Selasa, 4 Januari 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


53 Tahun Selepas Merdeka, Gagalnya BN Di Sabah

Posted: 04 Jan 2011 04:32 AM PST

KELAB GREENBOC

BN Gagal Tunai Janji PRU12 Di Sabah

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) terutama sekali para wakil rakyatnya digesa agar bertanggung jawab terhadap pelbagai janji pembangunan yang pernah mereka janjikan kepada rakyat di sesuatu kawasan ketika mereka berkempen dalam pilihanraya umum kali ke-12 lalu seterusnya mengambil langkah langkah serius untuk menunaikan janji mereka itu sebelum Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar untuk PRU13 sepertimana yang diwar-warkan ketika ini.

Gesaan tersebut dinyatakan Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah ketika memberitahu Sabahkini.net sempena majlis rumah terbuka Krismas di kediamannya di Taman Tensan, Tenom, baru-baru ini.

"Kita juga gembira apabila jambatan Binaie sedang dalam pembinaan ketika ini walaupun kita hampir kecewa kerana janji pembinaan sudah tersasar lebih tiga tahun. Bagaimana pun kita berharap agar janji pembinaan pekan kecil Melalap dapat direalisasikan dalam tahun 2011 ini juga," kata Jimmy.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa janji-janji pembangunan pesat Koridor Pembangunan Sabah (SDC) khususnya di wilayah tengah yang menfokuskan kawasan pedalaman meskipun perancangan dalam kertas SDC memang baik malah ia dilihat sebagai satu anjakan ekonomi kawasan pedalaman namun persoalannya bilakah ia mula dilaksanakan.

Jimmy yang juga Pengerusi CLC Tenom turut menegaskan bahawa selain mereka (BN) pernah menjanjikan pembangunan bersaiz besar akan dilaksanakan namun pembangunan kecil-kecilan terutama sekali pembangunan infrastruktur yang dimusnahkan oleh bencana alam sekitar 2008, 2009 dan awal 2010 masih belum dibaiki lagi.

"Kita bersimpati bila rakyat meluahkan perasaan mereka kerana seolah-olah mereka dianaktirikan dari segi pembangunan. Sebagai contohnya, rumah kebudayaan yang ada di antaranya, atap bumbung diterbangkan oleh angin kencang dan tidak kurang juga ada yang hampir roboh tetapi terus terbiar walaupun JKKK di situ berulangkali meminta peruntukkan pembaikan," tegas beliau.

Dalam pada itu, Jimmy menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk memperkecil- kecilkan kewibawaan kerajaan BN dalam mentadbir negeri ini dan seterusnya kebertanggungjawaban pembangunan di seluruh kawasan, tetapi janji mereka mendahulukan rakyat sudah tidak bermakna lagi jika rakyat terus dikebelakangkan dalam serba-serbinya.

"Saya berani berkata semua itu kerana rakyat sering mengadu kepada saya sama ada secara lisan atau 'SMS' berhubung perkara perkara kepalsuan janji mereka sedangkan mereka adalah kerajaan yang bertanggung jawab soal pembangunan," tambahnya lagi. -sabahkini.net

Ulasan GB

Setelah 53 tahun negara kita merdeka, semalam diberitakan ada murid-murid sekolah di Kampung Bongkud, Menggatal, Kota Kinabalu Sabah yang terpaksa berjalan sejauh lapan kilometer menempuh hutan belantara, jalan berlumpur dan melalui tiga batang sungai selama 2 jam untuk sampai ke sekolahnya, SK Tombongon.

Bagaimana situasi agaknya bila hari hujan? Tentulah lebih dasyat keadaan anak-anak ini. Tak sama dengan anak-anak di Semenanjung yang pergi balik ramai diantaranya di hantar kereta, malah ada yang siap dengan drivernya. Alangkah kasihannya kita lihat anak-anak kecil ini..

sabah mundur
Pictures by NST/ Datu Ruslan Sulai

Himpunan 30,000 pemuda PAS hadapi p'raya

Posted: 04 Jan 2011 04:28 AM PST

MALAYSIA KINI

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan mengadakan satu himpunan besar sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya Umum ke-13 yang semakin hampir.

Setiausaha DPPP, Khairul Faizi Ahmad Kamil, yang juga pengarah himpunan tersebut, berkata ia mengumpulkan para pemuda PAS dari seluruh negara.

Bertemakan "Masa Untuk Berubah" perhimpunan 30 000 pemuda PAS itu akan diadakan pada 19 Februari depan di Kota Sarang Semut, Kedah.

Menurutnya, ini merupakan perhimpunan kali ketiga selepas perhimpunan pertama di Markas Tarbiyyah PAS di Taman Melewar pada 2002 yang mengumpulkan 5,000 Pemuda PAS.

Manakala perhimpunan kedua pula di Kota Bharu, Kelantan pada 2006 yang berjaya mengumpulkan 15,000 Pemuda PAS dari seluruh negara, kata Khairul dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, perhimpunan kedua itu telah meletakkan tanda aras serta ukurannya melalui sistem Komuniti UKJ yang dibangunkan setahun sebelum itu.

"Seramai lima pemuda dari setiap cawangan yang telah didaftarkan melalui Sistem Komuniti UKJ telah menyertai perhimpunan tersebut," tambahnya.

Manakala perhimpunan bulan dirancang dengan jangkaan 30,000 peserta - sekali ganda lebih besar daripada jumlah peserta tahun 2006, kata Khairul.

Menurutnya, bagi merealisasikan kehadiran 30,000 peserta, sasaran kali ini ahli baru dan anak muda yang menyokong PAS dari semua kawasan di seluruh negara.

"Sebagai nilai tambah kepada kekuatan pemuda, himpunan ini juga turut melibatkan anak-anak muda yang telah mendaftarkan diri di dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)," katanya.

Perhimpunan sehari itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak, dan ditutup oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Menurutnya, mantan pimpinan Pemuda PAS Pusat seperti Abu Bakar Chik, Mohamad Sabu, Datuk Mahfuz Omar, salahuddin Ayub dan lain-lain akan turut meraikan program tersebut

"Pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan motosikal, klinik bola sepak, dan pameran pemuda juga bakal diadakan dalam program itu.

"Satu perlawanan bola sepak yang akan menemukan pimpinan Dewan Pemuda PAS dengan bekas pemain bolasepak kebangsaan akan diadakan pada sebelah petang," tambah Khairul.

Harga petrol RON97 naik 10 sen lagi

Posted: 04 Jan 2011 04:25 AM PST

MALAYSIA KINI

Harga petrol RON97 akan dinaikkan 10 sen lagi kepada RM2.40 seliter berkuatkuasa tengah malam ini, mengikut sumber. azlanBagaimanapun harga petrol RON 95 kekal tidak berubah pada RM1.85 seliter.

Harga petrol RON 97 sejak tahun lalu, tidak ditetapkan kerajaan kerana ia diapung mengikut pasaran minyak dunia semasa.

Pada 1 Nov lalu, harga petrol RON97 dinaikkan 5 sen menjadi RM2.15 seliter dan akhir bulan yang sama ia dinaikkan lagi 15 sen lagi kepada RM2.30 seliter.

NGO ancam bakar buku teks 'Interlok'

Posted: 04 Jan 2011 04:24 AM PST

Salhan K Ahmad

Sebuah gabungan NGO masyarakat India mengancam untuk mengadakan satu upacara membakar novel Interlok sekiranya buku karangan sasterawan negara Datuk Abdullah Hussain itu tidak ditarik balik daripada menjadi sebahagian daripada teks sastera SPM.

NONEPengerusi Gabungan NGO India Malaysia Datuk A Vaithilingam (ketiga dari kanan) berkata, tindakan itu akan diambil sekiranya kerajaan tetap berdegil untuk tidak menarik balik ketetapan menjadikan buku tersebut sebagai teks komponen sastera untuk pelajar sekolah.

"Kita mahu kerajaan tarik balik kelulusan serta merta. Kita beri masa seminggu untuk mereka berbuat demikian," katanya dalam satu sidang media hari ini.

'Tak perlu panggil pariah'

Tambahnya, isu yang dipertikaikan bukanlah penggunaan istilah "pariah" yang digunakan dalam Interlok yang ditulis Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (bawah, kiri) itu.

"Isu yang sebenar adalah (tindakan) memperkecil-kecilkan masyarakat India (melalui buku tersebut).

NONE"Anda perlu ingat, interpretasi yang diberikan di dalam buku ini tidak boleh diterima. Mungkin benar bahawa pekerja (dari India) dibawa untuk bekerja di sini, tapi anda tidak parlulah memanggil mereka dengan nama pariah dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, pengerusi bersama gabungan NGO berkenaan, K Arumugam pula berkata, perkara yang perlu diberi perhatian adalah kesan yang wujud dalam pemikiran pelajar, hasil daripada penggunaan buku berkenaan.

"Novel ini ditulis berdasarkan maklumat sejarah jadi ia perlu tepat. Jika gambarannya salah, ia merupakan satu bencana intelektual," katanya dalam sidang media yang sama.

Katanya, penulis novel berkenaan perlu menjalankan kajian mendalam sebelum ia diterbitkan untuk memahami latarbelakang sejarah yang berlaku ke atas masyarakat tersebut.

NONEBeliau memberi contoh satu kertas berhubung satu kajian ke atas masyarakat India di kawasan bandar yang dijalankan antara tahun 1920 hingga 1940.

"Perkataan pariah langsung tidak disebut dalam kertas itu," katanya yang menjelaskan bahawa kertas berkenaan telah menjelaskan bagaimana masyarakat India dari golongan pekerja berubah menjadi golongan nasionalis.

"Kenapa perkara itu tidak dimasukkan (dalam Interlok)? Buku seperti ini perlu menjadikan kita bangga dengan negara ini, bukan memecah-belahkan kita," tambahnya.

Hebat Anwar bertambah bila digantung

Posted: 04 Jan 2011 04:07 AM PST

Subky Latif

KEHEBATAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang dirasa mendatar atau seperti hilang glamour dengan berakhirnya setiap sessi Parlimen.

Bukan dia tidak membuat ucapan yang membuka kelemahan dan kepincangan kerajaan. Banyak yang didedahkannya tetapi reaksi Parlimen dan kerajaan sejuk. Media tidak memberi tempat yang sewajarnya. Perdana Menteri Najib biasanya tidak menjawab apa yang ditujukan sekalipun tepat ke batang hidungnya.

Apabila tindakan Anwar tidak berbalas, lama kelamaan ia seolah-olah lesu.

Nampak tiada beza Anwar dengan anggota pembangkang lain. Seolah-olah Anwar sudah hilang taring.

Begitu juga dengan pendedahannya tentang peranan Apco yang diguna kerajaan Najib bagi mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa. Ia syarikat asing yang dikatakan milik Yahudi dan talian dengan Israil. Hingga dituduhnya apa yang diperkenalkan sebagai 1Malaysia ditiru dari Satu Israel.

Jika pembongkaran itu diberi reaksi sepi oleh kerajaan seperti reaksinya biasanya di masa-masa lalu, nescaya kegiatan Anwar itu jadi seperti menyalak bukit. Ia hilang ump dan jadi isu mati. Maka Anwar yang selalunya hebat itu boleh dilihat lesu.

Entah mengapa menteri melenting dan Najib pun melenting. Menteri mengusulkan untuk menggantung keanggotaan Parlimennya kerana dikatakan membuat tuduhan tidak berasas.

Anwar pun mencabar supaya terus tindakan terhadapnya supaya dia dapat membuat pendedahan terperinci. Panas Parlimen satu dua hari. Mulai nampak hebat Anwar. Gara-gara ucapannya yang panas itu dia hendak digantung.

Banyak orang sudah digantung sebelumnya. Kebanyakan engkar arahan Speaker atau melawan Speaker. Anwar tidak berlawan dengan Speaker sebelumnya. Dia hanya membuat ucapan dan tuduhan pedas.

Lepas itu diam. Seolah-oalh dia tidak jadi hebat.

Tiba-tiba Parlimen bertindak menggantungnya menjelang sidang Parlimen hendak ditangguh. Bukan Parlimen saja heboh, alam masyarakat di luar Parlimen ikut gempar terhadap tindakan itu.

Kerananya tiga lagi anggota Parlimen yang membantah cara penggantungan itu dibuat ikut digantung sepertinya juga.

Yang menambah kecoh itu jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan unuk mengenakan tindakan kepadanya tidak memanggilnya untuk membuat penjelasan. Dia tidak diminta untuk membuktikan tuduhannya bahawa 1Malaysia itu diciplak dari Satu Israel.

Macam mahkamah beruk. Yang dituduh didakwa tetapi belum sempat dia diminta memberi keterangan, dia dihukum. Seolah-olah Anwar didakwa di mahkamah rimba yang berhakimkan hakim beruk.

Apakah Anwar ada bukti atau tidak, belum diketahui. Tetapi dia dikenakan tindakan gantung enam bulan tidak boleh menghadiri Dewan.

Ia telah mengembalikan kehebatan Anwar selama ini. Layanan Parlimen dan kerajaan terhadap menggantungnya tanpa memintanya memberi keterangan dan membela diri, menjadikan kes itu luar biasa. Dia seolah-olah seperti menghadapi segala tuduhan terhadap semua kes di mahkamah selama ini.

Apa jua yang dilakukan terhadap Anwar di mahkamah selama ini telah menjadikan Anwar tumpuan semua orang di seluruh dunia. Dia dipukul hingga terbiar separuh mati mengidupkan watak hebatnya selama ini. Akibat dia dipukul orang yang memukulnya dibuang kerja dan dikenakan hukuman yang mengaibkan.

Dipukul, dipenjara, apa yang dimintanya tidak diluluskan. Tidak pernah tilam bantal diusung ke mahkamah, kerana menghadapinya, tilam bantal dibawa ke mahkamah. Orang yang menentangnya habis lenyap tetapi Anwar timbul terus hingga diwar-warkan untuk jadi Perdana Menteri.

Semua yang dikenakan dan dituju terhadapnya tidak mematikan wataknya tetapi dia terus hidup.

Selepas gembar gemburnya untuk menubuhkan kerajaan pusat pada 16 September tiga tahun dulu tidak menjadi kenyataan, maka orang mula terasa dia sudah hilang hebat. Lepas itu suasana tenang. Dalam suasana tenang begitu Anwar dilihat seperti orang tidak berdaya.

Apabila dia dihukum begitu dia terus jadi perhatian semula. Dengan layanan terhadapnya apa yang dikatakan kelemahannya tenggelam, tetapi yang timbul dia dianiaya lagi dan dizalimi lagi.

Yang menghidupkannya ialah layanan buruk yang tidak adil terhadapnya. Kerajaan yang menghidupkannya. Dia dilayan begitu supaya segala hubungan dan keajaiban Apco tidak terbongkar. Tetapi dengan layanan itu menyebabkan orang percaya ada hamba Apco dalam kerajaan di peringkat tinggi tanpa Anwar membuktikannya

Khusrin: 'Hadiah istimewa' buat Sidek Hassan

Posted: 04 Jan 2011 04:06 AM PST

Nazri Abdullah

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini diserahkan senaskhah buku Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor sebagai 'hadiah istimewa' kepada beliau.

Hadiah itu diserahkan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor beserta memo sebagai membantah perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor yang didakwa mereka dibuat dengan proses yang mencabul kuasa kerajaan negeri.

Mereka diiringi hampir 100 penyokong, berarak dari perkarangan Masjid Putrajaya menuju ke pajabat KSN di Kompleks Jabatan Perdana Menteri kira-kira jam 10.30 pagi dengan dikawal oleh lebih 50 anggota polis.

Hanya tiga dibenar pihak polis masuk membuat penyerahan tersebut iaitu Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridwan, Ketua AMK Selangor, Khairul Anwar Ahmad Zainudin dan Adun DAP Teratai, Janice Lee Ying Ha yang juga ketua DAPSY Selangor.

Pada sidang media selepas itu mereka memaklumkan hadiah dan memo tersebut berjaya diserahkan kepada pembantu peribadi kepada Setiausaha Sulit Kanan KSN.

Dalam memo tersebut antara lain menggesa Mohd Sidek menghormati hak kerajaan negeri dalam isu perlantikan Khusrin.

Mereka mendakwa perlantikan Khusrin yang dibuat KSN bukan sahaja membelakangkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, malah mencabul semangat faderalisme.

"Kita kecewa dengan KSN yg mendakwa kerajaan negeri tiada hak dalam isu perlantikan ini.

"Membelakangkan hak kerajaan negeri sama lah juga membelakang hak rakyat Selangor," kata Khairul Anuar.

Selain itu, perlantikan itu juga dakwanya turut mengabaikan Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang diamalkan negeri.

"Kita tolak Khusrin kerana ramai calon lain yang lebih layak.

"MB sudah bertemu Tuanku semalam, dan kita mintak KSN menyatakan pendirian beliau selepas penjelasan dibuat MB semalam," gesanya.

Hasbullah dalam pada itu mahu KSN menarik balik perlantikan itu yang disifatkan mampu menyelesaikan kemelut ini.

Beliau juga menyeru mana-mana pihak tidak mengheret dan berselindung di sebalik istana dalam isu itu.

"Kita berpandangan jika KSN tarik balik, tidak mencemarkan imej beliau.

"Kita mintak beliau memberi pertimbangan sewajarnya," katanya.

Janice pula mendakwa perlantikan Khusrin adalah usaha mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Sehubungan itu mereka menggesa KSN segera menyelesaikan isu tersebut.

Mereka juga mendakwa akan meneruskan bantahan selagi kemelut itu tidak deselesaikan.

Saya hormat keputusan Khairy - Tantawi

Posted: 04 Jan 2011 04:02 AM PST

Saya hormat keputusan Khairy - Tantawi
Harakahdaily

KUALA LUMPURn: Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi menghormati keputusan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar untuk terus kekal dalam Umno.

"Saya hormati pilihan dan keputusan saudara Khairy," kata Tantawi dalam twitternya bagi menjawab maklumbalas Khairy terhadap pelawaannya agar anggota Parlimen Rembau itu menyertai PAS.

Khairy dalam twitternya sebelum itu berkata, "Saya ucapkan terimakasih kepada Tantawi atas tawaran beliau. Tapi tetap Umno dulu, kini & selamanya."

Khairy membuat jawapan itu kepada seorang rakannya yang bertanya dalam twitter, "Bro, betul ke hang masuk PAS?"

Semua ini bermula apabila Khairy dalam twitternya memaklumkan dia tidak akan mempertahankan kerusinya di Rembau dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia telah dilihat sebagai tindakan merajuk Khairy kesan dari layanan buruk Umno dan pemimpinnya terhadap beliau sebagai Ketua Pemuda. Ini kerana, Khairy tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan sedangkan timbalannya, Datuk Razali Ibrahim dilantik sebagai timbalan menteri.

Ekoran itu, Nasrudin dalam kenyataannya mempelawa Khairy menyertai PAS.

"Marilah bersama saya dan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS untuk menyertai perjuangan Islam," kata Nasrudin dalam kenyataannya itu.

"Saya mengajak Khairy mempelopori gerakan anak muda yang bangkit seimbang antara tuntutan Amal Islami dengan keperluan Transformasi Politik dalam negara kita," tambah Nasrudin.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong memujuk Khairy secara terbuka agar jangan berhenti dari politik.

"KJ, jangan berhenti. Anda masih muda. Ramai rakyat Malaysia terutama jenerasi juda masih memerlukan anda. Mestilah ada jauh dan bangun," kata Wee Ka Siong melalui twitternya.

Politik matang

Dalam pada itu, langkah Nasrudin mempelawa Khairy menyertai PAS mendapat sokongan dan pujian dari orang ramai termasuk para blogger.

Perisik Rakyat dalam blognya menyifatkan Nasrudin berfikiran cukup rasional dalam hal ini.

"Akhirnya, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat berjaya berfikir dengan cukup-cukup rasional dan melangkau masa labih dari sepenggal. mungkin agak terlambat, tapi cukup awal untuk berada dihadapan mereka-mereka yang berikiran "ortodoks" ataupun "exstremist".

"Mungkin ramai yang berselisih pendapat dalam hal membawa KJ kedalam PAS... al-maklumlah KJ bukanlah seorang politikus "suci" dalam persada politik tanahair. 1Malaysia tahu betapa KJ adalah sejenis manusia rakus yang seringkali disabitkan dengan RM, RM, RM, RM & RM yang 100% dipertikaikan sumbernya.

"Politik wang tak dapat dipisahkan dengan KJ & KJ juga tak dapat dipisahkan dengan Politik Wang. Kemenangan KJ dalam pemilihan disabitkan dengan wang, kemenangan KJ di Rembau disabitkan dengan wang dan kemunculan KJ dimana-mana pelusuk tanahair juga dikatakan membawa aroma wang," tulis Perisik Rakyat.

SUK: Umno BN sudah terlalu bongkak

Posted: 04 Jan 2011 03:55 AM PST

Harakahdaily

LABIS: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap Umno dan Barisan Nasional sudah sampai ke tahap terlalu bongkak, takbur dan angkuh sehingga sanggup membelakangkan perundangan negara demi menjayakan agenda politik jijik pimpinan mereka, lapor Suara Keadilan.

Menyentuh berkaitan isu perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru, Ketua Pembangkang berkata belum pernah dalam sejarah lantikan itu tidak dirujuk terlebih dahulu kepada Menteri Besar.

"Umno dan BN sudah terlalu bongkak, sombong dan takbur. Saya nasihatkan mereka supaya jangan khianat (kepada rakyat Selangor), zalim dan fitnah.

"Pagi tadi Menteri Besar mengadap Tuanku Sultan dan Tan Sri Khalid (Ibrahim) diberitahu baginda tidak masuk campur dalam perlantikan ini. Jadi sekarang mudah bagi Menteri Besar untuk terus berunding dengan SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) untuk selesaikan masalah ini," kata Anwar di hadapan lebih 2,000 penyokong Pakatan Rakyat dan peneroka pada Majlis Mesra Bersama Rakyat di Dataran Niaga, Felda Cempelak di Labis malam tadi.

Majlis tersebut merupakan ceramah pertama Pakatan Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang selepas pelancaran jentera pilihan raya kecil PAS di sini Sabtu lalu.

Walaupun tiga trak Unit Simpanan Persekutuan, puluhan anggota polis serta lebih lima sekatan jalanraya dilakukan bagi menghalang kejayaan program Pakatan Rakyat namun golongan peneroka Felda Cempelak yang dianggap 'jantung Umno' tidak mengendahkan segala bentuk ugutan pihak keselamatan untuk mendengar amanat Anwar.

Anwar sempat menyentuh mengenai penubuhan Felda oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein yang menjanjikan tanah untuk golongan Melayu miskin.

"Tun Razak berjanji untuk beri tanah kepada orang Melayu miskin dan berkata tidak akan rampas tanah mereka. Beliau janji dan beliau laksana janjinya.

"Anaknya, Datuk Seri Najib janji macam-macam, ETP, NKRA, KPI tapi satu pun tak jadi dan satu pun tidak ditunaikan," tegas Anwar.

Beliau berkata, PRK Tenang adalah penting kepada Pakatan Rakyat kerana kemenangan di negeri yang dianggap kubu kuat Umno bermakna isu serta perjuangan menegakkan keadilan untuk negeri Johor akan lebih berjaya.

"Kemenangan di Tenang tidak mudah, ini kami akui tetapi apa yang penting ialah istiqomah dan yakin serta terus berjuang. Kita tidak lagi boleh bergantung kepada Umno-BN kerana mereka bercakap tiga bahasa – di depan orang Melayu mereka menakutkan-nakutkan dengan isu Cina, di depan orang Cina dan India pula cakap lain.

"Pakatan Rakyat mempertahankan hak orang Melayu sebagaimana dalam Perlembagaan tetapi pada masa yang masa hak kaum lain juga dipertahankan. Inilah pendekatan kita.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin memberi amaran kepada Umno-BN supaya jangan terlalu yakin kerana mungkin Tenang akan menjadi 'ribut' bagi mereka.

"PRK Tenang penting kerana ia akan menjadi pencetus kepada gelombang perubahan di bahagian selatan Semenanjung. Jadi pilihan raya kecil ini adalah peluang kepada rakyat Tenang khususnya dan Johor untuk membuat perubahan penting," kata Shamsul.

Adun Batu Caves, Amirudin Sahri pula mengatakan pengundi di Dun Tenang akan membuat keputusan penting 30 Januari nanti yang bakal merubah landskap politik Johor dan seterusnya di seluruh kawasan Felda yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Sebelum itu, di Kampung Air Panas yang terletak kira-kira 10 km dari Labis, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Abdul Rahman Yusof berkata perubahan amat perlu pada PRK Tenang dan Pilihan Raya Umum ke 13 kerana kerajaan Umno-BN kini lebih mementingkan golongan kroni dan kaum keluarga serta membebankan rakyat dengan kenaikan harga barangan keperluan.

"Keadaan ekonomi Malaysia ama berbeza ketika Datuk Seri Anwar menjadi Menteri Kewangan di mana beliau pernah dipilih sebagai Menteri Kewangan terbaik oleh akhbar Financial Times dan negara menyaksikan pertumbuhan ekonomi terbaik semasa beliau dipertanggungjawab mengurus kewangan negara.

"Sekarang ekonomi dan sumber kekayaan negara semuanya dibolot secara rakus oleh pemimpin Umno-BN dengan rakus sekali," kata Abdul Rahman.

PRK Tenang diadakan berikutan kematian Adun Tenang, Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember lalu di Hospital Ampang Puteri akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 22 Januari dan hari pembuangan undi pada 30 Januari.

Tenang: Risalah fitnah mula disebar

Posted: 04 Jan 2011 03:49 AM PST

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Risalah tidak bertuan yang mula tersebar di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang bertujuan mempengaruhi pengundi Melayu, dakwa Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Beliau berkata, pihaknya ada melihat risalah berbentuk buku kecil bertajuk DAP anti-Islam dan 'Khawarij dan Politik PAS' itu namun belum terserempak dengan individu yang melakukan penyebaran itu.

"Sekarang ini dah mula banyak risalah tidak bertuan mula disebarkan di Felda dan nampaknya risalah tu lebih kepada nak mempengaruhi pengundi Melayu.

"Banyak risalah yang kita jumpa telah diedarkan yang ditinggalkan di kedai-kedai makan, bukan sedang diedarkan. Jadi kita tidak boleh tuduh sesiapa sebab tak ada nama," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau, yang merupakan Pengarah Keselamatan Pemuda PAS negeri, pihaknya tidak akan teragak-agak membawa perkara itu kepada pihak polis sekiranya menjumpai individu yang melakukan perbuatan itu.

"Kita minta unit keselamatan pemuda, sekiranya menjumpai risalah yang disebarkan, kita ambil dan buang.

"Kalau kita jumpa mana-mana pihak yang menyebar risalah ini kita tidak akan teragak-agak untuk bawa mereka kepada pihak polis kerana risalah ini lebih kepada menyampaikan fitnah kepada masyarakat," katanya.

Ujarnya, kemunculan risalah-risalah fitnah ini lebih wajar diberi perhatian berbanding menuduh PAS mula turun berkempen.

"Dalam media Umno BN tuduh PAS mula berkempen. Memang kita turun tapi atas nama parti ataupun organisasi seperti melancarkan jentera pilihan raya dan sebagainya. Itu perkara biasa.

"Tapi ada pihak yang turun tanpa menamakan diri mereka siapa dan mengedarkan risalah. Ini satu kempen yang tidak sihat," katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng mendedahkan penyebaran risalah fitnah ini di sekitar Dun Tenang.

Risalah DAP anti Islam mengandungi nota yang bertulis DAP akan mengharamkan azan, majlis maulidur rasul dan sebagainya jika Pakatan Rakyat memerintah.

Serah kepada polis

Sementara itu, ketua pemuda sosialis DAP (Dapsy), Anthony Loke tidak menolak kemungkinan penyebaran risalah fitnah itu dilakukan Umno BN yang mula bimbang dengan kemaraan Pakatan rakyat di negeri itu.

"Ini tindakan terdesak Umno, taktik kotor, taktik biasa mereka sebab mereka tak ada isu untuk menentang Pakatan Rakyat kecuali fitnah dan mengelirukan rakyat dan membuat rakyat marah dengan menyebar fitnah bahawa DAP anti-Islam," katanya yang juga dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bagaimanapun beliau yang juga ahli Parlimen Rasah yakin rakyat khususnya di Dun Tenang tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang dijangkakan akan lebih meluas sepanjang tempoh kempen nanti.

"Kita jangkakan lebih banyak risalah yang akan keluar menjelang kempen pilihan nanti.

"Tapi saya percaya rakyat tak mudah terpedaya dengan fitnah ini," katanya.

Menurut beliau juga, pakatan Rakyat tidak bimbang dengan fitnah itu sebaliknya telah bersedia untuk memberi penerangan kepada rakyat.

"Kita tak perlu risau sebab kalau kita memberikan penerangan yang cukup, kita boleh mengenepikan segala fitnah itu," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis segera mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang cuba mencetuskan suasana tidak harmoni antara kaum ketika ini.

"Ini tugas polis untuk menahan sesiapa yang bertanggungjawab dalam perkara ini kerana ia bersifat fitnah dan melanggar dua undang-undang iaitu akta hasutan dan akta percetakan.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ada bidang kuasa menahan orang awam tetapi hanya bveoleh bertindak ke atas parti politik dan calon yang bertanding sahaja. Jadi kita serah kepada polis," katanya.

Kes saman Felda RM20 juta dibicara 22 Mac

Posted: 04 Jan 2011 03:48 AM PST

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan perbicaraan kes saman malu Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman berjumlah RM20 juta pada 22 Mac 2011.

Peguam yang mewakili Mazlan, Wan Rohimi Wan Daud berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Temerloh, Siti Hajar Mustafa menetapkan demikian selepas meneliti dokumen peguam kedua-dua pihak plaintif dan defendan.

Pada 16 Ogos lalu Mazlan selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau Awang Sulong, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia.

Menurut fakta kes, pada 9 Mac lalu kira-kira jam 4.15 Mazlan ketika memenuhi satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka berkaitan dengan masalah-masalah dialami mereka di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa, telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda yang bersenjata dan diugut secara biadab oleh pegawai-pegawai Felda.

Hamidun merupakan peneroka yang telah melangsaikan semua hutang dengan Felda dan telah mendapat hak milik tanah kediaman dan ladang.

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun terdapat satu lagi laporan oleh pengurus rancangan Felda Lembah Klau yang menyebabkan beliau kemudiannya ditahan, direman dan terpaksa merengkok selama dua hari di lokap IPD tersebut.

Dalam pada itu, Wan Rohimi berkata Siti Hajar merupakan majistret yang telah mengeluarkan reman kepada Mazlan ketika beliau merengkok di lokap IPD Raub dahulu.

Wan Rohimi berkata, beliau menganggap kes saman yang dikemukakan ini sangat penting dan keputusannya akan menjadi indikator kepada pemisahan antara kuasa Felda dan kuasa peneroka.

"Saya lihat Felda amat memberi tumpuan kepada kes ini berdasarkan tiga peguam kanan persekutuan yang mewakili defendan kerana mereka amat menyedari implikasi kepada kes ini.

"Keputusan kes ini dengan sendirinya akan menjelaskan had-had kuasa antara Felda dengan peneroka yang telah melunaskan hutang piutangnya dengan agensi tersebut," katanya.

Turut mengiringi Mazlan ke mahkamah Tinggi temerloh hari ini ialah Penasihat Undang-Undang PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Naib Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Setiausaha PAS Pahang Hashim Abdullah dan kira-kira 30 penyokon

Rogol Amah: Shamsul gesa Rais bersih nama

Posted: 04 Jan 2011 03:47 AM PST

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim segera membersihkan nama berhubung tuduhan seorang menteri merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, perdebatan dalam blog-blog jelas merujuk kepada Rais sebagai menteri yang dimaksudkan, dan menteri penerangan itu perlu memberi respon.

"Sejauhmana kebenarannya, hanya beliau (Rais) dan Tuhan sahaja yang mengetahuinya.

"AMK mendesak Dr. Rais segera menafikan cerita ini, sekiranya ia tidak benar," gesanya.

Selain penafian Rais, AMK juga turut menggesa Perdana Menteri melakukan penyiasatan menyeluruh demi membersihkan maruah negara yang tercemar.

Menurutnya, jika dakwaan ini benar, ianya bakal memberi kesan yang negatif kepada hubungan serantau Malaysia-Indonesia berikutan sikap 'duduk dan diam' oleh kerajaan Malaysia.

Sejak tiga siri pendedahan berhubung isu itu disiarkan Harakahdaily, rangkaian bloger terus memperdebat dan mencari siapa menteri yang didedah oleh laporan WikiLeaks itu.

Pemimpin akhbar pro BN, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan, NGO Tenaganita dan NGO pekerja Indonesia, Migrant Care, antara yang awal tampil dengan perincian berhubung dakwaan ini.

Tersebarnya dokumen salinan bertajuk 'Laporan Investigasi Robengah (BMI) yang mengalami perkosaan oleh majikannya' telah menjadi rujukan utama para bloger dalam mencari nama menteri tersebut.

Sehinggalah mereka semua membuat kesimpulan awal bahawa suspek utama dalam kes itu adalah Rais.

"Dalam waktu terdekat, AMK akan menghantar beberapa orang Exco untuk suatu misi mendapatkan maklumat (fact findings mission) mengenai jenayah terkutuk ini dengan mengunjungi pihak Migrant Care dan juga pihak Kedutaan Indonesia bertujuan untukmendapatkan fakta-fakta yang sebenar berkaitan kejadian rogol ini,"tambahnya lagi.

Kes rogol ini didakwa telahpun berlaku sewaktu pemerintahan Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil kononnya untuk 'mengelakkan konflik serantau'.

Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 19 Februari 2007 dan mangsa dikatakan telah dipaksa untuk mendiamkan perkara ini berikutan ugutan yang dibuat ke atas mangsa.

"AMK yakin dan percaya, sekiranya dakwaan ini benar, isu ini membawa impak yang sangat buruk kepada kerajaan di bawah kepimpinan Dato' Sri Najib Tun Razak, dalam keadaan beliau gagal menjamin kredibiliti dan integriti kabinet beliau sehinggakan tergamak mengekalkan seorang penjenayah seksual di dalam kabinet beliau,"katanya.

Tenang: PAS umum calon 16 Jan

Posted: 04 Jan 2011 03:45 AM PST

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menegaskan parti itu tetap akan 'bertarung' menentang calon Umno pada pilihan raya kecil Dun Tenang.

Menurutnya, walaupun ianya kubu kuat Umno, namun demokrasi dapat merubah segala-galanya.

"Dalam Islam tidak ada yang kekal melainkan Allah dan kita diajar berhubung perkara itu, jadi kita tidak perlu takut dan akan meneruskan perjuangan ini," ujarnya.

Pada masa yang sama Tuan Guru turut mengesahkan, calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil Dun Tenang akan diumumkan pada 16 Januari ini.

Bagaimanapun katanya, calon yang bakal bertanding akan diputuskan pada mesyuarat khas 9 Januari ini.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung perkara itu, di JKR 10, di sini tengah hari tadi.

Menurutnya lagi, senarai calon sudah ada bagaimanapun ianya belum diteliti sepenuhnya.

"Tidak kiralah sama ada muslimat ke siapapun, mana yang baik kita akan terima. Lagipun kita telah mempunyai wakil rakyat di peringkat Dun dan Parlimen," ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Dun Tenang pada 22 Januari dan hari 30 Januari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Adun Tenang, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas.

Satu maut, dua cedera lantai bangunan dibina runtuh

Posted: 04 Jan 2011 03:38 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut manakala dua lagi cedera apabila terjatuh dari paras kira-kira 30 meter setelah lantai konkrit Bangunan Bank Rakyat yang sedang dalam pembinaan di Jalan Ang Seng, Brickfields, di sini, runtuh malam tadi.

Insiden kira-kira 10 malam itu berlaku ketika kesemua mangsa sedang bekerja untuk menyiapkan struktur lantai itu yang dipercayai tidak kukuh hingga mengakibatkan kemalangan itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata ketiga-tiga mangsa yang identiti masih belum dikenal pasti dianggarkan berumur dalam lingkungan antara 20 hingga 30 tahun.

Dua mangsa yang cedera ialah seorang warga Indonesia dan seorang lagi Bangladesh. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala yang cedera itu turut dirawat di hospital yang sama.

Azizan berkata ketika kejadian seramai 13 pekerja warga asing sedang menyiapkan kerja-kerja menurap lantai konkrit di paras itu.

"Ketiga-tiga mereka (yang maut dan cedera) terjatuh ke bawah manakala 10 yang lain sempat berpaut pada kerangka bangunan," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan kira-kira 11.45 malam setelah tiada lagi mangsa yang didapati terperangkap, katanya.

Khoo Kay Kim tidak layak terajui Unisel, kata MPP

Posted: 04 Jan 2011 03:36 AM PST

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Industri Selangor (Unisel) menolak cadangan supaya pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dilantik sebagai canselor baru universiti itu yang kini kosong.

Ini kerana menurut Presiden MPP Azim Md Kasim, pendirian Khoo dalam beberapa isu yang membabitkan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sejak kebelakangan ini tidak selari dengan kehendak golongan tersebut.

"MPP Unisel menolak cadangan untuk melantik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sebagai canselor bagi menggantikan Datin Seri Rosmah Mansor (isteri Perdana Menteri).

"MPP Unisel menolak cadangan ini berdasarkan pendirian Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berhubung beberapa isu pelajar sejak kebelakangan ini, malah pendirian beliau menolak cadangan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk benarkan pelajar berpolitik dianggap tidak selari dengan pendirian pelajar.

"Bahkan pendirian beliau juga diyakini bertentangan dengan pendirian Pro Mahasiswa di Unisel dan di peringkat nasional yang memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa juga autonomi kampus," kata dalam satu kenyataan hari ini yang merujuk kepada cadangan Pro Mahasiswa Unisel yang mahu Khoo dilantik sebagai canselor pusat pengajian tinggi itu.

"Justeru MPP Unisel merasakan bahawa Prof Emeritus Tan Sri Khoo tidak layak untuk diangkat sebagai canselor oleh kerana tidak mengiktiraf suara dan hak kebebasan mahasiswa juga sejarah pergerakan mahasiswa di Malaysia," kata Azim.

Semalam Pro Mahasiswa Unisel mencadangkan Khoo dilantik sebagai canselor baru bagi menggantikan Rosmah yang mengambil keputusan melepaskan jawatan itu.

Pada 20 November lepas, Rosmah mengumumkan pengundurannya sebagai Canselor Unisel bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program Permata dan kemudian pengunduran itu diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kumpulan pelajar itu turut menolak mana-mana individu dilantik sebagai canselor yang mempunyai latarbelakang politik sama ada dari Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.

Azim juga berkata satu perbincangan akan diadakan dengan kesemua pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti dan Kolej bagi membincangkan perkara itu.

"Sehubungan dengan itu MPP Unisel akan mengadakan perbincangan dengan kesemua pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti dan Kolej sebelum mengemukakancadangan untuk dibawa kepada Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan mendapat perkenan Sultan Selangor.

"MPP Unisel berharap semua pihak berlapang dada untuk menerima kritikan dan juga cadangan. MPP Unisel juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana kumpulan pelajar serta pentadbiran Unisel dalam usaha memastikan masa depan universiti," katanya.

Sebelum ini kerajaan negeri Selangor dicadang melantik bekas timbalan presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali sebagai Canselor Unisel ketika Kongres Nasional PKR dua bulan lalu.

Wakil Srikandi PKR Farah Afzan Faridi berkata Syed Husin merupakan calon terbaik untuk jawatan Canselor Unisel dan memohon agar Khalid mempertimbangkan cadangan ini.

Namun Syed Husin menolak cadangan tersebut.

Bekas konstabel polis jual motosikal curi dipenjara tiga tahun

Posted: 04 Jan 2011 03:34 AM PST

BERNAMA

KLANG – Seorang bekas anggota polis berpangkat konstabel dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah menjual sebuah motosikal curi yang dilaporkan hilang kepada seorang lelaki, 10 tahun lepas.

Majistret Afifah Mamat @ Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa tertuduh, Zainuddin Rahmat, 32, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Afifah memerintahkan Zainuddin menjalani hukuman berkuatkuasa hari ini dan menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Zainuddin, bapa kepada enam orang anak, didakwa sengaja memindahkan iaitu menjual sebuah motosikal jenis Honda C100, nombor pendaftaran ACY 7326 bernilai RM2,500 kepunyaan Mohamad Man (ulang Mohamad Bin Man) dengan harga RM300 kepada Azlan Ariffin, 26, sedangkan tertuduh tahu ia adalah harta curi yang dilaporkan hilang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaki lima depan rumah No: 62, Jalan Raja Abdul Rahman, Taman Kapar, Kapar di sini, kira-kira pukul 8 malam pada Ogos 2001.

Kesalahan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang perbicaraan, seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim mewakili pihak pendakwaan.

Isu SUK: MB adakan siri pertemuan, cari formula penyelesaian

Posted: 04 Jan 2011 03:17 AM PST

TERKINI


KUALA LUMPUR — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengadakan siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hari ini bagi menyelesaikan krisis perlembagaan ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

The Malaysian Insider difahamkan beliau mengadakan dua pertemuan penting termasuk bersama pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat antaranya dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali.

Pertemuan pagi berlangsung sekitar 10 pagi dan satu lagi pada sebelah petang.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Teng Chang Khim juga akan mengadakan sidang media berhubung perkembangan semasa tengah hari ini.

Kedua-dua pertemuan membabitkan Menteri Besar itu dijangka akan cuba mencari formula penyelesaian termasuk usaha meminda perlembagaan dan tindakan pentadbiran kerajaan negeri yang tidak mengiktiraf pelantikan Khusrin.

Malah usaha kerajaan negeri meminda perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga.

Pertemuan ini diadakan sebelum Exco mengadakan mesyuarat mingguan mereka esok.

"Saya diminta hadir satu mesyuarat khas pemimpin-pemimpin kanan dengan Menteri Besar, saya difahamkan ini membabitkan pemimpin kanan PKR, saya belum sampai di bangunan SUK, dan oleh itu, tidak pasti sama ada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat lain akan hadir sama," kata Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin kepada The Malaysian Insider.

"Setahu saya YB Azmin akan hadir sama," katanya.

Azmin juga merupakan Pengerusi PKR Selangor.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR berkata, satu pertemuan dengan semua wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor akan diadakan pukul 4 petang ini.

"Pertemuan petang ini membabitkan kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Selangor berhubung isu pelantikan SUK," kata beliau.

Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad juga mengesahkan pertemuan petang ini.

"Ia mengenai isu SUK, kita tunggu dulu hasil mesyuarat petang ini," kata beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR ketika dihubungi.

Ahli Parlimen PKR Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid juga mengesahkan pertemuan petang ini yang menurutnya akan memberi peluang kepada wakil rakyat-wakil rakyat mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan semasa selepas Khalid menghadap Sultan Selangor semalam.

"Isu ini jelas di mana kami sudah pun memberikan pandangan agar perlembagaan negeri dipinda dalam soal pelantikan SUK, jadi kami akan mendapatkan penjelasan Menteri Besar mengenai perkembangan semasa," kata beliau.

"Tindakan susulan ialah bagaimana usaha meminda perlembagaan boleh diterjemahkan," kata beliau lagi.

Semalam, Khalid mengumumkan bahawa Selangor akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Khalid berkata dalam pertemuan beliau dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi semalam, baginda berpandangan baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon bagi memegang jawatan eksekutif berkenaan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Ini adalah kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan," katanya.

Sebelum ini, Khalid mendakwa semasa mengumumkan pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah membelakangkan Menteri Besar malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Pelantikan Khusrin sebagai SUK baru mencetuskan kontroversi apabila Menteri Besar dilaporkan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Pelantikan Khusrin, 54, berkuat kuasa 1 Januari lepas bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang tamat kontrak sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Khusrin, yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor akan mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Khamis ini.

Khalid berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik.

"Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah tuanku, kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut," katanya.

Menteri Besar itu berkata sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Datuk Mohamad Khusrin Munawi (Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru) tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad pula memberitahu pertemuan petang ini membabitkan anggota Dewan Rakyat dan Adun Pakatan Rakyat.

"Saya rasa pertemuan ini berkaitan dengan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Menteri Besar baru berkata datang untuk taklimat hari ini," kata Khalid.

"Kami kemungkinan akan membincangkan situasi semasa dan apa yang perlu dilakukan," katanya lagi.

Exco Kerajaan Negeri Teresa Kok yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata, majlis petang ini satu pertemuan tertutup.

"Ia perbincangan dalaman untuk memberi taklimat kepada ahli-ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat mengenai isu Setiausaha Kerajaan Negeri," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Tujuh laporan terhadap Adun Seri Muda didakwa hina sultan

Posted: 04 Jan 2011 03:14 AM PST

BERNAMA

KLANG – Tujuh lagi laporan polis dibuat berhubung kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei yang dianggap menghina Sultan Selangor dalam laman blognya.

Tiga laporan dibuat oleh Pemuda Umno, MCA dan MIC Bahagian Kota Raja, sementara empat lagi daripada badan bukan kerajaan, Persatuan Bugis Selangor, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) cawangan Klang, Gabungan Anti-Penyelewengan Selangor (GAPS) serta Pusat Komuniti Andalas.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Kota Raja, Nur Azman Anuarul Perai yang mewakili Pemuda Umno, MCA dan MIC berkata kenyataan yang dibuat Shuhaimi pada 30 Disember lepas dalam laman blog http://srimuda.blogspot.com memberi gambaran Sultan Sharafuddin Idris Shah bertindak sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira amalan perlembagaan ketika memperkenankan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru.

"Saya berpendapat kenyataan Shuhaimi sengaja dibuat untuk menaikkan kemarahan rakyat dan memberi persepsi negatif terhadap institusi Raja-Raja Melayu dan boleh menggugat ketenteraman awam dan negara," katanya ketika ditemui pemberita sebelum membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bugis Selangor Raja Ahmad Raja Abdul Wahid berkata tindakan Kerajaan Selangor yang masih mempertikaikan pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK disifatkan menderhaka kepada Sultan Selangor.

"Kami warga Bugis menganggap kenyataan Shuhaimi seolah-olah menghasut rakyat menentang institusi beraja di negeri ini serta mencabar kedudukan Sultan Selangor yang berasal daripada keturunan Bugis," katanya yang juga Ketua Umno Cawangan Bandar Klang Selatan.

Dalam blog itu, Shuhaimi antara lain, mendakwa jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor dan sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Malah, wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menerusi kenyataan dalam blog berkenaan seolah-olah turut memberikan gambaran amaran kepada institusi beraja Selangor supaya "tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana".

Selangor kaji pindaan kuat kuasa retrospektif selesai kemelut SUK

Posted: 04 Jan 2011 03:13 AM PST

TERKINI

SHAH ALAM — Selangor sedang mempertimbangkan pindaan perlembagaan negeri — dengan penguatkuasaan secara retrospektif — bagi membolehkan ia dikuatkuasakan sebelum pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim (gambar) berkata hanya undang-undang jenayah sahaja yang tidak boleh dikuatkuasakan secara retrospektif.

Oleh itu kata pindaan itu akan berkuat kuasa mulai satu tarikh sebelum 1 Januari lalu.

"Ia boleh dikuatkuasakan sebelum 1 Januari 2010. Maka, ia akan ada kesan retrospektif," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Teng juga berkata, perlembagaan negeri semasa tiada kesan kuat kuasa secara retrospektif.

Tambah beliau, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim telah memaklumkan beliau semalam bahawa kerajaan negeri mahukan satu sidang khas Dewan Undangan Negeri diadakan sebelum persidangan Mac depan.

Khalid berkata kerajaan negeri akan mencadangkan sidang tergempar DUN untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Teng berkata di bawah Peraturan-peraturan Tetap 10(3) Dewan Undangan Negeri Selangor jika sidang DUN sedang ditangguhkan, Menteri Besar boleh mengemukakan kepada Speaker bagi kepentingan awam untuk mengadakan mesyuarat lebih awal.

Speaker perlu mengeluarkan pemberitahuan mengenai perkara itu dan dewan hendaklah bermesyuarat pada masa yang dinyatakan dalam pemberitahuan itu, katanya.

Kemudian, Teng memberitahu The Malaysian Insider bahawa sidang yang dirancang itu tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor.

Beliau juga berkata sidang DUN yang dicadangkan oleh Khalid bukan sidang tergempar tetapi sambungan daripada sidang DUN yang ditangguhkan pada 15 November lepas.

"Ini lanjutan daripada persidangan lalu, yang dibolehkan di bawah Peraturan Tetap Mesyuarat," katanya.

"Ini bukan mesyuarat baru. Jadi, ia tidak perlu dipanggil oleh Sultan," kata beliau.

Teng merujuk kepada Seksyen 10(3) Peraturan Tetap Mesyuarat Dewan Undangan Negeri.

Malah kata beliau, sidang khas boleh dipanggil dalam tempoh 24 jam.

Hari ini, Teng juga berkata Khusrin boleh dibenar menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri.

"Tiada peruntukan yang boleh menghalang beliau daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri," kata Teng.

Teng juga berkata Khalid boleh memujuk barisan pembangkang agar menyokong beliau mendapatkan majoriti dua pertiga, yang diperlukan untuk meminda perlembagaan.

"Kita tidak boleh mengandaikan bahawa tiada majoriti dua pertiga disebabkan Pakatan Rakyat hanya ada 35 kerusi," kata Teng.

"Mana tahu, Khalid kemungkinan memujuk beberapa anggota beberapa wakil rakyat pembangkang menyokong beliau," katanya.

Katanya, urusan perkara mesyuarat pada hari itu hendaklah ditetapkan oleh Menteri Besar dan pemberitahuan mengenainya hendaklah dipekelilingkan tidak lewat dari masa mesyuarat itu.

Ketika ditanya sama ada kontroversi isu pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru dianggap berkepentingan awam sehingga sidang DUN perlu diadakan, Teng berkata: "Sehingga kini, saya tidak tahu apa yang akan dibentangkan."

"Jadi saya tidak tahu representasi mengenai apa yang akan dikemukakan oleh Menteri Besar," katanya.

Oleh yang demikian Teng berkata beliau tidak boleh memberikan sebarang kenyataan sama ada sidang yang bakal diadakan itu menyentuh pelantikan Khusrin atau mengenai isu-isu lain.

Khusrin, 54, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember lepas manakala tempat Khusrin sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor diambil alih oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam Marzuki Hussin, 56, berkuat kuasa 1 Januari.

Bagaimanapun Khalid menolak pelantikan itu dan mendakwa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah membelakangkan Kerajaan Negeri dalam proses pemilihan calon Setiausaha Kerjaan berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi. Barisan Nasional menguasai 21 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (14), DAP (13), dan PAS (lapan).

Jumlah bagi majoriti dua pertiga ialah 38.

Mengenai pindaan undang-undang, Teng berkata cadangan pindaan undang-undang perlu digazetkan terlebih dahulu selama 14 hari sebelum dibentangkan di dalam Dewan.

Bagi usul undi tidak percaya pula, katanya ia perlu dikemukakan 14 hari sebelum dibentangkan dan lazimnya usul itu dibawa oleh anggota DUN terhadap anggota DUN lain yang didakwa melakukan salah laku.

Mengenai kemungkinan usul undi tidak percaya akan dikemukakan terhadap Khusrin yang merupakan anggota ex-officio dewan, Teng berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana belum menerima representasi daripada Menteri Besar sama ada ingin membawa usul atau pindaan undang-undang atau kedua-duanya sekali dalam sidang dewan yang dicadangkan oleh Khalid itu.

Isu SUK: PKR bersyukur sultan serah pada MB

Posted: 03 Jan 2011 10:40 PM PST

MALAYSIA KINI

PKR bersyukur dan menjunjung kasih setingginya kepada Sultan Selangor yang memperkenan menyerahkan kembali urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kepada kebijaksanaan menteri besar untuk mencari penyelesaian terbaik dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

NONE"Baginda memberikan perkenan ini selepas menyatakan pandangan bahawa baginda tidak lagi mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak pelantikan SUK kerana kuasa tersebut ditarik daripada baginda oleh Umno ketika krisis Perlembagaan pada 1993," kata penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.

Baginda memberitahu demikian dalam perjumpaan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Istana Mestika, Shah Alam semalam.

Dr Muhammad Nur berkata, PKR juga menyokong penuh tindakan menteri besar memanggil sidang tergempar DUN bagi meminda undang-undang tubuh negeri bagi mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif - SUK, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang - kepada sultan dan menteri besar.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata PKR yakin ia adalah satu langkah konkrit untuk mengangkat kembali martabat institusi raja berperlembagaan sebagaimana yang diputuskan sebagai Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

"Hakikatnya, kuasa pelantikan para pegawai yang dinyatakan di atas telahpun dihapuskan oleh Umno dalam pindaan perlembagaan yang dilakukan secara paksa pada 1983 dan 1993 meskipun ditolak oleh Majlis Raja-Raja Melayu ketika itu.

"Sesungguhnya, kemelut yang baru sahaja dilalui adalah gambaran jelas kegelojohan pihak Umno dan kuncunya untuk menggugat kedudukan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan percubaan mengulangi semula tragedi rampasan kuasa Kerajaan Negeri Perak pada 2008," tegasnya.

Dr Muhammad Nur berkata, krisis itu juga membuktikan, demi meraih kuasa politik, Umno bersedia melakukan apa sahaja meskipun dengan
mengorbankan keluhuran perlembagaan dan undang-undang.

"Adalah jelas kepada kita bahawa Umno sedang dalam keadaan terhimpit dan menyedari hakikat bahawa mereka semakin hilang kepercayaan dari rakyat Malaysia seluruhnya," tambahnya.

Lantaran itu, katanya, demi mengekalkan kuasa, mereka sedia mempergunakan apa jua slogan '1Malaysia', 'Ketuanan Melayu', 'Kedaulatan Raja-Raja' dan sebagainya.

Sehubungan itu, katanya. PKR ingin menjelaskan kembali komitmennya untuk terus menegakkan keadilan berasaskan keluhuran perlembagaaan dan undang-undang negara yang ada dan memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia umumnya.

SUK: Pemuda Pakatan protes kepada KSN

Posted: 03 Jan 2011 10:35 PM PST

Hazlan Zakaria

Kira kira 60 pemuda Pakatan Rakyat berhimpun di perkarangan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan bagi membantah perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) Selangor. NONEBantahan itu bermula dari hadapan masjid Putrajaya seawal jam 10.30 pagi. Ia diketuai ketua pemuda PKR Selangor, Khairul Anwar Zainuddin, ADUN Teratai, Jenice Lee yang juga ketua pemuda DAP Selangor dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridwan. Kumpulan ini juga membawa bersama buku undang-undang tubuh kerajaan Selangor sebagai 'hadiah' untuk diserahkan kepada Sidek. Polis yang mengawal ketat sejak awal pagi hanya membenarkan tiga orang wakil untuk masuk ke pejabat Perdana Menteri. NONEPembantu peribadi kepada ketua setiausaha negara, Rosli Laji menerima memorandum itu bagi pihak Sidek. Ketiga-tiga mereka beredar kira-kira 16 minit kemudian dengan disambut laungan "reformasi", "hormati kerajaan negeri" dan "tolak Khusrin" daripada penyokongnya.

Rampas kain rentang Sebelum itu, ketika kumpulan berkenaan berarak menuju ke pejabat Perdana Menteri, pihak polis merampas kain rentang yang memangkah muka Khusrin. NONEKekecohan berlaku seketika namun keadaan berjaya ditenangkan. Khairul Anwar dalam ucapan ringkasnya berkata kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak sanggup diperlekehkan dalam urusan pentadbiran negeri.

Memorandum berkenaan, antara lain menggesa Sidek menghormati hak kerajaan negeri dalam isu perlantikan Khusrin. Mereka mendakwa perlantikan Khusrin yang dibuat ketua setiausaha negara bukan sahaja membelakangkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, malah mencabul semangat faderalisme. NONE"Kita kecewa dengan KSN yg mendakwa kerajaan negeri tiada hak dalam isu perlantikan ini. "Membelakangkan hak kerajaan negeri sama lah juga membelakang hak rakyat Selangor," kata Khairul Anuar. Selain itu, perlantikan itu juga dakwanya turut mengabaikan Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang diamalkan negeri.

Ramai calon lebih layak "Kita tolak Khusrin kerana ramai calon lain yang lebih layak. NONE"MB sudah bertemu Tuanku semalam, dan kita mintak KSN menyatakan pendirian beliau selepas penjelasan dibuat MB semalam," gesanya. Hasbullah dalam pada itu mahu KSN menarik balik perlantikan itu yang disifatkan mampu menyelesaikan kemelut ini. Beliau juga menyeru mana-mana pihak tidak mengheret dan berselindung di sebalik istana dalam isu itu. "Kita berpandangan jika KSN tarik balik, tidak mencemarkan imej beliau. NONE"Kita mintak beliau memberi pertimbangan sewajarnya," katanya. Janice pula mendakwa perlantikan Khusrin adalah usaha mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Sehubungan itu mereka menggesa KSN segera menyelesaikan isu tersebut. Mereka juga mendakwa akan meneruskan bantahan selagi kemelut itu tidak deselesaikan.

Derhaka : Umno-Utusan guna taktik lapok

Posted: 03 Jan 2011 10:34 PM PST

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Gabungan Utusan Malaysia dan Umno untuk melaga-lagakan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak akan berhasil kerana rakyat melihat kegigihan kerajaan Selangor memperjuangkan perkara yang baik untuk rakyat.

Justeru tomahan bahawa pemimpin PR menderhaka kepada Sultan tidak timbul ia taktik lapok.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang dihubungi Selangorkini hari ini berkata, sikap Umno-Barisan Nasional(BN) yang mahu mengambil kesempatan untuk menerap unsur negatif kepada masyarakat terutama orang Melayu bagi menghakis sokongan berterusan kepada PR.

"Pada dasarnya ini menunjukkan sikap mereka tidak boleh berhadapan dengan hujah sebaliknya berhadapan dengan kekuasaan dan kekerasan.

"Tetapi usaha Umno-Barisan Nasional untuk melagakan Pakatan Rakyat dengan Sultan saya rasa tidak begitu berjaya kerana rakyat boleh melihat apa yang diusahakan PR untuk kebaikan negeri Selangor dan begitu juga Sultan memahami bahawa itu hasrat Menteri Besar," ujar beliau.

Laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini mengarahkan kerajaan mengenakan tindakan ISA terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafie kerana didakwa menghasut rakyat mempertikai keputusan Sultan Selangor berhubung perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Selain itu Ahli Parlimen Bebas yang dipecat PKR, Zulkifli Nordin turut menyarankan Shuhaimi dikenakan tindakan mengikut Seksyen 121 menghina dan menderhaka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Saya rasa tiada orang yang ambil kira apa dia (Zulkifli) cakap secara serius melainkan pihak Utusan Malaysia yang cuba ingin mainkan isu ini," jelas Khalid lagi.

"Saya yakin bahawa baginda (Sultan Selangor) tidak menunjukkan sikap sepertimana yang Umno ingin tunjukkan dengan melabel orang derhaka dan sebagainya. Ada sedikit perbezaan pendapat dan pandangan terus mahu kata derhaka dan sebagainya," tambahnya lagi.

Menurut Khalid, beliau percaya masyarakat Melayu terutama tidak akan mudah terpedaya dengan kaedah Umno-Barisan Nasional mempropagandakan isu di negeri kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau walaubagaimanapun menggesa masyarakat melihat usaha Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk memperoleh individu yang paling sesuai bagi menerajui jawatan itu.

Hata pertahan hak selaku Presiden NUJ walau dipanggil Utusan

Posted: 03 Jan 2011 10:33 PM PST

SELANGOR KINI

Hata Wahari

SHAH ALAM – Lantang bersuara dalam menyatakan pendapatnya secara terbuka mengenai hak kebebasan media di Malaysia, mengundang kontroversi apabila Hata Wahari dipanggil menjalani siasatan dalaman oleh majikannya Utusan Melayu Bhd berhubung komen-komennya di media sebelum ini.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) itu menegaskan beliau mempunyai hak dan bertanggungjawab untuk menyatakan pendapat atau menegur mana-mana media termasuk Utusan Malaysia atas kapasiti beliau sebagai seorang Presiden NUJ Malaysia dan bukannya sebagai seorang wartawan di syarikat tersebut.

"Saya memperjuangkan kebebasan media. Jadi saya bercakap atas kapasiti sebagai seorang Presiden NUJ Malaysia, bukan bercakap sebagai wartawan Utusan Malaysia.

"Sebagai presiden NUJ Malaysia, saya berhak untuk membuat sebarang kenyataan media tentang kebebasan media dan berhak menegur mana-mana akhbar yang tidak mengamalkan kebebasan media dan menjadi alat propaganda kerajaan dan mengenepikan prinsip rukun negara dengan menyiarkan cerita yang berbentuk perkauman," katanya.

Hata ketika dihubungi TVSelangor tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan yang diambil oleh pihak majikannya selepas ini, namun beliau akan terus memperjuangkan kebebasan total media Malaysia melalui NUJ.

"Kalau mereka nak menutup mulut saya dengan mengenakan siasatan dalaman supaya saya tak boleh bercakap, tanda amaran, terpulang pada mereka. Tapi bagi saya sebagai seorang Presiden NUJ Malaysia, dan tak akan berganjak dengan pendirian saya iaitu media perlu dibebaskan daripada kongkongan kerajaan atau parti politik atau kepentingan individu," jelasnya.

Biarpun mendapat tentangan dari beberapa pihak yang tidak menyenangi kelantangannya dalam menyatakan pendapat, beliau tetap berpegang teguh pada prinsip kebebasan media yang seharusnya memberi maklumat atau berita sebenar kepada masyarakat dan bukannya menjadi alat kepada kerajaan atau individu yang berkepentingan sahaja.

"Kalau mereka (Utusan) anggap itu menyindir apa masalahnya? Kalau mereka rasa itu menyindir maknanya perkara itu betul berlaku kan? Saya keluarkan pendapat NUJ, kalau tak betul mereka boleh beri kenyataan untuk menyangkal. Tetapi mereka kata saya menyindir, maksudnya itu semua benar belaka.

"Mereka melakukan itu semua. Apa yang pasti ialah, perkara itu benar-benar berlaku di Utusan Malaysia. Mereka sebagai boneka sahaja hanya menerima arahan sahaja," katanya.

Hata menerima surat daripada bahagian sumber manusia Utusan bertarikh 23 Disember yang mengarahkanya hadir bagi menjalani siasatan dalaman di ibu pejabat syarikat penerbitan akhbar itu di Cheras pada 6 Januari depan.

Beliau turut menyatakan kesediannya berhadapan dengan Ketua Pengarang dan Pengarang-Pengarang Kanan Utusan Malaysia apabila dituduh menyindir pengurusan dan memburukkan imej syarikat ekoran komennya dalam pelbagai akhbar, terutama portal berita yang mengkritik Utusan Malaysia.

Khusrin tidak akan lepas jawatan

Posted: 03 Jan 2011 10:31 PM PST

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Walaupun tidak dibenarkan menyertai mesyuarat Exco kerajaan negeri dan majlis-majlis rasmi yang lain, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) baru Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi berkata beliau tidak akan melepaskan jawatan itu.

Pelantikan Khusrin sebagai SUK adalah ibarat durian runtuh untuk bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu.

Ini kerana beliau diangkat daripada kategori pegawai gred Jusa C bagi mengisi jawatan SUK yang bertaraf Jusa A.

Khusrin memulakan tugasnya hari ini.Namun beliau tidak mahu menjawab desas-desus bahawa perlantikan beliau berserta kenaikan kenaikan pangkat yang begitu tinggi adalah untuk memenuhi agenda politik Umno semata-mata.

"Saya dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, saya yakin mereka ada jawatankuasa untuk menilai kelayakan. Saya tidak boleh komen kerana saya tidak boleh menilai diri sendiri," jelasnya.

Khusrin berkata beliau memahami tanggungjawabnya terhad dengan kemelut bersabit pelantikannya namun itu bukan masalah kepadanya.

"Perlantikan saya dari segi undang-undang tubuh adalah sah, cuma saya perlu angkat sumpah di depan Menteri Besar, iaitu sumpah menyimpan rahsia. Selagi ini tidak dibuat, saya tahu saya tidak boleh masuk mesyuarat Exco. Bagi saya tidak ada masalah," jelasnya.

Selaku SUK negeri paling maju dan kaya di Malaysia, Khusrin terpaksa berurus dengan pelabur-pelabur asing disamping mengariskan dasar-dasar kerajaan negeri di peringkat antarabangsa.

Semua itu memerlukan keyakinan kepada program-program kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan kebolehan bertutur bahasa antarabangsa untuk menyampaikan mesej yang jelas.

"Ya saya akui saya ada kelemahan dari segi itu, tetapi itu tidak menghalang saya dari melakukan tugas. Saya mengaku saya tidak fasih, tetapi saya faham," katanya.

Bukan sahaja kelayakan Khusrin dipersoalkan untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, tetapi turut dipersoalkan ialah pendirian beliau sebagai pegawai kerajaan yang berprinsip.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata keghairahan Khusrin untuk menerima pelantikan beliau adalah petanda jelas beliau lebih cenderung menerima arahan dari Putrajaya tanpa mempersoalkan kewajaran arahan itu.

"Orang yang mengikut arahan sahaja tanpa kira betul atau tidak itu yang menjadi masalah. Kita mahu orang yang memahami profesionalism dia sendiri dan kita mahu orang yang tahu bagaimana untuk memainkan peranannya seperti yang dikehendaki kerajaan negeri," katanya.

Khalid berkata tindakan Putrajaya meminggirkan kerajaan negeri dari proses pemilihan calon SUK hanya mengundang kecurigaan dan kesangsian.

"Diorang semua tahu yang kerajaan negeri juga ada calon dan proses pemilihan, tetapi perlantikan dibuat secara diam-diam. Kerajaan negeri berhak untuk sangsi dengan perlantikan itu. Apakah peranan yang kita inginkan seorang SUK lakukan? soalnya

PSM Tidak Iktiraf Pelantikan Khusrin SebagaiI SUK Selangor

Posted: 03 Jan 2011 10:29 PM PST

Oleh Suara Keadilan

psm

Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat kesal dengan pelantikan "pintu belakang" Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dimana pemilihan tersebut merupakan langkah tidak menghormati kedaulatan Kerajaan Negeri Selangor sebagai kerajaan yang sah dipilih rakyat Selangor mengikut amalan sistem demokrasi negara kita.

Pemilihan SU Kerajaan Negeri yang baru ini tanpa sebarang rundingan dengan Kerajaan pilihan rakyat Selangor adalah tindakan biadap dan telah membelakangan amalan biasa dimana proses pemilihan itu sepatutnya memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk diperkenan.

Oleh yang demikian, PSM berpendapat pelantikan Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah tidak sah dan bermotifkan politik. Kami juga tidak hairan andaikata pelantikan ini bermotifkan untuk membuat rampasan kuasa secara tidak sah memandangkan SU negeri mempunyai kuasa yang luarbiasa seperti yang pernah kita lihat di negeri Perak.

PSM juga berpendapat adalah amat wajar untuk Kerajaan Negeri Selangor untuk melantik seorang Setiausaha Kerajaan Negeri yang mempunyai kredibiliti dan kemampuan untuk melaksanakan dasar Kerajaan Negeri Selangor. Keseluruhan jentera Kerajaan Negeri Selangor juga harus akur kepada sebarang pelantikan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri memandangkan Kerajaan Selangor dibawah Pakatan Rakyat (PR) adalah kerajaan pilihan rakyat Selangor.

S.Arutchelvan
Setiausaha Agung

Umno-BN Semakin Angkuh, Bongkak, Gila Kuasa, Membelakangkan Perlembagaan

Posted: 03 Jan 2011 10:17 PM PST

Oleh Dzulkarnain Taib

LABIS- Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap Umno dan Barisan Nasional sudah sampai ke tahap terlalu bongkak, takbur dan angkuh sehingga sanggup membelakangkan perundangan negara demi menjayakan agenda politik jijik pimpinan mereka.

Menyentuh berkaitan isu perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru, Ketua Pembangkang berkata belum pernah dalam sejarah lantikan itu tidak dirujuk terlebih dahulu kepada Menteri Besar.

"Umno dan BN sudah terlalu bongkak, sombong dan takbur. Saya nasihatkan mereka supaya jangan khianat (kepada rakyat Selangor), zalim dan fitnah.

"Pagi tadi Menteri Besar mengadap Tuanku Sultan dan Tan Sri Khalid (Ibrahim) diberitahu baginda tidak masuk campur dalam perlantikan ini. Jadi sekarang mudah bagi Menteri Besar untuk terus berunding dengan SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) untuk selesaikan masalah ini," kata Anwar dihadapan lebih 2,000 penyokong Pakatan Rakyat dan peneroka pada Majlis Mesra Bersama Rakyat di Dataran Niaga, Felda Cempelak di Labis malam tadi.IMG_4525

Majlis tersebut merupakan ceramah pertama Pakatan Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang selepas pelancaran jentera pilihan raya kecil PAS di di sini Sabtu lalu.

Walaupun tiga trak Unit Simpanan Persekutuan, puluhan anggota polis serta lebih lima sekatan jalanraya dilakukan bagi menghalang kejayaan program Pakatan Rakyat namun golongan peneroka Felda Cempelak yang dianggap 'jantung Umno' tidak mengendahkan segala bentuk ugutan pihak keselamatan untuk mendengar amanat Anwar.

Anwar sempat menyentuh mengenai penubuhan Felda oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein yang menjanjikan tanah untuk golongan Melayu miskin.

"Tun Razak berjanji untuk beri tanah kepada orang Melayu miskin dan berkata tidak akan rampas tanah mereka. Beliau janji dan beliau laksana janjinya.

"Anaknya, Datuk Seri Najib janji macam-macam, ETP, NKRA, KPI tapi satu pun tak jadi dan satu pun tidak ditunaikan," tegas Anwar.

Beliau berkata PRK Tenang adalah penting kepada Pakatan Rakyat kerana kemenangan di negeri yang dianggap kubu kuat Umno bermakna isu serta perjuangan menegakkan keadilan untuk negeri Johor akan lebih berjaya.

"Kemenangan di Tenang tidak mudah, ini kami akui tetapi apa yang penting ialah istiqomah dan yakin serta terus berjuang. Kita tidak lagi boleh bergantung kepada Umno-BN kerana mereka bercakap tiga bahasa - di depan orang Melayu mereka menakutkan-nakutkan dengan isu Cina, di depan orang Cina dan India pula cakap lain.

"Pakatan Rakyat mempertahankan hak orang Melayu sebagaimana dalam Perlembagaan tetapi pada masa yang masa hak kaum lain juga dipertahankan. Inilah pendekatan kita.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin memberi amaran kepada Umno-BN suoaya jangan terlalu yakin kerana mungkin Tenang akan menjadi 'ribut' bagi mereka.

"PRK Tenang penting kerana ia akan menjadi pencetus kepada gelombang perubahan di bahagian selatan Semenanjung. Jadi pilihan raya kecil ini adalah peluang kepada rakyat Tenang khususnya dan Johor untuk membuat perubahan penting," kata Shamsul.

ADUN Batu Caves Amirudin Sahri pula mengatakan pengundi di DUN Tenang akan membuat keputusan penting 30 Januari nanti yang bakal merubah landskap politik Johor dan seterusnya di seluruh kawasan Felda yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Sebelum itu di Kampung Air Panas yang terletak kira-kira 10 km dari Labis, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Abdul Rahman Yusof berkata perubahan amat perlu pada PRK Tenang dan Pilihan Raya Umum ke 13 kerana kerajaan Umno-BN kini lebih mementingkan golongan kroni dan kaum keluarga serta membebankan rakyat dengan kenaikan harga barangan keperluan.

"Keadaan ekonomi Malaysia ama berbeza ketika Datuk Seri Anwar menjadi Menteri Kewangan di mana
beliau pernah terpilih Di pilih sebagai Menteri Kewangan terbaik oleh akhbar Financial Times dan negara menyaksikan pertumbuhan ekonomi terbaik semasa beliau dipertanggungjawab mengurus kewangan negara.

"Sekarang ekonomi dan sumber kekayaan negara semuanya dibolot secara rakus oleh pemimpin Umno-BN dengan rakus sekali, Kata Abdul Rahman.IMG_4499

PRK Tenang diadakan berikutan kematian ADUN Tenang Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember lalu di Hospital Ampang Puteri akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 22 Januari dan hari pembuangan undi pada 30 Januari.


Tiada ulasan: