Khamis, 21 Oktober 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


20 Tahun Membangun Bersama Islam

Posted: 21 Oct 2010 11:00 PM PDT

Oleh : Nik Abdul Aziz Nik Mat    

UCAPAN SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN 20 TAHUN PENTADBIRAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM NEGERI KELANTAN

Pada 12 Zulkaedah 1431 bersamaan 20 Oktober 2010, jam 9.00 malam di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu.

Firman Allah SWT, (Surah Al Hasyr Ayat 18) bermaksud:

"Wahai  orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan larangannNya); dan hendaklah tiap-tiap diri, melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). (Sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan."

Alhamdulillah segala  syukur dan pujian itu hanya bagi Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga baginda serta sekalian sahabat dan pendukung perjuangan baginda.

Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V,  Al-Sultan bagi Negeri Kelantan Darulnaim.

Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.

Di kesempatan yang bermakna ini, patik bagi pihak diri patik dan seluruh warga pentadbiran Negeri Kelantan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih diatas kesudian Tuanku, untuk berangkat mencemar duli, merasmikan Majlis Sambutan 20 Tahun Pentadbrian Membangun Bersama Islam, pada malam yang penuh berbahagia ini. Semoga dengan keberangkatan Tuanku menambahkan keserian majlis ini.  Harapan patik, agar Tuanku sentiasa dilimpahkan keberkatan oleh Allah S.W.T. di dunia dan di akhirat.

Untuk pengetahuan Tuanku, pada hari ini, 20 Oktober 2010 genaplah dua dekad atau 20 tahun Kerajaan Negeri Kelantan diterajui dengan dasar Membangun Bersama Islam.  Alhamdulillah, dan segala puji bagi Allah S.W.T. yang telah memberikan kekuatan kepada patik dan seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri, untuk terus cekal, mengharungi segala pahit-maung yang ditempuhi selama menerajui kerajaan ini.   Semoga dengan limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, menambahkan lagi kekuatan bagi patik sekalian, untuk terus memikul amanah, yang telah dipertanggungjawabkan ini.

Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.

Sekali lagi patik merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuanku, diatas kesudian berangkat mencemar duli, hadir ke majlis ini.  Semoga dengan kehadiran Tuanku, bertambahlah kasih dan sayang rakyat Kelantan, khususnya, dan akan sentiasa mengutuskan doa, agar Kerajaan Tuanku disirami rahmat oleh Allah S.W.T.,   Patik mohon izin limpah perkenan Tuanku, untuk menyampaikan kata-kata pesanan kepada pacal rakyat sekalian.

Sesungguhnya ingat mengingati dan tegur menegur adalah merupakan kerja agama.  Al-Quranul karim menggunakan pelbagai bahasa bertujuan untuk menegur manusia.  Ada yang dimulakan dengan berkataan "wa iz"  iaitu ingatlah olehmu. Ada yang terang-terang menggunakan "Wazkur" Atau "wazakkirhum". Demikian juga Al-Quran itu sendiri dinamakan dengan tazkirah menunjukkan bahawa ingat memperingati adalah merupakan salah satu daripada ajaran agama.  Justeru, apa yang kita lakukan pada hari ini iaitu mengingati dua puluh tahun Kelantan Membangun Bersama Islam adalah kerja agama.  Ia bukan dilakukan hanya sekadar untuk bersuka-suka semata-mata.

Dua puluh tahun yang lampau, pada tarikh ini 20 Oktober, rakyat Kelantan telah membuat keputusan yang terpahat selama-lamanya di dalam sejarah.   Pilihan yang termaktub lewat Pilihan Raya Umum pada tahun 1990 telah menjadi bahan perhatian bukan sahaja di seluruh negara bahkan seluruh dunia.  Bolehkah sebuah negeri, ditadbir dengan dasar-dasar Islam?  Lebih jauh lagi, bolehkah dasar yang diperkenalkan, iaitu Membangun Bersama Islam, dapat diterima di dalam sebuah masyarakat majmuk?

Persoalan demi persoalan muncul, bukan sahaja di kalangan non muslim.  Bahkan umat Islam sendiri pun, yang tidak memahami dengan baik dasar-dasar pentadbiran secara Islam, mempertikaikan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan, pada masa itu.  Segala pujian bagi Allah S.W.T.  tempoh tiga bulan yang diberikan sesetengah pihak, berjaya kita lalui, bulan demi bulan, tahun demi tahun, kita berdepan dengan tekanan yang tidak menghormati amalan demokrasi dan federalisme.  Dan hari ini Alhamdulillah,  Membangun  Bersama Islam sebagai dasar utama pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan, kini sudah berusia 20 tahun.

Memerintah dan mentadbir negara, pada hakikatnya termasuk di dalam urusan agama.  Ini dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W. sendiri yang juga merupakan Perdana Menteri Negara Islam Pertama berpusat di Madinah Al-Munawarrah telah setiap hari mengurus tadbir urusan negara.  Ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pentadbiran negara, ialah urusan yang berasingan dengan agama.   Rasulullah S.A.W.  telah membuat perjanjian bertulis dengan musuh tradisi iaitu Yahudi di Madinah.   Baginda juga turut mengirim surat-surat kepada Raja-Raja yang ada di sekitar Semenanjung Arab serta mempunyai cop mohornya sendiri.   Ini menunjukkan asas-asas pentadbiran negara telah diletakkan oleh baginda.

Kita menyaksikan bagaimana usia dakwah Rasulullah S.A.W. ialah selama dua puluh tiga tahun; tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah.  Tempoh yang begitu panjang ini, sangatlah mustahil dijadikan oleh Allah S.W.T. hanya untuk mengajar solat dan puasa semata-mata, tanpa sebarang aktiviti yang lain khususnya pengurusan negara.  Melalui Perlembagaan Langit  yang namanya Al-Quran, Allah S.W.T.  menyampaikan wahyuNya yang bukan sekadar memerintah supaya bersolat dan berpuasa, bahkan terdapat padanya urusan hukum-hukum jenayah, jihad, urusan pembahagian harta pusaka, mengurus rampasan perang, melantik al-ummal, umara al ajnad, menjawab persoalan-persoalan rumah tangga dan menyelesaikan  kekusutan jenayah seks dan mal.  Alangkah salahnya jika wujud dakwaan bahawa Islam dan Al-Quran langsung tidak berbicara mengenai pemerintahan walhal ia telah menyusun semua urusan hidup manusia semenjak seribu empat ratus tahun sebelum wujudnya Perlembagaan Lord Reid.  Allah S.W.T sendiri menjanjikan pahala di sebalik setiap amalan yang dilakukan asalkan  selari dengan syariat Allah.  Bagaimana pahala boleh dianugerahkan kiranya ianya tidak dikira agama? FirmanNya (Surah At Taubah Ayat 120) bermaksud:

"Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan musuh; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh – semua itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.  Bahkan diantara tujuh golongan yang dijemput berteduh di bawah naungan  Arasy-Nya ketika mana tidak ada sebarang teduhan lain di Padang Mahsyar ialah Imam adil."

Menyedari hakikat itulah, dasar Membangun Bersama Islam kita perkenalkan apabila diberikan mandat oleh rakyat pada tahun 1990.  Membangun Bersama Islam dengan maksud kita akan terus memacu pembangunan selari dengan landasan yang ditentukan oleh Allah S.W.T.  Pembangunan perlu terus dilaksanakan kerana dunia ini dijadikan oleh Allah S.W.T. untuk manusia, bukan untuk malaikat atau makhluk lain.   Namun pembangunan yang kosong rohaninya hanyalah umpama pokok besar yang akarnya buruk dan reput.   Daunnya sekalipun merimbun tidak akan lama menaungi, masanya tersemban jatuh sangat mudah.  Di antara ajaran penting dalam Islam ialah dunia ini bersambung dengan akhirat dan ini tidak ada di dalam ajaran ideologi yang lain selain Islam. Oleh yang demikian, sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular.  Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar.   Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan.  Berbeza dengan pemikiran si ibu yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti.   Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya semata-mata!

Alhamdulillah, dengan amanah diberikan oleh Allah S.W.T. ini, kita melaksanakan apa yang selama ini hanya dapat disebut di dalam masjid sahaja.  Sudah lama kita menyebut tentang haramnya judi, arak, riba, pendedahan aurat dan sebagainya.  Namun ia hanya dapat dikuatkuasakan bila kita ada kerajaan.  Kita telah mengharamkan riba dan kita wujudkan Ar-Rahn apabila ada kerajaan dan menggalakkan perbankan Islam dengan memindahkan semua wang kerajaan ke perbankan Islam.  Di dalam bidang pendidikan, kita wujudkan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat dan Maahad Tahfiz Sains yang dulunya dianggap mustahil.   Di dalam pentadbiran, kita namakan teras UMI atau Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan.  Tenaga urus tadbir diajar bahawa kerja yang dilakukan ini dikawal oleh CCTV Allah S.W.T. melalui Polis Rahsia Allah yang  namanya Malaikat.

Hasilnya, dalam masa 20 tahun, kita tidak dengar warga tadbir Kerajaan Negeri Kelantan didapati bersalah atas tuduhan rasuah di mahkamah.   Untuk keselesaan tenaga pekerja, kita perkenalkan cuti dua hari seminggu.   Masih tergiang-giang tuduhan yang menyatakan rakyat Kelantan akan menjadi pemalas dengan perubahan ini.  Namun kini tanpa segan silu ia ditiru oleh seluruh negara.  Rupanya untuk memperkenalkan dasar semudah itupun, tidak terlintas di benak pemikiran mereka kerana terlampau bergantung kepada telunjuk barat.

Di samping itu, kebajikan rakyat tidak dilupa, kita wujudkan Skim Takaful Kifaalah untuk warga emas tanpa mengira fahaman politik,  Ladang Rakyat diwujud yang kini ditiru oleh sesetengah negeri di samping kita menjaga kebajikan armalah atau ibu tunggal.  Alhamdulllah, budi yang ditabur ini saya yakin dapat dinikmati setelah Kelantan mempunyai kerajaan berlandaskan Islam. [Pantun]

Di sana padi di sini padi

Baru sempurna bernama bendang

Di sana budi di sini budi

Baru sempurna bernama orang

 Perubahan dan pembaharuan selama 20 tahun tentunya tidak dapat diceritakan di dalam masa yang singkat.  Apa yang pasti, Kelantan Alhamdulillah terus membangun.  Rakyat Kelantan menikmati arus pembangunan tanpa terjejas dengan gangguan-gangguan yang dibuat-buat.  Bezanya, pembangunan ini dipasak di atas asas yang namanya rohani.  Pembangunan rohani inilah yang sering kali tidak dipedulikan.  Yakinlah, manusia jika hanya membangun jasmaninya tetapi mengenepikan rohaninya, ia akan pincang.  Umpama kapal terbang yang mempunyai dua sayap dipaksa terbang dengan satu sayap, bagaimana jadinya?   Manusia diciptakan menggunakan dua bahan mentah satunya jasmani manakala satu lagi  rohani.  Kedua-duanya dicampur dan bercantum seperti kembar siam yang tidak boleh dipisahkan.  Firman Allah S.W.T. (Surah al-Hijri Ayat 29) bermaksud:

"Kemudian apabila Kami sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh  dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya."

Kerana itu, Allah S.W.T. menjanjikan di sebalik kesenangan di dunia dan kemewahannya itu, disediakan satu lagi  ganjaran abadi di akhirat, sekiranya hidup itu dilandaskan di atas iman dan taqwa kepada Allah dalam semua bidang hidup.

Firman Allah S.W.T.  (Surah Muhammad Ayat 36) bermaksud:

"Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau.  Tetapi jika kamu beriman dan bertaqwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu di akhirat dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu."

Akhir kata, besarlah harapan saya agar benih yang kita tanam pada hari ini dapat dijaga sebaik mungkin oleh generasi yang akan datang.  Nakhoda bahtera boleh bertukar ganti, namun kemudinya biarlah sentiasa terarah ke destinasi yang betul, iaitu arah "Siratal lazi na an am ta alaihim, Minan nabi yiin wassa diqin wasyuhada' wassalihin" seperti yang setiap masa kita pohon dalam sembahyang. Semoga Negeri Kelantan terus dipayungi dengan rahmat dan keberkatan oleh Allah S.W.T. dan terus membangun bersama Islam.  Junjung kasih patik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan yang sudi berangkat mencemar duli merasmikan majlis ini pada malam ini.   Sekian, saya sudahi dengan "aqu lu qau li  wastaghfirullah al azim li wa lakum, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh."

Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul  ‘Am PAS


Galas: Tahniah! Dr Zulkefli calon PAS

Posted: 21 Oct 2010 08:00 PM PDT

Oleh Mohd Nor Yahya    

GUA MUSANG, 21 Okt: Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas.

Pengumuman itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis pengisytiharan calon di Dataran Ilmu, di sini sekitar jam 11.54 malam ini.

"Inilah pemimpin yang PAS pilih sebagai 'Calon Kita' bagi Pilihan Raya Kecil N.45 Dun Galas. Beliau adalah Dr Zulkefli Mohamad," umumnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Hadir sama pada majlis tersebut, semua pimpinan utama PAS Pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Turut serta ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

Biodata Zulkefli:

Beliau merupakan anak kepada seorang pemimpin PAS, Mohamad Awang yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Penerangan PAS Kelantan tahun 1996.

Bapanya juga adalah bekas Adun Guchil, Kuala Krai tahun 1974-1978.

Ibunya pula, Ramelah Mat Jusoh seorang yang gigih mendidik 10 orang anak.

Hasilnya, calon PAS ini adalah anak yang ketujuh, seorang yang benar-benar mewarisi bakat perjuangan ayahnya.

Dr Zulkefli  dilahirkan pada tanggal 16 Januari 1966 bertempat di Guchil 3, Kuala Krai.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil, Kuala Krai. Kemudian meneruskan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra.

Kecemerlangannya dalam pelajaran terbukti apabila mendapat tawaran belajar di Universiti Malaya dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan tahun 1992.

Pengalamannya sebagai seorang doktor kerajaan di Hospital Taiping, Perak (1992) kemudian berpindah ke Hospital Besar Kota Bharu (1993) dan Pusat Kesihatan Ciku 3 Gua Musang; telah mendidik beliau menyayangi masyarakat dan memahami kesusahan hidup rakyat.

Justeru itu, beliau mengambil keputusan membuka klinik sendiri di Ciku 3, Gua Musang sebagai meneruskan khidmat dan merapatkan lagi hubungannya dengan rakyat.

Dr Zulkefli mula aktif dalam PAS apabila terlibat dengan cawangan ketika berkhidmat di Ciku 3, sehinggalah beliau terpilih untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang.

Beliau juga pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 di Dun Galas dan pilihan raya umum 2008 bagi Parlimen Gua Musang.

Meskipun begitu, beliau menyedari bertanding di kubu kuat Tengku Razaleigh bukanlah mudah untuk mencapai kemenangan, namun dengan kegigihan dan kesungguhan, beliau tetap menghadapinya dan sedia memikul tanggungjawab parti.

Justeru, masyarakat dan parti menilainya sebagai seorang pemimpin yang ikhlas, taat dan rela berkorban demi perjuangan Islam


Batu Sapi : Rundingan PKR-SAPP gagal?

Posted: 21 Oct 2010 04:00 PM PDT

Pilihan raya kecil Batu Sapi dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan SAPP apabila usaha mencari jalan penyelesaian antara kedua-dua parti pembangkang itu menemui jalan buntu.

Di sebalik usaha supaya kerusi Batu Sapi ditandingi satu lawan satu, kedua-dua PKR dan SAPP berdegil mahukan calon masing-masing diketengahkan.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak berkempen menentang satu sama lain dan menjadikan BN sebagai sasaran bersama dengan harapan pilihan raya kecil itu boleh dijadikan “sumber rujukan” oleh mereka apabila mengadakan rundingan pada masa akan datang.

SAPP akan mengumumkan calonnya Sabtu ini, manakala Leong sekadar berkata PKR akan mengumumkan calonnya “sedikit masa lagi”.

BN akan mengumumkan calonnya daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) Ahad ini.

Mesyuarat peringkat tertinggi lebih sejam hari ini diadakan oleh kedua-dua parti itu dengan bendahari PKR mewakili Pakatan Rakyat manakala SAPP pula diketuai oleh presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Bercakap kepada wartawan pada sidang media selepas mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin berkenaan mengakui tiada kata sepakat yang dicapai mengenai Batu Sapi.

Namun, mereka tidak menolak kemungkinan kerjasama pada pilihan raya umum akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan penamaan calon pada Selasa ini manakala pengundian adalah pada 4 November ini.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau dicabar oleh calon Bebas, Chung Kwong Wing tetapi berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.


Batu Sapi: Karenah Pembangkang Untungkan BN

Posted: 21 Oct 2010 03:00 AM PDT

Oleh HAIRULAZIM MAHMUD, ARIFFUDDIN ISHAK, NURUL AIN MOHD HUSSAIN dan MOHD AL QAYUM AZIZI

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu sedar bahawa pertelagahan yang wujud di kalangan parti pembangkang merupakan sikap sebenar pakatan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kesepakatan yang cuba ditunjukkan pembangkang hanya bersifat kepura-puraan demi kepentingan politik.

Jelasnya perbalahan yang timbul terutamanya kegagalan mencari kata sepakat mengenai calon untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini memberi isyarat yang cukup jelas.

“Apa yang berlaku dalam pembangkang jelas memberi syarat dan iktibar kepada pengundi bahawa walau siapapun bertanding di situ mereka akan kata mereka sepakat namun sebenarnya tidak,” katanya di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perbalahan yang berlaku antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) berhubung penentuan calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi.

Perbalahan itu timbul apabila PKR mengumumkan akan meletakkan calon mereka walaupun SAPP yang merupakan parti pembangkang di Sabah sudah mengesahkan akan bertanding.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, BN tidak mempunyai masalah dalam isu penentuan calon kerana mengamalkan konsep permuafakan antara parti komponennya.

“Biar mereka bertelagah, bagi kita BN tak ada masalah kerana kita sudahpun ada konsep muafakat, kerusi itu akan diwakili PBS (Parti Bersatu Sabah) walaupun di situ Umno mempunyai ahli terbanyak.

“Kita setuju untuk sokong calon PBS. yang penting kita mesti bekerja keras untuk pastikan kemenangan,” katanya.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Edmond Chong Ket Wah daripada BN akibat satu nahas jalan raya pada 9 Oktober.

Pada pilihan raya umum lalu, Chong yang juga Bendahari Parti Bersatu Sabah, menewaskan calon Bebas, Dr Chung Ong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi termasuk hampir 16,000 pengundi Bumiputera dan lebih 9,700 pengundi Cina. Penamaan calon ialah pada 26 Oktober ini

Sumber ; Mstar


Batu Sapi : Bolehkah Pakatan Rakyat Mempercayai SAPP?

Posted: 21 Oct 2010 01:40 AM PDT

Oleh Dzulkarnain Taib    

KUALA LUMPUR 21 Okt – Setelah Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan di Parlimen semalam bahawa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Rakyat di pilihan raya kecil Batu Sapi, persoalan berhubung Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga mahukan kerusi tersebut sudahpun terjawab.

Pengerusi DAP Sabah, Dr Hiew King Cheu menyifatkan pengumuman tersebut satu langkah yang tepat dan gesaan supaya SAPP memberi laluan satu lagi kekuatan Pakatan Rakyat sebagai gagasan popular yang merentasi kaum, agama dan sempadan.

Bagi Dr Hiew yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, isu yang paling penting sekiranya ada ura-ura Pakatan Rakyat mahu bekerjasama dengan parti pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee adalah samada parti itu boleh diyakini sebagai rakan kongsi politik.

Malah kata beliau adakah SAPP boleh dipercayai?

Pakatan Rakyat katanya perlu mempelajari sejarah dan mengambil iktibar daripada liku-liku perjalanan politik Sabah yang diwarnai dengan segala macam ragam termasuk pengkhianatan sesama parti komponen demi kelangsungan pengaruh dan kuasa politik peribadi.

“Sebelum Pakatan Rakyat terfikir mahu bekerjasama dengan SAPP, fikir dulu masak-masak dan selidik latar belakang SAPP.

“Semasa dalam Barisan Nasional dahulu SAPP digunakan oleh Umno untuk memecahkan undi samada pada pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum. Parti itu mendakwa ia adalah parti tempatan walhal hakikatnya SAPP adalah parti dari Sabah yang didaftarkan di Kuala Lumpur, seperti juga parti-parti lain termasuk DAP, PAS dan KEADILAN.

“Mereka juga berdakwa parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah parti Semenanjung. Ini juga tidak benar. Kita adalah parti nasional sementara SAPP sebenarnya ‘parti nyamuk’. Umpamanya DAP mempunyai 29 Ahli Parlimen dan 71 Ahli Dewan Undangan Negeri sementara SAPP hanya ada dua Ahli Parlimen dan dua Adun sahaja, itu pun semua di negeri Sabah,” terang Dr Hiew.

Payah bagi mana-mana parti politik mahu mengadakan kerjasama dengan SAPP tegas tokoh veteran DAP itu.

Ini kerana sejarah mengajar bagaimana SAPP dibeli oleh Umno-BN ketika bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai rakan kongsi dalam kerajaan negeri tetapi kemudiannya parti itu mengkhianati PBS dan seterusnya menyumbang kepada kejatuhan pentadbiran Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada  1993.

Teck Lee juga bertindak membawa keluar partinya sebagai komponen BN pada tahun 2009 setelah menuduh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi membelakangkan serta menafikan hak negeri Sabah. Kalau beliau buat begitu kepada bosnya, beliau juga boleh berbuat demikian kepada Anwar dan Pakatan Rakyat.

“Sebenarnya Teck Lee marah sebab beliau tidak dapat jawatan dan permintaannya tidak dilayan oleh Perdana Menteri. Dia juga marah sebab beliau dilantik sebagai Senator tapi perlu menunggu  giliran sebab tidak ada kekosongan dalam Dewan Negara. Dulu Pairin adalah bosnya tapi dia khianat, lepas itu Pak Lah jadi bos, dia pun khianat. Saya nak tanya adalah mana-mana parti politik berani menjadi rakan kongsi SAPP?,” tanya Dr Hiew.

Dr Hiew tidak menolak kemungkinan langkah SAPP bertegas mahu bertanding di Batu Sapi adalah atas arahan BN malah tidak dinafikan BN juga membiayai segala kempen dan perbelanjaan parti itu di kawasan itu.

Beliau menegaskan Pakatan Rakyat di sabah telah bekerja keras selepas PRU 2008 untuk menarik sokongan rakyat dan hasilnya amat memberangsangkan sekali.

“Kita semua berkorban dan bekerja bersungguh-sungguh untuk membina kekuatan di Sabah. Jangan sia-siakan semua ini kerana mahukan sokongan SAPP. Mereka tidak boleh dipercayai.

“Kalau kita bekerjasama dengan SAPP ini bermakna kita telah menghampakan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat terutamanya apabila SAPP berkata berkali-kali bahawa parti itu mahu bertanding di 40 kerusi kerana Yeck Lee mahu menjadi Ketua Menteri.

“Bayangkan kalau Pakatan Rakyat beri 20 kerusi kepada SAPP dan pada hari penamaan calon parti itu isytihar menyokong BN, hilang begitu kerusi kepada BN dan hilanglah impian kita mentadbir serta membawa perubahan di Sabah,” hujah beliau.

Sehubungan itu beliau menyeru pengundi Sabah supaya tidak mensia-siakan undi mereka kepada SAPP dan membuat tekad untuk menyokong calon Pakatan Keadilan sepenuhnya.

“Kalau SAPP benar-benar anti-BN, jangan pecahkan undi Pakatan Rakyat di Batu Sapi. Tarik diri dan buktikan bahawa anda betul-betul serius mahu jatuhkan BN. Kalau tidak anda sememang bersekongkol dan menjadi ejen BN,” cabar Dr Hiew lagi.

Sumber : Suara Keadilan


:: RUANG BICARA PRIA MALAYA ::

:: RUANG BICARA PRIA MALAYA ::


Isu IFF: "Kalau ada yang kata Rosmah tak bersalah, mereka adalah ANJING politik!" - Blogger Umno

Posted: 21 Oct 2010 06:30 AM PDT



Oleh: Pria Malaya

1. Sebelum korang teruskan pembacaan, penulis cadangkan korang baca dahulu artikel terbaru Ketua Pemuda PAS di blognya bertajuk "Memo Taubat Buat Rosmah", mengulas isu yang sedang hot ketika ini....suatu artikel yang penulis kira tepat, jelas dan 'sempurna' bagi menggambarkan hakikat yang berlaku..

2. Sebagai makluman, esok (Jumaat, 22/10/10) juga dijadualkan akan berlangsungnya demontrasi secara aman di seluruh masjid utama negeri-negeri..memetik kenyataan Ust. Nasrudin Hassan dlm portal berita Malaysiakini:
"Saya akan mengetuai bantahan terhadap Rosmah di Masjid Sultan Ahmad Shah di Kuantan manakala di Masjid kampung Baru (di KualaLumpur) akan diketuai oleh Kamaruzaman Mohamad (exco pemuda PAS)..Bantahan akan diadakan selepas solat Jumaat. Kami jangkakan tidak kurang seribu orang akan sertainya" - Nasrudin Hassan
3. Satu page bantahan di facebook turut diaktifkan bagi pengguna facebook..walaupun baru dilancarkan (tidak sampai 1 hari), sudah hampir 13,000 facebooker telah menyertai page ini bagi menunjukkan sokongan mereka membantah FFI yang terang2 menghina Islam, serta mendesak Penaung Utama FFI, Rosmah Mansor memohon maaf kepada seluruh umat Islam..

Korang boleh sertainya dengan klik link disebelah, "Rosmah Mansur, sila minta maaf pada umat islam"...



4. Kembali kepada tajuk utama..berikut penulis lampirkan suara-suara blogger tegar Umno yang tegas mengkritik Rosmah Mansor dalam isu ini, serta menghentam rakan-rakan mereka dalam Umno yang masih buta hati menyokong dan mempertahankan Rosmah Mansor...

Penulis ucapkan syabas kepada blogger2 ini...

Tidak seperti kebanyakkan penyokong Umno yang penulis temui di dalam facebook dan forum politik, mereka masih setia menyokong Rosmah Mansor dengan memberikan pelbagai alasan membela Rosmah, dan dalam masa yang sama mengkritik pembangkang kononnya tiada isu, dan suka menyebarkan fitnah..

Kepada penyokong/blogger umno ini, yang masih ligat mempertahankan Rosmah Mansor dan Najib, korang fikir-fikirkan nasihat 'keras' dari rakan kamu sendiri..jangan kerana sokongan kalian, masa depan Islam di Malaysia menjadi tidak keruan...fikir2kan..wallahua'lam..


BLOGGER UMNO 1

Rosmah perlu bertanggungjawab!

Kalau ada yang mengatakan Rosmah tak bersalah, rasanya mereka adalah Anjing Politik ataupun Khinzir Kuasa dan Wang sahaja. Ingat, yang kita bicarakan adalah kesucian Agama Allah dan juga nama Rasul Junjungan. Ianya bukan agama bapak kita yang boleh kita buat sesuka hati dan bukannya nama haiwan peliharaan yang boleh dipanggil sesuka hati.



Penyelesaiannya amat mudah. Rosmah perlu bertanggungjawab dan meminta maaf. Kenapa Tun Hasmah tak pernah "buat palat" walaupun suaminya menjadi PM selama 22 tahun? Sebab Tun Hasmah tahu sempadan menjadi SEKADAR ISTERI yang tidak dipilih melalui proses demokrasi pun. Dah kebetulan sahaja menjadi bini PM.

Selagi tiada tindakan dari DS Rosmah, selagi itulah tiada rasa hormat langsung aku pada dia. Blogger pro-UMNO YANG MERASAKAN MEREKA ISLAM wajar respon kepada kekurang-ajaran ini. Jika tidak, kamu hanya layak menjadi Anjing dihalaman rumah ahli politik ataupun menjadi khinzir belaan peminat makanan eksotik. Noktah!

Sumber: harimau-menaip.blogspot.com

BLOGGER UMNO 2

Demi Allah! Saya Tidak Dapat Menerima Semua Ini!

Pertamanya saya mengucapkan terima kasih (semoga Allah membalas jasa baik seorang pembaca blog saya - Jibam) atas maklumat dan informasi yang saya SEMEMANG TIDAK TAHU (bukan buat-buat tidak tahu) berkenaan satu program atau majlis yang dipanggil sebagai Islamic Fashion Festival (Baca di sini).

Majlis ini melibatkan Perdana Menteri dan isterinya. Untuk seketika dengan nama Allah, saya mengurut dada dan mengucap panjang apabila saya melihat gambar di majlis tersebut - apakah yang saya lihat ini betul atau pun imaginasi semata-mata. Agak lama saya cuba "menyiasat" cerita ini - dan akhirnya iman saya mendahului segala-galanya.

Kebenaran dan hak perlu ditegakkan walaupun kita mungkin dibenci oleh semua orang. Sesungguh saya bertanggungjawab -atas nama seorang muslim menegur pemimpin negara atas kesalahan yang jelas dan bertentangan dengan agama. Tiada kompromi dalam hal ini. Saya tanpa berselindung dengan tegas sesunguhnya pengajuran Islamic Fashion Festival yang turut dihadiri oleh PM dan isterinya adalah jelas HARAM dan bertentangan dengan Islam. Ia merupakan sejelek-jelek majlis dan merupakan fitnah ke atas agama Muhammad.

Ini semua bukan pakaian yang dianjur oleh sunnah dan agama kita - ini semua merupakan permainan dan fitnah terhadap Islam, melalui nama "Fashion Islam" - Islam mewajibkan wanita muslimah menutup aurat bukan atas nama fashion - tetapi atas dasar takwa! Kod etika pemakaian busana Islam untuk wanita muslimah sudah jelas tertera di dalam al-Quran - tiada percanggahan dalam hal ini. Mana-mana pihak yang terlibat dalam majlis tersebut, sama ada secara langsung atau pun tidak langsung - tetap berdosa!

Saya menasihat diri saya dan semua pemimpin UMNO agar menjauhi majlis-majlis thoghut seperti ini. Ia sangat jelas berdosa besar dan seolah-olah kita mengakui, inilah pakaian dan busana yang menggambarkan kehendak Islam. Mohon maaf jika kata-kata saya agar kasar - tetapi ulama muda UMNO perlu ke hadapan dalam soal ini - ingat pesan nabi, "Jihad yang utama adalah jihad menegakkan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim" (HR Iman Ahmad). Zalim dalam isu ini adalah merujuk kepada perbuatan pemimpin kita sendiri yang seakan-akan bersekongkol dengan musuh Islam yang sememangnya mahu menghancurkan agama mulia ini dalam pelbagai cara dan kaedah.

Dengan nama Allah Yang Maha Besar - sebagai ahli UMNO saya menentang sekeras-kerasnya penganjuran dan keterlibatan pemimpin-pemimpin UMNO dalam majlis seperti ini. Ini merupakan kejijikan yang nyata. Allah tidak akan membantu kita, sekiranya amalan seperti ini diteruskan dan menjadi darah daging kita semua.

Saya juga merayu (mungkin Mufti Perak, tidak menyedari hal ini) agar TS Harussani bersuara dalam masalah yang sangat besar ini - sesungguhnya ia sangat jelas mengaibkan dan menghina pakaian muslimah yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Semoga Allah menyedarkan kita dan mengampunkan dosa-dosa kita. Nasihat saya ikhlas dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak. Atas nama Islam - yang hak perlu ditegakkan, walaupun rasanya sangat pahit. Wallahualam.

Sumber: azlishukri.blogspot.com

BLOGGER UMNO 3

AWATLAH PERDANA MENTERI MALAYSIA TERLALU SAYANGKAN ISTERINYA?

Terus-terang saya katakan, saya tidak berminat dengan sebarang perkara membabitkan fesyen, terutama yang berkaitan dengan fesyen Islam. Jadi, saya tidaklah ambil perkara sangat dengan pertunjukan fesyen yang konon-kononnya Islamik yang diadakan di Monaco. Sehinggalah saya membaca BLOG IBNU HASYIM, dan seterusnya membuat layaran ke beberapa buah blog, terutama daripada sahabat-sahabat yang pro-Pakatan Rakyat, barulah saya dapat gambaran yang sebenar.

Seperkara yang tersinggah dalam fikiran saya ialah, SIAPAKAH PENASIHAT AGAMA BAGI pasangan suami isteri 'FIRST MAN AND FIRST LADY' Malaysia ini? Siapa pula yang memberikan nasihat tentang PERLUNYA PERDANA MENTERI DAN ISTERI KESAYANGANNYA terlibat dalam Islamic Fashion yang sebenarnya tidak mempunyai sebarang ciri-ciri Islam pun, melainkan untuk merendahkan martabat Islam, penganutnya dan paling penting sekali, menghina Rasulullah s.a.w dengan cara yang paling halus.

Malah lebih memeranjatkan saya, apabila mendapat tahu Mohd Najib Abdul Razak telah menyampaikan sejumlah derma kepada penganjur MAJLIS berkenaan. Malah Mohd Najib Abdul Razak dan Rosman Mansur juga telah merasmikan majlis tersebut.

Antara laki bini ini, siapakah sebenarnya yang tersangat ingin menaungi majlis seperti itu? Apa untungnya majlis fesyen Islamik mengikut acuan pondan-pondan, gay-gay, lesbian-lesbian yang menjadi pereka fesyen yang mengejek-ngejek umat Islam itu kepada Malaysia? Adakah Malaysia sebenarnya, mengikut pemikiran laki bini ini berkeinginan untuk menjadi HUB-FASHION pula selepas ANWAR IBRAHIM cuba menjadikan Malaysia sebagai hub-gay, manakala PAS berkeinginan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub-khawarij dan bughah?

Secara terus-terang, saya (CUCU TOK WAN) MENENTANG SEKERAS-KERASNYA tindakan Perdana Menteri Malaysia yang sangat menyayangi isterinya melebihi perhatian terhadap rakyat yang diketuainya. Seharusnya Perdana Menteri Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam acara seperti ini, apatah lagi Perdana Menteri adalah cerminan serta imej negara ini.

Kalau sudah terlalu sayang dengan isteri, eloknya PERDANA MENTERI MALAYSIA letak sahaja jawatannya untuk digantikan oleh orang lain yang lebih mengutamakan rakyat dan negara berbanding isteri, anak-anak, keluarga dan kaum kerabat!!!!

Sumber: theflyingkick.blogspot.com

Artikel berkaitan (IFF):
- [Kemaskini] ISLAMIC fashion via 1MALAYSIA: Kerajaan Umno promosi pakaian Islamik ala jahiliah..(video inside)
- Bukti 'Festival Fesyen Islam' hina Islam: Penaung FFI Rosmah Mansor harus bertanggungjawab!

Artikel berkaitan Rosmah Mansor:
- 'First Lady' Malaysia adalah Permaisuri Agung Tuanku Nor Zahirah, bukan Rosmah Mansor! - Blogger Umno
- Koleksi entry berkiatan Rosmah Mansor yang mesti anda lihat

MEMALUKAN: Kebebasan media Malaysia terburuk dalam 9 tahun di bawah pentadbiran Najib-Rosmah!

Posted: 21 Oct 2010 04:46 AM PDT



Oleh: Pria Malaya

Selepas negara kita dimalukan dengan berita FDI negara merudum, (baca di sebelah "MEMALUKAN: FDI Filipina mengatasi Malaysia pertama kali dalam sejarah!"), hari ini media melaporkan pula tahap kebebasan media Malaysia merudum ke tahap yang paling rendah dalam tempoh 9 tahun!..sungguh memalukan!

Apa lagi kini yang boleh dibanggakan oleh penyokong fanatik Umno, khususnya penyokong setia Najib dan Rosmah Mansor??..wallahua'lam..


Kebebasan media M'sia: Terburuk dalam 9 tahun

Kedudukan Malaysia jatuh 10 anak tangga kepada 141 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2010 - yang terendah dalam tempoh sembilan tahun - dalam senarai 178 negara.

Malaysia gagal memanfaatkan peningkatan kedudukannya pada tahun lalu yang naik satu anak tangga - dari 131 kepada 132.

Isu-isu yang mungkin menjejaskan kedudukan Malaysia termasuk siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap video kepala lembu Malaysiakini, penangkapan penulis blog dan pengharaman buku kartunis Zunar.

Yang menariknya, Singapura (136) buat pertama kalinya mengatasi
Malaysia sejak badan pemantau Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mulai mengeluarkan senarai tersebut pada tahun 2002.

Antara 10 negara anggota Asean, Malaysia berada pada kedudukan lebih tinggi daripada dua negara yang dianggap medianya lebih bebas - Thailand (153) dan Filipina (156).



RSF mengaitkan puncanya dengan kejadian keganasan politik.

"Thailand - tempat dua wartawan terkorban dan kira-kira 15 lagi cedera, ketika membuat liputan operasi tentera terhadap gerakan 'baju merah' di Bangkok - jatuh 23 anak tangga," kata RSF, yang menerbitkan indeks tahunan kesembilannya hari ini.

Filipina jatuh 34 anak tangga ekoran pembunuhan lebih 30 wartawan pada hari penamaan calon jawatan gabenor daerah Maguindanao di Mindanao.

Sementara itu, Finland, Iceland, Belanda, Norway, Sweden dan Switzerland pula berkongsi tempat pertama. Manakala Amerika Syarikat kekal di tangga ke-20.

Berada di kedudukan tercorot ialah Korea Utara (177) dan Eritrea (178). Selain Korea Utara, tiga lagi negara regim komunis di Asia - China (171), Vietnam (165) dan Laos (168) - merupakan antara 15 negara di kedudukan terendah dalam indeks tersebut.

"Juga di Asia Tenggara, Indonesia (117) masih di bawah garis simbolik yang memisahkan 100 negara teratas yang lain, walaupun telah melalui pertumbuhan media yang menggalakkan. Dua wartawan terkorban dan beberapa lagi menerima ancaman bunuh, terutama untuk laporan mereka mengenai alam sekitar," kata RSF.

"Ringkasnya, penindasan masih tidak berkurangan di negara-negara Asean, walaupun telah memperakukan piagam hak asasi manusia baru-baru ini." - Mkini

Artikel berkaitan:
- Koleksi Umno salahguna media kerajaan utk kepentingan politik sempit mereka..
- "Kebebasan media tidak ada di Malaysia, sudah mati!" - Bekas Pengarang Utusan Melayu..(video inside)