Khamis, 20 Januari 2011

Biaqpila

Biaqpila


ADUN Merlimau meninggal dunia

Posted: 20 Jan 2011 08:02 AM PST



ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia pada jam 8.10 malam ini di Hospital Pakar Putra, Melaka selepas mengalami serangan jantung semalam.
Perkara itu disahkan Ahli parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah.

Beliau merupakan antara pemimpin BN yang berada di hospital berkenaan sejak tengahari.

Kematian Mohamad Hidhir dijangka bakal menyebabkan pilihan raya kecil ke-15 diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Jan lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidak selesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.

Dilaporkan, Mohamad Hidhir mengalami serangan jantung sebanyak tiga kali dalam tempoh lima hari lalu yang menyebabkan beliau berada dalam keadaan koma di hospital berkenaan hari ini.

Mohamad Hidhir dilaporkan mengalami serangan jantung yang pertama pada Sabtu lalu pada kira-kira jam dua petang dan mengalami serangan jantung kedua pada waktu
tengahari, Isnin lalu.

Ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau mendapati Mohamad Hidhir berada dalam keadaan koma sewaktu melawat ADUN berkenaan petang ini.
"Sewaktu menziarahi beliau sebentar tadi bersama beberapa anggota Exco negeri, beliau berada dalam keadaan koma dan bernafas menggunakan alat sokongan mesin," katanya kepada pemberita di hospital berkenaan.

Mohd Ali dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung kematian pengerusi jawatankuasa pertanian dan pembangunan desa negeri itu.

MK

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Umno Selangor umpama 'bangkai bernyawa'

Posted: 20 Jan 2011 04:00 AM PST


Oleh: Mohd Rashidi Hassan
IKAN busuk bermula di kepala. Itulah petikan pepatah Cina yang sesuai untuk memahamkan rakyat tentang situasi di Selangor, khususnya masalah atau krisis kepimpinan yang melanda parti pembangkang Umno-Barisan Nasional.

Sama ada rakyat sedar atau tidak, sejak tiga dekad yang lalu, rakyat Selangor disajikan dengan ketua pentadbir negeri yang dikenali dengan nama Dato' Menteri Besar, yang hampir semuanya 'bermasalah'.

Selepas Dato' Harun Idris (1970-1976) dan Dato' Hormat Rafie (1976-1982), semua MB Selangor yang diwakili Umno, sarat dengan skandal dan masalah.

Penulis tidak mahu menyentuh mengenai bagaimana Harun dijatuhkan oleh pemimpin Umno sendiri, sehingga dipenjara dan digantikan oleh Hormat.

Yang hendak disentuh ialah MB-MB selepas mereka. Bermula dari Dato' Ahmad Razali Ali (1982-1986), Dato' Muhammad Muhd Taib (1986-1996), Dato' Abu Hassan Omar (1997-2000) dan Dr Mohamad Khir Toyo (2000-2008).

Keempat mereka diganti dan dijatuhkan, penuh dengan skandal dan penghinaan. Harus diingat yang menjatuhkan mereka adalah manusia-manusia rakus dalam Umno sendiri.

Cuma Khir Toyo sahaja dijatuhkan oleh rakyat dan kemudiannya didakwa. Itupun pendakwaan terhadap Khir dikatakan berpunca dari 'move' orang tertentu dalam Umno.

Untuk nota, semua MB adalah Pengerusi Umno, sekali gus memegang jawatan Pengerusi BN Negeri.

Selepas Dr Mahathir Mohamad ditabalkan menjadi Perdana Menteri, lantas beliau memilih adik iparnya Ahmad Razali sebagai MB. Ahmad Razali tidak ada pengalaman dan tidak terkenal dalam Umno, tetapi diberikan jawatan tinggi kerana dia kroni PM.

Akibat ketidak kemampuan dan kelemahannya, sehingga mendorong Umno-BN Selangor menolaknya, Ahmad Razali dihadkan memerintah hanya sepenggal sahaja.

Kisah Ahmad Razali ini terakam diminda penulis, kerana pada waktu itu, penulis baru memasuki sekolah menengah. Suatu ketika penulis berkunjung ke rumah aruah abang ipar di kawasan penempatan setinggan di Kampung Pandan, kebetulan ia berhampiran dengan sebuah dewan orang ramai.

Pada hari itu berlaku kekecohan dalam mesyuarat Umno. Riuh rendahnya perbalahan Umno waktu itu sehingga mereka berani membaling kerusi ke arah MB Ahmad Razali.

Kisah Ahmad Razali berakhir apabila beliau digantikan oleh Muhammad Taib yang juga terkenal dengan gelaran 'Mike Tyson'. Muhammad Taib bertapak 10 tahun sebagai MB Selangor. Paling lama dan paling hebat.

Hebat sehingga berjaya 'melarikan' anak Sultan Selangor. Hebat kerana membayar wang mut'ah sebanyak 16 juta selepas berpisah. Hebat kerana membawa wang berguni-guni membeli aset di Australia, sehingga ditahan polis Australia.

Sampai sekarang, rakyat Selangor disembunyikan dengan fakta, bagaimana Muhammad Taib boleh jadi begini kaya? Boleh orang-orang Umno jelaskan?

Selepas Muhammad Taib dijatuhkan oleh orang Umno sendiri. Dr Mahathir menaikkan Abu Hassan Omar. Beliau seorang Menteri, lalu diarah beliau letak jawatan Menteri, seorang Adun BN mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada beliau menjadi MB.

Pertamakali dalam sejarah Malaysia, diadakan pilihan raya kecil kerana PM mahu seorang yang hebat menjadi MB Selangor terbaik dari Umno-BN.

Abu Hassan 'ditabal' dengan penuh gemilang sebagai MB. Beliau bukan orang kecil, beliau dihormati oleh golongan istana dan mendapat kepercayaan PM.

Namun tidak sampai sepenggal, beliau tersungkur kerana skandal yang memalukan Umno-BN dan seluruh rakyat Malaysia.

Kehebatan Abu Hassan terserlah sehingga berjaya 'menaji' adik iparnya sendiri. Suatu skandal besar yang memalu dan memualkan seluruh Selangor. Skandal Abu Hassan mula dihebahkan oleh orang-orang Umno melalui media di luar negara, diheboh dan diuar-uarkan sehingga Abu Hassan terpaksa meletakkan jawatan.

Kemudian 'ditabalkan' pula seorang junior dari Sungai Besar. Seorang doktor, anak muda, anak Selangor yang 'pure' keturunan Jawa.

Pelantikan Khir Toyo sebagai MB mengejutkan golongan veteran dalam Umno. Tetapi mungkin PM Mahathir ketika itu mempunyai alasannya yang tersendiri.

Belum setahun Khir menjadi MB, fail mengenai dakwaan dan skandal rasuah beliau sudah diangkat ke pejabat PM.

Sahabat penulis yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, adalah antara orang aktif membongkar ke rasuah Khir Toyo. Namun fail-fail itu didiamkan sahaja oleh PM Mahathir.

Sekarang ini selepas Khir dibuang oleh rakyat dari tampuk kuasa MB. Beliau kini dihadapkan ke mahkamah kerana pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah bernilai jutaan ringgit.

Yang hebatnya, beliau didakwa melakukan kesalahan rasuah di kediaman rasmi MB, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam.

Soal beliau salah atau tidak itu kita harus menunggu kes mahkamah selesai. Apa pun Khir Toyo harus menerima hakikat bahawa karier politiknya sudah berakhir.

Berakhir sebagai bekas MB, bekas Pengerusi Umno, Pengerusi BN, Ketua Bahagian Umno dan beliau mungkin tidak akan dicalonkan semula sebagai calon Adun. Usah harap hendak tanding MT Umno atau Ketua Pemuda.

Mengapa Khir dijatuhkan, siapa yang menjatuhkannya harus dibincang dalam episod yang lain kerana ruang penulis amat terhad.

Cumanya Khir Toyo memalukan Umno kerana beliau kononnya berbesar hati memulangkan pingat 'Dato' Seri' sementara kesnya dibicarakan, sebaliknya pingat itu digantung oleh pihak Istana.

Penggantungan itu tidak harus dipertikaikan kerana ia memang amalan Istana Selangor bagi pemegang pingat dan darjah kebesaran negeri yang didakwa terbabit dalam kes mahkamah atau jenayah. Perkata ini pernah berlaku kepada bekas Timbalan Presiden MCA, Dato' Lee Kim Sai suatu ketika dahulu.

Cumanya, perkara yang hendak ditekankan penulis di sini ialah, sejak hampir tiga dekad atau 26 tahun (1982 - 2008), Umno-BN 'menyajikan' rakyat Selangor dengan penjawat jawatan MB yang penuh dengan skandal, jijik, perasuah beserta moral yang amat rendah.

Yang amat memalukan ialah, mereka semua adalah MB dari Umno, orang Melayu-Islam. Maknanya selama ini Umno menawarkan MB 'kepala ikan busuk' yang hampir-hampir menjadi bangkai.

Berdasarkan fakta yang dikemukakan, jelas selama ini rakyat Selangor tertipu dengan imej baik, imej hebat pemimpin Umno, walhal semuanya hampas belaka.

Jika selama 26 tahun MB 'ikan berkepala busuk' disajikan oleh Umno-BN kepada rakyat Selangor, maka apakah jaminan mereka boleh menawarkan calon baru, yang bersih, yang boleh menyaingi Dato' MB Abdul Khalid Ibrahim?

Pada penulis, apa yang MB Khalid lakukan selama tiga tahun ini, jauh lebih baik dari empat MB Umno-BN sebelum ini.

Oleh itu, Umno Selangor usahlah berangan-angan hendak merampas kerajaan negeri, kerana rakyat tahu yang bakal anda pilih menjadi MB nanti adalah hampas-hampas yang akan menjadi bangkai bernyawa sahaja!

HD

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Bunuh Isteri Hamil,Ambil Janin Buat Tangkal Loteri

Posted: 20 Jan 2011 02:00 AM PST


HANOI: Seorang lelaki Laos memberitahu polis, dia membunuh isterinya yang hamil dengan kapak kerana mahukan janin untuk menjadikannya tangkal bagi membolehkannya menang loteri.

Akhbar Vientiane Times melaporkan, lelaki berusia 38 tahun itu ditangkap sehari selepas memujuk isterinya yang berusia 24 tahun masuk ke dalam hutan di wilayah Xieng Khuang sebelum membunuhnya dengan mengapak belakang wanita itu.


Menurut laporan itu, janin berkenaan tidak ditemui.

Polis memberitahu akhbar berkenaan, lelaki itu mengaku merancang menggunakan janin berusia tiga bulan untuk membuat 'louk lord,' tangkal yang menurut legenda masyarakat Laos boleh memberi pemiliknya kuasa dan kekayaan. "Pembunuh itu mengaku melakukan jenayah kejam itu tetapi enggan menyatakan di mana dia menyimpan janin berkenaan. "Suspek berkata, dia diberitahu jika dia berjaya menghasilkan 'louk lord,' dia boleh bercakap dengan hantu untuk mendapatkan nombor loteri.


"Atau dia boleh menjual tangkal itu dengan harga yang amat tinggi," kata Ketua Penyiasat, Mejar Khamsouk Phonkhamdy.


Bagaimanapun, menurut Khamsouk, setakat ini tidak jelas sama ada lelaki itu melakukan jenayah berkenaan bersendirian atau bersama rakan yang masih berusaha membuat tangkal itu. - AFP


KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Lapan Ditahan Demo Di Program Thaipusam

Posted: 19 Jan 2011 11:00 PM PST



BATU CAVES 20 JAN : Lapan anggota Parti Hak Asasi Manusia (HRP) ditahan dalam satu demonstrasi yang bertukar liar di tapak sambutan Thaipusam di sini, hari ini.

Manakala enam daripadanya pula mengalami kecederaan dalam pergelutan itu.

Sambutan Thaipusam hari ini dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lebih 20 orang anggota polis mula bertindak ke atas kumpulan berkenaan yang mengadakan demonstrasi itu bagi memprotes buku teks sastera Interlok.

Tindakan itu dilakukan ketika ketua penerangan HRP S Jayathas yang mengetuai kumpulan itu sedang membacakan satu kenyataan.

Pada masa yang sama, Najib sedang menyampaikan ucapan di dalam kompleks kuil berkenaan.

Pergelutan kecil turut berlaku apabila kira-kira 15 orang anggota HRP cuba membolosi kawalan polis berhampiran pintu pagar kuil.

Peserta demonstrasi berkenaan turut dilihat membawa poster antaranya dengan slogan "mansuhkan Interlok", "Pemuda Tamil tidak sokong BN" dan "Kami mahu keadilan."

tvs

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Hangpa nak sabotaj ka?

Posted: 19 Jan 2011 08:00 PM PST

Ketika berucap dalam satu majlis pelancaran perkhidmatan bas "CENTRAL AREA TRANSIT" (CAT) dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Discover Penang & Win Ketua Menteri Pulau Pinang telah mengumumkan akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma dari Seberang Jaya ke Pulau Pinang uat warga Pulau Pinang.

Sebanyak tiga buah bas RapidPenang yang dikenali sebagai Bas CAT disediakan oleh Kerajaan Negeri secara percuma dengan Kerajaan Negeri di bawah MPPP menanggung kos sebanyak RM50,000 sebulan atau RM600,000 setahun dan selebihnya diuruskan oleh RapidPenang.


Dengan penyediaan Bas CAT ini, Kerajaan Negeri berharap dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dalam kawasan pusat bandar malah, ianya sekaligus akan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.

Tiba-tiba hari ini Bernama melaporkan Syarikat konsesi Jambatan Pulau Pinang Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) telah memansuhkan diskaun kadar tol sebanyak 50 peratus kepada semua jenis bas bermula Sabtu lalu.

Dengan pemansuhan diskaun itu pasti subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri akan meningkat.

Adakah ini satu tindakan sabotaj oleh UMNO terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui syarikat miliknya iaitu UEM yang menguasai Syarikat konsesi Jambatan Pulau Pinang Penang Bridge Sdn Bhd?


PBSB mansuh diskaun tol bas di Jambatan Pulau Pinang

2011/01/19
GEORGETOWN: Syarikat konsesi Jambatan Pulau Pinang Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) telah memansuhkan diskaun kadar tol sebanyak 50 peratus kepada semua jenis bas bermula Sabtu lalu.

Jurucakap PBSB berkata, tindakan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan pusat agar diskaun kadar tol untuk kenderaan tersebut di semua lebuh raya bertol dimansuhkan.

"Jika sebelum ini bas hanya perlu membayar sebanyak RM12.50 untuk melintasi Jambatan Pulau Pinang, kini dikenakan kadar bayaran RM25 dan ia adalah kadar lama sebelum kadar diskaun diperkenalkan pada tahun 2008," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, PBSB masih mengekalkan diskaun sebanyak 20 peratus untuk kereta persendirian yang menggunakan kad "Touch and Go" keluaran syarikatnya.

Sementara itu, sebuah syarikat bas persiaran Ha Travel, ketika dihubungi, berkata mereka tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Sebaliknya, kata jurucakap syarikat itu mereka hanya tahu mengenainya apabila dimaklumkan oleh pemandu bas terbabit. - BERNAMA


darisungaiderhaka


KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Selangor Terkini Tiruan

Posted: 19 Jan 2011 05:00 PM PST

UMNO Terdesak Terbit "Selangor Terkini Tiruan" Guna Logo Kjaan Selangor

Oleh patriot

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor semalam membuat laporan polis berhubung penerbitan akhbar “Selangor Terkini” yang menggunakan logo kerajaan negeri tanpa kebenaran.

Laporan berkenaan dibuat oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri yang mewakili Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pukul 4.30 petang Isnin.

Menurut sumber Pejabat Menteri Besar, laporan itu adalah bagi pihak polis memulakan siasatan ekoran penyalahgunaan logo pada akhbar yang tidak diketahui penerbitnya itu.

Dakwa sumber itu, kandungan akhbar itu adalah usaha untuk mencemarkan imej Selangor dan mengelirukan orang ramai kerana akhbar rasmi kerajaan negeri ialah “Selangor Kini”.

“Tindakan menerbit akhbar menggunakan logo kerajaan negeri tanpa kebenaran adalah salah. Maka pihak kerajaan negeri membuat laporan untuk polis menyiasat perkara ini.

“Setakat ini kerajaan negeri tidak mengetahui siapa yang menerbit, malah kami tidak tahu kewujudan akhbar ini,” katanya di sini.

Sumber itu memberitahu, akhbar terbabit juga berniat jahat dengan bertindak menghentam pentadbiran kerajaan negeri dalam setiap laporan penerbitannya.

“Akhbar Selangor Terkini itu sudah diedarkan secara meluas kepada orang ramai,” katanya. -mstar

Berita berkaitan:


Akhbar tiruan Selangorkini akan muncul

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Selangorkini, akhbar rasmi kerajaan negeri Selangor kini terbukti berkesan apabila ada pihak dikatakan sedang berusaha untuk menerbitkan akhbar yang seumpama itu.

Menurut sumber, akhbar tiruan itu dinamakan Selangor Terkini dan edisi pertamanya bakal terbit mulai Januari ini.

Selangor Kini yang diterbitkan oleh pejabat MB Selangor yang mula diterbitkan pada hujung 2008 kini dicetak 120,000 naskah dua kali sebulan.

Ia diedarkan secara percuma melalui pejabat Adun Pakatan Rakyat di seluruh negeri itu disamping diletakkan juga di tempat-tempat lain yang dikunjungi oleh orang ramai di negeri itu.

Melihat kepada kandungan edisi pertamanya, penerbit akhbar ini dipercayai mempunyai kaitan dengan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar kerana gambar beliau ada pada muka depan dan belakang akhbar ini.

Pihak kerajaan negeri Selangor dikatakan tidak membantah penerbitan begini kerana ia menunjukkan media mereka berkesan tetapi penggunaan logo rasmi kerajaan negeri adalah tidak betul. -harakahdaily

DD

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan: