Isnin, 31 Januari 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Gempar - Nik Aziz Bawa Orang India Masuk Masjid

Posted: 30 Jan 2011 08:33 PM PST

Sebuah bas kaum India menunggu saya - TGNA

Kelmarin setibanya saya di rumah selepas berada di Tenang, Johor selama tiga hari, saya dikejutkan dengan satu rombongan bas kaum India dari Hulu Selangor yang siap menunggu ketibaan saya.

Mereka meminta saya untuk berucap sepatah dua kata dan saya menjemput mereka naik ke masjid jika ingin mendengar ucapan saya. Alhamdulillah, tanpa fobia dan takut, mereka naik ke masjid.

Tidak tahulah pula saya jika langkah saya itu boleh menjadi isu kepada pihak-pihak tertentu. Namun bagi saya, Islam perlu diperlihatkan dengan wajahnya yang sebenar bukan hanya melalui lidah orang-orang Islam sendiri yang jahil tentang Islam. Hasilnya, biarpun 50 tahun negara merdeka, orang bukan Islam masih belum memahami Islam sehinggalah perkara yang paling asas seperti soal larangan bersalaman antara bukan mahram pun masih dipertikaikan!


Islam adalah rahmat. Sekular pula warisan jahiliyyah. Ada yang nampaknya memarahi saya apabila saya membangkitkan soal jahiliyyah. Bahkan ada yang menafsirkan jahiliyyah hanyalah orang-orang Arab yang kafir di zaman Nabi Muhammad SAW. Sukalah saya ingatkan terhadap satu buku yang dikarang oleh Dr Muhammad Qutb yang bertajuk Jahiliyyah fil Qarnil Isyrin (Jahiliyyah di Kurun ke-20). Ini bukti saya bukannya orang pertama yang menyatakan jahiliyyah wujud di zaman ini.

Sukalah saya ulangi, setiap perkara yang bertentangan dengan Islam ialah jahiliyyah. Datangkanlah apa jua jenis nama ideologi sekalipun, jika tidak selari dengan Islam, pastinya ia jahiliyyah walaupun tidak memakai nama jahiliyyah. Ia seperti menggelarkan zina dengan seks bebas, sekalipun nama berbeza dan dilembutkan nadanya, ia tetap zina. Dadah disebut morfin, heroin dan sebagainya, ia tetap dadah.

Arak pula digelar minuman keras dengan pelbagai jenama, hakikatnya ia tetap arak yang diharamkan. Demikianlah sekularisme, nasionalisme, komunisme, sosialisme dan ism-ism yang diasaskan oleh manusia moden tetap merupakan benih jahiliyyah. Setiap masa dan saat, kita diberikan dua pilihan, Islam atau jahiliyyah. Pilih Islam ertinya selamat, menentang Islam bererti memilih jahiliyyah.

Ada yang berkata jahiliyyah hanyalah bermakna bodoh. Ini satu tanggapan yang salah. Tidakkah orang-orang Arab di zaman nabi merupakan orang-orang yang cerdik. Mereka pakar di dalam perniagaan, pakar peperangan dan pakar bahasa. Gelaran jahiliyyah bukanlah kerana mereka bodoh tetapi kerana mereka menolak Islam. Justeru Allah SWT berfirman :

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Yang bermaksud : "Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin." Surah Al-Maidah ayat 50.

Saya ingin bertanya kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang begitu kuat menghentam saya, benarkah perjuangan UMNO berlandaskan Islam? Jika benar, rujuklah kembali kepada al-Quran dan al-Hadis sebagai dasar. Hairan saya, Timbalan Perdana Menteri sendiri boleh menakut-nakutkan kaum Cina di Tenang, Johor dengan negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Dalam masa yang sama, PAS dituduh sebagai kuda tunggangan DAP. Jika TPM sendiri menyebut PAS tidak pernah menggugurkan agenda negara Islam, UMNO pula bagaimana?

Difahami daripada kenyataan tersebut, UMNO tidak akan membawa Islam sebagai agenda perjuangannya. Hairan, jika disebut jahiliyyah mereka melenting, tetapi mereka sendiri menolak Islam. Situasi ini mengingatkan saya kepada bait-bait syair Iqbal, seorang penyair Paskitan ketika mengumpamakan senario umat Islam pada hari ini : Ke bumi tidak jatuh, ke langit tidak naik, sembah berhala pun tidak, sembah tuhan pun enggan.

Islam mengajar selepas mati ini akan nada hidup di akhirat. Sayang sekali, hidup akhirat ini tidak pernah meniti di bibir pimpinan UMNO. Sedangkan kepercayaan kepada hari akhirat merupakan tonggak kepada rukun iman dan Nabi Muhammad SAW seringkali mengingatkan dalam banyak hadisnya :

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat……" Islam mengajar dunia ini milik Allah SWT, dipinjamkan kepada manusia sebagai khalifah. Sekular mengajar bahawa manusia berhak melakukan apa saja yang dikehendakinya apabila berkuasa. Islam mengajar bahawa setiap perbuatan manusia akan diadili di akhirat, jika baik natijahnya syurga dan jika tidak, natijahnya ialah neraka. Pernahkah syurga dan neraka disebut di daam ajaran sekular yang didokong oleh UMNO?

Ajaran sekular hanya memikirkan soal bagaimana untuk berkuasa. Etika dan undang-undang boleh diketepikan apabila tidak berpihak untuk mereka. Lihatlah di Tenang, dijanjikan peruntukan RM30 juta tanpa sedikitpun dijeling oleh SPRM. Barangkali bagi mereka, pengundi di Tenang boleh dibeli seperti membeli binatang ternakan.

Rasulullah SAW hadir dengan membawa makanan roh bukannya makanan fizikal semata-mata seperti yang diamalkan oleh UMNO. Rasulullah SAW hadir bukan dengan menjanjikan projek seperti yang diibawa oleh UMNO kerana manusia memerlukan bukan hanya makanan fizikal tetapi juga makanan roh. UMNO masih beum cukup serik mempermainkan rakyat kerana hanya itu yang termampu dilakukan oleh mereka.

Seruan saya, baliklah kepada Islam. Islam yang adil, Islam yang membawa rahmat dan Islam yang menjanjikan kemenangan. Saya ulangi kembali pesanan saya kepada jentera pilihanraya PAS di Dun Tenang, kita bukannya memburu kemenangan di dalam pilihanraya di dunia semata-mata, tetapi kita memburu kemenangan di akhirat. Hari ini, PAS tewas di Tenang, namun PAS berpuas hati kerana telah melaksanakan tugas amar makruf nahi munkar. Adapun UMNO, bolehkah perjuangan mereka dibawa ke akhirat? Fikirkanlah.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Kg Pulau Melaka.
Bertarikh : 25 Safar 1432H / 30 Januari 2011M

Kedutaan Mesir Di KL Diserbu

Posted: 30 Jan 2011 08:29 PM PST

NGO, pembangkang serbu kedutaan Mesir di KL

Sekumpulan NGO dan parti pembangkang pagi ini mengadakan bantahan di kedutaan Mesir di Kuala Lumpur bagi menunjukkan kebersamaan mereka dengan perjuangan rakyat negara itu dalam menuntut regim Mubarak turun dari tampuk kuasa.

Berarak sedikit daripada kawasan letak kereta tidak jauh dari situ, mereka melaungkan slogan 'Down Mubarak' (Turun Mubarak) sambil membawa poster pemimpun Mesir dengan lambang Zionis di dahi.

Kumpulan daripada 71 NGO itu kini sedang berunding dengan kira-kira 50 anggota polis - yang menutup pintu masuk ke kedutaan - untuk menghantar memorandum kepada wakil kerajaan Mesir.


Setakat ini, dalam bantahan besar-besaran penduduk Mesir, ribuan membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah bagi menuntut penamatan 30 tahun pemerintahan Hosni Mubarak.

Aljazeera hari ini melaporkan, pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei yang menyertai kumpulan penunjuk perasaan itu memberitahu orang ramai pada Ahad malam bahawa "kita sudah bermula dan tidak boleh berpatah balik".

Sejak Selasa lepas beberapa siri demonstrasi dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak pengunduran Mubarak.

Kebangkitan rakyat Mesir itu kini menarik perhatian seluruh dunia kerana dijangka memberi kesan besar kepada politik dunia Arab. - mkini

PRK Tenang - Jentera Kerajaan Digerakkan Hanya Untuk Bantu Melayu Sahaja

Posted: 30 Jan 2011 07:12 PM PST

Bantu Melayu, biarkan Cina dan India?

Penyumbang utama kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Tenang adalah kerana kejayaannya membawa keluar seramai mungkin para penyokong utamanya di Felda dan kampung Melayu walaupun kawasan mereka dilanda banjir.

Pada jam 11 pagi ketika para pelancong politik, petugas dan pengundi bersesak di jalan menuju ke kampung dan Felda Tenang kerana banjir, siren petugas kecemasan kerajaan bingit meminta laluan diberikan kepada mereka untuk membawa bot ke sana.

Antaranya bot polis, tentera, Pertahanan Awan dan juga Bomba dan Penyelamat bergegas di bawa ke sana.

Namun usaha ini tidak berlaku di kawasan pengundi Cina. Ini menyebabkan, kenaikan mendadak peratus mengundi di kawasan Felda dan kawasan tradisional Melayu berbanding kawasan Cina.


Hasilnya, BN berjaya menaikkan peratusan pengundi Melayu mereka kepada 83.3 peratus iaitu kenaikan 4 peratus berbanding pilihan raya umum 2008 lalu.

Ia berlaku apabila jumlah pengundi Melayu dinaikkan kepada 81 peratus iaitu kenaikan 2 peratus berbanding sebelum ini sedangkan jumlah pengundi Cina jatuh 18 peratus manakala India jatuh 23 peratus.

Kawasan undi Kampung Redong sahaja berjaya dinaikkan 11 peratus kepada 80 peratus berbanding sebelum ini hanya 69 peratus.

Felda Chemplak naik 6 peratus kepada 88 peratus manakala di Felda Tenang naik 6 peratus kepada 86 peratus.

Peratusan ini adalah berdasarkan analisa peratusan keluar mengundi yang dibuat oleh Tony Pua, anggota Parlimen Petaling Jaya Selatan.

Undi Cina dan India

Kerana sikap pilih kasih dan bias fokus alat kerajaan untuk kepentingan BN ini, peratusan pengundian di kawasan Cina jatuh teruk. Ia ditambah pula dengan suasana sambutan Tahun Baru Cina yang hampir tiba. Mereka bimbang untuk meredah banjir dan hujan kerana takut demam atau cedera menjelang sambutan itu.

Hasilnya, peratusan keluar mengundi Cina jatuh 18 peratus iaitu kepada 54 peratus sahaja. Namun begitu, peratus undi untuk PAS kekal iaitu 64 peratus.

Peratusan keluar mengundi untuk Labis hanya 50 peratus, Labis Tengah 72 peratus, Labis Timur 67 peratus manakala Tenang Station hanya 51 peratus.

Kawasan yang paling teruk terjejas akibat diskriminasi ini adalah pengundi India apabila hanya 39 peratus sahaja pengundi mereka turun iaitu turun sebanyak 23 peratus.

Pada jam 3 petang semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta SPR menangguhkan pilihan raya ini kerana ramai yang tidak boleh kelauar akibat banjir ini.

"Saya minta SPR menangguhkan proses pengundian hari ini kerana hujan lebat dan banjir.

"Pengundi kini sudah terputus hubungan kerana jalan sudah ditutup dan ada dikalangan mereka takut meninggalkan rumah untuk keluar mengundi ekoran banjir di kawasan mereka," katanya.

Namun begitu, selepas pengumuman dibuat, seorang lagi naib presidennya yang juga pengarah pilihan raya ini, Salahuddin Ayub berkata mereka akan menerima keputusannya buat masa ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat terjejas teruk oleh banjir yang melanda beberapa pusat pengundian di Tenang hari ini.

Kataya, banjir telah menjejaskan peluang parti itu kerana ia melanda banyak kawasan di bandar itu seperti Ladang Labis Utara, Bandar Labis Tengah, Bandar Labis Timor.

Kejayaan PAS

Namun begitu, dengan kekalahan ini PAS masih berbangga dengan beberapa perkara termasuk menyelesaikan persepsi yang cuba dibina oleh Umno selama ini kononnya PAS berkawan dengan DAP yang anti Islam.

Pilihanraya ini membuktikan, MCA sebenarnya yang anti Islam bahkan tidak cuba langsung mendekati dan memahami Islam.

"What is so great about knowing Muslim values?" (Apa baiknya untuk (saya) mengetahui tatasusila orang Islam?)" kata Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek.

Sebelum itu, beliau menghina calon PAS, Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan bukan muhrimnya dan juga memakai sarung tangan untuk membolehkan beliau bersalama dengan mereka.

Ekoran itu pelbagai pihak telah mempertikaikan Soi Lek sehingga Mufti Perak sendiri meminta beliau memohon maaf kepada orang Islam kerana penghinaannya itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyeru seluruh jentera parti PAS untuk menghilangkan tanggapan bahawa kawasan Felda dan kampung tradisional merupakan kubu Barisan Nasional.

"Untuk menganggap Felda kubu BN saya kira agak ekstrem kerana PAS pernah menang di kawasan Felda bahkan pada tahun 1999, bilamana PAS menang di kawasan majoriti melayu, ianya termasuk kawasan Felda," kata Tuan Ibrahim yang diminta mengulas kegagalan PAS menembusi kawasan Felda di pilihanraya kecil Tenang.

Calon PAS, Normala Sudirman tewas kepada calon Barisan Nasional, Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi. Normala memperolehi 2,992 undi manakalah Azahar memperolehi 6,699 undi dengan peratusan keluar mengundi hanya 66.7 peratus.

Jentera Pakatan Rakyat berjaya mengekang majoriti BN naik kepada melebihi 5000 undi sebagaimana yang disasarkan BN. - hrkh

Terima Kasih Dari Cikgu Mala

Posted: 30 Jan 2011 05:31 PM PST

Apa lagi yang mampu saya ucapkan selain daripada ucapan terima kasih cikgu. Allah jualah yang dapat membalas segala jasa dan pengorbanan cikgu sekeluarga dalam mempastikan syiar Islam dinobatkan di negara ini melalui pilihanraya di DUN Tenang.

Kekalahan kali ini sebagai mana di Galas, memang perit buat kami, tetapi itulah yang dilihat pada masa ini. Namun, kami tetap bersyukur dengan ketentuan Illahi. Pada kami, Allah jugalah yang mengetahui sebab sesuatu ketentuan itu.

Keputusan PRK kali ini, sebagaimana PRK yang lepas-lepas juga menyatakan bahawa masih ada lagi sekelumit jiwa orang-orang yang beriman dan orang-orang yang yakin kepada Islam. Inilah yang penting kerana itu adalah rahmat Allah.


Pada kami, apalah yang dapat kami buat jika tidak ada orang seperti cikgu? Apakah yang dapat kami tunjukkan kepada Allah tentang usaha dalam melaksanakan fardu kifayah kami? Dengan adanya orang-orang seperti cikgu, telah mampu menyelamatkan kami dan umat Islam di negara ini dan negara ini amnya.

Kewujudan cikgu, telah memenuhi perintah Allah yang mana antara maksudNya; " Hendaklah ada di kalangan kamu, golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran."

Saya lupa daripada surah mana ayat itu tetapi itulah yang selalu didendangkan oleh kumpulan tabligh ketika memberi taklim di tempat saya.

Cikgu, cikgu tidak bersendirian. Cikgu pun maklum. Seri Kandi seperti cikgu akan wujud malah sentiasa ada dalam mana-mana kelompok masyarakat. Dalam masa yang sama, kumpulan syaitan tetap ada dan sentiasa berusaha untuk melemahkan malah menghapuskan iman kita. Mereka memang ramai, dan memang pun kerana penghuni neraka itu memang ramai.

Rasmi - BN Kekalkan Dun Tenang

Posted: 30 Jan 2011 04:38 AM PST


Keputusan rasmi (PAS) - BN 6,596, PAS 2,698. Majoriti BN mendahului 3,628. Peratus keluar mengundi 65.02 peratus. Jumlah pengundi 9,593.

Tak Rasmi - BN Berjaya Kekalkan Dun Tenang

Posted: 30 Jan 2011 03:40 AM PST


7.15pm Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dalam lama Twitter mengucapkan tahniah kepada BN kerana berjaya mempertahankan kerusi tersebut.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan BN mendapat sekitar 6,698 undi manakala PAS mendapat 2,963 undi.

calon BN, Mohd Azahar Ibrahim menang dengan majoriti 3,733 undi - meningkat 1,243 undi berbanding majoriti 2,492 undi pada 2008.

Keputusan PRK Tenang - BN Terus Mendahului

Posted: 30 Jan 2011 02:36 AM PST

PAS: 1,207 BN: 2,038

BN mendahului 1,484. PAS-533. Undi rosak-12

PRK Tenang - Keputusan Jumlah Undi Tidak Rasmi

Posted: 30 Jan 2011 01:50 AM PST

Keputusan tidak rasmi pertama dijangkakan akan diketahui menjelang jam 6.30 malam untuk saluran-saluran dan pusat pengundian yang mempunyai pengundi kurang dari 1,000 orang. Laporan keputusan terkini tidak rasmi tersebut akan disiarkan terus menerus dari masa ke semasa berdasarkan maklumat yang diterima dari petugas-petugas di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis untuk kesemua peti-peti undi.

Keputusan tidak rasmi juga boleh diikuti secara live dari "coveritlive" pada bahagian atas Bloglist Malaysia.

PRK Tenang - Tentera Dan Bomba Dikerah Untuk Angkut Pengundi BN Sahaja

Posted: 30 Jan 2011 01:36 AM PST


Pakatan dakwa bantuan angkut pengundi tidak adil

Hujan lebat sepanjang hari Tenang telah mengakibatkan banyak kawasan di luar bandar ditenggelami banjir dan beberapa pusat pengundian terputus hubungan.

Keadaan itu menyebabkan ramai pengundi Cina - yang menjadi bank
undi Pakatan - tidak dapat keluar mengundi.

Walaupun pasukan polis, tentera, jabatan pertahanan awam dan berbagai agensi kerajaan telah dikerah membantu membawa penduduk ke pusat pengundian, tetapi pemimpin Pakatan mengadnu ia tidak dilakukan secara adil.

Mereka mendakwa lebih banyak kemudahan pengangkutan dikerah ke kawasan Felda - yang merupakan penyokong kuat BN.


"Mengapa tidak ada bot untuk membawa majoriti pengundi di bandar Labis yang ditenggelami banjir tetapi Felda mendapat semua bot polis dan bomba?" soal ketua publisiti DAP, Tony Pua dalam twitternya.

Menurutnya, kegagalan untuk menyediakan bot dan lori yang cukup, dan diagihkan secara adil di semua daerah pengundian, akan menjejaskan keputusan pilihan raya kecil ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Tony berkata pihak polis dan tentera seharusnya tidak hanya memberi bantuan ke tempat-tempat tertentu sahaja kerana banjir berlaku di semua kawasan pilihanraya.

Sekurang-kurangnya dua pusat pengundian - SMK Kamarul Ariffin dan dewan serbaguna Kampung Paya Merah di bandar Labis - terputus hubungan kerana teruk dilanda banjir sekitar jam 2.30 petang tadi.

Kedua-duanya masing-masing merupakan pusat pengundian bagi Bandar labis Tengah dan Bandar Labis Timur yang didominasikan pengundi Cina dan dimenangi PAS dalam dalam pilihan raya umum.

Daripada 12 daerah mengundi, PAS hanya memenangi di tiga daerah majoriti pengundi Cina pada 2008.

Menurut ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching, kadar pengundian tersebut hanya mencecah 20 peratus pada jam 1 tengaharai tadi,
berbanding dengan 50 peratus pengundian di kawasan majoriti Melayu di Felda.

BN memperolehi 80 peratus undi di tiga penempatan Felda dalam pilihanraya umum lalu.

Dalam twitternya, Teoh memberi beberapa nombor telefon dan meminta pengundi Cina untuk menghubungi mereka untuk dibawa ke pusat pengundian.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dilaporkan berkata tempoh pengundian tidak akan dilanjut.

Walaupun beberapa jalan ke pusat pengundian terputus kerana banjir, pelbagai agensi kerajaan dikerah membantu menghantar pengundi ke pusat-pusat tersebut, kata Abdul Aziz.

Di bawah undang-undang sekarang, tempoh pengundian tidak boleh dilanjutkan, kata timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Wan Ahmad Omar. - mkini

Tiada ulasan: