun bersurai sejam kemudian selepas bacaan doa oleh Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

BN bacul hadapi Pakatan Rakyat di Selangor

Posted: 12 Jan 2011 04:59 AM PST

Ismail Hashim

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) sekali lagi memperlihatkan sikap baculnya mereka apabila meletakkan Sultan Selangor di bahagian hadapan bagi menghadapi kemaraan Pakatan Rakyat khususnya dalam memerintah Negeri Selangor.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan, PR menghadapi BN di dalam medan politik negara ini dan sewajarnya merekalah yang seharusnya berada di barisan utama dalam menghadapi sebarang isu berbangkit dalam Selangor khususnya.

Khalid berucap demikian ketika memberikan tujuan himpunan aman yang diadakan di Dataran Shah Alam, bermula jam 3 petang tadi dan berakhir sejam kemudian di Bangunan SUK, dekat sini.

Himpunan itu adalah pelancaran kepada Program Jelajah Seluruh Selangor dalam usaha mengutip sejuta tanda tangan sokongan terhadap Sultan Selangor yang dipergunakan oleh BN selama ini.

Beliau berucap di hadapan ribuan rakyat Selangor yang berhimpun mewakili jutaan rakyat negeri itu sebagai menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap Sultan Selangor yang jelas diperkudakan oleh BN dalam beberapa isu mutakhir.

"Musuh utama politik kita adalah BN tetapi mereka bersikap bacul dengan meletakkan Baginda Sultan di hadapan untuk menghadapi PR," tegasnya disambut laungan Allahu Akbar dan Reformasi.

Semua lapisan anggota masyarakat terdiri daripada anak-anak muda, dewasa dan wanita memenuhi ruangan anak tangga di dataran itu dengan tidak menghalang lalu lintas sebalik pengguna jalan raya membunyikan hon sokongan.

Selepas lima minit dimulakan, kelihatan lima pegawai pasukan berunifom menghampiri himpunan dan ketika itu juga, Pengerusi Kelab Menteri Besar Selangor, Anuar Othman memberi jaminan dan bertanggungjawab ke atas himpunan aman itu.

Lebih 30 anggota polis termasuk pasukan FRU siap dengan belantan dan perisai mengawasi himpunan itu bagi menjaga keselamatan dari provokasi pihak tidak bertanggungjawab, hingga akhir tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sebaik Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Baharom menurunkan tanda tangan sebagai gimik pelancaran jelajah itu, perarakan pun bermula ke Bangunan SUK untuk menyerahkan memo sokongan kepada Tan Sri Khalid.

PAS beri ingatan kepada pimpinannya di Selangor

Posted: 12 Jan 2011 04:55 AM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: PAS memberikan ingatan kepada pimpinannya di Selangor supaya tidak bertindak atau membuat kenyataan yang berbeza dengan pendirian yang telah diputuskan oleh PAS seperti yang dinyatakan oleh presidennnya baru-baru ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS bersama dengan Pakatan Rakyat telah membuat keputusan bahawa mereka akan menyokong penuh pucuk pimpinan kerajaan negeri di Selangor dalam menghadapi isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Antaranya adalah menyokong penuh cadangan meminda perlembagaan negeri untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam perlantikan pegawai kanan kerajaan negeri sebagaimana yang diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor.

(Gambar: Presiden PAS mengimamkan solat hajat di Stadium Melawati)

"Saya ingin mengingatkan semua pihak khususnya pimpinan PAS Selangor supaya tidak membuat kenyataan atau tindakan yang berbeza dengan apa yang telah dinyatakan sebagai pendirian parti.

"Saya mengikuti perkembangan di Selangor secara dekat dan berharap tidak ada pimpinan di Selangor yang mengambil pendekatan berbeza ini," katanya kepada Harakahdaily.

Semua pimpinan utama PAS berhimpun di Stadium Melawati, Shah Alam baru-baru ini bagi menyatakan sokongan penuh mereka terhadap kerajaan negeri Selangor.

"Majlis ini dianjurkan oleh pimpinan PAS untuk menyatakan kita akan bersama dengan rakan Pakatan Rakyat dalam sebarang cabaran dan penentangan BN.

"Kepada siapa sahaja rakan kita yang disentuh samada PAS, PKR dan DAP, kita akan bersama dalam hadapi segala cabaran. Pakatan Rakyat makin hari makin kuat. Ini kenyataan terbuka yang kita nyatakan secara praktikal pada malam ini," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam perhimpunan besar-besaran itu.

Turut hadir di majlis ini adalah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta pemimpin kanan dari kedua-dua parti Pakatan Rakyat ini.

Hari ini media menyiarkan kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali yang antara lain menyatakan, beliau boleh bekerja dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dilantik kerajaan Pusat iaitu Datuk Khusrin Narawi kerana beliau pernah bekerja dengan kerajaan.

Beliau juga memberikan amaran kepada kerajaan negeri Selangor supaya tidak menyerang Khusrin secara peribadi kerana "ia tidak adil dan boleh menimbulkan masalah dengan 28,000 kakitangan kerajaan yang ada."

"Jika mereka buat piket, kita akan bermasalah," kata Hassan sebagaimana yang dilaporkan Malaysiakini.

SPR guna peti undi pelekat hologram, DUN Tenang perintis

Posted: 12 Jan 2011 04:52 AM PST



Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan peti undi bercirikan hologram bagi menghindar persepsi negatif dan dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya peti-peti undi terdedah kepada unsur-unsur manipulasi.

Buat julung kali peti undi yang membawa pelekat hologram keselamatan itu akan digunakan ketika pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri kerusi Tenang bulan ini sebelum diperluaskan ketika pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum kelak.

"Ia akan digunakan kali pertama ketika pilihan raya kecil di Tenang, kemudian di Sarawak dan semasa pilihan raya umum ke-13," kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

SPR menggunakan peti undi lut sinar pada pilihan raya umum 2008 buat julung kali.

"Peti undi kita ini memang selamat, tapi ada orang kata peti undi ini boleh dibuang ke dalam sungai, ditukar dengan peti undi baru dan kertas undi lain, dimanipulasi... saya pun ketawa bila dengar dakwaan macam itu.

"Jadi untuk meyakinkan orang ramai, kita akan menggunakan pelekat hologram ini pada setiap peti yang akan digunakan," kata beliau.

Difahamkan dakwaan seumpama itu dikeluarkan ketika pilihan raya kecil Batang Ai, Sarawak awal tahun lalu.

Katanya, kertas-kertas undi dalam peti undi tidak mungkin boleh diubah kerana ada borang yang memberikan butiran jumlah kertas undi dikeluarkan dan diperuntukkan.

Borang itu tidak boleh diubah sembarangan dan ditandatangani di depan ejen-ejen calon, kata beliau.

Justeru setiap peti undi akan mempunyai nombor siri yang berbeza, yang hanya dapat dilihat menggunakan alat khas, kata beliau.

"Masing-masing peti undi ada nombor keselamatan tersendiri, jadi tidak timbul soal meragui keselamatan peti undi, kononnya peti undi ditukar dalam tengah perjalanan," katanya.

Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Tenang akan diadakan hujung bulan ini dengan hari penamaan calon 22 Januari manakala pengundian pula 30 Januari.

Mengenai kos, kata beliau, langkah keselamatan terbaru itu tidak melibatkan perbelanjaan yang besar.

Pengawal keselamatan terima gaji baru akhir Januari

Posted: 12 Jan 2011 04:48 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Lebih daripada 100,000 pengawal keselamatan di negara ini dijangka menerima gaji minimum RM700 pada hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohammed berkata kerajaan tidak berganjak daripada keputusan bahawa pelaksanaan gaji minimum itu adalah pada 1 Januari lepas.

Jika ada pengawal keselamatan tidak menerima gaji baru pada 31 Januari ini, mereka harus bertanya kepada majikan dan membuat laporan kepada Pejabat Tenaga Kerja berhampiran sekiranya masih tidak ada perubahan selepas itu, katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sheikh Yahya berkata jabatan itu telah berjumpa dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia bagi menjelaskan keputusan kerajaan tersebut.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik keputusan kerajaan tersebut yang seiring dengan salah satu resolusi yang dibuat mereka pada persidangan bulan lepas.

Naib Presidennya A. Balasubramaniam berkata resolusi itu meminta kerajaan tidak menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut dan tidak tunduk kepada tekanan daripada majikan.

Di bawah skim gaji baru ini, pengawal keselamatan akan menerima gaji bulanan sebanyak RM1,200 termasuk upah kerja lebih masa.

Pada masa ini gaji mereka adalah sekitar RM450 hingga RM750 bergantung kepada lokasi mereka bekerja.

Sementara itu, tinjauan rambang Bernama pada kalangan syarikat keselamatan mendapati kebanyakan sudah bersedia melaksanakan skim gaji baru tersebut walaupun ''keberatan''.

Ketua Pegawai Eksekutif Eagle Eye Security K. Bahadur berkata syarikatnya akan patuh dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji pekerjanya.

"Kami sudahpun menyediakan gaji baru untuk kira-kira 200 pekerja kami," katanya.

Satu lagi majikan yang tidak mahu dikenali berkata syarikatnya tidak mampu untuk menaikkan gaji pekerja, namun akan mematuhi keputusan kerajaan kerana lesen operasi menjadi taruhan.

"Kami harus memperbaharui lesen setiap tahun dan jika kami tidak mematuhi keputusan itu kemungkinan lesen kami tidak akan dapat diperbaharui," katanya.

Inkues Beng Hock: Anggota Suruhanjaya Diraja tunggu perkenan Agong

Posted: 12 Jan 2011 04:46 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA – Senarai anggota Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan untuk mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes kematian Teoh Beng Hock, akan diumumkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) berkata, perkara itu masih dalam proses dan kerajaan sedang meneliti nama-nama berkenaan sebelum dikemukakan kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"(Bagaimanapun), saya tak dapat menghadap kerana Yang di-Pertuan Agong berada di luar negara," katanya kepada pemberita di Seri Perdana Rabu selepas majlis ramah mesra meraikan skuad bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala AFF Suzuki bulan lepas.

Minggu lepas, beliau mengumumkan penubuhan satu Suruhanjaya Diraja untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM bagi menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses siasatan terhadap Teoh, pembantu seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor yang ditemui mati terjatuh dari bangunan SPRM Selangor selepas disoal siasat oleh suruhanjaya itu tahun lepas.

Najib berkata Suruhanjaya Diraja itu akan diwujudkan dengan terma-terma khusus yang akan ditetapkan dan pihak kerajaan akan melantik ahli-ahli suruhanjaya daripada kalangan mereka yang terbilang dan dihormati.

Mengenai novel Interlok yang menjadi kontroversi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India, Perdana Menteri berkata perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini tetapi tiada keputusan dibuat.

Katanya ini kerana perbincangan perlu diadakan terlebih dahulu bagi menenangkan keadaan.

"Kita minta supaya kaum India memilih beberapa orang untuk berdialog dengan Kementerian Pelajaran supaya kita dapat menentukan cara mana kita boleh menenangkan keadaan," kata Najib.

Sabtu lalu, sekumpulan masyarakat India bertindak membakar novel itu dan terdapat desakan pihak tertentu yang mahukan novel itu diharamkan daripada dijadikan teks untuk komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi Sijil Pelajaran Malaysia bermula tahun ini. – Bernama

Posted: 12 Jan 2011 04:45 AM PST

Lima pelajar didakwa buli junior di asrama direman

BERNAMA

ALOR SETAR – Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan lima pelajar tingkatan tiga yang disyaki memukul seorang pelajar junior di asrama sebuah sekolah di sini pada Ahad lepas ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

Pendaftar Mahkamah Datin Chan Lee Fong memerintahkan semua pelajar berusia 15 tahun itu ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Baharom Abu berkata semua suspek ditahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

"Pihak polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum mengemukakan kes ini kepada pihak pendakwaan untuk dituduh di mahkamah," katanya.

Dalam kejadian pada 6.55 petang itu, Mohd Syazwan Johari, 14, seorang pelajar tingkatan dua, retak tulang lutut kiri selepas dipukul lima pelajar tingkatan tiga di asrama sekolah itu.

Dalam kes lain, reman emat hari yang dikenakan terhadap seorang wanita berusia 28 tahun kerana didakwa menetak madunya di Kampung Baru, Sungai Korok, pada Jumaat lepas dilanjutkan empat hari lagi bermula hari ini.

Majistret Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin memerintahkan wanita itu direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Sawaludin Hamenudin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kecederaan parah dengan senjata.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Siti Aminah Hanafi, 54, cedera di kepala, muka serta tangan selepas ditetak, dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu antara suspek dan mangsa yang tinggal sebumbung sejak dua minggu lepas.

DAP: Perbezaa pendirian tak gugat Pakatan Rakyat

Posted: 12 Jan 2011 04:44 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR– Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw mengakui ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang mempunyai pendirian berbeza dalam sesuatu isu tetapi itu tidak menjejaskan kerjasama mereka.

"Kita kini lebih memberi tumpuan terhadap isu yang dipersetujui bersama iaitu mengenai pembasmian kemiskinan, perjuangan politik yang adil dan kerajaan yang bersih," katanya dalam satu SMS kepada Bernama ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS akan tetap melaksanakan agenda negara Islam dan tidak akan tunduk terhadap sebarang tekanan termasuk daripada rakan dalam pakatan pembangkang.

Namun Hadi menerusi blognya semalam menafikan laporan akhbar itu yang disifatkannya tidak benar, sebaliknya menjelaskan bahawa PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan yang ingin dilaksanakan adalah semestinya dalam ruang lingkup perlembagaan dengan Islam sebagai agama rasmi negara.

Pembantu Pengarah Bahagian Pendidikan Politik DAP, Jeff Ooi Chuan Aun, berkata parti itu sememangnya memahami ideologi politik yang dibawa PAS iaitu untuk menubuhkan negara Islam.

"Apa yang dihebohkan hanya untuk memanaskan kita dalam pakatan dan kita tidak akan termakan umpan," katanya.

Selain PAS dan DAP, satu lagi parti dalam pakatan pembangkang ialah Parti Keadilan Rakyat.

Mengenai sama ada terdapat sebarang perjanjian antara ketiga-tiga parti itu bahawa PAS berjanji tidak akan menubuhkan negara Islam sekiranya pakatan itu mentadbir negara, beliau berkata perkara berkenaan di luar pengetahuannya.

"Serasa saya perkara itu (untuk tidak menubuhkan negara Islam) belum pernah dibincangkan," katanya.

Ooi berkata kenyataan Abdul Hadi pada Ahad lalu adalah putar belit media.

"Saya yakin isu ini akan terus berulang terutamanya menjelang pilihan raya kecil Tenang," katanya.

Isu SUK: Adun Sri Muda tulis surat mahu hadap Sultan

Posted: 12 Jan 2011 04:35 AM PST

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Shuhaimi Shafiei sedang merangka surat untuk memohon menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan secara terperinci mengenai tulisan dalam blognya yang didakwa menghina baginda.

Shuhaimi berkata surat tersebut akan diserahkan dalam tempoh terdekat bagi mendapat perkenan Sultan Selangor bagi menjelaskan tulisannya.

"Berikutan kenyataan itu, saya sedang buat draf surat untuk diserahkan kepada Sultan Selangor bagi menjelaskan maksud sebenar tulisan saya.

"Saya masih lagi membuat draf ... nak tulis surat kepada Sultan kena tulis elok-elok. Nanti salah pula," katanya selepas memberikan keterangan di Ibu pejabat polis daerah Shah Alam di sini berhubung tulisan dalam blognya yang didakwa menghina Sultan Selangor Sultan menyentuh isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Sebanyak 25 laporan polis telah dibuat terhadap Shuhaimi berhubung isu itu.

Shuhaimi tiba di IPD Shah Alam kira-kira pukul 4 petang dengan ditemani peguam R. Sivarasa, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Amer Hamzah Arshad untuk memberikan keterangan dan keluar kira-kira pukul 6.30 petang.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua PKR Kota Raja turut diiringi kira-kira 100 penyokong yang memberikan sokongan terhadap beliau.

Tambah Shuhaimi, beliau bersedia memohon maaf kepada Sultan Selangor sekiranya baginda tersinggung dengan tulisan dalam blohnya pada 30 Disember lalu.

Ini kali pertama Shuhaimi bercakap kepada media selepas kontroversi tulisannya yang turut dikecam hebat Umno-Barisan Nasional (BN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Perkasa dan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS).

"Sekiranya baginda rasa tersinggung sebagai rakyat yang setia, wakil rakyat yang dipilih rakyat dan sebagai orang Melayu saya akan memohon maaf.

"Saya akan minta maaf kalau Sultan rasa tersinggung, saya tengah draf lagi surat itu... nanti saya akan maklumkan." katanya.

Shuhaimi sekali lagi melahirkan kesetiaan kepada Pakatan Rakyat dan menafikan khabar angin mengatakan beliau mahu meletakkan jawatan sebagai Adun Sri Muda.

"Ini adalah provokasi yang dibuat untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

"Kita tidak akan meletakkan jawatan walaupun menerima tekanan. Saya tidak tahu khabar angin ini daripada siapa. Saya tuan punya badan juga tidak tahu," kata Shuhaimi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Khabar angin mengatakan Shuhaimi mahu meletakkan jawatan disebarkan melalui SMS sejak pagi tadi.

Isu Pemilihan Interlok: Mencari Penyelesaian atau Menempa Kebuntuan?

Posted: 12 Jan 2011 04:34 AM PST

Chong Fah Hing

Memang tidak diduga, sebuah karya sastera seperti Interlok bisa mengundang prihatin dan respons masyarakat yang begitu besar. Riak dan kocaknya bukan sahaja menampan ahli politik, bahkan melibatkan juga golongan terbanyak, badan-badan NGO, termasuk golongan sasterawan dan badan penulis. Seperti yang sedia maklum, isu pokok yang mencetuskan kontroversi ialah penggunaan perkataan "paria" melibatkan kaum India dalam Buku Tiga novel tersebut.

Dibaca dalam konteks novel, penggunaan istilah tersebut memang tidak menyanggah lunas-lunas penulisan kerana ia memang menepati fakta sejarah. Walaupun dakwaan sesetengah pihak bahawa tercetusnya kontroversi disebabkan oleh pembacaan di luar konteks karya, namun perlu diingatkan bahawa lapisan pembaca dalam konteks zaman ini juga sudah berubah dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya sejak sekian lama cetakan pertama diedarkan kepada umum pada tahun 1971.

Enggan hidupkan sejarah kasta

Kini karya tersebut khusus ditujukan kepada anak-anak dewasa ini yang sudah jauh meninggalkan pengalaman pahit yang pernah diharungi oleh moyangnya. Andaikata diketepikan prasangka politik, kebimbangan Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah Mahmud (gambar bawah) memanglah berasas dan perlu kita renung sebaik-baiknya. Kata beliau,

Mereka marah kerana Interlok dijadikan buku teks dan anak-anak kaum India akan terpaksa membaca buku tersebut untuk menjawab soalan peperiksaan. Mereka tidak mahu sejarah kasta dihidupkan di dalam minda anak-anak India. Mereka mahu melupakannya dan mahu membesarkan anak-anak tanpa kasta.

Dengan meletakkan novel tersebut sebagai buku teks, sudah pasti anak-anak mereka yang mungkin selama ini tidak tahu sangat mengenainya akan mula bertanya dan perkara dihidupkan semula dalam masyarakat mereka. Mereka tidak suka istilah pendatang dan beberapa istilah lain yang mereka kira menidakkan keMalaysiaan mereka. Mereka dilahirkan di sini. Mereka mahu menguburkan sejarah silam dan usaha ini berlaku secara evolusi, tetapi Interlok dikatakan mengungkit perkara ini dan luka lama akan berdarah kembali. 【Sumber: Blog Siti Mariah

Persoalannya, kenapa baru sekarang masyarakat kita sedar bahawa novel Interlok itu dikatakan rasis dan tidak sesuai dijadikan buku teks? Saya ingin menarik perhatian bahawa berlakunya insiden sedemikian selain dibayangi tangan-tangan politik murahan dan barangkali juga musibah "tangan-tangan halus" sebagaimana didakwa oleh Ilias Zaidi dalam majlis "Dialog Novel Interlok" baru-baru ini, kita sebenarnya kurang mengambil berat tentang realiti masyarakat Malaysia yang amat ketandusan nilai dan sikap menghormati pandangan dan pendapat yang berbeza.

Ruang bersuara yang terbatas

Bagi saya, berlakunya gejala sedemikian berpunca daripada ruang bersuara yang terbatas selama ini. Masyarakat kita cenderung mencantas pendapat yang tidak sehaluan atau dianggap menyinggung sensitiviti kaum, budaya dan agama, sama ada atas alasan yang bersifat political correct maupun pegangan nilai yang sempit. Keterbatasan ruang bagi mengajukan pendapat atau pandangan serta ketiadaan kesempatan untuk bermusyawarah seringkali membawa kepada padah dengan menghasilkan dua situasi yang ekstrem.

Pertamanya sikap melampau dan fanatik dalam serba serbi termasuk tuturkata, sikap dan tindak-tanduk yang disengajakan atau membawa agenda tertentu, guna untuk meraih keuntungan peribadi. Kedua, keterbatasan ruang bersuara dan kekangan bersuara secara konsisten, terutamanya melalui jentera pemerintahan, akhirnya boleh membawa kepada keruntuhan sistem komunikasi dalam diri seseorang atau sebuah masyarakat. Akibat keruntuhan tersebut kalau diterjemahkan dalam bentuk yang nyata ialah pengucapan yang fragmented, kasar dan ganas. Masyarakat terpinggir sering dihantui sindrom sedemikian rupa sehinggakan golongan ini kerapkali dilabel sebagai tidak mahu bekerjasama dan bersikap anti establishment.

Lebih menyedihkan ialah masyarakat terbelenggu dalam perasaan takut dan tidak selamat, hinggakan perasaan tersebut terpendam dan bergolak dalam dirinya untuk mencari laluan keluar. Tindakan membakar buku dan poster Abdullah Hussain dan beberapa tindakan melulu seumpamanya yang pernah dilakukan dalam insiden lain adalah penjelmaan keterbatasan kebebasan bersuara yang disebut tadi.

Dalam insiden Interlok kali ini, kita lihat kedua-dua gejala tersebut berlaku serentak. Ugutan membakar buku Interlok pada awalnya sepantas disambut oleh pemimpin PENA dengan cara berkerat rotan berpatah arang, yakni demo dibalas demo, protes dibalas protes. Ironinya, tindakan awal kedua-dua pihak sebenarnya sudah menyanggah mesej perpaduan bangsa yang cuba diutarakan oleh pengarang novel Interlok.

Dalam kemelut pro dan kontra berkaitan novel Interlok, aspek yang sering dilupakan oleh pihak yang terlibat ialah sejauh mana persekitaran yang dialami selama ini menyumbang kepada kesediaan minda anak-anak kita untuk berdepan dengan paparan fakta sejarah dalam karya tersebut, malah banyak lagi paparan yang lebih menyinggung perasaan dalam pelbagai adikarya yang lain. Dan kedua, bagaimana harus kita menanggapi matlamat pendidikan sastera itu sendiri?

Hakikatnya, kesediaan minda untuk berdepan dengan fakta sejarah yang dianggap amat pahit ditelan itu dalam kalangan anak-anak kita mahupun masyarakat umum memerlukan suatu persekitaran yang demokratik yang cukup matang dan perlu diasuh sejak awal. Sejak tercetusnya perkara tersebut, didapati masyarakat intelek kita yang dipandang sebagai agen peneraju belum lagi bersedia untuk berdepan dengan isu kontroversial seumpama ini. Langkah yang diambil oleh sesetengah badan penulis dan grup seniman rata-rata bersifat reaktif belaka, seolah-olah kita lebih menaruh keyakinan pada kehebatan fizikal untuk menyelesaikan masalah berbanding dengan kekuatan minda yang kita miliki. Kalau inilah hakikatnya, maka apa akan terjadi dengan masyarakat umum apabila karya tersebut digunakan di sekolah nanti.

Adakah kaum guru telah bersedia?

Bagaimana pula dengan kaum guru? Adakah mereka sudah bersedia untuk menghadapi insiden pergaduhan tanpa diduga-duga di kalangan pelajar ekoran sengaja mengambil kata-kata dalam novel guna untuk mencaci dan mengejek rakan lain? Dalam hal ini, saya lihat kaum intelek dan penulis kita masih belum bersedia dari segi mental dan fizikalnya untuk menerajui pembinaan sebuah masyarakat yang sanggup diajak berunding dan berhujah, apatah lagi menghormati pandangan dan pendirian yang berbeza di kalangan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Persoalan kedua melibatkan matlamat pendidikan sastera sengaja diketepikan oleh pihak yang berwajib. Berdasarkan apa yang dihuraikan di atas, jelas Interlok bukanlah novel sejarah seperti yang didakwa oleh beberapa pihak. Memang benar Interlok "mengisahkan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti dalam bab akhir." Namun perlu diakui bahawa fakta penyatuan bangsa dalam bab akhir itu lebih merupakan impian murni seorang sasterawan daripada tanggungjawabnya untuk memaparkan realiti sejarah, sekalipun realiti itu amat pahit didepani.

Dalam hal ini, hakikatnya ialah kerjasama antara tiga kaum dalam mencapai kemerdekaan sebenarnya dibina atas asas yang rapuh tetapi ia diredhai oleh pihak penjajah kerana sifat kerapuhan hubungan kaum itu membolehkan pihak imperialis dan kolonialis terus memanipulasi pemimpin dan golongan massa ketika itu. Malangnya hakikat ini tidak digarap sebaik-baiknya oleh Ahdullah Hussain. Sebaliknya babak-babak yang cuba dibangunkan dalam novel Interlok kelihatan lunak-lunak belaka. Dan ini menimbulkan persoalan untuk apa sebenarnya kehadiran karya sastera dalam dunia manusia? Pun begitu, apakah tanggungjawab seorang sasterawan terhadap masyarakatnya?

Georg Lukacs dalam buku berjudul The Theory of the Novel menyatakan bahawa kelahiran novel sebagai sebuah genre adalah seiring dengan kebudayaan bourgeois, lalu membentuk hubungan yang intrinsik dan istimewa dengan situasi sejarah. Menurut beliau, novel tidak wujud dalam zaman epik yang dikelilingi dengan pelbagai babak yang lunak. Sebaliknya ia hadir di tengah-tengah masyarakat yang bergolak dan berkemelut. Dari persepsi ini, adalah jelas bahawa novel Interlok adalah terlalu ideal, sekaligus mengetepikan realiti sejarah yang seharusnya menjadi bahan renungan seorang sasterawan.

Hikmah yang dibawa oleh isu pemilihan Interlok sebagai bacaan KOMSAS seharusnya dilihat dari sudut pendidikan sastera dan tuntutan novel sebagai sebuah genre. Mata pelajaran sastera, dalam konteks ini novel, seharusnya mengajak pembaca berfikir dan bermuhasabah untuk pembaikan diri dan masyarakat, bukan menempa kebuntuan.

*Chong Fah Hing adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga menulis di ruangan pojok MerdekaReview edisi Bahasa Cina.

Prinsip Raja Berperlembagaan Anwar: Sultan perlu dapatkan nasihat MB

Posted: 11 Jan 2011 07:33 PM PST

Lim Hong Siang

Perbincangan tentang institusi Raja Melayu dalam alaf ke-21 perlu mengambil kira faktor sejarahnya. Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan - Yang Di-Pertuan Agung sebagai Ketua Negara, sementara kuasa raja tertakluk kepada perlembagaan. Raja yang berkecuali dari politik kepartian, dijadikan lambang tertinggi dalam sesebuah negara.

Di Malaysia, institusi Raja sering diheret ke gelanggang pergelutan politik kepartian. Bukan itu sahaja, pada ketika kuasa hampir dimonopoli sepenuhnya kerajaan UMNO-Barisan Nasional, pembangkang dan masyarakat sivil yang kebuntuan menjadikan istana sebagai pangkalan untuk menyekat kuasa regim BN. Misalnya, perhimpunan dan perarakan untuk menuntut pilihan raya yang adil dan BERSIH pada tahun 2007.

Strategi ini semestinya mengundang risiko. Bukan tugas yang enteng untuk meletakkan garisan pada batas "sistem Raja berperlembagaan", terutamanya dalam konteks masyarakat yang sarat dengan pelbagai akta untuk digunakan terhadap mereka yang berbicara mengenai kuasa institusi Raja. Pengaruh institusi Raja semakin terserlah, antaranya ketika rampasan kuasa kerajaan negeri Perak, sebelum kemelut perlantikan Setiausaha Negeri Selangor, baru-baru ini.

Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan "semangat prinsip Raja Berperlembagaan", dalam wawancara bersama MerdekaReview di ibu pejabat PKR, semalam. Ahli politik yang cuba menampilkan diri sebagai pemimpin negara masa depan ini menghadapi desakan golongan pendukung politik baru yang progresif, di samping perlu berhati-hati dengan sentimen "kemelayuan" yang tidak boleh diperlekehkan.

Antara Rakyat dengan Raja

"Dia harus ditangani dengan hikmah. Mempertahankan hak rakyat dan juga memuliakan institusi raja," jawab Anwar dengan cermat, menjelaskan bagaimana convention perlantikan SUK selama ini menyaksikan hak rakyat diputuskan seperti mana yang diusulkan Menteri Besar, dan kemudian nama itu mohon perkenan Raja.

Beliau menyambung, "Dalam kes ini, usul Menteri Besar tidak berlaku. Maka kita sukar menerima. Di mana ada kuasa rakyat di sini? Apa erti pilihan raya? Apakah ini bermakna kita mengetepikan perkenan Raja? Tak benar. Tetapi bagaimana perlantikan dibuat tanpa usul daripada rakyat? Itu prosedur dia."

Bagaimanapun, upacara angkat sumpah SUK baru, Khusrin Munawi, calon yang tidak direstui kerajaan negeri Selangor telah berlangsung di Istana Bukit Kayangan, sebelum wawancara ini dijalankan. Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang menegaskan bahawa "kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri" pada 3 Januari, akhirnya akur, walaupun mendakwa "hadir tidak bermakna rela" kemudiannya.

Anwar menjelaskan bahawa perbincangan dalam PR, bersama Lim Kit Siang (DAP) dan Hadi Awang (PAS) mencapai muafakat - menyerah kepada EXCO kerajaan Selangor untuk menyelesaikan kemelut ini.

Kehadiran halalkan perlantikan

Anwar: Kerana upacara itu bukan upacara angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri sahaja. Upacara itu upacara yang melibatkan banyak program lain. Keengganan kerajaan negeri hadir akan menimbulkan tafsiran yang berbeda. Bukan soal Setiausaha Kerajaan Negeri. Soal Setiausaha Kerajaan Negeri kita tegas. Tetapi nampaknya usul angkat sumpah itu dimasukkan sebagai salah satu upacara itu.

MR: Tetapi sebelum ini, MB dengan jelas mengatakan bahawa beliau tidak akan menghadiri upacara itu...

Anwar: Tetapi upacara itu disekalikan dengan beberapa upacara yang lain!

MR: Tetapi, kehadiran ini memberi laluan kepada Khusrin untuk menjadi SUK yang halal.

Anwar: Itu saya tidak... (mahu mendalami) macam mana implikasi dari segi undang-undang, tetapi kalau Setiausaha Kerajaan Negeri yang tidak diterima oleh kerajaan negeri, juga tidak mudah (untuk Khusrin).

PR berganjak langkah?

Bagaimanapun, kesudahan isu perlantikan SUK semalam mungkin mengundang persepsi di kalangan sesetengah pengamat politik, bahawa PR telah berganjak langkah.

"Pendirian kita jelas. Kita tidak setuju dengan cara mengetepikan suara rakyat. Itu prinsip dia. Tetapi kita tidak mahu langkah kita itu memberikan tafsiran berbeda, terutama kerana upacara istana itu tidak hanya angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri. Kenyataan MB itu merujuk kepada upacara angkat sumpah. Tetapi upacara angkat sumpah itu disekalikan dengan upacara yang melibatkan institusi Raja yang lain, jadi itu menyukarkan kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri, dan saya faham bahawa ia menimbulkan juga sedikit kerumitan tambahan kepada kita. Tapi saya yakin kerana kerajaan negeri masih punya suara yang besar," jelas Anwar.

Beliau kemudian menuding jari kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, "Ini peranan Dato Seri Najib yang cuba nak merampas Selangor setelah setahun, dua tahun ini gagal. Ini helah tambahan. Ini kita tahu. Ini usaha, helah UMNO untuk rampas secara haram. Jadi, oleh yang demikian, kita akan mempertahankan (kerajaan negeri Selangor)."

Apabila keputusan MB semalam dipertikaikan sebagai memberi ruang kepada UMNO-BN untuk menggunakan institusi Raja untuk menekan PR sebaliknya, Anwar berkata, "Itu bukan bagi ruang, itu perlembagaan. Kita nak pilih. Kalau saudara buat andaian begini, makna seolah-olah kita memilih untuk menolak institusi Raja-Raja. Ini perangkap yang dimainkan oleh mereka."

"Ada orang yang bersuara kita harus tegas. Tegas, betul. Tetapi tegas sehingga menyebabkan kita dilihat sebagai menentang institusi Raja juga tidak sihat. Sebab pendirian kita pertahankan institusi ini. Jadi, jangan kita terperangkap. Oleh kerana kita nak keras, keras itu menyebabkan kita terperangkap, kerana suara rakyat sekarang masih mahu pertahankan semangat perlembagaan itu. Tapi, semangat perlembagaan itu tidak bermakna kesediaan kita menerima kenyataan bahawa institusi Raja diheret oleh mana-mana pihak," tekan Anwar.

Tentang kenyataan Suhaimi...

Sama ada perlantikan SUK Selangor ini konspirasi UMNO-BN untuk merampas kuasa, ia terserah kepada masa untuk menjawabnya. Namun, apa yang pasti, ia membuka gelanggang pertarungan politik, dan akhirnya ADUN Sri Muda-PKR, Suhaimi Shafiei menjadi sasaran baru, atas tuduhan "menghina Sultan".

Utusan Malaysia pada 6 Januari 2011, memberi liputan penuh pada muka surat ketujuh, untuk mengecam kenyataan Suhaimi (gambar kanan), di samping menyiarkan tulisan asal blognya. Antara kenyataan Suhaimi berbunyi, "baginda DYMM Sultan Selangor selaku Raja Berperlembagaan hendaklah mendapat nasihat dan bertindak mengikut nasihat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan) dalam menjalankan fungsi baginda seperti yang dinyatakan dalam peruntukan fasal 55(1) dan (1A), Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959."

Meskipun tidak bersetuju sepenuhnya kenyataan Suhaimi, tetapi Anwar mempertahankan kenyataan Suhaimi pada bahagian di mana Sultan perlu mendapat nasihat daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ditafsirkannya sebagai "maksud Raja Berperlembagaan".

Beliau mempersoalkan, sejak bila Utusan Malaysia tidak menyerang PKR/PR? "Cuba baca Utusan masa dia menyokong pinda perlembagaan. Cuba baca Utusan masa dia menyerang Raja, itu jauh lebih parah daripada kenyataan Suhaimi. Jadi, kalau Utusan mahu ambil tindakan kepada Suhaimi, Utusan juga harus diambil tindakan, dan juga semua ucapan Presiden UMNO dulu...patut diambil tindakan."

Cubaan PR menarik sokongan Institusi Raja

Walaupun demikian, sesetengah pengamat politik mungkin menganggap PR juga pernah menunjukkan kecenderungan untuk menarik sokongan institusi Raja, khususnya sekitar rancangan rampasan kuasa pada 16 September 2008. Ia mungkin bertujuan untuk mengimbangi kuasa UMNO-BN, namun ia sering berakhir dengan kesudahan yang memihak kepada UMNO.

"Kita pertahankan prinsip perlembagaan, iaitu kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja. Ada juga usaha UMNO untuk mengheret institusi Raja, mendukung mereka dengan menanam rasa cemas atau takut, seolah-olah Pakatan Rakyat, terutama dengan adanya DAP, sebagai tidak menghormati Raja atau akan mengingkari kuasa Raja. Ini sebab kita nak pertahankan (institusi Raja)," Anwar menafikan andaian yang dilontarkan di atas.

"Yang kita pertahankan prinsip itu sahaja. Tidak lebih dari itu. Kita tidak mahu pulihkan kerajaan di mana Raja-Raja berkuasa, kerana itu sudah meninggalkan semangat prinsip perlembagaan dan raja berperlembagaan. Kalau dia katakan Raja yang melantik (dalam isu SUK), mana ada prinsip raja berperlembagaan di situ?"

Wartawan MerdekaReview membangkitkan ucapan dasar Presiden dalam Kongres PKR pada November 2008, yang menyebut kesediaan PKR untuk "mengembalikan kekebalan Raja-Raja".

Anwar bagaimanapun mendakwa bahawa "istilah itu mungkin dipertikai", sebelum menekankan, "Kalau kita pilih untuk mempertahankan institusi Raja berperlembagaan, institusi Raja itu mesti dimuliakan. Kalau tidak institusi itu tidak ada kesan. Tetapi ia tidak bermakna kuasa itu berbalik kepada Raja. Ini tahun 2010, ia tidak masuk akal untuk rakyat dipinggirkan."

Ketika dibangkitkan rancangan 16 September yang diuar-uarkannya itu turut menyebut langkah "mengadap Yang Di-Pertuan Agong", Anwar tetap mempertahankan bahawa perlembagaan menuntut prosedur mendapat perkenan Agong untuk menubuh kerajaan baru.

Beliau tidak melihat bahawa langkah ini bertentangan dengan politik baru yang didukung Pakatan Rakyat, "Politik baru tidak pernah mengatakan tidak mahu perkenan Raja."

Namun apabila wartawan membangkitkan situasi di mana Akta Hasutan 1948, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) digesa untuk digunakan, setiap kali apabila isu institusi Raja disentuh, Anwar berkata, "Yang itu kita tidak pernah setuju. Itu Utusan punya politik. (Politik) Lama. Kami kata orang nak bagi pandangan, teguran, tak ada salah. Sebab itu kita besarkan kenyataan Profesor Aziz Bari dan sebagainya untuk memberi pandangan yang berbeda."

Beliau menegaskan bahawa PR tidak menghina mana-mana institusi, tetapi memberi hak kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan. Secara terus terang beliau berkata, "Saya ikut perlembagaan sahaja. Saya juga tahu bahawa seluruh perjuangan kebangsaan Melayu juga mahu merdeka. Bebaskan diri dari kuasa mutlak Raja. Dari segi sejarahnya itu kita akui, tetapi institusi (Raja) itu kita pertahankan."

*Wawancara ini dijalankan oleh Chan Wei See (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina), Lim Hong Siang (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia) dan Ong Vic Kee (Wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina), di pejabat Anwar Ibrahim pada 6 Januari 2011.

Enam Timbalan Menteri MCA Dilantik Bapa Angkat DUN Tenang

Posted: 11 Jan 2011 07:32 PM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR: MCA melantik enam Timbalan Menteri dari parti tersebut sebagai 'bapa angkat' bagi meraih sokongan pengundi Cina pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang di Labis, Johor hujung bulan ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, pelantikan tersebut sebagai komitmen parti itu bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

"Kami akan memastikan pemimpin-pemimpin parti, baik dari peringkat pusat, negeri atau akar umbi, berusaha bertungkus lumus bagi memastikan calon Barisan Nasional (BN) dapat mempertahankan kerusi DUN," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu di Wisma MCA hari ini.

Enam Timbalan Menteri tersebut ialah Datuk Wee Ka Siong (Timbalan Menteri Pelajaran), Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan), Datuk Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Dalam Negeri), Gan Ping Sieu (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Chua Tee Yeong (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), dan Heng Seai Kie (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 22 Jan ini, dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 30 Jan.

Mengenai isu yang dibincangkan pada mesyuarat itu, Chua berkata pihaknya mendapat aduan mengenai sikap segelintir guru besar dan guru yang menghalang atau enggan membenarkan pelajar mengambil mata pelajaran bahasa Mandarin bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, tenaga pengajar seharusnya berusaha memudahkan hasrat pelajar untuk mengambil mata pelajaran tersebut.

Mengenai novel Interlok, Chua berkata pihak yang membidas novel itu sepatutnya mengambil kira mesej tersirat dalam karya tersebut.

"Kita mesti melihat buku ini dalam perspektif yang betul...ia adalah sebuah novel sejarah...dan ditulis pada 1910.

"Sesetengah perkataan mungkin sensitif dalam konteks masa kini, namun buku ini sememangnya memaparkan satu mesej yang amat penting, cara bagaimana ia menggalakkan keharmonian antara kaum dan bagaimana rakyat berbilang bangsa bekerjasama," katanya.

Beliau mengulas desakan golongan tertentu yang mahukan novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu tidak dijadikan novel sastera bagi tingkatan lima, kononnya kerana mempunyai unsur menghina kaum India di negara ini.

Lapan Sekolah Terjejas Banjir Di Kelantan Masih Ditutup

Posted: 11 Jan 2011 07:32 PM PST

BERNAMA

RANTAU PANJANG: Seramai 2,175 pelajar di tiga jajahan Kelantan belum dapat meneruskan sesi pembelajaran kerana lapan sekolah yang terjejas banjir masih ditutup esok.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Hussain Awang berkata sekolah-sekolah yang masih ditutup itu adalah empat di Tumpat, dua di Rantau Panjang dan dua lagi di Gua Musang.

"Banjir secara keseluruhannya bertambah baik tetapi beberapa kawasan persekitaran sekolah dan laluan ke sekolah masih ditenggelami air menyebabkan sekolah berkenaan belum dapat beroperasi semula," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Di Tumpat sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pak Yong, SK Simpangan, SK Telok Jering dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)Nurul Huda.

Di Rantau Panjang, ia membabitkan SABK Al-Fallah dan SABK Diniah manakala di Gua Musang sekolah yang ditutup ialah SK Bihai dan SK Balar.

Sarawak Dilanda Banjir 1,000 Penduduk Dipindahkan

Posted: 11 Jan 2011 07:31 PM PST

BERNAMA

KUCHING: Lebih 1,000 orang daripada 250 keluarga di sini dipindahkan ke lima pusat pemindahan hari ini beberapa kawasan di sini dan di Bau dilanda banjir akibat hujan sejak malam tadi. Jurucakap Bilik Gerakan Negeri, berkata lima pusat pemindahan yang dibuka ialah Dewan Sinar Budi, Dewan Stapok, Balai Raya Taman Desa Wira, kawasan tanah tinggi di Kampung Batu Kitang dan Kampung Tengah Sungai.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan berkata taburan hujan yang luar biasa menyebabkan beberapa kawasan rendah di Kuching dan Bau ditenggelami air sehingga satu meter.

"Biasanya pada bulan Januari, Bahagian Kuching menerima taburan hujan antara 600 hingga 700mm tetapi semalam, dalam tempoh sembilan jam sahaja, taburan hujan telah mencecah 300mm. Keadaan ini dianggap tidak normal.

"Sekiranya hujan berterusan pada malam ini, ia akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan rendah," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. Sebelum itu, Chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Negeri, telah meninjau keadaan paras air Sungai Sarawak di Loji Rawatan Air Batu Kitang di sini.

Setakat ini, beliau berkata tiada sekolah ditutup berikutan banjir yang melanda Kuching.

Beliau berkata hujan "peringkat kuning" iaitu hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat yang turun dari semasa ke semasa dijangka berterusan bagi tempoh beberapa hari akan datang dan ia mungkin memburukkan keadaan.

"Kita bimbang banjir yang lebih buruk akan berlaku pada minggu depan, iaitu dari 20 hingga 24 Jan, jika berlaku fenomena air pasang besar. Jika hujan lebat berterusan dan diikuti dengan fenomena air pasang besar, banjir akan berlaku," katanya.

Chan menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berisko banjir mengambil langkah berjaga-jaga. Beliau berkata Majlis Keselamatan Negeri juga mengarahkan semua bilik gerakan banjir serta pusat pemindahan banjir diaktifkan dan bersedia sepenuhnya dan jabatan serta agensi menyelamat melakukan persediaan logistik.

Orang ramai diminta menghubungi Bilik Gerakan Negeri di talian 082-443991 dan 082-492148 sekiranya berlaku banjir di kawasan masing-masing

SMS Palsu Tersebar Kononnya Shuhaimi Letak Jawatan

Posted: 11 Jan 2011 07:18 PM PST

PETALING JAYA: Satu khidmat pesanan ringkas palsu kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie akan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai wakil rakyat pada satu sidang media, tersebar pagi Rabu.

Wartawan yang berkejar ke pejabat ADUN berkenaan mendapati SMS itu disebarkan oleh pihak tertentu tanpa diketahui motif mereka.

SMS berkenaan iaitu: "Hebahan media; segala hormatnya jemput ke Sidang Media Yb Tuan Shuhaimi Shafie Adun Sri Muda akan umum p'letakan jawatan sbg Adun di pej Jln anggerik vanila 31R Kota kemuning."

Kontroversi melibatkan ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bermula apabila memberikan komen yang disifatkan tidak menghormati Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Ekoran isu itu juga, pejabat Shuhaimi disimbah cat merah baru-baru ini.

Dalam pada itu polis akan mengambil keterangan Shuhaimi petang ini berkaitan kes tersebut.

Umno-BN Wujudkan Dua Undang-undang Berbeza Untuk Menteri, Rakyat

Posted: 11 Jan 2011 07:15 PM PST

Oleh Suara Keadilan

Sam15Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar kenyataan terbaru Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak yang mempertikaikan dakwaan ke atas Menteri Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Antara lain Najib mempertikaikan kenapa dakwaan yang berlaku pada tahun 2007 dibangkitkan pada tahun 2011. Suka diingatkan, isunya bukanlah masa, sebaliknya isu yang timbul ialah salahlaku jenayah seksual yang didakwa telah berlaku dan tentunya secara tidak langsung boleh menyebabkan kekeruhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.

Isu ini pernah dikemukakan oleh MigrantCare, NGO yang bertanggungjawab mengenai isu kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia pada tahun 2007, tetapi tidak ada sebarang tindakan oleh kerajaan pada ketika itu.

Tindakan Najib mengatakan bahawa 'Rais tidak boleh dihakimi sehinggalah siasatan dijalankan' juga adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab !

Terbukti wujud dua set undang-undang yang berbeza untuk ahli Umno dan musuh Umno. Di saat Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang media, dinafikan hak bersuara, dikecam peribadinya di sebalik perbicaraan mahkamah yang lompong dan belum dibuktikan bersalah, tindakan Najib ini jelas bersifat dangkal.

Sekiranya benar sebagaimana kata Najib bahawa dakwaan ke atas Rais ini perlu disiasat, maka wujud kewajaran mendesak agar Rais digantung tugas atau direhatkan sementara daripada menjalankan tugas selaku ahli kabinet untuk mengelakkan sebarang 'conflict of interest'.

Malaysia tidak harus lupa dengan insiden penarikan diri Rais selaku calon Setiausaha Agung Komanwel pada tahun 2007 dahulu,kira-kira 5 bulan selepas dakwaan merogol amah beliau tercetus. Apakah ada rahsia di sebaliknya?

AMK mendesak agar Najib selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu menjawab persoalan ini pada kadar segera.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Bekalan minyak masak meruncing di Lembah Klang – peruncit

Posted: 11 Jan 2011 07:14 PM PST

BERNAMA


KUALA LUMPUR – Beberapa peruncit di sekitar Lembah Klang hari ini mendakwa pembekal minyak masak kelapa sawit telah mengurangkan bekalan sehingga 50 peratus kepada mereka, sekali gus meruncingkan masalah kekurangan bahan itu di pasaran.

Mereka mendakwa sekalipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan bekalan ditambah 14,000 tan metrik lagi kepada 84,000 tan metrik bulan ini, bekalan kepada mereka masih tidak berubah.

Tinjauan di kedai dan pasar raya juga mendapati kebanyakannya sudah hampir kehabisan bekalan manakala pilihan jenama minyak masak kelapa sawit pula terhad.

"Selalunya tidak ada masalah, peruncit-peruncit kecil akan pergi sendiri ke tempat pembekal dan membeli seberapa banyak yang mereka mahu, selalunya dua kotak setiap hari, namun sekarang pembekal hanya membenarkan setiap peruncit membeli satu kotak yang mengandungi 17 paket minyak satu kilogram," kata
peruncit Bawa Baharudin semalam.

Katanya keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa menghadkan jualan iaitu hanya sekilogram minyak untuk seorang pengguna setiap hari.

Sementara itu jurucakap pasar raya Cold Storage Donny Rowlee berkata pembekal minyak masak ke pasar raya itu bertindak mengurangkan kuota sejak dua minggu lepas.

"Ada satu jenama hanya membekalkan 100kg minyak dengan alasan itu kuota yang dibenarkan kerajaan sekarang," katanya menambah pasar raya itu diberi permit membekalkan 1,000kg sebulan.

"Khamis lepas minyak masak ini baru sahaja dibekalkan semula, namun pada hari ini minyak masak semuanya dah habis. Kebanyakan pembeli membeli dengan banyak, kadang-kadang sehingga satu troli setiap seorang," katanya.

Beliau juga mendakwa setiap pembekal menggunakan alasan pengurangan bekalan adalah disebabkan kuota baru yang ditetapkan kerajaan.

Pengurus Barang Dagangan Pasaraya Ong Tai Kim, Kelana Rabian berkata, pasar raya itu juga berdepan dengan pengurangan bekalan apabila mereka kini hanya menerima 135 tan metrik berbanding 350 tan metrik sebelum ini.

"Kuota tersebut adalah tidak relevan lagi, ianya perlu ditambah. Mana mungkin kuota yang diberikan sejak empat tahun lepas boleh sama dengan sekarang dengan pertambahan bilangan pasar raya besar dan kedai runcit," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengetatkan penguatkuasaan terhadap pembelian bahan kawalan itu bagi mengelakkan penyelewengan selain memastikan hanya rakyat tempatan membeli menikmati subsidi yang diberi kerajaan.

Dalam pada itu, seorang pengguna Hasliani Mohamad Hassan berkata kekurangan bekalan minyak masak paling dirasai golongan peniaga makanan.

"Selalunya peniaga atau pemilik kedai makan yang akan panik apabila krisis ini berlaku. Bagi keluarga selalunya minyak masak 3 kg itu pun akan dapat tahan sehingga dua bulan," katanya.
.

24 penerbangan terjejas, pesawat AirAsia terbabas

Posted: 11 Jan 2011 07:13 PM PST

SELANGOR KINI


Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang ditutup sejak malam tadi selepas pesawat AirAsia terbabas ketika mendarat, dijangka terus ditutup untuk semua penerbangan sehingga diberitahu kelak.

Malaysia Airports Berhad (MAB) memberitahu Bernama, sebanyak 24 penerbangan terjejas setakat 11 pagi ini.

Hanya satu penerbangan dibenarkan berlepas dari lapangan terbang itu pada pukul 7.30 pagi ini iaitu MH2505 ke Kuala Lumpur, kata MAB.

Penerbangan lain yang terjejas termasuk 11 membabitkan AirAsia, lapan Penerbangan Malaysia dan lima penerbangan MASWings.

Penumpang yang berkenaan dinasihatkan agar menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mengetahui perkembangan lanjut mengenai perkara itu.

MAB berkata, dalam kejadian pukul 10.02 malam itu, penerbangan AK5218 yang berlepas dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Kuala Lumpur terbabas dari landasan ketika mendarat dalam keadaan hujan lebat.

Usaha mengalihkan pesawat itu sedang dilakukan namun berdepan kesukaran berikutan keadaan hujan lebat yang melanda sejak semalam, kata MAB.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha memberitahu pemberita hari ini, pesawat itu membawa 124 penumpang dan enam anak kapal.

Empat penumpang mengalami cedera ringan dan dirawat di hospital di Kuching, katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Maritim Kebangsaan di sini.

Tiada ulasan: